Anda di halaman 1dari 9

PENULISAN ILMIAH SEJARAH

I. Pengenalan
II. Pengertian Penulisan Akademik
III. Ciri-ciri Penulisan Akademik
IV. Esei Akademik Yang Baik
V. Perkara-Perkara Asas Dalam Membuat Penyelidikan Ilmiah
VI. Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi dan Gaya Penerbitan
VII. Senarai Rujukan

I. Pengenalan
Modul ini akan memperkenalkan mahasiswa/siswi kepada lima persoalan utama dalam
penulisan akademik.

Pertama, pengertian penulisan akademik yang akan diperjelaskan dengan mengemukakan


contoh esei yang mewakili kaedah yang dijalankan oleh ahli sains sosial.

Kedua, adalah ciri-ciri penulisan akademik. Harus diketahui penulisan boleh dibahagikan
kepada penulisan akademik dan bukan akademik. Penulisan yang akan dijalankan oleh
adalah penulisan akademik dan ia mewakili penulisan berbentuk kajian tindakan, kertas
kerja, laporan dan latihan ilmiah. Sebaliknya penulisan cerpen dan novel tergolong dalam
penulisan yang bersifat bukan ilmiah kerana ia tidak terikat kepada peraturan-peraturan
penulisan akademik. Dalam bahagian ini akan diterangkan ciri-ciri yang harus ada pada
penulisan akademik yang baik.

Ketiga, esei akademik yang baik akan menjelaskan tiga bahagian utama esei, iaitu
pengenalan, isi esei dan penutup. Adalah penting untuk memastikan ketiga-tiga bahagian
ini terjalin untuk menghasilkan esei yang baik. Contoh-contoh akan dikemukakan sebagai
lampiran untuk memudahkan pemahaman pelajar.

Keempat pula adalah perkara-perkara asas dalam penulisan ilmiah sejarah. Bahagian ini
penting kerana sebelum memulakan kajian, pengkaji perlu mengetahui persoalan kajian,
objektif kajian, skop kajian, kepentingan kajian, ulasan kajian lepas dan kaedah untuk
menjalankan kajian.

Kelima, kaedah penulisan nota kaki, bibliografi dan gaya penerbitan adalah perkara asas
yang harus diketahui oleh pengkaji sebelum memulakan penulisan untuk memudahkan
penulisan ilmiah yang baik. Penguasaan teknik penulisan nota kaki, bibliografi dan aspek-
aspek lain adalah sangat-sangat perlu dalam melahirkan penulis yang berkemahiran dalam
lapangan penyelidikan dan penulisan untuk membantu penulisan bakal guru-guru sejarah
dan juga apabila memasuki alam pekerjaan yang sebenar.

Untuk menguji pemahaman pelajar mengenai ciri-ciri penulisan ilmiah sejarah, pelajar
dikehendaki menilai penulisan yang telah dihasilkan dalam bidang sejarah memperlihatkan
ciri-ciri penulisan akademik yang baik. Akhir sekali pelajar juga dikehendaki membuat
perbentangan proposal kajian bidang sejarah, menulis dan membentangkan kepada kelas
hasil penulisan mereka.

Adalah diharapkan penyediaan modul ini dapat membantu siswa/siswi menguasai teknik-
teknik penulisan dan menghasilkan penulisan yang baik dalam bidang sejarah.
II. Pengertian Penulisan Akademik
Penulisan akademik adalah penulisan yang dijalankan secara ilmiah atau saintifik.Ia
mengkaji secara teratur dan teliti sesuatu persoalan. Ia berbeza dari kaedah-kaedah lain
seperti penulisan novel yang berasaskan khayalan atau rekaan dan generalisasi daripada
pengalaman. Kaedah saintifik adalah berasaskan kepercayaan bahawa mana-mana
fenomena mempunyai keterangan-keterangan tertentu; iaitu tiap-tiap kesan mempunyai
sebab. Kaedah ini berasaskan idea bahawa kesimpulan hanya boleh diterima bila disokong
oleh bukti. Seorang penulis akademik harus mengumpulkan data secara objektif, tidak berat
sebelah dalam mengumpulkan data yang menyokong kebenaran hipotesis dan
mengabaikan yang tidak mengikut kehendak peribadi penyelidik. Untuk membolehkan
pengetahuan biasa menjadi pengetahuan ilmiah(sains), ia harus melalui jalan yang
panjang. Proses yang disebut sebagai kaedah ilmiah dapat disusun seperti di bawah;

(a) Pengumpulan data dan fakta

(b) Pengamatan data dan fakta

(c) Pemilihan data dan fakta

(d) Penggolongan data dan fakta

(e) Penafsiran data dan fakta

(f) Kesimpulan umum

(g) Perumusan hipotesis

(h) Pengujian terhadap hipotesis melalui kajian dan percubaan empiris

(i) Penilaian; menerima atau menolak atau menambah, ataupun merubah hipotesis

(j) Perumusan teori ilmu pengetahuan

(k) Perumusan dalil atau hukum ilmu pengetahuan

III. Ciri-ciri Penulisan Akademik


Secara ringkas ciri-ciri penulisan akademik adalah seperti di bawah;

(a) Menyampaikan fakta secara sistematik atau mengemukakan hukum alam kepada
situasi yang spesifik.

(b) Penulisannya cermat, tepat, benar dan tidak membuat andaian.

(c) Tidak menulis untuk memenuhi kehendak golongan-golongan tertentu.

(d) Penulis hanya menulis untuk memaklumkan tentang sesuatu dan tidak bersifat prejudis.

(e) Penulisan ilmiah bersifat sistematik. Setiap langkah direncanakan secara sistematik,
konseptual dan mengikut prosedur yang jelas.

(f) Penulisan ilmiah tidak bersifat emosional. Ia mengemukakan sebab-musabab dan


pengertian sesuatu masalah/persoalan. Kata-katanya mudah diidentifikasi.
(g) Setiap pandangan yang dikemukakan disokong dengan bukti.

(h) Menulis dengan jujur dan hanya mengemukakan kebenaran. Tidak ada kenyataan-
kenyataan yang boleh menimbulkan keraguan.

(i) Penulisan ilmiah tidak bersifat argumentatif. Rumusan yang dibuat dalam penulisan
ilmiah akan membiarkan fakta berbicara sendiri.

(j) Penulisan ilmiah tidak bersifat persuasif. Jika penulisan berkenaan berjaya mengubah
pandangan pembaca, ia bukan melalui kaedah persuasif, argumentasi, percanggahan
pendapat dan protes, tetapi melalui fakta yang berdiri/berbicara sendiri.

(k) Penulisan ilmiah tidak akan memutar-belitkan fakta kerana ia akan merosakkan tujuan
penulisan ilmiah. Ia juga tidak akan melebih-lebihkan sesuatu kerana ia akan menunjukkan
motif penulis yang mementingkan diri sendiri.

IV. Esei Akademik Yang Baik


Esei akademik kebiasaannya akan mempunyai tiga bahagian yang jelas, iaitu pengenalan
esei, isi esei dan penutup.

(a) Pengenalan

Pengenalan akan bermula secara umum dan kemudian memokus kepada suatu idea
utama.Pengenalan penting untuk menarik minat pembaca supaya terus membaca.
Pengenalan harus mempunyai ciri-ciri menyeronokkan, menyampai dan memberi maklumat
yang baru serta merangsang naluri ingin tahu pembaca. Sebaik-baiknya ayat yang
digunakan biarlah mudah, tepat dan menarik. Perenggan pengenalan juga perlulah ringkas
dan jitu.

(b) Isi Esei

Isi esei harus mempunyai banyak fakta dan maklumat. Bahagian ini biasanya lebih panjang
daripada bahagian-bahagian lain. Maklumat-maklumat tersebut boleh disertakan dengan
penjelasan lanjut dalam bentuk statistik, kutipan, anekdot, fakta, carta dan rajah. Ia
bertujuan untuk menyokong idea dan pendapat penulis. Di samping itu penjelasan ini juga
menjadikan sesebuah esei lebih menarik dan senang difahami dan ditulis dalam bentuk
perenggan. Setiap perenggan perlu ada tiga perkara penting iaitu kesatuan idea, urutan
idea dan penonjolan idea utama. Ketiga-tiga perkara ini perlu diberikan perhatian untuk
memastikan peralihan idea berjalan lancar dan memudahkan pembaca mengikuti
perkembangan idea tersebut.

Apabila mengemukakan sesuatu idea dalam sesuatu perenggan, adalah perlu untuk
menghubungkannya dengan penyambung ayat yang betul. Caranya adalah dengan
menggunakan kata-kata penghubung seperti sementara itu, selepas itu, walau
bagaimanapun, tetapi, sejajar dengan, dalam perkembangan ini dan sebelum ini. Kata
penghubung penting bagi memastikan kelancaran idea dalam sesuatu esei dan
memberikan maklumat yang sejelas-jelasnya kepada pembaca.

Bilangan perenggan yang ingin digunakan oleh penulis bergantung kepada jumlah isi yang
ingin diketengahkan. Bahagian tubuh sebenarnya adalah bahagian atau argumentasi hujah.
Penulis perlu mengemukakan hujah yang akan meyakinkan pembaca. Untuk menarik
perhatian pembaca, penulis perlu memperkayakan perbendaharaan kata dan menguasai
gaya bahasa supaya penulisan menjadi lebih kemas dan efektif. Antara semua ini, yang
paling penting ialah hujah-hujah disusun secara logik. Isi yang disusun juga mestilah
mengikut keutamaan.

(c) Penutup

Bahagian ini harus kembali kepada pengenalan dan membuat kenyataan umum. Bahagian
penutup juga sama penting dengan pengenalan. Penutup harus menarik seperti
pengenalan dan jumlah perkataan lebih kurang sama dengan pengenalan.

Untuk gambaran jelas mengenai struktur esei yang jelas, rujuk Sulaiman Masri.
(1988). Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 56-63.

V. Perkara-perkara Asas Dalam


Membuat Penyelidikan Ilmiah
Membuat Penyelidikan Ilmiah

Penyelidikan ilmiah melibatkan dua kegiatan, pertama, proses penyelidikan dan kedua,
cadangan penyelidikan ( research proposal). Kedua-dua proses ini harus dijalankan
mengikut peraturan-peratauran tertentu untuk memastikan penulisan terakhir adalah
lengkap dan tidak mengalami kecacatan.

(a) Proses Penyelidikan

(i) Mendapatkan masalah atau tajuk

Penyelidikan bermula dengan masalah; iaitu penyelidik melihat wujudnya masalah di


bidang yang hendak dikaji.

(ii) Membentuk Hipotesis

Ia merupakan kesimpulan sementara bagi masalah yang hendak dikaji. Hipotesis juga
mestilah bersifat khusus dan bukan umum. Sebagai contoh, (a) wanita yang bekerja lambat
berkahwin; (b) pelajar rajin lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Hipotesis juga tidak
harus dipengaruhi oleh nilai, pertimbangan moral atau etika; yang merupakan cadangan-
cadangan yang mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Sebagai contoh, (a) melewatkan
perkahwinan di kalangan wanita yang bekerja adalah tidak baik (nilaian) (b) petani yang
tidak mengunakan jentera adalah ketinggalan zaman (nilaian), hipotesis ini akan
menyukarkan untuk mengukur kenyataan seperti tidak baik dalam contoh (a) ketinggalan
zaman dalam (b). Menurut Ahmad Mahdzan Ayob (1983), tidak ada ukuran yang objektif
untuk menyukat buruk baik, ketinggalan zaman dan keperluan mengubah sikap.
Sesungguhnya suatu hipotiesis mestilah boleh diuji dan untuk itu memerlukan data yang
konkrit.

(iii) Memungut Data/kumpul sumber

Data atau sumber boleh dibahagikan kepada sumber pertama dan kedua. Sumber pertama
merujuk kepada data asli yang dihasilkan oleh penyelidik sendiri sama ada melalui ujikaji,
ujian kes atau kajiselidik dan juga penerbitan rasmi. Sumber kedua berupa bahan-bahan
bercetak yang dihasilkan oleh individu atau institusi. Proses pengumpulan data berbeza-
beza mengikut disiplin. Kaedah pemungutan data yang biasa digunakan ialah kajian
perpustakaan, siasatan( survey), temuramah ( interview), soal-selidik ( questionares) dan
pemerhatian ikutserta ( participation observation).
(iv) Analisis Data

Analisis data adalah proses yang berbeza mengikut bidang kajian. Dalam bidang ekonomi,
data akan dianalisa dengan menggunakan ilmu statistik dan kaedah saintifik. Manakala
dalam bidang Sejarah, analisa lebih berupa huraian idea secara sistem dengan
menggunakan bukti, memapar atau menerang supaya fakta-fakta dapat difahami. Analisa
boleh diringkaskan seperti dibawah;

- Pengenalan

- Idea pokok

- Sokongan fakta utama kepada idea pokok

- Huraian daripada idea pokok dengan sokongan fakta pecahan atau fakta kecil termasuk
misalan dan/atau rajah

- Rangkaian idea pokok

- Fakta-fakta besar menyokong kepada rangkaian idea pokok

Analisis yang baik tidak harus mempunyai idea yang meloncat. Setiap idea mesti
dikembangkan dengan baik dari satu perenggan ke perenggan yang lain. Pendek kata
analisis yang baik mesti mempunyai flow of ideas, thoughts and descriptions yang baik.
( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.55). Harus juga
diketahui bila harus diletakkan petikan dan nota kaki supaya maklumat yang disampaikan
adalah jelas dan tidak mengganggu aliran idea dalam para berkenaan. Petikan pula
seeloknya digunakan untuk menyokong fakta, tidak banyak dan terlalu panjang. Petikan
juga biarlah yang sangat-sangat perlu dan tepat.

Catatan nota kaki pula harus berperanan untuk menyokong huraian dan analisis.
Disamping itu untuk membantu pembaca membuat pembacaan lebih lanjut dan untuk
memberi perspektif lain tentang isu yang dibincangkan. Ini kerana jika perspektif yang
berbeza dibincang dalam teks ia akan menganggu aliran pemikiran ( Metodologi dan
Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.56).

(b) Menyediakan Cadangan Penyelidikan

(i) Masalah Kajian

Dalam masalah kajian, penulis harus menyatakan pernyataan kajian. Pengkaji harus
menyatakan persoalan yang ingin dikaji dan persoalan ini pula boleh dibahagikan kepada
persoalan pokok dan sampingan.

(ii) Skop Kajian

Skop kajian harus menyatakan batas kajian hingga setakat mana dan kenapa. Dalam
bahagian ini juga boleh dinyatakan bab-bab yang dijangkakan. Bab-bab ini seboleh
mungkin mestilah berkait antara satu dengan yang lain. Bahagian ini penting untuk
pembaca atau penyelia mendapat gambaran menyeluruh kerangka tesis pelajar.

(iii) Kepentingan Kajian

Dalam bahagian ini pengkaji harus menjelaskan keistimewaan kajian. Kepentingan kajian
ini boleh dilihat dari sudut akademik dan kepentingan kepada negara. Dari segi akademik,
pembuktian adalah dengan membuat literature review bidang yang dikaji dan menilaikan
sejauh manakah tajuk yang dipilih belum diusahakan dan ia dapat mengisi kekosongan
dalam bidang berkenaan. Kepentingan kepada negara adalah dengan merujuk kepada
kajian-kajian bersifat kontemporari. Sebagai contoh masalah keruntuhan moral di kalangan
pelajar, kemasukan pekerja tanpa izin dari Indonesia dan lain-lain. Kajian-kajian seperti ini
dapat membantu kerajaan mengenalpasti masalah golongan-golongan ini dan merancang
dasar-dasar yang bersesuaian untuk menangani isu tersebut secara efektif.

(iv) Kaedah Kajian

Kaedah kajian kebiasaannya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama kajian perpustakaan,
kajian lapangan dan kajian menemudaga dan persamplen. Kaedah-kaedah kajian ini
berbeza mengikut bidang-bidang yang diusahakan. Bagi pengkaji di bidang Sejarah, kajian
mereka adalah bersifat library research dengan merujuk sumber-sumber pertama dan
kedua. Bagi pengkaji dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, pengkajiannya akan
memerlukan penyelidik ke lapangan dan bersama responden yang diselidiki. Bagi pengkaji
dari bidang ekonomi, perlu menguasai ilmu statistik, persamplen dan kaedah menggunakan
komputer untuk menganalisis data.

VI. Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi


dan Gaya Penerbitan
Nota Kaki dan Bibliografi

Terdapat pelbagai stail penulisan nota kaki dan bibliografi. Terpulanglah kepada siswa/siswi
untuk memilih stail yang sesuai mengikut cita-rasa masing-masing. Walau apapun stail
yang dipilih, paling utama ia mestilah konsisten. Stail yang biasa digunakan ialah American
Physological Association (APA), The Chicago Manual Style dan Modern Language
Association of America (MLA). Pelajar boleh melihat kesemua stail ini dan pilih yang sesuai
dengan kehendak masing-masing.

(a) Stail APA

Stail ini biasa digunakan oleh ahli psikologi, sains sosial dan pendidik. Stail ini hanya
memerlukan penulis menyatakan nama keluarga pengarang, tahun buku diterbitkan dan
halaman buku dalam kurungan. Untuk pengetahuan pelajar, modul kertas kerja ini ditulis
dengan stail APA. Stail ini sebenarnya adalah ekonomik kerana maklumat yang dinyatakan
dalam kurungan tidak perlu dinyatakan dalam nota kaki. Dalam pada itu maklumat yang
akan diketengahkan hanyalah nama keluarga pengarang, tahun terbit dan halaman (Sufean
Hussin, 1985, hlm. 66-67). Maklumat lengkap setiap sumber yang dirujuk dalam teks
diberikan dalam senarai bibliografi yang disusun mengikut abjad dan nama keluarga. Untuk
maklumat lanjut rujuk Lester, J.D. (1987). Writing Research Papers, A Complete Guide.
London: Scott, Foresman and Company, (211-214) dan Campbell, Wilia, Giles, Balldu,
Stephen Vaughan dan Slade, Carole (1990). Form and Style, Theses, Reports, Term
Papers, Boston:Houghton Mifflin Company, 251-261.

(b) Stail Chicago

Stail Chicago pula digemari oleh sejarawan, ahli sains politik, arkeologi, antropologi dan ahli
falsafah. Stail ini tidak mengganggu continuity dan flow dalam pembacaan (Sufean Hussin,
1995, hlm. 67). Stail ini memerlukan nombor nota kaki diletakkan dalam teks dan maklumat
penuh perlu dinyatakan dalam nota kaki halaman yang sama. Ada kalanya nota kaki ini
akan mewakili separuh dari nota kaki halaman berkenaan.

Stail ini selain dari menyatakan maklumat penuh buku yang dirujuk di nota kaki, ia juga
boleh digunakan untuk membahas sesuatu isu, memberi rujukan tambahan dan
mengemukakan nota kaki untuk menyokong hujah. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Lester,
J.D. (1987). Writing Research Papers, A Complete Guide. London: Scott, Foresman and
Company, 237-240.

(c) Stail Modern Language Association (MLA)

Stail MLA jarang digunakan dalam bidang sains sosial. Kaedah ini memerlukan sesuatu
petikan disusuli oleh pengarangnya yang membuat kenyataan tersebut. Petikan tersebut
pula berakhir dengan nombor halaman yang dinyatakan dalam kurungan. Dokumentasi
sumber yang mempunyai maklumat lengkap tentang tajuk buku, tempat terbit dan penerbit
boleh didapati di bahagian bibliografi. Stail ini hanya membenarkan penggunaan nota kaki
jika ia bertujuan untuk membuat huraian kandungan ( content footnotes) (Lester, 1987, hlm.
108). Stail ini dapat dilihat dalam contoh di bawah:-

Dalam buku History and Education, Paul Nash menyatakan, "Facts do not speak for
themselves: They are meaningless and powerless without a human mind to give them
shape, form, organization, sequence, interrelationship, and significance". (10).4

_____________________________________________________________________

4. Untuk lebih lanjut tentang interpretasi dalam sejarah, rujuk Barzun dan Graff (42-56) dan
Suntharalingam (28-40).

Untuk maklumat lebih lanjut tentang stail ini rujuk Hult, C.,A. (1996). Researching and
writing across the curriculum. Boston: Simon & Schuster Company, 311-333 dan Lester,
J.D. (1997). Citing cyberspace. Diperolehi pada 3 Februari 1999 daripada World Wide Web:
http://longman.awl.com/ english pages/cyber.htm.

Susunan Bibliografi

Susunan bibliografi bagi kesemua sistem penulisan tidak banyak berbeza. Hampir kesemua
penulisan menganjurkan penulisan bibliografi mengikut susunan nama keluarga pengarang,
tajuk buku, tempat terbit , penerbit, tahun terbit dan halaman. Suatu kewajipan bagi
kesemua bibliografi adalah nama keluarga pengarang, tajuk buku, tempat terbit, penerbit
dan tahun. Untuk maklumat lanjut, rujuk penyusunan bibliografi mengikut stail APA dalam
Campbell, Wilia, Giles, Ballou, Stephen Vaughan dan Slade, Carole (1990). Form and
Style, Theses, Reports, Term Papers, Boston:Simon & Schuster Company, (251-261)

Gaya Penerbitan

Penulisan yang baik juga harus memberi perhatian kepada gaya penerbitan yang merujuk
kepada peraturan menulis huruf besar, singkatan, penomboran, tanda bacaan, tata bahasa
dan tanda kutip yang seragam. Semua ini akan menentukan samada esei yang dinilai wajar
diberi gred yang baik. Untuk maklumat lebih lanjut, rujuk Sulaiman Masri. (1988). Penulisan
dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 97-106, 114-
129.

Senarai Rujukan
Abdullah Zakaria Ghazali. (1981). Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah 1718-1722:
Suatu kajian tentang asal-usulnya. Jernal Sejarah Melaka, 6, 48-52.

Ahmad Mahdzan Ayob. (1983). Kaedah penyelidikan sosioekonomi, suatu


pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (H 62 Ahma - RS)

Andaya, L.Y. (1973). Raja Kechil and the Minangkabau conquest of Johore 1718. Journal of
Malayan Branch Royal Asiatic Society, 40 (2), 51-75.

Barzun, J. dan Graff, H.F. (1977). The modern researcher, the classic manual on all
aspects of research and writing. New York: Harcourt & Brace Javanovich Inc. (D 13 Bar -
OS)

Campbell, W. G., Ballou, S.V., dan Slade, C. (8th ed.). (1990). Form and style, theses,
reports, term papers. Boston: Houghton Mifflin Company. (LB 2369 Cam – RS)

Chalmers, A.F. (1963). What is this thing called science. St. Lucia: University of
Queensland Press.

Copleston, F. (1963). A history of philosphy. London: Image Book Edition.

Dane, F, C. (1990). Research methods. California: Brooks/Cole Publishing Company. (H62


Dan – RS)

Goode, W.J., dan Hatt, P.K. (1952) Methods in social research. New York: McGraw-Hills. (H
62 Goo – RS)

Horton, S. R.,(Terjemahan). (1993). Penulisan:Cetusan fikiran. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka. (PE 1408 Hor – RS)

Hult, C. A. (1996). Researching and writing across the curriculum. Boston: Allyn and Bacon.
(LB 2369 - OS).

Jackson, W.. (1995). Methods doing social research. Ontario: Prentice-Hall Canada Inc. (H
62 Jac – RS)

Johnson, M.J. (1975). Doing field research. New York: Macmillan Publishing Co., Inc. (H62
Joh – RS)

Metodologi dan penyelidikan dalam pengajian Melayu. (1990). Kuala Lumpur: Jabatan
Pengajian Melayu.

Miller, D.C. (1983). Handbook of research design and social measurement. London: Sage
Publications. (H 62 Mil – RS)

Mohd Sheffie Abu Bakar. (1991). Metodologi penyelidikan. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsan Malaysia. (HB 131 Mohsab – RS)

Nuraini Yusoff. (1991). Penulisan berformat. Kuala Lumpur: Pustaka Pertiwi Sdn. Bhd.

Pengenalan kepada sains sosial. (1998). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors
Sdn. Bhd. (H61 Pen – OS)

Preece, R. A. (1994). Starting research. London: Pinter Publishers. (LB 2369 Pre - RS)

Samarudin Rejab dan Nazri Abdullah. (1992). Panduan menulis tesis. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. (LB 2369 – RS)

Shaharom TM Sulaiman dan Wan Ab.Kadir Wan Dollah. (1998). Pengurusan maklumat alaf
baru. Pemikir, 11, 176-184.

Sufean Hussin. (1995). The art of research and dissertation writing, for the Humanities and
Arts. Kuala Lumpur: Asas Tunas Publications. (LB2369Sufh – OS)

Sulaiman Masri. (1988). Penulisan dalam bahasa Malaysia baku. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. (PL 5083 Sulm – RS)

Suntharalingam, R. (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Marican and Sons
(M) Sdn.

The Chicago manual of style (14th ed.). (1993). Chicago:The University of Chicago Press.
(Z253 UCP – RS)

Turabian, K.L. (1973). A manual for writers of term papers, theses and dissertations,
Chicago: The University of Chicago Press. (LB 2369 Wil – OS)

Wan Hashim, Ting Chew Peh dan Shamsul Amri Baharuddin (Disunting). (1980). Kaedah
penyelidikan sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Th 62 Kae – RS)

Winkler, C.A., dan McCuen, J.R. (1979). Writing the research paper, a handbook. New
York: Harcout Brace Jovanovich Inc. (LB 2369 Wil - OS)

Zainal Mat Saat. (1985). Pengantar statistik. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
(HA 29.5 M2Zains – RS)

Anda mungkin juga menyukai