Anda di halaman 1dari 9

SINOPSIS MENGIKUT BAB NOVEL SEJAMBAK BAKTI

 BAB 1 : KISAH DI KEDAI KOPERASI

Murid berduyun-duyun menuju ke sekolah. Mereka masing-masing dengan azam dan


cita-cita untuk mengaut ilmu dan pengetahuan sebagai bekalan hidup dalam zaman
yang serba mencabar ini. Beberapa orang penuntut sedang melangkah masuk ke
dalam sebuah bangunan satu tingkat yang terletak berhampiran dengan padang.
Pada bahagian hadapan dinding bangunan tersebut terdapat papan tanda yang
bertulis KEDAI KOPERASI SEKOLAH MENENGAH TEKNIK PERTANIAN SERI KAYANGAN.
Seorang pembantu kedai tersebut bersama-sama tiga orang ahli lembaga pengarah
begitu sibuk melayani pembeli-pembeli yang berkehendakkan layanan segera.
Mereka melayani pembeli-pembeli dengan sabar dan baik. Meskipun didesak dan
disindir, senyuman masih juga terukir di bibir. Semasa pembeli sedang sibuk membeli
barang keperluan sekolah, seorang daripada murid yang berasak-asak di situ cuba
mengambil sebatang pen dan terus memasukkan pen tersebut ke dalam saku
seluarnya. Harun selaku salah seorang ahli lembaga pengarah yang bertugas sebagai
jurujual pada hari itu bersama-sama dengan Swee Lan dan Saridevi menegur budak
itu.

BAB 2 : MESYUARAT MELAKSANAKAN IMPIAN

Bilik Mesyuarat Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan telah dipenuhi
oleh Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah tersebut. Petang itu, seperti yang telah
ditetapkan, mereka mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah kali pertama setelah
diadakan mesyuarat agung seminggu yang lalu. Sebelas orang murid telah dilantik
menjadi ahli lembaga pengarah bersama-sama dengan 4 orang guru. Tuan Pengetua
sekolah, Cikgu Syamsudin dengan sendirinya menjadi Pengerusi Koperasi sekolahnya.
Mereka sedang menunggu pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi Negeri
yang diundang hadir bersama dalam mesyuarat tersebut. Cikgu Syamsudin bimbang
sekiranya pegawai daripada Jabatan Pembangunan Koperasi itu tidak dapat hadir.

BAB 3 : PERJANJIAN MEMBALAS DENDAM

Hari itu, di bawah pokok ru yang rendang dalam kawasan Sekolah Menengah Teknik
Pertanian Seri Kayangan, kelihatan tiga orang murid sedang berehat di situ. Pihak
sekolah memang menyediakan bangku-bangku simen di bawah pokok-pokok yang
rendang dan merimbun daunnya untuk dijadikan tempat membaca buku atau
tempat berehat kepada murid-murid yang ingin menenteramkan fikiran. Angin dari
sawah yang terdapat di sekitar kawasan sekolah itu bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Tiupan angin ini menyegarkan tubuh mereka. Namun, hati dan perasaan ialah
seorang daripada tiga orang murid itu tidaklah sesegar tiupan angin. Perasaannya
membungkam dan kecewa. Munir, Silvam dan Leong sedang membincangkan
kekecewaan mereka kerana Razali dilantik sebagai Naib Setiausaha Koperasi. Mereka
berjanji untuk mengenakan Razali.

BAB 4 : PERSIAPAN KEDAI OPERASI

Pagi itu, banyak sekali murid yang keluar masuk di Kedai koperasi Sekolah Menengah
Teknik Pertanian Seri Kayangan. Pembantu kedai tersebut, Norlela dengan beberapa
orang ahli lembaga pengarah sibuk melayani mereka. Munir, Silvam, dan Leong tidak
datang. Sepatutnya, pada pagi itu giliran mereka bertugas di kedai koperasi. Razali
telah menyiapkan senarai barang yang perlu dibeli. Dia menghulurkan sehelai kertas
yang tertulis senarai nama barang yang perlu dibeli kepada Cikgu Zulkifli. Swee Lan
memberitahu yang koperasi boleh membeli barangan tersebut di kedai bapanya
dengan harga yang istimewa. Petang itu mereka membeli barang dengan menaiki
van sekolah. Mereka turut membeli majalah dan buku rujukan untuk diletakkan di
Bilik Bacaan.

BAB 5 : CITA-CITA DAN HARAPAN

Munir, Silvam dan Leong mempunyai cita-cita dan harapan yang sama. Disebabkan
itulah tiga serangkai itu begitu baik perhubungannya seperti isi dengan kuku. Jika
sungai, seperti aur dengan tebingnya. Sewaktu pulang dari sekolah hari itu, tiga
serangkai   itu menunggu Ramlah, Swee Lan, dan Saridevi keluar dari kedai koperasi.
Ketika gadis-gadis itu sampai di tempat mereka menunggu, Munir memberanikan diri
menegur Ramlah dan mengajaknya menonton. Tetapi Ramlah menolak. Begitu juga
Swee Lan dan Saridevi. Tiga serangkai menjadi marah dan semakin kuat cita-cita
untuk ‘mengajar’ Razali.

BAB 6 : PERSIAPAN

Bangsal ternakan ayam telur itu yang diperbuat daripada kayu, beratapkan daun
nipah itu dibina oleh PIBG sekolah tersebut secara gotong-royong. Ahli Lembaga
Pengarah Koperasi sekolah itu amat berbangga dan berterima kasih terhadap
sokongan tersebut. Ibu bapa pula menyedari sokongan itu patut diberikan untuk
menanam semangat berkoperasi dan berniaga kepada anak-anak mereka. Pada
waktu yang sama, Ramlah, Cikgu Robeah, Rozita, Harun, Silvam, dan Leong serta
beberapa orang Ahli Lembaga Pengarah Koperasi sekolah itu sedang mengemaskan
bahan bacaan di dalam sebuah bilik. Bilik itu dinamakan bilik bacaan. Murid-murid
sekolah itu sama ada pada waktu rehat atau pada waktu petang dapat membaca
bahan-bahan tersebut untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Akhbar dan majalah
disusun dan diletakkan di rak yang disediakan. Habuk-habuk yang melekat di tingkap
dan di dinding dibersihkan.

BAB 7 : SEMANGAT

Hari  yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Sebuah kereta berwarna biru, sederhana
besarnya, masuk ke pekarangan Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan.
Cikgu Syamsudin mempelawa Penolong Pengarah Pembangunan Koperasi, Bahagian
Fungsi Sekolah-sekolah melawat ke kedai koperasi. Mereka menuju ke kedai koperasi
diikuti oleh semua ahli lembaga pengarah. Beliau memuji koperasi yang maju dan
berjaya. Barang banyak, tersusun kemas pula. En Mansur turut dibawa ke Bilik
Bacaan dan tempat ternakan ayam telur. Cikgu Zulkifli memberikan penerangan
tentang jumlah ternakan dan hasilnya. En Mansur melahirkan kekaguman atas
kesungguhan para pelajar dan guru mengusahakan koperasi sekolah yang telah
banyak memberi faedah kepada warga sekolah. Walau bagaimanapun beliau
menyeru agar ahli lembaga pengarah koperasi tidak mengabaikan pelajaran mereka.

BAB 8 : MEMPELAJARI ILMU PERDAGANGAN

Pagi itu Cikgu Saiful, guru mata pelajaran Perdagangan, sedang menghabiskan
pengajarannya tentang Prinsip Akaun. Pada papan tulis terdapat catatan tentang
kaedah Prinsip Akaun yang telah diajarkannya. Murid-murid tingkatan 5C1 itu
merupakan murid-murid yang mengikuti pelajaran Perdagangan termasuklah Razali,
Ramlah, Saridevi, dan Munir yang menjadi ahli lembaga pengarah koperasi sekolah.
Semua murid dalam kelas menyalin nota tetapi Munir tidak habis-habis mengganggu
kawannya. Akhirnya dia didenda tidak boleh pulang awal selagi tidak menyiapkan
notanya.

BAB 9 : KERJA RUMAH

Ramlah, Saridevi dan Rozita mengunjungi rumah Razali yang berada di pinggir sawah.
Suasana amat tenang dan menenteramkan perasaan. Kunjungan mereka bertujuan
untuk belajar bersama-sama Razali. Razali mengajak mereka belajar di pondok di
tengah sawah kerana di situ lebih lapang dan sunyi. Sesuai untuk belajar. Mak Sopiah
menghidangkan minuman dan kuih. Begitulah rutin Mak Sopiah setiap kali Razali
mengulang kaji di pondok tengah sawah itu. Sesi perbincangan 4 orang sahabat itu
berjaya merungkai kekusutan tajuk Penyata Wang Tunai yang baru sahaja diajar oleh
Cikgu Saiful di kelas tadi.

BAB 10 : PENGAKUAN

Kisah masalah disiplin Munir bukan sahaja diketahui oIeh Cikgu Zulkifli dan ahli
lembaga pengarah koperasi sekolah itu, malah guru-guru yang lain termasuk juga
Cikgu Saiful. Akan tetapi Cikgu Zulkiflilah yang begitu kecewa kerana Munir
merupakan ahli lembaga pengarah koperasi. Disebabkan itulah Cikgu Zulkifli
berunding dengan guru kaunseling atau guru kerjaya sekolah itu, Cikgu Muniam
supaya menyiasat dan membimbing Munir. Hari itu Munir dipanggil oleh Cikgu
Muniam ke bilik kerjaya. Munir berjanji dengan Cikgu Zulkifli dan Cikgu Muniam
untuk berubah dan tidak mengulangi kesalahan disiplin lagi.

BAB 11 : MELEPASKAN DENDAM

Munir, Silvam dan Leong merancang untuk membalas dendam kepada Razali. Munir
menyangka Razali telah membuat aduan kepada Cikgu Muniam sehingga dia
dipanggil untuk sesi kaunseling.  Munir berasa marah dan kecewa. Mereka
menunggu Razali di laluan yang biasa digunakan oleh Razali untuk pulang ke rumah.
Mereka menahan Razali dan menyerang Razali sehingga tersungkur ke tanah.
Kebetulan pula Ramlah dan rakan-rakannya lalu di situ, mereka membantu
mengumpulkan buku-buku yang bertaburan. Mereka menasihatkan Razali untuk
melaporkan kepada Cikgu Zulkifli tetapi Razali menolak.

BAB 12 : KASIH SEORANG IBU

Mak Sopiah berasa sangat terkejut melihat kepulangan Razali dengan pakaian yang
kotor dan mulut berdarah. Razali menerangkan yang dia telah dipukul oleh kawan-
kawannya. Ketika itu Pak Zakaria, ayah tiri Razali baru pulang dari sawah. Dia terus
menyalahkan Razali dengan mengatakannya bahawa Razali suka bergaduh, sombong
dan angkuh. Pak Zakaria sangat membenci Razali tanpa diketahui puncanya. Razali
berasa sangat sedih dengan apa yang baru sahaja berlaku antara ibu dan ayah tirinya.
Dia membawa diri duduk di pondok di tengah sawah. Mak Sopiah membawakan
minuman seperti biasa. Kasih seorang ibu sangat jelas dalam diri Mak Sopiah. Razali
bertanya tentang ayah kandungnya tetapi Mak Sopiah tak mahu perkara itu
dibangkitkan kerana tidak mahu mengenang kisah pahit itu.
BAB 13 : DENDAM MEMBAWA PADAH

 Pagi esoknya, Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan mengikut jadual
persekolahannya seperti biasa. Loceng pertama telah dibunyikan. Semua murid dan
guru telah masuk ke kelas masing-masing. Terdapat juga murid dan guru-guru
menuju ke padang melakukan kegiatan Pendidikan Jasmani. "Rakyat Sihat, Negara
Maju". Akan tetapi seorang guru bersama-sama beberapa orang murid sekolah
tersebut tidak pula masuk ke kelas dan tidak juga menuju ke padang. Mereka menuju
ke bilik pengetua. Guru dan murid-murid itu ialah Cikgu Zulkifli, Razali, Munir, Leong,
dan Silvam. Cikgu Zulkifli mendapat aduan mereka telah bergaduh dan memukul
Razali. Pengetua berasa marah dan kesal atas apa yang berlaku. Sebagai akibatnya,
masing-masing telah menerima sebatan di punggung oleh Pengetua.

BAB 14 : BERITA GEMBIRA

Sebuah van berhenti di halaman kedai koperasi sekolah itu. Pada van tersebut
tertulis KOPERASI NASIONAL SEKOLAH-SEKOLAH MALAYSIA. Pekerjanya menurunkan
buku-buku rampaian lalu membawanya ke dalam kedai koperasi. Razali, Ramlah, dan
Swee Lan menerima buku-buku tersebut. Mereka meletakkannya di atas meja dan
menyusun buku itu sebaik-baiknya. Pekerja van itu menyerahkan bil kepada Cikgu
Robeah yang sedang menulis di meja tulis koperasi itu. Cikgu Robeah meminta Swee
Lan menulis baucar, manakala dia sendiri menulis cek untuk membayar harga buku-
buku tersebut. Tiba-tiba Cikgu Zulkifli datang dan mencari Razali. Cikgu Zulkifli
membacakan surat yang menyatakan Razali  telah terpilih mengikuti kursus koperasi
bersama-sama dengan wakil koperasi-sekolah seluruh Malaysia. Kursus ini akan
diadakan bertempat di bangunan Kerjasama Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Semua mengucapkan tahniah kepada Razali.

BAB 15 : BUDI BAIK DIKENANG JUA

Razali mengikuti Kursus Koperasi dengan perasaan yang berkobar-kobar untuk


mengetahui dunia perniagaan koperasi secara lebih mendalam. Pelbagai acara yang
telah disusun bersempena dengan kursus ini, para peserta dibawa melawat ke
Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur untuk melihat fungsi dan
peranannya. Mereka  juga akan dibawa melawat ke bangunan Koperasi Polis,
Koperasi Guru, Koperasi Bekas Perajurit dan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur untuk
melihat keindahan  dan perkembangannya. Setelah berpenat lelah mengikuti
ceramah sepanjang hari, kadang-kadang hingga malam, memperoleh pengetahuan
tentang pembangunan koperasi, tentulah mereka berharap dapat merehatkan fikiran
dengan melihat segala keindahan dan keagungan bandar raya Kuala Lumpur. Setelah
mengikuti ceramah di Maktab Kerjasama Malaysia itu, seperti yang dijadualkan,
mereka dibawa melawat ke Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia. Mereka
dibawa melawat ke pejabat-pejabat yang mengendalikan seluruh koperasi di negara
ini. Mereka kagum melihat koperasi-koperasi tersebut begitu berjaya hingga dapat
mendirikan bangunannya sendiri.

BAB 16 : KESAN KUNJUNGAN

Razali pulang ke sekolah dengan semangat yang berkobar-kobar. Banyak ilmu dan
pengalaman hendak dikongsikan bersama rakan-rakannya. Begitu juga Swee Lan,
Ramlah dan rakan-rakan yang lain. Mereka sangat teruja untuk mengetahui
pengalaman Razali berkursus di Kuala Lumpur. Petang itu dalam Mesyauarat
Lembaga Pengarah Koperasi, Razali telah diberikan peluang untuk menyampaikan
laporan ringkas pengalamannya menghadiri kursus. Razali bangun dan
menyampaikan laporannya. Koperasi merupakan tunjang yang boleh
membangunkan komuniti dan ekonomi negara. Begitu bersemangat Razali
menyampaikan laporannya. Cikgu Syamsudin menyampaikan maklumat tentang
pertandingan koperasi yang dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia
(ANGKASA). Cadangan Cikgu Syamsudin disambut baik oleh semua kecuali Munir.

BAB 17 : SEMAKIN JAUH TERBANG BURUNG

Persetujuan untuk turut bersama-sama dalam pertandingan koperasi sekolah-


sekolah itu amat menggembirakan mereka. Setiap pertandingan mesti ada
persediaannya. Kalah atau menang bukanlah sesuatu yang menjadi matlamat
sehingga menimbulkan kekecohan. Yang penting usaha bersungguh- sungguh untuk
memajukan koperasi itu, seperti pendapat Swee Lan dalam mesyuarat yang lalu. Di
samping membuat persediaan pertandingan tersebut secara tidak langsung koperasi
mereka juga akan lebih teratur dan kemas. Demikianlah juga matlamat pertandingan
yang diadakan oleh pihak ANGKASA terhadap koperasi-kopcrasi sekolah itu. Setiap
petang, ahli lembaga pengarah bergilir-gilir mengurus projek yang telah dilaksanakan
oleh mereka. Bangsal ternakan ayam mereka sentiasa dijaga rapi. Begitu juga dengan
bilik bacaan. Munir dan rakan-rakannya semakin tidak senang dengan perkembangan
koperasi sekolah mereka.
BAB 18 : MALANG TIDAK DIDUGA

Pagi itu, suasana kecoh di koperasi. Barangan bersepah-sepah. Koperasi telah


dipecah masuk. berlonggok di atas lantai. Alat tulis seperti pensel, pen, pembaris,
dan getah pemadam berselerak memenuhi lantai. Pakaian sukan pula seperti baju
dan seluar berlonggok dan bersepah di atas meja dan di atas lantai. Mereka hanya
mampu menggelengkan kepala. Perasaan kesal dan kecewa menyelubungi diri
mereka. Mengapa tidak? Dua minggu lagi koperasi mereka akan diadili. Para hakim
akan datang untuk melihat pengurusan koperasi itu. Cikgu Zulkifli berasa kesal atas
apa yang berlaku lantas segera membuat laporan polis. Seribu tanda tanya
menghantui fikiran mereka. Siapakah yang telah memecah masuk koperasi?

BAB 19 : MISTERI KEDAI KOPERASI

Dua orang anggota polis yang berpakaian kemas masuk ke kedai koperasi. Mereka
mengambil tindakan segera setelah dilaporkan oleh Cikgu Zulkifli mengenai perkara
tersebut. Kedua-dua orang anggota polis itu terus memeriksa bangunan kedai
koperasi seperti pintu, dinding, tingkap, atap, dan sebagainya. Ternyata tidak
terdapat tempat yang rosak atau lubang yang boleh dimasuki. Setelah mereka puas
hati memeriksa bangunan itu, lantas mereka keluar menemui Cikgu Zulkifli dan Razali
yang menunggu di luar bangunan. Munir mula menyebarkan cerita konon-kononnya
Razali yang telah memecah masuk koperasi kerana hanya Razali yang memegang
kunci koperasi.

BAB 20 : TINDAKAN AYAH TIRI

Munir bertindak untuk memberitahu ayah tiri Razali berita yang melanda koperasi
sekolah. Munir mengatakan Razali telah memecah masuk koperasi dan memalukan
keluarga. Pak Zakaria sangat marah dan bertindak menghalau Razali dari rumah
tetapi dihalang oleh ibunya. Razali berasa sangat sedih dengan tindakan bapa tirinya.

BAB 21 : HIDUP YANG DIRUNDUNG MALANG

Sepanjang hidup Razali, dia tidak pernah mengalami peristiwa yang begitu pahit. Dia
dihalau tanpa kesalahan yang nyata. Tentulah tidak wajar. Di mana pula maruahnya
hendak diletakkan sehingga begitu sekali tindakan ayah tirinya itu. Dia rasa dirinya
seperti sehelai daun kering yang melayang-layang ke sana ke mari tanpa berharga.
Akan tetapi ibunya penawar kepahitan yang dialaminya kini. Jika tidak kerana ibunya
sudah tentu saat itu jua dia akan meninggalkan rumah tersebut. Dia akan pergi ke
mana-mana sahaja membawa diri. Mentari petang berwajah lembut, menyebarkan
cahayanya di permukaan sawah. Padi menghijau subur, daunnya melambai-lambai
ditiup angin. Burung-burung berterbangan bebas di udara. Sebenarnya dunia ini
sungguh indah dan bahagia. Razali mengeluh akan nasib dirinya yang malang. Dia
masih tidak tahu bapanya yang sebenar.

BAB 22 : MISTERI BERAKHIR

Koperasi dipecah lagi. Cikgu Zulkifli terperanjat apabila menjenguk ke dalam


koperasi. Barang-barang digeledah dan diceroboh orang. Cikgu Zulkifli meminta
kebenaran Pengetua untuk membuat pemeriksaan mengejut kepada murid-murid.
Dengan cara ini mungkin penceroboh dapat ditangkap. Guru disiplin sekolah itu dan
menerangkan rancangannya. Mereka tidak membantah, malahan bersetuju
memberikan kerjasama kepada Cikgu Zulkifli. Selepas itu, Cikgu Zulkifli bergegas ke
pejabat sekolah untuk membuat pengumuman meminta semua guru memeriksa beg
dan pakaian murid. Jika menjumpai pemulas skru, kunci dan wang kertas RM10 perlu
diserah ke pejabat. Semua guru melaksanakan arahan tadi. Mereka percaya arahan
pemeriksaan mengejut itu dilakukan tentu ada suatu perkara yang mustahak. Oleh
sebab itu, mereka terus memeriksa seorang demi seorang murid di dalam kelas
masing-masing. Akhirnya penceroboh berjaya ditangkap kerana Cikgu Zulkifli telah
memasang perangkap melalui duit RM10 yang telah diletakkan dalam laci koperasi.

BAB 23 : HUKUMAN

Mengikut keputusan mesyuarat guru disiplin sekolah  Munir akan dirotan di hadapan
perhimpunan sebanyak tiga kali. Hukuman itu terpaksa dilakukan demi menjaga
disiplin sekolah itu. Diharapkan dengan hukuman itu akan menginsafkan Munir
daripada melakukan lagi perkara-perkara yang tidak baik. Diharapkan tindakan itu
menjadi peringatan kepada murid yang lain. Sebelum hukuman itu dijalankan, kedua-
dua ibu bapa Munir diberitahu terlebih dahulu. Mereka memberikan keizinan dengan
harapan disiplin Munir akan berubah kerana ternyata di rumah juga kelakuannya
tidak terkawal, meskipun ayahnya cuba membentuk perangainya. Pagi itu, setelah
murid-murid berhimpun di tapak perhimpunan sekolah Cikgu Muniam membuat
pengumuman. Pengetua menjatuhkan hukuman sebat kepada Munir atas kesalahan
menceroboh koperasi.
BAB 24 : MEMASUKI DUNIA BAHARU

Munir datang ke rumah Razali untuk meminta maaf kepada Razali sekeluarga dan
menjelaskan kebenaran. Munir juga melahirkan kebimbangannya sebab telah
digantung persekolahan. Razali menawarkan diri untuk mengajar Munir setiap
petang di pondok di tengah sawah. Munir menuruti Razali menuju ke pondok sawah.
Hari itu sebenarnya Munir merasai dirinya menjadi orang baharu dalam hidupnya.
Dia telah mendapat seorang sahabat baharu. Jiwa dan azam juga yang baharu. Dia
ingin melemparkan jauh-jauh segala kebiadapan dan keangkuhan hidupnya selama
ini.

BAB 25 : HARAPAN BERBUNGA INDAH

Munir telah kembali ke sekolah setelah menjalani hukuman. Selama itu pula dia
dapat mengikuti pelajaran di sekolah melalui Razali. Budi dan bakti Razali tidak akan
dilupakan oleh Munir buat selama-lamanya. Pada hari itu juga tiga orang hakim
Pertandingan Koperasi Sekolah-sekolah dari ANGKASA datang menghakimi Koperasi
Sekolah Menengah Teknik Pertanian Seri Kayangan. Mereka disambut oleh
pengetua, Cikgu Zulkifli, dan Razali. Ketiga-tiga orang hakim itu masuk ke kedai
koperasi. Mereka meneliti barang jualan, buku-buku akaun, baucar, resit, dan
sebagainya. Semua persediaan tersebut termasuk dalam 1 perkiraan markah
pertandingan. Kemudian, mereka meninjau aktiviti koperasi itu termasuk projek
ternakan ayam telur. Saat yang paling indah apabila Koperasi Sekolah Menengah
Teknik Pertanian Seri Kayangan telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan
koperasi terbaik.  Betapa bangganya ibu bapa tersebut melihat usaha anak-anak
mereka menubuhkan dan mengusahakan kedai koperasi itu. Masing-masing
berharap suatu hari nanti anak-anak mereka dapat pula menubuhkan koperasi
setelah berjaya menuntut ilmu di situ. Ketika ibu bapa sedang berlegar-legar di dalam
koperasi itu, tiba-tiba dua pasang mata berpandangan.

BAB 26 : TERBUKA RAHSIA

Mak Sopiah amat tidak menyangka akan bertemu semula dengan bekas suaminya,
Ramli di sekolah anaknya. Dengan bantuan Cikgu Syamsudin, mereka dipertemukan
dengan anak kandung mereka, Razali. Razali sangat terkejut dan terharu. Akhirnya
dia dapat mengenali dan bertemu dengan bapa kandungnya. Mereka berpelukan dan
melepaskan rindu yang lama tersimpan. Rupa-rupanya Razali dan Ramlah adalah
bersaudara kerana Ramli juga merupakan bapa Ramlah.

Anda mungkin juga menyukai