Anda di halaman 1dari 16

MEMAHAMI ISU ISLAMOFOBIA:

ANTARA PERSEPSI DAN REALITI


MEMAHAMI ISU ISLAMOFOBIA: ANTARA PERSEPSI DAN REALITI

Zulkifli Hasan

Abstrak

Beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seringkali dikaitkan dengan umat Islam
biarpun pada hakikatnya ianya dilakukan juga oleh penganut agama yang lain. Peristiwa 11
September 2001 yang telah mengorbankan kira-kira 2996 nyawa diikuti oleh pengeboman di
Madrid pada 11 Mac 2004 melibatkan kematian 191 orang dan pengeboman di London pada
7 julai 2005 yang meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim telah
memburukkan lagi imej Islam di mata masyarakat dunia. Seiring dengan perkembangan
negatif ini, istilah Islamofobia telah menjadi popular dalam memberikan gambaran tentang
persepsi masyarakat terhadap umat Islam dan Islam itu sendiri. Ini juga dibuktikan dengan
penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem “Innocence of Muslim’ arahan
Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah SAW serta menunjukkan
salahfahaman terhadap Islam itu sendiri. Fenomena Islamofobia semakin hari semakin
popular dan memberikan implikasi pelbagai kepada kehidupan umat Islam sehinggakan
Pertubuhan Negara-negara Islam telah menubuhkan “OIC Islamofobia Observatory” bagi
memantau perkembangan isu ini dan juga mengambil inisiatif usaha-usaha ke arah
membetulkan persepsi negatif terhadap Islam. Walaupun istilah Islamofobia ini hanya
digunakan secara meluas oleh media dan ahli akademik di sekitar 1990an, namun pada
hakikatnya fenomena Islamofobia telah pun berlaku sejak permulaan pengembangan Islam di
Makkah dalam bentuk yang berbeza. Di Malaysia, Islamofobia juga terus berlaku di mana
insiden-insiden yang melibatkan sensitiviti agama antara menjadi halangan bagi mewujudkan
suasana harmoni dalam masyarakat yang pluralistik. Sehubungan dengan topik Islamofobia
yang terus berlaku dan dibincangkan, artikel ini akan mengupas dan cuba memberikan
kefahaman terhadap beberapa isu, aspek, konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor
Islamofobia termasuk menggariskan beberapa langkah yang boleh diusahakan dalam
membetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam.

Kata Kunci: Islamofobia, realiti, konsep, perspektif dan Islam

1.0 Pendahuluan

Mahu tidak mahu, sememangnya tidak dapat dinafikan peristiwa keruntuhan menara Pusat
Perdagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 telah menjadi pencetus utama
kepada fenomena Islamofobia. Peristiwa ini telah memberikan kesempatan yang meluas
kepada ramai pihak terutamanya musuh Islam untuk terus memberikan gambaran buruk
terhadap Islam. Bahkan telah terdapat gerakan secara teratur dan dibiayai sepenuhnya oleh
pihak tertentu untuk mempromosi dan menyebarkan propaganda mengenai Islamofobia
kepada masyarakat dunia.

Ironinya, walaupun terdapat banyak lagi gerakan yang mempelopori keganasan seperti
Liberation Tigers of Tamil Elam di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, Pemberontak
Ireland Utara, ‘Basque separatists’ di Sepanyol, Zionis Israel dan Ku Klux Clan di Amerika,
kumpulan-kumpulan ini tidak pula dianggap sebagai mewakili agama mereka dan tiada istilah
Kristianofobia atau Hindufobia atau Judaismofobia dikaitkan dengan mereka. Ini
membuktikan bahawa fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini bukanlah sangat
disebabkan oleh jenayah keganasan umat Islam sahaja tetapi ianya juga berkaitan dengan
faktor-faktor lain yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh umat Islam.

Seiring dengan perkembangan Islamofobia ini, penulis merasakan bahawa kefahaman dan
kesedaran yang secukupnya perlu diberikan kepada masyarakat umum mengenai isu ini.
Maklumat dan informasi yang betul berdasarkan fakta dan bukti-bukti sahih mengenai
Islamofobia akan dapat memberikan kefahaman yang sebaiknya dan seterusnya sedikit
sebanyak akan membetulkan salah tanggapan ramai terhadap Islam. Sehubungan dengan itu,
artikel ini akan secara khusus membicarakan tajuk Islamofobia dengan membincangkan isu-
isu berkaitan, konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor Islamofobia termasuk
menggariskan beberapa strategi yang boleh diusahakan dalam membetulkan persepsi
masyarakat terhadap Islam.

2.0 Memahami Konsep Islamofobia

Memahami konsep Islamofobia adalah perkara yang amat penting sebelum kita dapat
membicarakan dengan lebih lanjut aspek lain yang berkaitan dengannya. Bahagian dua artikel
ini akan membincangkan konsep Islamofobia secara umum dari sudut pentakrifan, bentuk dan
manifestasi. Penjelasan terhadap ketiga-tiga aspek ini akan dapat memberikan kefahaman
yang sewajarnya mengenai konsep Islamofobia secara umum.

2.1 Definisi

Sekiranya dirujuk dan diperhatikan di dalam media massa dan saluran yang lain, istilah lain
yang hampir sama dengan Islamofobia juga digunakan bagi merujuk kepada fenomena
kebimbangan atau fobia kepada Islam. Istilah seperti ‘Muslim radicalization’, ‘anti-Muslim
hate crime’, ‘anti-Islamic phenomena’, ‘xenophobia’ dan ‘religiously based hate crimes’ juga
sering kali digunakan. Namun, Islamofobia masih menjadi istilah yang lebih popular dan
ianya kini diterimapakai secara meluas di akhbar, majalah, media elektronik dan lain-lain
saluran.

Berdasarkan sorotan literatur, istilah Islamofobia ini telah mula digunakan di Perancis oleh
Etienne Dinet dan Slima Ben Ibrahim pada 1925 di dalam bukunya “Acces De Delire
Islamophobe”. Istilah Islamofobia ini walaubagaimanapun tidak popular dan ianya juga sama
sekali tidak menjadi isu pada waktu itu. Di Amerika, Islamofobia ini sebenarnya telah mula
digunakan pada 1991 melalui satu artikel di dalam majalah ‘Insight’, namun masyarakat tidak
ambil kisah dan tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap fenomena Islamofobia ini.
Akhirnya istilah Islamofobia ini semakin popular dan mencapai kemuncak penggunaannya
selepas 11 September 2001 diikuti dengan pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan
pengeboman di London pada 7 Julai 2005.

Secara umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan terhadap Islam
sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan apa sahaja yang berkaitan dengan
Islam. Menurut Pelapor Khas PBB, Islamofobia bermakna “suatu permusuhan dan ketakutan
tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau kebencian pada orang Islam atau
majoriti daripada mereka”. Pentakrifan yang hampir sama diberikan oleh Laporan
‘Commission on British Muslims and Islamofobia’ yang menyatakan bahawa ianya merujuk
kepada “dread or hatred of Islam and, therefore, to fear or dislike all or most Muslims”atau
“irrational fear of Islam or anti-Muslim racism and continuation of anti-Asian and anti-Arab
racism”. Melalui pentakrifan ini, dapatlah disimpulkan bahawa Islamofobia ini merujuk
kepada persepsi negatif terhadap Islam dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang
dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan terhadap Islam atau umat Islam.

Persepsi negatif yang terbina akibat fobia terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai
aspek dan ini merangkumi pandangan serong terhadap undang-undang, nilai-nilai dan budaya
yang dibawa oleh Islam. Persepsi negatif yang terbentuk ini disahkan dengan Laporan yang
dibuat oleh Runnymede di London bertajuk ‘Islamofobia: A Challenge for Us’ All yang
secara khusus menyatakan bahawa “Islam is perceived as a monolithic block, static and
unresponsive to change; it is viewed as separate and “other”; it does not have values in
common with other cultures, is not affected by them and does not influence them. Islam is
seen as inferior to the West; it is considered barbaric, irrational, primitive and sexist; Islam is
seen as violent, aggressive, threatening, and supportive of terrorism and engaged in a “clash
of civilizations.” Rumusan yang dibuat Runnymede ini mengesahkan bahawa Islam telah
disalahfahami secara serius oleh ramai pihak terutamanya masyarakat bukan Islam di barat.
Sehubungan dengan itu, persepsi yang salah ini perlu diperbetulkan segera bagi memastikan
Islam yang menjadi rahmat sekalian alam ini difahami atau tidak disalahtanggapi.
Sesungguhnya, tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh setiap individu Muslim termasuk
institusi-institusi, badan-badan dan pertubuhan Islam.

2.2 Bentuk Islamofobia

Akibat daripada persepsi negatif terhadap Islam, diikuti dengan rasa kebimbangan atau
ketakutan yang tidak berasas, Islamofobia ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk
diskriminasi dan ketidakadilan. Dalam hal ini, Islamofobia boleh dibahagikan kepada
beberapa bentuk. Penulis mengklasifikasi Islamofobia ini kepada beberapa kategori iaitu
‘institutional Islamophobia’ dan ‘non-Institutional Islamophobia’, ‘Islamophobia of the State’,
‘dominant Islamophobia’ dan ‘non-dominant Islamophobia’ dan ‘unconscious Islamophobia’.

‘Institutional Islamophobia’ merujuk kepada organisasi atau mana-mana pertubuhan yang


mendiskriminasi berdasarkan identiti agama. ‘Non-Institutional Islamophobia’ berlaku
apabila ianya melibatkan Islamofobia oleh individu. Islamofobia diperingkat institusi seperti
organisasi tertentu, syarikat dan badan korporat lebih memberikan implikasi berbanding
individu. Islamofobia di peringkat institusi ini kebiasaannya melibatkan diskriminasi sama
ada dalam bentuk penafian peluang pekerjaan, kenaikan pangkat, hak-hak beragama sewaktu
bekerja dan sebagainya.

‘Islamophobia of the State’ atau Islamofobia yang melibatkan polisi negara adalah sesuatu
yang perlu dibendung. Melalui Islamofobia ini, amalan sistematik yang mendiskriminasi
berdasarkan identiti agama boleh berlaku terutamanya di jabatan atau kementerian sesebuah
kerajaan. Akibatnya Muslim atau institusi dimiliki Muslim yang berhubung atau mempunyai
apa-apa perhubungan dengan kerajaan sebegini akan mengalami pelbagai masalah dan
memberikan pelbagai implikasi negatif.

“Dominant Islamophobia” merujuk kepada Islamofobia yang berlaku di negara majoriti bukan
Islam dan ’non-dominant Islamophobia” apabila ianya berlaku di negara majoriti Muslim.
Islamofobia yang berlaku di negara majority Muslim adalah berbeza dengan negara yang
penduduk Muslimnya adalah minoriti. “Dominant Islamophobia’ adalah lebih
membimbangkan kerana Muslim minoriti ini akan lebih berpotensi untuk didiskriminasi dan
dilayan dengan tidak adil.

“Unconscious Islamophobia” pula bermaksud Islamofobia yang berlaku secara tidak disedari.
Ini kerap berlaku dikalangan bukan Islam dan ianya boleh juga terjadi kepada Muslim itu
sendiri. Kenyataan yang menghina dan mempertikaikan undang-undang Islam dan hak-hak
asasi manusia dalam Islam oleh golongan tertentu misalnya boleh dianggap sebagai fenomena
Islamofobia yang tidak disedari.

Bentuk-bentuk Islamofobia di atas menunjukkan bahawa fenomena Islamofobia ini


memberikan kesan kepada persepsi masyarakat dan ianya boleh berlaku dalam bentuk
ekspresi individu dan juga institusi termasuk melalui dasar dan polisi sebuah Negara. Setelah
mengenalpasti bentuk Islamofobia ini, maka segala strategi untuk mengatasi perkara ini
hendaklah juga berdasarkan klasifikasi atau pembahagian ini. Ini bagi memastikan sebarang
usaha ke arah membetulkan persepsi masyarakat dalam isu Islamofobia ini dapat dilakukan
secara berkesan.

2.3 Manifestasi Islamofobia

Manifestasi Islamofobia merujuk kepada situasi di mana persepsi negatif atau kebimbangan
atau kebencian kepada Islam itu dizahirkan dalam bentuk ekspresi intelektual seperti
penulisan karya ilmiah atau perbuatan yang merangkumi keganasan, protes dan gerakan
Islamofobia itu sendiri. Penulis akan membincangkan kategori manifestasi Islamofobia ini
kepada lima bahagian iaitu:-

2.3.1 Media

Peranan media dalam membentuk pendapat umum sememangnya tidak dapat dinafikan.
Media yang pro-barat dan sentiasa mengambil peluang untuk memberikan imej yang buruk
kepada Islam sudah pasti akan terus menyebarkan berita-berita yang menggambarkan
kenegatifan Islam. Misalnya penerbitan filem ‘Fitna’ oleh ahli politik Belanda bernama Geert
Wilders yang kemudiannya disiarkan secara berleluasa menyebabkan masyarakat umum
mempunyai pandangan yang amat negatif terhadap Islam khususnya al-Quran. Ini diikuti
dengan liputan yang sangat berat sebelah mengenai kes pembunuhan Marwa al-Sherbini di
Dresden, Jerman pada 1 Julai 2009 yang bermotifkan benci dan salah faham terhadap Islam.
Media juga menghangatkan lagi isu kontroversi seperti pembinaan masjid di ’Ground Zero’,
’Tea Party Movement’ dan gerakan pengharaman Shari’ah yang menanamkan kebencian
terhadap muslim di Amerika.

2.3.2 Intelektual

Tren politik dan ideologi semasa kuat dipengaruhi oleh legitimasi intelektual dan saintifik
terhadap elemen perkauman, ’xenophobia’ dan sikap tidak bertoleransi. Tren ini jelas
kelihatan dalam sejumlah buku yang diterbitkan oleh beberapa penulis dengan tujuan untuk
memanfaatkan peluang dalam meningkatkan gejala Islamofobia dan mengubah imej Islam
kepada yang lebih negatif. Antara karya yang cuba untuk memberikan gambaran negatif
terhadap Islam dan seterusnya menyuburkan Islamofobia ialah ‘Legacy of Jihad’, ‘While
Europe Slept: How Radical Islam is Destroying the West from Within’ dan ‘Muslim Mafia:
Inside the Secret Underworld That’s Conspiring to Islamize America’. Bukan itu sahaja,
ucapan kontroversi Pope Benedict XVI yang menghina Nabi Muhammad dan
mempertikaikan al Quran merupakan salah satu manifestasi intelektual dalam konteks
Islamofobia.

2.3.3 Politik dan Perundangan

Persepsi kebencian dan kebimbangan terhadap Islam ini juga dizahirkan dalam politik dan
perundangan. Umpamanya di Switzerland, akibat dari kempen anti Islam yang dipelopori oleh
Daniel Streich, undang-undang telah dipinda bagi mengharamkan pembinaan menara-menara
masjid. Walaupun ianya melanggar hak asasi umat Islam di Switzerland, bahkan dikecam
oleh pelbagai kerajaan, badan bukan kerajaan, badan hak asasi, termasuk Pesuruhjaya Hak
Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ’Amnesty International’, pindaan
undang-undang ini tetap diteruskan atas faktor kuatnya kemahuan politik dalam isu ini. Ini
ditambah lagi dengan gerakan anti Islam yang diketuai oleh ahli politik Belanda bernama
Geert Wilders yang memusuhi Islam atas dasar populariti dan politik. Walaubagaimanapun,
Daneil Streich akhirnya telah memeluk Islam dan kini merupakan aktivis Muslim yang
terkehadapan di Switzerland.

2.3.4 Struktur

Manifestasi struktur merujuk kepada diskriminasi atas sebab Islamofobia dalam pelbagai
sektor seperti masalah dalam mendapat keperluan asas, peluang pekerjaan, tempat tinggal,
penjagaan kesihatan dan pendidikan. Banyak insiden yang berlaku menunjukkan situasi
Islamofobia berstruktur ini semakin meningkat. Sebagai contoh, kes BBC mengenai
perlantikan seorang Muslim yang dianggap ‘penghinaan’ bagi orang Kristian. Di Itali, wanita
muslim yang bekerja sebagai pencuci dianggap sebagai satu ‘ancaman keselamatan’. Lebih
berat lagi, di Jerman, ada doktor yang enggan merawat seorang remaja Muslim yang bernama
Jihad. Begitu juga di Kanada apabila pelajar muslimah di Kanada telah dibuang sekolah
hanya kerana tidak mahu menanggalkan tudung. Kes-kes ini membuktikan bahawa
Islamofobia ini telah memberikan kesan kepada kehidupan umat Islam dalam pelbagai bentuk
khsususnya di negara majoriti bukan Islam.

2.3.5 Manifestasi Protes dan Keganasan

Kebencian terhadap Islam juga diterjemahkan dalam bentuk protes dan lebih teruk lagi
keganasan atau jenayah. Penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad oleh Kurt
Westergaard di Denmark membuktikan Islamofobia yang dizahirkan melalui kartun. Peristiwa
membakar al-Quran sepanjang 9 bulan dari September 2010 hingga April 2011 di Amerika
termasuk kempen untuk membakar al-Quran oleh Pastor Terry Jones menunjukkan
manifestasi protes kesan daripada Islamofobia. Bahkan keganasan juga berlaku di mana ada
Muslim yang di tembak di Amerika setelah menunaikan solat Jumaat, di Nevada, polis
menahan Muslim yang menunaikan solat di tempat letak kereta dan peristiwa pembunuhan
kejam Marwa El Sharbini di dalam Mahkamah di Dresden, Jerman akibat daripada perasaan
benci yang tidak berasas kepada Islam.

3.0 Islamofobia: Antara Persepsi dan Realiti

Persepsi adalah suatu perkara yang dibentuk melalui fakta yang kadangkala sahih dan ada
yang tidak tepat. Sekiranya persepsi itu dibentuk melalui fakta yang tidak benar, sudah
pastilah persepsi itu akan menimbulkan kesan yang sangat negatif kepada sesuatu perkara.
Dalam erti kata lain persepsi tidak semestinya melambangkan realiti dan kerap kali realiti itu
tidak diendahkan atau diabaikan oleh kerana persepsi yang terbina melalui fantasi.

3.1 Antara Persepsi dan Realiti

Islamofobia pada hakikatnya terbina melalui pembentukan persepsi berdasarkan kepada fakta
yang tidak tepat atau kurang lengkap. Ditambah dengan propaganda dan gerakan
memburukkan imej Islam termasuk sikap dan tindakan segelintir Muslim juga telah
meningkatkan persepsi negatif terhadap Islam. Sekiranya dirujuk kepada kajian, laporan dan
maklumat mengenai keganasan dan jenayah, persepsi umum mengatakan bahawa Muslim
sinonim dengan ’terrorism’ adalah tidak tepat. Fakta membuktikan bahawa keganasan
dilakukan juga oleh penganut agama lain. Sebagai bukti, artikel ini merujuk kepada data
dimiliki Federal Bureau Investigation, United States mengenai serangan pengganas di
Amerika sepanjang 1980-2005.

Fakta oleh FBI ini mengesahkan bahawa serangan pengganas di Amerika didominasi oleh
golongan ’Latino’ atau pengganas daripada Amerika Selatan seperti Mexico, Colombia dan
lain-lain iaitu 42% diikuti oleh ’Extreme Left Wing Groups’ 24% dan lain-lain 16%. Bahkan
pengganas yahudi mewakili 7% yang menunjukkan golongan yahudi adalah lebih ramai
melakukan keganasan berbanding Muslim. Data ini secara jelas membuktikan bahawa
diskriminasi dan fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini hanyalah berdasarkan
persepsi dan bukan realiti. Bahkan Muslim hanya mewakili kelompok kecil pengganas dan
tidak signifikan berbanding dengan pengganas yang lain. Berdasarkan fakta ini juga
membuktikan bahawa persepsi mengatakan bahawa Islam mempromosi keganasan dan
sinonim dengan jenayah awam adalah tidak tepat serta sangat berlawanan dengan fakta dan
realiti.

3.2 Persepsi kepada Ekspresi

Walaupun hanya melalui persepsi, kebencian terhadap Islam ini telah diterjemahkan ke dalam
pelbagai bentuk dan memberikan implikasi yang tidak baik kepada umat Islam dan imej Islam
itu sendiri. Islamofobia mampu memberi implikasi yang amat signifikan kepada kehidupan
umat Islam dan keharmonian masyarakat umumnya dan ianya juga memberi kesan kepada
pembangunan sosio-ekonomi termasuk kesan mental dan fizikal individu.

3.2.1 Diskriminasi dan Perasaan Prejudis

Menurut kajian oleh ’The Pew Forum on Religion and Public Life’ mengenai Islamofobia di
Amerika, fenomena diskriminasi terhadap Muslim adalah tinggi. Didapati bahawa enam
daripada sepuluh iaitu (58%) bersetuju mengatakan bahawa diskriminasi terhadap Muslim
mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi. Ini disahkan oleh kajian yang dijalankan oleh
USA Today Gallup Poll dan mendapati bahawa rakyat Amerika mengakui mempunyai
prejudis kepada Muslim iaitu kira-kira empat daripada sepuluh (39%).

3.2.2 Kesan Kepada Sosio-ekonomi

Islamofobia juga memberikan kesan kepada pembangunan sosio-ekonomi. Diskriminasi


terhadap umat Islam dalam bidang pendidikan, tempat kerja, peluang pekerjaan, peluang
perniagaan dan sebagainya juga memberikan impak kepada kehidupan umat Islam
terutamanya di negara majoriti bukan Islam. Hak-hak asas kehidupan berpotensi untuk
diketepikan dan akibatnya ia mampu mengganggu pembangunan sosio ekonomi sesebuah
negara. Sebagai contoh, negara miskin seperti Somalia, Afghanistan dan lain-lain akan kurang
mendapat bantuan antarabangsa oleh kerana faktor Islamofobia.

3.2.3 Kesan Mental dan Fizikal

Islamofobia juga mampu memberi kesan kepada mental dan fizikal. USA Today Gallup Poll
melaporkan bahawa 22% daripada responden yang ditemubual mengakui bahawa mereka
tidak mahu berjiran dengan Muslim dan 18% berasa gementar jika ada wanita Muslim sama-
sama berada di dalam kapal terbang dan 31% jika penumpang adalah lelaki muslim. Ini
menunjukkan keadaan mental yang terganggu kepada mereka yang mempunyai persepsi
negatif dan ketakutan kepada Islam. Kesan penganiayaan individu dan kerosakan fizikal juga
berlaku akibat Islamofobia. Menurut ‘OIC Observatory Report’ insiden berkaitan mencemar
kesucian masjid meningkat sebanyak 100% dan penodaan terhadap perkuburan Islam
sebanyak 75%. Insiden keganasan dan gangguan terhadap Muslimah berpurdah dan burqah
juga meningkat sebanyak 500% dan sikap tidak bertoleransi terhadap simbol-simbol suci
Islam lebih dari 100%.

4.0 Faktor Islamofobia

Kajian dilakukan oleh Henk Dekker dan Jolanda van der Noll bertajuk ’Islamophobia and Its
Origins: A study Among Dutch Youth’ terhadap 580 remaja di Belanda pada 2006 telah
mengesahkan bahawa 54% daripada responden mempunyai pandangan negatif tentang Islam
dan Muslim. Antara rumusan penting kajian ini ialah kesimpulan yang dibuat mengenai
faktor-faktor Islamofobia. Kajian ini mengesahkan bahawa terdapat faktor luaran dan dalaman
yang membina persepsi negatif bukan Islam dan seterusnya meningkatkan rasa kebimbangan
atau kebencian mereka terhadap Islam atau umat Islam.

4.1 Faktor Luaran

4.1.1 Penghijrahan

Penghijrahan orang Islam ke negara majoriti bukan Islam merupakan antara faktor terjadinya
Islamofobia. Faktor kemunduran ekonomi dan masalah kesempitan hidup menyebabkan ramai
umat Islam berhijrah ke negara maju. Situasi ini menyebabkan persaingan peluang pekerjaan
kepada rakyat negara itu dan juga menggugat taraf ekonomi mereka. Terdapat juga segelintir
umat Islam yang berhijrah ini melakukan pelbagai jenayah dan tidak menghormati budaya
negara itu. Ini adalah antara faktor menyebabkan masyarakat negara itu memandang serong
kepada orang Islam dan melihat imej Islam sebagai sesuatu yang negatif.

4.1.2 Kurang Ilmu Pengetahuan dan Pendedahan

Kejahilan dan kurang pengetahuan orang bukan Islam juga dilihat antara punca Islamofobia.
Sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai aspek khusus untuk mendedahkan masyarakat
dengan sebarang ajaran Islam. Dengan kurangnya ilmu pengetahuan dan tiadanya pendedahan
terhadap ajaran Islam di peringkat rendah dan tinggi, Islam akhirnya dilihat sebagai sesuatu
yang menggugat gaya hidup dan ganas termasuk mempromosi ketidakadilan terutamanya
apabia ianya melibatkan hak-hak wanita.

4.1.3 Prejudis dan Kesan Serangan Menara Pusat Perdagangan New York
Serangan menara Pusat Perdagangan Dunia pada 11 September 2001 merupakan pencetus dan
kemuncak kepada Islamofobia. Mulai dari tarikh ini, Islam telah dijenamakan dengan
keganasan dan masyarakat dunia sudah mempunyai persepsi umum bahawa Islam dan
keganasan adalah sinonim. Kesan daripada peristiwa ini masyarakat dunia mula berprejudis
kepada umat Islam. Ini ditambah lagi dengan siri pengeboman yang berlaku di seluruh dunia
seperti di Madrid, di London dan malangnya jenayah ini sering kali dikaitkan dengan Islam.
Sebagai contoh, peristiwa pengeboman di Oslo pada 22 Julai 2011 yang mengorbankan lapan
nyawa dan beberapa jam selepas itu pembunuhan beramai-ramai 69 remaja di Utoya Island,
Norway. Sejurus selepas pengeboman dan pembunuhan ini, akhbar-akhbar utama dunia
seperti Washington Post, New York Times dan lain-lain telah mengesyaki bahawa penjenayah
terbabit adalah Muslim sedangkan beliau ialah penganut Kristian Konservatif yang bernama
Aders Breivik. Peristiwa ini menunjukkan betapa prejudisnya masyarakat barat terhadap
Islam sehinggakan sebarang keganasan akan dikaitkan dengan Islam atau umat Islam.

4.1.4 Pengaruh Media dan Gerakan Islamofobia

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang sangat kuat
membentuk persepsi masyarakat. Media yang dikuasai oleh pihak yang prejudis kepada Islam
sudah pasti akan menggunakan saluran ini untuk menanamkan perasaan kebimbangan dan
kebencian kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan gerakan Islamofobia yang mendapat
pembiayaan yang lumayan oleh pihak-pihak tertentu. ’The Center for American Progress’
melaporkan terdapat tujuh yayasan yang telah membayar sebanyak USD42 juta untuk
menanamkan ketakutan dan kebimbangan serta kebencian kepada Muslim di Amerika. Di
antara badan yang membiayai gerakan Islamofobia ini ialah ‘Donors Capital Fund’, ‘Richard
Mellon Scaife Foundations’, ‘Lynde and Harry Bradley Foundation’, ‘Newton D. dan
Rochelle F. Becker Foundations’ and ‘Charitable Trust’, ’Russell Berrie Foundation’,
’Anchorage Charitable Fund’, ’William Rosenwald Family Fund’ and ’Fairbrook
Foundation’. Dilaporkan juga bahawa Salman Rushdie telah dibayar sejumlah 850 ribu pound
sterling untuk menghasilkan buku ‘Satanic Verses’ yang diterbitkan oleh penerbitan Viking.

4.2 Faktor Dalaman

Berbanding faktor luaran, faktor dalaman merujuk kepada Islamofobia yang berpunca
daripada sikap, amalan, budaya, perlakuan umat Islam itu sendiri. Kelemahan dan kesilapan
serta keganasan yang dilakukan segelintir umat Islam juga telah menyebabkan persepsi
masyarakat yang serong terhadap Islam.

4.2.1 Kelemahan Penyebaran Maklumat

Di antara punca berlakunya Islamofobia ialah kelemahan dan kurang penyebaran maklumat
mengenai Islam. Media-media kebanyakannya dimiliki oleh bukan Islam dan sering kali
Islam ini diberikan liputan yang negatif. Didapati juga media tidak mempunyai maklumat
yang tepat mengenai keganasan oleh gerakan agama yang lain bahkan tiada data yang lengkap
negara Islam yang menjadi mangsa keganasan akibat daripada Islamofobia. Media yang
dimiliki institusi Islam pula pada hakikatnya adalah kurang efisyen dan kurang berjaya
menampilkan program-program yang mampu memperbetulkan persepsi negatif masyarakat
terhadap Islam.

4.2.2 Isu Siapa Mewakili Islam?


Esposito dan MOgahed di dalam bukunya ’Who Speaks for Islam?: What a Billion Muslims
Think’ menimbulkan beberapa persoalan mengenai siapa sebenarnya mewakili Islam. Ada di
kalangan masyarakat melihat bahawa Osama bin Laden, Ayman Al Zawahiri, Muammar
Gaddafi, Husni Mubarak, Saddam Hussein dan lain-lain mewakili umat Islam dan ini telah
memberikan gambaran negatif terhadap Islam. Dalam isu ini, umat Islam perlu memastikan
masyarakat dunia mengetahui bahawa mereka-mereka ini sama sekali tidak mewakili Islam
bahkan telah menyeleweng dengan ajaran Islam yang sebenarnya.

4.2.3 Kebangkitan Negara Islam

Kebangkitan kuasa politik Islam termasuk kemajuan teknologi seperti Iran dan Turki juga
telah menimbulkan kebimbangan pihak tertentu terhadap pengaruh Islam. Kebangkitan ini
juga berlaku pada kekuatan ekonomi negara-negara Islam seperti negara pengeluar minyak
yang mula melabur dan membeli aset strategik di negara-negara lain. Fenomena ini
menimbulkan keraguan dan kebimbangan ramai terhadap Islam. Umpamanya Iran sering kali
dilihat sebagai ancaman kepada kestabilan di Timur Tengah sedangkan pada hakikatnya Israel
yang tidak menghormati undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia lah punca
sebenar dan utama ketidakstabilan di rantau Timur Tengah.

5.0 Islamofobia di Malaysia

Walaupun Malaysia merupakan negara Islam yang majoriti penduduknya adalah Islam,
Islamofobia juga berlaku dikalangan masyarakat. Ini membuktikan Islamofobia ini boleh
subur di mana-mana selagi mana ianya tidak diatasi dan dibendung dengan program yang
berkesan.

5.1 Manifestasi Islamofobia di Malaysia

Manifestasi Islamofobia di Malaysia berlaku dalam pelbagai bentuk. Umpamanya, parti DAP
dalam keadaan bekerjasama dengan parti PAS masih tetap tidak bersetuju dengan
perlaksanaan hukum hudud. Ini ditambah dengan kenyataan keras Dato’ Seri Chua Soi Lek
yang terang-terangan telah menghina undang-undang Islam. Dilaporkan juga terdapat
segelintir pihak termasuk pimpinan agama lain yang menghina Islam seperti anggapan
undang-undang Islam terlampau bodoh dan kuno dan sebagainya. Beberapa akhbar harian
juga ada yang menerbitkan gambar yang sensitif kepada umat Islam seperti masakan babi
dalam ‘Ramadhan Delights’ di akhbar ’the Star’. Didapati juga kes-kes melibatkan
penghinaan terhadap Islam lebih-lebih lagi melalui laman sosial seperti ’Facebook’ dan
’Twitter’ yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Manifestasi Islamofobia di Malaysia ini
ada juga dizahirkan dalam bentuk yang lain iaitu dengan menafikan hak berpakaian muslim
dalam pertandingan renang di sebuah kompleks sukan di Selangor. Kes yang melibatkan
kakitangan sebuah hotel terkemuka yang ditamatkan perkhidmatan kerana memakai tudung
juga antara insiden yang boleh diklasifikasikan sebagai Islamofobia.

5.2 Faktor Islamofobia di Malaysia

5.2.1 Media

Peranan media di Malaysia sudah pasti menjadi salah satu punca berkembangnya fenomena
Islamofobia. Gambaran negatif dan salah terhadap Islam seperti liputan larangan memasuki
masjid oleh bukan Islam, bantahan bukan Islam membaca ayat al-Quran di dalam perucapan
umum, kes memijak kepala lembu dan lain-lain telah menyuburkan lagi Islamofobia di
Malaysia. Media juga kerap memaparkan insiden-insiden keganasan yang dilakukan orang
Islam tanpa mengimbangkannya dengan jenayah bukan Islam. Media secara umumnya masih
tidak dapat memainkan peranannya untuk membetulkan persepsi Islamofobia ini. Bahkan
kerap kali media ini menayangkan program-program termasuk filem dan drama yang
menimbulkan kekeliruan terhadap Islam.

5.2.2 Kurang Keberkesanan Institusi Agama

Umum sudah sedia maklum bahawa Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan syiar
Islam memandangkan banyaknya institusi agama yang ada untuk menjalankan dakwah ini.
Bukan itu sahaja, institusi agama di negeri-negeri dan kerajaan persekutuan juga mempunyai
kuasa dan bajet yang amat besar untuk dakwah Islam. Berdasarkan fakta ini sudah pastinya
sepatutnya fenomena Islamofobia tidak akan berkembang dan mendapat tempat di negara ini
sekiranya institusi Islam ini telah memainkan peranannya secara efisyen.

Namun demikian, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Dalam keadaan ruang lingkup undang-
undang dan peruntukan yang tinggi untuk Islam, fenomena Islamofobia ini masih berleluasa
dan malahan semakin menyubur di negara ini. Kenyataan menghina undang-undang Islam,
mempersoalkan institusi fatwa, memperleceh amalan ibadah umat Islam dan sebagainya
membuktikan bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara ada pada institusi Islam ini. Oleh
itu, institusi Islam ini perlu melakukan transformasi segera demi memastikan peranan dan
tanggungjawab terhadap Islam dapat dilaksanakan dengan berhikmah dan berkesan.

5.2.3 Kemahuan Politik

Oleh kerana Malaysia ini majoriti penduduknya beragama Islam, maka perhatian kurang
diberikan bagi menangani Islamofobia. Ini ditambah pula dengan kurangnya kemahuan politik
dan komitmen di mana ianya menafikan keperluan menangani isu Islamofobia. Sekiranya
kemahuan politik itu ada dan mempunyai momentum yang kuat, sudah pasti pelbagai program
ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam dalam konteks Islamofobia ini akan
diadakan di seluruh negara. Sebagai contoh, dialog dan diskusi ilmiah menangani isu
Islamofobia termasuk aspek toleransi agama adalah sangat kurang di Malaysia. Sekiranya ada,
forum dan dialog ini hanya dipelopori golongan tertentu dan tidak sampai ke akar umbi.
Memandangkan Islamofobia ini tidak menjadi isu utama kebanyakan ahli politik dan tiada
inisiatif untuk mengatasinya, fenomena Islamofobia ini dijangka akan terus berkembang dan
seterusnya mampu memberikan kesan yang agak signifikan kepada umat Islam.

5.2.4 Salah Faham Syariah

Secara umumnya, masyarakat di Malaysia masih tidak mempunyai kefahaman yang baik
tentang Islam. Ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam bahkan terjadi pada
Muslim juga. Aspek yang sering disalahfaham tentang Islam ialah berkenaan dengan undang-
undang hudud, pewarisan dan hak-hak wanita. Salah anggapan terhadap beberapa prinsip
Shariah seperti faraid atau pewarisan menyebabkan ramai yang bimbang dan cuba
mempertikai ajaran Islam. Perkara ini juga boleh membina persepsi negatif orang bukan Islam
terhadap kepercayaan dan amalan fiqh yang terima dan diamalkan oleh umat Islam. Di
samping itu, isu kedudukan wanita dalam Islam yang dilihat oleh orang bukan Islam sebagai
menindas juga menjadi faktor Islamofobia di Malaysia.
5.2.5 Pengaruh Golongan Fundamentalis

Peristiwa jenayah al Maunah di Bukit Pelandok yang dilakukan oleh golongan


berlatarbelakangkan agama merupakan salah satu punca terbinanya persepsi negatif terhadap
Islam di Malaysia khususnya mengaitkan Islam dengan keganasan. Kemunculan golongan
fundamentalist yang militan bahkan mendokong satu matlamat iaitu menghapuskan orang
bukan Islam seperti Kumpulan Mujahidin Malaysia telah menyuburkan lagi fenomena
Islamofobia. Melalui peristiwa dan perkembangan pengaruh golongan fundamentalis ini,
Islam dilihat sebagai sesuatu yang sangat sinonim dengan keganasan dan menjadi punca
ketidaktenteraman awam.

6.0 Inisiatif Membasmi Islamofobia

Seiring dengan perkembangan Islamofobia yang semakin meningkat di serata dunia, telah
terdapat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari segenap peringkat ke arah menangani isu
ini. Program dan aktiviti yang dirancang dan diimplementasi ini merangkumi inisiatif yang
dijalankan oleh masyarakat sivil, institusi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pertubuhan
Negara Islam dan Malaysia sendiri.

6.1 Masyarakat Sivil

Gerakan menangani Islamofobia ini telah giat dijalankan di seluruh dunia. Pelbagai aktiviti,
kempen, forum, dialog dan penerbitan risalah ilmiah telah dilaksanakan secara sistematik dan
berterusan. Terdapat beberapa organisasi dan institusi yang aktif menjalankan usaha ini
antaranya Forum Against Islamophobia and Racism, the National Association of Muslim
Police, Islamic Human Rights Commission di UK, the Council on American-Islamic
Relations di Amerika, European Muslim Initiative for Social Cohesion di Denmark dan
Perancis, Jewish-Muslim Cooperation Platform di Belgium, Austrian Muslim Initiative di
Austria, Collectif Contre l’Islamophobie en France di Perancis, Ethnic Debate Forum and Fair
Play di Denmark, , Western Thrace Minority University Graduates Association di Greece,
Muslim Community of Bulgaria, Muslim Committee on Human Rights di Kazakhstan dan
Federation of Western Thrace Turks in Europe di Jerman. Gerakan menangani dan memantau
Islamofobia ini giat menjalankan aktiviti dan advokasi di seluruh dunia.

6.2 Peringkat Institusi

Terdapat juga di beberapa Negara yang memberikan reaksi positif terhadap fenomena
Islamofobia. Ada beberapa Negara yang telah mengambil inisiatif dalam bentuk undang-
undang dan polisi yang menyabitkan kesalahan berkaitan diskriminasi akibat Islamofobia.
Umpamanya Ireland telah meluluskan undang-undang di mana sesiapa yang mengkritik
mana-mana agama dikenakan hukuman denda sehingga 25,000 Euro. Senat Negara Republic
Czech dan Britain telah mengharamkan kemunculan ahli politik Belanda iaitu Geert Wilders
yang menjadi dalang dan pelopor Islamofobia. Mahkamah di Denmark telah mengenakan
bayaran kepada seorang lelaki yang menggantung poster anti Islam. Hukuman juga dijatuhkan
oleh pihak mahkamah di Belanda kerana menghina umat Islam. Mahkamah di Perancis juga
telah mengharamkan risalah-risalah anti Islam dan apa-apa yang bertujuan menghasut
masyarakat membenci Islam.

6.3 Pertubuhan Negara Islam


Setelah melihat kepada seriusnya kesan Islamofobia kepada umat Islam dan Negara Islam,
Pertubuhan Negara-Negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan badan khas untuk
memantau dan menangani isu ini. Semua negara-negara Islam telah bersetuju untuk
menubuhkan “OIC Islamofobia Observatory’ secara rasmi pada 2007. Melalui penubuhan
OIC Islamophobia Observatory’ sebanyak 4 laporan yang komprehensif telah dikeluarkan
iaitu ‘the First Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2007 to May
2008’, ‘the Second Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory June 2008 to
April 2009’, ‘the Third Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2009 to
April 2010’ dan ‘the Fourth Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory June
2008 to April 2009 May 2010 to April 2011’. Kesemua laporan ini telah menyediakan fakta
dan maklumat yang terperinci mengenai kes-kes Islamofobia yang berlaku di seluruh dunia.
Laporan ini juga memaparkan segala aktiviti dan program yang telah dilaksanakan bagi
menangani Islamofobia.

6.4 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam isu diskriminasi atas faktor agama telah
pun dimulakan sejak 2001 iaitu semasa ‘Durban World Conference on Racism, Racial
Discrimination, Xenophobia, and Related Intolerance’. Atas faktor lobi Pertubuhan Negara-
Negara Islam melalui ‘OIC Islamophobia Observatory’, ‘United Nation Human Rights
Council’ akhirnya telah membuat resolusi menyokong usaha-usaha menangani isu
Islamofobia ini. Sebagai contoh, ‘the Ministerial meeting at the 62nd Session of the UN
General Assembly on October 4-5, 2007’ di New York yang membincangkan topik ‘the High-
Level Dialogue on Inter-religious and Intercultural Understanding and Cooperation for Peace’
telah mengeluarkan resolusi iaitu ‘the UN Resolution on Combating Defamation of Religions:
Human Rights Council Resolution 7/19. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah
melantik ‘Special Rapporteur on contemporary forms of racism, racial discrimination,
xenophobia and related intolerance’ yang bertanggungjawab secara khusus menangani isu
diskriminasi etnik termasuk Islamofobia.

6.5 Malaysia

Seiring dengan inisiatif di peringkat antarabangsa, Malaysia juga mengorak langkah untuk
terlibat sama dalam usaha memerangi Islamofobia. Malaysia telah menyokong Deklarasi dari
Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Bagi Negara Anggota
OIC Yang Menentang Islamofobia di Ibu Pejabat PBB, New York pada 24 September 2010.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga telah melancarkan “Global Movement of the
Moderates”. Di peringkat masyarakat sivil pula, badan bukan kerajaan telah awal-awal lagi
menubuhkan ‘Allied Coordinating Committee of Islamic NGO’s’ (ACCIN) iaitu gabungan
badan bukan kerajaan Islam untuk bersama-sama menjadi pemantau Islamofobia di Malaysia.
Pada waktu ini, Malaysia sedang dalam perancangan di bawah inisiatif Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk menubuhkan badan atau
gerakan menangani dan memantau isu Islamofobia. Gerakan ini akan dinamakan sebagai
“Malaysia Islamofobia Observatory” untuk diselaraskan dengan “OIC Islamofobia
Observatory” dan seterusnya “United Nation Islamofobia Observatory”.

7.0 Strategi Bersepadu Mengatasi Islamofobia

Walaupun telah wujud inisiatif untuk mengatasi Islamofobia di peringkat tempatan dan
antarabangsa, bahagian ini mengesyorkan beberapa cadangan bagi melengkapkan usaha-usaha
sedia ada. Institusi Islam, individu dan pihak yang bertanggungjawab dalam dakwah Islam
perlu menggembleng tenaga secara intensif bagi menggerakkan pelbagai aktiviti dan program
tangani Islamofobia. Pendekatan yang perlu dilaksanakan juga perlulah bermodelkan ‘konsep
wasatiyah’ atau kesederhanaan dan berbentuk pendidikan dan dakwah. Konsep Wasatiyah dan
Pendekatan Dakwah dan Pendidikan ini akan dapat mewujudkan persepsi dan kefahaman
masyarakat muumuu dan dunia terhadap Islam. Pendekatan radikal, agresif dan berbentuk
kekerasan bukan sahaja menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap Islam, malahan hanya
menjadi pencetus kepada persepsi buruk dan benci terhadap Islam dan orang Islam itu sendiri.

7.1 Media

Antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah fungsi media dalam membentuk
persepsi dan pemikiran masyarakat. Media harus lebih bertanggungjawab dalam memastikan
program yang disiarkan termasuk berita yang dipaparkan tidak menggambarkan perkara yang
salah tentang Islam. Media sepatutnya menerbitkan program dan rancangan termasuk
dokumentari mengenai realiti Islamofobia berdasarkan fakta yang sahih.

7.2 Membina Kefahaman

Merangka strategi dan program pendidikan yang komprehensif adalah amat perlu dalam
proses membina kefahaman tentang Islam kepada bukan Islam dan Muslim. Dalam aspek ini,
kesedaran mengenai Islamofobia perlu diserapkan dalam silibus di sekolah. Islam perlu
disebar dan diajar di sekolah dengan kaedah yang lebih segar dan seterusnya menonjolkan
ajaran Islam itu sendiri yang adil dan sesuai di semua zaman. Dalam masa yang sama,
program secara berterusan memberi kesedaran dan kefahaman mengenai Islamofobia perlu
juga dijalankan di peringkat masjid, daerah, negeri dan kebangsaan. Umpamanya di dalam kes
di Johor yang melibatkan sekumpulan pengikut Budha yang menjalankan upacara keagamaan
di surah sebuah hotel, badan bukan kerajaan ABIM telah mengambil langkah pro-aktif
membuat pertemuan dengan pemimpin tertinggi agama Budha Malaysia dan mendapatkan
penjelasan terhadap insiden tersebut yang akhirnya dapat diselesaikan dengan suasana
harmoni.

7.3 Latihan, Forum dan Dialog

Latihan perlu diberikan kepada mereka yang terlibat dalam menangani isu Islamofobia ini.
Melalui latihan yang sesuai mereka ini mampu berperanan sebagai agen untuk menyebarkan
risalah Islam. Di samping itu, penganjuran forum, dialog, bengkel toleransi agama dan
hubungan antara agama juga perlu dipergiatkan. Kempen kesedaran dan program kepada
kakitangan kerajaan dan swasta serta masyarakat juga perlu dilaksanakan secara berterusan.
Sebagai contoh, ABIM bergiat aktif dalam program berbentuk kerjasama dengan badan bukan
Kerajaan yang mewakili agama Kristian, Budha, Hindu dan lain-lain melalu kegiatan budaya
dan aktiviti kemasyarakatan.

7.4 Penyelidikan

Umat Islam sudah sekian lama mengalami masalah kemandulan intelektual. Terlalu sedikit
penyelidikan bermutu yang telah dikeluarkan oleh negara Islam di dunia. Sehubungan dengan
itu, umat Islam melalui institusi sedia ada perlu meningkatkan penyelidikan yang berkualiti
mengenai Islamofobia. Penyelidikan ini kemudiannya perlu diterbitkan dan disebarkan ke
seluruh pelusuk dunia. Kajian ini merangkumi laporan Islamofobia, insiden Islamofobia,
statistik Islamofobia dan sebagainya. Institusi Islam ini juga dinasihatkan untuk merekodkan,
memantau dan membina sistem maklumat mengenai insiden Islamofobia dan ianya boleh
dibaca oleh semua pihak.

7.5 Meningkatkan Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa, Badan Bukan Kerajaan dan
Pertubuhan Antarabangsa

Polis dan pihak berkuasa agama perlu berkerjasama menanamkan kesedaran masyarakat
mengenai Islamofobia. Ini memandangkan institusi ini menyimpan rekod, statistik insiden
Islamofobia dan maklumat yang lain. Di peringkat yang lain badan bukan kerajaan juga perlu
bekerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi agama. Usaha ini tidak akan lengkap
sekiranya tiadanya jaringan kerjasama mantap dengan pertubuhan diperingkat serantau dan
antarabangsa. Membina jaringan dan kerjasama dengan institusi luar negara adalah perkara
yang sangat perlu dilaksanakam terutamanya untuk memastikan keterlibatan dengan gerakan
membasmi Islamofobia diperingkat antarabangsa.

8.0 Kesimpulan

Islamofobia bukanlah fenomena baru di alaf ini. Islamofobia telah lama berlaku sejak zaman
awal perkembangan Islam di mana pada waktu itu Islam dipandang sebagai sesuatu ajaran
yang asing bagi penduduk Mekah. Fakta ini disokong oleh sepotong hadis Rasullulah
Sallallahualaihiwasallam diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang) asing
seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu”. (Sahih Muslim, Hadis 145,
Bab Iman)

Hadis ini secara jelas membuktikan bahawa Islam juga akan digambarkan dengan pelbagai
perkara yang negatif sepertimana ianya terjadi ketika awal dakwah Rasulullah. Persepsi
melihat Islam sebagai ajaran yang asing dan tidak sesuai dengan budaya, hak asasi manusia
dan nilai-nilai murni adalah perkara yang telah dijangkakan oleh Rasulullah. Hadis ini
memberikan tanggungjawab kepada umat Islam untuk berusaha memperbetulkan persepsi ini
dan seterusnya meletakkan Islam itu di tempat yang sepatutnya serta difahami oleh
masyarakat.

Berdasarkan kepada manifestasi dan implikasi Islamofobia kepada kehidupan, mental, fizikal
dan sosio ekonomi umat Islam, usaha-usaha ke arah menangani isu ini perlu digembleng
secara berhikmah dan berterusan. Inisiatif bersepadu melalui kerjasama di setiap peringkat
menerusi jaringan kerja yang mantap akan dapat memastikan usaha mengatasi Islamofobia
dapat dicapai. Segala gerakan, usaha, inisiatif dan program ini merupakan salah satu cabang
jihad demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Bagi memastikan setiap usaha dakwah ini
mencapai matlamatnya, istiqamah, iltizam dan itqan merupakan konsep yang sewajarnya
dijadikan teras utama.

Bibliografi

Allen, C. (2007). Islamophobia. London: Ashgate.


Allen, C. (2001). Islamophobia in the Media Since September 11th. Working Paper for a
Conference on Exploring Islamophobia, Deepening Our Understanding of Islam and
Muslims. 29th May 2009, University of Westminster, London.

Allen, C. (2001). An Overview of Key Islamophobia Research. London: National Association


of Muslim Police.

Bunzl, Matti (2007) Anti-semitism and Islamophobia: Hatreds Old and New in Europe.
Chicago: Prickly Paradigm Press.

Doudou Denien. (2006). International Service for Human Right’s summaries of documents
for the UN Commission on Human Rights in the 62nd Session and Human Rights Council
2nd Session on Contemporary Forms of Racism, Racial Ddiscrimination, Xenophobiaand
Related Intolerance. Geneva: UNHCR.

Edvaarson, L. (2008). Islamophobia, Features of Islamophobia and Strategies Against It.


Malmo: Malmo University.

Esposito, L, John. (1999) The Islamic Threat – Myth or Reality? New York: Oxford
University Press.

Esposito, L. John. and Mogahed, Dalia. (2001). Who Speaks for Islam? What a Billion
Muslims Think. New York: Gallup Press.

Esposito, L. John and Ibrahim Kalin. (2010). Islamophobia:The Challenge of Pluralism in the
21st Century. Oxford: Oxford University Press.

Faliq, A. (Ed.). (2010). Islamophobia and Anti-Muslim Hatred: Causes and Remedies. The
Arches, 4 (7).

Henk Dekker and Jolanda van der Noll. (2009). Islamophobia and Its Origins A Study Among
Dutch Youth. Leiden: Leiden University.

Ingrid Ramberg. (2004). Islamophobia and Its Consequences on Young People, Seminar
Report. Hungary: Council of Europe.

Instead. (2004). Commission on British Muslims and Islamophobia. London: Instead.

Lambert, R. and Jonathan, Githens-mazer. (2010). Islamophobia and Anti-Muslim Hate


Crime: UK Case Studies. Exeter: Exeter University Press.

Liz Fikete. (2008). Integration, Islamophobia and Civil Rights in Europe. London: Institute of
Race Relation.

The Pew Forum on Religion and Public Life (2009). Views of Religious Similarities and
Differences: Muslims Widely Seen as Facing Discrimination.

The First Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2007 to May 2008.
The Second Annual Report on Islamophfobia by the OIC Observatory June 2008 to April
2009.

Anda mungkin juga menyukai