Anda di halaman 1dari 6

CIRI-CIRI KEISTIMEWAAN HARTA WAKAF

Harta wakaf merupakan pemangkin pembangunan ekonomi umat Islam kerana ia mempunyai
beberapa ciri istimewa seperti berikut:

1. Keunikan wakaf pada konsep pemisahan diantara hak pemilikan dan faedah
penggunaannya. (Chik, 2007) Kuasa pemilikan harta akan terhapus daripada harta tersebut
apabila berlakunya pewakafan harta. Wakaf secara umumnya adalah satu kontrak
berkekalan dan harta yang diwakafkan itu tidak boleh lagi dimiliki oleh pewakaf dengan
apa jua sekalipun, kecuali sebagai pengurus harta wakaf. Secara majazinya pula harta
wakaf adalah menjadi milik Allah SWT.

2. Wakaf adalah sedekah berterusan iaitu bukan sahaja membolehkan pewakaf mendapat
pahala berterusan, tetapi penerima mendapat faedah berterusan. (Chik, 2007) Hal ini dapat
memudahkan pihak yang bergantung wakaf untuk mengatur perancangan kewangan
institusinya dengan lebih efektif untuk jangka masa yang lama. Sehubungan dengan itu
pihak pewakaf tidak perlu bimbang atas kemungkinan untuk berlakunya sabotaj seperti
pengubahan status wakaf tanahnya oleh pemerintah kerana kaedah fiqh menyatakan:
“Syarat pewakaf adalah seperti nas Syara’.”

3. Penggunaan harta wakaf adalah untuk kebajikan dan perkara-perkara yang diharuskan oleh
Syara’. (Chik, 2007) Oleh hal yang demikian, umat Islam tidak diwajibkan untuk
menentukan golongan yang mendapat manfaat daripada wakaf dan sudah memadai dengan
menyebutkan: “Saya wakafkan harta ini kerana Allah.” Ciri ini membolehkan
pengembangan harta wakaf kepada pelbagai bentuk moden selagimana ia menepati objektif
wakaf.

https://ilmuone.wordpress.com/2007/02/22/wakaf-dan-peranannya-dalam-pembangunan-
ummah/
RUKUN WAKAF DAN SYARATNYA

Dalam pelaksanaan wakaf terdapat empat elemen untuk menjadikan wakaf itu sah dan
terlaksana iaitu pewakaf, penerima wakaf, harta yang diwakafkan dan lafaz wakaf. Bagi setiap
rukun ini terdapat syarat-syarat penting yang perlu dipatuhi untuk menjadikan sesuatu wakaf
itu sah dan diterima.

a) Lafaz Akad Wakaf


Lafaz yang digunakan dalam perwakafan (sighah) mestilah akad kata-kata yang boleh difahami
atau tulisan untuk sesuatu tujuan wakaf sama ada wakaf am atau wakaf khas. Akad adalah
wajib bagi mengesahkan wakaf. Lafaz akad terbahagi kepada dua bahagian:

i. Lafaz Sorih; lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti; “Saya
mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir.”

ii. Lafaz Kinayah; lafaz yang membawa banyak maksud seperti; “Hartaku adalah sedekah
kepada fakir miskin.”

b) Pewakaf
Bagi pewakaf (waqif) adalah disyaratkan pewakaf mestilah seorang yang merdeka, baligh,
berakal serta berkelayakan untuk bersedekah harta miliknya. Pewakaf juga sukarela dan reda
mewakafkan harta miliknya tanpa sebarang paksaan.

c) Penerima Wakaf
Benefisiari/Penerima Wakaf (Mawquf 'Alayh/Alayhim) boleh ditentukan oleh pewakaf sama
ada menentukan penerima wakaf yang khusus misalnya seseorang atau lebih daripada seorang.
Sekiranya pewakaf mahukan penerima wakaf adalah masyarakat umum, maka pewakaf tidak
perlu menetapkan penerima khusus, contohnya mewakafkan kepada golongan tertentu seperti
golongan fakir atau umat Islam.

d) Harta yang diwakafkan


Harta yang diwakafkan (mawquf) mestilah berbentuk objek yang tertentu seperti mewakafkan
sebuah rumah. Adalah disyaratkan juga harta yang hendak diwakafkan hendaklah milik
pewakaf serta memberi faedah dan manfaat dan boleh dipindah milik. Untuk menjadikan wakaf
sebagai sedekah jariah yang memberi pahala yang berpanjangan kepada pewakaf, ulama
mensyaratkan harta yang hendak diwakafkan boleh digunakan selama-lamanya. Seterusnya
penggunaan harta wakaf mestilah diharuskan oleh syarak dan tidak digunakan untuk maksiat.

Terdapat dua kategori harta yang boleh diwakafkan, iaitu harta tak alih (`aqar atau immovables)
dan harta alih (manqul atau movables). Harta tak alih biasanya banyak diwakafkan malah pada
amalan tradisi di zaman Rasulullah dan sahabat, banyak harta tak alih yang diwakafkan. Ulama
seperti Ibn Qudamah, Ibn ‘Abidin dan al-Ramli pernah mengungkapkan bahawa; “Semasa
Rasulullah SAW, tidak ada wakaf yang dilakukan melainkan dalam bentuk tanah dan rumah.”
Oleh itu, mereka bersetuju bahawa wakaf sah dibuat daripada harta-harta tak alih kerana ia
bersifat kekal dan ini menepati kriteria terpenting sesuatu perwakafan, iaitu wujudnya elemen
kekal pada aset dan manfaat harta yang diwakafkan.

Pandangan ini diasaskan kepada pendapat yang dikemukakan oleh fuqaha seperti Muhammad
‘Abdullah al-Ansari, salah seorang daripada sahabat Zufar. Menurut beliau, wang boleh
diwakafkan dengan melaburkannya ke dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pelaburan.
Hasilnya akan disedekahkan (atau diwakafkan). Begitu juga barang-barang makanan yang
boleh disukat dan ditimbang, boleh diwakafkan di mana ianya akan dijual dan wang yang
diperoleh daripada jualan itu akan dilaburkan dan hasilnya juga boleh diwakafkan kepada
tujuan-tujuan kebajikan.

(The University of Malaya Library)

http://studentsrepo.um.edu.my/5023/14/BAB_2_KONSEP_WAKAF.pdf

JENIS-JENIS WAKAF
Secara umumnya wakaf terbahagi kepada dua jenis wakaf. Wakaf Khairi atau
kebajikan dan Wakaf Ẓurri iaitu wakaf keluarga. Wakaf Ẓurri adalah wakaf yang ditujukan
manfaatnya kepada ahli keluarga pewakaf sahaja. Wakaf Ẓurri diharuskan kerana terdapat
unsur kebajikan untuk kaum kerabat yang ada hubungan dengan pewakaf itu yang bertujuan
membantu mereka. Selain itu, ia dapat menjamin kebajikan saudara terdekat pewakaf dan
keluarga agar memastikan mereka mendapat manfaat daripada harta yang diwakafkan
sepanjang hayat mereka. (al-Sayid, 1992)

Wakaf Khairi/kebajikan diwakafkan untuk kebajikan yang boleh dimanfaatkan oleh


orang ramai. Wakaf Khairi dibahagikan kepada dua kategori umum iaitu wakaf khas dan wakaf
am. Wakaf Am merupakan bentuk harta wakaf yang dibuat untuk kebajikan atau khairat umum
tanpa menentukan penerimanya atau tujuan yang tertentu. Pewakaf juga tidak menetapkan
sebarang syarat kepada harta yang diwakafkan. Wakaf Khas bersifat khusus apabila pewakaf
menentukan wakaf yang dibuat untuk tujuan tertentu atau penerima tertentu. (Mahamood,
2001)

Wakaf Musytarak ialah campuran antara Wakaf Khari dan Ẓurri. Wakaf Musytarak
bermaksud wakaf yang ditujukan sebahgian manfaatnya kepada ahli keluarga dan
sebahagiannya kepada masyarakat umum. Contohnya wakaf tanah pertanian di mana hasilnya
ditujukan untuk anak cucu sementara sebahagian lain untuk tujuan umum. (Ladin, 2006)

Wakaf Irsad merujuk kepada pewakafan harta daripada pihak pemerintah dan juga
daripada badan-badan atau organisasi tertentu. Wakaf Irsad ialah wakaf tanah yang diwakafkan
oleh pemerintah bagi tujuan kemaslahatan umum. Wakaf ini dilakukan oleh pihak pemerintah
dengan mewakafkan harta-harta milik Baitulmal samada harta alih atau harta tidak alih
berasaskan kepada kepentingan umum. Ini dapat dilihat dengan mengaplikasikan dana atau
tanah milik Baitulmal kepada pembinaan masjid, institusi pendidikan, hospital dan sebagainya.
(al-Khin, 2009)

Terdapat juga wakaf kontemporari yang bersifat semasa sebagai tambahan kepada
bentuk-bentuk tradisional yang ada seperti wakaf tunai, wakaf saham dan saham wakaf. Dari
segi aspek hukum, wakaf dalam bentuk saham ini adalah diharuskan oleh syarak
memandangkan ia selaras dengan prinsip dan konsep wakaf dalam Islam. Pembaharuan yang
lebih releven dan praktikal produk-produk baru wakaf sebagai tambahan kepada bentuk-bentuk
wakaf yang baru. Ia bertujuan untuk memudahkan masyarakat Islam di samping menggalak
serta membudayakan amalan berwakaf. Wakaf tunai menjadi alternatif kerana kesukaran
mendapatkan harta wakaf yang kekal seperti tanah. (Manat, 2007)

Konsep Saham Wakaf dari sudut modus operandinya dimulakan dengan wakaf tunai
berdasarkan terbitan satu unit saham yang ditawarkan. Seterusnya proses kedua akan
melibatkan pertukaran dengan pembelian aset atau aplikasinya kepada pembangunan projek
terancang di bawah Majlis Agama Islam (MAIN) dan badan-badan yang terlibat dalam
penawaran produk ini. Konsep Wakaf Saham pula melibatkan saham yang dimiliki oleh
seseorang atau badan sebagai harta yang diwakafkan. (Mahamood & Rahman, 2007) (The
University of Malaya Library, 2018)

http://studentsrepo.um.edu.my/5760/3/BAB_2.pdf
Bibliography

Chik, H. M. (2007, February 22). Wakaf dan Peranannya dalam Pembangunan Ummah. (H.
Ahmad, Producer) Retrieved from Ilmu One Wordpress Web Site:
https://ilmuone.wordpress.com/2007/02/22/wakaf-dan-peranannya-dalam-pembangunan-
ummah/

The University of Malaya Library. (n.d.). Bab 2 Konsep Wakaf. Retrieved from The University
of Malaya Students Repository:
http://studentsrepo.um.edu.my/5023/14/BAB_2_KONSEP_WAKAF.pdf

The University of Malaya Library. (n.d.). BAB 2 KONSEP WAKAF DAN WAKAF PENJAGAAN
KESIHATAN . Retrieved from The University of Malaya Students Repository:
http://studentsrepo.um.edu.my/5760/6/BAB_5.pdf

Anda mungkin juga menyukai