Anda di halaman 1dari 16

http://mylittletask.blogspot.

com/2010/11/progr
am-gerakan-budaya-kerja-cemerlang.html
PROGRAM GERAKAN BUDAYA KERJA
CEMERLANG
sem - okt 09/10
subjek - etika pentadbir awam
untuk - en. saadon awang

BINCANGKAN SATU (1) LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH KERAJAAN


MALAYSIA UNTUK MEMASTIKAN KAKITANGAN SEKTOR AWAM
MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA DENGAN PENUH BERETIKA.

1.0 PENGENALAN
Dalam menuju pembangunan dan kemajuan sesebuah negara, sektor ekonomi dan

kecanggihan teknologi dikatakan menjadi tonggak utama namun tidak kurang sektor

tenaga manusia. Tenaga manusia sebenarnya merupakan penggerak yang penting agar

sumber ekonomi dan teknologi dapat diadun dengan cara yang terbaik dan berkesan. Di

Malaysia kakitangan sektor awam menjadi tonggak utama di sebalik nama

kerajaan Malaysia. Kakitangan awam yang bekerja di setiap pelusuk bangunan dalam

pelbagai bidang sentiasa menjadi harapan semua lapisan masyarakat dalam menjamin

pembangunan, kemajuan dan keselamatan serta keamanan negara ini. Namun begitu
para kakitangan sekor swasta juga memainkan peranan yang tersendiri dalam

usaha mencorak Malaysia menjadi sebuah negara membangun dengan gayanya yang
tersendiri. Justeru itu setiap kakitangan awam perlu memberi serta menjalankan

tanggungjawab mereka dengan penuh beretika. Dalam memastikan setiap kakitangan

awam menjalankan amanah mereka dengan penuh beretika kerajaan Malaysia sentiasa

bertindak prihatin iaitu dengan menguatkuasakan pelbagai program serta dasar yang
berkaitan. Salah satunya ialah dengan memperkenalkan Program Gerakan Budaya Kerja

Cemerlang.

2.0 ETIKA KERJA DALAM SEKTOR AWAM


Etika kerja didefinisikan sebagai prinsip-prinsip moral yang ditetapkan oleh sesebuah

organisasi bagi mengawal tingkahlaku pekerja atau ahli organisasinya. Dalam konteks
ini ia adalah bertujuan untuk mengawal tingkahlaku kakitangan sektor awam. Etika

merupakan satu bentuk kawalan bagi memastikan perlakuan pekerja sentiasa selaras
dengan sistem nilai sesebuah organisasi. Melalui prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam

etika kerja, seseorang akan dapat mengetahui perbuatan-perbuatan yang dilarang dan
perbuatan-perbuatan yang digalakkan oleh organisasi. Umunya etika kerja dibentuk

berdasarkan nilai-nilai universal yang kemudiannya disesuaikan dengan lunas undang-

undang negara, sistem nilai masyarakat setempat dan peraturan-peraturan tertentu

yang ditetapkan oleh organisasi. Bagi perkhidmatan sektor awam etika kerja merupakan

unsur terpenting untuk dititikberatkan kerana setiap kakitangan kerajaan perlu

memiliki tingkahlaku yang sempurna dalam pandangan orang ramai.

2.1 Kakitangan Sektor Awam Merupakan ;


a) Pemegang amanah rakyat. Oleh itu setiap darinya perlu bersifat bertanggungjawab dan

meyakinkan orang ramai tentang keupayaan memelihara amanah tersebut.

b) Mereka diberikan banyak kuasa untuk membuat berbagai keputusan melalui jawatan-

jawatan dan pangkat yang dipegang.

c) Mereka juga memiliki dan boleh mengetahui berbagai maklumat eksklusif kerajaan.

Selain itu etika kerja kakitangan awam di Malaysia telah dinyatakan dengan jelas

melalui berbagai cara, seperti ;


a) Perintah Am (Bab D) 1980 (Kelakuan dan Tatatertib)

b) Panduan Perkhidmatan Cemerlang. Panduan ini telah menetapkan tujuh prinsip iaitu ;
 Berazam meninggikan mutu perkhidmatan

 Bekerja dengan penuh tanggungjawab

 Berusaha mengikis sikap mementingkan diri

 Berkhidmat dengan penuh muhibbah dan kemesraan


 Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara

 Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara


 Berpegang teguh kepada ajaran Agama

c) Rukun Negara
d) Lagu Perkhidmatan Awam

Justeru itu perkhidmatan-perkhidmatan tertentu juga didapati mempunyai etika-etika

tersendiri sebagai tambahan kepada prinsip-prinsip yang dinyatakan melalui sumber-


sumber seperti di atas. Iaitu seperti Perkhidmatan Perubatan, Perkhidmatan

Perundangan dan sebagainya.

2.2 Perlakuan Yang Tidak Beretika

Secara umumnya tingkahlaku seseorang pekerja dianggap tidak beretika apabila ;

i. Perbuatan tersebut melanggar undang-undang negara dan boleh dikenakan hukuman


ii. Apabila perbuatan itu bercanggah dengan prinsip-prinsip moral dan etika yang

diamalkan oleh masyarakat


iii. Apabila perbuatan itu dilakukan bukan atas tujuan awam sebaliknya disebabkan oleh

tekanan-tekanan seperti kepentingan kekeluargaan, politik, agama dan suku kaum.

Ringkasnya etika kerja kakitangan sektor awam sangat penting dalam

mencerminkan setiap pelusuk perkhidmatan awam. Daripada pihak atasan hingga

pekerja-pekerja bawahan. Oleh yang demikian tindakan susulan harus sentiasa dibuat
bagi menjamin kestabilan etika kerja dan juga penerapan nilai etika itu dalam diri setiap

kakitangan sektor awam.

3.0 LATAR BELAKANG PROGRAM GERAKAN BUDAYA KERJA


CEMERLANG

Program gerakan budaya kerja cemerlang telah dilancarkan penghujung tahun 1989,

iaitu pada 27 November 1989. Umumnya pembentukan Gerakan Budaya Kerja

Cemerlang adalah merupakan salah satu tujuan panduan tentang strategi-strategi


peningkatan kualiti dalam perkhidmatan awam. Selain itu menerusi gerakan ini,

kerajaan berharap bahawa satu budaya kerja cemerlang di kalangan pihak berkuasa dan
para pekerja dapat dibentuk dan dijadikan sebagai amalan hidup. Bersamaan tujuan itu,

tujuh lagi program tambahan turut diperkenalkan. Hal ini adalah bagi meningkatkan
mutu kualiti para pekerja dalam agensi tertentu jesturu dapat memantapkan etika dalam

diri setiap kakitangan sektor awam. Antara nilai-nilai yang ditekan dalam Gerakan
Budaya Kerja Cemerlang ialah seperti amanah, integriti, kualiti dan berdisplin.

Manakala tujuh program berkenaan lebih menumpukan kepada peningkatan kualiti


perkhidmatan atau keluaran agensi-agensi dan perkhidmatan awam secara

keseluruhannya. Akan kita sentuh pada perbincangan seterusnya.

“Kualiti adalah sesuatu keadaan yang cemerlang atau amat baik tetapi kebaikan itu

tidak terhad atau tetap pada sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ia bergerak sepanjang

masa. Justeru itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita mendapati ada lagi
kualiti yang lebih yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan mencapai kualiti

yang baru menjadi matlamat kita, sekali lagi kita mendapati ada lagi kualiti yang
lebih baik daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan itu, usaha kita tidak berhabis-

habisan dan tidak ada hadnya serta kita perlu mengejar kualiti sepanjang masa.”

Berikut merupakan petikan kata-kata YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohammad,

Perdana Menteri ketika itu semasa beliau melancarkan gerakan budaya kerja cemerlang.

Dengan memahami tujuan gerakan budaya kerja cemerlang adalah untuk membina
masyarakat yang sentiasa mengutamakan dan mementingkan kualiti dalam segala

usaha. Kakitangan sektor awam juga hendaklah menerap nilai-nilai utama yang
terkandung dalam peraturan-peraturan perkhidmatan.

4.0 TUJUAN GERAKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG

Gerakan budaya kerja cemerlang adalah bertujuan untuk menbina semangat kakitangan

sektor awam supaya mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan tiap-tiap mereka.

Umunya program gerakan budaya kerja cemerlang mempunyai tujuan dua serampang,
iaitu :

i. Untuk meningkatkan kualiti kerja


ii. Sebagai alat untuk mengukur atau menyukat produktiviti juga hasil kerja seseorang

anggota perkhidmatan awam.

Namun begitu Tan Sri Dato’ Seri Ahmad Sarji (1992), dalam memberi
jaminannya kepada kakitangan sektor awam bahawa untuk mencapai tujuan

berkenaan, lima strategi yang telah dikenalpasti perlu dilaksanakan, iaitu :


i. Ketua-ketua jabatan adalah dipertanggungjawabkan untuk menggebleng keazaman

atau tekad serta komitmen pegawai-pegawainya supaya mencari penyelesaian bersama

ke atas masalah-masalah yang dihadapi. Pengurusan penyertaan sebagai teknik yang

berkesan telah dikenalpasti, misalnya melaksanakan program Kumpulan Meningkat

Mutu Kerja (KMK) di Jabatan.

ii. Ketua-ketua jabatan hendaklah berusaha memupuk di kalangan stafnya tentang


berkongsi visi bagaimana menyusun dan mengurus sesuatu masalah. Perundingan di

antara ketua-ketua jabatan dengan staf bawahannya adalah digalakkan untuk


menyelesaikan sesuatu masalah.

iii. Ketua-ketua jabatan hendaklah mencari penyelesaian bersama ke atas masalah-

masalah yang dihadapi.

iv. Jabatan-jabatan perlu menerapkan perubahan-perubahan yang hendak dilaksanakan

dengan memasukkannya sebagai dasar atau sistem jabatan supaya kefahaman dapat

dipertingkatkan dan rasa kesamarataan di kalangan staf dapat ditanamkan.


v. Untuk menjamin kejayaan dan mengekalkan kejayaan yang dicapai serta diteruskan,

jabatan-jabatan perlu mewujudkan sistem maklum balas ke atas semua aktiviti


peningkatan mutu kerja seterusnya menyesuaikan aktiviti-aktiviti berkenaan mengikut

kehendak masa.

Ringkasnya kedua-dua tujuan yang dinyatakan akan lebih berkesan jika disusuli

dengan strategi-strategi di atas.

5.0 MASALAH-MASALAH DALAM PENERAPAN PROGRAM GERAKAN

BUDAYA KERJA CEMERLANG


Dalam usaha menerapkan gerakan budaya kerja cemerlang dengan berkesan terdapat

beberapa masalah yang perlu diatasi oleh kakitangan sektor awam. Masalah-masalah
berkenaan termasuklah :

5.1 Kakitangan Sektor Awam Yang Bermasalah

Hasil kerja yang baik dan berkualiti lahirnya daripada tenaga kerja yang bermotivasi
tinggi dan begitu juga sebaliknya. Pengeluaran perkhidmatan yang tidak berkualiti boleh

berpunca daripada kakitangan sektor awam yang bermasalah itu sendiri. Kelembapan

pekerja, ponteng kerja, konflik di antara rakan sejawat, tidak mengikut arahan,

tingkahlaku yang bertentangan dengan norma-norma pengurusan, tidak amanah, tidak

berdisplin dan pekerja-pekerja yang mengalami konflik dan tekanan jiwa dan lain-lain

lagi antaranya merupakan masalah yang sering timbul dalam diri kakitangan sektor
awam. Pekerja yang bermasalah terutamanya yang mengalami tekanan jiwa akan

menampakkan perubahan-perubahan dalam tingkahlakunya. Tingkahlaku yang negatif


ini jika tidak dapat dikawal akan menimbulkan kesan yang buruk terhadap organisasi

secara tidak langsung.

5.2 Pengurusan Masa

Lagi banyak masa dibazirkan lebih banyak produktiviti dan kualiti organisasi terjejas.

Organisasi akan menanggung kerugian apabila kakitangan sektor awam tidak dapat
menguruskan masanya dengan sempurna dan bijak. Dengan hal yang berikut terdapat

beberapa risiko yang perlu ditanggung oleh organisasi, iaitu :


i- Menanggung kos tambahan kerana kelewatan menjalankan tugas-tugas tertentu

ii- Pembaziran sumber kerana output tidak lagi diperlukan oleh pelanggan
iii- Menjejaskan imej agensi kerana perkhidmatannya akan dianggap tidak boleh

dipercayai oleh orang ramai.

Setiap kakitangan sektor awam dinasihatkan agar menganalisis bagaimana


mereka menggunakan masa di tempat kerja, cara mereka bekerja dan sistem-sistem

yang digunakan. Dengan analisis ini, kakitangan-kakitangan sektor awam akan lebih
memahami bagaimana masa digunakan dan dapat menimbulkan kesedaran dan

kesinsafan bahawa masa yang produktiviti perlu dihargai serta digunakan untuk
memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada orang ramai.

5.3 Pengurusan Mesyuarat

Sehingga hari ini masih terdapat banyak mensyuarat yang tidak produktiviti dan tidak
berkesan. Dan antara punca-puncanya ialah ;

i. Mesyuarat jarang diadakan menyebabkan perkara-perkara yang telah dibincangkan

dahulu menjadi ketinggalan apabila dibincangkan semula

ii. Kelewatan menghantar minit mesyuarat

iii. Orang yang tidak dapat memberi sumbangan atau tidak berpengalaman menghadiri

mesyuarat.
iv. Tidak ada persediaan yang rapi oleh sebab tidak ada perancangan mesyuarat

v. Sikap tidak komited dan bersungguh-sungguh dalam mesyuarat


vi. Tidak ada tidakan susulan

Untuk memastikan mesyuarat itu berkesan adalah amat penting dengan keterlibatan

peranan-peranan seperti pengerusi, setiausaha, ahli-ahli dan urusetia. Selain itu

perancangan yang strategik juga baik untuk memastikan mesyuarat itu berjaya.

5.4 Membuat Keputusan

Kecemerlangan kualiti yang diharapkan di dalam perkhidmatan awam adalah juga


meliputi aspek yang dihasilkan seperti kecepatan, ketepatan dan kualiti dalam

pembuatan sesuatu keputusan. Kelewatan boleh dikatakan berlaku apabila sesuatu tugas
itu mengambil masa yang lebih daripada minimum yang ditetapkan. Kelewatan dalam

membuat keputusan boleh berpunca daripada kelemahan dalam sistem dan prosedur

kerja, dasar yang tidak jelas, rujuk merujuk diantara agensi, penggunaan budi bicara dan

kekaburan kuasa yang diperuntukan. Oleh itu ketua-ketua Jabatan hendaklah sentiasa
mengkaji semula sistem dan prosuder masa kini.
5.5 Akauntabiliti Dalam Kakitangan Sektor Awam Yang Tidak Tegar

Kekurangan sifat akauntabili dalam kakitangan sektor awam juga menjadi salah satu
faktor masalah penerapan gerakan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi.

Apabila anggota-anggota perkhidmatan awam tidak bersikap akautabiliti harta-harta


awam tidak dapat diuruskan dengan jujur dan amanah. Oleh itu secara tidak langsung

sektor awam akan tercemar dengan amalan rasuah dan macam-macam lain perlakuan
yang tidak beretika. Pengurusan kewangan merupakan salah satu aspek terpenting di

dalam pentadbiran kerajaan, apabila ia diurus dengan penuh rasa tanggungjawab, maka

dapat mengelakkan kakitangan sektor awam dari terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang

tidak beretika.

Walaupun Malaysia mengamalkan demokrasi, kakitangan sektor awam yang

bertanggungjawab dalam sesuatu hal adalah tetap tidak dibenar melibatkan diri dalam
politik mengikut peruntukan-peruntukan tertentu. Hal ini adalah kerana penglibatan

dalam politik akan hanya menyebabkan perkhidmatan mereka terjejas.


Natijahnya masalah-masalah dalam penyerapan program gerakan budaya kerja

cemerlang yang dinyatakan perlu di atasi dengan langkah-langkah yang sewajarnya agar

dapat meningkatkan kualiti kakitangan sektor awam seterusnya mengukuhkan nilai

etika dalam diri mereka.

6.0 LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENINGKATKAN KUALITI


KAKITANGAN SEKTOR AWAM BAGI MENJAMIN ETIKA KERJA

Proses peningkatan kualiti hendaklah dianggapkan sebagai satu proses yang berterusan
dan tiada titik penghabisan. Kualiti bukan sahaja di nilai berdasarkan daya pengeluaran

atau penghasilan serta perkhidmatan yang diberi, tetapi juga diukur dalam semua
kegiatan, tingkah laku dan pekerjaan yang dibuat oleh seseorang itu. Sehubungan itu

beberapa langkah atau aktiviti telah disusun bagi mewujudkan budaya kerja yang

berteraskan kualiti dalam kalangan kakitangan sektor awam. Aktiviti berikut adalah

seperti ;

6.1 Anugerah Kualiti Perdana Menteri


Kerajaan telah memberi Anugerah Kualiti Perdana Menteri sebagai satu tanda

penghargaan kepada semua agensi yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam
tahun yang berkenaan. Anugerah ini akan disampaikan setiap tahun pada sembilan

November sempena Hari Kualiti Sedunia. Satu lagi keistimewaan anugerah ini ialah
pemenangnya akan dijadikan model dalam pengurusan kualiti. Kejayaan ini akan

diberikan publisiti yang meluas di dalam perkhidmatan awam. Jelas melalui langkah ini,
adalah diharapkan bahawa agensi-agensi perkhimatan awam dapat mengambil iktibar

dan teladan seterusnya mempertingkatkan pengurusan kualiti di Jabatan dan Agensi

masing-masing.

6.2 Panduan Pengurusan dan Peningkatan Kualiti Dalam Sektor Awam

Panduan ini menjadi rujukan asas kepada agensi-agensi kerajaan dalam usaha mereka
untuk menghasilkan perkhidmatan dan keluaran yang berkualiti. Berpandukan kepada

Panduan tersebut, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan adalah dikehendaki


menyediakan Panduan Pengurusan dan Peningkatan Kualiti masing-masing.

6.3 Bengkel-bengkel Latihan

Beberapa Bengkel Pengurusan dan Peningkatan Kualiti telah diadakan bagi Penyelaras-

penyelaras Kualiti dan Produktiviti dan Pasukan-pasukan Petugas mereka. Selepas

menghadiri latihan ini, Penyelaras-penyelaras Kualiti dan Produktiviti serta Pasukan-


pasukan Petugas mereka adalah dikehendaki melaksanakan usaha-usaha peningkatan

kualiti di agensi masing-masing. Selain itu mereka juga perlu melatih dan mendidik
pegawai-pegawai dan staf di bawah jagaan mereka tentang pengurusan yang berkualiti.

6.4 Ceramah dan Perbincangan

Ceramah-ceramah dan perbincangan-perbincangan mengenai pengurusan dan

peningkatan kualiti dalam perkhidmatan awam hendaklah diberikan iaitu bertujuan

untuk membantu meningkatkan lagi kesedaran agensi-agensi ini tentang pengurusan


kualiti.
6.5 Penngunaan Nota Serah Kerja

Salah satu daripada peraturan yang wajar diberi perhatian untuk


mencapai continuity dalam perkhidmatan awam adalah penggunaan nota serah tugas

bagi pegawai-pegawai yang terlibat dengan pertukaran, khasnya Ketua-ketua Jabatan


yang mempunyai kuasa tertentu.

6.6 Sistem Pengiktirafan

Satu lagi dari kriteria yang penting untuk menuju ke arah peningkatan kualiti di dalam

sesebuah jabatan atau agensi adalah sistem pengiktirafan bagi kakitangan yang telah

menunjukkan prestasi yang cemerlang. Sistem pengukuran merit adalah penting dalam

pengurusan sumber tenaga manusia. Bagi tujuan kenaikan pangkat, sistem pengukuran

merit adalah berasaskan kepada kecekapan, sifat peribadi termasuk keutuhan, kelulusan
dan pengalaman yang sesuai dengan jawatan serta kekananan hanya akan diambil kira

sekiranya terdapat dua atau lebih pegawai yang mempunyai kebolehan yang
sama. Selain itu fakor kesesuaian dan penerimaan juga adalah penting bagi sesetengah

jawatan yang tertentu.

6.7 Pita Video Kualiti

Ia adalah penyediaan sebanyak dua video klip berkenaan pengurusan berkualiti dan

digunakan sebagai bahan latihan bagi Bengkel Pengurusan Kualiti. Pita-pita video ini
adalah berjudul “Ke Arah Perkhidmatan Awam Yang Produktif” dan “Pengurusan

Produktiviti Dan Kualiti Yang Berkesan”.

6.8 Pengumuman Melalui Televisyen


Bagi meningkatkan lagi kesedaran serta menerapkan quality cosciousness dalam

kalangan orang ramai, tiga pengumuman telah disiarkan melalui televisyen.

Pengumuman-pengumuman tersebut bertajuk :

 Kualiti Memenuhi Kehendak Pelanggan


 Kualiti Melalui Pencegahan

 Kos Tidak Memenuhi Kehendak Pelanggan


6.9 Siri Panduan Pengurusan Kualiti
Sebagai sebahagian daripada usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran dan

pengetahuan tentang kualiti serta menunjukkan cara-cara yang praktikal untuk


mengurus kualiti dan produktiviti secara berkesan, satu siri Panduan Pengurusan

Produktiviti telah disediakan. Panduan-panduan ini telah diedarkan kepada semua


Ketua Setiusaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan.

Rumusannya menerusi langkah-langkah serta beberapa aktiviti yang disenaraikan

adalah diharapkan dapat meningkatkan tahap kualiti kakitangan sektor awam umumnya

dan membimbing mereka melaksanakan tanggungjawab dengan penuh beretika

khususnya.

7.0 NILAI-NILAI UTAMA DALAM SEKTOR AWAM


Sebelum kita teruskan ke perbincangan berkaitan tujuh program tambahan peningkatan

kualiti akan kita lihat dahulu nilai-nilai dalam perkhidmatan awam kini. Ia dapat

menambah pengetahuan kita dalam perbincangan berkaitan kualiti juga etika. Nilai-nilai

utama perkhidmatan awam yang terkandung dalam peraturan-peraturan perkhidmatan

dapat dikenalpasti seperti yang berikut ;

a) Taat Setia
Taat setiap kepada Raja, negara dan kerajaan merupakan salah satu daripada nilai-nilai

terpenting yang perlu diamal dan dihayati oleh setiap kakitangan sektor awam.

b) Amanah, Bersih dan Jujur


Seseorang kakitangan sektor awam dikehendaki melaksanakan tugas dan

bertanggungjawab secara amanah, bersih dan jujur. Amanah adalah satu nilai yang perlu

ada pada setiap kakitangan sektor awam oleh kerana keadaan tugasnya mengurus dan

menjaga harta benda kerajaan dan rakyat. Bersih yang dimaksudkan pula ialah
merangkumi bersih secara moral dan bersih dari segi fizikal.
c) Bertanggungjawab

Manakala bertanggungjawab, seseorang kakitangan sektor awam tidak boleh


membelakangkan kewajipan awamnya atau berkelakuan yang boleh diertikan sebagai

tidak bertanggungjawab. Bertanggungjawab juga membawa erti bahawa seseorang itu


tidak terlepas dari dipersoal jika gagal melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

d) Berkecuali

Ia bermaksud kakitangan sektor awam dikehendaki melaksanakan tugas mereka tanpa

membawa apa-apa bentuk pengaruh atau tekanan luar berhubung dengan sesuatu

tuntutan yang berkaitan dengan tugas awamnya. Mereka juga tidak dibenarkan

menyertai secara aktif mana-mana parti politik untuk mengelakkan keadaan serba salah.

e) Adil dan Saksama

Arahan Perkhidmatan (1974) mengkehendaki seseorang pegawai awam sentiasa


bersikap adil dan saksama terhadap orang ramai dan memberi mereka layanan-layanan

yang teratur dan memuaskan.

f) Prestasi Yang Cemerlang dan Berkualiti

Setiap kakitangan sektor awam tidak boleh cuai dan kurang berusaha sepanjang

perkhidmatannya. Ia perlu menunjukkan hasil kerja yang baik dan berkualiti. Oleh itu
setiap kakitangan perlu sentiasa meningkatkan keupayaan mereka menerusi

peningkatan kemahiran dan pengetahuan mengenai kerja.

g) Ketepatan Masa
Salah satu nilai yang ditekankan dalam sektor awam. Perenggan 1, Perintah Bab ‘G’

(1974) telah menetapkan waktu bekerja perlu dipatuhi oleh semua anggota kerajaan.

Arahan menggunakan Kad Perakam Waktu telah dilaksanakan melalui Surat Pekeliling

Am Bil. 11/1981. Ia bertujuan untuk memastikan kakitangan kerajaan tiba di pejabat


pada masa yang ditetapkan.
h) Perkhidmatan Ramah dan Mesra

Selain itu beberapa peraturan juga diperkenalkan untuk menentukan kakitangan sektor
awam sentiasa memberi perkhidmatan yang ramah dan mesra.

i) Sikap Berjimat Cermat

Sektor awam juga menganjurkan nilai sentiasa berjimat cermat semasa menguruskan
harta dan kepentingan kerajaan dan negara.

Sebagai kesimpulannya berdasarkan nilai-nilai utama dalam perkhidmatan awam

diharap semua kakitangan sektor awam dari hari ke hari cuba memahami dan

menerapkan ia sebagai satu kewajipan dalam diri masing-masing. Dengan kesedaran ini

secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti kerja kakitangan sektor awam dan
juga kualiti perkihdmatan kerajaan.

8.0 TUJUH PROGRAM TAMBAHAN PENINGKATAN KUALITI

Bagi memantapkan lagi usaha-usaha yang telah diperkenalkan setakat ini dan juga

membantu Ketua-ketua Agensi melaksanakan pengurusan berkualiti, kerajaan telah

memperkenalkan tujuh lagi program tambahan untuk dilaksanakan oleh setiap agensi

kerajaan. Tujuh program berkenaan ialah :

a) Sistem Cadangan Q

Sistem cadangan Q diperkenalkan dengan tujuan menggalakkan percambahan idea-idea


yang boleh mempertingkatkan kualiti dalam kalangan kakitangan sektor awam. Di

bawah sistem ini setiap kakitangan digalak menggunakan daya kreativiti dan inovasi
masing-masing untuk mencadangkan kaedah-kaedah atau idea-idea yang boleh

digunakan dalam meningkatkan kualiti output agensi. Cadangan-cadangan yang baik

akan diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

b) Sistem Proses Q
Sistem Proses Q pula diperkenalkan untuk membantu kakitangan sesebuah agensi

menyempurnakan sesuatu proses kerja secara berkualiti. Di bawah sistem ini peringkat-
peringkat proses untuk menghasilkan sesuatu output akan didokumenkan secara

terperici dalam bentuk carta aliran kerja. Cara ini akan menjadi sumber rujukan kepada
pekerja supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas tentang aspek kerja yang

dijalankan serta standard-standard kualiti yang mesti dipatuhi.

c) Sistem Pemeriksaan Q

Sistem Pemeriksaan Q adalah satu bentuk Quality Assurance untuk menjamin output

yang dihasilkan oleh sesebuah agensi itu sentiasa berkualiti. Di bawah sistem ini agensi-

agensi diminta melakukan pemeriksaan kualiti di berbagai peringkat proses pengeluaran

sesuatu output. Sekiranya melalui pemeriksaan ini kecacatan output dikesan maka
pembaikan serta merta boleh dilakukan.

d) Hari Q

Hari Q adalah satu hari yang dipilih oleh sesebuah agensi untuk merayakan pencapaian

dalam pengurusan kualiti. Matlamatnya ialah untuk membuktikan komitmen pihak

pengurusan terhadap kualiti. Untuk menjayakan Hari Q ini agensi-agensi boleh

mengaturkan aktiviti-aktiviti seperti majlis ikrar, ceramah, majlis penyampaian

anugerah kualiti dan lain-lain.

e) Slogan Q
Slogan Q diperkenalkan sebagai satu strategi untuk mewujudkan kesedaran tentang

kualiti di kalangan kakitangan sesebuah agensi. Melalui slogan ini pihak pengurusan
boleh menjelaskan kepada kakitangannya tentang visi agensi, matlamat kualiti yang

ingin dicapai ataupun sistem nilai kualiti yang ingin diterapkan kepada pekerja. Slogan-

slogan ini boleh disampaikan dengan menggunakan banners, poster, lencana dan

berbagai media yang sesuai.

f) Sistem Maklumbalas Q
Dalam usahanya meningkatkan kualiti, agensi-agensi memerlukan maklumbalas

daripada orang ramai tentang perkhidmatan yang diberikan. Oleh itu melalui Sistem
Maklumbalas Q, setiap agensi diminta mewujudkan sistem maklumbalas pelanggan di

agensi masing-masing. Dengan adanya sistem ini maklumbalas daripada orang ramai
akan dapat dikumpul dengan sistematik dan analisis secara terperinci. Hasil

penganalisisan ini akan dijadikan asas untuk mempertingkatkan tahap kualiti


perkhidmatan yang sedia ada.

g) Sistem Maklumat Q

Program terakhir ialah Sistem Maklumat Q. Sistem ini bertujuan menyebarkan

maklumat kepada orang ramai tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan

oleh sesebuah agensi. Maklumat-maklumat ini boleh disampaikan dalam bentuk risalah-

risalah yang mudah dibaca dan difahami.

Kesimpulaanya menerusi tujuh program tambahan ini adalah diharapkan bahawa


kualiti perkhidmatan dan keluaran agensi-agensi kerajaan dan perkhidmatan awam

secara keseluruhan dapat dipertingkatkan lagi.

9.0 PENUTUP

Dengan perkenalan kepada apa itu etika kerja dan mengetahui kelebihan, kegunaan

dan kepentingannya tidak dapat disangkal lagi bahawa etika perlu dititikberatkan dalam
kalangan kakitangan sektor awam demi mewujudkan sebuah jentera perkhidmatan yang

bermutu dan disenangi serta memuaskan hati semua pihak. Segala aktiviti yang disusun
dalam program gerakan budaya kerja cemerlang adalah amat berpatutan dan bersesuian

dengan keadaan masa kini bagi meningkatkan mutu kualiti pekerja sektor awam
khususnya. Sejak perlaksanaannya dalam tahun 1989, perkhidmatan sektor awam dari

hari ke hari berusaha keras membuat perubahan bagi mencapai matlamat yang

dikehendaki, dan semuanya agar rakyat merasai perkhidmatan yang memuaskan. Nilai-

nilai murni yang terkandung dalam etika dan juga di dalam program gerakan budaya
kerja cemerlang untuk diterapkan sendiri mencerminkan nilai-nilai sejagat. Bukan

sahaja untuk kegunaan semasa memberikan perkhidmatan, malah secara tidak langsung
dapat mendorong para kakitangan sektor awam menghindarkan diri dari segala

perlakuan negatif seperti rasuah, menipu, pecah amanah dan sebagainya dalam
kalangan masyarakat. Sesugguhnya prinsip-prinsip atau nilai-nilai murni yang dihayati

secara berterusan akan menyerlahkan akhlak mulia pengamalnya.

Anda mungkin juga menyukai