Anda di halaman 1dari 4

PENULISAN REFLEKTIF INDIVIDU KURSUS BINA INSAN GURU

1.0 PENDAHULUAN

Kursus Bina Insan Guru (BIG) bagi siswa guru PISMP Ambilan Jun 2017 yang telah
dijalankan pada 30 September sehingga 4 Oktober 2019 di Teratak Riverview, Tanjong Malim,
Perak merupakan satu program wajib yang perlu dilalui oleh para guru pelatih di semua Institut
Pendidikan Guru Malaysia. Ia bertujuan melahirkan modal insan yang mantap dari aspek
kerohanian, nilai etika, dan akhlak keguruan di samping meningkatkan daya ketahanan dan
kekuatan individu dari segala sudut; fizikal, emosi, rohani dan sosial.

2.0 KEKUATAN

Semasa perancangan Kursus Bina Insan Guru dijalankan, saya telah dilantik oleh rakan
seperjuangan untuk memegang jawatan Naib Setiausaha dalam organisasi Ahli Majlis Tertinggi
BIG ini. Secara tidak langsung, saya telah mendapat pelbagai ilmu pengetahuan semasa saya
menjalankan tugas sebagai Naib Setiausaha serta salah seorang AJK Tertinggi BIG, antaranya
adalah kemahiran kerja berpasukan yang diperolehi seperti kemahiran komunikasi bersama ahli
pasukan. Komunikasi dalam berpasukan banyak mengajar saya cara menyampaikan idea
ataupun mengkritik sesuatu dalam perancangan organisasi. Hal ini kerana, komunikasi berkesan
mampu membentuk kesamaan dengan cara bertukar dan berkongsi maklumat melalui lisan (Zalika
Adam & Faridah Kassim, 2002). Di samping itu, saya juga merupakan salah seorang ahli dalam
AJK Senaman Pagi/Malaysia Cergas yang mana saya dan rakan pasukan perlu menyediakan
senaman pagi dan sebagainya semasa perkhemahan. Oleh kerana senam robik merupakan salah
satu kepakaran saya, aktiviti senaman pagi/Malaysia Cergas dapat dijalankan dengan baik. Hal
ini kerana, saya dan rakan pasukan telah membuat latihan senam robik 2 minggu sebelum BIG
dan menyediakan peralatan sukaneka dengan jayanya. Perkara ini mendorong keberkesanan
aktiviti kerana perancangan yang baik oleh ahli pasukan.

Seterusnya, aktiviti-aktiviti tersedia merupakan aktiviti yang mencabar, dimana mengajar


seseorang dari segi ketahanan fizikal, emosi dan mental. Sebagai contoh, aktiviti ‘river-crossing’
yang merupakan sebuah aktiviti lasak menyeberangi sungai dengan berjalan di atas satu tali
sambil memegang satu tali di atas. Ketahanan fizikal dan mental yang kuat sangat diperlukan
dalam melepasi halangan aktiviti ini kerana keadaan tali yang licin dek hujan lebat. Lantaran itu,
saya yang berdepan dengan halangan ini dapat membina ketahanan fizikal dengan mengawal
emosi seterusnya dapat menyeberangi sungai tersebut dengan selamat. Di samping itu, aktiviti ini
juga mengajar saya untuk tidak berputus asa dengan keadaan air sungai yang begitu deras akibat
kepala air. Hal ini sangat menyukarkan saya dan rakan untuk menyeberai sungai tetapi dengan
bantuan rakan yang tidak henti-henti memberi dorongan secara lisan, saya mampu menamatkan
aktiviti ini.
Semasa program ini dijalankan, saya berupaya untuk meningkatkan komunikasi dan
interaksi sosial silang budaya melalui aktiviti yang dijalankan. Dalam kumpulan 6 yang telah
ditetapkan mempunyai kepelbagaian kaum Cina dan Melayu yang mana memberi kami
peluang untuk berkongsi pendapat dan idea bagi menghasilkan rakit yang dapat terapung dan
tahan lama. Kami merasakan kerjasama berpasukan adalah sangat baik dan sikap terbuka di
antara ahli kumpulan telah mewujudkan kesepakatan dan kesabaran kepada kami semasa
penghasilan rakit walaupun perbezaan kaum dan budaya. Hal ini telah mewujudkan satu
komunikasi yang berkesan dan melahirkan sifat kekitaan antara satu sama lain.

3.0 KELEMAHAN

Kelemahan yang didapati semasa Kursus Bina Insan Guru (BIG) dijalankan adalah
kehadiran subuh dan slot kerohanian menggunakan sistem atas talian iaitu QR Code adalah
kurang berkesan. Hal ini kerana tempat perkhemahan di Teratak Riverview merupakan
kawasan pedalaman yang mengalami masalah rangkaian internet. Menurut Isa Hamzah &
Khadijah Abdul Razak, (2017) “Kawasan pedalaman dan kampung kebanyakannya tiada
liputan internet menyebabkan pelajar agak sukar untuk mengakses rangkaian internet”. Oleh
kerana kesemua siswa guru menggunakan rangkaian telco yang berbeza seperti Celcom,
Maxis, Digi, UMobile dan sebagainya menyebabkan mereka sukar menggunakan QR Code
untuk sistem kehadiran atas talian. Keadaan ini juga menyukarkan siswa guru untuk mengisi
kehadiran pada masa yang di tetapkan serta masih ada siswa guru yang hadir pada slot
kerohanian tidak dapat mengisi kehadirannya. Oleh itu, jelaslah bahawa kehadiran tidak
sesuai diambil secara atas talian semasa perkhemahan dijalankan di Kawasan pedalaman.

Seterusnya, slot ikhtiar hidup yang menggunakan bearing adalah salah satu aktiviti
orienteering yang menarik dan melatih siswa guru berkemahiran membaca kompas. Menurut
Zaini Ujang, (2005) “kebaikan aktiviti orienteering dapat meningkatkan kemahiran pembacaan
peta & kompas serta memupuk sifat keberanian & ketenangan dalam keadaan cemas”.
Walaubagaimanapun, melalui pemerhatian saya terdapat satu kelemahan terhadap
penggunaan bearing ini iaitu tidak dinyatakan jarak diantara check point 1 ke checkpoint 2
dan seterusnya. Keadaan ini menyukarkan siswa guru untuk mengganggar jarak diantara
check point. Lantaran itu, perbezaan jarak diantara dua check point adalah amat berbeza.
Oleh hal yang demikian, setiap kumpulan keliru akan simpang diantara check point yang
disediakan kerana tidak dinyatakan jarak.
4.0 PENAMBAHBAIKKAN

Sehubungan dengan itu, cadangan penambahbaikan terhadap kelemahan ini adalah


pihak tertentu boleh mengambil kehadiran siswa guru ke Subuh dan slot kerohanian secara
bertulis atau melalui senarai nama memandangkan Kawasan pedalaman tidak sesuai
menggunakan sistem atas talian. Saya juga dapat menyedari kepentingan slot kerohanian ini
kepada profesion keguruan khususnya kepada diri saya sendiri iaitu melatih untuk menepati
masa dan tanggungjawab sebagai seorang beragama Islam. “Siswa guru didedahkan kepada
program kerohanian dalam pembangunan insan kerana pada usia remaja mereka perlukan
pengisian rohani supaya dapat menjalani hidup yang lebih terarah” (Zaitie Satibi, 2018).
Seterusnya, untuk mengelakkan penipuan semasa mengambil kedatangan subuh dan slot ini,
ahli jawatankuasa yang terlibat perlulah memantau serta membuka tempat kehadiran
mengikut kelas di samping dapat menjimatkan masa. Jelaslah, bahawa cara ini sesuai dengan
Kawasan pedalaman seperti Teratak Riverview tersebut.

Di samping itu, bagi slot ikhtiar hidup pula, ahli jawatankuasa yang terlibat perlulah
sertakan jarak atau tanda pada check point tertentu bagi mengelakkan kekeliruan kepada
setiap kumpulan. Seterusnya, setiap kumpulan perlulah berkongsi pendapat serta idea untuk
menyelesaikan masalah bearing yang diberikan. Hal ini kerana, bearing yang diberikan adalah
sama kepada setiap kumpulan. Oleh itu, setiap kumpulan perlulah bersepakat
memandangkan kami adalah daripada kalangan PISMP Semester 5. Lantaran itu, ia mampu
menunjukkan konsep bantu membantu diantara kumpulan-kumpulan lain.

5.0 PENUTUP

Secara keseluruhan, saya merasakan bahawa program yang kami jalani ini telah
berjaya dilaksana. Melalui semua aktiviti yang kami sertai samaada di darat ataupun di air,
dapatlah saya rumuskan bahawa program ini amat mendidik saya menjadi seorang yang
berdisiplin selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menuntut para guru supaya
menjaga tingkah laku dan etika perguruan walau di mana pun berada. Seterusnya, saya dapat
membuat refleksi terhadap diri saya sendiri dengan mengenalpasti kekuatan, kelemahan,
sikap siswa guru yang lain dan dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.
RUJUKAN

Isa Hamzah & Khadijah Abdul Razak. (2017). Jurang Digital dan Pendidikan di Luar Bandar.
Jurnal Teknologi Maklumat dan Multimedia Asia-Pasifik. Retrieved from :
http://journalarticle.ukm.my/6261/1/1718-3247-1-SM.pdf.

Zaitie Satibi. (2018). Pupuk Minda Sayangi Alam Sekitar. Harian Metro. Retrieved from :
https://www.hmetro.com.my/ekspresi/2018/04/328582/pupuk-minda-sayangi-alam-
sekitar.

Zaini Ujang. (2005). Orienteering Asas. Retrieved from :


http://ipgktb.edu.my/krs/sumber/Nota%20asas%20ringkas_Orienteering.pdf

Zalika Adam & Faridah Kassim. (2002). Kemahiran Kerja Berpasukan: Etika Dalam Pekerjaan
Dari Perspektif Islam: Fakulti Pendidikan, UKM . Retrieved from:
http://irep.iium.edu.my/7989/1/KEMAHIRAN_KERJA_BERPASUKAN.pdf.

Anda mungkin juga menyukai