Anda di halaman 1dari 2

Contoh Soalan:

Tuliskan satu cerita berdasarkan maksud peribahasa 'hangat-hangat tahi ayam'.

Kehadiran Ahmad disambut mesra oleh rakan-rakan kelas baharunya. Dia merupakan pelajar yang
berpindah dari sekolah lamanya kerana mengikut ibu bapanya yang bertukar tempat kerja. Ahmad
menonjolkan sikap baik dan bersopan-santun agar tidak dipandang serong oleh rakan-rakan
baharunya. Ternyata, penerimaan Ahmad oleh teman-temannya tidak mengecewakan. Hari pertama
persekolahan lagi, dia sudah didampingi rakan-rakan menyebabkan dia tidak lagi kekok dengan
situasi di sekolah baharunya.

Sikap rajin dan berdisiplinnya menyebabkan dia dihormati oleh rakan-rakannya. Dia juga
menanam cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Gurunya memberikan sokongan moral apabila
mengetahui impian besarnya itu. Malah, dia sentiasa aktif di dalam kelas dan senantiasa bertanyakan
soalan jika dia tidak memahaminya. Namun, sikap eloknya itu tidak berkekalan. Pergaulannya mulai
liar setelah dia berkawan dengan pelajar bermasalah. Dia mula mengabaikan pelajaran sedangkan
suatu ketika dahulu dia begitu bersungguh-sungguh di dalam kelas. Dia tidak lagi dihormati malah
dicemuh kerana hanya berpura-pura selama ini. Ahmad mengendahkan segala pandangan terhadap
dirinya kerana kini dua sudah memiliki kawan-kawan karib yang sebenarnya merosakkan dirinya.

Sungguhpun begitu, guru-guru yang prihatin menegurnya supaya berubah. Apabila sahaja dia
ditegur, dia pasti akan menangis dan mula bertekad untuk membuang tabiat buruknya. Teguran
gurunya memberikan inspirasi baharu untuk dirinya berubah. Namun, semangat membaranya hanya
seketika sahaja. Dua atau tiga minggu kemudian setelah ditegur, dia akan mengulangi perbuatannya
itu. Mujurlah, guru-guru yang mengajarnya tidak jemu dan berputus asa untuk menegurnya agar
sikap dan kelakuan Ahmad akan berubah. Guru kelasnya senantiasa memantau sikap Ahmad demi
tidak hanyut dalam kancah negatif.

Sikap kepala angin Ahmad ini membingungkan rakan-rakan sekelasnya. Sekejap Ahmad menjadi
pelajar yang sangat rajin, seketika nanti dia menjadi pelajar yang bermalah. Ahmad hanya
bersemangat pada mulanya, tetapi menjadi dingin setelah jemu berusaha. Kata-kata gurunya bagai
mencurahkan air ke daun keladi kerana dia mula mengabaikan pesanan gurunya. Ahmad semakin
hari semakin teruk perangainya, malah mula ponteng sekolah dengan pelbagai alasan yang tidak
munasabah. Ramai rakan sekelasnya tertanya-tanya ke manakah hilangnya semangat juang untuk
berjaya Ahmad?

Musim peperiksaaan semakin tiba. Ahmad masih leka dengan dunianya sedangkan detik
pentingnya sebagai pelajar bakal teruji. Dengan angkuhnya, dia mengabaikan pelajaran kerana yakin
dia telah berusaha. Ibu bapanya yang menyedari sikap Ahmad ini turut menegur sikapnya yang
kurang elok ini. Sebagai akibatnya, keputusan akhir tahunnya sangat teruk. Malah, dia diturunkan
kelas dan bersama-sama dengan pelajar lemah yang bermasalah. Malunya tidak kepalang kerana
dijadikan bahan tawa rakan-rakannya yang dahulu mengaku sahabat karib.

Keinsafan mulai timbul dalam hati ahmad. Sikap buruknya ini harus dikikis untuknya berjaya.
Memang sahlah, pepatah tua, “hangat-hangat tahi ayam”, ditujukan kepada dirinya kerana hanya
bersemangat pada mulanya, tetapi akhirnya mengalah. Kesedarannya untuk berubah kini bukan
sahaja jangka masa pendek, tetapi untuk selama-lamanya demi masa hadapan yang gemilang.

Anda mungkin juga menyukai