Anda di halaman 1dari 6

Menurut Pamela S.

Lewis,pengurusan ialah suatu "proses mentadbir dan menyelaraskan sumber-


sumber secara berkesan, cekap dalam usaha untuk mencapai matlamat organisasi.”. Menurut Van
Steve Holt Jr pula,pengurusan ialah "proses perancangan, menyusun, memimpin dan mengawal
yang merangkumi manusia, bahan, kewangan dan sumber maklumat dalam persekitaran
organisasi." Juga menurut James Stoner, pengurusan membawa definisi "proses merancang,
mengorganisasi, memimpin dan mengawal usaha-usaha ahli organisasi dan menggunakan semua
sumber organisasi lain untuk mencapai dinyatakan matlamat organisasi." Merujuk kepada
Ensiklopedia Bebas Wikipedia, ‘pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah
kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyelaraskan dan
mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringya merangkumi
sumber – sumber manusia, kewangan, teknologi serta juga sumber semula jadi. Pengurusan juga
boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan’.
Secara umumnya pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja
yang terancang melalui dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis
panduan tertentu.

Dalam dunia yang serba moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak dapat
dipisahkan dari manusia. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan
perkembangan manusia dan komuniti disekelilingnya. Pengurusan dikaitkan dari pengurusan
sebuah keluarga, komuniti atau organisasi hinggalah kepada pengurusan sebuah negara.
Dalam ilmu Pengurusan, kita akan didedahkan dengan teori pengurusan yang melibatkan teori
daripada pelbagai ahli falsafah dan pakar pengurusan sejak tahun 1770-an sehinggalah
berevolusi ke peringkat teori terkini yang digunakan oleh pelbagai sektor. Idea, konsep dan
kaedah yang diketengahkan oleh mereka dapat membantu pengurus menguruskan organisasi
mereka secara lebih cekap, berkesan dan berdaya saing.
Secara ringkasnya, teori-teori ini ada di antaranya pun telah kita aplikasikan dalam sistem
pentadbiran kita pada ketika ini.Bagaimanapun, tidak semua yang dianjurkan oleh pemikir-
pemikir tersebut sesuai untuk diamalkan oleh pengurus tetapi pengurus boleh memilih mana-
mana teori yang difikirkan dapat membantu dalam meningkatkan keberkesanan organisasi. Juga
tidak ada satu pun teori pun yang paling baik diaplikasikan dalam setiap keadaan dan situasi.
Setiap teori mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri.Oleh itu organisasi perlu
fleksibel dan pengurus haruslah bijak dalam menggabungkan teori-teori tersebut supaya dapat
mengaplikasikan kaedah yang paling berkesan.
Sejarah awal teori pengurusan telah dipelopori oleh Robert Owen dan Charles Babage sekitar
tahun 1771 – 1871. Robert Owen menyatakan bahawa pekerja merupakan sumber daya
pengurusan yang signifikan. Owen percaya bahawa pengurusan yang memperbaiki keadaan
persekitaran kerja atau pelaburan pada sumber daya manusia dapat meningkatkan output dan
keuntungan. Pengurus yang cekap dapat mengefisienkan proses pengeluaran pada hasil yang
maksimum.
Konsep yang dipelopor oleh Charles Babbage pula membabitkan pembahagian kerja di mana
beliau meyakini bahawa pekerja yang melakukan pekerjaan yang sama secara berulang-ulang
akan semakin terampil dan semakin efisien. Kelemahan bagi pengaplikasian teori ini ialah ianya
mengakibatkan kemahiran pekerja terhad kepada bidangnya sahaja. Dengan itu, pekerja tersebut
sukar untuk ditukarkan kepada bidang yang lain yang bukan menjadi rutinnya. Disamping itu, ia
juga mengakibatkan kebosanan lantaran kerja yang dilakukan adalah sama dan berulang –ulang.
Konsep Pendekatan Klasik (1880 – 1927) pula berlaku akibat daripada perkembangan revolusi
industri pada pertengahan kurun ke 19. Isu yang berbangkit pada ketika ini adalah masalah yang
dihadapi oleh para pengurus syarikat untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Apa yang
ingin dicapai adalah organisasi menjadi cekap sehingga menghasilkan pengeluaran yang tinggi
dan kejayaan organisasi. Disamping itu juga, pengurusan mencari kaedah bagaimana menjadikan
organisasi menjadi cekap.
Teori Klasikal telah mengenalpasti pengurusan sebagai elemen penting dalam masyarakat
terancang dan menjadi begitu penting dalam dunia yang global. Pendekatan Klasikal telah
mengenal pasti fungsi utama pengurusan iaitu perancangan, pengorganisasian, pengarahan,
penyelarasan dan pengawalan.Bagaimanapun fungsi pengurusan bergantung kepada keupayaan
dan kemahiran seseorang pengurus.Pendekatan Klasikal juga telah memberi sumbangan kepada
teknik-teknik pengurusan seperti analisis pergerakan dan masa, kemudahan kerja, sistem upah,
jadual pengeluaran, pengujian personel dan belanjawan.
Konsep Pendekatan Saintifik pula merupakan pendekatan yang menekankan kajian saintifik bagi
meningkatkan kecekapan pekerja dan meningkatkan produktiviti organisasi.Dalam dunia Sains
Pengurusan, Federick W. Taylor cukup dikenali dan beliau digelar sebagai “Bapa Pengurusan
Saintifik”. Teori ini mengkaji hubungan diantara pekerja dan tugas yang dibentuk untuk
dilaksanakan oleh pekerja tersebut. Taylor percaya bahawa jika masa dan usaha yang dilakukan
oleh pekerja dalam pengeluaran seunit barangan dapat dikurangkan dengan meningkatkan
pengkhususan dan pembahagian kerja maka proses pengeluaran akan menjadi bertambah cekap.
Beliau juga percaya pekerja yang cekap akan membantu meningkatkan pengeluaran dan
produktiviti. Untuk mencari cara terbaik yang boleh digunakan dalam melaksanakan tugas,
Taylor mengkaji beberapa cara bagaimana pekerja melaksanakan tugas.
Salah satu kaedah yang digunakan ialah kajian “time and motion study” di mana masa
melaksanakan kerja akan direkodkan dan cara melaksanakan kerja tersebut juga akan
diperhatikan. Dengan cara itu beliau dapat mencari cara yang terbaik dengan masa yang paling
singkat.
Setelah mendapat cara yang terbaik dalam melaksanakan tugas, Taylor menekankan pula kepada
pengkhususan kerja di mana kerja-kerja dibahagikan dan setiap pekerja akan melaksanakan kerja
yang lebih sedikit dan lebih rutin. Kaedah ini banyak digunakan dalam industri pembuatan dan
pengeluaran.
Taylor juga memperkenalkan sistem ganjaran bagi pekerja yang telah memenuhi piawaian yang
telah ditetapkan oleh organisasi masing-masing. Melalui konsep pengurusan yang diperkenalkan
oleh Frederick Taylor, pekerja yang tidak memenuhi piawaian dan sasaran yang ditetapkan akan
disingkirkan dari sistem kitaran kerja setelah berada dibawah pengawalan dalam jangka masa
tertentu . Untuk menggalakkan pekerja bekerja pada prestasi yang paling tinggi, Taylor
mencadangkan supaya pekerja diberi insentif yang lebih baik. Mereka sepatutnya diberi bonus
dan sedikit imbuhan jika dapat menunjukkan prestasi yang baik.Taylor turut memperkenalkan
sistem waktu rehat berjadual bagi membantu meningkatkan prestasi pekerja.
Secara keseluruhannya, Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik yang melibatkan
perkara seperti penentuan pergerakan, pengkhususan kerja, perancangan dan penjadualan rapi,
pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi dan yang terakhirnya insentif upah. Pandangan
Taylor tentang memotivasikan pekerja melalui perkara-perkara seperti dinyatakan tadi digunakan
oleh kita pada hari ini.
Ada juga Teori Pengurusan yang mengambil pendekatan melalui tingkahlaku. Fokus utama
pendekatan ini ialah mengkaji bagaimana tingkahlaku pengurus dapat mendorong dan
memotivasi pekerja bagi membolehkan mereka bekerja dengan cekap untuk mencapai objektif
yang telah ditetapkan. Pendekatan ini memberi tumpuan terhadap peningkatan kejayaan
organisasi melalui penumpuan ke atas sumber manusia dalam organisasi. Pendekatan hubungan
manusia berorientasikan manusia dalam pengurusan. Objektif utama pendekatan ini ialah untuk
memperkukuhkan kejayaan organisasi melalui pembentukan hubungan yang bersesuaian dengan
manusia. Pengikut pendekatan ini, berpendapat bagi membentuk hubungan manusia yang baik,
Pengurus yang inginkan kejayaan perlu memahami tentang manusia, iaitu pekerja dan berusaha
menyesuaikan organisasi dengan manusia. Pengurus juga perlu mengetahui mengapa pekerja
menunjukkan satu tingkahlaku yang tertentu dan apakah faktor psikologi dan sosial yang
mempengaruhi mereka bertingkahlaku. Pemikir –pemikir tersebut antaranya ialah Elton Mayo
dengan kesan Hawthorne dalam kajiannya yang dilakukan di Hawthorne Works of The Western
Electric Company oleh Elton Mayo dan rakannya dari Universiti Harvard dengan teorinya
mengenai sentuhan kemanusiaan itu penting dalam mewujudkan produktiviti yang tinggi. Kajian
ini bertujuan untuk meneliti antara keadaan fizikal dengan daya pengeluaran. Hasil kajian
membuktikan bahawa tidak terdapat hubungan yang konsisten di antara produktiviti dengan
keadaan fizikal.
Kumpulan dari Harvard ini juga menjalankan kajian bertujuan untuk meneliti dan menganalisis
hubungan sosial dalam kumpulan kerja. Kajian ini dibuat berdasarkan kepada andaian sistem
insentif ke atas kumpulan. Sistem ini menyatakan bahawa lebih gigih kumpulan bekerja, lebih
output yang akan dihasilkan. Ini akan memberi upah dan ganjaran yang lebih kepada pekerja.
Penyelidik percaya bahawa hasil kajian menunjukkan ahli kumpulan kerja akan memberi
tekanan sesama mereka untuk bekerja dengan gigih dan mendapat upah yang lebih. Dalam kajian
ini, didapati output yang diperolehi adalah sentiasa lebih tinggi daripada sebelumnya dalam
setiap kajian. Kesimpulan daripada kajian tersebut memperlihatkan kepada kita bahawa
perubahan dan peningkatan dalam produktiviti tidak begitu dipengaruhi oleh perubahan yang
diwujudkan dalam persekitaran kerja tetapi dipengaruhi oleh hubungan dan sikap individu dalam
kumpulan tersebut. Ahli kumpulan didapati lebih berminat untuk mengekalkan perpaduan
kumpulan kerja daripada memperolehi lebih banyak ganjaran kewangan. Ini memperlihatkan
bahawa keakraban dan persahabatan di kalangan ahli kumpulan merupakan faktor yang
signifikan terhadap peningkatan dalam produktiviti.
Kajian Hawthorne menunjukkan kepada kita bahawa secara keseluruhannya peningkatan dalam
daya pengeluaran adalah disebabkan oleh faktor sosial seperti semangat bekerja, perasaan
kepunyaan, gaya pengurusan pengurus dan saling berhubung antara anggota kumpulan kerja
melalui pengurusan yang berkesan. Sebagai kesimpulan, kajian ini mendapati bahawa pekerja
lebih dimotivasikan oleh hubungan antara individu berbanding dengan faktor ekonomi.
Hugo Munsterberg yang mencipta teori lapangan psikologi industri iaitu kajian saintifik individu
ditempat kerja dalam usaha untuk memaksimakan produktiviti dan untuk sebarang perubahan.
Beliau telah menekankan penggunaan psikologi kepada industri dan pengurusan. Beliau turut
mengaitkan konsep pengurusan saintifik dengan tingkahlaku manusia dan juga kepentingan
bersama di antara pengurus dan pekerja.
Mary Parker Follett, salah seorang ahli falsafah dalam bidang pengurusan dalam Teori
Organisasi Klasik melalui pendekatan Pergerakan Hubungan Manusia menyatakan organisasi
patut dilihat dari perspektif gelagat manusia secara individu dan berkumpulan. Mary banyak
membincangkan bagaimana pengurus seharusnya melayan pekerja. Penekanan ini dibuat kerana
Taylor mengabaikan perkara ini dalam teorinya. Mary mencadangkan konsep "authority should
go with knowledge……whether it is up the line or down". Bermaksud jika pekerja mempunyai
pengetahuan yang lengkap mengenai apa yang perlu dilakukan maka, pekerja boleh mengawal
kerja-kerja tersebut tanpa bantuan daripada pengurus. Pengurus seharusnya bertindak hanya
sebagai pembimbing sahaja bukan sebagai penyelia. Konsep ini dikenali juga sebagai
"empowerment". Beliau juga mencadangkan supaya setiap pengurus jabatan berhubung secara
terus di antara mereka untuk mempercepatkan proses membuat keputusan.
Apabila zaman berubah maka pendekatan teori pengurusan juga terdapat perubahan pada
bahagian-bahagian tertentu. Contohnya, Tom Peters telah memberikan teori dan pendekatan
terhadap mengurus kekaburan dan paradoks. Tom Peters menyatakan bahawa menguruskan
organisasi perlu sentiasa bersedia berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran, keberanian
mencuba tanpa memikirkan kepada kegagalan dan perlu menghampiri dengan pelanggan.
Tokoh pengurusan moden yang popular masa kini adalah seperti Abraham Maslow, Chris
Argyris, D. Mc. Gregor, Edgar Schein, D. Mc. Cleland, R. Blake & J. Mouton, Ernest Dale dan
Peter Drucker. Begitu juga dengan Douglas Mc Gregor dengan Teori X & Y, William Ouchi
dengan Teori Z dan Michael Porter dengan memberikan lima kekuatan persaingan utama.
Begitulah gambaran serba sedikit perkembangan Sains Pengurusan yang perlu diketahui
perkembangannya. Saya akan menyentuh berkaitan dengan sistem pengurusan Islam pada
bahagian yang akan datang. Justeru apa pentingnya bagi kita untuk membaca dan memahami
teori-teori pengurusan ini?.
Saya berpandangan terdapat 4 perkara yang penting ingin disampaikan dalam penulisan ini
berkaitan dengan Teori Pengurusan.

1. Teori terhasil daripada pengalaman, pengamatan, kajian dan pemerhatian. Pengurusan


PAS walaupun mengaplikasikan pelbagai teori pengurusan di dalam pentadbiran namun perlu
juga kita menggunakan segala pengalaman yang telah dilalui selama ini untuk menjadi ‘guide’
kepada gerakerja pengurusan dalam organisasi kita.
Walaupun secara umumnya pengurusan PAS di peringkat cawangan-cawangan sebagai
contohnya, tidak jauh bezanya di antara satu cawangan dengan cawangan yang lain namun waqi’
cawangan mempunyai perbezaannya. Oleh itu, dalam menguruskan organisasi kita, keperluan
untuk melihat keadaan setempat wajar diberikan perhatian. Ingat, berdepan dengan jawatan
kuasa yang terdiri daripada golongan professional tidak sama dengan situasi mengendalikan
cawangan yang didokongi oleh golongan petani (contoh).
2. Perkara yang penting dalam teori pengurusan adalah output daripada produktiviti. Apakah
output yang menjadikan produktiviti kita berjaya mencapai sasaran? Andai output tidak sampai
sasaran maka apa tindakan yang perlu dilakukan oleh pengurusan parti? Atau kita merasakan
sudah cukup dengan hasil yang ada atau pun kita sememangnya tidak menghiraukan apa yang
sepatutnya dicapai.
3. Evolusi Teori Pengurusan berterusan sepanjang zaman dan sentiasa ada penambahbaikan
mengikut zamannya. Sebab itu, ilmu pengurusan perlu disegarkan pada setiap sesi dan sebaik-
baiknya apabila sesi baru bermula. Kursus pengurusan organisasi wajib dilaksanakan agar
organisasi PAS dapat ditadbir dengan sebaiknya. Dunia ketika ini dihubungkan dengan pelbagai
aplikasi seperti Facebook dan Whatsapp, tidak sama seperti mana pengurusan PAS 20 tahun lalu
yang tidak kenal dengan SMS pun lagi.
4. Adaptasi sistem yang baik untuk menambah baik sistem pengurusan yang sedia ada.
Bengkel pengurusan diadakan untuk memastikan setiap pengurusan PAS Cawangan dan
Kawasan didedahkan dengan sistem pengurusan yang terkini dan ianya selari dengan kehendak
di peringkat yang lebih tinggi. Aplikasi SISPRO, SSDP dan SPOKAS yang telah disediakan oleh
Jabatan ICT perlu difahami dan digunapakai dalam pentadbiran PAS di semua peringkat.
Oleh itu, proses penambahbaikan terhadap pengurusan PAS dengan penggunakan pelbagai
konsep pengurusan perlulah dilaksanakan mengikut arus masa kini. Sekretariat PAS Pusat akan
cuba untuk membantu merealiasikan harapan ini dengan bantuan daripada Lajnah Pemerkasaan
Parti dan Jabatan ICT PAS.

Rujukan :
1. Pamela S. Lewis, Stephen H. Goodman, Patricia M. Fandt, Management: Challenges for
Tomorrow's Leaders, ,2003,3rd edition ,Thomson south-western
2. Van Steve Holt Jr, Management Made Easy, (December 22, 2015) Xlibris
3. James A.F. Stoner, Charles Wankel, Management, ( January 1st 1982). Published by
Prentice Hall
4. Bateman, T. S.,&Snell, S. A. (2008).Management: Building competitive advantage (8th
ed.) Boston:Irwin-McGraw Hill.
5. Jones, G. R ,George , J.M (2007). Contemporary Management (5th ed.)Boston
6. Rue, L. W. ,& Byars, L.L. (2004).Management: Skills and application (11th ed.).Boston:
Irwin-McGraw Hill.

Anda mungkin juga menyukai