Anda di halaman 1dari 3

LAPORAN TEMU BUAL

Tarikh : 11 Februari 2020

Hari : Selasa

Masa : 10.00 pagi hingga 12.00 pagi

Pada hari Selasa (11 Februari 2020) yang lalu, saya telah menjalankan satu sesi
temu bual terhadap Penolong Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar iaitu Encik Mohd.
Nasser bin Md. Isa bertempat di Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Tujuan utama sesi temu
bual ini dilaksanakan adalah untuk mendapatkan maklumat dan pandangan tentang
isu dan cabaran semasa guru serta cara mengatasinya. Kami juga sempat bertanya
tentang pengalaman mengajar Encik Nasser. Berdasarkan temu bual yang dijalankan,
Encik Nasser memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada tahun 1989 di SK Juara,
Kulim, Kedah. Di sana, encik sempat menabur bakti selama lebih kurang 11 tahun
sebelum berpindah ke SJKC Kim Sen pada tahun 2000 hingga tahun 2001.
Kemudian, pada tahun 2001 juga, beliau ditempatkan di sekolah menengah selama
lapan tahun, dan akhirnya pada tahun 2008, beliau mula berkhidmat di IPG Kampus
Tuanku Bainun sehingga kini.

Melalui hasil temu bual yang dijalankan juga, beliau telah memberikan
pandangan tentang isu dan cabaran yang dihadapi oleh guru masa kini. Menurut
beliau, dalam abad ke-21 ini, pengurusan di setiap sekolah adalah lebih rumit kerana
banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak sekolah baik guru mahupun pihak
pentadbir sekolah. Hal ini adalah disebabkan oleh perkembangan teknologi yang
semakin pesat seterusnya meningkatkan lagi cabaran pendidikan pada abad ke-21.
Pada hari ini, perkembangan teknologi semakin pesat membangun. Negara kita juga
sedang mengejar impian untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan dunia.
Oleh itu, penguasaan ICT ini amatlah ditekankan oleh KPM demi melahirkan guru
yang berkualiti. Namun, isunya sekarang ialah, masih ramai guru yang tidak
mempunyai kemahiran untuk mengaplikasikan teknologi ke dalam sesi pengajaran
dan pemudahcaraan (PdPc). Hal ini mungkin juga berlaku kerana beberapa faktor.
Antaranya termasuklah guru itu sendiri kurang pendedahan tentang dunia teknologi
maklumat dan komunikasi. Mereka sepatutnya mencari inisiatif untuk menghadiri
kursus-kursus berkaitan ICT untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman
mereka di dalam bidang ini. Beliau juga faham ada sesetengah guru yang mempunyai
kekangan masa kerana beban kerja yang semakin meningkat di sekolah.

Sewaktu temu bual dijalankan, beliau juga ada menyelitkan tentang faktor-faktor
atau punca yang menyebabkan isu dan cabaran ini wujud. Antaranya termasuklah
perubahan sistem pendidikan yang tidak konsisten menjadi faktor atau punca utama
kepada berlakunya isu ini. Guru-guru belum sempat membiasakan diri dengan sistem
sedia ada, sudah pun bertukar kepada sistem baharu. Sebagai contoh, pelaksanaan
PPSMI, STEM dan lain-lain. Guru-guru ini masih belum sepenuhnya menguasai ilmu
dan kemahiran untuk melaksanakan dasar yang digubal.

Akhir sekali, bagi menjawab soalan kami yang terakhir iaitu tentang cara-cara
menangani isu dan cabaran tersebut, beliau mencadangkan bahawa guru-guru boleh
menghadiri kursus atau bengkel ICT, sentiasa mengikuti perkembangan terkini
seperti mengetahui apa yang berlaku, belajar menggunakan ICT seperti
menghasilkan slaid menggunakan PowerPoint. Selain itu, guru perlu bekalkan diri
dengan ilmu dan kemahiran. Pada waktu ini, waktu penggunaan ICT perlu lebih
dipanjangkan bagi memberi peluang kepada guru dan pelajar untuk memanfaatkan
teknologi dan maklumat ini secara total. guru perlu profesional untuk melaksanakan
dasar, bertanggungjawab untuk memajukan diri, boleh mengendalikan PdPc secara
berkesan serta menaksir murid dengan baik. Akhir sekali, guru-guru juga perlu ada
nilai murni dan sifat positif seperti yakin, rajin berusaha, tidak mudah berputus asa
dan menyahut cabaran dengan tabah.

Kesimpulannya, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat


penting dalam dunia pendidikan masa kini. Sebagai seorang guru yang berdepan
dengan ledakan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini, guru-guru perlu
bergerak seiring dengan kemajuan dan kecanggihan ilmu serta teknologi sebagai
langkah awal dalam menggalas amanah dan tanggungjawab terhadap generasi
dalam usaha membina negara bangsa yang mampu berdiri gah di persada dunia.
Penguasaan ICT dapat membantu guru menghadapi cabaran dalam dunia
pendidikan dan bertindak tepat dengan keperluan dan kehendak semasa. Sebelum
temu bual berakhir, beliau sempat mengucapkan selamat maju jaya kepada guru
pelatih yang bakal menempuh dunia sebenar sebagai seorang guru tidak lama lagi.

Anda mungkin juga menyukai