Anda di halaman 1dari 3

CONTOH TEKS PENGGUNAAN KATA GANDA

AHLI KUMPULAN: FARAH AIN, ZALINA, SITI HAJAR, AFIFAH, NURUL ATHIRAH

KELAS: PISMP BM SK3 JUN 2020

HARI Guru yang bakal disambut pada Sabtu ini pasti akan mencipta lipatan sejarah buat warga
pendidik di negara ini apabila tiada sambutan istimewa bakal diadakan di sekolah berikutan keadaan
negara yang masih lagi berdepan melawan pandemik Covid-19. Jika sebelum ini, pada tarikh itu, guru
tidak sabar untuk menyanyikan lagu tema hari guru iaitu Kami Guru Malaysia sebagai tanda
penghargaan kepada diri sendiri, tetapi tahun ini tiada lagi nyanyian istimewa itu yang akan meniti di
bibir guru.

Mengakui, sambutan Hari Guru tahun ini suram, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung
Tunku, Petaling Jaya, Selangor, Khairul Anuar Abdul Azid, berharap warga pendidik tetap
bersemangat menjalankan amanah untuk terus menyampaikan ilmu berguna kepada pelajar
walaupun berdepan normal baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, guru berdepan cabaran besar pada tahun ini apabila sesi pembelajaran konvensional
dengan tiba-tiba ditukar kepada dalam talian yang memberikan pengalaman baharu kepada guru
sejak sesi persekolahan diarahkan tutup.

"Tidak dapat bersemuka dengan pelajar menjadi cabaran paling besar buat guru kerana dalam
konteks pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc), pelajar patut berada di depan. Ini sedikit
sebanyak meresahkan guru-guru kerana banyak perkara yang tidak dapat dibuat bersama-sama.’’

"Bagaimana pun, disebalik Covid-19 ini, banyak hikmahnya antaranya guru-guru dapat meningkatkan
kemahiran pembelajaran dalam talian. Jika diikutkan, pembelajaran dalam talian atau Google
Classroom ini sudah pun dilaksanakan hampir dua tahun, tetapi ramai yang tidak mengaplikasikan
dan tidak tahu untuk menggunakan platform itu.’’
"Sejak PKP dilaksanakan, rata-rata guru sanggup belajar cara-cara menggunakan pembelajaran
dalam talian, mereka juga semakin cekap dan tidak jemu menyampaikan ilmu dalam pelbagai
medium," katanya.

Hari Guru adalah tanda penghargaan kepada jasa pendidik yang berusaha menyampaikan ilmu
pendidikan kepada pelajar supaya menjadi insan berguna untuk bangsa, agama dan negara. Bagi
guru Sejarah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Teluk Bahang, Pulau Pinang, Mohd Zaidi
Abdullah pula, mengakui sentiasa menantikan hari istimewa itu saban tahun, malah dia tidak sabar
untuk menyanyikan lagu Kami Guru Malaysia.

Katanya, bagi memastikan pelajarnya mudah faham mengenai Sejarah, dia menghasilkan kelas khas
bertemakan Kesultanan Melayu Melaka selain menyediakan prop ketamadunan supaya pelajarnya
dapat menjiwai rentetan peristiwa dengan nyata dan berkesan.

"Hari Guru sebenarnya menjadi pentas untuk mengeratkan hubungan guru dan pelajar. Hari itu juga
membuka peluang kepada pelajar dan guru untuk berinteraksi dan sama-sama bermain permainan
yang diadakan. Agak berlainan sambutan Hari Guru tahun ini, sejujurnya saya sedih bukan kerana
tidak akan menerima hadiah daripada pelajar, tetapi situasi sekarang yang menghalang guru untuk
bersemuka dengan pelajar," katanya.

Mohd Zaidi turut risau dengan perkembangan pelajarnya pada saat PKP ini, terutama bagi yang
kurang berminat dengan akademik kerana dalam tempoh ini tidak semua pelajar mengikuti kelas
dalam talian disebabkan beberapa halangan.

Baru memulakan kerjaya sebagai guru kira-kira enam bulan lalu, Mardziyah Nuad, 25, tidak
menyangka tidak akan merasai kemeriahan sambutan Hari Guru pertamanya di SK Felda Raja Alias 3,
Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 16 Mei ini. Kata guru muda itu, dia yang terbabit dengan
perancangan aktiviti Hari Guru di sekolah itu juga sudah merancang untuk mengadakan pelbagai
acara sempena hari berkenaan.
"Jujurnya peringkat awal sudah terbayang ucapan penghargaan daripada murid dan hadiah yang
bakal diberikan, kerana tahun ini tahun pertama saya meraikan Hari Guru. Perasaan itu sangat teruja
serta tidak sabar untuk meraikannya. Tetapi sejak PKP ini, saya tidak lagi fikirkan itu semua kerana
apa yang lebih utama bagi saya ketika ini adalah murid sentiasa belajar dan hendak belajar,"
katanya.

Katanya, menjadi guru pada zaman millennia ini, penggunaan bahan pembelajaran dalam bentuk
teknologi dan digital tidak menjadi halangan besar kepadanya kerana sudah didedahkan ketika
mengikuti pengajian perguruan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Kelantan.

"Apa yang lebih utama dalam situasi negara ketika ini, adalah untuk mengekalkan kredibiliti sebagai
pendidik supaya pelajar tidak tercicir dalam akademik. Ini antara halangan terbesar kami. Kami tidak
dapat memantau tahap penguasaan akademik secara menyeluruh, cuma mengharapkan kerjasama
daripada ibu bapa untuk sama-sama membantu dalam aktiviti pembelajaran anak-anak ketika PdPc
dijalankan atas talian," katanya.

Anda mungkin juga menyukai