Anda di halaman 1dari 3

KISAH HALIMATUS SAADIAH

 ADALAH menjadi tradisi bagi keluarga-keluarga mulia di Mekah untuk menghantar


anak mereka ke kawasan pergunungan. Ini bertujuan agar anak mereka dapat menghirup
udara yang segar dan membesar dengan sihat. Anak-anak ini akan disusui oleh wanita
daripada kaum Bani Sa'ad.
Wanita-wanita yang menyusui biasanya lebih tertarik kepada anak-anak orang kaya.
Mereka tidak berminat untuk menyusui anak seorang fakir mahupun yatim.

Halimah merupakan seorang wanita yang selalu menjadi ibu susuan. Pada tahun itu,
keluarganya ditimpa kemiskinan. Tanah menjadi tandus dan ternakan mereka menjadi
kurus kering. Akhirnya Halimah dan suaminya memutuskan untuk ke Mekah bagi
mengambil seorang bayi untuk disusui. Mereka berharap upah yang diberikan akan dapat
menampung keperluan hidup mereka pada waktu itu.

Unta yang dinaiki mereka itu sangat lemah. Halimah risau kalau-kalau unta itu mati
sebelum sampai ke Mekah.

Anak Halimah selalu menangis kelaparan. Unta yang dibawa juga sudah tidak
mengeluarkan susu kerana kekurangan zat. Halimah juga tidak mampu menyusui bayinya
lagi.

Akhirnya mereka sampai di Mekah. Semua bayi yang ada sudah diambil oleh wanita-wanita
yang lebih dahulu tiba di Mekah. Hanya tinggal seorang bayi lelaki bernama Muhammad.
Ayahnya sudah meninggal dunia dan keluarganya miskin. Kedudukan mereka sangat mulia
di antara tokoh-tokoh Quraisy, namun wanita-wanita lain enggan mengambilnya kerana dia
yatim dan miskin pula.

Halimah melihat Muhammad terbaring dalam keadaan lapar di ranjangnya yang kasar.
Tiba-tiba Halimah berasa kasihan terhadap Muhammad. Allah menanamkan rasa kasih dan
cinta di dalam hati Halimah. Wanita itu terus jatuh sayang apabila melihat Muhammad.

Halimah pun membawa anak yatim itu pulang ke rumahnya. Dalam perjalanan, Halimah
membelai Muhammad dengan penuh kasih sayang. Beliau meletakkan tangan ke dada bayi
itu sehingga Muhammad tertawa. Beliau mencium dahi Muhammad. Halimah berasakan
seolah-olah Muhammad itu seperti anaknya sendiri.

Halimah pun menyusui Muhammad. Alangkah terperanjatnya Halimah apabila mendapati


bayi itu mampu menyusu sehingga kenyang dan tertidur. Anaknya sendiri juga menyusu
sehingga kenyang dan tidur. Halimah juga merasa tubuhnya lebih sihat daripada yang
sebelumnya.
Tidak berapa lama selepas membawa Muhammad pulang ke perkampungannya, nasib
keluarga Halimah berubah. Tanah yang tandus menjadi subur. Binatang ternakan yang
kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan banyak susu. Hidup Halimah gembira sekali.

Halimah tahu bahawa kebaikan itu telah datang bersama anak yatim yang disusuinya. Cinta
Halimah kepada Muhammad semakin bertambah dari sehari ke sehari. Anak yatim itu telah
diberkati oleh Yang Maha Esa.

-----------------------------------------------------------

Kakimu melangkah lesu menuju ke jalan pulang


Kecewa kerana gagal mendapat bayi hartawan
Namun apakah yang akan kau beri sebagai jawapan
Jika ditanya mengapa kau gagal mendapatkannya

Tiba-tiba senyum si yatim itu menyapa


Tergugah deria ibu yang bersemi di jiwa
Biar Muhammad itu tanpa upah berganda
Namun hatimu rela bukan kerana harta

Halimatus Saadiah
Engkau ibu yang bertuah
Kau wanita penerima barakah
Dari desa pedalaman
Daerah di pinggiran
Kau menyusui insan pilihan

Kau pangku dia dan berubahlah segalanya


Badan yang terasa lesu kini bertenaga
Susu yang sedikit itu bertambah dengan segera
Peliharaan ternakan membiak subur berganda

Halimatus Saadiah, kau ibu barakah


Engkau pemula muqaddimah yang indah
Episod awal sirah Nabi junjungan mulia
Kau ibu susu yang bertuah

Pada sejarahmu terukir kenyataan


Tidak kan miskin jika membela Islam
Tidak hina meriba kebenaran yang mulia
Jangan takut jika kau beriman

Anda mungkin juga menyukai