Anda di halaman 1dari 25

1.

0 Penghargaan

Seribu kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan


rahmat kasih sayangnya, dapat juga saya menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan yang mungkin saya tidak sedari di dalam
hasil tugasan ini, namun saya tetap bersyukur dengan apa yang telah Allah s.w.t.
ilhamkan kepada saya sepanjang menyiapkan tugasan ini dan juga memohon maaf
di atas kekurangan yang terdapat di dalam tugasan ini.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada


pensyarah penasihat, Encik Amir Hamzah bin Aman. Tanpa beliau, tidak mungkin
saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurna. Terlalu banyak tunjuk ajar
yang telah beliau berikan. Masa yang beliau luangkan untuk membimbing saya, tidak
akan dilupakan.Terima kasih sekali lagi kerana tidak jemu memberi penerangan dan
membantu saya.

Saya juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Encik Azmi selaku
jurulatih Kem Kela kerana sudi memberikan peluang buat saya untuk melaksanakan
program ekspedisi berakit selama 3 hari 2 malam. Saya juga ingin berterima kasih
kepada jurulatih-jurulatih yang lain kerana banyak memberikan ilmu pengetahuan
yang baru mengenai aktiviti berakit dengan lebih mendalam.

Seterusnya, ucapan terima kasih saya hulurkan kepada ibu bapa saya kerana
sentiasa memberi sokongan dan galakan untuk sentiasa melakukan yang terbaik.
Tidak lupa kepada teman-teman yang telah banyak memberikan sokongan dan
bantuan untuk dalam menyiapkan tugasan ini.

Sekian, terima kasih.

1
2.0 Pengenalan

Program Pendidikan Khas Integrasi atau lebih dikenali sebagai PPKI telah
diwujudkan di Malaysia pada tahun 1997. Istilah lama bagi program PPKI ini ialah
Program Pendidikan Khas Percantuman. Menurut Dr Abdullah Yusof (2007),
program ini menempatkan murid kelas khas di kelas khas di dalam sebuah sekolah
yang biasa. Kebiasaannya, integrasi yang berlaku adalah pada peringkat fizikal di
mana murid khas dan murid normal berkongsi padang sekolah, bangunan dan
kantin.

Program Pendidikan Khas Integrasi disediakan untuk murid-murid


berkeperluan khas bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran dan
bermasalah penglihatan. la diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan
menengah dan sekolah menengah teknik/vokasional yang menggunakan
pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.

Objektif pendidikan khas integrasi adalah untuk menyediakan peluang dan


kemudahan pendidikan untuk murid-murid dengan keperluan khas, menyediakan
pendidikan yang sesuai dan relevan kepada setiap murid Pendidikan Khas serta
menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi dan
terkini.

Program Pendidikan Khas Integrasi ini ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan


Pendidikan Negeri manakala Jabatan Pendidikan Khas bertanggungjawab terhadap
perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan pengisiannya

Untuk semester ini, kami pelajar semester enam telah diberikan tugasan yang
harus disiapkan semasa kami berpraktikum. Tugasan Isu dan Trenda ini memerlukan
kami untuk menganalisis dan merumus artikel serta mencari maklumat tentang isu-
isu yang terdapat di sekolah tempat kami berpraktikum.

2
3.0 Ulasan artikel

3.1 Tajuk: Penglibatan Ibu Bapa dalam Pendidikan Kanak-Kanak

Masalah Pembelajaran (Tahap Pembentang: Pemantapan)

Penulis: Masitah Taib

Sumber: Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel ini membincangkan tentang penglibatan ibu bapa dalam


pendidikan kanak-kanak Masalah Pembelajaran. Terdapat empat aspek
penglibatan ibu bapa iaitu penglibatan awal, penglibatan dalam konteks
kehidupan, amalan penglibatan ibu bapa di rumah dan di sekolah serta kesan
penglibatan ke atas anak dan guru. Menurut Russel (1995), ibu bapa yang
mempunyai anak yang memerlukan rawatan khas tidak sepatutnya hanya
bergantung kepada kualiti pendidikan dan program yang telah sedia ada,
sebaliknya mereka perlu melibatkan diri dalam proses pendidikan anak.
Menurut Brofenbrenner (1979 dan 1989), persekitaran perkembangan
individu terdiri daripada lima sistem iaitu, mikrosistem, mesosistem,
makrosistem, ekosistem dan kronosistem. Teori sistem ekologi Brofenbrenner
sedikit sebanyak mempengaruhi penglibatan ibu bapa dalam pendidikan
kanak-kanak berkeperluan khas. Selain itu, kajian penglibatan ibu bapa dalam
pendidikan anak berkeperluan khas yang terdahulu lebih berfokus kepada
pencapaian akademik dan penguasaan kemahiran. Kajian yang dibuat bagi
artikel ini lebih bertumpu kepada penglibatan ibu bapa dalam persekitaran
yang berbeza dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri
ketidakupayaan dalam pembelajaran.
Cara pengumpulan data dapat dilihat menerusi protokol temu bual,
protokol pemerhatian dan analisis dokumen yang dijalankan terhadap enam
orang ibu bapa terdiri daripada empat orang ibu dan dua orang bapa. Menurut
perspektif ibu bapa, terdapat beberapa tema yang dapat dikenal pasti
berhubung penglibatan aktifnya dalam pendidikan kanak-kanak. Empat tema
yang terlibat adalah impak ketidakupayaan ke atas ibu bapa, konteks
kehidupan mempengaruhi, amalan membantu dan juga kesan positif anak.
Menurut perspektif guru, terdapat satu tema yang dapat dikenal pasti

3
berhubung kesan penglibatan ibu bapa ke atas guru iaitu perubahan bentuk
penglibatan.
Impak ketidakupayaan ke atas ibu bapa menjadi punca penglibatan
awal ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak Masalah Pembelajaran.
Terdapat enam pengalaman berperingkat penglibatan awal ibu bapa iaitu
diagnosis, respon emosi, sikap positif, cabaran, strategi mengendali dan
intervensi awalan. Ini bermula apabila ibu bapa membandingkan
perkembangan awal kanak-kanak masalah Pembelajaran dengan kanak-
kanak normal. Kebanyakan ibu bapa memberikan respon emosi yang berbeza
seperti sedih dan risau. Namun begitu, sikap positif dapat dibina dalam diri
kesemua ibu bapa menerusi maklumat yang diperoleh daripada jururunding
dan doktor. Ibu bapa menerima kehadiran anak sebagai satu cabaran yang
perlu ditempuhi dalam kehidupan. Setelah itu, ibu bapa menggunakan strategi
dalam menjaga kanak-kanak Masalah Pembelajaran dan menglibatkan diri
secara tidak langsung dalam program intervensi awal di hospital atau di
rumah. Kesan positif dalam psikomotor, perkembangan kognitif serta
pengurangan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak Masalah
Pembelajaran sedikit sebanyak berpunca daripada usaha ibu bapa
menglibatkan diri secara aktif dalam intervensi awal.
Konteks kehidupan mempengaruhi juga menjadi faktor penting ibu bapa
melibatkan diri secara aktif. Mereka mengaplikasikan kaedah penyesuaian
masa sama ada berhenti kerja atau bekerja mengikut masa fleksibel. Selain
itu, ibu bapa yang mempunyai tarap pendidikan dan sosioekonomi yang tinggi
cenderung untuk mengeluarkan peruntukkan dari segi kemudahan
pengangkutan dan kemudahan belajar. Dickinson & Lewing, 1990; Rozumali &
Nazli, 1999) mendapati hanya penjaga-penjaga berpendapatan tinggi,
berjawatan tinggi dan berpendibkan tinggi sahaja dkatakan memberi
komitmen yang lebih kepada persekolahan anak.
Amalan penglibatan ibu bapa di sekolah dan di rumah juga berkait rapat
dengan amalan asas, penglibatan dalam akademik dan kehidupan serta
keperluan sokongan sosial. Penglibatan ibu bapa dalam akademik dapat
dilihat dari segi penyeliaan kerja rumah, penyediaan khidmat guru tuisyen,
perbincangan dengan guru serta lain-lain lagi. Selain itu, ibu bapa juga
memerlukan sokongan sosial terutama dari ahli keluarga yang lain, NGO,

4
majikan, guru, ibu bapa lain serta profesional perubatan. Keluarga yang
mempunyai anak kwang upaya kini semakm ramai menerima perkhidmatan
dan pendidikan dari agensi yang membekalkan sistem pengurusan untuk
mendidik anak kurang upaya (Fiene & Taylor, 1991).
Dua bentuk kesan positif anak iaitu kesan positif dicapai dan kesan
positif jangka panjang. Kesan positif dicapai adalah hasil intervensi awal
manakala kesan positif jangka panjang adalah dari keupayaan kanak-kanak
Masalah Pembelajaran mengembangkan bakat, mendapat pekerjaan yang
sesuai dan menjalani kehidupan yang baik.
Menurut perspektif guru, terdapat tiga kesan interaksi antara guru
dengan ibu bapa iaitu kesan dua hala, kesan kritikan dan kesan tumpuan.
Menurut Houtenville dan Convay (2008), penglibatan ibu bapa seperti
perbincangan, komunikasi menentukan pencapaian kanak-kanak dalam
mencapai matlamat yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Secara
kesimpulannya, ibu bapa boleh memilih sama ingin melibatkan diri secara aktif
atau pasif dalam pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.

5
3.2 Isu-isu berkaitan artikel

Isu pertama yang timbul adalah tiada kesinambungan pembelajaran


murid di rumah dengan di sekolah. Ini dapat dilihat apabila murid-murid
berkeperluan khas mempunyai dua corak pembelajaran yang berbeza semasa
berada di sekolah dan di pusat tuisyen. Berdasarkan artikel di atas,
penglibatan ibu bapa secara aktif telah mendorong mereka menggunakan
khidmat guru tuisyen untuk meningkatkan tahap kognitif murid-murid
berkeperluan khas. Menurut Platt dan Olson (1997), pengaruh ibu bapa
sangat kuat terhadap perkembangan anak dalam membina keyakinan diri,
meningkatkan harga diri dan potensi anak. Ibu bapa yang mempunyai tahap
pendidikan dan sosioekonomi yang tinggi cenderung untuk menghantar anak
mereka ke pusat-pusat tuisyen yang menjanjikan pencapaian tinggi terutama
dalam bidang akademik. Kebanyakan ibu bapa yang terdiri daripada kaum
Cina akan menghantar anak-anak mereka ke pusat terapi seperti terapi
pertuturan dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa kanak-
kanak berkeperluan khas. Selain itu, mereka juga menghantar anak-anak
mereka ke pusat tuisyen untuk mempelari mata pelajaran teras seperti
Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk meningkatkan
daya kognitif kanak-kanak berkeperluan khususnya murid-murid hiperaktif.
Kesan negatif yang dapat dilihat adalah murid akan berasa keliru dengan dua
corak pembelajaran yang berbeza dan lama kelamaan murid akan
menunjukkan masalah tingkah laku di dalam kelas. Murid akan berasa cepat
bosan dan tidak menumpukan perhatian sekiranya isi pelajaran yang di ajar
oleh guru di sekolah sudah dipelajari semasa berada di pusat tuisyen.
Isu yang kedua ialah persepsi negatif sekolah terhadap penglibatan ibu
bapa. Pihak sekolah memandang sumber tenaga ibu bapa adalah sesuatu
yang membazir kerana pihak sekolah tidak melihat ia sebagai satu kaedah
yang boleh diguna untuk membantu guru di dalam bilik darjah. Hubungan baik
antara guru dengan pihak sekolah. perlulah ada dalam menjamin tahap
pencapaian murid dari semasa ke semasa. Pihak sekolah seharusnya
memberi penekanan kepada penglibatan ibu bapa terhadap aktiviti sekolah.
Ini memberi implikasi kepada penekanan program-program penglibatan ibu
bapa yang lebih berkesan di sekolah.

6
Isu ketiga ialah kesedaran ibu bapa mengenai masa depan kanak-
kanak berkeperluan khas masih berada di tahap minima. Ibu bapa kurang
prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak berkeperluan khas yang memerlukan
sepenuh perhatian dalam menguruskan diri. Hal ini dapat dilihat dengan jelas
dalam kalangan ibu bapa yang tinggal di luar bandar. Sesetengah ibu bapa
beranggapan murid berkeperluan khas tidak layak untuk mendapatkan
pendidikan yang seimbang dan sempurna. Isu ketidakhadiran murid di sekolah
sering timbul kerana ibu bapa kurang peka akan kepentingan pendidikan
dalam kalangan murid berkeperluan khas. Hal ini bukan sahaja menyukarkan
murid bahkan kepada guru-guru Pendidikan Khas. Kesan daripada situasi ini,
wujudlah isu keciciran murid berkeperluan khas daripada alam persekolahan.
Akhirnya, murid berkeperluan khas hanya menjadi bebanan kepada keluarga
masing tanpa-tanpa menguasai kemahiran baru seperti pengurusan diri yang
berguna pada masa akan datang.
Isu yang seterusnya ialah ketidakpercayaan ibu bapa terhadap guru-
guru Pendidikan Khas. Ini dapat dilihat apabila sesetengah ibu bapa kurang
yakin akan kredibiliti guru Pendidikan Khas dalam mengawal dan menjaga
murid semasa aktiviti renang dijalankan. Ibu bapa masih ragu-ragu untuk
memberikan kebenaran dalam memberi peluang kepada murid berkeperluan
khas mencuba sesuatu yang baru. Penglibatan ibu bapa dalam apa jua aktiviti
sekolah masih berada pada tahap sederhana. Sebagai contoh, aktiviti terapi
renang selalu dijalankan sebanyak dua kali sebulan tidak mendapat sambutan
yang menggalakkan daripada pihak ibu bapa. Kerjasama antara ibu bapa
dengan pihak sekolah amatlah kurang dan ini telah menyebabkan program ini
tidak dapat berjalan seperti biasa disebakan kekurangan penyertaan murid
berkeperluan khas. Murid berasa bosan kerana tidak dapat menyertai aktiviti
luar. Pihak ibu bapa misalnya perlu berfikiran positif dan meletakkan sepenuh
kepercayaan kepada guru Pendidikan Khas mengenai keselamatan anak-
anak mereka semasa aktiviti luar kerana kebanyakan guru Pendidikan Khas
merupakan guru yang terlatih.
Isu yang terakhir adalah kebergantungan ibu bapa terhadap pihak
sekolah semata-mata dalam usaha mendidik anak mereka mengenai
pengurusan diri. Isu yang paling ketara timbul apabila ibu bapa yang
mempunyai taraf pendapatan yang tinggi hanya melibatkan diri secara aktif

7
dalam penglibatan kanak-kanak berkeperluan khas dari segi peruntukan
kewangan. Ibu bapa merasakan bantuan dari segi kewangan sudah memadai
kepada pihak sekolah dan menjadikan kelas Pendidikan Khas sebagai
‘nursery’ untuk menjaga kebajikan dan keselamatan murid berkeperluan khas
semasa ketiadaan mereka. Disebabkan itu, terdapat murid yang masih tidak
tahu membuang air kecil atau besar di tandas. Selain itu, terdapat juga murid
yang tidak mandi semasa datang ke sekolah kerana kesibukan ibu bapa yang
mengejar waktu untuk pergi bekerja. Perkara ini sedikit sebanyak
mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dimana guru sendiri
terpaksa menguruskan murid tersebut semasa berada di dalam kelas. Justeru
itu, pihak ibu bapa perlu duduk berbincang dengan guru-guru Pendidikan
Khas mengenai masalah yang dihadapi oleh murid dan berganding bahu
dalam membantu meningkatkan kemahiran mengurus diri dari semasa ke
semasa supaya murid dapat berdikari tanpa memerlukan bantuan orang lain.

8
4.0 Isu pelaksanaan program integrasi di sekolah

Bagi semester ini, saya bersama dua orang rakan guru pelatih telah menjalani
praktikum selama dua bulan di sebuah sekolah yang terletak di Kuala Lumpur
bermula pada 15 Julai 2013 hingga 20 September 2013. Saya telah ditugaskan pergi
ke sekolah mempunyai Program Integrasi Masalah Pembelajaran dan mengumpul
maklumat berkaitan program Integrasi masalah Pembelajaran di sekolah yang dipilih
sebagai tempat praktikum dalam melengkapkan tugasan PKU3111 Isu dan Trenda.

Dalam menyiapkan tugasan ini, saya menggunakan pelbagai cara untuk


mengumpul data atau maklumat seperti pemerhatian, temu bual, serta soal selidik
secara tidak langsung. Saya telah membuat pemerhatian ke atas murid-murid
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), guru-guru PPKI, Pembantu Pengurusan
Murid (PPM), kelas-kelas PPKI serta kakitangan sekolah. Selain itu, saya telah
membuat temu bual dengan Guru Penolong Kanan PPKI mengenai murid-murid
PPKI dan guru-guru PPKI. Pelbagai maklum balas sama ada positif dan negatif telah
diterima sepanjang saya mengumpul maklumat dan data untuk mengupas isu yang
menonjol untuk dibincangkan.

Setelah meneliti semua maklum balas yang diperoleh, saya telah memilih tiga
isu yang paling menonjol untuk dibincangkan. Tiga isu yang saya pilih untuk
dibincangkan adalah pelabelan dan pengasingan, penglibatan ibu bapa serta
kemudahan dan prasarana.

4.1 Pelabelan dan Pengasingan

Seperti yang kita sedia maklum, Program Pendidikan Khas Integrasi


diwujudkan untuk mengintegrasikan murid khas dan murid normal tetapi kajian
yang dibuat oleh Zarin Ismail, Safani Bari dan Soo Boon Seng (2004)
mendapati tahap integrasi sosial dalam kalangan murid khas dan murid
normal masih berada pada aras yang rendah atau minima. Ini jelas
membuktikan bahawa program ini mempunyai kekurangan kerana terdapat
beberapa isu yang timbul di sekolah. Maksud pengasingan adalah pemisahan
antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Pengasingan juga dikenali
sebagai segregasi.

9
Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya mendapati isu
pengasingan paling ketara berlaku kepada murid-murid Program Pendidikan
Khas Integrasi. Antara contoh isu yang berbangkit adalah pengasingan jadual
waktu rehat murid berkeperluan khas dengan murid aliran perdana. Waktu
rehat bagi murid berkeperluan khas bermula pada pukul 10.00 pagi manakala
waktu rehat bagi murid aliran perdana bermula pada pukul 10.30 pagi. Faktor
utama waktu rehat berlainan kerana kemungkinan murid Pendidikan Khas
akan mengganggu murid normal yang lain semasa makan. Selain itu, murid
khas juga tidak mampu menguruskan diri dengan baik semasa makan dan
memerlukan pemerhatian yang lebih daripada Pembantu Pengurusan Murid
(PPM). Persekitaran yang kotor seperti nasi yang bertaburan dan air yang
tumpah di atas meja menyebabkan murid normal kurang selesa untuk makan
berdekatan dengan murid Pendidikan Khas.

Perbezaan waktu rehat menyebabkan wujudnya jurang sosial antara


murid berkeperluan khas dengan murid aliran perdana. Kesan negatif yang
wujud apabila waktu rehat berlainan bagi kedua-dua kelompok ini adalah
peluang interaksi yang kurang antara murid normal dengan murid khas. Murid
khas akan mengambil inisiatif berinteraksi antara satu sama lain dengan
mereka sahaja. Komunikasi dua hala antara murid normal dengan murid khas
jarang berlaku berbanding komunikasi dua hala antara murid khas dengan
murid khas yang lain.

Namun begitu, jurang sosial lebih besar timbul antara murid normal
dengan murid khas dan menjadi satu isu yang perlu dititikberatkan. Kurangnya
interaksi antara mereka menyebabkan murid normal tidak dapat mengenali
dan memahami murid berkeperluan khas. Mereka tidak memahami
ketidakupayaan yang dialami oleh murid berkeperluan khas kerana kurang
diberi pendedahan secara terperinci. Akibatnya, mereka tidak mampu
memahami murid khas dengan sebaiknya.

Dari segi penglibatan kokurikulum, murid berkeperluan khas akan


diasingkan dengan murid-murid normal. Aktiviti kokurikulum seperti unit
beruniform, sukan dan persatuan akan dijalankan pada setiap hari Rabu
bermula pada pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang. Namun begitu, aktiviti

10
kokurikulum tidak berjalan seperti biasa bagi murid PPKI. Menurut guru di situ,
tujuan kokurikulum tidak berjalan seperti biasa kerana murid khas sukar untuk
dikawal serta akan menganggu kelancaran aktiviti kokurikulum. Hal ini
menyebabkan saya terpaksa mengikuti aktiviti kokurikulum murid-murid aliran
perdana pada setiap hari Rabu. Kesannya, saya tidak dapat diberi peluang
mengendalikan atau mengawal pergerakan murid berkepeluan khas ketika
aktiviti kokurikulum dijalankan. Kurangnya penglibatan murid Pendidikan Khas
dalam aktiviti kokurikulum sedikit sebanyak merugikan mereka kerana
pengetahuan dan pengalaman baru mengenai unit beruniform misalnya tidak
dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selain itu, murid berkeperluan
khas akan mengalami masalah penyesuaian diri dalam masyarakat setempat.
Kebaikan murid berkeperluan khas melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum
sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi diri dan memupuk sifat
kepimpinan dalam diri mereka. Sebagai contoh, murid perlu mendengar
arahan dan berdiri tegak semasa aktiviti kawad kaki dijalankan dan ini sedikit
sebanyak dapat mengawal disiplin dan tingkah laku mereka. Secara tidak
langsung, guru dapat mengaplikasikan aktiviti tersebut di dalam kelas supaya
kawalan kelas lebih terkawal dan sistematik.

Isu pelabelan juga merupakan isu penting yang sering disebut terutama
dalam Pendidikan Khas. Definisi pelabelan adalah satu tanggapan atau
penilaian yang dibuat berdasarkan pandangan individu itu sendiri.
Berdasarkan pemerhatian saya, guru-guru di sekolah terutama guru PPKI
sering melabelkan murid Pendidikan Khas sebagai murid yang berrmasalah
dan teruk. Ini dapat dilihat apabila terdapat seorang murid khas dilabel
sebagai seorang yang samseng oleh guru PPKI sambil diperhatikan oleh
pihak luar yang datang ke sekolah pada ketika itu. Insiden ini berlaku apabila
murid tersebut telah bersikap kurang ajar terhadap guru tersebut dengan
mengeluarkan kata-kata yang kurang sopan. Kesan daripada insiden tersebut,
masyarakat luar akan memberi persepsi negatif terhadap kesemua murid
Pendidikan Khas. Secara tidak langsung, murid Pendidikan Khas akan berasa
rendah diri dan kurang keyakinan dalam diri mereka. Ini dapat dilihat apabila
terdapat seorang murid perempuan yang mengalami masalah ‘Down
Sindrome’ sering menutup muka kerana takut untuk berdepan dengan murid

11
aliran normal yang lain. Sebab utama murid tersebut berkelakuan sebegitu
adalah kerana dia pernah dibuli oleh murid aliran perdana.

Isu pelabelan juga berlaku dalam kalangan guru dimana guru aliran
perdana memandang serong guru Pendidikan Khas dengan melabel mereka
sebagai guru yang mempunyai bebanan kerja yang sedikit, mengajar jumlah
murid yang sedikit serta mudah untuk mengajar murid yang berkeperluan
khas. Perkara ini sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif guru aliran
perdana kepada guru Pendidikan Khas mengenai elaun, gaji dan kemudahan
yang diberikan oleh kerajaan. Tugas menjadi seorang guru Pendidikan Khas
amatlah besar walaupun di mata kasar mereka hanya perlu mengajar murid
yang sedikit dan mempunyai tahap IQ yang rendah. Antara tugas yang perlu
digalas oleh guru Pendidikan Khas adalah mereka pelu menjaga kebajikan
murid-murid berkeperluan khas, menyediakan bahan bantu belajar (BBB)
yang sesuai mengikut tahap keupayaan murid Pendidikan Khas, menyediakan
Rancangan Pengajaran Individu (RPI) untuk menilai tahap perkembangan
seseorang murid dan sebagainya. Perkara sebegini tidak seharusnya timbul
kerana kesemua guru mempunyai beban tugas yang sama mengikut skop
jawatan masing-masing. Menerusi artikel surat khabar Berita Harian bertarikh
2 April 201 mengatakan bahawa tokoh-tokoh akademik mengesyorkan supaya
jawatan pembantu guru diwujudkan untuk mengurangkan beban tugas
pengkeranian yang semakin bertambah dalam kalangan guru.

Gambar 1: Keratan artikel Berita Harian bertarikh 2 April 2010


12
Ini jelas menunjukkan bahawa kebanyakan guru aliran perdana
cemburu dengan guru Pendidikan Khas yang mempunyai Pembantu
Pengurusan Murid (PPM) dalam membantu menjaga kebajikan murid-murid
khas. Jawatan pembantu guru yang disyorkan perlu diberi perhatian untuk
mengkaji tahap keberkesanan jawatan tersebut dalam membantu
mengurangkan beban tugas guru aliran perdana. Sekiranya jawatan
pembantu guru yang dicadangkan dapat menghilangkan persepsi negatif guru
aliran perdana terhadap guru Pendidikan Khas, maka kerajaan perlu
melaksanakan pengambilan jawatan pembantu guru secepat mungkin agar
jurang antara guru aliran perdana dengan guru pendidikan khas dapat
dikurangkan. Kesannya, isu pelabelan terhadap guru PPKI tidak akan berlaku
dan kerjasama yang baik dapat dihasilkan antara guru aliran perdana dengan
guru PPKI dari semasa ke semasa.

4.2 Kepelbagaian Kompetensi Murid

Murid-murid Pendidikan Khas mempunyai tahap keupayaan yang


berbeza mengikut aras kognitif mereka. Teori Kecerdasan Pelbagai telah
dikemukakan oleh Howard Gardner (1983). Menurut Gardner, setiap manusia
mempunyai lapan tahap kecerdasan pelbagai iaitu kinestetik, muzik, verbal-
linguistik, visual-ruang, interpersonal, intrapersonal, naturalis dan logik-
matematik. Tahap kecerdasan manusia yang diukur berdasarkan ujian IQ
adalah terlalu terhad dan sudah ketinggalan zaman. Justeru itu, Gardner
mencadangkan 8 jenis kecerdasan pelbagai yang berbeza sebagai cara untuk
mengukur potensi kecerdasan manusia sama ada golongan kanak-kanak
mahupun dewasa.

Bagi praktikum semester dua ini, saya telah ditugaskan untuk mengajar
dua buah kelas bagi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani. Melalui
pemerhatian dan pengalaman saya ketika mengajar murid Pendidikan Khas
adalah wujudnya isu penempatan yang tidak sesuai berdasarkan keupayaan
dan kebolehan murid. Sebagai contoh, terdapat tiga golongan murid yang
mempunyai keupayaan IQ yang berbeza iaitu tahap IQ yang terlalu rendah,
sederhana dan tinggi. Ketiga-tiga golongan murid ini dicampurkan dan
diletakkan sekali dalam kelas yang sama. Berdasarkan temu bual antara saya

13
dengan guru Penolong Kanan PPKI, jelas menunjukkan bahawa murid PPKI
ditempatkan mengikut umur. Hal ini menyebabkan murid yang mempunyai IQ
yang tinggi cepat berasa bosan dan mudah terganggu dengan persekitaran
mereka. Ini dapat dilihat apabila murid yang memiliki IQ yang tinggi cenderung
melakukan aktiviti yang lain semasa guru mengajar. Selain itu, murid tersebut
juga sering menunjukkan masalah tingkah laku seperti menjongketkan kerusi
semasa duduk untuk menunjukkan perasaan bosan di dalam kelas. Bagi
murid yang memiliki IQ yang rendah, mereka tidak berminat untuk
menumpukan perhatian dan belajar dengan baik di dalam kelas kerana
mereka berasa tersisih daripada murid-murid yang lain. Hal ini menyebabkan
murid yang memiliki IQ yang rendah akan lebih ketinggalan semasa mengikuti
proses pengajaran dan pembelajaran. Mereka akan lebih cenderung
mengganggu rakan di sebelah untuk menghilangkan rasa bosan.

Selain itu, murid-murid Pendidikan Khas ditempatkan mengikut masalah


pembelajaran yang pelbagai. Murid-murid saya terdiri daripada pelbagai jenis
masalah pembelajaran iaitu hiperaktif, ‘slow learner’, masalah penglihatan dan
autisme. Murid hiperaktif mempunyai masalah tingkah laku di mana mereka
sering berjalan-jalan di sekitar kelas dan sering membuat alasan untuk pergi
ke tandas. Murid autisme mempunyai masalah tingkah laku di mana mereka
tidak menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas. Hal ini
menyebabkan kawalan kelas menjadi terkawal kerana murid merayau-rayau di
dalam kelas, membuat bising dan mengganggu rakan yang lain. Kesilapan
yang paling ketara dalam penempatan murid Pendidikan Khas adalah murid
yang mengalami masalah penglihatan dimasukkan bersama dengan murid
bermasalah pembelajaran. Rentetan daripada situasi tersebut, saya terpaksa
membuat bahan bantu belajar (BBB) yang sesuai dengan masalah
pembelajaran murid kerana terdapat seorang anak murid yang mengalami
masalah penglihatan. Bahan bantu belajar (BBB) yang dibina perlu besar,
jelas, ringkas, penggunaan warna yang minimum dan penggunaan saiz
perkataan yang besar sesuai dengan ketidakupayaan yang dialami oleh murid
saya. Saya juga perlu menggunakan pendekatan ‘bermain sambil belajar’
seperti permainan golf untuk menarik minat murid untuk menumpukan
perhatian dalam jangka masa yang lama semasa sesi pengajaran dan

14
pembelajaran dijalankan. Lembaran kerja yang diberikan juga perlu sesuai
dengan aras kognitif murid dan tahap keupayaan murid.

Gambar 2: Kepelbagaian murid mengikut masalah pembelajaran

Gambar 3: Murid PPKI yang mengalami masalah penglihatan

Selain itu, bilangan murid yang ditempatkan dalam satu kelas terlalu
ramai. Sebagai contoh, kebanyakan kelas Pendidikan Khas terdiri daripada 8
orang murid. Jumlah tersebut boleh dikatakan agak ramai untuk kelas
Pendidikan Khas ditambah pula dengan tahap IQ yang berbeza dalam
kalangan murid. Guru mengalami masalah dalam mengawal kelas yang terdiri
daripada murid yang terlalu ramai. Guru tidak dapat menjaga dan mengawasi
murid agar tidak melanggar peraturan di dalam kelas. Bilangan murid yang
melebihi jangkauan pengawasan guru akan memberikan tekanan kepada guru
15
untuk mengawal disiplin kelas sebelum kelas bermula. Sebagai contoh, jika
seorang guru Pendidikan Khas mempunyai 60 minit masa mengajar, terdapat
10 minit yang telah terbuang begitu sahaja akibat daripada untuk mengawal
keadaan kelas dan suasana murid yang kurang selesa kerana kesesakan
dalam kelas. Justeru itu, peranan Pembantu Pengurusan Murid (PPM)
amatlah perlu dalam membantu guru Pendidikan Khas mengawal tingkah laku
murid-murid. Peneguhan negatif seperti denda atau hukuman boleh
dilaksanakan sekiranyan murid menunjukkan masalah tingkah laku yang tidak
diingini semasa P&P berlangsung.

4.3 Kemudahan fizikal

Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin


merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Ruang bilik darjah perlu
diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Persekitaran yang selesa,
kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran
murid. Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek
seperti susunan dan reka bentuk fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan
pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding,
pengcahayaan, pengudaraan dan perabot serta kebersihan.

Isu yang dapat saya kupas adalah ketiadaan bilik yang sesuai dan
kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Khas. Seperti
yang kita sedia maklum, sebuah bilik darjah yang kondusif adalah berukuran
sekurang-kurangnya 2 bay. Susun atur kelas tertakluk kepada pelan yang
telah diluluskan dalam projek brif RMK9. Keadaan kelas yang yang sempit
dan tidak selesa sedikit sebanyak mengganggu proses P&P guru. Sekolah
saya tidak mengaplikasikan kaedah stesen di mana murid perlu bergerak ke
stesen-stesen yang telah ditetapkan seperti stesen Bahasa Melayu,
Matematik dan sebagainya mengikut jadual waktu yang ditetapkan.
Sebaliknya, sekolah saya mengaplikasikan kaedah kelas biasa dimana guru
yang akan bergerak ke kelas masing-masing manakala murid akan menunggu
guru untuk masuk ke dalam kelas.

Melalui pemerhatian saya, saya mendapati sebuah kelas terpaksa


dikongsi oleh dua kumpulan yang berbeza. Antara kesan negatif yang dapat

16
saya kenal pasti adalah murid mudah terganggu dan tidak dapat menumpukan
sepenuh perhatian semasa proses P&P dijalankan. Ini kerana murid
terganggu dengan kelantangan suara oleh guru atau murid yang berada di
kelas yang bersebelahan. Murid akan berasa keliru dengan arahan yang
diberikan oleh guru dan tidak dapat menerima maklumat yang disampaikan
dengan baik. Guru juga akan mengalami masalah ketika memasang alat
muzik semasa sesi P&P dimana murid mudah tertarik dengan bunyi-bunyian
dan secara tidak langsung mereka akan pergi ke kelas sebelah dan
meninggalkan kelas tanpa menghiraukan guru yang berada di hadapan kelas.

Guru Pendidikan Khas juga akan mengalami masalah dalam membuat


aktiviti permainan yang memerlukan ruang yang luas untuk bergerak. Ruang
yang kecil mengehadkan murid untuk bergerak semasa aktiviti permainan
dijalankan. Guru perlu mengambil inisiatif mengubahsuai permainan yang
hendak dijalankan supaya bersesuaian dengan ruang yang kecil. Antara
permainan yang boleh dijalankan tanpa menggunakan ruang yang besar
adalah seperti permainan kotak beracun, permainan harta karun dan
permainan memancing ikan. Saya telah melaksanakan kesemua aktiviti
permainan tersebut dan ternyata aktiviti tersebut berjaya dilaksanakan dengan
lancar tanpa dipengaruhi oleh ruang yang kecil. Masalah ini dapat diatasi
dengan cara menempatkan satu kumpulan bagi satu kelas sahaja ataupun
menggunakan papan lembut sebagai pembahagi setiap kelas.

Selain itu, kekurangan peralatan sukan juga menjadi isu yang perlu
diambil kira dalam Pendidikan Khas. Ini dapat dilihat apabila kemudahan
peralatan sukan di dalam stor Pendidikan Khas tidak mencukupi bagi bilangan
murid Pendidikan Khas yang ramai. Sebagai contoh, terdapat beberapa set
gelung, kon, bola, tali yang hanya boleh digunakan bagi mata pelajaran
Pendidikan Jasmani. Kekurangan peralatan sukan sedikit sebanyak
mengehadkan kemahiran sukan yang perlu diajar kepada murid Pendidikan
Khas. Saya terpaksa meminjam peralatan sukan di stor sekolah yang terletak
bersebelahan dengan bilik Urus Diri. Namun begitu, kebanyakan peralatan
sukan tidak boleh digunakan kerana sudah rosak dan patah. Terdapat juga
bola yang sudah kempis disebabkan kekurangan angin. Guru Pendidikan
Khas terpaksa menggunakan bola yang keras dan berat. Bola sebegini jelas

17
tidak memenuhi spesifikasi keselamatan untuk murid berkeperluan khas. Bola
yang sesuai digunakan mestilah bersifat ringan, lembut, selamat dan tidak
merbahaya. Terdapat murid yang mempunyai kemahiran motor kasar yang
rendah tidak mampu menangkap bola yang keras dan berat. Ini akan
menyebabkan kecederaan pada tangan murid tersebut.

Selain itu, guru Pendidikan Khas cenderung untuk mengajar kemahiran


sukan yang sama berulang kali disebabkan kekurangan peralatan sukan.
Hasil temu bual antara saya dengan murid-murid Pendidikan Khas mendapati
guru Pendidikan Khas cenderung mengajar kemahiran menggunakan bola
dan juga kemahiran badminton semasa mata pelajaran Pendidikan Jasmani.
Mereka beranggapan kemahiran tersebut mudah untuk diajar dan kelas
mudah untuk dikawal. Namun begitu, lama kelamaan murid akan berasa
bosan kerana mempelajari kemahiran yang sama berulang kali dan tidak
berpeluang mempelajari kemahiran baru yang lain. Hal ini menyebabkan
tahap penguasaan murid terhadap kemahiran Pendidikan Jasmani tidak dapat
dikenal pasti dari semasa ke semasa. Guru seharusnya menyediakan senarai
semak kemahiran Pendidikan Jasmani bagi setiap murid agar
penambahbaikan dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa. Senarai semak
tersebut boleh menjadi bukti untuk diberikan kepada pihak ibu bapa dalam
memantau perkembangan fizikal murid terutama dalam mata pelajaran
Pendidikan Jasmani.

Kekurangan bilik-bilik khas seperti bilik Urus Diri juga menjadi isu yang
perlu dibincangkan oleh pelbagai pihak. Seperti yang kita sedia maklum, mata
pelajaran Pengurusan Diri memerlukan murid Pendidikan Khas mempelajari
cara mengurus diri dari segi pakaian, tempat tinggal, tempat tidur dan
sebagainya. Namun begitu, terdapat isu yang timbul apabila tiada ruang khas
yang disediakan untuk melaksanakan aktiviti membasuh kasut bagi mata
pelajaran Urus Diri. Guru Pendidikan Khas terpaksa menjalankan aktiviti
tersebut di koridor sekolah yang terletak di belakang kelas Pendidikan Khas.
Bilangan murid yang ramai menyebabkan murid terpaksa berhimpit untuk
memberus kasut pada ruang yang agak terhad. Namun begitu, kelas masih
lagi berada dalam keadaan terkawal kerana guru Pendidikan Khas dibantu
oleh Pembantu Pengurusan Murid. Saluran air yang terletak di koridor

18
tersebut juga kecil dan melambatkan proses membilas kasut yang telah
diberus. Setelah selesai membasuh kasut, murid terpaksa bergerak ke tempat
yang lain pula untuk menjemur kasut dan meletakkan kapur pada kasut
tersebut. Hal ini menyebabkan kelancaran aktiviti tersebut terjejas disebabkan
murid telah menunjukkan masalah tingkah laku seperti berlari dan bergaduh
antara satu sama lain. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah perlu
mengambil inisiatif menyediakan bilik-bilik khas bagi mata pelajaran Urus Diri
khususnya. Ini sedikit sebanyak dapat memudahkan tugas guru Pendidikan
Khas untuk mengajar kemahiran Urus Diri kepada murid-murid berkeperluan
khas yang dapat diguna pakai di masa akan datang.

Gambar 4: Ruang urus diri yang terhad

Gambar 5: Ketiadaan tempat untuk membasuh kasut

19
5.0 Refleksi

Bagi semester ini, saya perlu menyiapkan tugasan bagi kerja kursus Isu dan
Trenda (PKU 3111) untuk subjek major Pendidikan Khas. Saya perlu membuat dua
sub tugasan iaitu membuat rumusan artikel dan membincangkan isu-isu yang timbul
berdasarkan isi artikel tersebut serta mengumpul maklumat berkaitan program
Integrasi Masalah Pembelajaran di sekolah semasa menjalani praktikum selama dua
bulan. Saya telah menggunakan pelbagai teknik seperti pemerhatian dan temu bual
dalam mendapatkan maklumat berkaitan dengan tugasan yang diberikan.

Antara kekuatan yang dapat saya kenal pasti adalah saya dapat membina
hubungan baik dengan pihak sekolah terutama guru-guru Pendidikan Khas,
Pembantu Pengurusan Murid (PPM) serta murid-murid Pendidikan Khas. Saya telah
membuat pemerhatian terhadap kelas-kelas Pendidikan Khas, kemudahan fizikal
serta corak pengajaran dan pembelajaran yang diaplikasikan oleh guru-guru PPKI
kepada murid –murid PPKI. Temu bual juga telah saya jalankan terhadap beberapa
orang PPM, murid-murid Pendidikan Khas serta guru-guru Pendidikan Khas dalam
usaha untuk mengenal pasti isu yang menonjol untuk dibincangkan.

Sikap peramah dan ringan tulang dalam diri saya sedikit sebanyak membantu
saya mendapatkan maklumat yang diperoleh dengan cepat. Selain itu, sikap mudah
mesra dalam diri membantu saya untuk mengenali pihak sekolah dan kakitangan
sekolah seperti staf akademik dengan lebih mudah dalam jangka masa yang singkat.
Walaupun pada mulanya, saya berasa sukar untuk menyesuaikan diri dengan
persekitaran sekolah, namun dengan sokongan dan bantuan yang tidak putus-putus
daripada pihak sekolah memudahkan saya untuk mengenali mereka dengan lebih
dekat dan dapat mengurangkan rasa malu yang terdapat dalam diri saya.

Saya juga dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan intrapersonal


dalam diri sepanjang menjalani praktikum selama dua bulan di sebuah sekolah yang
terletak di Kuala Lumpur. Selain daripada saya dan dua orang rakan pelatih, terdapat
empat orang guru pelatih daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa
Antarabangsa yang mengambil kos Kajian Sosial dan juga Teaching English as
Secondary Language (TESL). Saya banyak membuat perbincangan mengenai
tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan bertukar-tukar pendapat antara satu

20
sama lain. Saya dapat menimba pengalaman baru ketika menjalani praktikum
selama dua bulan kerana dapat bergaul dengan guru pelatih dari institut yang lain.

Kekuatan yang seterusnya adalah saya dapat mengukuhkan kemahiran


merumus artikel dengan lebih baik. Ini kerana saya tidak mengalami masalah dalam
membuat ulasan berdasarkan artikel yang telah dipilih kerana saya mempunyai
pengalaman membuat ulasan artikel bagi kursus Pentaksiran dalam Pendidikan
Khas. Pengalaman sedia ada sedikit sebanyak dapat membantu saya menghasilkan
rumusan artikel yang berkualiti dan memenuhi kehendak yang tugasan yang
diberikan. Saya juga dapat melatih diri supaya membiasakan diri dengan memahami
dan menghayati kandungan jurnal dengan lebih baik. Kemahiran ini perlu dikuasai
dengan lebih baik agar saya tidak mengalami masalah dalam membuat tesis semasa
berada di semester 8 kelak.

Selain itu, saya juga dapat melatih diri untuk berfikir secara kritis dan kreatif
serta mengaplikasikan kemahiran berfikir pada peringkat yang tinggi. Ini dapat dilihat
menerusi sub tugasan 1 yang memerlukan saya mencungkil dan membincangkan
isu-isu yang timbul berdasarkan isi artikel tersebut. Saya perlu bijak menggunakan
kemahiran berfikir aras tinggi seperti menganalisis, menaakul dan mencari isi tersirat
yang terdapat pada jurnal yang dipilih. Kemahiran menaakul, menginterpretasi dan
membuat inferens misalnya merupakan kemahiran membaca aras tinggi bagi bahan-
bahan bacaan yang lebih bersifat kompleks seperti jurnal yang merupakan hasil
laporan kajian yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh bijak pandai. Menurut Onosko dan
Newmann(1994), kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) adalah penggunaan potensi
minda untuk menangani cabaran baru. KBAT memerlukan pelajar menilai maklumat
secara kritis, membuat inferens dan membuat generalisasi. Kesemua kemahiran
tersebut dapat diaplikasikan ketika membuat rumusan berdasarkan jurnal yang
dipilih.

Kekuatan yang paling ketara yang dapat saya lihat adalah saya dapat melihat
sendiri isu-isu yang timbul dalam Pendidikan Khas semasa menjalani praktikum
selama 2 bulan di sekolah. Tidak semua isu yang dipaparkan di dada akhbar adalah
benar kerana ia bergantung kepada pengurusan dan pentadbiran sekolah itu sendiri.
Sebagai contoh, tahap sosioekonomi sedikit sebanyak mempengaruhi hubungan
antara guru dengan ibu bapa murid-murid Pendidikan Khas. Kebanyakan ibu bapa

21
yang mempunyai tahap pendidikan yang bagus lebih mudah memberikan kerjasama
terutama dari segi kewangan dan bantuan berbanding ibu bapa yang berpendapatan
rendah sukar untuk memberikan kerjasama dengan pihak guru.

Terdapat beberapa kelemahan yang dapat saya kenal pasti adalah


pengurusan masa yang lemah. Ini dapat dilihat apabila saya mengambil masa yang
terlalu lama untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Saya tidak dapat
membahagikan masa dengan baik dimana saya memperuntukkan masa yang lama
dalam mengupas isu-isu yang timbul di sekolah berbanding ulasan artikel. Selain itu,
saya juga menyiapkan tugasan yang lain terlebih dahulu sebelum menyiapkan
tugasan isu dan trenda. Ini menyebabkan tumpuan saya terhadap tugasan ini kurang
dan tidak menyeluruh berbanding tugasan-tugasan yang lain. Kesan daripada
pengurusan masa yang lemah menyebabkan saya tidak dapat menghantar tugasan
pada masa yang telah ditetapkan.

Cadangan penambahbaikan adalah saya perlu merancang dan mengatur


pengurusan masa dengan lebih efektif. Langkah yang perlu diambil adalah dengan
cara membuat senarai semak tugasan –tugasan yang perlu diselesaikan dahulu.
Saya juga perlu merangka draf atau pelan awal sebelum menyiapkan sesuatu
tugasan sebagai petunjuk agar tidak tersasar daripada objektif tugasan tersebut.
Bagi mengelakkan tugasan yang bertimbun pada suatu masa, saya harus
memberikan komitmen yang penuh dalam menyiapkan tugasan secepat yang
mungkin.

Kelemahan yang seterusnya adalah sumber artikel sama ada dalam bentuk
jurnal bercetak atau ‘online’ adalah terhad. Ini dapat dilihat apabila terdapat rakan-
rakan yang memilih artikel yang sama kerana skop yang dipilih adalah berbentuk
umum iaitu mengenai bidang Pendidikan Kanak-Kanak Bermasalah Pembelajaran.
Saya bebas untuk memilih artikel yang bersesuaian dengan bidang Masalah
Pembelajaran dan mudah untuk dibuat rumusan secara keseluruhan. Kebanyakan
artikel yang terdapat Pusat Sumber institut kami tidak dikemaskini dan diterbitkan
pada tahun 2000 ke bawah. Artikel yang dijumpai banyak mengupas isu-isu lama
dan sudah lapuk untuk dibincangkan pada masa kini.

Cadangan penambahbaikan adalah saya perlu mengambil alternatif dengan


pergi ke Perpustakaan Negara untuk mencari artikel yang sudah dikemaskini dan

22
diterbitkan pada tahun 2000 ke atas. Saya juga perlu bijak memilih artikel yang
bagus dan mantap agar tidak mengalami kesukaran dalam merumus artikel dan
mencari isu-isu berkaitan artikel yang dipilih. Walaupun saya memilih artikel yang
sama dengan rakan yang lain, namun begitu corak penulisan saya berbeza dengan
rakan yang lain bergantung kepada maklumat yang diperoleh daripada laman
sesawang internet dan juga buku-buku rujukan. Setiap pelajar mempunyai kebolehan
tersendiri dalam mengolah isi dan pendapat mengikut pemahaman masing-masing.

Kelemahan yang ketiga adalah kekurangan maklumat mengenai murid-murid


Pendidikan Khas dan juga maklumat sekolah. Berdasarkan tinjauan yang dibuat,
saya mendapati guru-guru Pendidikan Khas tidak mengemas kini fail peribadi murid.
Terdapat murid yang baru sahaja memasuki sekolah tersebut tetapi tidak mempunyai
fail peribadi. Maklumat sekolah juga sukar untuk diperoleh kerana hanya seorang
sahaja guru Pendidikan Khas yang memiliki buku Pengurusan Sekolah. Saya
mengambil masa yang agak lama untuk mengumpul kesemua maklumat yang
diperlukan pada masa yang ditetapkan.

Cadangan penambahbaikan adalah saya perlu mengambil alternatif lain


dengan membuat temu bual dengan Pembantu Pengurusan Murid (PPM), kerani
sekolah, pengusaha kantin dan staf-staf sokongan yang lain dalam mendapatkan
maklumat yang berkaitan. Sebagai contoh, pengusaha kantin banyak menceritakan
tentang sikap murid-murid Pendidikan Khas manakala PPM banyak menceritakan
tentang keperluan asas yang diperlukan oleh murid. Maklumat yang diterima oleh
pihak sekolah sedikit sebanyak membantu saya menyiapkan tugasan dengan lebih
baik.

Kelemahan yang seterusnya adalah kekeliruan terhadap subtugasan 1 dan


subtugasan 2. Ini dapat dilihat apabila kedua-dua subtugasan tersebut memerlukan
saya mencari isu-isu yang berkaitan dengan Pendidikan Khas. Kemungkinan besar
isu-isu yang dibincangkan adalah isu yang sama bagi subtugasan 1 dan subtugasan
2. Cadangan penambahbaikan yang dapat saya kenal pasti adalah saya perlu
membaca soalan subtugasan 1 dan subtugasan 2 dengan lebih teliti untuk
memahami kehendak soalan. Isu-isu bagi subtugasan 1 adalah berdasarkan rtikel
yang dipilih manakala isu-isu bagi subtugasan 2 adalah berdasarkan pemerhatian
terhadap sekolah yang mempunyai Program Integrasi Masalah Pembelajaran. Saya

23
telah mengadakan sedikit perbincangan dengan rakan yang lain tentang
permasalahan yang dihadapi dalam memahami kehendak soalan tugasan. Ternyata
segala permasalahan yang dihadapi dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Menurut Md. Rusli dan Ramlah (1992), kaedah perbincangan adalah satu aktiviti
secara berkumpulan iaitu melalui penglibatan murid-murid secara bekerjasama
antara satu sama lain dalam membincangkan sesuatu topik atau masalah. Ini jelas
membuktikan bahawa kaedah perbincangan mendatangkan kesan yang baik kepada
pelajar dan menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif semasa proses
pembelajaran berlaku.

24
6.0 Penutup

Terdapat banyak cadangan penambahbaikan dalam mengurangkan isu-isu


yang timbul dalam Pendidikan Khas. Antaranya adalah mengenai isu pelabelan guru
aliran perdana yang memberi persepsi negatif kepada guru Pendidikan Khas dapat
diatasi dengan cara guru PPKI membuktikan kejayaan murid PPKI seperti melalui
kelas kemahiran seperti pertanian, masakan, pertukangan dan lain-lain. Guru
pendidikan khas juga boleh mempelawa guru aliran perdana untuk mengajar atau
plaing tidak sebagai guru ganti jika ada guru Pendidikan Khas yang terpaksa
mengambil cuti sekiranya masih lagi terdapat tanggapan negatif mengenai kerja
mudah elaun besar.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam


menyelesaikan isu-isu yang sering timbul dalam Pendidikan Khas terutama pihak
sekolah, guru-guru aliran perdana, guru-guru Pendidikan Khas, ibu bapa dan
komuniti luar. Komitmen yang padu dan jitu amatlah perlu dalam membentuk sikap
dan tingkah laku murid Pendidikan Khas menjadi lebih baik dan berupaya menguasai
kemahiran asas seperti kemahirang menguruskan diri tanpa memerlukan bantuan
dan bimbingan orang lain. Murid Pendidikan Khas akan berasa dihargai dan berhak
mendapat pengiktirafan daripada masyarakat setempat apabila dapat menjalani
kehidupan senormal yang boleh serta menjalani kehidupan dengan lebih baik.

25

Anda mungkin juga menyukai