Anda di halaman 1dari 4

"Terdapat empat tonggak pendidikan yang telah digariskan oleh UNESCO.

Huraikan
cara para guru dapat melaksanakan setiap tonggak tersebut secara lebih berkesan
dalam melaksanakan PdPc di sekolah".

United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO)


adalah merupakan sebuah organisasi yang dibentuk bertujuan membentuk sebuah
keamanan dan keselamatan dengan mempromosikan kerjasama antarabangsa melalui
pendidikan, sains dan budaya. Umumnya UNESCO ditubuhkan pada 16 November
1945 dan matlamat penubuhannya adalah untuk membina keamanan, menangani
kemiskinan, pembangunan yang mampan dan dialog antara budaya melalui pendidikan,
sains, budaya, komunikasi dan maklumat. Sehubungan itu, keutamaan yang
diketengahkan oleh pihak UNESCO adalah pendidikan untuk semua dan pembelajaran
sepanjang hayat. Menyentuh mengenai pendidikan, terdapat empat tonggak pendidikan
yang telah digariskan oleh UNESCO. Persoalannya, bagaimanakah para guru dapat
melaksanakan setiap tonggak tersebut secara lebih berkesan dalam melaksanakan
PdPc di sekolah?

Tonggak yang pertama ialah belajar untuk menguasai ilmu (learning to know)
Belajar untuk menguasai ilmu merupakan faktor pembelajaran utama yang manusia
perlu belajar untuk memahami dunia sekeliling supaya dapat meningkatkan dan
memperkembangkan kemahiran kerjaya serta komunikasi dengan orang lain. Para guru
perlu memastikan bahawa ilmu dapat dikuasai oleh murid bagi membolehkan murid
mengaplikasikannya dalam dunia pekerjaan kelak. Guru juga perlu mengikut trend
perubahan dalam dunia ledakan maklumat dan mengemas kini pengetahuan supaya
murid menerima pengetahuan terkini untuk bersaing setanding dengan orang lain
dalam dunia yang berteknologi tinggi. Contohnya, para guru boleh menggunakan
aplikasi TMK dalam sesi PdPc seperti gambar, video dan slaid pengajaran. Kaedah
pengajaran secara chalk and talk seharusnya tidak lagi diaplikasikan. Oleh itu, PdPc
dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di sekolah.

Tonggak yang kedua ialah belajar untuk menguasai kemahiran (learning to do)
Belajar untuk menguasai kemahiran bermaksud pendidikan dapat melengkapkan murid
dengan pelbagai kemahiran untuk diaplikasikan dalam bidang pekerjaan yang bakal
diceburi kelak. Antaranya termasuklah kompetensi peribadi seseorang yang diasah
supaya mereka dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan. Dengan ini,
pendidikan seharusnya dapat menyediakan peluang menguasai nilai-nilai peribadi
seperti kemahiran-kemahiran insaniah atau interpersonal di samping berpengetahuan
dan berkemahiran dalam bidang pekerjaan. Antara kemahiran yang penting
termasuklah kemahiran berkomunikasi, berpasukan dan menyelesaikan masalah.
Oleh itu, para guru seharusnya dapat membentuk kompetensi peribadi murid
berasaskan suatu gagasan pengetahuan teoretikal dan praktikal serta digabungkan
dengan kemahiran-kemahiran dalam penyelesaian masalah, membuat keputusan,
inovatif dan berpasukan. Contohnya, guru berperanan sebagai fasilitator sahaja dalam
sesi PdPc yang melibatkan aktiviti “hands-on” seperti membuat eksperimen, membina
model dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup dan membuat pelbagai reka cipta.

Tonggak yang ketiga ialah belajar untuk menjadi insan berguna (learning to be)
Belajar untuk menjadi insan berguna amat tepat kerana sesungguhnya, pendidikan
harus menyumbang pada pembentukan insan menyeluruh dari segi fizikal, intelek,
rohani, emosi, kepekaan dan penghargaan estetika. Setiap individu perlu menerima
didikan sejak awal kanak-kanak sehingga peringkat remaja dalam semua aspek agar
individu boleh berfikir secara kritis, berdikari dan berupaya membuat keputusan
terhadap tindakan dalam kehidupannya. Para guru seharusnya berusaha menterjemah
dan mentransformasikan kurikulum luwes di mana para guru perlu berkemahiran dan
berketerampilan dalam mengaitkan domain teori dengan praktis dan mesti bijak
membina pengetahuan dan kemahiran secara developmental (perkembangan)
mengikut kadar pembelajaran bagi mencapai hasrat untuk mewujudkan masyarakat
yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Kurikulum perlu mempunyai ruang untuk
disesuaikan dengan perkembangan semasa berdasarkan keperluan negara,
perkembangan semasa dan kemajuan sejagat. Para guru berperanan menerapkan
nilai-nilai murni kepada murid serta dapat memupuk seluruh potensi manusia secara
bersepadu dan seimbang.

Tonggak yang keempat ialah belajar untuk harmoni dan bekeriasama ( learning to
live together). Murid-murid perlu didedahkan kepada kepelbagaian budaya rakyat
negara dan kesedaran tentang sikap saling memahami serta saling memerlukan antara
satu sama lain demi mewujudkan satu masyarakat yang hidup secara harmoni. Para
pendidik seharusnya mempunyai sikap keterbukaan dan tidak mengongkong ciri ingin
tahu murid mengenai budaya orang lain. Kerelaan pendidik untuk membenarkan dialog
dan forum tentang isu-isu ini merupakan trend pendidikan pada abad ke-21. Jika murid
pelbagai budaya dapat bekerjasama dalam pelbagai projek, isu-isu mengenai
perbezaan atau konflik antara mereka akan hilang sama sekali. Melalui projek tersebut,
terjalinlah suatu ikatan dan nilai yang sama kepada mereka berbanding dengan ciri-ciri
yang membezakan mereka. Contoh yang baik boleh dilihat dari segi penyertaan mereka
dalam bidang sukan yang menunjukkan bahawa tekanan dan konflik antara kelas sosial
boleh diketepikan dalam semangat perpaduan untuk mencapai kejayaan demi sekolah
dan negara. Pencapaian dan kejayaan akan dikecapi jika setiap individu mengetepikan
apa jua konflik serta tidak mengambil kira kedudukan dalam organisasi untuk
melibatkan diri demi mencapai satu matlamat. Selain itu, peranan guru amat penting
dalam merancang aktiviti PdPc untuk menggalakkan penglibatan semua murid tanpa
mengira latar belakang dan kaum. Bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan
murid, guru perlu menerapkan nilai-nilai murni semasa mengajar serta memberikan
peluang kepada murid untuk bergaul dan memahami budaya rakan-rakan mereka yang
terdiri daripada pelbagai kaum atau budaya.

Tuntasnya, berdasarkan tonggak UNESCO, pendidikan formal kini seharusnya


merancang kurikulum yang memberikan ruang dan masa untuk murid melibatkan diri
dalam projek kolaboratif sama ada dalam aktiviti sukan atau budaya. Kewujudan
tonggak pendidikan UNESCO sebenarnya adalah untuk memenuhi keperluan
pembelajaran asas kepada setiap individu tidak mengira bangsa mahupun warna kulit.
Sebagai seorang guru, usaha yang bersungguh-sungguh perlu disertakan untuk
memperkembangkan potensi setiap murid di sekolah. Ciri-ciri keperibadian seorang
guru juga seharusnya selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
dan UNESCO kerana guru menjadi role model kepada murid-murid.

(827 PATAH PERKATAAN)


Rujukan

Kalai Shan. (2019). Tonggak Pendidikan UNESCO. Diakses pada 27 Januari 2021
daripada https://www.slideshare.net/kalaishan/aplikasi-4-tonggak-pendidikan-
unesco-dalam-melengkapkan-diri-sebagai-guru-yang-berinformasi-dan-kreatif

Wong, K. W., Noriati A. Rashid & Boon, P. Y. (2018). Asas Kepimpinan dan
Pembangunan Profesionalisme Guru. Selangor: Oxford Fajar.

Anda mungkin juga menyukai