Anda di halaman 1dari 9

1.

0 Pengenalan

Menurut Kamus Dewan (1970), guru bererti pendidik, pengajar dan


pengasuh. Perguruan adalah satu profesion yang mempunyai kaitan dengan bidang
menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah agar manusia
memahami tentang peranan dan tanggungjawab guru terhadap diri sendiri,
masyarakat dan alam sekeliling. Profesionalisme didefinisikan sebagai kepakaran
tinggi dalam pekerjaan seseorang. Profesionalisme meliputi beberapa nilai kerja
seperti keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan bertanggungjawab.
Profesionalisme keguruan merupakan satu pekerjaan yang berkaitan dengan
peranan, sifat dan kualiti guru dengan membawa bersama tanggungjawab, integriti
dan akauntabiliti terhadap masyarakat.

Peranan guru pada masa dahulu hanya tertumpu sebagai penyampai ilmu
kepada murid-murid agar para murid memperoleh ilmu pengetahuan yang luas dan
tinggi untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Tetapi pelbagai perubahan
dunia yang berlaku pada masa kini, peranan guru semakin mencabar. Oleh itu, guru
juga berperanan menyuburkan minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan
pelajar-pelajar. Guru juga merupakan wadah untuk membina daya pemikiran yang
kritis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang mampu menyesuaikan diri
dengan cabaran-cabaran baru dunia selaras dengan hala tuju sistem pendidikan.

Hala tuju pendidikan negara yang telah dirangka oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia telah menggariskan satu matlamat iaitu menjadikan pendidikan di Malaysia
sebagai pendidikan yang bertaraf dunia agar dapat bersaing dengan negara lain
“bagai duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Cabaran kepada guru dalam
pendidikan terkini merangkumi beberapa aspek iaitu di dalam bilik darjah, di sekolah,
sistem pendidikan, masyarakat, Wawasan 2020 dan globalisasi. Dengan itu, guru-
guru haruslah mempunyai usaha melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi, menangani masalah disiplin dan gejala sosial antara
golongan pelajar, pengurusan sekolah yang berkesan, harapan menggunung
masyarakat dan lain-lain lagi.
2.0 Cabaran Profesionalisme Keguruan

Di dalam Bilik
Darjah

Di sekolah

Cabaran Sistem Pendidikan


Profesionalisme
Keguruan
Masyarakat

Berasaskan
Wawasan 2020

Globalisasi

2.1 Cabaran di dalam bilik darjah

Paparan berita yang bertajuk “Saya bosan dengan cara cikgu mengajar” yang
disiarkan dalam akhbar pada Mac 2014 begitu menyentuh hati nurani para pendidik
yang begitu banyak menabur bakti dalam dunia keguruan. Menurut berita tersebut,
cabaran yang dihadapi oleh guru ialah guru haruslah menyediakan proses
pengajaran yang mengambil kira minat pelajar dan berusaha mengukuhkan
pembelajaran pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru patutlah melaksanakan aktiviti pengajaran secara sistematik,


langkah demi langkah, iaitu daripada peringkat permulaan diikuti dengan peringkat
perkembangan konsep, penggunaan ilmu pengetahuan serta kemahiran, dan diakhiri
dengan aktiviti peneguhan dan pengukuhan. Di dalam peringkat permulaan, guru
boleh memotivasikan murid-murid dan menarik perhatian mereka supaya bersedia
mengikut pengajaran guru dengan penuh minat. Konsep dan kemahiran baru dapat
diperkembangkan daripada yang mudah kepada yang susah daripada yang konkrit
kepada abstrak. Isi pelajaran dapat disampaikan langkah demi langkah dengan
lancar dan sistematik serta mengikut masa yang ditentukan. Suasana pembelajaran
adalah positif dan tidak bosan. Hal ini vital kerana dapat menggalakkan murid-murid
menyertai aktiviti pembelajaran mereka secara aktif dan diberi peluang berinteraksi
di dalam kumpulan mereka untuk mengemukakan idea dan pendapat dalam aktiviti
perbincangan.

Jelaslah bahawa guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat
untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang
manusia untuk menjadi modal insan yang berguna demi agama, bangsa dan negara.

2.2 Cabaran di sekolah

Pada era globalisasi dan modenisasi ini, gejala sosial semakin berleluasa di
antara golongan pelajar. Terdapat sebuah berita telah dipaparkan tentang seorang
murid perempuan dibuli dengan kejam oleh sekumpulan pelajar perempuan.
Berdasarkan isu tersebut dapat menunjukkan cabaran guru dalam mengatasi
masalah disiplin pelajar.

Guru-guru perlulah menampilkan perwatakan yang positif terutamanya ketika


proses pengajaran dan pembelajaran. Antara watak yang perlu diterampilkan supaya
menjadi contoh kepada pelajar ialah amanah, bersopan santun, berdedikasi serta
taat kepada tuhan. Aktiviti kokurikulum seperti badan beruniform, persatuan, kelab,
dan kegiatan sukan dapat memberi input penting kepada pembentukan sahsiah
pelajar. Aktiviti yang dijalankan melalui pemantauan guru akan menyuburkan sikap
positif terhadap semangat kerjasama, berdikari dan semangat cinta akan negara
serta membantu dalam pembentukan jati diri dan moral pelajar.

Sehubungan itu, guru perlu menjalankan pendekatan “kepedulian guru”


apabila berhadapan dengan masalah murid. Hal ini kerana tugas utama guru adalah
untuk mendidik murid. Pendekatan kepedulian guru sangat penting dalam
mendapatkan kepercayaan anak murid dan mendekatkan perhubungan antara guru
dan murid. Kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk bekorban demi
orang lain. Kepedulian didefinisikan sebagai mengambil berat terhadap orang lain.
Dalam konteks guru, setiap guru perlu mempunyai sifat kepedulian untuk
menghadapi murid dalam kelas. Hal ini kerana, murid akan merasakan bahawa guru
sentiasa dekat dan menjaga hati guru yang peduli terhadap masalah mereka. Secara
tidak langsung, gejala sosial seperti buli, ponteng sekolah, vandalisme serta salah
laku yang lain dapat dikurangkan.

Secara simpulnya, para guru boleh menerapkan prinsip kasih sayang murid,
murid kasih guru. JIka prinsip ini dapat diterapkan dalam diri setiap murid, gejjala
sosial yang berlaku dalam kalangan murid dapat dikurangkan. Pembentukan tingkah
laku yang baik dan sikap yang beradab sopan dapat dilahirkan dan diwujudkan
dalam jiwa murid-murid.

2.3 Cabaran dalam sistem pendidikan

Terdapat sebuah berita yang dipaparkan pada 27 Jan 2017 berkaitan pada
abad ke-21, capaian hasrat masih menjadi kekangan kepada hasrat Kementerian
Pendiddikan memaksimumkan penggunaan teknologi pendididkan oleh semua
sekolah di Malaysia. Menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bahawa
penggunaan teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah tidak begitu luas
seperti yang diharapkan dan usaha dipertingkatkan untuk memastikan ICT
digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi guru-guru menghadapi
cabaran untuk menyediakan golongan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan
revolusi maklumat atau ICT.

Dalam konteks ini, profesion guru perlu meningkatkan peratusan golongan


pelajar yang celik computer dan merapatkan jurang celik ICT yang masih wujud
antara masyarakat bandar dan luar bandar. Dengan ini, para pelajar akan mendapat
pelbagai kemudahan, termasuk kemudahan ICT sebagai yang dirancang untuk
membantu mereka dalam proses pembelajaran bestari.

Tambahan pula, Kementerian Pendidikan Malaysia ingin membangunkan


sistem pendidikan yang bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu
dengan sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia. Oleh itu, cabaran guru
profesion adalah untuk melahirkan golongan pelajar yang berpengetahuan,
berkemahiran dan berdaya maju. Pengetahuan merupakan suatu kekuatan dan
modal yang penting untuk menjamin kejayaan seseorang. Pengetahuan tersebut
mestilah sentiasa relevan, berguna dan mampu mengubah kehidupan. Guru patutlah
menguasai ilmu kandungan mata pelajaran atau kursus yang diajar dan juga
mengemaskinikan ilmu-ilmu dari semasa ke semasa. Hal ini kerana kurikulum
semakin berkembang dan para guru haruslah menggubal program pembelajaran,
mengajar murid-murid tentang teori pembelajaran yang baru. Oleh itu, guru profesion
patutlah melengkapkan golongan pelajar dengan kesemua elemen pengetahuan.

Tuntasnya, guru-guru turut bersedia mengambil risiko untuk mencari


penyelesaian baru kepada isu-isu pendidikan dan mampu membuat invensi dalam
perkembangan program pendidikan.
2.4 Cabaran dalam masyarakat

Menurut Wan Liz Ozman (2000) dan Atan Long (1980), guru adalah agen
perubahan yang membawa kemajuan kepada masyarakat. Pada alaf dunia yang
baru, pembangunan kemewahan yang tumbuh begitu cepat, mudah sekali
menghasilkan kemusnahan, baik alam fizikal, biologi, bahkan juga keruntuhan rohani
dan kejiwaan. Kepesatan perkembangan teknologi yang tidak selaras dengan
pembangunan aspek nilai dan moral boleh mengakibatkan manusia ketandusan nilai
kemanusiaan sejati. Hal ini telah mengakibatkan guru menghadapi cabaran yang
besar.

Guru sepatutnya memainkan peranan yang lebih progresif untuk membentuk


masyarakat yang bermoral dan berdisiplin supaya mereka tidak hanyut dalam arus
pembangunan kemewahan kebendaan yang begitu pantas sekali. Jadi guru boleh
mendidik generasi muda supaya bersikap patriotik untuk memajukan Malaysia.
Generasi muda masa kini perlu menyedari akan kepentingan mereka dalam
memberikan sumbangan kepada negara. Dengan ini, penyuburan nilai patriotisme
amat kritikal berikutan dengan kebanjiran nilai-nilai luar yang sentiasa menjadi trend
dan ikutan jiwa remaja. Semangat patriotik yang dibina bagi memajukan ekonomi
merupakan satu agenda penting dalam pendidikan kerana langkah ini akan
membolehkan Malaysia membendung masalah ekonomi yang dihadapi seperti
perdagangan bebas, kemelesetan ekonomi, ancaman globalisasi, pasaran terbuka
dan sekatan perdagangan.

2.5 Cabaran berasaskan Wawasan 2020

Wawasan 2020 telah diperkenalkan oleh YAB Dato Seri Dr Mahathir


Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia pada 28 Febuari 1991. Tuntutan
Wawasan 2020 adalah membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta
menyanjung masa depan yang dikongsi bersama, melahirkan masyarakat yang
bebas, teguh dan terbentuk jiwanya, membentuk dan memperkembangkan sebuah
masyarakat demokrasi yang matang, membentuk masyarakat yang kukuh ciri-ciri
moral dan etikanya. Lebih-lebih lagi, negara Malaysia dapat membentuk sebuah
masyarakat matang yang bersifat liberal dan toleransi , bersifat sains dan progresif
serta berdaya cipta, berbudi bahasa dan berbudaya penyayang serta menjamin
terbentuknya sebuah masyarakat yand adil ekonomi. Tuntutan akhir adalah
membentuk masyarakat yang makmur.

Dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan


perkembangan teknologi, cabaran guru yang dihadapi adalah mendidik generasi
muda yang akan mmemberi sumbangan kepada negara pada masa hadapan. Guru
ialah orang yang kerjayanya mempunyai implikasi yang jauh ke hadapan. Oleh itu,
guru perlu sentiasa peka dan sensitif akan tuntutan wawasan negara yang
disuarakan bagi mengatur program-program perkembangan negara ini menjelang
abad ke-21. Perkara ini penting kerana dapat melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya menjadi rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai Wawasan 2020.

Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, iaitu orang Melayu, orang Cina,
orang India dan sebagainya. Guru juga berperanan penting dalam menyatupadukan
kaum supaya mereka bekerjasama sepenuhnya secara adil dan hidup dalam
suasana yang aman dan harmoni. Semangat perpaduan adalah perasaan hormat-
menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara satu sama lain.
Perpaduan kaum dapat diwujudkan jika rakyat Malaysia menjalin hubungan yang
erat. Secara tidak langsung, negara Malaysia yang bersatu padu dapat diwujudkan.

2.6 Cabaran globalisasi

Naisbitt (1982) pula menegaskan bahawa dalam abad ke-21, salah satu
aliran mega di peringkat global ialah kepakaran pendidikan secara global (global
educational experties) selain daripada hubungan dalam bentuk rangkaian
(networking).

Scholte (2000), menyatakan globalisasi ialah proses menyingkirkan batasan


atau sekatan kerajaan mengenai pergerakan antara negara supaya mewujudkan
satu ekonomi dunia yang terbuka dan tanpa sempadan.

Berdasarkan himpunan penulisan dan pandangan bekas Perdana Menteri


kita, Tun Dr. Mahathir Mohamed telah mengingatkan agar masyarakat Malaysia tidak
dipengaruhi dengan arus globalisasi sehingga berjaya menghancurkan mereka,
sebaliknya kita perlu membina kekuatan dan menangkis unsur-unsur negatif yang
membawa kesan buruk kepada kita.

Jadi, cabaran guru-guru adalah untuk menyediakan generasi pelajar yang


berkemampuan dan berdaya saing untuk menghadapi persaingan globalisasi. Ini
adalah satu ciri dominan dalam k-ekonomi yang menjadikan persaingan lebih
terbuka sebagai asasnya. Cabaran ini meletakkan peranan dan tugas guru tidak
terbatas kepada objektif dan matlamat pendidikan yang sempit dan untuk
kepentingan negara sahaja. Dalam konteks ini, peranan profession keguruan yang
menerapkan pendidikan adalah untuk melahirkan warga Malaysia yang boleh
mencapai kejayaan dan kegemilangan antarabangsa. Justeru itu, para pelajar perlu
dipersiapkan dan dilengkapkan dengan pengetahuan global, khususnya dalam
bidang ekonomi, politik, sejarah, geografi, budaya dan persekitaran.

Pelajar juga perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dan


pembelajaran yang berterusan bagi membolehkan mereka terus berada dalam
perubahan yang pesat ini. Untuk melibatkan diri secara global, pelajar perlu
menguasai kemahiran TMK kerana TMK adalah satu bidang yang pesat berubah.
Sekolah dan guru-guru perlu memastikan bahawa kurikulum masa kini membolehkan
pelajar menguasai kemahiran kognitif yang berguna dalam menyelesaikan tugas-
tugas yang kompleks dan mencabar, di samping menyelesaikan masalah serta
menjana pengetahuan baru untuk inovasi.

Guru-guru juga perlulah melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk


berkomunikasi secara lisan dan dalam bentuk bertulis dengan menggunakan bahasa
antarabangsa seperti Bahasa Inggeris. Hal ini mustahak kerana pelaksanaan
pengajaran dalam bahasa Inggeris adalah selari dengan arus globalisasi. Guru-guru
perlu menyahut cabaran ini kerana generasi yang hidup pada abad ke-21 ini perlu
mempunyai kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi hingga ke peringkat
antarabangsa.

Ringkasnya, dalam berhadapan dengan cabaran globalisasi, generasi muda


haruslah mempersiap diri dengan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan supaya
dapat bersaing dengan negara lain.

3.0 Penutup

Kesimpulannya, jawatan guru memang layak dianggap sebagai satu


pekerjaan profesional. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan ahli politik
melaksanakan beberapa usaha untuk mempertingkatkan martabat profesion
perguruan. Hal ini penting kerana dapat menilai dan meningkatkan peranan guru
dalam merealisasikan Wawasan 2020. Dengan itu, rakyat Malaysia haruslah
menyedari betapa besarnya peranan dan tanggungjawab sebagai seorang guru
dalam bidang pelajaran dengan usaha menuju ke arah pembentukan warganegara
yang berilmu, taat setia, bertanggungjawab dan berkebolehan. Warganegara
Malaysia juga harus menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran
dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang. Generasi muda merupakan aset
yang paling berharga pada masa akan datang. Oleh itu, betullah ungkapan yang
berbunyi “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

( 2012 patah perkataan )

RUJUKAN:

Ahmad Mahdzan (1990). Guru dan Profesional. Selangor: Percetakan Dewan

Bahasa dan Pustaka

Berita Harian (2017). Penggunaan ICT mantapkan pengajaran abad ke-21.

[ Diakses: 20 Mac 2017]

Sumber:

https://www.pressreader.com/malaysia/berita

harian/20170127/281904477895368

Kamus Dewan edisi keempat (2005). Percetakan Dawana Sdn.Bhd, Selangor

Muhammad Syahir (2012). Isu pendidikan globalisasi. [Diakses: 18 Mac 2017]

Boleh didapati: https://www.slideshare.net/Syahir89/isu-globalisasi-


pendidikan

NIK NOR AHMARIZAM NIK AHAMAD.(2015). Pendidikan kelas abad-21. [Diakses:

19 Mac 2017]. Boleh didapati:


http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/pendidikan-kelas-abad-ke-21-
1.367783

Rencana (2012). Kreativiti, Inovasi dalam pendidikan. [Diakses: 17 Mac 2017]


Sumber:http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121210/re_01/Kreativit
i-inovasi-dalam-pendidikan

Anda mungkin juga menyukai