Anda di halaman 1dari 4

Kepimpinan Dari Amalan Solat

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu
semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (al-Baqarah:43)

“Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan
yang benar) dengan perintah kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan
kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula
sentiasa beribadat kepada Kami.” (al-Anbiya’:73)

Solat adalah ibadah yang difardukan ke atas setiap muslim. Solat yang difardukan sejak
Baginda SAW diangkat ke langit dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj mempunyai ‘protokol’nya
yang tersendiri. Setiap muslim yang mengerjakan solat pula tidak boleh lari dari menuruti
protokol yang telah ditetapkan itu. Pun begitu, tidak ramai yang menghayati mahupun
memahami falsafah kefarduannya apatah lagi untuk menterjemahkannya dalam kehidupan
seharian. Dalam menyusun jamaah, solat amat berkait dengan aspek kepimpinan.

Bermula dari niat hinggalah selesai memberi salam, solat akan diketuai oleh imam
sementara yang mengikut dipanggil makmum. Setiap perbuatan solat yang telah ditentukan
ketertibannya itu diikuti makmum hingga sempurna solat itu.

Dari segi kepimpinan jamaah, solat diterjemahkan kepada setiap agenda. Pemimpin
umpama imam manakala ahli adalah makmumnya. Sama-sama memberi fokus menjayakan
agenda yang bermula dari niat dengan meletakkan diri di posisi sebetulnya.

Imam mengangkat takbir berserta ucapan ‘Allahu Akbar’ sebagai satu ikrar kesediaan
seorang pemimpin tunduk patuh pada setiap amanah Allah. Dia membesarkan Allah
disamping merasa tanggung jawab terhadap makmum yang sedang menurutinya. Harus
untuk dia merasakan bahawa dia akan disoal pada perbuatannya termasuk makmumnya.
Untuk itu pemimpin harus memastikan ia menunaikan agenda menurut tertibnya kerana ahli
hanya mengikut dan tidak akan mendahului imam. Pemimpin harus sentiasa betul, namun
kesilapannya boleh ditegur sepertimana makmum menegur imam.

Menegur itu pun ada caranya, malah imam boleh digantikan dan makmum mesti bersedia
menggantikannya jika imam tidak dapat meneruskan solat. Pun begitu imam tadi masih
boleh kembali meneruskan solat yang tidak selesai. Begitulah pemimpin yang tertinggal
agenda tidak harus membiarkan agenda terus berlalu. Ia masih perlu bersama jamaah
menjayakan agenda dan tidak salah ia kembali sebagai makmum.

Demikian itu, solat menggambarkan bahawa pemimpin sebagai pendidik sementara ahli
adalah penasihat. Tiada istilah ‘bos’ dan ‘kuli’ dalam jamaah, sebaliknya saling menjayakan
solat. Pemimpin berperanan sebagai pendidik, tugasnya berat kerana yang dididik mestilah
berjaya dibentuk mengikut silibus ditetapkan. Dia tidak boleh ada agenda sendiri
(mufaraqah) tanpa sebab. Sementara makmum thiqah mengikuti setiap perbuatan imam.
Pada masa yang sama dia berhak menegur sebagai penasihat. Tetapi nasihatnya tidak
semestinya diikuti pemimpin. Namun nasihat itu lazimnya adalah sesuatu yang baik, maka
tentulah bukan pemimpin baik jika ia menolak nasihat.

Dalam didikan ada nasihat, tetapi di dalam nasihat tidak semestinya ada didikan. Tetapi
sebagai sesuatu yang baik, nasihat perlu juga diambil kira.
Agenda wajib diselesaikan hingga memberi salam, jika ada kesilapan yang perlu dibetulkan,
sudahi ia dengan sujud sahwi. Insya-Allah agenda itu pasti berjaya, solat pasti diterima.
Pelaksanaan solat seperti itu mesti ditakwilkan sebagai kekuatan agenda jamaah dan akan
dicemburui musuh hingga mereka berusaha menghalangnya. Pelaksanaan itu juga sebagai
menunaikan amanah meneruskan agenda, sedangkan pada Allah diserahkan keyakinan
bahawa musuh akan hancur kerana menghalang sepertimana yang terdapat pada kisah
ayat berikut:

 “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan
menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (solat dan) menyebut
nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?
Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu
melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang
mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia,
dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.”     (al-
Baqarah:114)
Oleh itu dalam jamaah, pemimpin tidak harus mengabaikan ahli baik pada pentarbiyyahan
mahupun gerakerja dan begitulah juga dengan ahli. Masing-masing juga tidak harus solat
berasingan. Tidak wajar masing-masing menjadi pemuda-pemudi suci dengan hanya
menumpu pada ilmu, pentarbiyyahan dan kemahiran diri sendiri. Mereka bersikap tidak
mengajak ahli jamaah lain menyertai atau menerima manfaat atau menyebarkannya untuk
kepentingan bersama. Allah SWT menempelak orang yang hanya beramal untuk diri sendiri:

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan
barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat,
dan segala malaikat, dan segala kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya
seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan
anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan,
dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba
abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan
perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat
perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan
dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang
Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar
(beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang
bertaqwa.”        (al-Baqarah:177)

Tidak harus juga meminggirkan diri dari jamaah atau bergabung dengan pihak yang tidak
memiliki niat, cita-cita dan agenda selaras dengan jamaah, kerana dikhuatiri agenda itu tidak
diredhai. Ayat 108 surah at-Taubah menjadi qias hal ini:

“Jangan engkau sembahyang di Masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya


Masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas
dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam Masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat)
membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang
membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

Selain itu dalam mengukuhkan agenda jamaah, pertolongan wajib dipanjatkan pada-Nya,
memohon agenda jamaah dipelihara, sementara firi kita dikekalkan istiqamah bersama
generasi yang bakal mewarisi kelak. Ini sebagaimana doa yang diungkapkan oleh Nabi Allah
Ibrahim AS:
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan
demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa
permohonanku.”      (Ibrahim:40)

Kerana itu juga perlu ada rasa khuatir sekiranya generasi yang bakal mewarisi akan
mengabaikan agenda perjuangan ini hingga menyebabkan mereka di azab Allah kelak.

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan


sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka
akan menghadapi azab (dalam neraka),”     (Maryam:59)

Pun begitu, dalam mengajak ahli bersama pada setiap agenda, pemimpin mestilah banyak
bersabar serta menunjukkan teladan. Pada masa sama memberikan motivasi agar ahli akan
menyampaikan pula kepada pihak yang berada di bawahnya. Hal ini dapat dihayati dari ayat
di bawah:

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan


hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki
kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah)
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”       (Thahaa:132)

 “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan,


serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas
segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”    (Luqman:17)
Semoga akhirnya solat itu benar-benar dihayati sebagai tiang agama. Di situlah sumber
kekuatan ummah dan jamaah. Masing-masing imam dan makmum bertanggung jawab
memugarkannya hingga ia tidak difahami sebagai acara ritual semata-mata. Dengan
harapan, kejayaan yang Allah berikan menguatkan lagi agenda, yakni menjadikan solat itu
terjemahan dalam kehidupan ummah sepertimana firman Allah SWT pada ayat 41 surah al-
Hajj:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di
bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka
menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara
yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
Renungan tambahan:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW pernah
bersabda: “Sesiapa yang membelanjakan sepasang kuda, unta atau sebagainya untuk
digunakan dalam perjuangan di jalan Allah, maka namanya diseru dari dalam Syurga:
Wahai hamba Allah! Pintu ini adalah lebih baik. Sesiapa yang tergolong dari kalangan
ahli sembahyang (orang yang sempurna sembahyangnya) maka dia diseru dari Bab
Solat (pintu sembahyang). Sesiapa yang tergolong dari kalangan ahli Jihad (orang
yang berjuang di jalan Allah) maka dia diseru dari Bab Jihad (pintu jihad). Sesiapa
yang tergolong dari kalangan ahli Sadaqah (orang yang suka bersedekah) maka dia
diseru dari Bab Sadaqah (pintu sedekah) dan sesiapa yang tergolong dari golongan
orang yang suka berpuasa maka dia akan diseru dari Bab Ar-Rayyan (pintu Ar-
Rayyan).”
Abu Bakar As-Siddiq bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah setiap orang semestinya akan
diseru dari pintu-pintu tersebut. Adakah tidak mungkin seseorang itu diseru dari kesemua
pintu? Rasulullah SAW bersabda: “Benar! Aku berharap bahawa engkau termasuk di
antara orang yang namanya diseru dari semua pintu.”
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Nasaie, Ibnu Majah, Ahmad Ibnu Hambal dan Malik)

Anda mungkin juga menyukai