Anda di halaman 1dari 4

SMK LA SALLE PJ

46000 PETALING JAYA


SELANGOR

TEKS UCAPAN
PENGETUA

SEMPENA
MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE-49
2021
Terima kasih kepada pengerusi majlis,
Yang Berbahagia, Encik Sehar a/l Sinnadurai, YDP PIBG
Yang Dihormati, Pn Habibah Haji Baba, Penolong Kanan Pentadbiran
Pn Zaharah Hamzah, Penolong Kanan Kokurikulum
Pn Siti Rosnah Ibrahim, Penolong Kanan HEM
Barisan guru-guru kanan, guru-guru
Ahli jawatankuasa PIBG
dan tuan puan sekalian.
Selamat sejahtera.
Bersyukur kita kerana pada pagi yang mulia ini dapat kita bersama-sama berkumpul
dalam Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK La Salle Petaling Jaya kali ke-49.
Terima kasih kepada semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari ini ini melalui
google meet. Sejak saya mengemudi SMK La Salle PJ ini, saya belum
berkesempatan bersua muka, beramah mesra dengan para waris di sekolah ini.
Namun apakan daya, pandemik Covid-19 menjadi kekangan bukan sahaja kepada
kita bahkan kepada masyarakat seluruh dunia. Kehadiran ibu bapa menunjukkan
komitmen yang tinggi bagi merealisasikan visi dan misi sekolah untuk mencapai
kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Tidak
dilupakan juga sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang
berhempas pulas dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan majlis
kali ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Kita perlu akur kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan demi
memastikan kita kembali ke dalam norma yang biasa. Walau bagaimanapun,
sebagai pentadbir saya tetap akan melaksanakan tugas saya sebaik mungkin. Saya
pasti ibu bapa tertanya-tanya tentang keselamatan anak-anak di sekolah.
Keselamatan guru dan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan pihak sekolah
dengan memastikan semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia dipatuhi. Kami yakin dengan kerjasama ibu bapa, guru dan anak-anak
mematuhi SOP yang telah dikeluarkan, anak-anak kita akan hadir ke sekolah dalam
keadaan selamat. Dalam hal ini kami berharap ibu bapa atau penjaga dapat
memastikan bahawa anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah.

Banyak kecemerlangan dan kejayaan yang telah pihak sekolah cipta sama
ada dalam bidang akademik mahupun dalam bidang kokurikulum. Kejayaan dan
kecemerlangan ini menggambarkan usaha guru-guru yang tidak pernah putus asa
dalam mendidik anak-anak. Kejayaan ini juga menggambarkan usaha dan
kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dengan ibu bapa selama ini diberkati oleh
Tuhan.

Dalam usaha kita untuk menjana kecemerlangan ini, pihak PIBG sentiasa
menyokong pihak sekolah mengadakan pelbagai aktiviti. Pihak PIBG juga banyak
memberi sumbangan dalam bentuk kewangan untuk pelbagai aktiviti sekolah serta
hadiah kecemerlangan untuk anak-anak yang berjaya. Sumbangan yang PIBG
berikan dalam menjayakan semua aktiviti ini adalah hasil sumbangan ibu bapa
kepada tabung PIBG. Untuk itu, saya menyeru kepada ibu bapa agar terus
menyumbang kepada tabung PIBG untuk kita sama-sama terus menjana dan
merancang pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak
kita.

Ibu bapa yang dihormati sekalian,

Kecemerlangan sesebuah sekolah bukan sahaja bergantung kepada


hebatnya guru mengajar, pakarnya pihak pentadbir mengurus sekolah, malah perlu
seiring dengan komitmen ibu bapa. Penjajaran sukatan dibuat melalui kaedah dan
teknik. Pengajaran atas talian dipelbagaikan seperti pengunaan aplikasi Google
Meet, Telegram, WhatsApp, You Tube dan lain-lain aplikasi. Dalam pada itu,
sokongan dan penglibatan semua ibu bapa amat diperlukan dalam memastikan
kejayaan anak-anak ini. Sebagai permulaan untuk proses pengajaran dan
pembelajaran secara atas talian, ibu bapa perlu memastikan anak-anak bersedia
bersama peralatan sekolah seperti alat tulis serta buku teks semasa kelas atas
talian. Ibu bapa perlu memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pelajaran
anak-anak. Anak-anak perlu diberikan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya
agar diri mereka tidak tersisih dan tercicir. Para guru akan berasa bangga jika ibu
bapa sentiasa mengambil berat dengan disiplin anak-anak ketika PDPR.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

     Saya mewakili pihak sekolah menyeru supaya ibu bapa memberi kerjasama yang
erat kepada pihak sekolah supaya kita sama-sama dapat berganding bahu dan
sekali gus dapat menyuntik semangat belajar dalam diri anak-anak. Tanpa
kesepakatan dan kerjasama yang jitu amat sukar bagi kita bagi mencapai kejayaan
yang diharapkan. Hasrat ini lebih mudah dicapai apabila semua pihak termasuk ibu
bapa dan ahli komuniti bersatu dan menyokong satu matlamat, iaitu membantu
murid berjaya secara holistik dan seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan
emosi. Peranan ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah tidak
dapat dinafikan. Apabila ibu bapa dan komuniti terlibat sama, sekolah mendapat
banyak manfaat antaranya pencapaian murid meningkat, kes disiplin dalam
kalangan murid berkurangan dan hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa menjadi
lebih baik. Oleh itu, marilah kita bekerja sama dan berganding bahu membentuk
anak-anak kita berjaya dan menjadi orang yang berguna kepada keluarga dan
negara kita.

Sekali lagi, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan


kepada barisan PIBG yang diterajui oleh Encik Sehar yang banyak memberi
sokongan baik dalam bentuk kewangan mahupun idea. Tidak keterlaluan jika saya
katakan barisan PIBG sekolah tahun 2020/2021 ini yang amat dedikasi dan komited
dalam membantu sekolah mencapai hala tuju dan kecemerlangan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Marilah sama-sama kita berdoa agar ancaman COVID 19 ini dapat ditangani segera.
Kita juga dituntut bersabar atas masalah dan ujian ini. Akhir kata, semoga Tuhan
memberkati kerjasama dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi
membina insan yang berilmu dan cemerlang seterusnya menjadi rakyat yang
berjaya kepada agama, bangsa, dan negara.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai