Anda di halaman 1dari 4

TEKS UCAPAN GURU BESAR

SK. KEDAWANG 2015

Yang Berusaha Saudara/saudari Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Nor Saidi bin Nayan. BCK.BKM.JP Adun Kuah,

Yang Berusaha pegawai-pegawai PPD,

Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar

Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa

Penolong-penolong Kanan, guru-guru

Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.

Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang indah ini bagi
melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah dan juga
jawatankuasa PIBG SK Kedawang. Ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola majlis ini
yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih
tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang
tinggi sehingga majlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak
terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan
majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi
makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak pernah lupa
mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang murid-murid dalam bidang kurikulum mahupun
kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa
meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka.
Jadi pada kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas bukan
sahaja kepada para murid yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang
menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka.

Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang murid tidak hanya terletak pada usaha dan
kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat
sekolah rendah perlu harus ‘memberi’, agar para murid bersedia untuk ‘menerima’. Selain insan yang
sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk
mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling
utama kejayaan adalah terletak pada diri para murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen
dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar
bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Dato’ Azhar Mansor,
Datuk Sharifah Mazlina dan Dato’ Syeikh Muzzaffar sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha
menjelajah dunia dan meneroka angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama
berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Pada saya, kejayaan
anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat
tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima
anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima
akan menjadi pemangkin untuk para murid mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang
akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan
penghargaan pihak sekolah kepada murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam
pembelajaran dan pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh
menjadi contoh serta ikutan kepada para murid lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka
pada masa akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,

Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa murid-murid yang kita raikan hari
ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan negara. Pencapaian murid-murid
sekolah ini boleh dibanggakan. Jika diteliti, pencapaian boleh dilihat daripada aspek kurikulum dan
kokurikulum. Daripada segi kurikulum, berdasarkan pencapaian UPSR , gred purata yang telah dicapai
ialah 1.99. Ini berbeza dengan tahun 2013 iaitu sebanyak 2.17 bagi subjek Bahasa Melayu Pemahaman.
Manakala bagi subjek Bahasa Melayu Penulisan pula ialah daripada 2.08 meningkat kepada 2.06 gred
purata. Seterusnya bagi Bahasa Inggeris, gred purata yang dicapai turut mengalami peningkatan iaitu
daripada 3.05 meningkat kepada 2.84. Matematik pada tahun 2013 ialah 3.05 meningkat kepada 2.67.
Perselisihan sebanyak 0.38. Manakala bagi mata pelajaran Sains pula ialah daripada 3.07 meningkat
kepada 3.01.

Setelah diteliti, peratus pencapaian UPSR daripada tahun 2012 hingga 2014 mengalami peningkatan
yang memberangsangkan. Contohnya Bahasa Melayu Pemahaman meningkat daripada 87.30 peratus
kepada 88.9 peratus. Bagi Bahasa Melayu Penulisan pula ialah daripada 84.00 kepada 84.3 peratus.
Bahasa Inggeris pula ialah daripada 66.70 kepada 75.8 peratus. Matematik daripada 65.30 kepada 75.7
peratus. Mata pelajaran Sains turut meningkat iaitu daripada 70.00 kepada 74.5 peratus.
Seterusnya pencapaian daripada aktiviti kokurikulum. Murid-murid Sekolah Kedawang ini bukan sahaja
cemerlang dalam bidang akademik malah berjaya dalam bidang kokurikulum. Berdasarkan pencapaian
daripada bulan Januari hingga Jun mengalami peningkatan. Bagi kategori sukan dan permainan olahraga,
murid-murid Sekolah Kedawang berjaya merangkul pingat emas bagi Lompat Tinggi Perempuan dan
gangsa bagi Lompat Jauh (P) dan Lelaki serta 4x100 lelaki. Manakala bagi merentas desa, sekolah kita
Johan bagi keseluruhan perempuan dan lelaki. Tahniah diucapkan. Selain itu, bagi pasukan bola sepak
mewakili MSSD dan mendapat naib johan. Bowling turut menyumbang kepada kejayaan sekolah kita.
Bowling lelaki berjaya merangkul naib johan untuk MSSD dan bowling bawah 11 tahun pula
mengharumkan nama sekolah dengan mewakili peringkat kebangsaan serta menjadi johan bawah 11
tahun. Bagi acara ragbi dan sofbal, masing-masing mendapat naib johan. Badminton mendapat tempat
ketiga dan bola baling perempuan memasuki suku akhir.

Selain sukan, ko-akademik iaitu pertandingan sajak, pidato, konvensyen kelab doktor muda dan lain-lain
turut menyumbang mengharumkan nama sekolah. Sajak, Pidato Piala Diraja, Public Speaking, Bicara
Spontan Bahasa Inggeris Dan Inovasi Bahan Bantu Belajar dalam konvensyen Kelab Doktor Muda,
sekolah kita berjaya mengondol tempat kedua. Manakala bagi kembara sains perempuan merangkul
kejohanan dan kembara sains lelaki tempat ketiga mewakili negeri.

Seterusnya kejayaan dalam bidang unit beruniform. Pelbagai kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh
murid-murid Sekolah Kebangsaan Kedawang. Semasa pertandingan kawad kaki unit beruniform (L),
sekolah kita mendapat tempat ketiga untuk peringkat daerah. Manakala bagi Perkhemahan Perdana
Peringkat Negeri Kedah, pasukan kita mendapat johan bagi ikhtiar hidup dan naib johan bagi bantu
mula. Selain itu, semasa jambori pengakap baru-baru ini, pasukan sekolah memperoleh enam pingat
emas bagi peringkat negeri. Manakala bagi kursus pengakap, seramai sepuluh orang ahli telah lulus
dengan jayanya.

Dengan ini, jelaslah pencapaian anak-anak Sekolah Kedawang ini boleh pergi lebih jauh dalam pelbagai
bidang. Kejayaan demi kejayaan akan kita peroleh jika saling bekerjasama. Bukan hanya menunding jari
atau menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru untuk membimbing dan mendidik
mereka. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar dapat sama-sama
berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan
bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya harapan dan
impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana
yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan/puan sekalian, marilah kita saling bergandingan bagi
memastikan para penerima anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara
pada masa hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita.
Insya-Allah.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah
dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah
Cemerlang Sekolah Kebangsaan Kedawang pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai