Anda di halaman 1dari 7

a) Identify the signs of gifted children

Mutakhir ini kanak-kanak sering terdedah dengan pelbagai sumber maklumat dan komunikasi
seawal usia kecil lagi seperti Google, You Tube, Whatsapp dan ribuan lagi aplikasi dan
sumber maklumat yang ‘disajikan’ pada hari ini dek kerana tuntutan pendidikan, sumber
ekonomi, dasar kerajaan dan sebagainya. Fenomena ini sedikit sebanyak memberi kesan dan
impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak pada hari ini
serta mengembangkan ciri-ciri kognitif, psikomotor dan emosi mereka secara tidak langsung
terutamanya di kalangan mereka yang dikenali sebagai Gifted Children atau pun dipanggil
kanak-kanak pintar cerdas. Secara umumnya, kanak-kanak pintar cerdas didefinisikan
sebagai kanak-kanak yang mempamerkan kelebihan dan kecemerlangan yang luar biasa
melebihi kanak-kanak yang lain dari segi intelektual (akademik), bakat (seni visual &
persembahan) serta menunjukkan potensi yang unggul dari segi kepimpinan, kreativiti, sosial,
nilai hidup dan sebagainya. The Federal Definition of Gifted Children and Talented in NCLB
(No Child Left Behind) mentakrifkan istilah pintar cerdas merujuk kepada;

“Kanak-kanak atau remaja yang menunjukkan bukti pencapaian yang tinggi dalam
bidang intelek, kreativiti, seni, kapasiti kepimpinan atau dalam bidang akademik yang
khusus dan yang memerlukan perkhidmatan atau aktiviti yang tidak ditawarkan di
sekolah bagi memperkembangkan sepenuhnya kapasiti tersebut”

Di sini, dapat difahami bahawa setiap individu yang memiliki keistimewaan ini memiliki
domain yang berbeza di antara satu sama lain dan secara tidak langsung memerlukan satu set
teknik dan kaedah pengajaran yang berbeza yang terbahagi kepada intelektual, akademik,
verbal, kemahiran fizikal dan sosial, muzik serta kecerdasan emosi. Namun, dalam
memahami ‘dunia’ kanak-kanak pintar cerdas ini, tidak semua pihak terutamanya ibu bapa
dapat mengenal pasti ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini dan akhirnya kepintaran mereka
disalahertikan serta menyebabkan mereka tersisih sepi. Oleh yang demikian, menjadi
tanggungjawab ahli psikologi serta para guru yang terlatih mengambil peranan bagi mengenal
pasti Gifted Children ini agar keperluan mereka diisi serta bakat mereka diangkat tinggi.

Dalam mengenal pasti kelebihan mereka, ia mestilah berdasarkan ciri-ciri psikologi, daya
pemikiran dan ingatan mereka serta logik yang ditunjukkan selain menerusi hasil
pembelajaran yang ditampilkan. Secara umumnya, ciri-ciri kanak-kanak pintar cerdas ini
terlalu banyak namun ia boleh dikategorikan kepada dua ciri utama iaitu ciri-ciri kognitif
yang merujuk kepada aktiviti yang melibatkan mental seperti menaakul, menganalisis,
menyelesaikan masalah dan sebagainya. Manakala ciri kedua adalah ciri-ciri afektif yang
berkait rapat dengan perasaan dan emosi serta bukannya berfikir dan daya fikir. Kedua-dua
ciri utama saling berkaitan antara satu sama lain bagi membentuk kanak-kanak pintar cerdas
ini.

Ciri-ciri Kognitif

Perkembangan serta keupayaan kognitif golongan pintar cerdas ini dapat diperhatikan dan
dikenalpasti seawal peringkat bayi lagi. Ini kerana mereka akan menunjukkan kebolehan dan
bakat yang jauh lebih matang berbanding kanak-kanak seusia mereka. Berikut merupakan
antara ciri-ciri kognitif yang dimiliki oleh golongan pintar cerdas ini, antaranya;

Daya tumpuan yang tinggi: Kebiasaannya kanak-kanak pintar cerdas akan memberikan
daya tumpuan yang tinggi dalam melakukan sebarang aktiviti atau pun kerja. Sebagai contoh,
mereka tidak akan menghiraukan orang di sekeliling mereka jika diberikan sesuatu
permainan seperti ‘puzzle’ dan akan menyelesaikannya sehingga akhir kerana daya tumpuan
mereka terhadap aktiviti tersebut terlalu tinggi. Hal ini turut berlaku dalam proses
pembelajaran mereka di mana mereka akan memberikan sepenuh perhatian terhadap bidang
yang mereka minati bahkan jauh ‘meninggalkan’ kanak-kanak seusia mereka.

Membaca dan bercakap diusia yang muda: Ajaibnya kanak-kanak ini dapat menguasai
kemahiran membaca serta meminatinya dalam usia kurang daripada 5 tahun dan bukan itu
sahaja, mereka juga fasih bercakap dengan menggunakan laras bahasa yang betul serta
menguasai kosa kata yang tinggi berbanding kanak-kanak yang lain. Selain itu, kemahiran ini
juga disebabkan oleh kelebihan luar biasa mereka dalam mengingat sesuatu di mana mereka
tidak perlu menghafal sesuatu fakta atau ilmu akan tetapi dengan memahami isi
kandungannya sudah mencukupi bagi mereka untuk meluahkan semula isi kandungan
tersebut menggunakan bahasa mereka sendiri.

Perasaan ingin tahu: Gifted Children kebiasaannya akan mengemukan soalan-soalan yang
mencabar dan inovatif yang melebihi jangkauan akal kanak-kanak normal bahkan kadangkala
memeningkan kepala penjaga mereka. Oleh itu, perkara ini memudahkan bagi ibu bapa untuk
mengenalpasti bahawa anak mereka berkemungkinan besar tergolong dalam kalangan kanak-
kanak pintar cerdas. Ciri-ciri dan sifat ini juga boleh dikenalpasti pada peringkat kanak-kanak
lagi seperti mereka gemar membuka kereta mainan mereka untuk mengetahui komponen-
komponen yang terdapat di dalamnya serta membuka mainan yang lain bagi mengetahui
bagaimana mainan itu bercantum. Bukan itu sahaja, perasaan ingin tahu ini menyebabkan
mereka memiliki pemikiran yang abstrak dan mampu memahami pengetahuan yang tinggi
dan kompleks misalnya mereka akan cuba memikirkan alam selepas kematian manusia.

Berkebolehan tinggi dalam Matematik: Bagi kanak-kanak pintar cerdas yang mempunyai
kelebihan matematik ini mereka amat istimewa dan berbakat dalam bidang ini dan di sinilah
orang di sekeliling mereka akan menyedari bahawa mereka lain daripada yang lain. Sebagai
contoh, kanak-kanak pintar cerdas Adi Putra telah dikenalpasti bakat dan kebolehannya
dalam matematik seawal usia tiga tahun lagi. Bermula dari usia tersebut beliau telah
menunjukkan potensi diri dan bakat yang luar biasa bahkan berjaya mencipta kaedah sifir
yang baru serta mencipta kaedah pengiraan yang cepat serta mampu menyelesaikan masalah
yang kompleks dan sebagainya.

Ciri-ciri Afektif

Ciri-ciri afektif adalah berkaitan dengan perasaan dan emosi kanak-kanak pintar cerdas
tersebut di mana ianya haruslah berkembang serentak dengan ciri-ciri kognitif mereka dalam
usaha memperkembangkan minat dan motivasi golongan ini. Antara ciri-ciri afektif Gifted
Children adalah;

Karismatik dan Perfectionist: Personaliti dan gaya yang berbeza daripada orang lain
menjadikan kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi bintang utama di dalam sekolah mereka
dan menjadi perhatian masyarakat di sekelilingnya. Di samping itu, mereka akan meluangkan
banyak masa terhadap apa jua kerja yang dilakukan kerana sikap mementingkan
kesempurnaan (perfectionist) yang terdapat di dalam diri mereka dan kadangkalanya mereka
akan berulang kali melakukan tugasan tersebut bagi mendapatkan hasil yang memuaskan dan
sempurna.

Bekerja Kuat dan Berasa Tertekan: Golongan istimewa ini mahir dalam mengenalpasti
matlamat mereka sejak awal lagi. Oleh yang demikian, mereka akan bekerja kuat bagi
mencapai matlamat dan cita-cita tersebut sehingga kadangkala menyebabkan mereka tidak
tidur dan ini secara tidak langsung menimbulkan sifat mudah rasa tertekan dek kerana terlalu
ingin mengatasi orang lain serta takut kalah kepada mereka di mana akhirnya akan
mencetuskan kesan sosio emosi yang lain seperti cemburu.

Sensitif dan Suka Menyendiri: Disebabkan golongan ini mempunyai daya imaginasi yang
tinggi, mereka akan berfikir di luar jangkauan kanak-kanak yang normal dan pemikiran ini
akan menyebabkan mereka menjadi terlalu sensitif dengan keadaan di sekeliling mereka.
Sebagai contoh, apabila mereka menonton cerita seram mereka akan memikirkan apa yang
akan berlaku selepas itu dan segala peristiwa yang berkait rapat dengan cerita tersebut.
Rentetan itu mereka mungkin akan menjadi fobia serta sensitif terhadap bencana seperti
kegelapan dan kematian. Disebabkan sikap itu juga, golongan ini lebih suka menyendiri dan
menyebabkan hubungan sosialnya agak kurang baik.

Di samping ciri-ciri yang dinyatakan tadi, terdapat pelbagai lagi tanda dan sikap yang dapat
dikenalpasti pada diri seorang kanak-kanak pintar cerdas seawal usia satu hingga tiga tahun
seperti dapat membezakan antara realiti dan fantasi, daya tumpuan yang lebih lama, mudah
menggeari perkara baru dan cepat bosan terhadap perkara yang sama dan sebagainya. Bagi
usia lima sehingga lapan tahun pula, ciri-ciri yang terdapat pada diri mereka adalah seperti
lebih gemar meluangkan masa dengan orang yang lebih dewasa, pencapaian akademik yang
amat cemerlang, kreatif di dalam bidang seni, muzik serta drama dan sebagainya.

b) How should parents and teachers deal with gifted children?

Membesarkan serta mengasuh kanak-kanak pintar cerdas boleh menjadi suatu cabaran yang
menarik bagi ibu bapa, akan tetapi di dalam masa yang sama ianya boleh bertukar menjadi
pengalaman yang menakutkan kerana si kecil ini tidak datang dengan suatu panduan atau pun
‘manual’ arahan yang boleh dirujuk dengan lengkap. Walaupun kanak-kanak pintar cerdas ini
mempunyai daya fikiran serta tahap sosial yang tinggi, ibu bapa serta guru tidak boleh
menafikan bahawasanya mereka itu tetap kanak-kanak yang suka berlari, bermain, ketawa,
dan berseronok seperti kanak-kanak normal yang lain. Justeru, menjadi suatu amanah serta
tanggungjawab yang besar yang perlu dipikul oleh ibu bapa serta guru dalam mendidik serta
membesarkan kanak-kanak ini agar mereka tidak dipinggirkan lantas bakat dan keupayaan
mereka yang luar biasa itu dapat diangkat tinggi. Antara langkah yang dapat diambil oleh ibu
bapa dan guru adalah;

Peranan Ibu Bapa Dalam Mendidik Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Ibu Bapa Yang Responsif: Pembelajaran kanak-kanak bermula dari rumah dan mereka akan
belajar dahulu apa yang mereka lihat daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa yang meluangkan
masa bersama anak terutamanya ‘Gifted Children’ ini lebih berupaya untuk mengikuti minat
anak mereka dan bertindak balas dengan menawarkan peluang menawarkan serta
menyediakan pendidikan yang sesuai terhadap bakat mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh
melakukan aktiviti membaca kepada anak-anak mereka dengan kerap walaupun mereka
mampu membaca dengan sendiri atau pun bermain permainan bersama-sama. Ini kerana, di
awal usia ini ibu bapa boleh mengenalpasti serta menemui minat peribadi anak-anak mereka
selain dapat mendedahkan anak-anak mereka kepada minat mereka sendiri dan
menggalakkan anak-anak mereka mempelajari pelbagai jenis mata pelajaran seperti seni,
alam semula jadi, hubungan sosial, muzik, sukan dan sebagainya.

Jangan Membandingkan Antara Satu Sama Lain: Semua kanak-kanak adalah unik dan
istimewa dengan cara mereka sendiri. Oleh itu, membandingkan anak anda yang berbakat itu
dengan kanak-kanak lain merupakan suatu kesalahan besar dalam mendidik mereka. Ini
kerana, sepanjang tempoh mereka membesar, mereka akan senantiasa dibayangi dengan
perbandingan itu di mana akhirnya akan menyebabkan mereka berasa tertekan.

Sentiasa Positif: Langkah ini amat penting dalam membantu kanak-kanak pintar cerdas ini.
Ibu bapa perlu sentiasa mencari sudut yang positif dalam diri anak mereka serta memberi
penekanan terhadap sisi positif itu kerana golongan ini mempunyai sikap sensitif yang amat
tinggi. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menyebut menyebut perkara yang baik 10 kali lebih
kerap daripada perkara yang buruk. Hal ini mendorong mereka ke arah yang lebih baik
kerana kanak-kanak luar biasa ini masih kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang serta
kawalan, kanak-kanak yang sentiasa dahagakan perhatian serta didikan. Justeru, penglibatan
ibu bapa dalam mengekalkan atmosfera positif ini amatlah penting.

Asah Kemahiran Belajar Mereka Serta Kerap Memberi Pujian: Perkara utama dalam
membantu mengasah kemahiran belajar mereka adalah sentiasa membantu mereka
merancang bukan sahaja di dalam kerja sekolah mereka bahkan membuka sebanyak mungkin
peluang pembelajaran seperti menyelesaikan projek atau eksperimen, mengasah bakat seni
atau muzik dan sebagainya. Peluang demi peluang yang diberikan ini dapat mencungkil bakat
serta kemahiran belajar mereka dengan lebih cepat. Selain itu, pujilah mereka atas usaha yang
dilakukan. Pujian ini bukan sahaja untuk perkara-perkara hebat yang mereka lakukan akan
tetapi jika percubaan hebatnya itu tidak berjaya seperti yang diharapkan, pujilah mereka
kerana mencuba.

Bersuka Ria: Nikmatilah masa yang diluangkan bersama mereka dengan penuh
kegembiraan. Di dalam semua masalah yang dihadapi oleh ibu bapa, ingatlah kanak-kanak ini
adalah suatu anugerah. Kanak-kanak pintar cerdas ini sentiasa mempunyai rasa ingin tahu,
bersemangat dan teruja dengan perkara baharu. Justeru, beritahu mereka dengan lebih kerap
betapa anda menghargai mereka. Mereka memerlukan penerimaan dan penghargaan dari ibu
bapa untuk mencapai kecemerlangan.
Peranan Guru Dalam Mendidik Kanak-Kanak Pintar Cerdas

Peranan guru dan sekolah amat penting dalam menyediakan kurikulum serta silibus yang
dapat membantu kanak-kanak pintar cerdas ini. Antara langkah yang dapat diambil adalah;

Layan Pelajar Secara Individu Dan Adil: Guru perlu sedar bahawa dalam membina dan
membentuk profil pelajarnya yang mempunyai bakat ini, mereka mungkin luar biasa dan
berbakat dalam sesuatu pembelajaran, akan tetapi bakat mereka mungkin pada satu
kemahiran sahaja dan tidak pada kemahiran yang lain. Sebagai contoh, kanak-kanak itu
mempunyai bakat yang luar biasa dalam matematik tetapi lemah dalam penulisan, seni atau
sains. Hal ini boleh mengecewakan pelajar yang berbakat ini. Justeru, melayan golongan ini
secara individu dan adil serta mempelbagaikan kaedah pengajaran dan kemahiran belajar
adalah langkah pertama dalam mendidik kanak-kanak pintar cerdas ini.

Pemampatan Kurikulum Dan Aktiviti Bebas: Guru dan sekolah perlu menyediakan
persekitaran yang merangsang dan memenuhi keperluan kognitif, fizikal, emosi dan sosial
kanak-kanak pintar cerdas ini dalam kurikulum. Biarkan pelajar ini bergerak dengan bebas
dan laju di dalam mendalami kandungan kurikulum dan kemahiran lain yang disediakan
melalui bimbingan guru. Usahlah mendesak mereka melakukan sesuatu yang mereka sudah
fahami. Sebagai contoh, apabila mereka berjaya menyiapkan tugasan matematik dalam masa
yang singkat, maka berikanlah mereka tugasan yang lain yang lebih mencabar.

Pembelajaran Berpusatkan Murid: Guru perlu mengamalkan pembelajaran berpusatkan


murid dengan melibatkan pelajar berbakat ini dalam proses membuat keputusan, memberi
peluang untuk belajar dan bagaimana untuk mengambil tanggungjawab atas pembelajaran
mereka sendiri. Sebagai contoh, guru memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini
membentang dan mengajar kembali apa yang mereka fahami kepada pelajar yang lain.

Memaksimumkan Potensi Mereka: Guru perlu mencuba semaksima mungkin untuk


memaksimumkan potensi pelajar mereka dengan mengharapkan mereka melakukan yang
terbaik. Berilah galakan kepada mereka untuk maju secepat mungkin. Sebagai contoh,
bantulah mereka dalam membangunkan sebuah projek atau eksperimen yang berasaskan
teknologi yang membolehkan mereka mencapai kejayaan selangkah demi selangkah.

Libatkan Pelajar Dalam Pertandingan Akademik Atau Seni: Pelajar berbakat cenderung
untuk berdaya saing dengan masyarakat sekeliling mereka. Oleh itu, melibatkan mereka
dalam menyertai mana-mana pertandingan akademik mahupun seni merupakan suatu
pengalaman mengajar yang menyeronokkan. Daftarlah nama mereka dalam pertandingan
peringkat daerah mahupun kebangsaan seperti spelling bees, pameran sains, pertandingan
esei, pertandingan muzik dan sebagainya.

Mewujudkan Bilik Darjah Yang Mesra: Apa pun yang ingin dilakukan oleh para guru dan
pihak sekolah janganlah sampai mengabaikan keperluan utama ini. Guru perlu menekankan
kepada semua pelajarnya bahawa mereka perlu menerima kepelbagaian pendapat dan sentiasa
menghormati perbezaan. Hal ini dapat mewujudkan suasana bilik darjah yang mesra dan
tenang. Perkara ini juga secara tidak langsung dapat membantu kanak-kanak pintar cerdas
menunjukkan kemampuan mereka dengan lebih yakin dan di dalam masa yang sama dapat
membantu rakan sekelas yang lain memahami apa yang mereka pelajari. Sebagai contoh,
guru berusaha untuk mewujudkan bilik darjah yang tidak kompetitif secara individu dan
kumpulan serta terbuka dalam menerima kepelbagaian yang membolehkan semua pelajar
maju mengikut kadar pembelajaran mereka sendiri.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai lagi langkah dan kaedah yang dapat dilakukan oleh para
guru dan ibu bapa dalam membesarkan dan mendidik golongan istimewa ini. Justeru,
rancanglah aktiviti dan keperluan yang sesuai bagi memastikan mereka mencapai segala
keperluan yang dihajati. Usahlah berkecil hati dalam usaha ini kerana golongan ini adalah
anugerah Ilahi.

Anda mungkin juga menyukai