Anda di halaman 1dari 16

Tekanan Kerja dan Strategi Daya Tindak: Satu Kajian Rintis Dalam Kalangan Petugas Kesihatan

Pasca Pandemik Covid -19

Farah Athirah binti Moh Fuzi

(Penulis pelajar MSc (Counseling) di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial
(SAPSP), UUM. Penulis boleh dihubungi melalui email farahathirahmohfuzi@gmail.com)

ABSTRAK

Tekanan merupakan satu fenomena yang seringkali dikaitkan dengan prestasi kerja, kesihatan
fizikal dan mental dan tahap produktiviti individu atau pekerja. Maka, pengkaji merasa petugas
kesihatan yang bekerja di jabatan kecemasan dan trauma perlu dibantu dan diberikan penekanan
dari segi aspek fizikal dan psikologi dalam memastikan mereka sentiasa bersedia serta dapat
kekal untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik terutama pasca pandemic COVID-19.
Sehubungan dengan itu, satu kajian rintis dijalankan keatas 20 orang sampel bertujuan untuk
mengenalpasti hubungan tekanan kerja dan strategi daya tindak para petugas kesihatan di daerah
Baling, Kedah. Ianya sekaligus dapat membantu pengkaji mengenal pasti perkaitan masalah
tekanan kerja yang dialami oleh petugas kesihatan serta strategi daya. Kajian ini menggunakan
soal selidik sebagai alat utama bagi mengumpul data secara kuantitatif. Pengkaji menggunakan
satu set soal selidik yang mengandungi tiga bahagian, iaitu demografi, soalan mengukur tekanan
kerja dan strategi daya tindak. Kemudian data dianalisis menggunakan program Statistical
Package for Social Sciences (SPSS) Versi 22.0 secara deskriptif dan inferensi. Hasil dapatan
kajian rintis ini mendapati bahawa petugas kesihatan Jabatan Kecemasan dan trauma Hospital
Daerah Baling mempunyai tahap tekanan yang sangat tinggi. Di samping itu juga, keputusan
menunjukkan majoriti petugas kesihatan menggunakan strategi berfokus emosi bagi
menyelesaikan masalah mereka bagi penggunaan strategi daya tindak. Namun begitu, dimensi
strategi berfokus emosi didapati tiada perhubungan yang signifikan di dalam kajian ini dengan
mana–mana konstruk. Pengkaji menyarankan agar kajian masa hadapan dapat merangkumi
perbandingan dari sudut demografi. Hal ini dapat memanfaatkan pembaca dari segi pemahaman
dan pengetahuan supaya dapat menambahkan ilmu dalam minda pembaca.

PENGENALAN

Tekanan merupakan satu fenomena yang seringkali dikaitkan dengan prestasi kerja, kesihatan
fizikal dan mental dan tahap produktiviti individu atau pekerja (Rohany dan Fatimah, 2006). Hal ini
kerana, tekanan kerja boleh memberi impak kepada masalah kesihatan mental jika tidak ditangani
dengan baik dan berkesan. Menurut Maria Diana (2011) tekanan juga boleh didefinisikan sebagai
tindak balas emosi yang tidak spesifik terhadap desakan sama ada yang sebenar atau yang
diimaginasikan. Ia merupakan satu fenomena semula jadi yang tidak boleh dielakkan sekiranya
seseorang itu membuat kerja-kerja professional mahupun tidak. Fenomena tekanan ini menjadi
kebiasaan yang berlaku dalam kehidupan manusia yang sentiasa sibuk dalam tugas seharian.
Kebiasaan individu yang bekerja di dalam sesebuah jabatan akan mempunyai pengalaman
kebosanan dan kebimbangan yang berpunca daripada diri sendiri mahupun persekitaran yang
menyebabkan mereka berasa tidak selesa, tidak puas hati dan kurang produktif.

Dewasa ini, tekanan merupakan perkara normal dalam kehidupan yang sentiasa dipenuhi
dengan kesibukan. Setiap orang akan mengalami tekanan dalam kehidupan seharian mereka.
Kenyataan ini di sokong oleh Rohani dan Nor Eda, (2001), tekanan merupakan sesuatu perkara
yang normal dan penting dalam kehidupan. Tekanan boleh menimbulkan keadaan yang baik dan
sebaliknya. Tekanan yang menyebabkan keadaan buruk adalah apabila tekanan mengganggu
aspek psikologi seseorang. Namun begitu, menurut Azmi (2005) pula, menyatakan bahawa
terdapat beberapa keadaan yang membawa kepada tekanan kerja. Keadaan ini dipanggil
‘stressor’ atau penyebab. Antara penyebab tersebut ialah bebanan tugas, tekanan masa, kualiti
penyeliaan yang lemah, ketidaksesuaian pihak atasan berbanding dengan tanggungjawab
sebenar, konflik peranan, nilai-nilai yang berbeza di antara organisasi dan pekerja serta
kekecewaan. Tekanan yang wujud daripada beban kerja mental merupakan kesan terlalu banyak
beban kerja atau terlalu sedikit beban kerja serta faktor kecekapan melakukan sesuatu tugas.

Beberapa data statistik telah ditemui hasil daripada kajian lepas membuktikan bahawa
kesan tekanan kerja mempunyai pengaruh yang kuat terhadap kesihatan mental pekerja. Masalah
kesihatan mental telah sekian lama menjadi krisis global di mana terdapat pelbagai penyakit
mental yang telah dikenal pasti melalui statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (2019). Melalui statistik tersebut, jumlah pesakit yang mengalami masalah kesihatan
mental telah menunjukkan peningkatan di seluruh dunia. Selain itu, masalah kesihatan mental turut
mendorong ke arah kewujudan pelbagai masalah lain seperti kurang berupaya dalam menjalani
kehidupan harian sehingga timbul keinginan untuk mencederakan diri sendiri malah berpontensi
untuk membunuh diri. Selain itu juga, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2019), turut menyatakan
terdapat pelbagai jenis penyakit mental yang berbeza-beza tahap dan keadaannya. Secara umum,
penyakit mental dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan gabungan aspek tidak
normal yang terdapat dalam pemikiran, pandangan, emosi, kelakuan dan hubungan sosial dengan
orang lain.

Tambahan pula, kehidupan manusia kini yang semakin mencabar dan kompleks. Keadaan
menangani wabak COVID-19 yang melanda dunia secara global ini menyumbang kepada
kemunculan suatu keadaan yang menyerang petugas barisan hadapan iaitu tekanan atau
lebih dikenali sebagai “stres”. Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta (2002), tekanan
merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari. Ia
berubah wajah mengikut peredaran masa. Tekanan kerja ini akan mendorong kepada
masalah kesihatan mental. Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan dan membendung
tekanan ini terdapat beberapa strategi daya tindak yang dapat dipraktikkan oleh petugas
kesihatan khususnya. Menurut Bridger et al. (2013), strategi daya tindak yang digunakan
untuk mengurus situasi yang memberi tekanan sebagai tindak balas dapat mempengaruhi
kesejahteraan mental. Maksudnya, sumber tekanan tidak terlalu penting tetapi bagaimana
petugas kesihatan beradaptasi dengan sumber tekanan yang akan menentukan kesannya
terhadap kesihatan dan kesejahteraan mental. Strategi daya tindak merujuk kepada usaha
yang aktif untuk menyelesaikan sesuatu isu atau masalah yang dihadapi. Mekanisme daya
tindak membantu seseorang individu untuk berhadapan dengan ancaman, cabaran dan
halangan dalam kehidupan serta berperanan sebagai medium bagi mengurangkan atau
menyederhanakan ketegangan dan tekanan (Kahn & Cooper 1986). Selain itu, Plunckett
et al. (2000) menjelaskan bahawa strategi daya tindak bermaksud kemahiran dan
keupayaan yang diadaptasikan oleh seseorang individu bagi menangani tekanan dan krisis
dalam kehidupan mereka. Blacher et al. (2013) dan Ekas et al. (2015) menjelaskan
bahawa apabila tekanan berlaku, proses daya tindak akan menyusul bagi menangani
cabaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengenalpasti
hubungan tekanan kerja dan strategi daya tindak para petugas kesihatan terutama pasca
pandemik COVID19 di daerah Baling, Kedah. Ianya sekaligus dapat membantu pengkaji mengenal
pasti hubungan tekanan kerja yang dialami serta strategi daya tindak petugas kesihatan pasca
pandemik COVID-19. Pengkaji memberi tumpuan kepada strategi daya tindak fokus pada tekanan
kerja.

PERSOALAN KAJIAN

1. Apakah tahap tekanan kerja, dan strategi daya tindak petugas kesihatan pasca pandemik
COVID-19 di daerah Baling?

2. Adakah terdapat hubungan antara tekanan dan strategi daya tindak petugas kesihatan
pasca pandemik COVID-19 di daerah Baling?

OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenalpasti tahap tekanan kerja dan strategi daya tindak petugas kesihatan pasca
pandemik COVID-19 di daerah Baling.
2. Mengenalpasti hubungan antara tekanan kerja dan strategi daya tindak petugas kesihatan
pasca pandemik COVID-19 di daerah Baling.

KEPENTINGAN KAJIAN

Matlamat kajian ini adalah untuk melihat hubungan antara tekanan kerja, dan strategi daya
tindak pasca pandemik Covid-19. Hasil kajian ini diharap dapat membantu pegawai
psikologi dan petugas kesihatan mengenalpasti tekanan kerja yang dihadapi dan strategi
daya tindak petugas kesihatan di daerah Baling dan memberi implikasi yang baik kepada
tahap kesejahteraan mental mereka. Kajian ini juga diharapkan agar dapat menjadi asas
kepada penyelidikan seterusnya pada masa akan datang.
KAEDAH KAJIAN

REKABENTUK KAJIAN

Kajian ini akan menggunakan soal selidik sebagai alat utama bagi mengumpul data secara
kuantitatif. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan satu set soal selidik yang mengandungi tiga
bahagian, iaitu Bahagian A, B, C bagi mendapatkan data kajian seperti berikut:

a. Bahagian A: Data demografi responden.

b. Bahagian B: Set soalan yang mengukur tekanan kerja.

c. Bahagian C: Set soalan yang mengukur strategi daya tindak.

PESERTA KAJIAN

Dalam kajian ini, pengkaji memilih populasi yang bersesuaian dengan kajian yang ingin dijalankan.
Populasi kajian ini terdiri daripada kakitangan yang bekerja di jabatan kecemasan dan trauma di
sebuah Hospital Daerah Baling. Namun begitu untuk kajian rintis ini 20 orang petugas kesihatan
secara rawak.

ALAT KAJIAN

Alat Kajian dalam kajian ini satu set soal selidik yang mengandungi tiga bahagian telah digunakan
untuk mendapatkan data. Berikut adalah soal selidik yang digunakan dalam kajian ini:

Maklumat Demografi
Bahagian ini mengandungi 8 soalan antaranya ialah tentang jantina, umur, status perkahwinan,
bangsa, tahap pendidikan, tempoh berkhidmat, jawatan dan gred, dan status jawatan.

Perceived Stress Scale

Penyelidik menggunakan soal selidik Perceived Stress Scale-10 (PSS-10) yang diperkenalkan
oleh Cohen (1988). Soal selidik ini mengandungi 10 soalan yang berkaitan dengan perasaan dan
pemikiran responden dalam tempoh sebulan yang lalu. Dalam setiap soalan, responden
dikehendaki untuk menyatakan kekerapan perasaan atau fikiran dalam keadaan yang tertentu.
Inventori ini menggunakan lima skala likert iaitu 0=tidak pernah, 1=hampir tidak pernah, 2=kadang-
kadang, 3=kerap dan 4=sangat kerap. PSS-10 merupakan satu set soal selidik yang mengandungi
10 soalan yang mengukur lima tahap persepsi terhadap tekanan yang dihadapi oleh responden
iaitu sangat rendah dari purata, rendah dari purata, purata, tinggi dari purata dan lebih tinggi dari
purata. Selain itu inventori ini juga dapat mengukur tahap keprihatinan responden terhadap
kesihatan mereka namun ianya tidak difokuskan di dalam kajian ini kerana ianya tidak terdapat di
dalam persoalan kajian ini. Sebelum ini inventori Perceived Stress Scale telah diterjemahkan oleh
pengkaji lain ke dalam bahasa Melayu, pengkaji telah merujuk kepada kajian penilaian skala
Perceived Stress Scale terhadap dua pekerjaan iaitu sektor perubatan dan sektor keretapi di
Malaysia oleh Sar Al- Dubai et. al., (2014). Inventori ini mempunyai beberapa item positif dan juga
item negatif seperti jadual 1.0.

Jadual 1.0 Pembahagian Item Positif dan Negatif Inventori Perceived Stress Scale-10

Jenis Item Nombor Item Jumlah

POSITIF 4, 5, 7 dan 8 4

NEGATIF 1, 2, 3, 6, 9 dan 10 6

JUMLAH ITEM 10

Setiap item dalam inventori ini mempunyai skala likert 5 mata yang mana ianya bermula daripada
tidak pernah (0) hingga sangat kerap (4). Dalam inventori ini terdapat 4 item positif iaitu item 4, 5, 7
dan 8 yang mana kaedah permakatannya ialah secara terbalik (reverse scored). Item positif ini
dikira secara terbalik iaitu menggunakan 4=tidak pernah, 3=hampir tidak pernah, 2=kadang-
kadang, 1=agak kerap dan 0= sangat kerap. Bagi item negatif pula ialah item 1, 2, 3, 6, 9 dan 10
pula, cara permakatannya adalah seperti biasa iaitu 0=tidak pernah, 1=hampir tidak pernah,
2=kadang-kadang, 3=agak kerap dan 4=sangat kerap. Kemudian semua markat bagi setiap item
akan dijumlahkan. Jadual 2.0 menunjukkan tahap stres bagi setiap markat yang dijumlahkan.

Jadual 2.0: Tahap Stres Bagi Setiap Markat

Jumlah Markat Tahap Stres

0 hingga 7 Sangat rendah

8 hingga 11 Rendah

12 hingga 15 Sederhana

16 hingga 20 Tinggi

20 ke atas Sangat tinggi


Brief COPE

Alat ukur yang digunakan untuk mengukur strategi daya tindak dalam kajian ini adalah instrumen
berdasarkan skala Brief COPE (Carver, 1997), terdiri dari 28 item yang merupakan versi singkat
dari 60 item skala COPE yang dikembangkan oleh Carver (1989). Alat ukur dalam kajian ini
menggunakan skala Brief COPE versi bahasa Melayu yang di terjemah dalam kajian lepas (Intan,
2007). Skala Brief COPE ini memiliki 14 subskala yang terdiri dari 2 item pada setiap skalanya
(Jadual 4.0), 14 subskala ini dapat dibahagi kepada tiga dimensi utama seperti ditunjukkan dalam
Jadual 5.0 iaitu:

1. Problem-focused coping = Daya Tindak Berfokus Masalah (daya tindak aktif, perancangan
dan mencari sokongan instrumental)

2. Emotion-focused coping = Daya Tindak Berfokus Emosi (penerimaan, humor, pengluahan,


agama, sokongan emosi, kerangka positif, dan menyalahkan diri sendiri)

3. Avoidant coping = Daya Tindak Pengelakan (penafian, mengalihkan perhatian, pelepasan


tingkah laku dan penyalahgunaan bahan)

Jadual 3.0: Pemarkatan Brief COPE

Skala Item Positif


Tidak langsung melakukannya 1
Jarang-jarang melakukannya 2
Kerap melakukannya 3
Sangat kerap melakukannya 4

Jadual 4.0: Item dan dimensi dalam Brief COPE

Dimension Item
Daya tindak aktif 1, 15
Perancangan 2, 16
Mencari sokongan instrumental 3. 17
Penerimaan 4, 18
Humor 5, 19
Agama 6, 20
Sokongan emosi 7, 21
Instrumental 8, 22
Mengalihkan perhatian 9, 23
Penafian 10, 24
Kerangka positif 11, 25
Penyalahgunaan bahan 12, 26
Pelepasan tingkah laku 13, 27
Menyalahkan diri sendiri 14, 28
Jadual 5.0: Dimensi dalam Brief Cope

Dimensi Item
Strategi Berfokus Masalah 1, 2, 6, 8, 15, 16, 22, 20
Strategi Berfokus Emosi 3, 4, 7, 11, 17, 18, 19, 21, 25
Strategi Pengelakan 9, 10, 12, 13, 14, 24, 26, 27, 28
 

KEBOLEHPERCAYAAN DAN KESAHAN ALAT KAJIAN

Dalam memastikan alat kajian yang hendak digunakan dalam sesebuah kajian, penyelidik
hendaklah memastikan bahawa alat kajian yang digunakan itu mmempunyai kesahan dan
kebolehpercayaan yang baik.

Perceived Stress Scale (PSS)

Kajian SAR Al-Dubai (2014), yang telah dilakukan di kalangan 191 kakitangan perubatan dan 513
pekerja keretaapi mendapati hasil kebolehpercayaan ke atas skala PSS ini menunjukkan
koefisien alfa Cronbach adalah 0.70 untuk kakitangan perubatan dan 0.71 untuk pekerja kereta
api. Kedua-dua sampel masing-masing menyumbang 59.2% dan 64.8% dari perbezaan penduduk
perubatan dan pekerja keretapi. Maka kebolehpercayaan dan kesahan bagi skala PSS ini adalah
bagus dan boleh digunakan.

Brief COPE

Hasil penilaian kebolehpercayaan ke atas skala Brief COPE versi bahasa Melayu adalah 0.83.
Kebanyakan strategi daya tindak menunjukkan penerimaan baik dan ketekalan dalaman dengan
nilai kebolehpercayaan alfa Cronbach lebih daripada 0.65. Menurut Saiful (2011), berdasarkan
kajian dalam kalangan remaja di sekolah menengah yang telah dijalankan menunjukkan Brief
COPE versi bahasa Melayu menunjukkan nilai psikometrik yang bagus.
DAPATAN KAJIAN

Data untuk kajian ini dikumpul daripada 20 orang petugas kesihatan dari Daerah Baling. Data yang

diperolehi daripada Bahagian A iaitu demografi responden merupakan data deskriptif dan

dihuraikan menggunakan frekuensi dan peratusan. Data yang diperoleh ini memberikan ringkasan

kepada keseluruhan demografi responden dalam kajian rintis ini. Antara ciri-ciri demografi

responden yang dihuraikan ialah jantina, umur, status perkahwinan, bangsa, tahap pendidikan,

jawatan dan status pekerjaan. Hasil dapatan analisis demografi responden melalui kekerapan dan

peratusan adalah seperti Jadual 6.0.

Jadual 6.0 : Profil demografi subjek kajian (N=20)

Demografi Klasifikasi Kekerapan Peratusan


(%)

Jantina Lelaki 10 50
Perempuan 10 50
Umur 20 – 25 tahun 2 10
26 – 35 tahun 5 25
36 – 45 tahun 11 55
46 tahun ke atas 2 10
Status perkahwinan Bujang 7 35
Berkahwin 13 65
Bangsa Melayu 17 85
Cina 0 0
India 3 15
lain-lain 0 0
Tahap pendidikan SPM 1 5
Diploma 13 65
Ijazah dan keatas 6 30
Jawatan Pegawai Perubatan 6 30
Penolong Pegawai Perubatan 6 30
Jururawat 5 25
Penolong Perawat Kesihatan 2 10
Pemandu 1 5
Kerani 0 0
Status pekerjaan Tetap 14 70
Kontrak 6 30

Manakala bagi menjawab objektif satu iaitu mengkaji tahap tekanan kerja, strategi daya tindak dan
kesihatan mental satu analisis deskriptif secara kekerapan dan peratusan, telah dilakukan. Hasil
kajian analisis deskriptif bagi setiap konstruk ini ditunjukkan melalui jadual seperti berikut.
Tahap Tekanan Kerja

Hasil analisis kajian tahap tekanan kerja terhadap 20 orang sampel menunjukkan majoriti
responden berada pada tahap sangat tinggi iaitu 6 orang (30%), diikuti sederhana 5 orang (25%).
Manakala 4 orang responden (20%) berada pada tahap tinggi. Seterusnya 3 orang responden
(15%) berada pada tahap rendah. 2 orang respond (10%) berada tahap sangat rendah. Rujuk
Jadual 7.0

Jadual 7.0 : Keputusan deskriptif bagi Tahap Tekanan Kerja

Konstruk Tahap Kekerapa Peratusan


n (%)
TAHAP SANGAT RENDAH 2 10
TEKANAN RENDAH 3 15
KERJA SEDERHANA 5 25
TINGGI 4 20
SANGAT TINGGI 6 30
Jumlah 20 100.0

Strategi Daya Tindak

Bagi konstruk strategi daya tindak, majoriti responden kajian menggunakan strategi berfokus
emosi dengan nilai skor min tertinggi iaitu (M=16.80, SP= 4.991). Diikuti dengan teknik strategi
pengelakan dengan skor min (M= 11.40, SP= 4.070). Seterusnya bagi strategi berfokus masalah
adalah sebanyak (M=10.20, SP= 4.150). Rujuk Jadual 8.0.

Jadual 8.0 : Keputusan Deskriptif Bagi Dimensi Strategi Daya Tindak

Dimensi Strategi Daya Tindak min Sisihan piawaian


Strategi berfokus masalah 10.20 4.150
Strategi berfokus emosi 16.80 4.991
Strategi pengelakan 11.40 4.070

H1: Terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dan strategi daya tindak petugas
kesihatan di Daerah Baling.

Jadual 9.0 menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan lemah, dengan nilai r = .333 pada aras
p = .003. Oleh yang demikian, kajian ini menerima hipotesis alternatif di mana didapati tekanan
kerja mempunyai hubungan yang signifikan dengan strategi daya tindak dalam kalangan petugas
kesihatan Daerah Baling.
Jadual 9.0 : Keputusan Analisis Tekanan Kerja Dan Strategi Daya Tindak

Konstruk Strategi Daya Tindak


Tekanan kerja .333**
*k<.05, **k<.01

Ha: Terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dan strategi berfokus masalah
petugas kesihatan di jabatan kecemasan Hospital Daerah Baling.

Hb: Terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dan strategi berfokus emosi petugas
kesihatan di jabatan kecemasan Hospital Daerah Baling.

Hc: Terdapat hubungan yang signifikan antara tekanan kerja dan strategi pengelakan petugas
kesihatan di jabatan kecemasan Hospital Daerah Baling.

Jadual 10.0 menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan lemah bagi strategi berfokus
masalah dan strategi pengelakan dengan kebimbangan, pada nilai r = .311 pada aras p
= .005, dan bagi strategi pengelakan nilai r = .358 pada aras p = .001. Oleh yang demikian,
kajian ini menerima hipotesis alternatif (Ha dan Hc) di mana didapati tekanan mempunyai
hubungan yang signifikan dengan demensi strategi berfokus masalah dan strategi
pengelakan dalam kalangan petugas jabatan kecemasan dan trauma Hospital Daerah
Baling. Manakala, bagi strategi berfokus emosi dan tekanan, kajian ini mendapati tidak
terdapat hubungan yang signifikan dengan nilai r = 1.75 pada aras p = 0.121. Oleh yang
demikian, kajian ini menolak hipotesis alternatif (Hb) di mana didapati tekanan tidak
mempunyai hubungan yang signifikan dengan dimensi strategi berfokus emosi dalam
kalangan petugas jabatan kecemasan dan trauma Hospital Daerah Baling.

Jadual 10.0 : Keputusan analisis tekanan kerja dengan dimensi strategi daya tindak

Strategi berfokus Strategi pengelakan Strategi berfokus


masalah emosi
Tekanan kerja .311** .358** .175
*k<.05, **k<.01
PERBINCANGAN

Kajian ini mendapati terdapat hubungan yang signifikan bagi tekanan kerja dengan dimensi
strategi daya tindak iaitu strategi berfokus masalah dan strategi pengelakan dalam kalangan
petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Daerah Baling. Manakala, bagi strategi
berfokus emosi dengan tekanan, kajian ini mendapati tekanan tidak mempunyai hubungan yang
signifikan dengan strategi berfokus emosi dalam kalangan petugas Jabatan Kecemasan dan
Trauma Hospital Daerah Baling.

Dalam konteks kajian ini, dapatan adalah konsisten dengan kajian lepas seperti kajian oleh
Narimah (2003) yang memperoleh hubungan signifikan di antara tekanan kerja, kepuasan kerja
dan strategi daya tindak di kalangan jururawat di hospital kerajaan dan swasta. Keputusan kajian
menunjukkan terdapat hubungan yang positif di antara tekanan dengan strategi daya tindak.
Walau bagaimanapun, tidak terdapat hubungan negatif di antara tekanan dengan kepuasan kerja.
Kajian ini juga bertujuan untuk melihat perbezaan tekanan kerja mengikut taraf perkahwinan, taraf
pendidikan, umur dan tempoh bekerja. Seramai 160 orang jururawat daripada hospital kerajaan
dan swasta telah dipilih sebagai subjek. Alat kajian yang digunakan ialah Occupational Stress
Indicator (OSI). Data dianalisis dengan menggunakan kaedah Korelasi Pearson, Ujian-t dan
ANOVA sehala.

Sebaliknya kajian oleh Yusliza Mad Yusuf (2004) bertujuan mengenal pasti perbezaan
tahap tekanan serta penggunaan strategi daya tindak dalam kalangan pelajar UKM. Di samping itu
juga, pengkaji ingin melihat perbezaan tahap tekanan mengikut beberapa pemboleh ubah seperti
mengikut jantina, tahun pengajian serta aliran pengajian. Pengkaji juga melihat hubungan antara
tekanan dan strategi daya tindak dalam kalangan pelajar UKM. Dalam kajian ini, seramai 100
orang pelajar UKM telah dipilih sebagai subjek kajian yang terdiri daripada 50 orang pelajar lelaki
dan 50 orang pelajar perempuan. Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah rekaan oleh
Gadzella (1994) iaitu Student Life Stress Inventory. Hasil kajian ini mendapati tidak terdapat
perbezaan signifikan antara tekanan pelajar mengikut jantina, tahun pengajian serta penggunaan
strategi daya tindak mengikut jantina. Namun kajian yang dihasilkan ini telah membuktikan bahawa
terdapat perbezaan tekanan yang signifikan mengikut aliran pengajian. Di samping itu juga
terdapat perhubungan yang signifikan antara tekanan dan penggunaan strategi daya tindak dalam
kalangan pelajar. Hasil dapatan kajian ini disokong oleh kajian Mohd Zukri, (2010), yang mengkaji
tekanan kerja dan strategi daya tindak dalam kalangan warden penjara di Kedah. Hasil dapatan
kajiannya menunjukkan terdapat pengaruh yang signifikan antara tekanan kerja dengan strategi
daya tindak dalam mengurangkan simptom tekanan secara positif dan memberi sokongan emosi.
Hubungan pemilihan strategi daya tindak dengan faktor tekanan yang dihadapi adalah sangat
kompleks. Hal ini kerana, strategi daya tindak boleh membawa kepada hasil yang positif seperti
kebimbangan yang rendah, kepuasan kerja yang tinggi dan niat untuk kekal cemerlang dalam
jabatan.

Folkman dan Lazarus (1980) mengkategorikan daya tindak kepada dua jenis utama iaitu
berfokuskan masalah (problem-focused) dan berfokuskan emosi (emotion-focused). Strategi
berfokus masalah adalah lebih kepada usaha untuk menyelesaikan masalah dan tekanan
manakala strategi berfokus emosi adalah pengurusan emosi terhadap tekanan tersebut. Setiap
individu mempunyai cara tersendiri dalam mengatasi tekanan. Namun begitu, tidak semua tekanan
dapat diatasi dengan berkesan kerana sesetengah strategi daya tindak tidak sesuai digunakan
dalam mengatasi tekanan yang dihadapi. Dengan menggunakan daya tindak, seseorang boleh
berhadapan dengan tekanan atau boleh mengurangkan dan meminimumkan situasi yang
menekan dan seterusnya membentuk kesejahteraan seseorang. Situasi yang menekan merujuk
kepada situasi yang mengancam kesejahteraan psikologi individu (Vaughn & Roesch, 2003).
Pemilihan daya tindak ini berbeza mengikut individu. Melalui penggunaan daya tindak yang
berkesan, tingkah laku, pemikiran dan interaksi dengan persekitaran dapat diurus dengan baik dan
interaksi ini berhubung kait dengan kesejahteraan psikologi individu (Folkman, Lazarus, Gruen &
De Longis, 1986).

Kebiasaannya, dalam sesebuah jabatan pasti ada masalah yang timbul sama ada dari
sudut tekanan kerja. Tekanan kerja merupakan manifestasi negatif dalam persekitaran kerja pada
hari ini dan menjadi isu utama dalam kalangan pekerja walaupun tekanan sering dikaitkan dengan
keburukan, Namun manusia memerlukan sedikit tekanan dalam kehidupan. Tekanan juga
merupakan sebagai penggerak dalam mewujudkan satu tindakan ke arah penentuan
keberkesanan peribadi. Kehidupan yang bebas daripada tekanan akan membuat seseorang itu
malas dan tidak maju ke hadapan. Individu mesti menentukan sendiri tahap optimum bagi dirinya
sendiri dan mereka sendiri tahu sama ada tahap tekanan yang dialami mereka itu sudah
melampaui batas atau tidak. Oleh sebab itu, individu yang mempunyai daya tindak yang adaptif
dan baik akan dapat menghadapi tekanan harian mahupun peristiwa buruk yang terjadi dengan
baik. Kajian mendapati terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi pemilihan daya tindak
seseorang

Meskipun petugas kesihatan menggunakan strategi daya tindak berfokuskan masalah dan
strategi pengelakan tetapi tekanan yang dialami oleh petugas kesihatan masih berada pada tahap
tekanan yang tinggi. Hal ini, memerlukan petugas kesihatan sendiri menstruktur semula pemikiran
negatif kepada positif yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan psikologi lebih baik.
Penstrukturan semula ini penting supaya dapat mengubah emosi negatif kepada lebih positif dan
individu akan lebih optimis terhadap cabaran yang dihadapi terutama sekali semasa bertugas
membanteras wabak COVID-19 ini. Sikap optimis iaitu berfikiran positif terhadap pelbagai situasi
meskipun situasi negatif adalah faktor kognitif yang paling berpengaruh dalam mengawal emosi
dan tekanan (Tusaie-Mumford, 2001). Sikap ini membawa kepada kekuatan petugas itu sendiri
dalam mengawal situasi persekitaran mereka. Souri dan Hasanirad (2011) mengatakan sikap
optimis individu mempengaruhi kesejahteraan psikologi secara keseluruhan. Oleh itu, kebolehan
untuk mengatasi tekanan secara efektif boleh membantu petugas kesihatan untuk mengelakkan
kesan negatif terhadap kesejahteraan psikologi mereka. Bagi mendapatkan kesan yang positif
terhadap kesejahteraan psikologi, petugas perlu mengawal situasi mengikut strategi daya tindak
yang terbaik mengikut situasi.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, kajian ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Objektif kajian
yang dijalankan secara khusus adalah untuk mengenalpasti hubungan antara dua konstruk
utama iaitu tekanan kerja dan strategi daya tindak. Hasil dapatan kajian rintis ini mendapati
bahawa petugas kesihatan Jabatan Kecemasan dan trauma Hospital Daerah Baling
mempunyai tahap tekanan yang sangat tinggi. Manakala, terdapat hubungan yang
signifikan lemah antara tekanan kerja bagi strategi berfokus masalah dan strategi
pengelakan dengan kebimbangan, Di samping itu juga, keputusan menunjukkan majoriti
petugas kesihatan menggunakan strategi berfokus emosi bagi menyelesaikan masalah
mereka bagi penggunaan strategi daya tindak. Namun begitu, dimensi strategi berfokus
emosi didapati tiada perhubungan yang signifikan di dalam kajian ini dengan tekanan kerja.
Hasil dari kajian oleh pengkaji ke atas tekanan kerja dan strategi daya tindak di Jabatan
Kecemasan dan Trauma sedikit sebanyak memberikan implikasi kepada petugas kesihatan,
organisasi Jabatan Kecemasan dan Trauma serta Kementerian Kesihatan Malaysia bagi
membanteras isu tekanan kerja dan isu kesihatan mental dalam kalangan kakitangan
petugas kesihatan terutamanya ketika pandemik COVID -19 yang melanda dunia kini.
Pendekatan strategi daya tindak dan teknik psikologi yang berkesan serta persekitaran kerja
yang kurang tekanan adalah salah satu faktor yang perlu dititik beratkan dalam usaha
membendung isu ini daripada terus membelenggu organisasi.
RUJUKAN

Azmi Mustafa. 2005. Tekanan dan kepuasan kerja di kalangan kakitangan Pusat Serenti. Latihan
Ilmiah yang tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Blacher, J., Begum, G.F. & Marcoulides, G. A. 2013. Longitudinal perspectives of child
positiveimpact on families: Relationship to disability and culture. American Journal on
Intellectual and Developmental Disabilities 118 (2): 141-155.

Bridger, R. S., Day, A. J., & Morton, K. 2013. Occupational stress and employee turnover.
Ergonomics, 56(11), 1629-1639

Carver, C. S. 1997. You want to measure coping but your protocol’too long: Consider the Brief
COPE. International Journal of Behavioral Medicine, 4(1), 92-100.

Carver, C. S., Scheier, M. F., & Weintraub, J. K. 1989. Assessing coping strategies: A theoretically
based approach. Journal of Personality and Social Psychology, 56(2),

Cohen, S., Kamarck, T., & Mermelstein, R.1983. A global measure of perceived stress. Journal of
Health and Social Behavior, 385-396.

Hatta Sidi & Mohammed Hatta Shahram. 2002. Mengurus stres, pendekatan yang praktikal. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Intan, I. H., Ahmad, F.A.R. & Hafiza, A. 2007. A study of stressors and coping strategies among
first year nursing students in the College of Polytech MARA, Kota Bharu,
Kelantan[dissertation]. Medical Education: UniversitiSains Malaysia.

Kahn, H.K. & Cooper. C.L. 1986. Computing stress. Current Psychological Research and Review
17 (1): 148-162.

Narimah Abd. Razak. 2003. Hubungan di antara tekanan dengan kepuasan kerja dan kesannya
terhadap strategi daya tindakan di kalangan jururawat Hospital Kerajaan dan Swasta.
Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia. 2019. Mental disorders. Diambil daripada


https://www.who.int/en/news-room/fact-sheets/detail/mental-disorders

Plunckett, S.C., Radmacher, K.A. & MollPhanara, D. 2000. Adolescent life events, stress and
coping: A comparison of communities and genders. Professional School Counselling 3(1):
356-366

Raja Maria Diana Raja Ali, (2011) Faktor-faktor yang mendorong tekanan kerja (stres) dikalangan
guru-guru sekolah menengah di daerah Pasir Puteh. Masters thesis, Open University
Malaysia

Rohany Nasir & Nor Eda Nusi. 2001 Tekanan kerja, tekanan rumahtangga dan komitmen kerjaya
di kalangan pegawai wanita Polis Di Raja Malaysia. Jurnal Psikologi. Universiti Kebangsaan
Malaysia.Selangor.

Rohany Nasir & Fatimah Omar 2006. Kesejahteraan Manusia: Perspektif Psikologi. Kajiantekanan
kerja dan kesihatan pekerja. Universiti Kebangsaan Malaysia. Selangor.

SAR Al-Dubai, K. Ganasegeran, A. Barua, A.M. Rizal & K.G. Rampal 2014. Evaluation
ofpsychometric properties of the Malay version perceived stress scale in two
occupational settings in Malaysia. Annals of Medical and Health Sciences Research. 4(8),
104-107.

Anda mungkin juga menyukai