Anda di halaman 1dari 2

SI TANGGANG

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang.


Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk
menjadi kaya dan terkenal.
Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai
yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda
kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus
bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang
belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang
berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda.
Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun
diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang
dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia
dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin
dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di
merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-
usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun
memberitahu kepada orang tuanya.
“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.
“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata
Deruma dengan gembira.
Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda
Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang
salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika
kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.

“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan
dan kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif
sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan
ibu bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si
Tanggang. Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai
kegemaranmu, nak “ kata Si Deruma.
“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada
bahagian tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.
Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka
anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi.
Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit. Sambil mengangkat
kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si
Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu
terumbang-ambing. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah
memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah
menderhaka.
“ Oh, ibu! Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak
Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat. Gelombang yang kuat memecahkan
kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang menjadi batu. Semua anak kapal
juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya turut menjadi batu.

Anda mungkin juga menyukai