Anda di halaman 1dari 17

Peranan Guru Pendidikan Islam Menerusi Falsafah Pendidikan Islam Dalam

Membentuk Kemenjadian Individu Murid Yang Berakhlak.


Rohizan Ya, Ab. Halim Tamuri, Mohd Musnizam Jaafar, Khairul Najah Abd Rahim,
Mohd Hishamuddin Abd Hamid
Fakulti Pendidikan, UKM Bangi
khairulnajah@yahoo.com
Abstrak
Falsafah Pendidikan Islam merupakan salah satu konsep pendidikan yang amat penting
dalam menjana anjakan paradigma yang positif dalam setiap diri individu. Ia juga
memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua
aspek kehidupan. Dalam menempuh alam teknologi dan komunikasi maklumat yang tiada
sempadan, tidak dapat dinafikan pembangunan modal insan dan pembinaan generasi
rabbani perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan
negara. Tujuan penulisan artikel ini ditulis adalah untuk melihat kesepaduan antara peranan
Guru Pendidikan Islam masa kini dan falsafah Pendidikan Islam dalam mewujudkan
kemenjadian murid yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum,
sahsiah malahan dalam bidang pembangunan rohani iaitu akhlak. Disamping itu juga,
penulisan ini akan mengutarakan beberapa kesan dan saranan pembentukkan kemenjadian
akhlak murid yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah
kualitatif yang menggunakan kajian kepustakaan beserta sumber-sumber yang relevan
dengan tajuk penulisan digunakan dalam menghasilkan impak positif khususnya terhadap
golongan murid. Diharap dapatan penulisan ini akan menjadi teras panduan kepada
masyarakat secara amnya dan khususnya kepada Guru Pendidikan Islam dalam melahirkan
masyarakat pelajar yang menjadi aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan
ketinggian maruah agama.
Kata Kunci: Guru Pendidikan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Kemenjadian Murid,
Akhlak

1
PENGENALAN

Falsafah Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu,
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, bagi membentuk
sikap kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai
tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah
mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Mohd Yusuf Ahmad (2002)
menjelaskan Falsafah Pendidikan Islam ialah satu pemikiran yang mendalam tentang
tanggungjawab dan proses mendidik manusia dengan memberi ilmu, berdasarkan al-Quran
dan al-Sunnah supaya mereka mengenal Allah, tahu tanggungjawab sebagai hamba dan
khalifah dan dapat melaksanakannya dengan betul. Konteksnya sangat menekankan usaha
yang berterusan samada dalam menyampaikan ilmu, kemahiran, kurikulum, kaedah
pengajaran, tujuan dan matlamatnya serta penghayatan Islam khususnya terhadap barisan
Guru Pendidikan Islam dalam usaha membentuk modal insan yang berteraskan akhlak di
kalangan individu khususnya golongan murid.
Usaha ini mesti berteraskan sumber utama dalam Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah
dengan harapan dapat melahirkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, berkeperibadian
mulia dan dapat membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara untuk mencapai
kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Matlamat utama Falsafah Pendidikan Islam
ialah untuk melahirkan muslim yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh dan
berakhlak mulia berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah agar menjadi hamba Allah yang
bertakwa (Abdul Halim 1989).

DEFINISI OPERASIONAL

Pendidikan

Hassan Langgulung (1979) menyatakan pendidikan sebagai merubah dan memindahkan


nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses
pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi. Pemindahan nilai-nilai
melalui pengajaran ialah memindahkan pengetahuan dari individu kepada individu yang lain
dan latihan ialah membiasakan diri melakukan sesuatu bagi memperoleh kemahiran,
sementara indoktrinasi pula menjadikan seseorang dapat meniru apa yang dilakukan oleh
orang lain. Ketiga-tiga proses ini berjalan serentak dalam masyarakat primitif dan moden.

2
Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa (1994) pula mendefinisikan pendidikan sebagai
penghayatan manusia untuk melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini
daalam keadaan manusia itu tunduk dan patuh kepada perintah Tuhannya sesuai dengan
statusnya sebagai hamba.Ini membawa maksud pendidikan bagi keseluruhan hidup
termasuklah akal, hati dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku. Ia bertujuan untuk
menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan
kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

Kesimpulannya, pendidikan itu hanya sebagai proses melatih akal, jasmani dan moral
supaya dibentuk menjadi manusia dan warganegara yang baik melalui satu proses berterusan
untuk merubah, melatih, dan mendidik akal, jasmani, dan rohani manusia dengan berasaskan
nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi melahirkan insan yang bertaqwa dan
mengabadikan diri kepada Allah s.w.t. untuk mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Pendidikan Islam

Menurut Yusuff ( 2005 ) pendidikan bukanlah suatu yang baru untuk diperbincangkan, malah
telah pun lama diperbahaskan semenjak zaman Socrates dan plato lagi. Dalam sistem
pendidikan Negara kita ianya tersiri daripada Pendidikan Kebangsaan dan juga Pendidikan
Islam. Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid
serta pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan
membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan
Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu
belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan. Yusuf
al-Qardawi ( 1980 ) mendifinisikan falsafah Pendidikan Islam adalah pendidikan manusia
seutuhnya, akal dan hatinya, rohani dan jasmaninya, akhlak dan ketrampilannya. Ia bertujuan
untuk menyediakan manusia bagi menghadapi masyarakat yang sering menghadapi kebaikan
dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan.

Mohd Kamal Hassan et.al (1976) menyatakan bahawa Pendidikan Islam dalam
konteks ini membawa fungsi untuk melahirkan manusia yang berpengetahuan dan punya
kesejajaran dengan dasar kehidupan Islam. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah
pengetahuan-pengetahuan yang merangkumi ilmu mengenai hubungan antara manusia
dengan penciptanya (Allah s.w.t) yang dimanifestasikan dalam ilmu-ilmu akidah dan cara

3
perlaksanaan ibadah khusus, dalam waktu yang sama berfungsi menjadikan manusia itu
berilmu pengetahuan.

Kemenjadian Murid

Menurut laporan SKPM 1 (2004) kemenjadian murid membawa maksud perihal murid di
dalam bidang akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah yang membawa kejayaan
kepada sesebuah sekolah dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi. Manakala
Mohd Asran (2011) mendefinisikannya sebagai indikator penerimaan ilmu yang dapat diukur
melalui perubahan tingkah laku, atau lebih dikenali sebagai kemenjadian murid dan proses ini
berterusan hingga ke akhir persekolahan. Justeru itu, dapatlah difahami bahawa kemenjadian
murid merangkumi tiga aspek penting yang menjadi domain utama pembelajaran iaitu, ilmu
pengetahuan, kemahiran sosial dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan. Matlamat
akhir kelak adalah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih toleran, menghormati orang
lain dan berilmu pengetahuan.

KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Matlamat Pendidikan Islam menurut A. Athiyah al-Abrasyi (t.t) pendidikan hendaklah


menyediakan seseorang itu sehingga ia dapat hidup dengan sempurna, bahagia, cintakan
negara, kuat jasmaninya, sempurna akhlaknya, teratur pendidikannya, halus dan murni
perasaannnya, cekap dalam kerjanya, bekerjasama dengan orang lain, baik bahasanya,
tulisannya dan lisannya serta tangannya dapat membuat sesuatu pekerjaan itu dengan baik.
Secara keseluruhannya matlamat di atas berteraskan akhlak seorang insan.

Matlamat merupakan tujuan utama yang diinginkan. Maka matlamat yang inginkan
adalah dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia. Akhlak boleh memandu seorang
muslim dalam menjalani kehidupan di dunia dan menjadi pemisah kepada insan yang lain di
akhirat kelak. Kenyataan ini juga turut dipersetujui oleh Abdul Halim El-Muhammady (1993)
yang menyatakan bahawa matlamat falsafah pendidikan Islam dalam membentuk akhlak
manusia ialah sebagai proses melatih, mendidik jiwa, jasmani,rohani dan emosi manusia
dengan berasaskan sumber wahyu iaitu al-Quran, al-Sunah, pengalaman salaf Al-Salih serta
ilmuan para muktabar dengan bertujuan untuk melahirkan insan soleh yang mampu memikul
tanggungjawab khalifah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t ke atas manusia
supaya mengimarahkan alam ini untuk kebahagian hidupnya didunia dan akhirat.

4
Kesepaduan antara Falsafah Pendidikan Islam dan peranan yang dimainkan oleh Guru
Pendidikan Islam dilihat sebagai asas terpenting dalam merealisasikan kemenjadian individu
yang berakhlak mulia khususnya golongan murid. Proses ini bukan hanya tertumpu kepada
perlaksanaannya semata-mata namun output yang lahir daripada proses ini yang lebih di
utamakan iaitu penghayatan dan amalan golongan murid dalam menerapkan adab dan akhlak
dalam kehidupan mereka.

KONSEP AKHLAK

Menurut Mohd Nasir Omar (2010) dari segi etimologi, perkataan akhlak berasal daripada
bahasa Arab iaitu jamak kepada perkataan khuluq. Menurut Azman (2002) akhlak merupakan
salah satu perkara yang sangat penting bagi setiap umat Islam, umat Islam diperintahkan oleh
Allah S.W.T agar bersikap lebih peka terhadap ajaran-ajaran yang telah disampaika-Nya.
Disamping itu, akhlak adalah salah satu perkara untuk membentuk sahsiah diri seseorang
sama ada baik ataupun buruk. Menurut Ahmad Qadrie et.al ( 2010) akhlak sering dikaitkan
dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat mahmudah seperti menjalankan
setiap perintah Allah s.w.t yang diamanahkan dalam ajaran agama Islam. Menurut Ghazali
(1997) menyatakan, pengertian akhlak boleh ditinjau daripada beberapa segi sama ada
daripada pandangan falsafah Islam,tokoh-tokoh agama, al-Quran,hadith dan sebagainya.
Menurut Fariza ( 2008 ) Al-Ghazali menyatakan bahawa ‘akhlak’ atau ‘sahsiah’ merupakan
perkataan arab dan dimiliki oleh seseorang individu. Perkataan akhlak berasal daripada
bahasa arab yang membawa maksud budi pekerti, perangai, tingkah laku (tabiat) dan adat
kebiasaan.

Secara ringkasnya, akhlak didefinisikan sebagai suatu kebiasaan tingkah laku yang
mengarah kepada kebaikan atau kejahatan dengan tujuan untuk mencapai kebahagiaan.
Maka, akhlak Islam merupakan akhlak yang teristimewa dengan pengkhususannya yang
tersendiri.Ringkasnya, akhlak merujuk kepada tabiat semula jadi yang dimiliki seseorang. Ia
termasuk tabiat yang dimiliki secara fitrah ataupun tabii seperti perasaan
marah,ketawa,mudah tersinggung dan sebagainya.

Akidah atau iman merupakan asas dan teras dalam Islam. Hanya mereka yang
berpegang kepada akidah Islam dan teguh imannya kepada Allah sahaja diterima amal
perbuatannya dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Justeru, pendekatan Islam dalam amalan
dan pendidikan akhlak amat menekankan kepada penanaman akidah atau rohani yang
5
mantap. Kesimpulannya, bahawa akhlak didefinisikan sebagai satu sifat bagi diri melalui jiwa
yang melahirkan nilai baik atau jahat.

PEMBENTUKAN KEMENJADIAN INDIVIDU MURID YANG BERAKHLAK


MENERUSI FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Abdul Halim (1989) membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan cendiakawan Islam
mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai Pendidikan Islam dengan
meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai tempat teratas. Oleh itu beliau merumuskan
bahawa Pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-
ciri insan „kamil‟iaitu sempurna.

Antara ciri-ciri tersebut adalah mempunyai keimanan yang teguh,patuh dan tekun
menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangannya,mempunyai akhlak
yang luhur,mempunyai sikap social yang baik,memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan
intelektual yang tinggi,mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari
rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya serta bersedia
memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek seperti peribadi, masyarakat, negara dan
seluruh umat manusia.Dalam hal ini, Asmawati (2005) menegaskan bahawa penerapan nilai
akhlak hendaklah bermula daripada merungkai permasalahan akhlak demi melahirkan
manusia yang baik. Penekanan pendidikan akhlak dalam Pendidikan Islam adalah jelas. Ini
kerana Pendidikan Islam antara lainnya bertujuan membangun dan melahirkan insan secara
bersepadu dan seimbang demi merealisasikan fungsi manusia sebagai hamba dan khalifah
Allah di muka bumi.

Berikut ialah beberapa cadangan yang dapat memangkinkan peranan Guru Pendidikan
Islam menerusi Falsafah Pendidikan Islam dalam membentuk kemenjadian akhlak seseorang
insan khususnya para pelajar iaitu;

1. Penerapan Falsafah Pendidikan Islam Secara Terus Dalam Sistem Pendidikan

Ilmu falsafah khususnya Falsafah Pendidikan Islam ini sewajarnya diterapkan secara
langsung dalam sistem pendidikan kita. Dengan mempelajari bidang ini akan memberikan
panduan dan gambaran kepada masyarakat khususnya para pelajar akan arah tuju pendidikan
yang sebenar iaitu ke arah kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Penerapan akhlak
yang terpuji dalam kehidupan menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Hebatnya
6
sebuah negara dan tamadun itu bergantung kepada budi pekerti dan akhlak
masyarakatnya.Menurut Ghazali Darussalam (2000) nilai-nilai akhlak perlu disertai tidak
setakat dibilik darjah dan terbatas kepada mata pelajaran semata mata. Sebaliknya, ia
diperkukuhkan melalui latihan,gerak kerja kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Akhlak yang mulia akan menjadikan dirinya sentiasa disanjungi dan diteladani oleh
orang lain. Kehebatan dan ketinggian ilmu pengetahuan seseorang itu diukur dengan
pengamalan akhlaknya yang terpuji. Bahkan Allah akan mengangkat darjat seseorang itu
yang mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dan akhlak yang mulia.

2. Kesepaduan Di Antara Falsafah Pendidikan Islam Dengan Falsafah Pendidikan


Kebangsaan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah merupakan falsafah pendidikan yang menjadi


panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dikenali sebagai FPK. Dengan adanya
FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan
terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan
membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga
kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan
untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang
berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang
warganegara yang baik.
Manakala pendidikan Islam pula merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan
insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama
dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara. Satu konsep asas yang
terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan
insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan
sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih
penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia.
Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu
yang amat tinggi nilainya. Berdasarkan gabungan falsafah pendidikan Islam dan FPK, jelas
bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau
diploma, tetapi adalah untuk pembangunan kemenjadian diri pelajar secara menyeluruh dan

7
seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang
berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.

3. Menjadikan Alquran Sebagai Sumber Pembentukan Utama Sahsiah Murni Pelajar


Matlamat Pelajaran al-Quran dalam falsafah pendidikan Islam ialah supaya masyarakat
khususnya para murid dapat membaca al-Quran dengan bacaan yang baik. Apabila murid
mengetahui maksud dari isi kandungan al-Quran berdasarkan tema yang tertentu berkaitan
dengan kehidupan murid atau keperluan untuk kefahaman, amalan dan pembentukan akhlak
murid, maka sudah tentu akan lahir insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan seterusnya mewujudkan
warganegara Malaysia yang berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

4. Mengetahui Dan Meyakini Rukun Iman Dan Rukun Islam


Menurut Danial (2004) mengetahui dan meyakini perkara perkara yang berkaitan dengan
rukun Iman dan rukun Islam akan menjadikan seseorang individu itu berpegang kuat kepada
kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan dan ajarannya. Sebagai seorang muslim, tiada apa
yang lebih besar nikmat yang diberi melainkan nikmat Iman dan Islam. Dapat dilihat bahawa
Falsafah Pendidikan Islam lebih mementingkan segala ilmu, kemahiran dan penghayatan
Islam itu berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Pembentukan akhlak dan peribadi
pelajar juga diasaskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan yang merupakan
teras dalam membentuk individu murid yang berakhlak mulia.

5. Mengamalkan Dan Mengaplikasi Adab Adab Murni Dalam Kehidupan Seharian


Mengamalkan akhlak yang mulia dituntut oleh agama Islam merupakan salah satu objektif
Falsafah Pendidikan Islam. Objektif ini juga selari dengan FPK iaitu melahirkan warganegara
Malaysia yang berketrampilan dan berakhlak mulia. Contohnya,dalam mata pelajaran akhlak
dan Adab Islamiah bagi murid-murid tahun satu lebih menekankan kepada pembentukan
peribadi mukmin melalui adab di dalam kehidupan bersosial dan adab ketika menuntut ilmu,
adab makan dan minum, adab Qada’ Hajat, adab tidur,adab mandi dan bersugi, adab
berwuduk, adab bercakap dengan ibu bapa, adab bergaul dengan rakan dan adab bercakap
dengan guru. Kesemua tajuk yang terkandung di dalam buku teks pendidikan Islam tahun
8
satu bersesuaian dengan tahap dan aras pemikiran murid-murid tahun satu. Menerusi tajuk-
tajuk yang dipelajari ini maka ia sedikit sebanyak dapat membantu diri pelajar dalam
memahami apa yang dipelajari oleh mereka seterusnya membentuk kemenjadian individu
murid yang mempunyai daya tahan samada secara mental dan fizikal.
Dalam kehidupan harian penekanan sifat peribadi untuk mencapai kehidupan yang
baik adalah merupakan usaha tangga kejayaan.Manakala dalam konteks sekolah keperibadian
mulia adalah warisan kemuliaan serta keperibadian mulia juga adalah kualiti hidup manusia
yang boleh diaplikasikan secara meluas.Dalam hal ini falsafah pendidikan Islam
menganjurkan umatnya supaya memiliki akhlak mahmudah Islam dan mengamalkannya
dalam kehidupan seharian mereka. Nilai nilai murni yang terkandung didalam akhlak dapat
memainkan peranan penting dalam pembangunan rohani dan jasad setiap insan.

6. Menghayati Ilmu Wahyu Dan Akal


Untuk melahirkan kemenjadian pelajar yang berakhlak dan berintelektual, usaha pertama
ialah dengan menghayati ilmu wahyu bersama-sama dengan ilmu akal. Pendidikan yang
dapat membina manusia secara bersepadu dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani perlu
diwujudkan. Kita jangan terlalu pasif dan liberal. Hendaklah selalu mencari dan menghayati
nilai hidup yang unggul dan benar. Kita perlu identiti pendidikan kita sendiri yang sesuai
dengan kehendak agama, bangsa dan tanah air dalam mengharungi dunia pendidikan semasa
dan akan datang. Meniru dan mengamalkan pendidikan barat secara total adalah sikap yang
tidak bijak. Dalam hal ini falsafah, matlamat dan kurikulum haruslah menurut budaya
setempat dan tidak menyalahi kehendak agama Islam.
Dalam hal ini Ahmad & Mohd Farid Hafidz (2008) menyarankan agar semua umat
Islam perlu memelihara akidah daripada sebarang pencemaran. Ini kerana generasi masa kini
terdedah dengan pelbagai cabaran yang mampu menggugat keimanan seseorang dan sekali
gus merencatkan pembinaan akhlak mulia yang sangat dituntut oleh falsafah pendidikan
Islam.

7. Perkaitan Falsafah Pendidikan Islam Dengan Peranan Ibu Bapa


Ibu bapa mempunyai peranan untuk mendidik anak-anak menjadi orang baik dan berakhlak.
Ibu bapa mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang lebih utama dalam mendidik anak-
anak daripada guru-guru di sekolah. Matlamat pendidikan bukan sekadar untuk kejayaan
akademik dan kebendaan sahaja. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup
9
sesuai dengan ajaran agama Islam. Ibu bapa yang baik ialah mereka yang mengharapkan
anaknya memperolehi keseimbangan ilmu antara dunia dan akhirat. Dengan ini akan lahirlah
kemenjadian anak yang mampu mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Ibu bapa
hendaklah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang terbaik untuk anaknya. Kanak-kanak
perlu diberikan pendidikan untuk memperkembangkan akalnya ke arah kesejahteraan
kehidupan, kemahiran yang berfaedah dan dapat membentuk sikap yang sihat terhadap
pelajaran dan pembelajaran.

8. Penerapan Disiplin Dan Nilai Motivasi Pada Individu Pelajar


Akhlak yang baik akan menghasilkan disiplin yang baik tetapi tidak sebaliknya. Maknanya
pembinaan jiwa diri pelajar mestilah kukuh sehingga tidak dapat dipengaruhi oleh budaya
kebendaan. Di samping itu Ibu bapa, guru-guru dan masyarakat mempunyai peranan yang
penting sebagai perangsang, pemberi maklumat dan „role model‟ untuk dicontohi oleh
pelajar.

Menurut Ahmad (1999) kehidupan Nabi Muhammad menjadi contoh utama kerana
kesempurnanya dari masa kanak kanak sehinggalah dewasa dan dalam seluruh perjalanan
hidupnya, Rasullullah s.a.w mempunyai akhlak yang paling sempurna dan paling sesuai
diikuti dalam mewujudkan insan yang berakhlak mulia.Pihak kerajaan pula hendaklah
membina semula dasar dan sistem pendidikan yang ideal. Salah satu cara yang baik ialah
dengan mewajibkan mata pelajaran agama Islam kepada semua pelajar yang beragama Islam.

9. Peranan Guru Dalam Membina Akhlak Mulia Berteraskan Falsafah Pendidikan


Islam

Status dan kualiti Guru Pendidikan Islam masa kini perlu dipertingkatkan daripada masa ke
semasa. Penyeimbangan konsep ibadah dalam pengajaran dan pembelajaran perlu
dititikberatkan. Dalam hal ini guru mempunyai peranan yang besar untuk melahirkan pelajar
yang kuat imannya dan cemerlang akademiknya. Justeru itu guru mesti melengkapkan
dirinya dengan ilmu pengetahuan dan ilmu keagamaan. Apabila guru mempunyai hubungan
yang kuat antara iman dan takwa terhadap Allah maka akan lahirlah akhlak mahmudah
seperti berkasih sayang sesama saudara, adil, berani, ikhlas, sabar, amanah dan lain lain sifat
mulia yang akan menjana ke arah perwatakan akhlak yang diinginkan oleh tuntutan falsafah

10
Islam sama ada terhadap diri guru tersebut atau kepada orang lain khususnya kemenjadian
murid dalam mengamalkan akhlak mulia dalam kehidupan mereka.

10. Pendekatan Yang Berteraskan Islam


Mengikut Falsafah Pendidikan Islam juga ada menyatakan bahawa pendidikan adalah suatu
usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu bagi melahirkan
pelajar berketrampilan,berakhlak mulia. Ini menunjukkan pendidikan ini lebih terarah kepada
sahsiah dan keperibadian pelajar. Keberkesanan sesuatu pendidikan itu tidak boleh diukur
dengan masa, ini kerana hasil pendidikan itu akan mula menunjukkan kesannya selepas
beberapa jangka masa yang lama.
Abdullah Nasih Ulwan (1993 ) menekankan terhadap pendekatan tahzib yang sangat
berkait rapat dengan pembentukan akhlak seseorang insan perlu seiring dengan
perkembangan ilmu pengetahuan, ini dapat digunakan dalam menghadapi sbarang cabaran
yang mendatang dengan penuh kebahagiaan. Manakala pendekatan tarbiyah pula membawa
erti mengasuh, mendidik, dan memelihara. Pendidikan masa kini tidak boleh hanya
bersandarkan pendidikan di dalam bilik darjah sahaja. Sepatutnya skop pendidikan di
Malaysia perlu dikembangkan ke luar bilik darjah. Cara ini mampu memberi kesan yang
mendalam dalam diri pelajar dan menguasai sesuatu ilmu dengan baik. Dengan ini akan
menjadikan pendidikan itu suatu proses mengasuh, mendidik dan memelihara pelajar samada
didalam mahupun diluar bilik darjah. Namun begitu, istilah ini lebih terarah kepada didikan
sahaja bukannya untuk menjadikan pelajar lebih beradab.

KESAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM MELALUI PERANAN GURU


PENDIDIKAN ISLAM KEARAH PEMBENTUKAN KEMENJADIAN INDIVIDU
MURID YANG BERAKHLAK
Sebagaimana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Negara, pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan

11
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.Antara kesan kesan Falsafah Pendidikan Islam
terhadap pembentukkan kemenjadian akhlak murid ialah:

1. Melahirkan Intipati Tauhid Kepada Allah

Demi melahirkan insan yang soleh dan berakhlak, pengajaran nilai akhlak yang dikaitkan
dengan kepercayaan kepada tuhan akan membuahkan hasil yang diingini. Dapatlah
disimpulkan di sini penghayatan dalam falsafah pendidikan Islam dapat melahirkan muslim
yang berakhlak mulia. Penghayatan dalam Pendidikan Islam sangat penting untuk
diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Hasil kajian mendapati kebanyakan masyarakat
khususnya pelajar masa kini tidak mengetahui akan faedah mempelajari mata pelajaran
Pendidikan Islam.Mereka berpendapat ia hanya sebagai mata pelajaran seperti mata pelajaran
yang lain.

Seharusnya, penerapan falsafah pendidikan Islam ini perlu didedahkan dengan


penghayatan pelajaran tersebut dan seterusnya di aplikasikan dalam kehidupan seharian
mereka. Maka tidak hairanlah berlaku pelbagai gejala sosial yang lahir dalam masyarakat
masa kini akibat tiadanya nilai kemantapan akhlak dalam jiwa mereka sehingga terdorong
melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya (Ahmad Redzuwan 2003)

Sewajarnya dengan memahami intipati falsafah pendidikan ini akan menjadikan


masyarakat lebih berakhlak. Ini kerana falsafah tersebut lebih terarah untuk melahirkan insan
yang berakhlak. Sekalipun jika seseorang itu dapat mempelajari dan menguasai ilmu
pengetahuan Pendidikan Islam dengan cemerlang namun masih belum mampu untuk
menjamin masyarakat tersebut mempunyai akhlak yang terpuji. Sekiranya ilmu ini dapat
difahami dan dikuasai, para pelajar akan terlatih dengan penghayatan disiplin sesuatu ilmu.

2. Mewujudkan Kekuatan Keimanan Dan Ketakwaan

Begitu juga menurut Mohd Kamal (1987), kuat atau lemahnya iman seseorang itu dapat
diukur dan diketahui daripada perilaku akhlaknya. Iman yang kuat akan mewujudkan akhlak
yang baik dan mulia, sedangkan iman yang lemah melahirkan akhlak yang buruk dan keji.
Asmawati (2009) turut menegaskan bahawa pembinaan sahsiah yang baik dan akhlak perlu
ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah. Keimanan yang kukuh merupakan
benteng yang paling ampuh dalam menangani masalah keruntuhan akhlak dan gejala sosial
dalam masyarakat.
12
Tarbiyyah keimanan dan ketakwaan ini lebih terarah kepada proses bimbingan yang
meliputi akal, jiwa dan jasad seseorang itu dengan harapan diakhir proses ini akan dapat
menghasilkan pelajar yang boleh hidup berdikari dan hidup bermasyarakat di luar sana.
Pembentukan akal, jiwa dan jasad ini perlu sentiasa berada dalam pengawasan pendidik agar
matlamat tersebut akan dapat menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Istilah ini juga
sebenarnya cukup sinonim dengan kasih sayang, kelembutan hati, perhatian dan sebagainya.
Pendidikan sewajarnya sentiasa menerapkan unsur kelembutan dan berhikmah bukannya
penghinaan, kekerasan terhadap murid. Kesannya sangat negatif dalam pendidikan seperti
pelajar akan mudah menjadi bosan, cenderung untuk menipu, ponteng kelas dan sebagainya.
Ibnu Khaldun juga mengkritik keras mana-mana pendidik yang menggunakan kekerasan
dalam metod pengajarannya.
Namun begitu penulis lebih cenderung kepada penggunaan istilah taadib. Istilah ini
sangat sesuai dengan akhlak, budi pekerti, keperibadian dan sebagainya. Pembentukan
elemen-elemen tersebut sebenarnya umpama pelengkap kepada sistem pengajaran dan
pembelajaran yang ada di negara kita yang mana pelajar telah disematkan dalam minda
mereka kepada sistem berteraskan peperiksaan. Sehingga mengabaikan aspek adab dan nilai-
nilai murni yang sepatutnya dijadikan keperluan dalam diri setiap pelajar untuk menghasilkan
modal insan yang berkerampilan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat tempat tinggal yang
kekal abadi.

3. Memahami Tanggungjawab Sebagai Khalifah Allah S.W.T


Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Islam, iaitu
Falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany
1991). Oleh itui, dapatlah difahami bahawa Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan
manusia dengan dan ilmu pengetahuan yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan
tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan
tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang soleh. Dengan cara inilah,
kemenjadian akhlak pelajar yang dibentuk akan mencapai matlamat yang digariskan oleh
Falsafah Pendidikan Islam kearah pembinaan kekuatan rohani dan jasmani.

13
Falsafah Pendidikan Islam adalah seperti berikut:“Pendidikan Islam adalah suatu
usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahirandan penghayatan Islam berdasarkan
al-Quran dan al-Sunnah bagi membentuk sikap,kemahiran, keperibadian dan pandangan
hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri,
masyarakat, alam sekitar dan negara ke arahmencapai kebaikan di dunia dan di akhirat”.

4. Mempelajari Ilmu Pengetahuan Dan Menerapkannya Dalam Kehidupan Seharian


Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang
mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan
warganegara yang baik dan terdidik. Matlamat falsafah pendidikan Islam itu sendiri amat
menekankan kepada perkembangan yang seimbang dan bersepadu dari segi intelek,
rohani,emosi dan jasmani. Apabila ini semua digabungkan maka akan berkembang pula
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu khususnya terhadap pembentukan
kemenjadian akhlak pelajar.

Kepercayaan kepada Tuhan dan agama dengan meletakkan diri sebagai hamba Allah
yang taat dan patuh terhadap segala suruhannya akan melahirkan Muslim yang bertakwa,
berilmu, beramal soleh, bertanggungjawab dan berakhlak mulia ke arah menjadi hamba dan
Khalifah Allah. Konsep keilmuan mesti diasaskan kepada sejarah, kebudayaan, tamadun,
nilai dan kepercayaan sesuatu bangsa. Dengan ini akan lahirlah konsep ilmu yang seimbang,
menyeluruh dan sepadu. Dalam hal ini negara Malaysia sedang berusaha menilai dan
membina konsep ilmu yang lebih seimbang,menyeluruh dan bersepadu antara kehendak
dunia dan kepentingan akhirat. Bagi penulis di dalam pendidikan kita mestilah mendahulukan
falsafah keilmuan Islam kerana ia merupakan kekuatan bagi umat Islam bagi membina umat
yang cemerlang.

5. Mewujudkan Falsafah Pendidikan Sendiri Berasaskan Falsafah Pendidikan Islam


Dan Kebangsaan
Matlamat Pendidikan Negara Malaysia ialah untuk membentuk masyarakat yang boleh
menggunakan akalnya, serta boleh berfikir ke tahap maksima agar lebih bertanggungjawab.
Keseluruhan pendidikan sekarang berpaksikan Barat dan tidak sesuai bagi Negara Malaysia.
Untuk membina kemenjadian murid yang berakhlak, bermaruah dan tinggi daya tahan perlu
ada falsafah dan dasar pendidikan tersendiri. Konsep hidup masyarakat Barat mesti ditolak
kerana ia lebih pentingkan kepada kebendaan dan diri sendiri. Sikap inilah yang akan
14
melahirkan penyakit sosial dalam masyarakat. Kita mesti pilih konsep dan kaedah pendidikan
yang terbaik sahaja. Kemajuan barat hendaklah dikaji dan ambil kebaikannya sahaja.
Seterusnya kita perlu berfikir dan mencari sendiri dasar dan falsafah pendidikan yang
sesuai dengan matlamat pendidikan. Pendidikan akhlak dan disiplin pelajar mesti
diutamakan. Mata pelajaran agama Islam adalah diwajibkan pada semua peringkat sekolah
dan universiti agar dapat melahirkan insan yang berguna di dunia dan bahagia di akhirat.

KESIMPULAN
Pendidikan adalah lambang ketamadunan sesebuah bangsa. Ianya dapat diukur dengan
melihat secara fizikal kepada perkembangan karakter dan pembinaan keperibadian setiap
muslim itu. Ketinggian sesuatu tamadun itu diukur dengan pembentukan akhlak dan sahsiah
sesebuah ummah. Maka Pendidikan Islam mempunyai tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat
tertentu yang semata-mata untuk mewujudkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dan
seterusnya untuk memperolehi keredaan Allah s.w.t. Selain itu, insan tersebut juga hendaklah
mempunyai akhlak yang luhur dan sosial yang baik. Pembentukan akhlak dan sahsiah yang
terpuji mampu dizahirkan oleh semua umat Islam. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan
Islam yang sangat menekankan aspek pembentukan keperibadian seseorang individu.

Jelasnya, matlamat membina manusia yang baik yang dihasratkan dalam Falsafah
Pendidikan Islam memerlukan pendekatan yang rapi dan komprehensif. Konsep ini adalah
merupakan perkara pokok kepada usaha pembentukan kemenjadian individu murid yang
berakhlak menerusi bidang pendidikan. Peranan Falsafah Pendidikan Islam memang besar,
perlu, penting dan kritikal sekali dalam konteks pembinaan insan. Ini membuktikan Falsafah
Pendidikan Islam yang bersifat menyeluruh dan bersepadu menekankan keperluan pembinaan
tingkah laku yang selaras dengan fitrah kejadian manusia. Bermakna, ianya begitu saling
berkaitan dalam pembinaan modal insan yang dihajati oleh Negara kita.

15
RUJUKAN

Abdul Halim El-Muhammady.1993. Pendidikan Islam Era 2020: Satu Penghayatan


Menyeluruh. Dalam: Khailani Abdul Jalil & Ishak Ali Shah. Pendidikan Islam Era
2020 Tasawur dan Strategi. Kajang: Bintang Jaya.
Abdul Halim Hj. Mat Diah. 1989. Pendidikan Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Angkatan
Belia Islam Malaysia.
Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa.1994.Falsafah dan Konsep Pendidikan.Penerbit Fajar
Bakti Sdn Bhd.Kuala Lumpur.
Ahmad Mohd Salleh.1999. Pendidikan Islam Dinamika Guru. Selangor: Fajar Bakti Sdn.
Bhd.
Ahmad Mohd Salleh & Mohd Fariz Hafidz Ahmad.2008. Islam Agama Rabbani Dasar
Pendidikan Teras.Penerbitan Oxford Fajar.Kuala Lumpur.
Ahmad Redzuwan Mohd Yunus.2003. Gejala Sosial Dalam Masyarakat Islam. Kuala
Lumpur.Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.
Ahmad Qadrie Sidek, Khafizah Md Hanif & Md. Danimansah Azhari. 2010. Akhlak
Islamiah. Singapura: Malaysia Press Sdn Bhd.
al-Abrasyi, Muhammad *Amiyah. (Lta) Ruh al-Tarbsyah •wa al~Ta 'lim. Beirut: Dar alFikr.
Al-Syaibany, Omar Muhammad al-Toumy .1991. Falsafah Pendidikan Islam. (Terj: Hasan
Langgulung). Shah Alam: HIZBI.
Al-Qaradawi. 1980. Mubadi’ Wa Qayyim Li Ta’lim Fi Daw’i Al-Sunnah Al-Atarah (
Asas dan Nilai Dalam Pembelajaran Menurut Sunnah ) Jurnal Syariah Dan
Pengajian Islam:
Asmawati Suhid. 2009. Pendidikan Akhlak Adab Islam : Konsep dan Amalan. Kuala Kuala
Lumpur. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Asmawati Suhid.2005. Pemantapan Komponen Akhlak Dalam Pendidikan Islam Bagi
Menangani Era Globalisasi. Jurnal Kemanusiaan, Fakulti Pengurusan dan
Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia, Bil.6,Disember: 95-
103.
Azman Mat Zain. 2002. Akhlak Islam : Konsep Dan Kepentingannya Dalam Kehidupan
Masyarakat. Kedah: Universiti Utara Malaysia.
Danial Zainal Abidin .2004. 7 Formula Individu Cemerlang. Kuala Lumpur. PTS Millennia
Sdn Bhd.
Fariza Md. Sham, Salasiah Hanin Hamjah & Mohd. Jurairi Sharifudin. 2008. Personaliti
Dari Perspektif Al-Ghazali. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ghazali Darulsalam, 2000. Kursus Tamadun Islam dan Pendidikan Moral. Utusan
Publication & Distributors Sdn. Bhd.Malaysia.

16
Hassan Langgulung.1979. Pendidikan Islam:Satu Analisa Sosio-Psikologikal.Pustaka
Antara.Kuala Lumpur.
Mohd Asran Amisah. 2011. Sistem Peperiksaan Mesti Fokus Kemenjadian Murid. Berita
Harian.
Mohd. Kamal Hasan. 1987. Peranan Akhlak Dalam Pendidikan. Jurnal Pendidikan Islam.
Bil. 8(3): 1-12.
Mohd Kamal Hassan, Faisal Haji Othman & Razali Haji Nawawi . 1976. Konsep Pendidikan
Islam dan Matlamat Persekolahan Ugama/Arab di Malaysia dalam Ismail Abd
Rahman (pnyt). Pendidikan Islam Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Mohd. Nasir Omar. 2010. Falsafah Akhlak. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Yusuf Ahmad. 2005. Sejarah dan Kaedah Pendidikan Al-Quran. Kuala Lumpur:
Penerbit Universiti Malaya.
Ulwan, Abdullah Nasih .1993. Pendidikan Anak anak Dalam Islam. Vol 2. ctk 6.
Singapura.Pustaka Nasional.
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia – Sekolah (SKPM 1) .2004. Putrajaya: Jemaah Nazir
Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.

17

Anda mungkin juga menyukai