Anda di halaman 1dari 19

LAPORAN MINGGU PERTAMA

1. Tajuk/Topik : Sesi Pelantikan Jawatankuasa

2. Tarikh : 9 Ogos 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Dewan Al-Farabi

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Pengakap. Kami diajar tentang
tatacara istiadat pagi yang betul. Sejam kemudian, semua ahli Pandu Puteri Kadet (PPK)
Kumpulan B yang terdiri daripada kelas TESL 3, Sejarah 1, dan Sejarah 3 diminta untuk
berkumpul di dewan Al-Farabi untuk sesi taklimat yang akan diberikan oleh para pensyarah
penasihat Unit Beruniform PPK iaitu Puan Shamsiah dan Puan Siti. Pertama sekali, para
pensyarah telah memberikan pelbagai informasi dan input yang berkaitan tentang subjek
kokurikulum seperti penyediaan buku log, menghadiri kerja kursus, amali, etika pakaian,
perkhemahan dan sebagainya. Kami juga dimaklumkan bahawa buku log/folio harus
lengkap dengan laporan mingguan serta maklumat-maklumat dari semasa ke semasa.
Kemudian, kami teruskan dengan sesi ‘ice-breaking’ seorang demi seorang dan seterusnya
kepada pemilihan ahli jawatankuasa. Ianya dilakukan dengan penerimaan cadangan dalam
kalangan para siswi sendiri melalui sesi pengundian. Kemudian, kami dibahagikan kepada
beberapa kumpulan iaitu Kesidang, Cempaka, Melur, Siantan, Kenanga dan Teratai.
Sebelum perjumpaan berakhir, kami telah diajar cara untuk membentuk ladam kuda agar
kami dapat melakukannya kelak ketika istiadat pelantikan.

Pada perjumpaan sebelah petang, ahli PPK Kumpulan B berkumpul di dewan Al-
Farabi. Di awal perjumpaan, saya mendapatkan saiz baju setiap ahli PPK untuk baju logo
dan baju t-shirt yang bakal ditempah oleh para pensyarah penasihat. Kemudian, kami
diperkenalkan dengan visi, misi, dan undang-undang Pandu Puteri. Kami juga belajar
pelbagai lagu Pandu Puteri termasuklah lagu Dunia. Kemudian, kami menyanyikannya
bersama-sama. Sebelum pulang, pensyarah telah memberi tugasan kepada setiap
kumpulan untuk dibentangkan pada minggu hadapan.
LAPORAN MINGGU KEDUA

1. Tajuk/Topik : Latihan Kawad Kaki

2. Tarikh : 16 Ogos 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Di hadapan dewan Al-Farabi

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Pandu Puteri Kadet Kumpulan
B. Semasa istiadat pagi, kami diberi penerangan tentang setiap sesi amali yang bakal kami
lakukan pada setiap minggu dan penasihat yang akan mengendalikannya. Pada pukul 8.30
pagi, setiap unit beruniform berkumpul di tempat masing-masing. Namun, disebabkan cuaca
mendung dan hujan lebat, unit PPK berkumpul di kelas C10 dan C11 untuk menjalankan
sesi pembentangan oleh setiap kumpulan berenam. Setiap kumpulan melakukan
pembentangan dengan baik dan membuat demonstrasi lagu bunga masing-masing.

Pada slot petang, unit PPK menghadiri sesi latihan kawad kaki oleh Encik Asri. Encik
Asri telah memberi penerangan tentang cara kawad kaki yang betul serta perbezaan kawad
kaki unit PPK dan unit lain. Beliau juga telah membetulkan setiap pergerakan yang kami
lakukan. Pelbagai ilmu baru yang dipelajari antaranya adalah berkenaan doa kawad, cara
yang betul untuk meluruskan barisan, tatacara untuk membetulkan pakaian ketika dalam
barisan, kedudukan kaki semasa baris sedia, dan mesti berada dalam keadaan senang diri
jika ingin memberi respon kepada komanden. Perkara yang paling yang saya pelajari telah
adalah ketika bacaan doa, pelajar yang bukan beragama Islam juga menadah tangan. Kami
telah mengulang apa yang dipelajari beberapa kali agar ianya sebati dan dapat dipraktikkan
dengan betul.
LAPORAN MINGGU KETIGA

1. Tajuk/Topik : Masakan Rimba

2. Tarikh : 30 Oktober 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Belakang Bilik Kokorikulum

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Bulan Sabit Merah Malaysia.
Setelah tamatnya istiadat pagi, unit PPK bergerak ke dalam dewan Al-Farabi untuk
pelantikan rasmi sebagai seorang ahli Pandu Puteri. Pada awalnya, kami semua melakukan
ladam kuda dan kumpulan yang bertugas iaitu kumpulan Kenanga A mengetuai pelantikan
itu dengan bimbingan para pensyarah penasihat. Sesi pertama dimulakan dengan
pelantikan setiap ketua kumpulan dan seterusnya ketua-ketua yang telah dilantik tersebut
perlulah membawa ahli yang lain untuk dilantik. Namun, tidak semua kumpulan dapat
dilantik kerana kesuntukan masa. Oleh itu, kami menutup ladam kuda dan bersurai.

Pada sesi petang, unit PPK berkumpul di tempat perjumpaan 30 minit awal bagi
penyediaan bahan-bahan masakan. Contohnya, kami mencari dahan-dahan kering yang
sesuai untuk menghidupkan api. Selain itu, kami juga telah menggali tanah agar mampu
memasukkan telur yang bakal diletakkan di dalam tanah. Setelah semua pelajar berkumpul,
setiap kumpulan telah diberikan beberapa bahan masakan seperti buluh, nasi, ayam,
tepung, telur, terung, kentang dan bawang. Kemudian, kami bekerjasama dalam
menghidupkan api dengan meletakkan kayu-kayu dan daun-daun kering. Dalam kumpulan
saya, kami telah membahagikan tugas-tugas supaya perjalanan kerja kami teratur. Saya
ditugaskan untuk memasak nasi dan ayam di dalam buluh. Oleh itu, saya perlu sentiasa
memeriksa buluh di api untuk memastikan nasi sudah ditanak dengan elok dengan
membalikkan buluh pada setiap 10 minit. Semasa menunggu nasi ditanak, saya sempat
membantu rakan kumpulan saya untuk menyediakan menu lain seperti roti lilit, telur rebus,
terung, bawang dan kentang. Semua masakan kami menjadi kecuali telur yang
dimendapkan di dalam tanah kerana ia telah hancur. Selain itu, nasi di dalam buluh pula
tidak semuanya masak, ada yang kurang masak dan masih keras. Namun, kami tetap
gembira dengan hasil usaha kami yang turut dibimbing oleh Puan Siti. Beliau juga memuji
hasil hiasan hidangan kami.

LAPORAN MINGGU KELIMA

1. Tajuk/Topik : Pertolongan Cemas

2. Tarikh : 6 September 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Belakang Gelanggang Tenis

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Kadet Remaja Sekolah. Selepas
selesai istiadat pagi, semua pelajar dikehendaki untuk berkumpul di Dewan Ungku Omar
bagi sesi taklimat Pentaksiran Berterusan subjek MPU3052.

Pada sesi petang, kami berkumpul di belakang gelanggang tenis bagi meneruskan
sesi latihan pertolongan cemas yang sepatutnya diselia oleh Encik Yunus, namun beliau
mempunyai urusan lain. Oleh itu, sesi latihan kami pada hari itu dikendalikan oleh Encik
Azhar. Kami telah menerima penerangan bahawa pertolongan cemas adalah bagi
memastikan kita mampu memberi rawatan segera kepada mana-mana individu yang
tercedera sebelum pesakit tersebut dibawa ke hospital mahupun sebelum ketibaan petugas
keselamatan. Kami semua dibekalkan dengan kain anduh segi tiga setiap orang bagi tujuan
latihan. Kami juga dikehendaki membuat latihan secara berpasangan. Terdapat beberapa
jenis pertolongan cemas yang telah dipelajari. Antaranya ialah anduh lengan, anduh lutut,
anduh kepala, anduh tapak kaki dan anduh lengan. Kesemua asas pertolongan cemas
penting untuk dipelajari supaya kami mampu membantu orang lain apabila diperlukan.
LAPORAN MINGGU KEENAM

1. Tajuk/Topik : Jerat dan Perlindungan Sementara

2. Tarikh : 13 September 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Taman Kokorikulum

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Pengakap. Selepas selesai
istiadat pagi, ahli unit PPK berkumpul di dewan bagi menyambung sesi pelantikan ahli yang
tergendala. Oleh itu, kami membentuk ladam kuda dan kumpulan yang bertugas iaitu
Kenanga B mengetuai pelantikan itu. Setelah setiap ahli telah berjaya dilantik, kami pun
bersurai.

Pada 3.30 petang, unit PPK berkumpul di Taman Kokorikulum bagi sesi latihan jerat
dan perlindungan sementara bersama Encik Azhar. Pada awal sesi pembelajaran, Encik
Azhar mempamerkan alatan-alatan keperluan jika ingin memasuki hutan seperti pisau, tali
periuk kecil, dan sebagainya. Seterusnya, beliau juga membuat demonstrasi beberapa jenis
jerat dan juga perlindungan sementara yang sesuai untuk digunakan ketika berada di dalam
hutan. Pertama sekali, kami pelajari tentang jerat kurungan yang menggunakan tali halus
serta ranting kayu untuk menangkap haiwan-haiwan yang kecil. Bagi perangkap ini, kita
tidak perlu meletakkan apa-apa jenis umpan untuk menarik perhatian binatang. Jika haiwan
itu melanggar ranting yang diletakkan itu, tali akan menjerat kakinya. Kemudian, kami
melihat perangkap yang disediakan oleh Encik Azhar untuk binatang seperti kancil atau
musang. Perangkap ini menggunakan kayu-kayu yang diasah tajam supaya haiwan itu tidak
boleh keluar setelah mereka masuk ke dalam perangkap untuk mendapatkan umpan.
Kemudian, mengikut kumpulan, kami ditugaskan untuk menyediakan perlindungan
sementara dengan hanya menggunakan daun kelapa dan daun pisang. Antara fakta
menarik mengapa daun pisang yang digunakan adalah kerana permukaannya yang licin
mampu mengurangkan titisan air yang masuk.
LAPORAN MINGGU KETUJUH (Kelas ganti MiND IPG)

1. Tajuk/Topik : Ikatan dan Simpulan

2. Tarikh : 20 September 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Gelanggang Tenis

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Pandu Puteri Kadet Kumpulan
A. Pemeriksaan kehadiran juga dilakukan ketika itu. Namun, terdapat segelintir pelajar yang
datang lewat ke istiadat. Oleh itu, istiadat pagi itu dipanjangkan sehingga pukul 9.00 pagi.
Kemudian, setiap unit diarahkan untuk membuat latihan kawad kaki mengikut unit masing-
masing.

Pada sebelah petang pula, kami menghadiri sesi latihan untuk ikatan dan simpulan
yang diberikan oleh Encik Safri di kelas N11. Setiap orang diberikan satu utas tali untuk
melatih diri dan mengikuti pengajaran oleh Encik Safri. Antara ikatan yang dipelajari adalah
seperti simpul Manok (Ianya digunakan untuk mengikat benda yang licin seperti kayu, botol
dan khemah. Selain itu, ikatan ini mudah untuk diikat dan juga ditanggalkan), Bunga Geti
(Ianya digunakan untuk mencantumkan atau menyambungkan hujung dua tali yang berbeza
dari segi saiz dan jenis), Tindih Kasih (Ianya digunakan untuk membuat ikatan dengan
pantas seperti untuk mengikat diri bagi menyelamatkan orang yang lemas), Buku Sila (Ianya
digunakan untuk mencantumkan atau menyambungkan hujung dua tali yang sama dari segi
saiz dan jenis), dan Lilit Balak (Ianya digunakan untuk mengikat dan memastikan benda
berat seperti kayu balak tidak jatuh ketika diangkut). Pada akhir sesi ini, kami juga diarahkan
untuk membina tripod. Dalam proses itu, kami turut belajar ikatan seraya.
LAPORAN MINGGU KELAPAN

1. Tajuk/Topik : Kompas

2. Tarikh : 27 Semtember 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Dewan Al-Farabi

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh para pelajar yang lambat ke istiadat pagi pada
minggu lepas serta beberapa orang pelajar lain. Setelah tamat istiadat pagi, setiap unit
menjalani sesi latihan kawad kaki bersama ahli unit masing-masing.

Pada sesi petang, unit PPK telah berkumpul di Dewan Al-Farabi bagi sesi latihan
kompas dan aktiviti eksplorasi bersama Puan Shamsiah dan puan Siti. Kami telah
diterangkan tentang pengenalan dalam mengendalikan kompas serta kepentingannya. Kami
telah mempelajari cara mengenal arah, item yang terdapat dalam komponen kompas dan
cara mengukur bearing dengan tepat. Kami juga belajar mengenai teknik untuk mencari
jalan keluar jika tersesat di dalam hutan tanpa kompas iaitu dengan mengikut arah angin
dan air. Beliau juga menerangkan tentang tiga kemahiran utama iaitu mencari bearing
berdasarkan arah, mencari arah berdasarkan bearing dan mencari objek menerusi bearing
yang diberikan. Setelah mempelajari teori, kami menjalankan aktiviti eksplorasi mengikut
kumpulan. Kami dikehendaki menyediakan empat klu dan meletakkannya di tempat
berlainan bersama arah dan bearing. Kemudian klu pertama diberikan kepada kumpulan
lain. Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana ia mencabar minda.

Catatan/Hal-hal Lain

1. Mengenal arah – mengetahui kedudukan utara, selatan, timur dan barat


2. Berdiri tegak – Tangan kanan menunjukkan matahari dan tangan kiri menunjukkan
ke arah matahari terbenam.
3. Terdapat 8 arah mata angin yang biasa digunakan

LAPORAN MINGGU KESEMBILAN

1. Tajuk/Topik : Pemasangan Khemah dan Persediaan Perkhemahan

2. Tarikh : 4 Oktober 2022

3. Tempat : Dataran Al-Farabi, Belakang Gelanggang Bola Keranjang

4. Masa : 7.30-10.00 pagi, 3.30-5.30 petang

Pada pukul 7.30 pagi, semua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 menghadiri istiadat
pagi di dataran Al-Farabi yang diketuai oleh unit beruniform Kadet Remaja Sekolah. Setelah
tamat istiadat pagi, setiap unit menjalani sesi latihan istiadat untuk masuk ke dalam dewan
dan berada di dalam dewan ketika majlis rasmi berlangsung.

Sesi petang bagi latihan pemasangan khemah telah diberi oleh Encik Yunus. Dalam
sesi ini, kami telah diterangkan tentang penggunaan khemah, komponen-komponen dalam
set khemah, cara-cara penjagaan khemah, cara-cara memasang dan meruntuhkan khemah.
Beliau menunjukkan demonstrasi dan meminta beberapa orang pelajar termasuk saya untuk
menunjukkan contoh. Kemudian, setiap kumpulan dibekalkan satu set khemah untuk
dipasang dengan bimbingan Encik Yunus. Hampir kesemua kumpulan termasuk kumpulan
saya berjaya melakukannya dengan baik. Kami juga mempelajari tips yang menarik oleh
beliau. Antaranya ialah penggunaan tali boleh laras yang dapat menyelamatkan kanvas atas
khemah daripada tercabut dari pancang dengan mudah daripada ditiup angin apabila ribut.
LAPORAN AKTIVITI TAMBAHAN

1. Tajuk/Topik : Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Terengganu

2. Tarikh : 23 September 2022

3. Tempat : Marina Resort

4. Masa : 8.00 pagi – 4.00 petang

Saya dan 9 orang lagi ahli Pandu Puteri Kadet telah mewakili IPG KDRI ke Mesyuarat
Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Terengganu yang diadakan di Marina Resort, Kuala
Terengganu. Kami mendapat pelbagai pengalaman menarik antaranya adalah mengetahui
dan mengenali ahli belia Terengganu dan calon bakal belia. Kami juga dapat merasai
pengalaman mengundi ahli belia serta mengenali penasihat-penasihat Pandu Puteri yang
hadir di sana.
LAPORAN AKTIVITI TAMBAHAN

1. Tajuk/Topik : Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu

2. Tarikh : 30 September 2022

3. Tempat : Dataran Pantai Batu Burok

4. Masa : 2.00 petang – 6.00 petang

Saya dan 29 orang lagi ahli Pandu Puteri Kadet telah mewakili IPG KDRI ke Sambutan Hari
Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Pantai Batu Burok, Kuala
Terengganu. Kami mendapat pelbagai pengalaman menarik antaranya adalah melihat
variasi pameran seperti booth persatuan PERMATA, Silat, dan lain-lain. Kami juga dapat
melihat pertunjukan silat dan yang paling penting sekali ialah mengetahui pemenang belia
Terengganu.
LAPORAN SEBELUM PERKHEMAHAN

Satu perjumpaan antara kesemua pelajar PISMP Ambilan Jun 2021 dengan beberapa orang
pensyarah unit kokurikulum telah diadakan di Dewan Ungku Omar pada 6 September 2022.
Dalam perjumpaan tersebut, kami telah diberikan taklimat tentang tarikh, tempat dan juga
beberapa perkara penting berkaitan dengan perkhemahan. Selepas itu, saya dan pengerusi
PPK Kumpulan A iaitu Sabrina mengadakan perjumpaan bersama beberapa orang lagi AJK
PPK Kumpulan A bagi membuat pelantikan jawatankuasa perkhemahan untuk
menggerakkan aktiviti perkhemahan seperti AJK tempat, AJK alatan, AJK makanan, dan
sebagainya. Pada 16 Oktober 2022, satu mesyuarat atas talian iaitu melalui Google Meet
diadakan kepada semua ketua ahli jawatankuasa dari setiap unit beruniform yang dilantik
bagi perkhemahan Siri 1 bersama Puan Samsiah. Antara hal-hal yang dibincangkan adalah
tugas-tugas setiap AJK, barang-barang keperluan, dan lain-lain. Selepas mesyuarat itu,
setiap AJK memainkan peranan dalam menjalankan tugas mereka. Contohnya, AJK
Makanan mengambil nama ahli yang mempunyai alergi, setiausaha menyediakan buku
program, naib pengerusi membuat senarai nama ahli bagi setiap aktiviti dan sebagainya.
LAPORAN SEMASA PERKHEMAHAN

23 OKTOBER 2022

Pada pukul 10 pagi, semua ahli unit beruniform yang menyertai perkhemahan Siri 1
berkumpul di hadapan dewan Al-Farabi bersama barang-barang persendirian dan alatan-
alatan perkhemahan. Setiap ahli unit beruniform bekerjasama dalam menguruskan
penyediaan alatan-alatan perkhemahan. Antaranya, kami membuat barisan dan bergilir-gilir
menghulurkan barang yang berat seperti kayu-kayu dan alatan tajam untuk dimasukkan ke
dalam bas. Setelah selesai aktiviti menyimpan dan menyusun barang ke dalam bas, kami
semua bertolak ke tapak perkhemahan pada pukul 12 tengah hari. Unit beruniform PPK
menaiki sebuah bas yang sama. Kami merupakan pasukan pertama yang tiba di lokasi iaitu
pada pukul 1.30 petang dan terus memunggah barang keluar. Lokasi sangat menarik dan
cantik kerana ia berdekatan dengan pantai. Kemudian, kami diarahkan untuk makan tengah
hari dan solat zuhur. Selepas semua unit beruniform tiba, makan, dan solat zuhur, kami
diminta untuk berkumpul di tapak perkhemahan untuk diberikan taklimat oleh Puan Samsiah
dan pensyarah-pensyarah lain tentang segala hal yang melibatkan perjalanan perkhemahan
kami seperti tempat solat, tandas, jadual, pembahagian tapak perkhemahan setiap unit
beruniform, dan lain-lain.

Selepas taklimat, kami diberi masa untuk memasang khemah dan menyusun
barang-barang kami ke dalamnya. Setiap khemah dapat memuatkan empat orang ahli.
Kemudian, semua pelajar dipanggil untuk berkumpul bagi taklimat yang diberikan oleh Encik
Rosmadi. Telefon kami semua dirampas kecuali AJK Multimedia. Selepas taklimat kami
diberi minum petang yang diuruskan oleh AJK makanan. Setiap unit beruniform hanya
dibenarkan makan sekiranya kesemua ahli duduk dalam bulatan dan membaca doa
bersama-sama. Selesai minum petang, para pelajar lelaki menyediakan Mushola di antara
ruang khemah KRS dan Pandu Puteri Kadet bagi memastikan semua orang dapat solat
berjemaah bagi setiap waktu.
Selepas solat asar, kesemua unit beruniform mula mengambil kayu serta peralatan-
peralatan lain seperti parang dan cangkul untuk memulakan kraf kem. Kami membuat kerja
bersama ahli kumpulan yang telah ditetapkan oleh AJK Gajet. Kumpulan saya bertugas
untuk membina meja kerja. Oleh itu, kami semua memulakan dengan mencari kayu-kayu
yang sesuai dan mempunyai panjang yang sama. Kami membina gajet yang ditugaskan
sehingga lewat petang. Pada waktu malam pula solat maghrib dan solat isyak dilakukan
secara berjemaah serta tazkirah maghrib manakala pelajar-pelajar yang uzur serta bukan
Islam menjalani slot moral. Kemudian, semua pelajar meneruskan aktiviti kem kraf sehingga
larut malam. Namun, pada malam itu, rintisan hujan turun tetapi setiap ahli masih giat
membuat kerja sehingga 2 pagi. Bagi menjaga keselamatan, terdapat 2 orang ahli dari
setiap unit beruniform akan berjaga malam bergilir-gilir mengikut jam.

24 OKTOBER 2022

Pagi kami dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan juga tazkirah. Selesai
sahaja solat, para pelajar segera menukar pakaian sukan untuk menyertai aktiviti Malaysia
Cergas yang diketuai oleh AJK Malaysia Cergas gabungan keempat-empat unit beruniform.
Kami semua melakukan senamrobik. Kemudian, kami bergegas untuk mengambil sarapan
dan kami makan dalam keadaan yang agak laju kerana harus menukar pakaian dan
memakai baju rasmi unit beruniform kurang dari 30 minit untuk meneruskan aktiviti istiadat
pagi yang diketuai oleh unit Pengakap. Melalui hal ini, dapat dilihat bahawa kesemua pelajar
mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dan dipraktikkan di kampus sebelum
perkhemahan.

Usai sudah istiadat pagi, peserta perkhemahan telah melakukan istiadat menaikkan
bendera mengikut cara unit beruniform masing-masing. Bagi unit PPK, kami membuat
ladam kuda yang diketuai oleh kumpulan Melur iaitu kumpulan saya. Saya juga dapat
merasai menjadi komanden pada ketika itu. Selepas itu, para peserta diberikan minum pagi
dan kami teruskan dengan melakukan latihan mengikut stesen-stesen yang diselia oleh para
jurulatih. Stesen-stesen yang disediakan adalah untuk latihan kawad kaki, pertolongan
kecemasan, ikatan dan simpulan. Masa maksimum untuk berada di setiap stesen adalah 1
jam sahaja. Bagi unit PPK, kami mulakan dengan stesen asas pertolongan cemas dan
kemudian kawad kaki. Kemudian, para pelajar diberikan makan tengah hari dan solat zuhur
berjemaah. Seterusnya, latihan dalam stesen disambung kembali dengan ikatan dan
simpulan. Apabila latihan tamat, para peserta menyambung kem kraf masing-masing
selepas solat asar. Unit PPK menghadapi sedikit kesukaran kerana terpaksa memotong
sendiri buluh tanpa tenaga lelaki. Walau bagaimanapun masih ada jurulatih lelaki yang
sanggup membantu kami memotong buluh. Pada masa itu juga, kami membahagikan
kumpulan untuk amali kawad kaki beserta komanden yang sesuai dalam setiap kumpulan
yang dapat membimbing anak-anak buahnya.

Selepas solat maghrib dan ishak berjemaah, kami semua menyambung kraf kem
dan kemudian setiap ketua kumpulan kecil untuk kawad kaki itu memulakan latihan kawad
kaki dan bersama-sama mengajar dan berlajar doa kawad dan pergerakan kawad untuk
ujian esok. Bukan itu sahaja, para peserta turut cuba yang terbaik untuk berjumpa antara
rakan sekumpulan bagi berlatih untuk pertandingan malam kebudayaan yang akan
dijalankan pada hari esok. Maka, ramai pelajar yang hanya sempat tidur selama satu jam
dan ada juga yang tidak tidur langsung.

25 OKTOBER 2022

Semua peserta perkhemahan telah berkumpul di Mushola untuk solat berjemaah


pada waktu subuh. Kami segera melakukan senaman pagi dan menukar pakaian untuk
melakukan istiadat pagi. Selesai sahaja istiadat dan menaikkan bendera, kami menukar
kepada pakaian T-Shirt unit beruniform kembali serta mengambil barang seperti sarung
tangan serta botol air di samping menerima taklimat tentang pergerakan kami dalam menuju
ke Bukit Keluang.

Perjalanan kami ke sana mengambil masa yang agak lama namun kami bersyukur
kerana cuaca pada pagi itu adalah baik dan memudahkan perjalanan kami. Sebelum
menaiki bukit tersebut, kami telah dinasihati agar sentiasa menjaga langkah kerana jalannya
yang licin akibat hujan pada malam semalam. Bukan itu sahaja, kami juga dikehendaki
untuk mengutip kayu-kayu kecil serta ranting pokok untuk digunakan ketika aktiviti memasak
rimba yang akan dilakukan selepas kami turun dari bukit tersebut. Setiap ahli mesti menjaga
dan memastikan rakan-rakan ada bersama dan perlu mendaki bersama unit masing-masing.
Syukur kepada Tuhan kerana kami berjaya menaiki dan turun bukit tersebut tanpa sesiapa
mengalami kecederaan. Kemudian, kami teruskan dengan perjalanan pulang dan juga ke
sebuah tempat yang sepatutnya dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti masakan rimba.
Setelah selesai pembahagian barang-barang seperti telur, ayam dan sebagainya, cuaca
mula berubah kepada mendung dan angin bertiup kencang. Jadi, kami bergegas pulang dan
menyelamatkan barang-barang serta khemah. Kebanyakan khemah telah roboh dan banyak
khemah yang dimasuki air serta pakaian para peserta juga menjadi basah kuyup dengan air
hujan. Kemudian, kami berteduh.

Selepas zuhur, cuaca kembali cerah dan baik. Oleh itu, kami meneruskan sesi ujian.
Unit PPK melakukan ujian asas pertolongan cemas dahulu, dan ujian ikatan dan simpulan.
Akhir sekali, kami diuji kawad kaki selepas solat asar. Saya bersyukur kerana saya dapat
memberi arahan dengan baik dan setiap ahli kumpulan saya melakukan pergerakan dengan
tepat dan betul. Justeru, kami juga terpaksa bersiap terus untuk Pertandingan Malam
Kebudayaan dan makan malam.

Selepas solat maghrib dan ishak berjemaah, malam kebudayaan juga bermula. Unit
PPK diberi giliran yang ketiga dan keempat. Semuanya berjalan dengan lancar. Namun
persembahan yang ketujuh dan kelapan oleh unit BSMM terpaksa beralih tempat kerana
hujan. Kemudian, para pensyarah membuat kejutan kepada dua rakan India kami dengan
memberi kek sempena Deepavali. Selepas sambutan itu, kami semua sambung membuat
gajet sehingga 3 pagi dan tidur.

26 OKTOBER 2022

Setelah selesai solat subuh berjemaah, semua peserta melakukan senaman


Malaysia Cergas dan kemudiannya terus melakukan istiadat pagi. Kemudian, peralatan
masakan rimba diambil semula dan kesemua kumpulan terus mula memasak dengan
pantas kerana terkejar-kejar dengan masa. Ada ahli yang memasak, ada yang menyediakan
bahan dan ada juga yang mencari bahan-bahan untuk dijadikan sebagai perhiasan bagi
menarik perhatian para hakim. Sebanyak dua orang wakil dari setiap unit beruniform telah
dipilih untuk menjadi hakim bersama-sama seorang pensyarah agar keputusan adalah adil
dan saksama. Unit PPK bekerjasama dalam menyediakan dan menghias ketiga-tiga
hidangan. Pada ketika itu juga, kem kraf yang disiapkan telah dinilai oleh para pensyarah.
Selesai semuanya, kami terus bertindak membuka semula ikatan yang dilakukan,
mengumpulkan kayu-kayu, buluh serta peralatan yang digunakan sepanjang perkhemahan.
Akhir sekali, khemah dirobohkan dan seluruh tapak perkhemahan dikemaskan sebelum
makan tengah hari. Para peserta mula beransur pulang ke IPG dengan menaiki bas. Unit
PPK terpaksa balik lambat berbanding dengan unit lain kerana kekurangan pengangkutan
bas. Pada jam 9 malam, kami semua selamat sampai di IPG.

LAPORAN SELEPAS PERKHEMAHAN

Setelah tamat perkhemahan, ahli Siri 1 terus memulakan latihan untuk pertandingan
kawad kaki sementara menunggu ahli siri 2 pulang. Kami mendapat pertolongan daripada
unit Pengakap untuk mengajar asas kawad kaki yang kami masih tidak mahir. Kami juga
berlatih pada setiap pagi dan petang. Namun, pada malam sebelum hari pertandingan,
kesemua unit membuat latihan walaupun hujan lebat dan ribut melanda. Ia merupakan
sebuah keangan yang bakal memberi kesan mendalam kepada para pelajar. Kami juga diuji
apabila seorang ahli kami terseliuh kaki. Namun, kami bernasib baik apabila ahli PPK lain
menawarkan diri untuk menggantikan pelajar tersebut.

Pada 31 Oktober 2022, iaitu hari pertandingan kawad kaki dan majlis penutupan Unit
Beruniform, semua pelajar lengkap beruniform dan bersemangat untuk berkawad. Semua
unit bertanding sehabis baik begitu juga dengan unit PPK yang terdiri daripada pelajar
perempuan sahaja. Setelah selesai pertandingan pada jam 11 pagi, kami bergegas ke
Dewan Datin Rohani untuk majlis penutup. Semua bersemangat untuk mengetahui
pemenang-pemenang dalam setiap acara. Unit PPK juga peroleh banyak kemenangan
termasuklah Naib Johan untuk kawad kaki.

Selepas rehat dan solat zuhur, kami ke Dewan Al-Farabi untuk majlis persaraan
Puan Samsiah. Setiap unit memberi hadiah kepada beliau sebagai tanda kenangan. Pada
jam 6 petang, majlis bersurai.

Anda mungkin juga menyukai