Anda di halaman 1dari 2

Kelab malam perlu pasang CCTV

* Parlimen lulus pindaan rang undang-undang Tempat Hiburan Awam dan Pertemuan * Denda
lebih tinggi bagi pengendali tempat hiburan tanpa lesen * Polis kini ada kuasa tambahan masuk
premis buat pemeriksaan, secara paksa jika perlu

May 09, 2017 | 05:30 AM

SEMUA kelab malam akan dikehendaki memasang kamera litar tertutup (CCTV) di ruang keluar
masuk premis masing-masing dalam usaha pihak berkuasa mencegah jenayah di pusat
sedemikian.

Pemasangan CCTV itu juga diharap dapat membantu siasatan polis jika berlaku jenayah di
tempat tersebut.

Ini diumumkan Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin
Amin, semasa membahaskan pindaan rang undang-undang Akta Tempat Hiburan Awam dan
Pertemuan (Pema) di Parlimen semalam.

Pindaan itu diluluskan Parlimen semalam.

Ia antara lain diperkenal demi mencegah pengendali tempat hiburan awam daripada
menggunakan premis mereka bagi menganjurkan kegiatan terlarang.

Pindaan itu juga memperuntuk hukuman denda lebih tinggi ke atas mereka yang mengendalikan
tempat hiburan awam tanpa lesen.

Dalam pada itu polis juga kini diberi kuasa menggantung lesen dengan serta-merta jika
pemegang lesen atau sesiapa yang ada kaitan dengan perniagaan itu didakwa di mahkamah
kerana melakukan jenayah serius berhubung tempat hiburan itu.

Awal daripada itu, ketika membacakan pindaan tersebut buat kali kedua, Encik Amrin berkata:

"Bagi majoriti pemegang lesen mematuhi undang-undang, kami akan kenakan sentuhan halus
demi menyemarakkan industri ini. Sebagai contoh MHA akan memperkenal lesen dengan tempoh
lebih lama berbanding lesen selama setahun yang diberikan kepada semua tempat hiburan awam
ketika ini.

"Sebaliknya kami perlu memperkukuh peraturan terhadap (pengendali) tempat hiburan yang
degil."

Sebagai contoh, mereka yang didapati bersalah menawarkan hiburan awam tanpa lesen atau
semasa lesennya digantung boleh didenda sehingga $20,000 - naik daripada denda maksimum
$10,000 sebelum ini.

Anggota Parlimen (AP) yang menyertai perbahasan semalam rata-rata mengalu-alukan kawalan
lebih ketat demi mencegah tempat hiburan awam daripada dijadikan pusat jenayah.
Beberapa AP seperti Profesor Madya Fatimah Lateef (GRC Marine Parade) dan Dr Lee Bee Wah
(GRC Nee Soon) misalnya ingin tahu tentang jumlah tempat hiburan yang melanggar peraturan
dan bilangan jenayah ganas yang berlaku di tempat sedemikian

Dalam responsnya, Encik Amrin berkata pada tahun lalu sebanyak 600 kesalahan berhubung
lesen tempat hiburan awam telah dikesan, yang dilakukan sekitar 20 peratus daripada 2,700
pemegang lesen.

"Majoriti merupakan kesalahan kecil seperti gagal menyimpan rekod pekerja atau memastikan
penghibur tidak bergaul dengan penonton, baki 10 peratus adalah kesalahan serius seperti terlalu
sesak dengan pengunjung, yang mempunyai risiko keselamatan awam.

"Sebanyak 38 kejadian jenayah ganas termasuk menyebabkan kecederaan dan merusuh telah
berlaku di tempat hiburan awam," dedah Encik Amrin.

Seorang lagi AP, Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), melahirkan keprihatinan bahawa
tempat hiburan awam juga merangkumi kafe Internet yang boleh ditempatkan berhampiran estet
perumahan awam.

"Ramai pengunjung kafe Internet merupakan golongan muda. Oleh sebab kafe sedemikian
terletak berhampiran dengan estet perumahan, perhatian perlu diberikan demi mencegah
kegiatan jenayah di kejiranan kita," kata Cik Pereira.

Pindaan juga memberi polis kuasa tambahan termasuk melantik individu terlatih sebagai 'orang
yang diberi kuasa' untuk menjalankan pemeriksaan di tempat hiburan awam.

Pegawai pelesenan dan polis juga kini berkuasa memasuki tempat hiburan secara paksa.

Dalam hal ini, beberapa AP seperti Encik Murali Pillai (Bukit Batok) ingin tahu kriteria pemilihan
'orang yang diberi kuasa'.

Memberikan respons, Encik Amrin berkata mereka yang boleh dilantik termasuk pegawai polis
tambahan dan pegawai polis yang telah bersara.

Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) pula bertanya mengapa pegawai pelesenan dan polis diberi kuasa
masuk premis secara paksa.

Menjelaskan, Encik Amrin berkata polis pernah menghadapi keadaan apabila pengendali tempat
hiburan mengunci premis mereka sebaik polis tiba.

"Ini memberi mereka (pengendali) peluang menghapuskan bukti atau masa untuk menghentikan
kegiatan terlarang.

"Ketika ini polis memerlukan waran mahkamah sebelum ia boleh masuk untuk membuat
pemeriksaan.

"Kuasa baru ini akan membenarkan polis bertindak dengan pantas," ujar Encik Amrin.

Anda mungkin juga menyukai