Anda di halaman 1dari 1

Kepentingan Disiplin dan Kaitannya dengan Kecemerlangan Murid

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, guru-guru, rakan-rakan, dan hadirin yang dimuliakan.
Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah “Kepentingan Disiplin dan Kaitannya dengan
Kecemerlangan Murid”. Sesungguhnya, kecemerlangan seseorang murid amat berkait rapat
dengan disiplin kendirinya.

Rakan-rakan yang dihormati,

Cuba kita lihat rakan-rakan kita yang cemerlang dan ukur pula disiplin mereka. Jawapan yang
pasti kita peroleh ialah murid yang cemerlang mempunyai disiplin diri yang tinggi. Mereka bijak
menguruskan masa, rajin mengulangkaji pelajaran, dan sentiasa mematuhi peraturan.

Jika kita membandingkan murid yang cemerlang dengan murid yang sering ponteng sekolah
atau murid yang sentiasa melanggar peraturan sekolah, sudah tentu pencapaian akademik
mereka sungguh berbeza. Murid yang bermasalah tidak berminat untuk mengikuti pelajaran dan
sering mengganggu rakan dan guru. Nilai disiplin mereka berada pada tahap sifar.

Begitu juga dengan murid yang aktif dalam kegiatan kokurikulum jika mereka bijak
membahagikan masa sudah tentu mereka juga boleh berjaya. Hal ini kerana disiplin diri yang
tinggi dapat menjamin kejayaan.

Perbezaan latar belakang tidak menjadi ukuran, sama ada murid itu datangnya daripada
golongan kaya atau miskin. Jika mereka mempunyai disiplin yang tinggi, mereka pasti akan
berjaya. Murid yang berdisiplin amat disenangi guru-guru dan rakan-rakan. Mereka bersifat
amanah dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan.

Warga dewan yang budiman,

Sesungguhnya, nilai disiplin dan kecemerlangan amat berkaitan dalam membentuk insan
murid. Gilaplah nama kita sebagai murid yang cemerlang dan berdisiplin kerana “harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.

Anda mungkin juga menyukai