Anda di halaman 1dari 5

SKRIP

PERTANDINGAN BERCERITA TAHUN 2021

(EDISI DALAM TALIAN)

Sekolah Kebangsaan Kesang Tua, Jasin, Melaka

Tajuk Cerita : Elak Suapan

Anjuran:

Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan

Malaysia
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hai kawan-kawan. Apa khabar? Alhamdulillah, mari kita bersyukur kerana dikurniakan

kesihatan yang baik. Pada hari ini saya hendak mengajak kawan-kawan semua

mendengar cerita saya. Sebelum itu, saya ingin bertanya kawan-kawan. Apakah makna

rasuah? Haaaa kalau kawan-kawan hendak tahu, mari dengarkan cerita saya.

Candy seorang pelajar yang selalu menyuruh rakan sekelasnya Rohana untuk

membuat kerja sekolahnya. Candy memberi duit sebagai ganjaran untuk membuat

kerja sekolahnya. Setiap kali ibunya bertanyakan tentang kerja sekolahnya, Candy akan

menjawab bahawa dia sudah menyiapkan kerja sekolahnya dengan riak wajah

bersahaja. Candy juga selalu marah dan berasa bosan untuk ke sekolah. Kawan-

kawan, jangan sesekali kita bersikap seperti Candy ya ! Sebagai cara untuk memujuk

Candy, ibunya seringkali memberi Candy wang saku yang banyak bagi memujuk Candy

supaya rajin ke sekolah.

Candy tiba lewat hari ini ke sekolah. Masuk sahaja ke dalam kelas, dia terus

duduk. Tiba-tiba dia teringat akan kerja Matematik Cikgu Suzana yang belum siap.

Kebetulan pula Rohana lalu di depannya, Candy pun apa lagi, cepat-cepat dia menarik

tangan Rohana dan meminta Rohana menyiapkan kerja sekolahnya. Rohana pula

sudah menggaru kepala dan sebolehnya dia cuba mengelak untuk berbuat demikian.

Dia bimbang akan dimarahi oleh cikgu sekiranya perbuatan mereka diketahui. Ingat ya

kawan-kawan, adalah satu kesalahan menyuruh orang lain membuat kerja sekolah kita,

apa lagi mengupah orang itu dengan duit untuk membuat kerja sekolah.
Walaubagaimanapun, Candy dengan segera memaksa Rohana untuk

menyiapkan kerja Matematik itu. Dia berbisik kepada Rohana, “Ala, tolonglah aku buat

sekejap, nanti waktu rehat aku belanja makan nasi ayam kegemaran kau ya”.

Rohana akhirnya termakan dengan pujukan Candy. Dia terus bersetuju untuk

menyiapkan kerja sekolah Candy. “Kringgggg”, loceng waktu rehat pun berbunyi. Candy

terus menghulurkan wang kepada Rohana sebagai upah. Tanpa disedari, gerak-geri

mereka telah diperhatikan oleh Amir, ketua kelas mereka. Amir segera berjumpa

dengan guru disiplin untuk memaklumkan perkara tersebut. Cikgu Lim sangat terkejut

apabila Amir berjumpa dengannya dan memaklumkan perkara yang telah terjadi. Dia

tidak menyangka sama sekali Rohana dan Candy sanggup berbuat demikian. Cikgu

Lim pun bergegas ke kantin untuk berjumpa dengan mereka berdua.

Dalam suasana riuh rendah sewaktu murid berehat di kantin, Cikgu Lim

ternampak kelibat Rohana yang sedang beratur menunggu giliran untuk membeli

makanan. Sewaktu Rohana ingin membayar makanan yang dibeli, Cikgu Lim terus

menyergah Rohana “haaa ! Dari mana kamu dapat duit ni Rohana? Setahu saya kamu

kan dapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT)?” Alangkah terkejutnya

Rohana ketika itu.

Selepas tamat waktu rehat, Candy dan Rohana telah dipanggil ke bilik guru

besar. Guru Besar terus bertanya kepada mereka berdua, adakah mereka tahu sebab

mereka dipanggil. Mereka terus menggelengkan kepala kerana ketakutan.

“Candy, sudah berapa kali kamu meminta Rohana membuat kerja sekolah

kamu?” Jujur dengan saya.


“Sudah 3 kali cikgu”

“Ada kamu beri dia hadiah atau duit?”

“Ada cikgu. Saya ada beri duit RM 10 kepada Rohana”

Guru besar terus memberikan nasihat dengan menyatakan apabila kita

menyuruh orang lain membuat kerja sekolah, angkat beg, beli barang di kantin adalah

satu kesalahan. Tambahan pula, apabila dibayar dengan duit. Itu rasuah namanya.

Candy pemberi rasuah. Rohana penerima rasuah. Dua-dua pun salah.

Candy lantas menyatakan bahawa dia tidak tahu perbuatannya itu satu kesalahan.

Walaupun mereka berdua telah memohon maaf, Guru Besar telah membuat keputusan

untuk memasukkan nama mereka ke dalam sistem SSDM kerana telah melakukan

kesalahan.

Sebelum mereka keluar dari bilik guru besar, guru besar telah menegaskan

sekali lagi supaya mereka tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan

datang.Ingat ya kawan-kawan, perbuatan menyuruh orang lain membuat kerja sekolah

adalah satu kesalaha. Tambahan pula apabila dibayar dengan duit atau diberikan

ganjaran lain.Itu rasuah namanya.

Kawan-kawan, janganlah kita berkelakuan seperti Candy ya. Kita kenalah

bersikap jujur dan amanah. Janganlah mementingkan diri sendiri ya kawan-kawan.

Kalau kita mempunyai kawan, jagalah hubungan agar kekal. Jauhi sifat negatif.

Amalkan sayang menyayangi dan hormat-menghormati supaya persahabatan kekal

abadi.
Enak sungguh nasi lemak,

Dibawa dari tanah seberang,

Janganlah kita menjadi tamak,

Kelak nanti dibenci orang.

Sekian, terima kasih. Jumpa lagi!

Anda mungkin juga menyukai