Anda di halaman 1dari 9

Kesihatan Dicakna, Hidup Bermakna

Kesihatan merupakan nikmat dan anugerah Tuhan yang amat

berharga bagi semua orang. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

sering menggalakkan rakyat menjalankan aktiviti riadah mahupun

bersenam untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum. Tidak dapat

dinafikan bahawa ramai orang telah mendengar nasihat KKM tersebut.

Aktiviti seperti bermain badminton, berjoging dan melakukan senamrobik

mudah didapati dalam kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, masih

terdapat sebahagian masyarakat yang sambalewa dalam penjagaan

kesihatan diri yang menjadi salah satu faktor penyumbang dalam

berlakunya masalah kesihatan. Mengikut statistik KKM, kes obesiti

dalam kalangan rakyat Malaysia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan

sejak tahun 2019 dengan menjadi kadar obesiti negara tertinggi di Asia

Tenggara. Oleh itu, konsep kesihatan ideal untuk meningkatkan tahap


kesihatan manusia diperkenalkan. Konsep ini merangkumi gabungan

aspek biopsikososial yang merujuk kepada kehidupan psikologi, sosial

dan masyarakat. Justeru, masyarakat diseru agar mengambil berat

terhadap kesihatan diri dengan mematuhi konsep kesihatan ideal yang

diperkenalkan ini.

Pada era globalisasi ini, pelbagai teknologi yang canggih dicipta

untuk memudahkan kehidupan seharian masyarakat. Sebagai contohnya,

invensi telefon bimbit yang bertujuan untuk memudahkan kita mencari

maklumat dan mengetahui berita di seantero dunia bak kata pepatah

sambil menyelam minum air. Setelah wujudnya teknologi tersebut, kita

dapat berkomunikasi dengan sahabat di hujung jari meskipun dia berada

di tempat yang jauh. Namun, penggunaan telefon bimbit yang semakin

berleluasa turut telah banyak memudaratkan kita. Kita akan

menghabiskan masa dengan boros dan merosakkan kesihatan mata.


Apabila kita leka bermain gajet, kita akan kurang aktif serta bersikap

malas seterusnya mengurangkan pergerakan fizikal. Kesihatan fizikal

akan terjejas dan mengundang masalah penyakit seperti penyakit edema

yang merupakan kesan kurang pergerakan dalam jangka masa panjang.

Sekiranya kita bersukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, masalah

penyakit tersebut pasti dapat dielakkan kerana ketika bersukan dapat

mengeluarkan peluh serta toksik daripada badan. Setelah bersukan, kita

juga akan berasa cergas dan bersemangat untuk menghadapi cabaran

dalam kehidupan. Tegasnya, semua orang harus menitikberatkan

kesihatan diri pada setiap masa untuk membentuk tubuh badan yang

cergas.

Selain daripada kesihatan fizikal, kesihatan psikologi merupakan

aspek kesihatan yang sering dipinggirkan. Kesihatan psikologi ialah

bidang khusus yang menumpukan kepada bagaimana biologi, psikologi


dan tingkah laku mempengaruhi kesihatan. Kini, ramai orang menghadapi

tekanan yang tinggi kerana persekitaran penuh dengan cabaran dan

persaingan. Sejak pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan

Pergerakan (PKP), perubahan persekitaran kerja dan kebimbangan

terhadap pembelajaran menyebabkan ramai orang bertekanan tinggi.

KKM merekodkan 456 kes cubaan bunuh diri antara Januari dan Jun pada

tahun 2020. Statistik yang menggerunkan ini haruslah segera dihentikan

agar dapat mengurangkan kes bunuh diri. Seseorang yang mengalami

masalah kesihatan psikologi akan berasa murung dan mengalami

kecelaruan mental sehingga menjejaskan rutin seharian. Selain itu, emosi

pesakit akan menjadi tidak tentu dan tidak terkawal. Ciri-ciri tersebut

merupakan simptom-simptom masalah kesihatan psikologi seperti

imsomnia, anxiety disorders dan gangguan siklotimik. Oleh itu, sesiapa

yang mengalami tanda-tanda tersebut haruslah segera mendapatkan

rawatan daripada pakar psikologi agar dapat sembuh daripda penyakit


dan menentukan matlamat hidup semula yang menjadi pendorong untu

terus berhidup. Pendek kata, apabila seseorang sihat dari segi psikologi,

dia akan mempunyai hala tuju hidup yang bermakna serta memanfaatkan

seluruh hayatnya dengan detik-detik yang gembira.

Dasawarsa ini, kesihatan sosial muncul sebagai sejenis kesihatan yang

amat dititikberatkan oleh KKM. Kesihatan sosial merujuk kepada

keupayaan individu untuk mengekalkan hubungan silaturahim dan dapat

berinteraksi baik dengan orang lain. Namun, ciri-ciri tersebut jarang

ditemui dalam sanubari remaja kini kerana gangguan persekitaran.

Terdapat ibu bapa yang menyanyangi anak-anak bagai menatang minyak

yang penuh sehingga mengehadkan pergerakan mereka dengan ketat

untuk melarang mereka bermain dengan rakan-rakan kerana takut anak-

anak terjebak dalam kebejatan moral. Tetapi kawalan yang terlalu ketat

akan menghalang anak-anak bergaul dengan orang lain dan menyebabkan


mereka menjadi semakin pasif serta berkemungkinan menghidap

penyakit fobia sosial. Pesakit akan berasa takut dan cemas ketika ramai

orang berhampirannya terutamanya apabila berbicara di hadapan orang

ramai. Perasaan cemas yang melampau berupaya menyebabkan seseorang

pengsan secara tiba-tiba akibat tekanan emosi yang terlalu tinggi buat

seketika. Pesakit tersebut akan mengalami trauma yang teruk untuk

bersosial pada masa kelak. Lantaran itu, ibu bapa perlu menggalakkan

anak-anak bergaul dengan rakan-rakan sejak setahun jagung untuk

membina sikap berani dalam minda anak-anak. Di samping itu, pesakit

yang anti-sosial juga boleh mendapatkan rawatan perubatan serta

kaunseling daripada doktor. Cara yang paling berkesan adalah melakukan

perkara yang diminati untuk meningkatkan keyakinan diri seterusnya

mendorong individu tersebut bercampur dengan orang lain. Sudah terang

lagi bersuluh bahawa penjagaan kesihatan sosial juga amat penting untuk

membentuk seorang individu yang positif.


Untuk mengekalkan kehidupan yang bermakna, kesihatan ekonomi

juga perlu diambil perhatian. Seseorang individu yang bebas daripada

hutang dikatakan mempunyai kesihatan ekonomi yang baik. Walau

bagaimanapun, prestasi pengurusan kewangan dan kredit rakyat Malaysia

masih di tahap kurang memuaskan meskipun terdapat pelbagai jenis

perkhidmatan nasihat kewangan ditawarkan oleh kerajaan. Ketua

Pegawai Esekutif CTOS Data Systems SDN BHD, Eric Chan berkata,

berdasarkan laporan pada Jun lalu tahun 2021, sejumlah 60 peratus

daripada pengguna perkhidmatan syarikatnya menunjukkan skor laporan

kredit di tahap sederhana dan lemah. Kebanyakan orang dibelenggu oleh

masalah kewangan kerana faktor menginginkan keseronokan tanpa had.

Tamsilnya, pembelian barangan mewah seperti rantai emas, cincin

permata dan kereta berjenama. Sikap mereka yang ibarat cacing hendak

menjadi naga untuk berpura-pura diri sebagai orang berada boleh


menyebabkan mereka berbelanja dengan boros tanpa disedari. Mengikut

statistik berita BH Online, seramai 10,317 individu diisytiharkan muflis

sepanjang PKP sejak 2020. Jumlah kes kebankrapan tersebut

menunjukkan banyak orang kurang pegetahuan dalam pengurusan

kewangan. Sebagai seorang belanjawan yang cermat, kita sepatutnya

merangka jadual perbelanjaan mengikut kemampuan diri masing-masing

persis kata mutiara ukur baju pada badan sendiri. Melalui cara ini,

membolehkan kita mentaksir kewangan diri dan mengelakkan berhutang.

Kita juga seharusnya banyakkan memberi kepada sesiapa yang

memerlukan bantuan kewangan agar mereka yang berhutang dapat

mengurangkan tekanan dalam kehidupan.

Sebagai intiha, masyarakat perlu mempraktikkan amalan gaya hidup

yang sihat untuk menjaga kesejahteraan hidup. Pelbagai inisiatif yang

proaktif dan pragmatik perlu diambil oleh semua pihak agar impian
mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada masalah penyakit

daripada pelbagai aspek dapat dicapai. Ahli falsafah, Ralph Waldo

Emerson berkata, kesihatan merupakan kekayaan pertama bagi seseorang

individu dalam kehidupannya. Tuntasnya, kita perlulah mencakna

kesihatan diri sejak kecil lagi dengan menjalankan aktiviti yang berfaedah

untuk mengelakkan menghidap penyakit bak kata pepatah lebih baik

cegah daripada mengubati agar dapat hidup dengan lebih bermakna dan

bahagia.

Anda mungkin juga menyukai