Anda di halaman 1dari 4

Menelusuri Intipati Iqra’

Kemanusiaan kian kemalapan apabila kehilangan pedoman. Kemanusiaan yang rapuh dan

goyah ini tidak ada penggilap dan pencerahnya. Ketika itu, manusia dalam keadaan sangat

dahagakan hidayah, petunjuk dan pedoman.

Membaca Surah Iqra’ atau sebenarnya disebut sebagai al-’Alaq, mengajak kita

kepada titik permulaan kepada pencerahan dan petunjuk yang benar. Nabi s.a.w diangkat

menjadi Rasul dengan wahyu yang pertama, kali pertamanya iaitu diturunkan Allah dengan

lima ayat daripada surah ini. Al-’Alaq bermaksud segumpal darah beku. Ianya suatu

pemberitahuan yang jelas dan ketara tentang suatu hakikat. Hakikat permulaan kewujudan

manusia. Manusia yang mungkin tidak begitu mengendahkan soal kewujudannya khususnya

masyarakat Arab Jahiliyyah.

Ironinya, bagaimana manusia dapat mengenal kebenaran, sedangkan sejarah

dirinya sendiri tidak begitu dipedulikan? Ianya suatu penyingkapan fakta yang dapat

membuka minda manusia malah seluruh umat manusia ini kepada hakikat dirinya dan yang

paling penting mengenalkannya kepada Rabb dan Ilah yang sebenar. Kemudiannya,

manusia harus mengetahui bahawa pelajaran yang dibentangkan buat dirinya, semuanya

datang daripada Allah Ta’ala. Dalam masa yang sama, hakikat ilmu sangat penting untuk

memperbaiki nasib diri manusia yang sentiasa dibayangi fikirannya dan nafsunya.

Keseluruhan surah ini, jika kita membaca secara lebih lengkap hingga ayat yang

terakhir iaitu ayat kesembilan belas, mengajak kita berfikir suatu yang tidak begitu

dilazimkan dek fikiran manusia. Bahagian pertama surah ini, merupakan ajakan dan

penunjuk arah kepada manusia untuk mengenali punca atau asal penciptaan manusia serta

sumber ilmu dan kemajuan yang diraih oleh manusia. Bahagian kedua merupakan, iaitu ayat
enam hingga seterusnya berkaitan dengan sifat manusia yang ingkar kepada ajakan dan

petunjuk yang hanya membawa kepada kebinasaan.

Dua maksud atau intipati ini sebenarnya lontaran awal kepada manusia untuk

bersedia dengan asal tujuan Allah Taala menciptakan manusia iaitu mengabdikan diri

kepada Allah Ta’ala. Saat ini, kemanusiaan yang terkapai-kapai tadi dikembalikan dengan

pencerahan atau petunjuk bahawa setiap sesuatu itu harus berpaksikan kepada permulaan

iaitu tujuan asal manusia. Juga manusia dikembalikan kepada pembinaan kemanusiaan

yang seimbang iaitu melalui mengetahui atau menyedari hakikat dirinya yang diciptakan dan

sangat memerlukan kepada pengetahuan sebagai asas kepada kebenaran.

Manusia memerlukan ilmu pengetahuan sebagai asas untuk mengenal, mengakui

dan menyedari hakikat pengabdian dirinya kepada Allah. Seterusnya, barulah manusia itu

dapat menerima kenyataan berkenaan peranan dirinya yang disegarkan semula melalui

wahyu ini. Justeru, wahyu pertama dan awal ini menggambarkan makna isi penting

kewujudan manusia dan kemanusiaan dalam mengangkat martabat dirinya kepada tahap

yang lebih bermaruah dan mulia.

Kemuliaan manusia itu diperoleh apabila seorang bertaqwa dan taqwa itu hanya

dapat dikecapi dengan kurniaan hidayah atau petunjuk. Sepertimana pada ayat 10-12

(berdasarkan terjemahan Pimpinan al-Rahman);

”Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?

Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul? .

Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?”

Contoh peribadi yang merdeka dan mulia dipamerkan dalam di ayat-ayat tadi. Dan

ahli tafsir seringkali merujuk ayat ini kepada diri Nabi Muhammad s.a.w iaitu apabila Nabi

s.a.w mula berdakwah dan menerima cercaan hasil usaha dilakukan. Namun itu juga

ukuran, seorang yang mendapat petunjuk dan ikutan yang harus diikuti apabila manusia itu
kembali kepada Allah Ta’ala, mengenal asal-usul dirinya, tujuan hidupnya dan dapat

mengikut perintah dengan sehingga menjadi hamba yang bertaqwa.

Secara implisit, gesaan ini ditujukan tidak saja Nabi Muhammad berseorangan, tetapi

kepada seluruh manusia. Manusia harus memikirkan lalu menginsafi asal dirinya yang

dijadikan dengan suatu proses kejadian atau penciptaan yang begitu rumit, namun

mempunyai peluang untuk mencapai kebaikan dan kemuliaan. Dan kesedaran itu diterima

selepas perihal ini lalu bermula meneroka ilmu pengetahuan dan kebenaran lainnya iaitu

dengan membaca dengan nama Allah.

Menurut Abu Hayyan al-Andalusi dalam Al-Bahrul Muhith, harf jar bi (kata hubung

dalam ayat pertama) yang bermaksud dengan, difahami oleh ahli bahasa dengan maksud

ala iaitu atas. Ianya memberikan makna yang paling sesuai dengan konteks bahasa kita

iaitu kerana, iaitu bacalah kerana nama Tuhanmu. Abu Ubaidah menyatakan, huruf ba’

adalah penghubung (silah) yang bererti ingatlah Tuhanmu. Ia mengisyaratkan makna;

segala tujuan pencarian ilmu hendaklah ditujukan kerana Allah. Hakikatnya memang

Allahlah sajalah yang berhak manusia sandarkan niat, usaha dan daya pencarian ilmu

kerana Allah Taala jugalah yang memberikan atau mengilhamkan sesuatu ilmu kepada

manusia.

Hakikat anugerah ilmu juga sangat besar yang perlu disedari manusia. Maka, apabila

manusia mengenal hakikat ini, tidak akan berlaku pencerobohan kepada ilmu dan tidak juga

berlaku pelanggaran, kemelampauan, pendustaan dan pengingkaran. Jelaslah, hakikat ilmu

itu sangat berpaduan dengan hakikat Ketuhanan Allah Ta’ala Yang Maha Mengetahui lagi

Maha Agung.

Dan surah ini ditutup dengan suatu gesaan dan anjuran yang sangat sesuai buat

manusia yang mengakui Rasulullah s.a.w sebagai seorang nabi, yang mengembalikan

manusia kepada ketaatan kepada Allah Yang Mah Esa;


Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya)

sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Justeru, objektif surah ini sangat penting, iaitu menyedarkan manusia akan hakikat

kejadian dirinya yang sudah pasti dimulai dengan suatu yang terlalu kecil dan tidak berdaya,

iaitu seketul darah beku. Ianya suatu pesan yang cukup menginsafkan lagi membuka minda

serta dada. Dan disingkapkan tentang hakikat ilmu yang diajarkan oleh Allah Ta’ala dan

seterusnya petunjuk yang paling penting buat manusia iaitu sentiasa mengakui Allah Ta’ala

sebagai pencipta dengan ketundukan diri, sujud dan melazimi sifat taqwa untuk meraih

kebaikan dari-Nya.

Wa Allahu a’lam.

Anda mungkin juga menyukai