Anda di halaman 1dari 2

PEMAKANAN YANG SIHAT DAN SEIMBANG

Kuala Lumpur: Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanannya yang lazat. Daripada
hidangan lauk-pauk, masakan panas, kuih-muih dan pencuci mulut, semuanya enak
belaka.Hal ini menjadi satu cabaran buat orang ramai untuk memilih dan menentukan
jumlah makanan yang tepat bagi mengamalkan pemakanan seimbang untuk kehidupan
lebih sihat disusuli dengan amalan gaya hidup aktif.

Pemakanan seimbang seharusnya merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan dalam


jumlah yang bersesuaian untuk keperluan pelbagai fungsi penting tubuh. Amalan
pengambilan makanan yang sihat ini seharusnya dipupuk dari rumah dan seelok-eloknya
sejak peringkat awal usia kanak-kanak supaya ia menjadi satu tabiat sepanjang hayat.

Ini penting sebagai dorongan untuk mereka menjalani kehidupan secara seimbang dan
melalui usaha berkenaan ia memberi peluang generasi muda mendapat pendedahan awal
mengenai amalan gaya hidup sihat serta menyalurkan pengetahuan mengenai pemilihan
makanan seimbang.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) misalnya,
mengetengahkan pendekatan yang menggalakkan pemakanan seimbang dalam kalangan
generasi muda bermula dari peringkat sekolah menerusi Pertandingan Memasak Sekolah
Menengah MAGGI (MSSCC) yang menjadi platform terbaik mendidik pelajar mengenai
makanan, khasiat pemakanan dan tabiat makan yang sihat.

Pertandingan berkenaan yang sudah memasuki usia 22 tahun penganjurannya juga dilihat
membantu menyemai minat memasak dalam kalangan generasi muda. Penganjurannya
juga adalah sebahagian usaha murni yang bukan saja meningkatkan ilmu mengenai nutrisi
makanan dan cara masakan lebih sihat malah turut berkongsi maklumat serta tip mudah
menjadikan amalan pemakanan sihat itu sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan.

Sebenarnya, tidak sukar mahupun terlambat untuk memulakan gaya pemakanan seimbang
mengikut saranan pakar atau perunding diet yang sudah banyak kali diketengahkan dalam
media massa. Apa yang penting, kita perlu bertindak mulai hari ini untuk menjadikan ia
sebahagian daripada amalan harian dan mengekalkan tabiat amalan yang baik ini untuk
jangka masa panjang. Selain itu, timbul juga persoalan, bagaimana untuk mengetahui
makanan yang dipilih atau diambil di dalam pinggan itu benar-benar berkhasiat dan
seimbang?

Bagi memudahkan orang ramai mengamalkan pemakanan seimbang ini, Pinggan Sihat
Malaysia diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pendekatan
mudah bagi seseorang untuk memastikan pilihan makanan yang diletakkan di atas
pinggan makan waktu utama dalam kuantiti yang sewajarnya.

Apa yang diperlukan hanyalah pinggan berukuran kira-kira 10 inci yang dibahagikan
kepada tiga bahagian menggunkan konsep #suku-suku separuh. Ikuti langkah mudah
konsep #suku-suku separuh ini yang bermaksud suku pertama pinggan diisi dengan
sumber karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan bijirin di mana kumpulan makanan ini
merupakan sumber tenaga utama kepada tubuh kita.

Suku kedua pula diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan
kekacang yang diperlukan untuk tumbesaran, perkembangan dan memperbaiki tubuh.
Separuh pinggan lagi diisi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan
sumber serat, vitamin dan mineral penting untutk membantu pelbagai fungsi penting
tubuh. Selain itu, jangan lupa minum air secukupnya kerana ia penting untuk mengawal
suhu badan, mengangkut nutrien dan bahan buangan dalam badan.
Kini anda sudah faham mengenai pembahagian kumpulan makanan yang penting setiap
kali mengisi pilihan makanan anda di dalam pinggan. Namun, anda juga mungkin masih
tidak pasti berapa banyak kuantiti yang perlu diisi. Justeru, ikuti perkongsian seterusnya
yang hanya menggunakan tangan anda sendiri sebagai anggaran kuantiti yang wajar bagi
menentukan tiga bahagian berkenaan. Contohnya, dalam suku kedua, tentukan
pengambilan jumlah protein dengan anggaran saiz bahagian tapak tangan (tidak termasuk
jari). Kemudian, saiz satu genggaman tangan adalah jumlah ideal anggaran pengambilan
karbohidrat bagi suku pertama itu manakala saiz secekup tapak tangan (cupped hand)
pula untuk menentukan saiz hidangan bagi buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kini, bukankah pemakanan seimbang itu mudah? Kita hanya perlu menggunakan pinggan
yang sama dan menggunakan tangan anda sendiri untuk mendapatkan anggaran kuantiti
kumpulan makanan berkenaan. Secara puratanya, pengambilan air yang disarankan ialah
enam hingga lapan gelas sehari. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu sangat aktif dan
banyak berpeluh, mereka perlu mengambil dua gelas air tambahan bagi mengelakkan
dehidrasi. Pengambilan lemak, minyak, gula dan garam perlu dikawal kerana jika diambil
berlebihan, ia akan menyumbang kepada risiko penyakit kronik.

Anda mungkin juga menyukai