Anda di halaman 1dari 5

Implikasi Pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam terhadap Mahasiswa dan Sistem Pendidikan Negara.

Oleh: Che Noraini Che Omar Isu pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam bukanlah suatu cerita baru dalam dunia pendidikan di negara kita. Ianya telah lama berlegar dalam pemikiran para pelaksana dasar pendidikan. Idea ini mula dibangkitkan pada tahun 1994 apabila semua institusi pengajian tinggi awam diarah membuat kajian kemungkinan mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong usaha pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam ini dilaksanakan. Antara lainnya ialah dasar jelas kerajaan terhadap penswastaan dan persyarikatan, pertumbuhan pusat pendidikan tinggi swasta yang seumpama cendawan tumbuh selepas hujan, serta aspirasi kerajaan untuk meningkatkan imej dan mutu pendidikan negara ke arah bertaraf dunia dan sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau. Walaupun pada dasarnya idea ini dilihat sebagai sesuatu yang wajar dilaksanakan dalam usaha untuk membawa negara ke arah kecemerlangan pendidikan dan melangkah arus perubahan, keputusan untuk melaksanakannya dicapai tidak sebegitu mudah berbanding ketika idea ini dikemukakan. Banyak aspek dan faktor yang bersangkutan perlu diberi perhatian dan juga pertimbangan. Sebelum keputusan akhir pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam dicapai, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu menghalusi dan menimbangkan buruk baik kesan yang akan timbul. Hasrat dan cita-cita murni kerajaan untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan negara sejajar dengan tempo pembangunan sejagat perlu disokong tetapi dalam masa yang sama terdapat beberapa pihak yang seakan-akan berada di dalam dilema. Sebelum membincangkan topik ini dengan lebih jauh lagi, adalah lebih baik untuk kita memahami maksud institusi pengajian tinggi awam dan pengkorporatan supaya mesej yang ingin disampaikan akan lebih jelas dan mudah difahami. Institusi pengajian tinggi awam adalah merupakan institusi pengajian tinggi yang dinaungi oleh pihak kerajaan bagi memenuhi suatu keperluan sosial yang amat penting dalam bidang ilmu serta penyelidikan, pendidikan dan pelajaran tinggi (A.R Zahari, 1997). Menurut Anwar Ridhwan (1995) Pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi dalam pengertiannya yang luas dapatlah dikatakan meliputi dua bidang iaitu penswastaan universiti-universiti tempatan dan penubuhan universiti-universiti swasta tempatan dan cawangan universiti luar negeri di negara kita. Terdapat perbezaan antara penswastaan dan pengkorporatan dalam konteks institusi pengajian tinggi. Penswastaan adalah membabitkan pemindahan milik kerajaan kepada swasta secara keseluruhannya, tetapi pengkorporatan lebih bererti penyerahan, tetapi tidak sepenuhnya pengurusan satu-satu badan atau perusahaan milik pemerintah kepada syarikat (korporat) yang mengendalikannya atas asas perdagangan. Pengkorporatan boleh didefinisikan sebagai pemindahan milik samada dari segi kepentingan mahupun aspek pengurusan sesebuah institusi pengajian tinggi dari pihak kerajaan kepada pihak pentadbir institusi berkenaan. Walaubagaimanapun, selepas institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan, ianya akan terus dan tetap dimiliki oleh kerajaan dan tidak akan diswastakan. Dan satu prinsip penting yang perlu difahami apabila kita memperkatakan tentang isu pengkorporatan ialah ianya lebih menjurus kepada kebebasan kaedah

pengurusan yang lebih fleksibel dan lebih banyak autonomi. Selepas dikorporatkan, ianya tetap merupakan badan berkanun yang tidak bermotifkan keuntungan. Isu mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam telah lama digembar-gemburkan. Banyak pihak yang bercakap tentangnya sama ada orang awam yang tidak ada kaitan langsung dengan institusi pengajian tinggi awam, apatah lagi pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengannya seperti pentadbir institusi pengajian tinggi awam mahupun para pelajar. Tetapi adakah mereka memahami maksud yang tersirat di sebalik idea ini? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Maka tidak hairanlah banyak pro dan kontra yang ditimbulkan ekoran dari cadangan mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam. NorFadilah Mohamad, seorang pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka berpendapat tentang Pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam akan memberi lebih banyak ruang untuk melaksanakan pelbagai program pengembangan ilmu dan peningkatan kualiti pendidikan negara. Peluang-peluang untuk membuat penyelidikan, menjalin perkongsian bestari serta penswastaan sektor masa dengan pihak industri sekaligus menjadi penghubung antara menara gading dengan masyarakat di luar tembok menara gading semakin menyemarakkan lagi inisiatif dan dorongan untuk memperkembang dan mempertingkatkan kualiti pendidikan negara. Selain itu, pengkorporatkan bagi mewujudkan satu bentuk pendidikan tinggi yang progresif melalui pertumbuhan yang sistematik dan perkembangan kualiti yang berterusan. Sulastri Zainal Abidin, 24, salah seorang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan bahawa pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam memberi kesan baik kerana dapat mempertingkatkan mutu pengurusan institusi pengajian tinggi awam dengan penggunaan maksimum sumber-sumber fizikal, manusia dan cendekiawan. Jika sebelum ini terlalu banyak kerenah birokrasi yang mengekang perjalanan institusi pengajian tinggi awam, diharapkan dengan terlaksananya dasar pengkorporatan ini nanti dapat mengurangkan kerenah red tape yang tidak relevan dalam pengurusan institusi pengajian tinggi awam. Selaras dengan pengkorporatan juga, adalah diharapkan agar konsep serta model-model persyarikatan dan penswastaan dapat diterapkan di dalam pengurusan institusi pengajian tinggi awam. Pengkorporatan bukan bermakna sewenang-wenangnya para pentadbir boleh mengaut keuntungan tetapi lebih kepada mendorong mereka ke arah mengamalkan konsep pengurusan yang cekap dan berkesan. Dengan ini, sumber-sumber yang ada akan digunakan secara optimum. Pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam akan mewujudkan satu peningkatan dalam kaedah pengurusan universiti tempatan di mana mereka diberi autonomi yang lebih untuk bertindak dengan lebih pantas, membuat keputusan sendiri dalam banyak perkara dan mampu mengurus dengan lebih dinamik. Kesan baik pengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam boleh mengurangkan tanggungan kewangan pihak kerajaan terhadap kos membiayai operasi universiti. Mungkin ada rahmat di sebaliknya. Walaupun sumber kewangan yang tetap dari pihak kerajaan sudah berkurangan, institusi pengajian tinggi awam dibolehkan untuk mencari dan mengurus sumber dananya sendiri. Ini bermakna selaras dengan pengkorporatan, institusi pengajian tinggi awam akan mempunyai autonomi kewangan. Berautonomi kewangan bermaksud sesebuah badan atau institusi berkenaan mempunyai kuasa undang-undang untuk menubuhkan dana sendiri, untuk menambah kewangan dalam dana yang berasaskan sumber-sumber yang dibenarkan serta mempunyai kuasa untuk mengendalikan tabung itu mengikut keperluan yang ditentukan oleh badan atau institusi tersebut (A.R Zahari, 1995,). Ekoran dari pengumuman pihak kerajaan untuk mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam secara berperingkatperingkat, beberapa kebimbangan dan kegusaran disuarakan oleh banyak pihak. Ini

bermakna bukan semua setuju dengan isu ini pengkorporatan IPTA. Di samping mempunyai kesan baik, ada juga buruknya pengkorporatan IPTA terhadap mahasiswa dan juga kepada sistem pendidikan negara. Kebimbangan ini mendapat tempat dan liputan yang meluas sejak idea pengkorporatan ini dibangkitkan. Dan pihak yang paling gusar tentang isu ini sudah tentu pasti adalah para pelajar sendiri, kerana mereka merupakan golongan yang paling terhimpit dan menerima kesan langsung darinya. Umumnya, seseorang pelajar menjejakkan kaki ke menara gading dengan tujuan dan matlamat untuk menimba pengetahuan dan meningkat serta memperkembangkan potensi diri dari pelbagai aspek. Sebelum tahun 1994, matlamat murni ini tidak diganggu gugat oleh faktor kewangan ataupun ekonomi.Tetapi kini, isu mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam ini dilaksanakan, faktor kos pengajian yang meliputi yuran pengajian, bayaran asrama, sewa rumah (bagi pelajar yang tinggal di luar) serta lain-lain perbelanjaan menjadi permasalahan utama dan faktor penentu bagi seseorang pelajar untuk melanjutkan pengajian . Sebagai contoh, di Universiti Malaya, yuran pengajian di peringkat ijazah pertama secara puratanya adalah sebanyak RM1100 setahun, tetapi apabila ianya dikorporatkan, kos pengajian ini meningkatkan sebanyak lebih kurang 700% menjadikannya RM7000 setahun (Sabri , 1997, m. 19). Peningkatan ini dianggap terlalu tinggi dan dikhuatiri akan menjejaskan peluang-peluang pembelajaran tinggi kepada sesetengah pihak terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Menurut Azwani Ayob, 23, pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia berkata kesan pengkorporatan IPTA terhadap mahasiswa akan mengganggu gugat pelajar terutama mereka yang berpendapatan rendah. Kerana yuran untuk kos pengajian di universiti akan meningkat lebih tinggi. Selain itu, pengkorporatan akan mengancam kedaulatan Bahasa Malaysia. Kebimbangan ini wajar disuarakan kerana kita telah lama memperjuangkan kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam sistem pendidikan negara selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi kita perlu memandang jauh ke hadapan dan kita juga perlu menjiwai aspirasi negara dalam membawa mutu pendidikan kita kepada bertaraf dunia. Banyak bidang ilmu yang masih belum kita selami kerana kurangnya sumber rujukan di dalam Bahasa Malaysia. Apatah lagi bagi kebanyakan kursus-kursus sains dan teknologi, sumber rujukannya adalah berbahasa Inggeris. Jadi, jika kita menolak penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pengajaran dan pembelajaran secara melulu dikhuatiri kita yang akan rugi. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hasrat dan cita-cita murni kerajaan yang ingin membawa pendidikan negara ke persada antarabangsa atau dalam kata lain, mengekspot pendidikan kita ke luar negara. Mengekspot pendidikan ke luar negara dilihat dalam konteks keupayaan sistem pendidikan kita dalam menarik pelajar asing dari luar negara untuk belajar di negara kita dan ini memerlukan perubahan bahasa pengantar dalam pengajaran. Jika kita masih ingin mempertahan dan mengekalkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di dalam semua bidang dan disiplin ilmu, apakah aspirasi ini dapat dicapai? Sudah tentu tidak kerana sistem pendidikan di negara kita masih belum mencapai suatu tahap di mana kita boleh memaksa pelajar dari luar negara yang ingin belajar di negara kita mempelajari Bahasa Malaysia terlebih dahulu sebagaimana yang berlaku di negara Jepun dan Jerman. Kerana apa ? Kerana kita masih kekurangan sumber-sumber rujukan ilmu di dalam Bahasa Malaysia. Memanglah benar jika ada pendapat yang mengatakan bahawa pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sedang giat menjalankan usaha menerbit dan menterjemahkan bukubuku dari bahasa asing ke Bahasa Malaysia. Tetapi apakah ianya sudah cukup tersedia untuk

membolehkan kita mengorak langkah memaju dan meningkatkan imej serta kualiti pendidikan kita sejajar dengan arus perubahan yang begitu cepat melanda dunia kini? Untuk berdepan dengan ledakan maklumat dan menongkah arus perubahan yang akhirakhir ini begitu kuat melanda dunia, kita perlu memperlengkapkan generasi pelapis negara ini dengan kekuatan keilmuan yang tinggi Malahan kepentingan menuntut ilmu juga ditekankan dalam tradisi Islam walaupun jika kita terpaksa pergi ke negeri China. Jadi, adakah wajar untuk kita menolak sesuatu ilmu hanya kerana ianya terpaksa dipelajari di dalam Bahasa Inggeris ? Penggunaan Bahasa Inggeris di dalam pengajaran dan pembelajaran tidak bermakna kita menganaktirikan peranan serta meminggirkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai jiwa bangsa kita. Malahan akhir-akhir ini juga wujud satu cadangan untuk menjadikan Bahasa Malaysia sebagai satu cabang ilmu sebagaimana disiplin-disiplin ilmu yang lain. Kita perlu bersikap dan berfikiran terbuka dalam isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara. Memberi ruang kepada penggunaan Bahasa Inggeris perlu dilihat sebagai satu mekanisme yang dapat membantu kita memperdalam dan memperlengkapkan kekuatan keilmuan kita. Mengikut tinjauan yang dibuat, sesetengah berpendapat berkaitan isu pengkorporatan Institusi Pendidikan Tinggi Awam akan menjejaskan falsafah sistem pendidikan negara. Institusi pengajian tinggi awam telah lama mengamalkan sistem inputproses-output dalam operasinya. Mahasiswa dilihat sebagai input. Dalam usaha menghasilkan output, mahasiswa ini akan diajar dan dilatih sehingga mahir dalam pelbagai disiplin ilmu. Hasil daripada proses ini terlahirlah output yang akan terjun ke kancah masyarakat untuk menyumbangkan ilmu yang telah dipelajari dalam mencorakkan pembangunan dan masa hadapan masyarakat dan negara. Dasar sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi awam juga menekankan aspek kesepaduan ilmu dalam pengajian mahasiswa, di mana pengajian ilmu kehidupan dan kemanusiaan diberi penekanan di samping para mahasiswa mendalami ilmu-ilmu dalam pelbagai disiplin yang diceburi. Kesepaduan ilmu dalam pendidikan dianggap sebagai sesuatu yang penting agar mahasiswa tidak terpesong dan terpisah dari norma-norma kehidupan manusia dan masyarakat. Ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara yang bertunjangkan kepada usaha mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Namun apabila isu mengkorporatkan institusi pengajian tinggi awam timbul, kebimbangan yang bermain di sanubari para pelaksana dasar sistem pendidikan ialah, apakah falsafah dan paradigma murni pendidikan negara ini masih boleh dipertahankan kewujudan atau perlaksanaannya? Rasional kebimbangan ini ialah ekoran dari pengkorporatan ini nanti akan menyebabkan institusi pengajian tinggi awam lebih condong dan cenderung ke arah menjadikan universiti sebagai pusat ilmu dan gedung perniagaan yang menguntungkan serta berorientasikan pasaran. Dakwaan ini adalah meleset sama sekali. Walaupun mungkin institusi pengajian tinggi awam akan lebih condong memberikan penekanan ke arah menghasilkan graduan dari bidang sains dan teknologi, aspek pengajian ilmu kemanusiaan tidak mungkin terpinggir atau terpisah langsung dari pengajian disiplin-disiplin ilmu tertentu yang diceburi oleh mahasiswa. Ini adalah kerana apabila institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan tidak bermakna fakulti-fakulti sastera, pengajian Islam, sains kemanusiaan dan kemasyarakatan dan lain-lain lagi akan berkubur. Malahan dalam sesetengah disiplin pengajian, para pelajar adalah diwajibkan untuk mengambil kursus-kursus wajib universiti yang berteraskan ilmu kemanusiaan seperti kursus Falsafah Sains dan Pembangunan Sosial sebagai sebahagian dari

syarat untuk mendapatkan ijazah. Dan satu perkara yang kita juga perlu ingat ialah pengkorporatan institusi pengajian tinggi awam tidak bermakna pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan akan bersikap lepas tangan dalam perancangan dan penyediaan kurikulum pengajian di institusi pengajian tinggi awam. Pihak kerajaan masih mempunyai pengaruh dalam hal-hal yang bersangkutan dengan kurikulum pengajian di institusi pengajian tinggi awam bagi memastikan agar ianya selari dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dan sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu, walaupun selepas institusi pengajian tinggi awam dikorporatkan kerajaan akan terus mengenakan kawalan ke atas perjalanan serta pentadbiran universiti tersebut. Isu berkurangnya minat dan kecintaan pelajar terhadap budaya mencari ilmu disebabkan oleh ketidakupayaan mereka berdepan dengan masalah kos pengajian sepatutnya tidak timbul. Ilmu tidak hanya boleh dicari dan ditimba melalui buku. Ilmu juga tidak hanya tersirat di dalam buku. Banyak cara lain bagaimana ilmu boleh dicari. Apatah lagi dalam zaman sains dan teknologi yang setiap saat mengalami perubahan dan pembaharuan, ilmu boleh diperolehi hanya di hujung jari ! Kemudahan yang ada disediakan oleh pihak universiti seperti komputer sepatutnya dipergunakan oleh para pelajar dengan sepenuhnya. Pencarian ilmu melalui kemudahan internet yang disediakan tidak menimbulkan masalah kewangan kepada pelajar. Tetapi yang menjadi masalah yang sebenarnya ialah sikap sebahagian dari para pelajar itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai