Anda di halaman 1dari 2

AKHLAK ISLAMIYAH

Seseorang yang memiliki budi pekerti mulia disukai oleh semua orang. Sebaliknya, orang
yang buruk akhlaknya dibenci. Demikianlah sifat fitrah semua manusia tanpa mengira
latar belakang agama. Oleh itu, Islam memerintahkan penganutnya supaya mengikis sifat
yang tercela dan mengisinya dengan segala sifat terpuji.

Sifat terpuji melambangkan kesempurnaan Islam seseorang. Di antara sifat terpuji ialah
berbuat baik dan menjaga hubungan persaudaraan sesama manusia. Diriwayatkan
daripada Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "Tidak
sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda:
Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam melakukan kebaikan, Islam tidak mengamalkan dasar diskriminasi. Lantaran itu
perintah berbuat baik tidak hanya ditujukan kepada sesama Muslim, bahkan bukan Islam.
Ringkasnya, perintah melakukan kebaikan dan berbuat kebajikan merentasi batas akidah
seseorang.

Jika kita ingin mengambil contoh orang yang memiliki akhlak mulia, maka baginda
adalah contoh terbaik. Firman Allah bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan yang baik) hari akhirat serta dia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Surah
al-Ahzab, ayat 21).

Ketinggian akhlak baginda disifatkan sebagai akhlak al-Quran. Bahkan, baginda


diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia. Baginda juga menzahirkannya melalui
amalan. Dengan sifat sabar yang dimiliki baginda, menyebabkan seorang wanita Yahudi
yang sering mengotori baginda saban hari memeluk Islam. Baginda juga menziarahi
seorang Yahudi yang dalam keadaan sakit sehingga akhirnya Yahudi itu memeluk Islam.

Seorang Muslim juga diperintahkan untuk berbuat baik kepada keluarganya yang bukan
Muslim. Pertalian kekeluargaan yang sedia ada harus dipertahankan kerana keIslaman
seseorang bukanlah alasan untuk memutuskan segala pertalian dengan keluarga asal.

Sebaliknya kita diperintahkan untuk terus menjalin hubungan yang baik. Diriwayatkan
daripada Abdullah bin Zubir katanya: "Qutailah binti Abdul Uzza yang masih musyrik
datang mengunjungi anaknya, Asma' binti Abu Bakar dengan membawa beberapa hadiah.
Asma' enggan menerimanya bahkan tidak membenarkannya ibunya masuk. Asma'
meminta Aisyah bertanya kepada Rasulullah mengenai perkara itu. Lalu Rasulullah
menyuruh Asma` supaya menerima hadiah itu dan menyuruh ibunya masuk ke dalam
rumah."(Hadis riwayat Ahmad bin Hanbal).

Berdasarkan hadis itu, nyatalah bahawa Islam menyuruh untuk berbuat baik kepada
kedua-dua ibu bapa yang bukan Islam, selagi ia tidak bertentangan dengan norma Islam.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau dengan fikiran sihat engkau tidak
mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Dan bergaullah
dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang yang rujuk
kembali kepada-Ku (dengan Tauhid dan amal yang salih) kemudian kepada Akulah
tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang
kamu kerjakan." (Surah Lukman, ayat 15)

Daripada penjelasan itu, dapatlah diambil kesimpulan bahawa menjalin hubungan yang
baik dengan sesama manusia tanpa mengira agama seseorang adalah anjuran Islam. Sifat
itu juga mencerminkan wajah sebenar ajaran Islam iaitu ajaran yang berlandaskan kasih
sayang dan toleransi.

Sumber:
Berita Harian, Sabtu (4 Januari 2003)

Allahu Ta'ala a'lam...

Anda mungkin juga menyukai