Anda di halaman 1dari 6

PENGGUNAAN BUKU 3D DAPAT MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS HURUF KECIL BAGI KANAK-KANAK PRASEKOLAH Arina Abdul Rahim ABSTRAK

Kajian ini dijalankan bagi membantu meningkatkan kemahiran menulis huruf kecil kanak-kanak prasekolah dengan menggunakan buku 3D. Tujuan dan objektif kajian ini dijalankan adalah untuk membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran menulis huruf kecil a-z. Di samping itu, kajian ini juga adalah untuk melihat kekemasan dalam menulis huruf kecil. Pemerhatian dan analisis dokumen digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini digunakan bagi mengenalpasti peningkatan dalam menulis huruf kecil dan kekemasan tulisan. Subjek kajian terdiri daripada lima kanak-kanak prasekolah. Data telah dianalisis dengan menggunakan analisis diskriptif (peratus). Refleksi kajian menunjukkan bahawa masalah dalam kemahiran menulis ini berpunca daripada kaedah lihat dan tulis yang digunakan sebelum ini tidak begitu memberangsangkan. Tambahan pula kemahiran psikomotor halus kanak-kanak ini belum mencapai tahap kematangan. Buku 3D yang dihasilkan digunakan untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah yang dihadapi iaitu kemahiran menulis dari aspek kekemasan tulisan. Dalam intervensi yang dijalankan kanak-kanak dikehendaki menggunakan buku 3D secara berulangan. Penyelidik memperuntukkan masa pada setiap hari dengan meminta kanak-kanak menggunakan buku 3D sebelum dan selepas memulakan proses pengajaran dan pembelajaran. Implikasi dari penggunaan buku 3D ini menjadikan huruf yang ditulis oleh kanak-kanak menjadi lebih kemas dan baik berbanding sebelum menggunakan buku 3D. Teknik bercerita dalam membantu menerapkan tingkah laku positif dalam kalangan kanak-kanak Prasekolah. Fatin Adila Jamil

ABSTRAK Penyelidikan tindakan ini dijalankan untuk melihat sejauhmanakah keberkesanan teknik bercerita dalam membantu menerapkan tingkah laku positif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Objektif khusus kajian tindakan ini ialah mengenal pasti tingkah laku positif yang kurang diamalkan oleh kanak-kanak prasekolah dan meningkatkan tingkah laku positif terhadap kanak-kanak prasekolah melalui teknik bercerita. Tingkah laku positif yang ingin diterapkan dalam diri kanak-kanak prasekolah ialah meminta kebenaran untuk meminjam barang dari rakan dan menunjukkan amalan berterima kasih. Subjek kajian terdiri daripada empat orang kanakkanak prasekolah. Pengumpulan data dilakukan melalui kaedah temu bual, pemerhatian serta ujian awal dan ujian akhir. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif (petikan perbualan dan peratusan). Hasil analisis mendapati keempat-empat subjek menunjukkan peningkatan pada amalan tingkah laku positif selepas intervensi berbanding sebelum intervensi

dijalankan. Keputusan kajian menunjukkan bahawa teknik bercerita berkesan dalam membantu menerapkan tingkah laku positif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Pengkaji telah mencadangkan agar kajian seterusnya dijalankan dengan menggunakan lebih banyak bilangan buku cerita berkaitan dengan pelbagai tingkah laku positif kanak-kanak dan dilaksanakan pada waktu lain seperti pada waktu aktiviti permainan luar dan waktu rehat. Seterusnya pengkaji mencadangkan agar kajian sebegini dijalankan terhadap bilangan subjek yang lebih ramai iaitu untuk kanak-kanak normal pada peringkat umur antara 7 hingga 9 tahun serta teknik bercerita berpandukan main peranan dan pengukuhan juga digunakan untuk kajian selanjutnya. Penggunaan kad imbasan bergambar membantu meningkatkan kemahiran membaca murid Hasnurfarisha Hassan ABSTRAK Kajian ini merupakan satu kajian tindakan yang dijalankan di sebuah prasekolah di Kuala Lumpur. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat sejauhmanakah penggunaan kad imbasan bergambar membantu meningkatkan kemahiran membaca murid. Kajian ini melibatkan seramai 5 orang murid yang terdiri daripada 3 orang murid lelaki dan 2 orang murid perempuan yang berumur lima hingga enam tahun. Objektif kajian ini ialah untuk meningkatkan kemahiran murid dalam menyebut dan membunyikan suku kata KVKV dengan betul melalui penggunaan kad imbasan bergambar serta meningkatkan keupayaan murid dalam kemahiran membaca dengan menggunakan kad imbasan bergambar. Ujian dan pemerhatian berstruktur digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini digunakan bagi mengenalpasti peningkatan keupayaan kemahiran membaca murid. Data dianalisis dengan menggunakan analisis diskriptif iaitu menggunakan kekerapan dan peratusan. Hasil refleksi menunjukkan bahawa masalah menyebut dan membunyikan suku kata adalah kerana murid-murid tidak mengingati dengan betul bunyi suku kata dan tidak mahir dalam menggabungkan suku kata KV menjadi KVKV. Ia juga berlaku disebabkan oleh murid-murid menghafal bunyi-bunyi suku kata KV tersebut dan mengalami kekeliruan apabila mahu menyebut suku kata KVKV. Bagi mengatasi masalah ini, kad imbasan bergambar digunakan sebagai bahan bantu mengajar untuk memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih baik dan bermakna kepada murid. Dalam kajian ini, murid diberikan intervensi secara berulang-ulang untuk membantu meningkatkan kemahiran menyebut dan membaca suku kata KVKV. MEMBANTU MURID PRASEKOLAH MENULIS AYAT DENGAN BAIK MELALUI PENGGUNAAN KAEDAH PETAK. Huzaini Amir ABSTRAK

Kajian yang dilaksanakan ini merupakan suatu kajian tindakan yang dilaksanakan bagi membantu kanak-kanak prasekolah menulis ayat dengan baik menggunakan Kaedah Petak. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk memperbaiki mutu tulisan kanak-kanak ketika menulis agar lebih kemas, teratur dan tersusun. Objektif kajian ini dilaksanakan adalah untuk

membantu kanak-kanak prasekolah menulis ayat dengan baik tanpa mengandungi sebarang kesalahan sama ada dari aspek susun atur perkataan, jarak di antara perkataan, kedudukan perkataan-perkataan, saiz tulisan dan sebagainya. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah seperti soal selidik, pemerhatian dan temu bual. Instrumen kajian ini digunakan adalah untuk mengesan peningkatan yang berlaku terhadap keupayaan menulis kanak-kanak. Seramai tiga orang kanak-kanak prasekolah telah dipilih sebagai responden dalam kajian ini. Setiap data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif (kekerapan, peratusan dan petikan perbualan). Berdasarkan kepada hasil refleksi yang dijalankan menunjukkan bahawa masalah penulisan ini berlaku sebenarnya disebabkan kanak-kanak ini keliru dengan teknik penulisan yang betul. Ekoran daripada perkara tersebut, kanak-kanak ini sering melakukan kesalahan dalam aspek penulisan setiap kali guru memberikan lembaran kerja untuk dilaksanakan. Kaedah Petak telah dipilih dan digunakan sebagai suatu kaedah ansur maju dan latih tubi yang dapat membantu kanak-kanak menulis ayat dengan baik. Implikasinya, kanak-kanak dapat menulis ayat dengan baik tanpa sebarang kesalahan. Penggunaan Kaedah Petak semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dapat membantu kanak-kanak menulis dengan baik tanpa sebarang kesalahan. PENINGKATAN KEFAHAMAN KONSEP ASAS NOMBOR 1 HINGGA 10 MENGGUNAKAN KOMPUTER Muhammad Aminnilah Mustapha

ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini dijalankan untuk menilai sejauh manakah keberkesanan penggunaan komputer dalam untuk memahami konsep nombor 1 hingga 10 kepada kanak-kanak prasekolah. Responden kajian terdiri daripada 7 orang murid-murid prasekolah yang mempunyai masalah untuk memahami konsep nombor kardinal 1 hingga 10. Penyelidikan tindakan ini juga telah dibantu oleh penggunaan komputer dan televisyen berkonsepkan media pandang dan dengar. Penggunaan media pandang dan dengar juga dibantu oleh penggunaan perisian komputer secara audio dan visual yang bertujuan menarik minat murid-murid untuk belajar dan mengharapkan supaya fokus pembelajaran murid-murid dapat dikekalkan sepanjang proses pembelajaran dan pembelajaran berlangsung. Data dikumpulkan melalui ujian sebelum dan ujian selepas. Hasil analisis dokumen yang telah dijalankan menunjukkan bahawa semua responden, iaitu sebanyak 7 orang murid prasekolah berjaya menunjukkan peningkatan yang amat baik kerana sebanyak 4 orang berjaya mendapat markah penuh serta menunjukkan peningkatan markah yang sangat tinggi. Keputusan kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa penggunaan komputer sangat membantu murid-murid prasekolah yang lemah untuk memahami konsep nombor 1 hingga 10.
Pengaplikasian kaedah METASI membantu kemahiran murid prasekolah unutk mengecamkan huruf kecil Muhammad Fareez Hj. Mazlan

Abstrak Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji sama ada pengaplikasian kaedah METASI dapat membantu kemahiran murid prasekolah untuk mengecamkan huruf kecil. Objektif kajian tindakan ini adalah pengaplikasian kaedah METASI dapat membantu kemahiran murid prasekolah untuk mengecamkan huruf kecil. Kumpulan sasaran dalam kajian ini terdiri daripada dua orang murid prasekolah lelaki berusia enam tahun. Kedua-dua orang ibu bapa subjek ini sibuk bekerja dan tidak memantau pelajaran subjek ketika berada di rumah. Dapatan kajian sebelum intervensi menunjukkan bahawa subjek A hanya dapat mengecamkan 14 huruf sahaja manakala subjek B dapat mengecamkan 15 huruf kecil sahaja. Kajian tindakan ini menggunakan kaedah METASI yang menggabungkan pelbagai teknik pembelajaran seperti multimedia, permainan, dan latih tubi. Gabungan pelbagai teknik ini bertujuan untuk mewujudkan pembelajaran yang berkesan untuk membantu kemahiran subjek untuk mengecamkan huruf kecil. Data dikumpulkan melalui analisis dokumen, senarai semak, dan temu bual. Data yang diperoleh dianalisis dalam bentuk graf bar dan peratusan. Hasil analisis keputusan menunjukkan bahawa dua orang subjek tersebut dapat menunjukkan peningkatan selepas intervensi dijalankan berbanding dengan pencapaian sebelum intervensi dijalankan. Huruf yang dapat dicamkan oleh subjek A selepas intervensi ialah 21 huruf manakala subjek B pula dapat mengecamkan 23 huruf. Keputusan ini menunjukkan bahawa pengaplikasian kaedah METASI dapat membantu kemahiran murid prasekolah untuk mengecamkan huruf kecil. Kata Kunci: Kaedah METASI (multimedia, permainan tapak kaki huruf, latih tubi melalui soalan teka silang kata).

Meningkatkan kefahaman murid prasekolah dalam menyelesaikan operasi tambah lingkungan 1 hingga 10 Muhammad Kamarul Ariffin Loqman ABSTRAK Kajian tindakan ini dijalankan untuk meningkatkan kefahaman murid prasekolah dalam menyelesaikan operasi tambah lingkungan 1 hingga 10. Objektif kajian ialah meningkatkan kefahaman murid dalam menyelesaikan masalah yang melibatkan operasi tambah dengan menggunakan bahan maujud iaitu batang aiskrim dan bola pingpong sebagai bahan bantu untuk murid membuat pengiraan. Subjek kajian terdiri daripada tujuh orang kanak-kanak prasekolah di Selangor. Temubual, pemerhatian dan ujian awal dan akhir digunakan sebagai instrument kajian. Data analisis menggunakan analisis diskriptif (peratusan). Hasil refleksi menunjukkan bahawa murid kurang memberi respon dalam aktiviti slot pengajaran dan pembelajaran matematik terutamanya ketika melibatkan operasi tambah. Bahan maujud digunakan untuk membantu murid bagi mengatasi masalah yang dihadapi semasa menyelesaikan operasi tambah dalam linkungan 1 hingga 10. Implikasinya kemampuan murid menyelesaikan operasi tambah meningkat selepas intervensi menggunakan bahan maujud dijalankan berbanding sebelum

intervensi. Oleh itu, penggunaan bahan maujud dapat membantu murid dalam menyelesaikan operasi tambah disamping meningkatkan kefahaman mereka Meningkatkan tumpuan murid prasekolah menggunakan Kaedah Khalifah Muhammad Raimi Yusof ABSTRAK Kajian ini adalah kajian tindakan yang dijalankan bagi meningkatkan tumpuan murid prasekolah menggunakan kaedah khalifah. Objektif kajian ini untuk meningkatkan tumpuan murid di dalam kelas. Instrumen kajian yang digunakan ialah pemerhatian dan soal selidik. Instrumen ini digunakan bagi mengenal pasti peningkatan peratusan tumpuan murid menggunakan kaedah khalifah dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Responden kajian terdiri daripada 3 orang kanak-kanak prasekolah. Data dianalisi dengan menggunakan analisis deskriptif (kekerapan dan peratusan). Kaedah khalifah digunakan untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah yang dihadapi iaitu masalah kurang tumpuan. Dalam intervensi ini, pengkaji menggunakan tiga alat bantu mengajar iaitu tanda isyarat, lagu khalifah dan lencana khalifah. Hasil refleksi menunjukkan masalah ini berlaku disebabkan oleh kurangnya kesediaan kanak-kanak untuk belajar dan kurang pengaplikasian teknik modefikasi tingkah laku yang digunakan di dalam kelas prasekolah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kaedah khalifah boleh meningkatkan tumpuan murid di dalam kelas. Meningkatkan pemahaman kanak-kanak prasekolah tentang penyelesaian masalah operasi asas matematik dan nilai-nilai nombor serta fungsi simbol-simbol asas dalam matematik Mumtazah Johar ABSTRAK

Kajian ini merupakan sebuah kajian tindakan yang berorientasikan kanak-kanak prasekolah. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pemahaman kanak-kanak prasekolah tentang penyelesaian masalah operasi asas matematik dan nilai-nilai nombor serta fungsi simbolsimbol asas dalam matematik. Isu kajian adalah mengenai kanak-kanak yang tidak dapat menjawab soalan-soalan asas matematik yang mudah di dalam kelas dan tidak tahu simbolsimbol asas matematik seperti +, -, dan =. Kanak-kanak yang telah dikenal pasti diberikan beberapa soalan asas matematik yang mudah (bawah 10) untuk diselesaikan. Berdasarkan analisis jawapan yang ditulis oleh kanak-kanak ini, didapati penguasaan mereka dalam mengenal dan menyelesaikan operasi asas matematik adalah sangat lemah. Kajian ini menyasarkan lima orang kanak-kanak prasekolah yang lemah dalam matematik. Dua alat kajian telah digunakan iaitu soal selidik berbentuk ujian kertas pensil dan temu bual tidak berstruktur bersama kanakkanak. Tindakan yang dijalankan adalah dengan mengajar kanak-kanak menggunakan cerita bergambar di mana dalam cerita tersebut mengandungi operasi asas matematik yang mudah. Data-data yang di kumpul diperoleh daripada soal selidik dan temu bual. Data-data ini dianalisis

menggunakan analisis deskriptif. Hasil daripada tindakan yang telah dijalankan, kanak-kanak ini dapat menunjukkan nilai setiap nombor dan tahu menggunakan simbol-simbol asas matematik dengan baik. Implikasinya, kanak-kanak dapat menjawab soalan-soalan asas matematik dengan mudah. Cadangan kajian lanjut adalah dengan menggunakan cerita bersiri berkonsepkan animasi dalam membentuk pemahaman tentang operasi asas matematik dalam kalangan kanak-kanak.

Anda mungkin juga menyukai