Anda di halaman 1dari 41

MATLAMAT

Matlamat bab ini ialah untuk mendedahkan para pelajar mengenal sejarah dunia Islam
moden yang tidak mendapat liputan lengkap dalam kurikulum sejarah dan tamadun
Islam di peringkat sekolah dan pengajian tinggi iaitu dunia Islam abad ke-19.

Unit bab ini dibahagikan seperti berikut:

12.1 Pendahuluan
12.2 Persoalan Timur
12.3 Pembaharuan Ketenteraan
12.3.1 Sultan Selim III
12.3.2 Penjajahan Perancis
12.3.3 Muhammad Ali
12.3.4 Sultan Mahmud II
12.4 Tanzimat

12.4.1 Kandungan Piagam


12.4.2 Piagam Hatt-i-Humayun
12.4.3 Kesan Tanzimat
12.5 Kesimpulan

Soalan latihan

Bacaan
OBJEKTIF

• Meninjau faktor awal kelemahan dunia Islam

• Mengkaji campur tangan kuasa Barat di dunia Islam

• Mendedahkan sejarah modernisasi dunia Islam

• Mengenalpasti kesan dan implikasi penjajahan Barat dan gerakan


modernisasi
DUNIA ISLAM ABAD KE-19

12.1 Pendahuluan

Dunia Islam mula mengorak langkah ke arah pembaharuan pada akhir abad ke-18
sebagai reaksi mengatasi masalah kepincangan dan kelemahan dalaman dan luaran
dalam dunia Islam. Kesedaran ke arah memperkuatkan dunia Islam dalam
menghadapi bahaya dari dunia luar sudah lama wujud, khasnya apabila Dawlah
Uthmaniyah mula mengalami kekalahan dalam menghadapi Eropah khasnya Austria
pada akhir abad ke-17 lagi. Dakwaan kegagalan tentera Uthmaniyah menduduki kota
Vienna pada tahun 1683 setelah berjaya mengepungnya selama enam puluh hari
sebagai titik tolak kepada sejarah kebangkitan kuasa Eropah mempunyai asas yang
boleh diterima. Ini kerana peristiwa ini membuktikan bahawa dunia Eropah mampu
mempertahankan diri sendiri dari ancaman Uthmaniyah. Bahkan sebaliknya sekiranya
Vienna dapat dikuasai oleh orang Islam ia akan mengubah sejarah dunia Eropah
keseluruhannya. Andaian ini tidak keterlaluan berasaskan kemenangan Uthmaniyah
menduduki kota Konstantinople, kota terakhir Empayar Byzantium dan lambang
kemegahan agama Kristian Ortodok Timur, pada tahun 1453. Sejak itu tiada kuasa
Eropah lain yang hampir atau boleh menyaingi kekuatan Uthmaniyah. Satu demi satu
bumi Eropah dikuasai. Belgarde, ibukota Serbia dikuasai pada tahun 1456, diikuti
oleh Bosnia dan Herzegovina pada tahun 1458, Greece pada tahun 1468, Croatia pada
tahun 1469, Azov dan Crimea pada tahun 1475 dan Budapest pada tahun 1526.
sementara di Asia, Dawlah Uthmaniyah mula diterima oleh dunia Islam sebagai
khalifah Islam setelah berakhirnya khilafah Abbasiyah di Mesir apabila Mamluk
ditundukkan pada tahun 1516.

Kebangkitan kuasa Eropah mencabar Dawlah Uthmaniyah tidaklah berlaku


secara mendadak setelah mereka berjaya menyekat kemaraan tentera Uthmaniyah dari
menguasai Vienna, hasil kombinasi Austria dan Poland. Sejak dari tempoh itu selama
lima belas tahun berikutnya Austria terus menerus berperang dengan Uthmaniyah
sehingga berhasil apabila ditamatkan pada tahun 1699 melalui Perjanjian Carlowitz
dengan kelebihan memihak kepada mereka. Peristiwa ini begitu penting kepada
Eropah kerana buat pertama kali mereka mampu mempertahankan diri dari ancaman
kekuasaan Uthmaniyah di Eropah dan sejak itu Uthmaniyah pula bertukar wajah dari
‘offensive’ kepada ‘defensive’ dan Eropah pula bertindak mengancam Uthmaniyah.
Dalam Perjanjian Carlowitz, Uthmaniyah buat pertama kali akur dan terpaksa
menyerahkan wilayahnya, Hungary serta sebahagian Slovenia dan Crotia kepada
Austria, sementara sebahagian Ukraine dan Podolia kepada Poland. (Lenczowski, 82:
31). Namun kuasa Austria hanya berfungsi mengembalikan maruah mereka di bumi
mereka sendiri di Balkan dengan tidak meneruskan cabaran menggugat Uthmaniyah
di luar Balkan.

Hanya kebangkitan Rusia pada abad ke-18 betul-betul menggugat keutuhan


Dawlah Uthmaniyah secara khusus dan dunia Islam secara umum. Rusia bangkit
sebagai mewakili negara Kristian Eropah mencabar Dawlah Uthmaniyah dan dunia
Islam lain termasuk Iran. Dari segi sejarah Rusia mempunyai hubungan dengan
Byzantium apabila Ivan III, pemerintah Rusia (1462-1505) bekahwin dengan Sophia,
anak saudara Maharaja Byzantium yang terakhir. Oleh itu beliau mendakwa dirinya
sebagai pewaris Empayar Byzantium, tetapi pada tahap ini belum ada lagi tindakan
agresif yang diambil terhadap Uthmaniyah (Lenczowski, 82: 32). Hanya pada akhir
abad ke-17 sahaja barulah Rusia mula bergerak meluaskan pengaruhnya ke wilayah-
wilayah kekuasaan Islam terutamanya selepas naiknya Peter the Great yang berjaya
medapatkan Azov. Dasar agresif Rusia terhadap Uthmaniyah diteruskan pada masa
Catherine. Dalam Perjanjian Kucuk Kaynarjdi pada tahun 1774, Rusia berjaya
menebus semula maruah orang Kristian kerana bukan sahaja berjaya menguasai
wilayah Kristian di perairan Laut Hitam tetapi buat pertama kali ia menduduki
wilayah yang dihuni oleh umat Islam sendiri iaitu di Crimea. Perjanjian ini juga
memberi keizinan kepada Rusia untuk menubuhkan pejabat konsul dan dibenarkan
menjalankan perniagaan di dalam wilayah Uthmaniyah. Ia juga mengiktirafkan Rusia
sebagai penaung masyarakat Kristian Orthodoks di Moldavia dan Wallachia bahkan ia
memberi keizinan untuk pembinaan gereja Orthodoks di Istanbul. Rakyat Rusia
beragama Kristian dibenarkan dibenarkan mengerjakan ibadat haji di tanah suci
sementara Sultan pula diminta berjanji memberi perlindungan kepada rakyatnya yang
beragama Kristian.(Lenczowski, 82: 33).
Pada tahap pertama kekalahan Dawlah Uthmaniyah di Eropah dikenalpasti
berpunca daripada penyelwengan Dawlah Uthmaniyah dari tradisi mereka berasaskan
sejarah kekuatan dan kejayaan dalam menghadapi Eropah khasnya pada masa
pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni. Oleh itu sehingga akhir abad ke-18, aliran
pemikiran untuk kembali kepada tradisi dan sejarah Dawlah Uthmaniyah atau kembali
kepada Islam masih menjadi objektif dan matlamat, bahkan ittijah ini terus menjadi
pegangan ulama dan para intelek Muslim dalam menghadapi era modenisasi pada
abad ke-19 dan 20. malangnya pada tahap kedua, ittijah di atas telah dibayangi oleh
pendekatan ala-Barat yang mula mendapat tempat di Dunia Islam pada awal abad ke-
19 dan terus menjadi dominan sehingga berakhirnya sejarah keagungan Islam. Dalam
dilema ini dunia Islam secara tidak sedar telah menjadi sasaran negara Eropah
khususnya dalam episod Persoalan Timur (the Eastern Question).

12.2 Persoalan Timur

Sejak peralihan kepada dasar perluasan kuasa, Rusia berusaha untuk menduduki
wilayah-wilayah strategi yang menghala ke laut panas. Oleh itu Laut Hitam menjadi
sasaran awal dan diikuti pula dengan Selat Turki, Dardanelles dan Bosphorus.
Wilayah-wilayah ini adalah di bawah Uthmaniyah dan oleh kerana ia juga kawasan
yang strategi ia boleh mengancam kedaulatan Uthmaniyah sendiri.oleh itu negara-
negara Eropah lain merasa bimbang terhadap kebangkitan kuasa Rusia yang mungkin
akan menduduki wilayah Uthmaniyah bahkan boleh mengorbankan Uthmaniyah,
maka sejak abad ke-19 Persoalan Timur ini menjadi polisi Eropah terhadap
Uthmaniyah. Ia dapat dijelaskan seperti berikut:

“It was a story of diplomatic moves designed, in the first place, to prevent the sudden
and disorderly dissolution of Ottoman Empire and, in the second place, in case of
inevitability of such a dissolution, to secure such aqual distribution of the spoils as to
prevent the upsetting of the balance of power. More concretely, the Eastern Question
may be narrowed down to the maneuvering of various European powers to prevent
Russia from encroaching too much upon the integrity of the Ottoman
Empire”.(Lenczowski, 82: 32)
Oleh kerana Persoalan Timur berlaku dalam tempoh yang agak panjang ia
mendapat tafsiran yang berbagai-bagai bahkan mengaitkannya sebagai rentetan dari
Perang Salib. Tafsiran ini dikuatkan lagi dengan wujudnya gerakan kemerdekaan
wilayah Kristian dari Uthmaniyah yang bukan sahaja mendapat sokongan Rusia
bahkan juga negara Eropah yang lain. Gerakan pembebasan dari belenggu
Uthmaniyah ditafsirkan sebagai Persoalan Timur peringkat kedua apabila satu demi
satu negara-negara Kristian di Balkan telah mencapai kemerdekaan. Misalnya Greece
pada tahun 1832, Rumania pada tahun-tahun 1856-1878, Serbia pada tahun-tahun
1834-1878, Montenegro pada tahun 1878, dan Bulgaria pada tahun-tahun 1878-1908.

12.3 Pembaharuan Ketenteraan

Kekalahan dunia Islam dalam menghadapi Eropah terutamanya pada akhir abad ke-18
mendorong tokoh-tokoh reformis mengenalpasti bahawa masalah dalaman yang
menjadi punca sebenar kelemahan Uthmaniyah apatah lagi jika dibandingkan dengan
kekuatan dan kemajuan Eropah. Oleh itu timbullah gerakan kea rah pemodenan dunia
Islam mengikut acuan Barat. Secara umumnya, tokoh yang terlibat dalam
memperkenalkan model pembaharuan ala Barat ini adalah terdiri daripada golongan
yang diketuai oleh Sultan Uthmaniyah.

12.3.1 Sultan Salim III

Sultan Salim III (1789-1807) merupakan khalifah pertama yang


memperkenalkan model pembaharuan ala Barat. Beliau mengambil pendirian
demikian akibat daripada siri kekalahan yang melanda Dawlah Uthmaniyah ketika
menghadapi Rusia secara khusus. Tambahan pula autoriti Dawlah Uthmaniyah
sebagai sebuah kerajaan semakin tergugat. Sehingga akhir abad ke-18, kuasa dan
pengaruh Uthmaniyah di Afrika Utara hampir pupus. Di Algeria dan Tunisia, kuasa
pemerintahan berindah ke tangan pemimpin tempatan yang berasal dari tentera
Inkishariyah yang ditempatkan disitu. Di Libya pula pimpinan bertukar tangan kepada
keturunan Qaramanli. Di Mesir, Mamluk kembali semula bekuasa. Di Semenanjung
Tanah Arab juga tidak terlepas daripada wujudnya tentangan terhadap kerajaan pusat
Uthmaniyah seperti yang berlaku di Yaman. Di Baghdad dan Basrah pula, Mamluk
mengambil alih pimpinan. Begitu juga di Syria, pemimpin tempatan berkuasa.
Bahkan di Anatolia, kredibiliti pimpinan kerajaan pusat turut dipertikaikan.
Perpecahan dalam kerajaan Uthmaniyah semakin ketara apabila wilayah-wilayahnya
di Eropah mulai jatuh ke tangan kuasa Kristian seperti dalam Perjanjian Kucuk
Kaynarjdi 1774 dan Jassy 1792.

Kesan daripada suasana kekalutan dalam pentadbiran serta kelemahan system


ketenteraan tradisi uthmaniyah telah mendorong Sultan Salim III melakukan
reformasi dengan mencontohi kemajuan sistem ketenteraan Eropah. Setelah beberapa
tahun beliau menjadi Sultan iaitu pada tahun 1791, beliau meminta cadangan
pembaharuan daripada pegawai birokrasinya serta mendapat nasihat dari kalangan
orang Eropah khususnya Perancis di samping berutus surat dengan Louis XVI, (Lord
Kinross, 1977: 418). Untuk tujuan yang sama beliau telah menubuhkan kedutaan tetap
di London (1793), Vienna (1794), Berlin (1795) dan Paris (1796). (Abdul Rauh
Yaacob, 1994: 88)

Pembaharuan besar yang dilakukan oleh Sultan Salim III ialah reformasi
ketenteraan yang dikenali sebagai Nizam-i-Jadid. Sultan Salim berusaha menubuhkan
satu angkatan tentera darat yang baru yang dilengkapi dengan senjata moden. Untuk
tujuan tersebut, pusat-pusat latihan didirikan dengan bantuan tenaga mahir dari
Perancis dan dilengkapi dengan perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku
Perancis. (Lord Kinross, 1977: 418-420) Nizam-i-Jadid Sultan Salim ini dibentuk
sebagai usaha untuk megubahsuai pasukan Inkishariyah atau akan menggantikannya.
Beliau telah memperkenalkan peralatan persenjataan serta latihan ketenteraan yang
lebih baik, penyeliaan sistem pembayaran gaji dan susunan sistem ketenteraan yang
baru. Akan tetapi apabila reformasi ketenteraan yang dikenali Nizam-i-Jadid
diperkenalkan, tentera Inkishariyah bersama-sama dengan ulama tampil menentang.
Ini kerana tentera Inkishariyah khuatir mereka akan turut diserapkan dalam Nizam-i-
Jadid berasaskan perintah Sultan untuk mengenakan kerahan wajib pada tahun 1805.
Mereka bangun memberontak dan berjaya mengalahkan tentera baru. Pada tahun
1807, sekumpulan tentera sekali lagi bangun memberontak kerana enggan memakai
uniform ala Barat, lalu tentera Inkishariyah dan ulama menyokong tindakan tersebut.
Akibatnya sejumlah penasihat Sultan terkorban dan Sultan sendiri dipecat pada bulan
Mei 1807 (Abdul Rauh Yaacob, 1994: 88).
Sebab utama kegagalan program pembaharuan Sultan Salim III ialah kerana
programnya disifatkan sebagai pembaharuan yang tidak Islamik berdasarkan model
ambilannya dari Perancis, negara bukan Islam. Tambahan pula pada waktu itu
penulis-penulis Eropah masih belum lupa dengan Perang Salib dan pemerintahan
militer Uthmaniyah di Eropah, lalu mereka menulis buku menentang Islam. Ha ini
menyebabkan ulama merasa curiga terhadap segala apa yang didatangkan dari Barat.
Oleh itu pembaharuan yang berorientasikan Barat dicurigai, apa lagi kalau usaha
pembaharuan itu dilaksanakan dengan bantuan orang-orang bukan Islam. Ulama
curiga bahawa semua itu bertujuan menghancurkan Islam dan umatnya (Harun
Nasution, 1982: 18). Tambahan pula kedudukan ulama pada waktu itu begitu
berpengaruh dalam masyarakat. Bersama-sama dengan tentera Inkishariyah, ulama
bertindak menyekat program pembaharuan daripada memasuki dunia Islam.

12.3.2 Penjajahan Perancis di Mesir 1798-1801

Ketika Dawlah Uthmaniyah sedang berusaha memperbaiki kelemahan dalam


sistem ketenteraan, tiba-tiba Perancis, sahabat kepada kerajaan Uthmaniyah sendiri,
telah bertindak menduduki Mesir pada tahun 1789. Walau apa pun alasan yang
diberikan oleh Perancis seperti antara lain bahawa kedatangan mereka ke Mesir bagi
pihak kerajaan Uthmaniyah untuk mengambil Mesir dari tangan Mamluk, tindakan
menduduki Mesir telah mengejutkan dunia Islam keseluruhannya. Orang-orang
Mamluk telah menduduki Mesir sejak dua dekad sebelum kedatangan Perancis, tidak
mampu menandingi kekuatan tentera Perancis. Kerajaan Uthmaniyah terpaksa
bertindak bekerjasama dengan Inggeris bagi menghadapi tentera Perancis di Mesir.
Ternyata dengan bantuan daripada Inggeris, mereka mampu memaksa tentera Perancis
berundur dari bumi Mesir pada tahun 1801.

Kedua-dua kuasa Eropah, Perancis dan Inggeris, berlumba-lumba menyaingi


satu sama lain. Oleh itu apabila Inggeris berjaya bertapak di India dan Teluk Parsi,
Perancis cuba menyekat pengaruh Inggeris dengan menduduki Mesir. Bahkan
Napoleon sendiri menyatakan antara sebab mengapa Perancis menakluk Mesir ialah:
untuk menghidupkan perdagangan Perancis dengan Timur yang telah dimusnahkan
oleh Mamluk yang bernaung di bawah pengaruh Inggeris, untuk melumpuhkan
perhubungan perdagangan British di Timur, dan untuk menubuhkan empayar Perancis
di Timur yang akan menjadi sebuah empayar yang lebih besar dari India.

Persaingan antara kedua-dua kuasa besar ini di dunia Islam memang ketara
sekali. Sebelum kapal perang Perancis mendarat di Iskandariah, kapal perang Inggeris
sudah pun mendahului mereka bahkan sempat menyampaikan amaran pada pemimpin
Mesir kemungkinan kapal perang Perancis. (al-Jabarti 2: 165) Seterusnya Inggeris
bimbang sekiranya perancis dapat bertapak di Mesir, kedudukan Inggeris di India
akan tergugat, oleh itu Inggeris sanggup memberi bantuan kepada kerajaan
Uthmaniyah untuk mengalahkan tntera Perancis di mesir.

Kedatangan Perancis di Mesir memberi kesan kepada sejarahMesir sendiri.


Walaupun pendudukan Perancis hanya sekitar tiga tahun sahaja, namun Perancis terus
menjadi sumber inspirasi kepada pemimpin-pemimpin selepas itu terutamanya
Muhammad Ali Pasha yang telah dilantik menjadi gabenor di Mesir pada tahun 1805.
Pada ketika ini pembaharuan ala Barat tajaan kerajaan pusat di Istanbul telah
menemui jalan buntu tetapi sebaliknya di Mesir sejak 1805 memulakan proses
pembaharuan ala Barat.

Jelasnya penjajahan Perancis membuktikan kekuatan ketenteraan sebuah


negara Eropah ke atas dunia Islam yang masih tebal dengan khayalan kekuatan dan
kemajuan masa lampau mereka. Selanjutnya kehadiran Perancis berjaya membuka
mata masyarakat Islam tentang kemajuan sains dan teknologinya. Napoleon
membawa sejumlah ilmuan dalam pelbagai bidang termasuk peralatan moden dan
percetakan. Perancis juga telah menubuhkan Institut d’Egypte yang lengkap dengan
perpustakaan.

12.3.3 Muhammad Ali Pasha

Sejak dari awal perlantikannya sebagai Gabenor mesir, Muhammad Ali


berusaha ke arah mengukuhkan kedudukannya. Saingan seperti mamluk dan ulama
terpaksa ditundukkan. Kejayaan ini memberi peluang kepadanya untuk mencorakkan
Mesir seperti yang diidamkan. Muhammad Ali percaya hanya dengan kekuatan
ketenteraan bukan sahaja ia dapat mempertahankan kedudukannya bahkan mampu
menundukkan saingannya. Oleh itu program pembaharuan yang dibawa Nuhammad
Ali adalah berorientasikan ketenteraan. Sektor lain yang dibangunkan sepeti
pendidikan, ekonomi dan pentadbiran bertujuan mengukuhkan aspek ketenteraan.

Muhammad Ali mula menyusun semula angkatan tentera Mesir agar mereka
lebih berdisiplin dan pentadbirannya lebih cekap serta teratur. Hal ini penting kerana
sebelumnya, angkatan tentera yang ada sukar dibentuk atau tidak atau tidak mematuhi
arahan yang diberikan. Beliau ternyata begitu tertarik dengan disiplin angkatan tentera
Perancis pimpinan Napoleon. Ekoran daripada itu beliau cuba mendapatkan bantuan
Eropah khususnya Perancis bagi menjayakan cita-citanya. Beliau telah mengasaskan
kolej ketenteraan di Aswan untuk memberi latihan dan kemahiran kepada pegawai
tentera. Ramai jurulatih asing terutamanya dari Perancis diambil untuk berkhidmat di
Mesir seperti Kolonel Seve yang akhirnya beragama Islam. Pada tahun 1826, Mesir
mempunyai 90,000 orang anggota tentera yang lengkap dengan pasukan meriam
standing dengan Eropah.

Sebagai natijah dari program pembaharuan ketenteraannya, Muhammad Ali


berjaya mematahkan pemberontakan Wahhabi di Hijaz pada tahun 1818 M dan
mengalahkan pemberontakan Greek antara tahun-tahun 1821-1829. Kejayaan
Muhammad Ali dalam program pemodenan sistem ketenteraan mengikut model Barat
ini meyakinkan Sultan Mahmud II untuk meneruskan program pembaharuan
ketenteraan dalam kerajaan Uthmaniyah yang telah diinisiatifkan oleh Sultan Salim
III dulu.

12.3.4 Sultan Mahmud II

Mahmud II (1808-1839) diangkat menjadi sultan pada 28 Julai 1808


menggantikan Mustafa IV. Pada awal pemerintahan Sultan Mahmud II kerajaan
Uthmaniyah masih berada dalam keadaan yang tidak stabil kerana diancam oleh
peperangan dengan Rusia serta tentangan dari wilayah-wilayah yang cuba
mendapatkan kuasa autonomi. Walaupun peperangan dengan Rusia berakhir pada
tahun 1812 dalam Perjanjian Bucharest, tetapi gerakan autonomi wilayah di Eropah
masih belum dapat dipadamkan. Hal ini mendorong Sultan Mahmud II untuk
melaksanakan program pembaharuannya.

Sultan Mahmud II meneruskan pembaharuan ala Barat yang dimulakan oleh


Sultan Salim III. Akan tetapi beliau tidak tergesa-gesa memperkenalkannya kerana
menyedari adanya tentangan yang kuat dari tentera Inkishariyah yang mempunyai
hubungan yang erat dengan tarekat Bektashi yang berpengaruh dalam masyarakat dan
dari kalangan ulama yang memegang kuat tradisi umat Islam. Beliau akhirnya
menggunakan taktik tunggu dan lihat.

Terdapat beberapa faktor yang akhirnya mendorong Sultan Mahmud II untuk


memperkenalkan usaha pembaharuan ini. Antarantya ialah kelemaha sistem
ketenteraan Uthmaniyah semakin jelas dan terbukti apabila berhadapan dengan kuasa
Eropah dan Rusia di medan peperangan. Kekalahan menghadapi Perancis di Mesir
masih menghantui pemikiran dan perasaan pemerintah dan juga rakyat. Mereka
berasa bimbang, peristiwa seumpama ini mungkin akan berulang lagi. Tambahan pula
kurangnya disiplin dan moral di kalangan tentera Inkishariyah. Sebahagian daripada
mereka ingkar untuk menjalankan operasi dan sebahagian yang lain pula pada
mulanya patuh dengan arahan, tetapi kemudiannya ingkar dan meninggalkan medan
peperangan. Di samping itu juga, mereka juga menjadi pemimpin yang
mempengaruhi masyarakat menentang pemerintah. Apabila tentera Inkishariyah gagal
dalam menangani pemberontakan Greek pada tahun 1821, Sultan Mahmud bertekad
untuk memulakan program pembaharuannya.

Sultan Mahmud II melihat bahawa tentera Mesir di bawah pimpinan


Muhammad Ali Pasha jauh lebih teratur lerana tentera Mesir mendapat latihan
daripada bekas pegawai Perancis seperti Kolonel Seve (Sulaiman Pasha al-
Faransawi). Ketika tentera Mesir dikirimkan untuk menundukkan Greek, mereka
berjaya, begitu juga mereka telah membuktikan sebelumnya yang mereka berjaya
mengalahkan gerakan Wahhabi di Arabia. Susunan tentera baru inilah yang membawa
kepada kemenangan. Ini menguatkan semangat Sultan Mahmud II untuk merubah
susunan tentera Uthmaniyah.
Oleh itu sejak tahun 1822, beliau memulakan inisiatif kea rah perubahan
dalam struktur ketenteraan. Tindakan pertama Sultan Mahmud II ialah dengan
menguasai tentera Inkishariyah dan ulama. Beliau tekah meletakkan penyokongnya
mengisi jawatan-jawatan penting dalam institute keagamaan seperti Shaykh al-Islam,
kadi askar dan kadi Istanbul. Beliau juga melantik penyokong-penyokongnya sebagai
pegawai tinggi tentera. Setelah jawatan penting dalam kedua-dua institusi ini
disandang oleh penyokongnya, pada tahun 1826 Sultan Mahmud II memulakan
program pembaharuannya. Dengan bantuan sukarelawan dari Anatolia, Sultan
Mahmud II menubuhkan satu angkatan tentera yang baru yang digelar “Muallem
Eshkinji” (askar yang terlatih. Jurulatih-jurulatih tentera baru ini dibekalkan oleh
Muhammad Ali dari Mesir.

Walau bagaimanapun beliau masih berhati-hati dalam melaksanakan polisinya.


Ketika mengisytiharkan pembubaran tentera Inkishariyah dan memperkenalkan
tentera baru, beliau merujuk tentera baru ini sebagai tentera yang terlatih dan mampu
mengatasi tentera kafir Eropah. Beliau jga berhati-hati dalam pengisytiharannya
supaya tentera baru ini tidak dikaitkan dengan tentera Nizam-i-Jadid yang
diperkenalkan oleh Sultan salim III dahulu, dan dengan itu beliau terlepas daripada
tuduhan tidak Islamik. Bahkan beliau melantik pegawai pelatih terdiri daripada orang
Muslim sajhaja. Ulama juga ditugaskan dalam tentera untuk mengimamkan
sembahyang dan juga sebagai pegawai agama tentera. Lebih daripada itu fatwa telah
dikeluarkan dengan mengisytiharkan pembaharuan ini sebagai mengikut lunas syarak.
Dengan perancangan di atas, Sultan Mahmud II berada dalam keadaan bersiap sedia
bagi menghadapi risiko tentangan dari Inkishariyah (Abdul Rauh Yaccob, 1994:89).

Seperti yang dijangkakan penubuhan tentera baru ini mendapat tentangan


daripada Inkishariyah. Sebelum pertunjukan perbarisan tentera baru ini dilakukan di
ibu kota Istanbul, Inkishariyah menuntut supaya kerajaan memansuhkan pasukan
tentera baru ini. Tetapi Mahmud II sudah bersiap sedia dan dengan persetujuan ulama,
beliau mengisytiharkan perang dan mengepung pasukan Inkishariyah. Akhirnya
berlaku pertumpahan darah dan lebih kurang 1,000 orang tentera Inkishariyah
terbunuh, harta-benda, rumah kediaman dan masjid turut musnah. Tarekat Bektashi
yang mempunyai ramai anggota dari kalangan Inkishariyah dibubarkan dan
Inkishariyah dihapuskan. Dengan kehilangan tentera ini, kekuatan ulama yang anti
pembaharuan mulai lemah, maka usaha pembaharuan dalam kerajaan Uthmaniyah
abad ke-19 berjalan dengan lancar.

Di samping aspek ketenteraan, perubahan penting yang dilakukan oleh Sultan


Mahmud II dan akhirnya membawa pengaruh besar dalam perkembangan
pembaharuan kerajaan Uthmaniyah ialah dalam bidang pendidikan. Madrasah
merupakan satu-satunya institusi pendidikan umum yang penting waktu itu dan hanya
diajarkan pengetahuan agama. Sultan Mahmud II dapati sistem pendidikan seperti ini
tidak lagi mampu untik menangani permasalahan pada abad ke-19. Oleh itu
perubahan dalam kurikulum madrasah perlu dilakukan dengan memasukkan
pengetahuan umum tetapi ia masih menghadapi kesukaran. Sistem madrasah
tradisional akhirnya dikekalkan tetapi sultan telah menubuhkan sekolah baru iaitu
Maktaba-i-maarif (sekolah pengetahuan umum) dan Maktab-i-Ulum Edenji (sekolah
sastera). Di kedua-dua sekolah ini diajarkan bahasa Perancis, geografi, sejarah dan
ilmu politik di samping bahasa Arab. Sekolah pengetahuan umum mendidik siswa
untuk menjadi pegawai, manakala sekolah sastera menyediakan penterjemah-
penterjemah untuk keperluan pemerintahan. Sultan Mahmud II juga mendirikan
sekolah tentera, sekolah teknik, sekolah kedoktoran dan pembedahan. Sultan Mahmud
II juga menghantar pelajar-pelajar ke Eropah, dengan matkamat setelah kembal
mereka bertindak sebagai agen pembaharuan. Hasilnya muncullah buku-nuku
terjemahan dari peradaban moden Barat.

Pada tahun 1831, Sultan Mahmud mengeluarkan surat khabar rasmi iaitu
Takvim-i Vekayi tiga tahun setelah terbitnya akhbar rasmi Mesir, al-Waqa’i al-
Misriyah (1828). Surat khabar tidak hanya memuatkan berita dan pengumuman rasmi
pemerintah, tetapi juga memuatkan aktiviti-aktiviti mengenai gagasan progresif di
Eropah. Oleh itu akhbar ini mempunyai pengaruh besar dalam memperkenalkan idea-
idea moden kepada masyarakat disamping terjemahan buku-buku Perancis ke bahasa
Turki.

12.4 Tanzimat

Tanzimat diertikan sebagai mengatur, menyusun dan memperbaiki. Tanzimat ini


merupakan lanjutan dari usaha-usaha yang dilancarkan oleh Sultan mahmud II.
Kemunculan Tanzimat ini adalah disebabkan oleh desakan dari Negara Eropah
terhadap Kerajaan Uthmaniyah yang beragama Kristian diberi perlindungan
sepenuhnya. Sementara itu mereka juga tidak berpuas hati dengan hukuman mati
kepada warganegara yang murtad setelah memeluk Islam.

Pada umumnya Tanzimat ini dilaksanakan berdasarkan dua piagam utama


iaitu: Hatt-i Sherif Gulhane 1839, dan Hatt-i Humayun 1856. Pertama, pada 3
November 1839, Sultan Abdul Mejid (1839-1861) telah mengeluarkan dasar Hatt-i
Sherif Gulhane atau Piagam Gulhane. Dalam muqaddimahnya, piagam ini
menjelaskan mengapa perlunya kepada sebuah peraturan yang lengkap. Ini kerana
pada masa permulaan Kerajaan Uthmaniyah, syariat dan undang-undang Negara
dipatuhi, maka sebab itulah kerajaan menjadi besar dan kuat serta rakyat hidup dalam
kemakmuran. Sebaliknya sejak tahun 150 tahun lalu kemalangan dan penyelewengan
telah berlaku yang menyebabkan undang-undang sudah tidak lagi dipatuhi dan
akibatnya kekuatan dan kemakmuran rakyat bertukar kepada kelemahan dan
kemiskinan.

12.4.1 Kadungan Piagam

Antara kandungan piagam Hatt-i Sherif Gulhane ialah seperti berikut:

Pertama: Jaminan keselamatan nyawa, kehormatan dan harta benda.

Seseorang yang dituduh akan diadili mengikut syariat Islam dan hukuman
tidak akan dijatuhkan kecuali selepas perbicaraan dan pemeriksaan. Perlanggaran
terhadap kehormatan seseorang juga tidak dibolehkan. Hak milik terhadap harta
dijamin dan tiap-tiap orang mempunyai kebebasan terhadap harta yang dimilikinya.
Oleh itu hak memiliki harta oleh keluarga penjenayah tidak terhapus, begitu juga
dengan harta penjenayah tidak akan dirampas. Jaminan ini dinikmati ole semua rakyat
Uthmaniyah tanpa mengira agama atau mazhab.
Kedua: Menubuhkan sistem pungutan dan agihan cukai yang tetap dan adil
Cukai pertanian dan kerahan tenaga serta percukaian yang sewenang-
wenangnya akan dihentikan. Persoalan tentang cukai adalah satu hal yang penting.
Apa yang lebih penting ialah wang yang diperolehi dari hasil cukai tersebut
digunakan bagi melengkapkan keperluan ketenteraan dan untuk keperluan belanjawan
negara yang lain. Wang hasil pungutan cukai tersebut akan diagih-agihkan mengikut
jalan yang sesuai untuk kepentingan rakyat dan negara. Kutipan dibuat berdasarkan
harta yang dimiliki dan kemampuan seseorang.

Ketiga: Mewujudkan satu sistem yang teratur dalam pemilihan tentera bagi menjamin
keadilan khasnya dalam sistem kerahan, latihan dan sebagainya.

Sistem ketenteraan juga merupakan satu perkara yang penting. Ia merupakan


satu tugas suci bagi mempertahankan bangsa dan tanahair. Sistem pemilihan secara
paksa sehingga sekarang tidak mampu memenuhi bilangan yang diperlukan bagi
setiap tempat. Hal ini menyebabkan tidak dapat diberikan sepenuhnya apabila berlaku
rusuhan menyebabkan kerosakan dalam tanaman, perdagangan dan sebagainya.
Dengan ini perlu ditubuhkan satu sistem yang sesuai dalam pengambilan tentera, iaitu
mengikut penggal antara 4-5 tahun.

12.4.2 Piagam Hatt-i Humayun

Pada 1hb Februari 1856 diperkenalkan pula piagam Hatt-i Humayun.


Pertama: bahawa segala jaminan yang ditentukan dalam Hatt-i Sherif Gulhane dan
yang bersesuaian dengan dasar Tanzimat adalah disahkan dalam Hatt-i Humayun.
Begitu juga dengan semua keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Kristian
atau selainnya adalah juga disahkan. Sekiranya terdapat diskriminasi dengan sebab
agama, bangsa dan bahasa maka ia dihapuskan.

Di samping itu juga menyebut bahawa masyarakat Kristian dan bukan Islam
lainnya dibenarkan untuk menganut mana-mana agama dengan bebas dan tidak ada
paksaan dalam beragama. Semua rakyat tanpa mengira tanpa mengira bangsa dan
agama layak memohon dan menjawat jawatan awam, memasuki sekolah awam atau
tentera. Mereka juga boleh mendirikan sekolah-sekolah. Perkara yang timbul antara
rakyat yang berlainan agama akan diselesaikan oleh Mahkamah campuran. Manakala
prosedur mahkamah ini dibuka kepada umum.

Selain dari itu, pembaharuan juga dibuat dalam polisi kewangan seperti
pembukaan bank-bank, menubuhkan dana disamping mengadakan kemudahan
infrastruktur. Untuk mencapai tujuab ini usaha akan dibuat termasuk mendapatkan
modal dari negara Eropah. (Stavrianos, 1957:41-3).

Melalui dasar Tanzimat, pembaharuan ala Barat dilaksanakan secara meluas


dalam semua aspek: pentadbiran, pendidikan, ekonomi dan perundangan. Reformasi
perundangan telah melahirkan undang-undang baru seperti Kanun Keseksaan dan
Kanun Perniagaan dan Perdagangan Laut. Mahkamah baru juga diwujudkan untuk
menguatkuasakan kanun baru termasuk Mahkamah Perdagangan, Mahkamah
Campuran, Mahkamah Sivil dan Jenayah.

12.4.3 Kesan Tanzimat

Seperti gerakan pembaharuan Mahmud II, Tanzimat juga bertujuan


menyelamatkan Dawlah Uthmaniyah dari kelemahan sistem pemerintahan dan
pentadbiran. Walaupun begitu, Tanzimat lebih memberi tumpuan kepada masalah
rakyat yang beragama Kristian supaya mereka tidak mencari naungan dan
perlindungan dari negara luar. Namun Tanzimat dilihat sebagai satu kegagalan
terutamanya oleh gerakan Uthmani Muda yang cuba memberi alternative baru kepada
sistem politik dan pentadbiran Dawlah Uthmaniyah. Antara aspek negative hasil
program Tanzimat ialah:

Pertama: Unsur-unsur sekularisme telah mula meresap dalam pentadbiran


Dawlah Uthmaniyah. Ini disebabkan kedua-dua piagam yang menjadi dasar Tanzimat
memuatkan program sekularisasi dalam berbagai-bagai institusi termasuk
perundangan. Meskipun Piagam Gulhane menyatakan pernghargaan tinggi terhadap
syariat Islam tetapi pada masa yang sama ia memperakukan perlunya perlunya
perundangan baru. Sedangkan perundangan baru ini banyak dipengaruhi oleh Barat,
umpamanya Undang-undang Perdagangan. Selain dari itu didirikan pula mahkamah-
mahkamah syariah yang bersifat sekular, disamping mahkamah-mahkamah syariah.
Dalam sistem pendidikan pula, di samping didirikan sekolah-sekolah Rushdiye, Idadi
dan Sultani serta maktab dan universiti, ia juga memasukkan pendidikan moden yang
terpisah. Oleh itu ianya tidaklah seratus peratus Islam kerana bercampur dengan
pendidikan sekular.

Kedua: Lahirnya golongan birokrat yang pro-Barat. Ini adalah hasil


kemasukan unsure-unsur sekular dalam sistem pendidikan dan kebanyakan birokrat
pula belajar di negara-negara Eropah. Hasil dari sikap pro-Barat ini membuka pintu
kepada kemasukan pengaruh dan campur tangan negara Barat dalam soal pentadbiran
kerajaan Uthmaniyah.

Ketiga: Dalam masa Tanzimat ekonomi Dawlah Uthmaniyah terlibat dengan


sistem kapitalis. Sistem pinjaman berasaskan faedah ini membawa implikasi negative
apabila Kerajaan Uthmaniyah mulai bergantung dengan berhutang dengan bank-bank
asing. Pada mulanya hutangnya masih kecil dan faedah yang dikenakan hanyalah 3-
4% , tetapi peperangan yang berpanjangan menyebbabkan ia terpaksa berhutang
sementara kadar faedah naik dengan dengan mendadak sekitar than-tahun 1860an dan
1870an yang akhirnya membawa padah kepada ekonomi negara. Kesan langsungnya
ialah negara menghadapi zaman muflis. Secara tidak langsung pula pertambahan
cukai yang dikenakan untuk tujuan perbelanjaan yang semakin meningkat
mengakibatkan kekacauan di beberapa wilayah seperti di Bosnia dan Herzegovina
mula merebak dengan cepat ke Bulgaria yang mengambil peluang bagi membebaskan
tanah air mereka daripada pemerintahan Uyhmaniyah. Apabila kerajaan Uthmaniyah
berjaya menghapuskan rusuhan di Bulgaria, Serbia dan Montenegro pula
mengisytiharkan perang untuk kemerdekaan.

Keempat: Sikap autokratik yang diamalkan oleh sultan dan menterinya dalam
melaksanakan pembaharuan Tanzimat juga mendapatkritikan keras. Kekuasaan
mutlak Sultan bertambah setelah Sultan Mahmud II dapat menghancurkabn
Inkishariyah dan ulama. Pada masa lalu tentera ini merupakan suatu kekuatan yang
dapat mengimbangi kekuasaan mutlak juga kerana hubungan yang erat dengan
Tarekat Bektasyi yang mempunyai pengikut yang besar di kalangan masyarakat.
Sementara ulama yang tidak bersetuju dengan pembaharuan ala Barat berada di
belakang tentera. Mereka merupakan kekuatan social yang disegani Sultan, tetapi
fungsi utama menjadi lemah apabila mereka diserapkan dalam pentadbiran dan
munculnya golongan elit baru hasil dari sistem sekular mengambil alih peranan
mereka. Apabila hilangnya dua pengimbang, tentera dan ulama, kekuasaan Sultan dan
kabinetnya bertambah mutlak menggantikan kebebasan bersuara dan berhujah. Hal
seperti ini tidak dapat diterima oleh golongan intelegensia seperti Uthmani Muda.

Sejak 1860an kritikan terhadap pentadbiran Utmaniyah telah disuarakan dalam


akhbar dan majalah. Tetapi dengan munculnya kumpulan Patriotic Alliance pada
tahun 1871 yang akhirnya membentuk gerakan Uthmani Muda dua tahun berikutnya
telah secara terbuka mengkritik sistem pemerintahan yang obsolut dan mencanangkan
sistem baru yang dikenali sebagai system khalifah berperlembagaan. Sebagai hasil
dari gerakan Uthmani Muda maka pada tahun 1876 Sultan Abdul Hamid
mengisytiharkan kuatkuasanya perlembagaan baru tetapi setahun kemudian
perlembagaan ini digantungkan dan beliau kembali mentadbir Dawlah Uthmaniyah
dengan sistem khilafah tradisional yang menikmati kekuasaan autokrasi.

12.5 Kesimpulan

Menjelang abad ke-19 dunia Islam membuka lembaran baru yang dimulai dengan
penjajahan Perancis di bumi Mesir. Dengan kehadiran Perancis, Inggeris secara tidak
langsung dapat bertapak di Timur Tengah apabila wujudnya kerjasama dalam operasi
ketenteraan bersama dengan Dawlah Uthmaniyah menentang Perancis. Walau apa pun
hasilnya kedua-dua kuasa Eropah ini mula menunjukkan minat mereka untuk
campurtangan dalam pentadbiran Uthmaniyah, pemimpin dunia umat Islam.
Tambahan pula negara Islam sendiri mulai cenderung untuk mempelajari selok-belok
kebangkitan negara Eropah dan kejayaan mereka. Bertolak dari objektif menghadapi
ancaman Rusia, dunia Islam memilih untuk melaksanakan program pembaharuan
dengan mencontohi kemajuan Barat dalam semua bidang: ketenteraan, pendidikan,
pentadbiran dan ekonomi.
Gerakan reformasi ala Barat bukan sahaja mengimport budaya dan cara hidup
Barat seperti sekularisma, bahkan mengundang kuasa Barat untuk campurtangan
dalam urusan negara Islam. Mempraktis sistem ekonomi kapitalis Barat bererti
menyerah badan dan nyawa negara Islam kepada negara Barat apabila berlakunya
kesulitan. Pengalaman Mesir jelas membuktikannya. Pembabitan dalam sistem
kapitalis membawa golongan pemodal Barat menguasai ekonomi Mesir. Pinjaman
bank asing digunakan secara berleluasa dalam mengendalikan projek prasarana
termasuk pembinaan Terusan Suez. Apabila faedah gagal dibayar oleh kerajaan Mesir,
bukan sahaja terpaksa diisytiharkan bankrap bahkan Inggeris mengambil peluang ini
unuk menjajah Mesir demi menjaga kepentingan golongan kapitalis Barat dan syer
Britain dalam Terusan Suez.
LATIHAN

1. Apakah Persoalan Timur dan kesannya ke atas dunia Islam.

2. Huraikan factor kejayaan program pembaharuan ketenteraan Sultan Mahmud II.

3. Mengapakah Perancis menjajah Mesir dan apakah kesannya ke atas sejarah Mesir
Moden

4. Apakah yang dimaksudkan dengan Tanzimat dan kesannya dalam sejarah

Uthmaniyah.

BACAAN
Abdol Rauh Yaccob. 1993. Kemelut Dunia Islam Moden 1: Sejarah Campurtangan
Inggeris di Arabia dalam Perang Dunia Pertama. Bangi: Jabatan
Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

Abdol Rauh Yaccob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam. Kuala Lumpur:
DBP.

Arion, Lois A.,Mitchell, Richard P.Terj. Mohamad Redzuan Othman. 1991. Timur
Tengah dan Afrika Utara Moden. Kuala Lumpur: DBP.

Harun Nasution. 1982. Pembaharuan Dalam Islam. Jakarta: Bulan Bintang

Kinross, Lord. 1977. The Ottoman Centuries: The Rise and Fall of the Turkish Empire.
New York: William Morrow and Company Inc.

Qubacini, M.A. 1973. Letters on Turkey, part 1 & 2. New York: Arno Press.

Lenczowski, George. 1982. The Middle East in World Affairs. Ithaca and London:
Cornell University Press.

Shaw, Stanford H., Shaw, Ezel Kural. 1977. History of the Ottoman Empire and
Modern Turkey. London: Cambridge University Press.

Berkes, S.N. 1964. The Development of Secularism in Turkey. Montreal: McGill


University Press.

Lewis, B. 1961. The Emergence of Modern Turkey. Oxford: Oxford University Press.

Yapp, M.E. 1987. The Making of Modern Near East. Harlow: Longman.

Stavrianos, L.C. 1957. The Ottoman Empire: Was it the Sick Man of Europe. New
York: Rinehart & Company Inc.
BAB 13

DUNIA ISLAM ABAD

KE-20
MATLAMAT

Matlamat bab ini ialah untuk mendedahkan para pelajar mengenal episod terakhir
sejarah dan peranan umat Islam di pentas dunia yang amat penting kea rah memahami
masyarakat Islam semasa.

Bab ini dibincangkan dalam unit berikut:

13.1 Pendahuluan
13.2 Gerakan Turki Muda
13.3 Perang Dunia Pertama
13.4 Perancangan Barat di Dunia Islam
13.4.1 Perjanjian Konstantinople
13.4.2 Perjanjian London
13.4.3 Perjanjian Sykes-Pikot
13.4.4 Deklarasi Balfour

13.5 Kesimpulan

Latuhan

Rujukan
OBJEKTIF

• Memaparkan faktor langsung kejatuhan dunia Islam

• Mengenalpasti program campurangan dan penjajahan Barat di dunia Islam

• Mengkaji sejarah dunia Islam moden selepas berakhirnya sistem khilafah

DUNIA ISLAM ABAD KE-20


13.1 Pendahuluan

Pada awal abad ke-20, Dawlah Uthmaniyah telah mengalami perubahan besar dalam
sistem pemerintahan apabila berlakunya revolusi Turki Muda pada tahun 1908. Hasil
dari gerakan Turki Muda ini, bentuk pemerintahan Dawlah Uthmaniyah bertukat dari
sistem khalifah yang berkuasa mutlak kepada khalifah berperlembagaan. Perubahan
merupakan rentetan dari gerakan Uthmani Muda yang berjaya memperjuangkan
sistem khalifah berperlembagaan pada tahun 1876. Tetapi sistem baru ini hanya
dilaksanakan dalam tahun pertama sahaja apabila Sultan Abdul Hamid bertindak
menggantungkan perlembagaan dan kembali kepada system khalifah yang berkuasa
obsolut seperi sebelumnya. Hanya pada 1908, Dawlah Uthmaniyah mula
melaksanakan sistem khalifah berperlembagaan.

13.2 Uthmani Muda dan Turki Muda

Walaupun konsep pemerintahan berperlembagaan diasaskan oleh Uthmani Muda dan


diteruskan oleh Turki Muda, kedua-dua kumpulan ini adalah berbeza. Pertama,
Uthmani Muda adalah terdiri dari sekumpulan intelektual yang berpendidikan Barat
yang bekerja sebagai wartawan dan penterjemah di Biro Terjemahan di Jabatan
Perdana Menteri, tetapi masih berfahamkan keutuhan tradisi Uthmaniyah dan syariat
Islam. Antara tokoh-tokoh utama kumpulan ini ialah Nuri Bey, Nemik Kemal. Ali
Suavi, Ayatullah bey, Ziya Pasha dan Mustafa Fazil Pasha. Kumpulan ini muncul pad
antara awal 1860an dan bergerak aktif sehingga terlaksana perlembagaan pada tahun
1876. Kedua, bahawa antara sebab kemunculan Uthmani Muda ialah kerana tidak
puas hati dengan sistem pemerintahan dan pentadbiran dalam era Tanzimat yang
memperuntukkan kuasa istimewa kepada perdana menteri tanpa boleh dipersoalkan.
Tambahan pula Tanzimat lebih menjurus ke arah pembaratan dan sekularisma,
sedangkan Dawlah Uthmaniyah masih gagal mengatasi masalah gerakan
pemberontakan dan pembebasan wilayah serta campurtangan kuasa Eropah. Pada
masa yang sama sistem pentadbiran dan pemerintahan jelas menyimpang dari tradisi
Uthmaniyah apabila kuasa pengimbang, iaitu tentera dan ulama, sudah tiada. Uthmani
Muda yakin hanya dengan sistem pemerintahan berperlembagaan sahaja dapat
mengembalikan semula keagungan Uthmaniyah, bukan sahaja sistem ini telah
mengembalikan warisan Uthmaniyah bahkan ia dapat memenuhi tuntutan syariat
Islam, khususnya syura dan ijma’.

Sementara Turki Muda pula diasaskan oleh pegawai tentera pada awal tahun
1890-an. Golongan ini telah menubuhkan gerakan yang dikenali sebagai ittihad wa
teraki (Committee of Union and Progress). Kemunculan Turki Muda adalah kerana
tidak setuju dengan bentuk kemutlakan pemerintahan Sultan Abdul Hamid yang
melantik pegawai-pegawai yang korup dan menggesa supaya dilaksanakan semula
pada tahun 1908. Antara tokoh utama Turki Muda ialah Talaat, Enver, Midhat Shukru,
Ismail Canbolat, Kiasim Karabekir, Sulaymen Askeri, Putera Sabahaddin dan Djemal.
Ketika revolusi Turki Muda dilancarkan pada tahun 1908, jumlah ahlinya seramai 505
orang, iaitu 319 dari angkatan tentera sementara 186 adalah orang awam (Macfie,
1998: 20-22). Gerakan CUP akhirnya ditukarkan menjadi sebuah parti selepas
revolusi 1908 dan akhirnya memenangi pilihanraya dan memimpin Dawlah
Uthmaniyah di bawah sistem parlimen. Oleh itu pad awal abad ke-20, sistem
pemerintahan Uthmaniyah ialah khalifah berperlebagaan.

13.3 Perang Dunia Pertama

Di samping berlakunya perubahan dalam system pemerintahan, abad yang ke-20 ini
juga menyaksikan meletusnya peristiwa yanglebih besar yang telah mencorakkan
dunia Islam moden keseluruhannya. Pertama: Dawlah Uthmaniyah memasuki Perang
Dunia Pertama pada November 1914 memihak kepada pakatan Jerman-Austria-
Hungary menentang pakatan Inggeris-Perancis-Rusia. Kedua: Dawlah Uthmaniyah
menerima kekalahan seperti dalam Armistice Mudros yang ditandatangani pada
Oktober 1918.

Sejak awal lagi Inggeris telah menduga Dawlah Uthmaniyah akan


menyebelahi Jerman setelah meletusnya Perang Dunia Pertama yang meletus pada
Julai 1914. pada awal Ogos 1914, Inggeris merasa lebih yakin lagi bahawa Dawlah
Uthmaniyah akan terlibat dalam peperangan dengan memihak kepada Jerman dan
sekutunya. Misalnya, Kementerian Hal-Ehwal India (the India Office) dan
Kementerian Luar negeri (the Foreign Office) di London telah menerima pelbagai
laporan daripada pegawai-pegawai mereka di India, Mesir dan Istanbul mengenai
persediaan tentera Uthmanuyah untuk memasuki perang.

Reaksi terhadap laporan pada tahap awal ini berbagai-bagai. Gabenor General
di India mencadangkan supaya kerajaan Inggeris mengisytiharkan perlindungan ke
atas Tanah Suci ‘Mekah dan Madinah’ dari sebarang serangan (Abdol Rauh Yaacob,
1993: 6) Lord Kitchener, bekas Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Mesir, tetapi waktu itu
menjadi Menteri Perang, mencadangkan supaya mendapat pandangan daripada Sharif
Husayn, iaitu Sharif Mekah, mengenai reaksi beliau dan orang-orang Arab sekiranya
Dawlah Uthmaniyah berperang menentang Inggeris (Abdol Rauh Yaccob,1993: 6).
Kementerian Luar Negeri juga mempunyai cadangannya sendiri. Setiausaha Luar
Brirain mengarahkan Duta Inggeris di Istanbul supaya menyampaikan mesej kepada
Sultan Uthmaniyah agar mengambil sikap berkecuali dalam perang ini. Amaran ini
hendaklah dipatuhi demi menjaga kebaikan Dawlah Uthmaniyah sendiri. Sekiranya
enggan, inggeris akan menuntut dan mengisytiharkan Mesir merdeka dan dipisahkan
dari Dawlah Uthmaniyah (Walaupun Inggeris menduduki Mesir sejak 1882 lagi,
Mesir masih diiktiraf sebagai sebahagian dari bumi Uthmaniyah). Inggeris juga akan
menyokong gerakan kebangsaan orang-orang Arab membebtuk sebuah kerajaan yang
merdeka di Arabia, dan akan menduduki Tanah Suci Islam (Abdol r-Rauh Yaacob,
1993: 7).

Sekalipun cadangan yang diutarakan oleh Kementerian Hal-Ehwal India


berbeza dengan cadangan Kementerian Luar Negeri di London, begitu juga dengan
pegawai-pegawai mereka di Aden, India, Mesir dan Istanbul, namun mereka bersatu
pada dasarnya untuk menggunakan orang-orang Arab bagi menentang Dawlah
Uthmaniyah. Di Mesir, usaha memujuk Sharif Husayn dimulakan oleh Lord
Kitchener berasaskan hubungan persahabatan yang telah wujud sejak Februari 1914
lagi. Pada waktu itu timbulnya berita bahawa jawatan Sharif Mekah dari Sharif
Husayn akan berakhir. Abdullah yang mewakili ayahnya Syarif Husayn, telah
menemui Kitchener di Kaherah, bertanyakan sama ada Inggeris sanggup memberi
bantuan kepada Sharif sekiranya menghadapi masalah dengan Istanbul. Tetapi pada
ketika itu usaha Sharif Husayn tidak diberi perhatian yang sewajarnya kerana adanya
hubungan baik antara London dengan Istanbul. Tetapi apabila ada tanda-tanda yang
menunjukkan kecenderungan Dawlah Uthmaniyah untuk menyebelahi Jerman,
Kitchener mengambil peluang ini untuk memulakan hubungan dengan Sharif Husayn.
Oleh itu sejak September 1914 lagi mesej beliau telah disampaikan kepada Abdullah
melalui Milne Cheetham, pemangku Pesuruhjaya Tunggi Inggeris di Mesir. Namun
pada peringkat ini Sharif Husayn pula mengambil sikap tunggu dan lihat.

Usaha yang sama juga dibuat di barat daya Arabia bagi memujuk Imam Yahya
dan Sayyid Idrisi supaya diadakan pakatan menentang Dawlah Uthmaniyah.
Walaupun pada saat Inggeris masih belum bersedia menjanjikan sesuatu kepada
mereka, Residen di Aden diarahkan supaya menyatukan orang-orang Arab untuk
menentang bangsa Turki. “He (Sayyid Idrisi) should be encouraged to come to terms
provisionally with Imam (Imam Yahya) in order that they may be united to face the
Turks.” (Abdol Rauh Yaccob,1993: 8) Pada masa arahan ini dihantar ke India untuk
disampaikan ke Aden, permusuhan antara Dawlah Uthmaniyah dengan Rusia sudah
pun bermula yang menamatkan spekulasi Uthmaniyah apabila ia dengan jelas
menyokong Jerman menentang Rusia.

13.3 Hubungan Inggeris-Arab

Polisi menyokong orang Arab menentang Uthmaniyah atau Polisi Arab diisytiharkan
sebagai polisi utama Inggeris di Timur Tengah apabila perang diisytiharkan terhadap
Dawlah Uthmaniyah. Pada hari-hari pertama lagi pakatan Imam Yahya dan Sayyid
Idrisi menentang tentera Uthmaniyah di Yaman cuba dilaksanakan secepat mungkin.
Pada masa yang sama Inggeris menghadapi tekanan dalam menjayakan polisi Arab ini
terutamanya apabila Shaykh al-Islam telah mengeluarkan fatwa bahawa perang
sekarang ini adalah jihad dan menyeru umat Islam di mana-mana sahaja supaya
mereka mengangkat senjata menentang pakatan Inggeris-Perancis dan Rusia. Sebagai
respon terhadap fatwa Shaykh al-Islam apatah lagi ia boleh meleburkan polisi Arab,
maka Kerajaan India (the Government of India) telah mengeluarkan satu deklarasi
menjelaskan kedudukan sebenar perang yang didakwa tidak mempunyai kaitan
dengan agama, dan Inggeris berjanji akan melindungi Tanah Suci Islam dari serangan
musuh. Deklarasi di bawah ini telah dipanjangkan kepada semua pemimpin Arab di
Arabia.

“In view of the outbreak of war between Great Britain and Turkey, which to the regret
of Great Britain has been brought about by the ill-advised, unprovoked and deliberate
action of the Ottoman Government. His excellency the Viceroy is authorized by His
Majesty’s Government to make the following public announcement in regard to the
holy places of Arabia, including the holy shrines of Mesopotamia and the port of
Jeddah, in order that they be no misunderstanding on the part of His Majesty’s most
loyal Moslem subjects as to the attitude of His Majesty’s Government in this war in
which no question of a religious character is involved. These holy places and Jeddah
will be immune from attack or molestation by the British naval and military forces so
long as there is no interference with pilgrims from India to the holy places and
shrines in question. At the request of His Majesty’s Government the governments of
France and Russian have given them (the British Government) similar assurances”.
(Abdol Rauh Yaacob, 1993: 10)

Deklarasi Inggeris ini jelas bertujuan menjawab perisytiharan jihad yang


dikeluarkan oleh Dawlah Uthmaniyah. Inggeris bimbang andainya jihad diterima oleh
masyarakat Islam, kedudukan Inggeris bukan sahaja di Timur Tengah bahkan di India
dan di bumi Islam yang lain akan terjejas. Deklarasi ini juga diharapkan akan dapat
membantu mempercepat polisi Inggeris menyokong orang-orang Arab menentang
Dawlah Uthmanyah. Oleh itu Inggeris berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka di
Arabia dan di Timur Tengah yang mungkin boleh menjejaskan polisi ini. Hal ini ada
kebenarannya kerana pihak berkuasa Inggeris di Kaherah dan Aden kerap melaporkan
berita tentang keraguan yang mula timbul di kalangan orang-orang Arab mengenai
niat sebenar Inggeris di Timur Tengah. Residen Inggeris di Aden secara khusus
melaporkan bahawa serangan Inggeris di Shaikh Sa’id, sebuah pelabuhan milik
Uthmaniyah di Yaman, pada 10 November 1914, telah menimbulkan tanda Tanya
kepada orang-orang Arab. Ahmad Nu’man, Qa’immaqam Uthmaniyyah (pegawai
daerah) di Hujariyah iaitu sebuah wilayah Uthmaniyah di Yaman, telah menulis surat
kepada Sultan ‘Abdali, seorang pemerintah di Yaman Selatan yang mendapat naungan
Inggeris, menyatakan bahawa dengan serangan ke atas Shaikh Sa’id, Inggeris telah
menunjukkan keinginannya menghancurkan Islam. Oleh itu pihak Residen di Aden
mencadangkan supaya satu deklarasi yang menunjukkan sikap Inggeris yang
bersimpati dengan orang-orang Arab dikeluarkan dengan segera. Deklarasi itu juga
sepatutnya menyatakan bahawa Inggeris tidak mempunyai hajat untuk menguasai
bumi Arab. Cadangan Aden itu disetujui oleh London yang mengarahkan supaya
Aden mengeluarkan pengisytiharan seperti berikut:

“The British Government do not entertain any desire to extend the frontiers of their
territory, and feel confident that Arabs will not league themselves with Turks, who ae
the real enemies of Arab progress and welfare, against English who are determined to
maintain rights of Islam and respect holy places and who have invariably defended
Arab interests. There must at the same time be no violation of British border. In the
establishment of that peace and order which alone can further Arab prosperity and
progress the British Government count on the co-operation of Arab chiefs. If any
Arabs violate British territory and are so foolish as to join Turkish cause their
hostility will be punished by forced”. (Abdol Rauh Yaccob, 1993: 12)

Residen di Aden terus mengambil sikap berhati-hati dalam melaksanakan


polisi menyokong orang-orang Arab. Residen mencadangkan supaya tindakan
ketenteraan seperti Shaikh Sa’id hendaklah dielakkan walaupuan dilaporkan tentang
kehadiran semula tentera Uthmaniyah si situ. Residen berhujah bahawa:

“If no reinforcement can be expected I consider it is objectionable by attacking


Sheikh Said to chance raising hostilities of Arabs in the Yemen because Turks were
enabled by the last bombardment to take advantage of this to give Arabs to
understand that British now clearly wished to annex Arabian soil and proclaim Jehad
(jihad) against them. So far Arabs generally have not received Jehad (jihad) well… If
we now attack without reinforcementshaving been sent to Aden, Protectorate will be
rendered liable to attack by the Turks who will probably be able to proclaim Jehad
(jihad).” (Abdol Rauh Yaccob, 1993: 12)

Beberapa pemimpin Arab tempatan di barat daya Arabia mula menunjukkan


respon yang baik terhadap polisi Ingeris yang menyokong orang-orang Arab.
Misalnya pada 21 November 1914, Sayyid Idrisi membalas surat Residen. Beliau
menyatakan persetujuannya ke atas cadangan Residen supaya orang-orang Arab
bersatu menentang Kerajaan Uthmaniyah dan beliau berterima kasih kepada Inggeris
kerana janjinya membekalkan senjata, juga kerana pelabuhannya dibuka untuk
perdagangan. Imam Yahya, pemimpin Syiah Zaydiah di Yaman, juga telah menulis
surat kepada Sultan ‘Abdali pada 23 November 1914, sebagai jawapan kepada surat
Sultan ‘Abdali kepadanya. Imam merujuk kepada hubungan baik yang ada natara
keluarga ‘Abdali dengan Imam Zaydi pada masa lampau serta meminta kepastian dari
Sultan ‘Abdali tentang hubungan awal Imam Zaydi dengan Inggeris. Jawapan dari
Imam Yahya dianggap sebagai positif kerana Imam adalah penyokong kuat
Uthmaniyah di Yaman. Pada masa yang sama muncul seorang pemimpin baru di
Yaman, dalam wilayah Uthmaniyah, iaitu Shaykh Mawiyah yang berhasrat
mengadakan pakatan dengan Inggeris. Berdasarkan laporan di atas, Residen
mencadangkan supaya Inggeris menyokong Shaykh Mawiyah, bukan sahaja sebagai
pengganti kepada Imam Yahya yang masih kurang jelas sikapnya, tetapi juga
kemampuan Shaykh Mawiyah untuk mengawal Ahmad Nu’man, seorang aktivis
Uthmaniyah di Yaman. Cadangan dari Residen di Aden dipersetujui. Pada 19 Februari
1915 perjanjian telah diadakan dengan Shaykh Mawiyah. Beliau diminta mengusir
tentera Uthmaniyah di wilayah Ta’iz sebagai balasan atas bantuan kewangan dan janji
Inggeris untuk mengiktirafnya sebagai pemimpin yang merdeka. (Abdol Rauh
Yaccob, 1993: 14).

Pada masa yang sama, usaha untuk mengadakan perjanjian dengan Sayyid
Idrisi diteruskan. Pada 28 April 1915, satu perjanjian telah diadakan dengan Sayyid
Idrisi. Beliau ditugaskan mengusir tentera Uthmaniyah di Yaman. Sayyid Idrisi juga
diminta supaya mengelakkan diri dari bermusuhan dengan Imam Yahya supaya tidak
menjejaskan polisi menyokong orang-orang Arab. (Abdol Rauh Yaccob, 1993: 14).

Polisi menyokong orang Arab melaui bantuan kewangan, kelengkapan senjata


serta janji-janji akan bebas dan merdeka tidak mencapai tujuan dan hasrat seperti yang
dicita-citakan. Hak ini kerana Inggeris tidak mahu dan juga tidak mampu melibatkan
gerakan ketenteraan di Arabia berdasarkan kepentingan yang lebih stategik di medan
perang yang lain. Dengan hanya bantuan senjata dan wang dan janji-janji Inggeris,
orang Arab tidak mampu menghadapi kekuatan tentera Uthmaniyah apatah lagi dapat
menghalau mereka dari barat daya Arabia. Bahkan sebaliknya apabila pada bulan
April 1915, tentera Uthmaniyah bergerak menuju ke Aden dan menundukkan Shaykh
Mawiyah. Pada bulan Julai 1915, Lahej, Bandar Sultan ‘Abdali, juga turut jatuh ke
tangan tentera Uthmaniyah. Kemaraan tentera Uthmaniyah hingga hampir ke Aden
telah menukar polisi Inggeris yang hanya member galakan an sokongan orang Arab
sahaja bagi menentang tentera Uthmaniyah. Alternative kedua, iaitu penggunaan
kekuatan ketenteraan Inggeris, mula diberi perhatian.

Walaupun Aden bersungguh-sungguh meyakinkan London bahawa operasi


tentera di Lahej dan Yaman amat perlu bagi kepentingan imej Ingeris di Arabia,
namun London masih tidak memberi perhatian utama. Ini disebabkan kedudukan dan
kepentingan Yaman dan Arabia tidak sama dengan medan pertempuran yang lain.
London berhujah, “It is upon the success of our arms in the main theatre of
operations rather than upon local demonstrations that the prestige of His Majesty’s
Government depends..” (Abdol Rauh Yaccob, 1993: 15)

Walaupun kelancaran polisi Arab khususnya di barat daya Arabia terbantut,


namun kemunculan tokoh baru di Hejaz, Sharif Husayn, telah member harapan baru
dalam cita-cita Inggeris menundukkan tentera Uthmaniyah di Timur Tengah.
Hubungan dengan Sharif Husayn sebenarnya telah dimulakan sebaik sahaja perang
meletus, iaitu pada 31 Oktober 1914, apabila mesej kedua Kitchener telah
disampaikan kepada Abdullah menjanjikan bahawa sekiranya orang Arab membantu
Inggeris dalam perang ini, Inggeris akan memastikan Arabia tidak akan terancam.
Kitchener menambah, “It may be that the Arab of true race will assume the Khalifate
at Mecca or Medina and so good may come by the help of God out of all the evil that
is now occurring.” (Elie Kedourie, 1987: 52). Mesej Kitchener tentang Khalifah
sekali lagi telah dirujuk oleh McMohan kepada Sharif Husayn pada 30 Ogos 1915
beserta janji-janji kemerdekaan Arab yang terdapat dalam hubungan McMohan-Sharif
Husayn. Pengiktirafan kemerdekaan bumi Arab di bawah Sharif Husayn oleh Inggeris
ini telah membuka jalan kepada sokongan Sharif terhadap usaha Inggeris menentang
Dawlah Uthmaniyah atas nama al-‘Arabiyah pada bulan Jun 1916.

Walaupun Sharif Husayn masih yakin terhadap masa depan gagasannya


sebagai satu-satunya pemimpin Arab, tetapi beliau ragu-ragu apabila mendapati
Inggeris secara rahsia telah mengadakan perjanjian dengan pemimpin-pemimpin Arab
lain di Arabia, dengan menjanjikan kemerdekaan yang sama seperti perjanjian dengan
Ibn Sa’ud dan Sayyid Idrisi. Kewujudan pelbagai komitmen Inggeris dengan beberapa
pemimpin Arab di Arabia merupakan halangan yang besar dalam penyelesaian
Inggeris selepas perang di Arabia. Ini ditambah pula dengan kedudukan tentera
Uthmaniyah di Lahej masih kekal hingga tamatnya perang dan keengganan Imam
Yahya mengadakan perjanjian dengan Inggeris. Kekusutan ini bertambah apabila
disedari Inggeris dan sekutunya turut mengadakan perjanjian sulit kea rah membahgi-
bahagikan bumi Arab antara mereka.

14.5 Perancangan Inggeris-Perancis-Rusia di Dunia Islam

14.5.1 Perjanjian Konstantinople

Apabila sahaja Dawlah Uthmaniyah memasuki perang, pakatan Allied yang


terdiri dari Inggeris-Perancis dan Rusia bertindak merancang secara sulit untuk
menduduki bumi Uthmaniyah sepenuhnya. Persetujuan pertama telah dicapai ialah
memenuhi tuntutan Rusia apabila Perjanjian Konstantinople ditandatangani pada 18
Mac 1915. Dalam perjanjian sulit ini Inggeris dan Perancis bersetuju
memperuntukkan kota Istanbul (Konstantinople) dan persekitarannya kepada Rusia.
(Lenczowski, 1982: 75)

14.5.2 Perjanjian London

Pada 26 April 1916 pula, satu perjanjian rahsia ditandatangani di London


antara Inggeris, Perancis, Rusia dan Itali. Perjanjian ini merupakan hadiah kepada Itali
kerana hasratnya untuk memasuki perang menyebelahi tentera Allied. Antara bumi
Uthmaniyah yang dijanjikan kepada Itali ialah Kepulauan Dodecanese (di luar pantai
Anatolia) dan Libya. Dengan termeterainya perjanjian London, Itali dengan resminya
mengisytiharkan perang menentang Uthmaniyah pada 20 Ogos 1915. (Lenczowski,
1982: 76)

14.5.3 Perjanjian Sykes-Picot

Apabila tuntutan Rusia dan Itali ke atas bumi Uthmaniyah diselesaikan, maka
persetujuan seterusnya ialah bagi menyelesaikan tuntutan Inggeris dan Perancis di
bumi Uthmaniyah. Pada 16 Mei 1916, Perjanjian Sykes-Picot telah dimeteraikan.
Perjanjian ini membahagikan bumi Timur Tengah kepada penguasaan Inggeris dan
Perancis. Antara persetujuan yang dicapai dalam perjanjian sulit ini ialah:

Kawasan pengaruh bagi Perancis dan Inggeris. Ia merupakan kawasan yang


bakal ditubuhkan sebuah negara Arab yang merdeka. Kawasan ini dibahagikan
kepada A (Syria dan Mosul) yang diserahkan kepada Perancis, manakala kawasan B
(Wilayah-wilayah di antara Palestin hingga ke sempadan Iran) diserahkan kepada
Inggeris. Setiap kawasan-kawasan ini disediakan dengan seorang penasihat atas
permintaan daripada negara Arab itu.

1. Perancis diserahkan kawasan Biru, iaitu Syria dan Cilicia, manakala Inggeris pula
diserahkan kawasa Merah iaitu kawasan Iraq. Kedua-dua pihak diberi kebebasan
untuk menjalankan pentadbiran atau mengenakan kawalan di situ, sama ada
secara langsung atau sebaliknya sebagaimana yang mereka kehendaki.

2. Kawasan Coklat (Brown) iaitu Palestine akan diletakkan di bawah pentadbiran


antarabangsa. Bentuk pentadbirannya akan diputuskan kemudiannya selepas
diambil persetujuan daripada Rusia dan sekutu-sekutunya yang lain serta wakil-
wakil Sharif Husayn.

3. Kawasan-kawasan yang hanya dikhususkan kepada Inggeris. Ia melibatkan:


Pelabuhan-pelabuhan Haifa Sharif Husayn.

4. Jaminan terhadap bekalan air daripada Sungai Tigris dan Euphrates dalam
kawasan A ke kawasan B.

5. Alexandretta dan Haifa dijadikan pelabuhan-pelabuhan bebas sebagai satu


penghormatan kepada aktiviti perdagangan Inggeris dan Perancis.

6. Dalam kawasan (A), landasan keretapi Baghdad ke kawasan Selatan tidak akan
Akan dibuka hingga ke Mosul. Begitu juga dengan kawasan (B) yang ditutup
hingga ke Samarra, sehinggalah siap pembinaan landasan yang menyambungkan
kawasan Baghdad dengan Aleppo melalui pinggir sungai Euphrates.
7. Inggeris diberi hak membina, mentadbir dan memiliki landasan-landasan
keratapi yang menyambung pelabuhan Haifa dengan kawasan (B). Sebagai
tambahan, Inggeris juga diberikan hak untuk mengekalkan tentera-tenteranya di
kawasan tersebut dan dibenarkan membawa masuk tentera-tenteranya bila-bila
masa yang dikehendaki.

8. Dalam jangkamasa 20 tahun, sistem cukai Kerajaan Uthmaniyah akan dikekal-


kan dan dikuatkuasakan di kawasan Biru dan Merah sebagaimana yang
dilaksanakan di kawasan (A) dan (B), tanpa ada sebarang peningkatan dan
perubahan dari segi kadar bayarannya atau sebagainya.

9. Perancis tidak dibenarkan untuk melaksanakan sebarang bentuk perjanjian


mana-mana kuasa asing selain Inggeris dan negara Arab berhubung dengan
hak-haknya yang wujud di kawasan Biru tanpa keizinan daripada His Majesty’s
Government terlebih dahulu sebagaimana syarat yang sama dikenakan ke atas
kawasan Merah.

10. Perancis dan Inggeris bersetuju tidak akan melayan sebarang permohonan
daripada mana-mana kuasa ketiga yang cuba menyertai kedua kuasa Barat itu di
Semenanjung Tanah Arab. Walau bagaimanapun mereka tidak dihalang untuk
membuat kerjasama dalam bentuk latihan ketenteraan khususnya tentera laut di
pulau-pulau yang berdekatan dengan Laut Merah, kerana ini perlu bagi
mengawal sempadan wilayah-wilayah mereka daripada serangan Kerajaan
Uthmaniyah.

11. Perjanjian-perjanjian dengan masyarakat Arab berhubung dengan empadan-


sempadan Negara Arab (atau Penyatuan Negara-negara Arab) dibuat mengikut
saluran yang sama sebagaimana yang telah dilaksanakan sebelum itu atas nama
kedua-dua kuasa Barat.
12. Bagi kawalan ke atas aktiviti kemasukan barangan import ke kawasan orang-
orang Arab, ia akan diselenggarakan oleh kedua-dua kerajaan itu. (George
Antonius, 1969: 428-430)
Menerusi isi-isi perjanjian Konstantinople, London dan Sykes-Picot di atas, ia
bukan sahaja menunjukkan sikap talam dua muka pihak Kristian Barat seperti janji
Inggeris dengan Sharif Husayn dan pemimpin Arab yang lain, bahkan ia menampilkan
permusuhan tradisi kuasa Kristian dengan dunia Islam. Perancangan sulit di atas
merupakan rentetan kepada hubungan Kristian – Islam. Sejak lahirnya Islam
hubungan yang wujud ialah persaingan dan permusuhan antara Islam dengan Kristian.
Pertama dengan empayar Byzantium diikuti dengan Perang Salib, kejatuhan kota
Konstantinople, kejatuhan Andalus, Persoalan Timur dan Perjanjian sulit dalam
Perang Dunia Pertama.

14.6 Hubungan Inggeris-Zionis dan Deklarasi Balfour

Selain daripada wujudnya hubungan dengan orang Arab, Inggeris juga telah
mengadakan hubungan dengan orang-orang Yahudi dan Zionis. Hubungan ini adalah
dari pihak Inggeris sahaja tanpa melibatkan kuasa lain dari pakatan Allied. Hasil dari
kelicikan Zionis dan ketamakan Inggeris, maka pada 2 Nov. 1917 satu perisytiharan
dikeluarkan yang dikenali sebagai deklarasi Balfour. Deklarasi ini berdasarkan
pengakuan sokongan Inggeris secara terbuka kepada golongan Zionios dan bangsa
Yahudi. Perisytiharan ini dibuat oleh Arthur James Balfour, Menteri Luar Britain yang
ditujukan kepada Lord Rothschild. Pemimpin Zionis Britain. Deklarasi ini menyebut
bahawa:

“Dear Lord Rothschild,


I have much pleasure in conveying to you on behalf of His Majesty’s Government the
following declaration of sympathy with Zionist Jewish aspirations which has been
submitted to end approved by the Cabinet.
His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a
national home for the Jewish people and will use their endeavours to facilitate the
achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done
which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities
in Palestine or the rights and political status enjoyed by Jews in any other country.
I should be grateful if you would bring this declaration to the knowledge of
the Zionists Federations.”
(“Dengan sukacitanya saya ingin menyampaikan kepada tuan atas nama Kerajaan
Baginda satu deklarasi yang mengandungi perasaan simpati terhadap cita-cita Zionis-
Yahudi. Deklarasi ini telah diperkenalkan oleh pihak kabinet.
Kerajaan Yang Dipertuan Baginda dengan penuh simpati untuk membentuk
atau menjadikan Palestine sebagai Tanahair Kebangsaan bagi orang-orang Yahudi dan
akan berusaha pelbagai cara bagi memudahkan tercapainya objektif tersebut.
Deklarasi ini perlu difahami secara jelas supaya pelaksanaannya tidak akan
mengancam hak-hak sivil dan keagamaan golongan bukan Yahudi di Palestine dan
juga tidak mencabuli hak-hak politik golongan Yahudi di mana-mana negara pun.
Saya akan berterima kasih sekiranya tuan menyampaikan deklarasi ini kepada
Persatuan Zionis.”)

14.7 Penutup

Keterlibatan Dawlah Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama dengan memihak


kepada Jerman-Austria-Hungary menentang Inggeris-Perancis-Rusia telah merubah
sejarah dubia Islam keseluruhannya. Setelah tamat perang dengan kekalahan di pihak
Uthmaniyah-Jerman, dunia Islam telah memulakan era baru. Dalam Armistice
Mudros pada Oktober 1918, Dawlah Uthmaniyah bersetuju menyerahkan seluruh
wilayahnya di Timur Tengah untuk dibahagi-bahagikan antara kuasa Inggeris dan
Perancis. Walaupun wilayah Uthmaniyah di Timur Tengah sahaja yang diserahkan
kepada pihak yang menang, namun ibu kota Istanbul, Thrace dan Anatolia juga tidak
terlepas dari ancaman Negara Eropah dari pakatan Allied. Dalam perjanjian Paris
1920, Barat Anatolia dan Thrace dihadiahkan kepada Greece, selatan Anatolia
diserahkan kepada Itali, dan Timur Anatolia diuntukkan kepada Armenia, sementara
Istanbul pula diletakkan di bawah pengawalan antarabangsa. Campurtangan dan
pembahagian ini mendapat tentangan hebat dari masyarakat Turki Islam dan gerakan
pembebasan tanah air hingga Berjaya mengundurkan kuasa Eropah, Armenia dari
Timur Anatolia, Greek di Izmir dan kuasa Allied di Istanbul. Cita-cita Inggeris di
Palestin dan Perancis di Syria membuahkan hasil apabila perjanjian San Remo 1920
menganugerahkan mereka kuasa dengan diperakukan oleh Liga Bangsa-Bangsa.
Keadaan dan suasana di Arabia berbeza jika dibandingkan dengan wilayah
Uthmaniyah lain di Timur Tengah. Keadaan ini menyulitkan usaha Inggeris untuk
terus mengekalkan pengaruhnya di Arabia. Kerumitan suasana ini dapat dilihat
dengan meneliti usaha yang cuba diketengahkan oleh Kementerian Luar Negeri. Sejak
bulan Mac 1919, Kementerian Luar Negeri meminta pandangan pegawai-pegawainya
di Mesir, Hejaz dan Aden mengenai polisi Inggeris selepas perang di Arabia
khususnya terhadap Sayyid Idrisi dan Imam Yahya. Kementerian Luar Negeri
mencadangkan supaya Kerajaan memilih polisi yang mencuba mengelakkan pimpinan
tempatandari mencari dan mendapat sokongan kuasa asing, dan supaya satu kesatuan
Arabia dibentuk sana ada di bawah satu kuasa atau sebagai satu persekutuan. Selepas
mendapat cadangan balas dari Mesir dan Aden, Kementerian Luar Negara telah
mengeluarkan dasar ke arah perdamaian di Arabia. Arahan dari Setiausaha Luar
Negara kepada Pesuruhjaya Tinggi di Mesir adalah seperti berikut:

“You should therefore without delay dispatch Colonel Jacob to open preliminary
discussions. He should explain to the Imam that His Majesty’s Government do not
intend to interfere in internal matters but are anxious to see the separation and
discord in Arabia superceded by principles of cohesion and co-operation. They
realized that this policy can be successful only if it has the goodwill of the
autonomous rulers of Arabia through whom they propose alone to deal. Excluding the
Arab Protectorate, the autonomous rulers in question are King Husein, Imam himself,
Ibn Saud, Sultan Shehr Mokalla and the Idrisi who has late earned for himself by his
assistance during the war to the allied cause a position which His Majesty’s
Government propose to recognize.”
“With view to establishing permanent friendly relations between these rulers
His Majesty’s Government have decided to invite them to conclude simultaneous
treaties. By these they will all of them mutually recognize independence of the others
and undertake to submit all question of boundaries and other causes of dispute to
British arbitration in the first place.”
“As regards the relations between King Husein and the other overlords
Colonel Jacob should also sound the Imam making it clear that in no case will His
Majesty’s Government support any claim of one autonomous ruler expect with the
concurrence and at the desire of both parties. At present nothing should be said on
the question of relations with other powers. Colonel Jacob, if the point is raised,
should take the line that it is clearly desirable in the best interests of Arabs
themselves that they should accept the same referee and that there is no question of
any other power claiming the traditional position of His Majesty’s Government as
friend and protector of the Arabs so far as he is aware.” (Abdol Rauh Yaccob, 1993:
18)
Dengan membawa polisi tersebut, Jacob telah bertolak ke Sana’a untuk
menyampaikannya kepada Imam Yahya. Tetapi oleh kerana rombongan Jacob gagal
untuk sampai ke Sana’a setelah ditahan di pertengahan jalan, maka penyelesaian
Inggeris di Arabia menemui jalan buntu. Polisi menyokong orang Arab ternyata gagal.
Inggeris mengetengahkan polisi ini dengan matlamat jangka pendek, iaitu mendapat
kerjasama dari orang Arab bagi menentang Uthmaniyah di Timur Tengah khususnya
di Arabia. Tetapi kerjasama dan persefahaman antara pemimpin-pemimpin Arab tidak
diberi perhatian yang sungguh-sungguh. Ini kerana perjanjian di antara pemimpin-
pemimpin Arab dibuat secara berasingan. Keraguan Sharif Husayn, tentang niat
sebenar Inggeris di Arabia dan di Timur Tengah, apabila mengetahui komitmen
Inggeris terhadap pemimpin Arab lain, mempunyai asas yang kukuh. Di barat daya
Arabia usaha awal untuk memujuk Sayyid Idrisi dan Imam Yahya supaya bersatu juga
gagal. Kegagalan Inggeris memujuk Imam memihak kepadanya memberi kesan yang
lebih negative kepada penyelesaian di Arabia amnya dan barat daya Arabia khasnya.
Selepas perang tamat, kekuasaan Uthmaniyah di Timur Tengah berakhir dan
digantikan dengan penjajahan Eropah dalam bentuk kuasa mandat dan perjanjian.
Penyelesaian yang dipersetujui selepas perang, terutamanya antara Inggeris dan
Perancis mengenai dunia Islam di Timur Tengah, tidaklah berbeza dengan polisi yang
telah diputuskan ketika perang. Perjanjian San Remo pada April 1920 telah
menghadiahkan Inggeris dengan kuasa mandat di Iraq dan Palestin, sementara
Perancis pula telah diberi kuasa mandat untuk menduduki Syria dan Lubnan. Oleh itu
perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour merupakan asas penyelesaian selepas
perang.
Sementara itu negara-negara Arab lain telah diberi kemerdekaan tetapi masih
terikat dengan perjanjian seperti Mesir, Jordan dan Ibn Saud. Sebagai kesannya timbul
semangat kebangsaan yang sempit menggantikan semangat kesatuan Islam sejagat.
Negara bangsa menggantikan sistem khalifah. Inilah permulaan sejarah moden dunia
Islam dan inilah juga permulaan kemelut dunia Islam kini, natijah dari campur tangan
kuasa Eropah di Timur Tengah.
LATIHAN

1. Huraikan system khalifah berperlembagaan dalam Dawlah Uthmaniyah.

2. Mengapakah Dawlah Uthmaniyah memasuki Perang Dunia Pertama

3. Apakah yang dimaksudkan dengan Polisi Arab dalam Perang Dunia Pertama

4. Bincangkan perjanjian sulit di bawah ini:

5. Perjanjian Konstantinople

6. Perjanjian London

7. Perjanjian Sykes-Picot

8. Bincangkan hubungan Inggeris dan Zionis dalam Deklarasi Balfour

9. Apakah kesan Perang Dunia Pertama ke atas dawlah Uthmaniyah

BACAAN
Abdol Rauh Yaccob. 1993. Kemelut Dunia Islam Moden 1: Sejarah Campurtangan
Inggeris di Arabia dalam Perang Dunia Pertama. Bangi: Jabatan
Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

Antonious, George. 1938. The Arab Awkening. New York: H. Hamilto.

Kedourie, Elie. England and the Middle East: The Destruction of the Ottoman Empire
1914-1921. London: Bowes & Bowes.

Lenczowski, George. 1982. The Middle East in World Affairs. Ithaca and London:
Cornell University Press.

Macfie, A.L. 1998. The End of the Ottoman Empire 1908-1923. London & New York:
Longman.

Yapp, M.E. 1987. The Making of Modern Near East. Harlow: Longman.

Anda mungkin juga menyukai