Anda di halaman 1dari 10

Madah gapo?

()

PENSYARAH :

DISEDIAKAN OLEH : SITI ZAEIDAH BT SULONG @ ZAKARIA ( 027986 )

IJAZAH SARJANA MUDA USULUDDIN DENGAN KAUNSELING SEMESTER 4 ( 2011/2012 ) FAKULTI KONTEMPORARI ISLAM

PENDAHULUAN Pada masa kini, bidang psikologi menjadi bidang yang sangat penting dalam mencari sebab dan musabab berlakunya kehidupan manusia seperti tingkah laku dan sifat-sifat yang ditunjukkan oleh manusia. Bersesuaian dengan maksudnya, Psyche adalah bermaksud jiwa dan Logos berertikajian tentang sesuatu. Untuk itu secara umumnya psikologi ini boleh diertikan sebagai satu kajian mengenai tingkah laku manusia yang dibuat secara sistematik dan saintifik. Ia juga merupakan satu displin ilmu yang mengkaji pemikiran, sikap, perasaan,naluri, kecerdasan, keperluan dan tindak balas manusia terhadap rangsangan persekitaran sosial. Menurut Davidoff (1976), menjelaskan bahawa psikologgi adalah kajian saintifik tentang tinkah laku manusia atau haiwan secara nyata dan berselindung yang mana ia dapat dikaji dan diukur seperti kajian perkembangan terhadap kanak-kanak menghisap jari, merangkak, meniarap dan seterusnya berjalan. Bidang psikologi ini perlu dikuasai oleh para guru kerana ilmu ini mempunyai hubung kait yang rapat dalam pembelajaran mereka. Sebelum ini, bidang psikologi ini sangat mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ramai para tokoh lahir dengan memperkenalkan teori masing-masing seperti Sigmund Freud, Jean Piaget, Albert Bandura dan ramai lagi. Kertas kerja ini akan membincangkan perbezaanperbezaan diantara teori Jean Piaget dan juga teori Vygotsky tentang perkembangan kanakkanak. Kedua-dua tokoh ini mempunyai pengaruh yang kuat sehingga pada hari ini, teoriteori mereka ini masing diguna pakai oleh pakar-pakar psikologi.

LATAR BELAKANG JEAN PIAGET Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist." Beliau mendapat Ijazah Kedoktoran Falsafah (biologi) pada umur 25 tahun , tetapi selepas itu, beliau menumpukan perhatiannya kepada kajian perkembangan kognitif kanak-kanak. Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian kecerdasan mental. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah lebih memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanakkanak yang mana beliau telah membahagikan kepada empat peringkat iaitu : Peringkat Deria Motor (0-2 tahun), Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun) , Peringkat Operasi Konkrit (7-12 tahun) , Peringkat Operasi Formal (selepas 12 tahun). Setiap peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak merupakan faktor penting yang mempengaruhi pembentukan konsep, sama ada konkrit atau abstrak. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun, 1981.

LATAR BELAKANG VYGOTSKY Nama sebenar beliau adalah Lev Semyonovich Vygotsky. Beliau telah dilahirkan di salah satu Bandar yang bernama Tsarist yang terletak di Russia pada 17 November 1896 dan beliau juga merupakan seorang yang berketurunan Yahudi. Vygotsky mula tertarik pada bidang psikologi ini pada usia 28 tahun yang mana sebelum itu, beliau lebih meminati dunia satera. Pada mulanya beliau merupakan seorang guru sastera di sebuah sekolah, namun pihak sekolah telah memintanya untuk mengajar dalam subjek psikologi. Padahal pada waktu itu, beliau langsung tidak pernah mempelajari secara formal pendidikan psikologi di Universitinya. Namun, itulah yang menjadi titik permulaan dengan menjadikan beliau tertarik pada bidang psikologi ini hingga akhirnya beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang psikologi di Moscow pada tahun 1925 dan telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul Psikologi of Art. Beliau hidup sezaman dengan Jean Piaget namun perkembangan pemikirannya semakin meluas selepas kematiannya. Vygotsky meninggal dunia dalam usia yang sangat muda iaitu pada umur 37 tahun setelah menderita dengan penyakit TBC. Dalam teori yang dikemukakan beliau ialah penekannya dalam interaksi antara aspek internal dan external dalam aspek pembelajaran sosial.

PERBEZAAN TEORI JEAN PIAGET DAN LEV VYGOTSKY Walaupun kedua-dua teori ini membincangkan tentang teori kognitif kanak-kanak,namun teori mereka ini masih mempunyai perbezaan-perbezaan dan pendapat masing-masing. Terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikaitkan antara dua teori ini antaranya ialah konsep yang diguna pakai, gaya berfikir, dan ciri-ciri dalam teori-teori ini. dalam karangan seterusnya akan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan teori dua tokoh besar ini. DARI SEGI KONSEP Dalam perkembangan kognitif kanak-kanak ini, jean Piaget ini lebih menekankan pada proses-proses yang dipanggil proses mencapai keseimbangan. Menurut beliau, kanakkanak perlu melalui proses-proses tersebut dalam memastikan perkembangan mereka tidak terbantut. Terdapat empat proses yang diperkenalkan oleh Jean Piaget antaranya ialah skema, adaptasi, asimilasi, dan akomodasi. Dalam mencapai dan menjalani proses tersebut, pengalaman setiap kanak-kanak merupakan item penting kerana pengalaman itulah yang akan membentuk satu sistem yang dipangil skema. Menurut Piaget juga, proses penyusunan dan pembentukan skema ini dipanggil sebagai Organisasi. Skema-skema ini akan digunakan oleh individu apabila mereka berdepan sesuatu masalah atau situasi yang memerlukan penyelesaian. Misalnya kanak-kanak yang membina skema bahawa setiap yang bertayar empat adalah kereta. Dengan itu apabila mereka melihat bas, mereka juga akan mengganggap bas itu adalah kereta. Apabila diterangkan hal sebenar, kanak-kanak tersebut boleh mengalami kekeliruan dan akan mencuba membina skema baru dalam otaknya. Proses perubahan skema lama kepada baru ini dipanggil proses adaptasi yang mana ia berkait dengan proses asimilasi dan proses akomodasi. Asimilasi berlaku apabila kanak-kanak tersebut cuba untuk memahami pengalaman baru dan cuba untuk menyesuaikan pengalaman-pengalaman dengan skema yang telah sedia ada. Mereka ini akan memadankan pengetahuan baru dengan pengetahuan yang sedia ada. Manakala akomodasi ini pula merupakan proses yang berlaku apabila kanak-kanak tersebut dapat menukarkan skema yang lama untuk disesuaikan dengan pengalaman baru dan seterusnya mengaplikasikan skema baru tersebut. Dengan proses-proses ini akan memberi keseimbangan dalam diri kanak-kanak tersebut dalam meningkatkan proses perkembangan mereka.

Berbeza dengan Vygotsky yang mana beliau tidak mempunyai proses-proses Seperti yang dikatakan oleh Piaget di atas sebaliknya beliau lebih menekankan bahawa bahasa merupakan alat mental yang penting dalam perkembangan kanak-kanaknya. Hal ini adalah kerana dengan adanya bahasa akan menyebabkan penyelesaian masalah akan berlangsung dengan sendirinya. Bagi Vygotsky, beliau menekan pada dua konsep iaitu zon perkembangan proksimal dan konsep Scaffolding. Konsep zon perkembangan proksimal merupakan istilah yang digunakan oleh Vygotsky untuk menerangkan bagaimana kemahiran-kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak boleh dijayakan dengan bantuan dan bimbingan orangorang dewasa atau rakan sebaya yang lebih mahir. Terdapat dua had dalam zon ini iaitu had atas dan had bawah. Had atas merupakan peringkat kemahiran kanak-kanak yang boleh dicapai dengan bantuan orang yang lebih mahir manakala had mahir pula ialah kemahiran yang boleh dicapai sendiri oleh mereka. Walaupun mereka ini mempelajari sendiri beberapa konsep melalui pengalaman sehari-hari mereka,namun Vygotsky percaya bahawa mereka ini jauh lebih berkembang jika berinteraksi dengan orang lain. Dalam konsep Scaffolding pula ia bermaksud mengubahsuai tahap sokongan yang diberikan dan berkait dengan rapat dengan zon perkembangan proksimal. Scaffolding adalah memberikan bantuan yang besar kepada kanak-kanak dalam tahap-tahap awal pembelajaran dan kemudian mengurangi bantuan tersebut dan memberikan kesempatan kepada mereka untuk melakukan sendiri sesuatu pembelajaran tersebut. Vygotsky berpendapat bahawa komunikasi dengan diri sendiri juga boleh dijadikan salah satu perkembangan kanak-kanak yang bagus kerana ia dapat mengawal tingkah lakunya sendiri. Malah kanak-kanak yang sering bercakap sendiri lebih cekap dalam kemahiran social berbanding kanak-kanak yang tidak berkomunikasi dengan dirinya sendiri dan kajian telah mendapati mereka yang lebih banyak berkomunikasi dengan diri sendiri akan memberikan impak yang lebih positif terhadap diri mereka kelak. Ini menunjukkan konsep zon perkembangan proksimal dan zon scaffolding saling berkait antara satu sama lain sehingga menjadikan ia satu teori pembelajaran sosial yang digunakan pada hari ini.

PERBEZAAN PERINGKAT ANTARA TEORI PIAGET DAN VYGOTSKY. Terdapat beberapa peringkat dalam perkembangan kognitif Jean Piaget antaranya ialah tahap sensorimotor yang berlaku pada awal kelahiran kanak-kanak sehingga berusia dua tahun. Peringkat ini merupakan situasi yang baru bagi kanak-kanak dalam perkembangan kognitif mereka yang mana mereka menggunakan deria dan pergerakan fizikal untuk mempelajari tentang persekitarannya. Skema-skema yang terbentuk adalah hasil interaksi fizikal bayi dan persekitarannya. Misalnya perbuatan mengenggam tangan, bayi akan mengenggam apabila diberi sesuatu objek pada tangannya untuk proses pengecaman tekstur permukaan objek yang ada pada tangannya dan proses ini akan meningkatkan maklumat bayi terhadap objek melalui pengalamannya yang pernah memegang objek tersebut. Peringkat sensori motor juga merupakan peringkat yang mana kanak-kanak akan melakukan imitasi iaitu proses peniruan terhadap tingkah laku yang dilihat atau diperhatikan. Misalnya mereka akan meniru perlakuan orang sekelilingnya yang melambai tangan. Aktiviti ini adalah pada umur kanak-kanak sekitar 1 hingga 4 bulan. Pada umur 4 hingga 8 bulan pula, kemahiran kanak-kanak untuk duduk dan mencapai semakin meningkat. Mereka juga akan memanipulasikan objek yang ada di sekitarnya. Walau bagaimanapun, mereka masih lagi terikat pada tingkah laku yang telah diulang sendiri bukan kemahiran yang baru. Tahap ini bermula dari awal kelahiran hingga 2 tahun. Tahap yang kedua pula dikenali sebagai tahap praoperasi yang mana kanak-kanak berusia dari umur 2 hingga 7 tahun. Kanak-kanak yang berada pada tahap ini mula menggunakan symbol dalam permainan misalnya seperti mengandaikan sudu sebagai kereta apabila ditolak ke lantai. Hal ini menunjukkan kualiti pemikiran mereka ini masih di tahap yang rendah berbanding orang dewasa. Piaget juga mengatakan proses kanak-kanak akan menjadi sempurna dengan beberapa asas yang berlaku seperti kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira dan melalui latihan yang diulang itu menjadi satu rangkaian tingkah laku yang kukuh dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema yang stabil. Bukan itu sahaja, Piaget juga mengataan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan pengamatan, ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara ingatan pula mengenai satu proses pembinaan dan pengumpulan peristiwa lalu dan bayangan pula bermaksud satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik (daripada pandangan dan pendengaran) yang

dikumpulkan di bahagian mental. Terdapat dua bahagian dalam tahap ini iaitu tahap prokonseptual dan tahap pra-operasi yang mana pada tahap-tahap ini, kanak-kanak masih tidak dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama kerana mereka tidak dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran mereka. Tahap yang seterusnya ialah operasi konkrit iaitu berlaku pada umur kanak-kanak 7 tahun hingga 11 tahun. Mereka akan mula ingin mengetahui tentang sesuatu yang menarik minat mereka. Semangat inkuiri ini seterusnya akan berkembang menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain. Mereka juga akan mula bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan memasuki zaman persekolahan. Peringkat yang terakhir ialah tahap operasi formal yang berlaku pada usia 11 tahun keatas yang mana pada masa ini kanak-kanak mempunyai kebolehan dalam memikirkan beberapa pertimbangan bagi sesuatu masalah dan dapat berfikir secara abstrak. Justeru itu, mereka dapat menyelesaikan masalah kompleks yang melibatkan operasi abstrak. Hal ini berbeza dengan teori Vygotsky yang mana beliau tidak menekankan tahaptahap yang dikatakan dalam teori Piaget di atas. Beliau lebih banyak menekankan aspek pembangunan sosial dan budaya. Beliau juga menekankan proses-proses perkembangan mental seperti ingatan, pemerhatian, sistem matematik dan alat-alat dalam proses mengingat sesuatu perkara. Sejak dilahirkan lagi,kanak-kanak telah didedahkan dengan bahasa dan komunikasi. Tangisan bayi yang baru lahir juga menurut Vygotsky merupakan satu bahasa yang mana ketika bayi tersebut menginginkan sesuatu daripada ibunya. Dan daripada perkembangan yang berlaku di sekitarnya akan menjadikan kanak-kanak tersebut dapat menguasai bahasa dari masa ke semasa. Bukan itu sahaja, Vygotsky juga turut memfokuskan pada perkembangan mental yang mana perkembangan ini sangat penting dalam menentukan perkembangan kognitif kanak-kanak. Hal ini adalah kerana dalam perkembangan kognitif sangat melibatkan keadaan mental kanak-kanak tersebut dalam proses pembesaran mereka akan mempunyai satu kebolehan pada masa mereka membeesar iaitu dapat meneyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan mereka.

PERSAMAAN ANTARA TEORI PIAGET DAN VYGOTSKY Dalam perbandingan di antara dua teori ini mendapati pelopor kedua-dua teori ini iaitu Jean Piaget dan Lev Vygotsky ini mempunyai matlamat dan fungsi teori yang sama iaitu mereka ini cuba untuk menjelaskan pada generasi selepas mereka berkenaan dengan perkembangan kognitif menurut pandangan masing-masing.

KESIMPULAN Apa yang dapat disimpulkan dalam kertas kerja ini ialah perbezaan antara kedua-dua teori ini hanyalah pada konsep dan peringkat-peringkat dalam teori masing-masing. Teori yang mereka perkenalkan ini adalah berdasarkan dengan kajian-kajian dan hasil daripada penelitian mereka sendiri. Piaget terkenal dengan konsep yang terdiri daripada skema, adaptasi, asimilasi, dan akomodasi. Bukan itu sahaja, peringkat-peringkat yang diperkenalkan oleh beliau juga turut dijadikan garis panduan bagi pengkaji pada masa kini. Begitu juga dengan Vygotsky yang terkenal dengan konsep zone perkembangan proksimal dan konsep scaffolding. Dalam membahaskan perbezaan antara dua teori ini, persamaan antara teori ini juga turut diperjelaskan namun tidaklah secara menyeluruh. Yang hanya dijelaskan ialah persamaan mereka dalam bentuk matlamat kajian meraka sahaja. Namun begitu tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka juga telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada dunia psikologi dan juga dalam bidang pembelajaran kerana dengan teori-teori inilah yang dapat menolong para pendidik dalam memahami dan mendapat gambaran awal tentang tingkah laku atau kognitif kanak-kanak pada masa kini.

PENUTUP Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, bidang psikologi pada masa kini sangat penting untuk mencapai objektif yang betul dalam kehidupan kita sama ada dari aspek pembelajaran atau dari aspek pengaplikasian dalam bidang kerjaya masing-masing. Kebiasaanya bidang psikologi ini banyak dikaitkan dengan proses pembelajaran dalam profession perguruan. Sesuai dengan arus permodenan hari ini, kanak-kanak pada masa kini juga semakin bijak dalam aspek kognitif dan behavior, untuk itu guru-guru atau pelatih pengajar juga perlu bijak dalam mengawasi atau mengawal sesuatu yang melibatkan kanak-kanak ini. terdapat banyak lagi teori-teori yang boleh dikaji atau dipraktikal secara khusus dalam menangani isu kanakkanak yang bermasalah atau untuk mengenalpasti permasalahan pelajar dalam pembelajaran. Namun begitu teori-teori dalam psikologi Islam juga harus diterapkan bagi menyeimbangkan lagi pembelajaran tersebut. Selaku pengajar, aspek atau nilai-nilai Islam tidak boleh ditinggalkan kerana iai merupakan item yang penting untuk menguatkan rohani kita dalam pembelajaran akan datang.

Anda mungkin juga menyukai