Anda di halaman 1dari 10

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

APLIKASI TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PERKHEMAHAN PENDIDIKAN LUAR UPSI

MD AMIN BIN MD TAFF Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris amin@upsi.edu.my

Program Pendidikan Luar adalah program yang dilaksanakan di alam semulajadi yang jauh dari arus kemodenan. Program ini memberikan penumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran kemahiran tradisional seperti berkhemah, mendayung, mendaki, berenang, snorkeling dan menjelajah. Sehingga kini program ini masih mengamalkan konsep tradisional dan meminimumkan kesan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Situasi ini wujud lantaran tanggapan bahawa penggunaan teknologi mungkin akan mendatangkan kesan yang agak negatif kepada pengamal pendidikan luar yang kebanyakannya mencari ketenangan di alam semulajadi.

Sesetengah penggiat pendidikan luar menolak aplikasi teknologi dalam program pendidikan luar kerana bertanggapan bahawa teknologi bakal mengundang kesan negatif dalam program yang dijalankan. Antara alasan yang digunakan untuk menolak aplikasi teknologi ini ialah: 1. Penggunaan teknologi bertentangan dengan falsafah dan konsep pendidikan luar. Pendidikan luar merupakan suatu bidang yang berfokuskan kemahiran tradisional atau primitif yang melibatkan aktiviti seperti mendaki, menjelajah dan mendayung yang dijalankan di alam semulajadi. Ia diprogram khusus jauh dari arus kemodenan agar manusia dapat mengecapi nikmat kebebasan, jauh dari pencemaran, berdikari dan mendekatkan diri kepada alam sekitar. Aplikasi teknologi kelak dianggap bakal mengganggu ketulenan pengalaman individu di

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

alam semulajadi dan bercanggah dengan falsafah kehidupan primitif pendidikan luar.

2.

Mungkin akan mewujudkan sindrom pergantungan kepada teknologi Sesetengah pihak berpendapat bahawa aplikasi teknologi dalam pendidikan luar mungkin akan mewujudkan suatu sindrom pergantungan kepada teknologi. Senario ini mungkin akan mengakibatkan individu malas mencari pelbagai maklmat berguna yang banyak terdapat di alam semulajadi. Sindrom ini kelak bakal mengganggu kreativiti berfikir dan proses membuat keputusan dalam situasi kecemasan. Contohnya aplikasi telefon bimbit dalam pendidikan luar mungkin menyebabkan individu mengambil sambil lewa prosedur keselamatan yang seharusnya dipatuhi kerana percaya bahawa pasukan penyelamat boleh dihubungi dengan cepat dan mudah dengan teknologi telefon bimbit.

3.

Peningkatan kos dan jangkamasa penyelenggaraan Pelbagai peralatan teknologi yang digunakan dalam aktiviti pendidikan luar seharusnya tahan lasak dan sesuai digunakan dalam sebarang keadaan cuaca. Faktor ini pastinya melibatkan kos pembelian yang tinggi berbanding peralatan yang digunakan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, peralatan ini juga perlu kerap diselenggara dan dibaik pulih bagi menjamin jangka hayat penggunaannya. Kesemua faktor ini akan mengakibatkan kos yang tinggi dan jangkamasa penyelenggaraan yang panjang seterusnya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dalam perkhemahan pendidikan luar.

4.

Keadaan alam semulajadi dan cuaca yang mencabar Alam semulajadi merupakan halaman utama aktiviti perkhemahan pendidikan luar. Bentuk muka bumi yang mencabar seperti banjaran gunung dan sungai yang berarus deras serta keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan aplikasi teknologi dalam perkhemahan pendidikan luar. Selain terpaksa membawa peralatan teknologi tersebut (contohnya telefon satelit dan komputer

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

bimbit), penggiat pendidikan luar juga perlu membawa bateri dan alat ganti tambahan bagi memastikan alatan ini boleh berfungsi dengan baik. Bebanan tambahan ini pastinya akan meningkatkan lagi perbelanjaan aktiviti serta melambatkan sesebuah ekspedisi pendidikan luar.

5.

Pencemaran alam semulajadi Ramai penggiat pendidikan luar bertanggapan bahawa aplikasi teknologi dalam pendidikan luar kerap mengundang pencemaran alam semulajadi. Di Amerika Syarikat, akibat desakan syarikat insurans dan pihak penyelamat, penggiat pendidikan luar dimestikan membawa alatan perhubungan. Implikasi peraturan ini telah menyebabkan antenna pemancar telekomunikasi dibina di puncak gunung. Proses pembeinaan antenna ini pastinya melibatkan penarahan bukit, penebangan hutan dan pembersihan kawasan yang mencemarkan alam semulajadi serta menjelekkan mata pengunjung.

Walaupun aplikasi teknologi dalam program perkhemahan pendidikan luar mendapat kritikan hebat, terdapat ramai penggiat pendidikan luar yang berpendapat sebaliknya. Golongan ini berpendapat bahawa aplikasi teknologi boleh memperkayakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam perkhemahan pendidikan luar. Selain itu, golongan ini berpendapat bahawa pendidikan luar tidak seharusnya mewujudkan ilusi dualism dalam kehidupan manusia. Sekiranya teknologi merupakan sebahagian dari kehidupan manusia moden, tiada salahnya jika ia diaplikasikan dalam program pendidikan luar. Penggiat pendidikan luar ini percaya bahawa aplikasi teknologi dalam perkhemahan dapat memberikan kesan positif seperti berikut:

1.

Merangsang proses pengajaran dan pembelajaran. Akibat sistem pendidikan yang semakin berokuskan akademik, aktiviti pendidikan luar hanya dapat dijalankan dalam jangkamasa yang singkat (hujung minggu). Akibatnya program pendidikan luar tidak dapat dijalankan jauh di alam semulajadi atau banyak masa yang terpaksa dihabiskan dalam

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

perjalanan. Sehubungan itu, aplikasi teknologi seperti tayangan video dan slaid dapat membantu pengayaan pengalaman murid serta merangsang proses pengajaran dan pembelajaran walaupun perkhemahan tersebut dilaksanakan di perkarangan sekolah.

2.

Alatan perhubungan dan kecemasan Karl (1999) berpendapat bahawa aplikasi teknologi seperti telefon bimbit merupakan alatan perhubungan kecemasan yang berkesan. Di Amerika Syarikat, hampir 80% operasi menyelamat di kawasan pergunungan dibantu oleh panggilan telefon bimbit. Sehubungan itu, ia telah terbukti berkesan sebagai alatan kecemasan selain ringan dan mudah dibawa. Teknologi telefon bimbit dalam pendidikan luar juga membolehkan individu mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan semasa walaupun berada di puncak gunung. Selain itu, proses menghantar berita juga boleh dilakukan dengan cepat dan mudah seperti kejayaan Dato Azhar Mansur dan Mohd Muqarabbin mengelilingi dan menakluki puncak dunia.

3.

Mengatasi masalah kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran yang semakin berkurangan di alam semulajadi. Ford (1986) menegaskan bahawa salah satu konsep pendidikan luar ialah learning in, about and for the outdoors. Konsep ini menegaskan bahawa alam semulajadi memiliki pelbagai khazanah ilmu yang boleh dijadikan sumber pengayaan pengajaran dan pembelajaran pelajar. Walau bagaimanapun, senario di atas mungkin telah berubah masakini. Akibat arus pemodenan dan pembangunan yang tidak terkawal, sumber alam semulajadi semakin terhad. Ini sekaligus mendatangkan masalah kepada penggiat pendidikan luar untuk mencari kawasan perkhemahan yang kaya dengan hasil pembelajaran semulajadi. Aplikasi teknologi pendidikan speerti tayangan video, elearning dan carta pembelajaran boleh membantu mengatasi masalah ini selain membentuk kefahaman dan merangsang proses pengajaran dan pembelajaran individu.

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

4.

Melahirkan masyarakat celik IT dan teknologi Era perubahan dari zaman industri ke zaman teknologi maklumat telah berlangsung seawal tahun 80an. Kini IT dan teknologi merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian manusia. Bagi mengelakkan pendidikan luar terpinggir dari arus pendidikan perdana, ia seharusnya menggalakkan penggunaan teknologi dalam programnya. Tambahan pula, aplikasi IT dan teknologi dalam perkhemahan pendidikan luar bakal melahirkan pelajar yang celik IT dan teknologi yang kelaka bolh mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

5.

Menjimatkan kos dan masa Jika golongan yang menentang aplikasi teknologi dalam pendidikan luar mempertikaikan pembaziran kos dan masa, aplikasi teknologi juga sebenarnya menimatkan kos dan masa dari suatu sudut lain. Contohnya program pendidikan luar melibatkan proses tinjauan lokasi yang panjang khusus untuk mengenalpasti lokasi yang selamat dan sesuai untuk aktiviti yang akan dijalankan. Proses ini kerap melibatkan kos yang tinggi dan jangkamasa yang panjang akibat kawasan rekreasi atau alam semulajadi yang semakin terhad. Sehubungan itu, aplikasi teknologi dapat menjimatkan kos dan masa tersebut malah boleh memberikan pelajar pengalaman yang hampir sama dengan pengalaman sebenar.

Berdasarkan debat di atas, jelas terdapat dua golongan penggiat pendidikan luar yang mempunyai fahaman berbeza terhadap aplikasi teknologi dalam pendidikan luar. Sebagai salah seorang penggiat yang telah berkecimpung selama hampir 20 tahun dalam bidang pendidikan luar, penulis percaya bahawa aplikasi teknologi lebih banyak mendatangkan kesan positif dari negaif. Selain merangsang proses pengajaran dan pembelajaran, aplikasi teknologi dalam pendidikan luar juga dapat membantu proses menyelamat, mengatasi masalah bahan pengajaran dan pembelajaran semulajadi yang semakin terhad dan menjimatkan masa dan kos

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

tinjauan. Kesan negatif sewaktu mengapliikasikan teknologi dalam pendidikan luar pula boleh diminimakan dengan mewujudkan prosedur kawalan yang sistematik dan penerangan yang jelas kepada peserta.

PERKHEMAHAN PENDIDIKAN LUAR UPSI DAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN Sebagai salah sebuah universiti yang sedang pesat berkembang, UPSI tidak ketinggalan dalam mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran para mahasiswa/inya. Pelbagai kemudahan ICT telah dibangunkan di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim. Penubuhan Pusat ICT, emanagement dan elearning serta penggunaan kad bercip telah diperkenalkan khusus untuk membolehkan UPSI bersaing untuk menjadi salah sebuah universiti yang bertaraf dunia.

Program pendidikan luar UPSI juga tidak ketinggalan dalam menyahut seruan kepenggunaan telnologi pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Selain menggunakan pelbagai jentera (generator elektrik dan air), program pendidikan luar UPSI juga menggunakan pelbagai alatan teknologi pendidikan yang canggih bagi merangsang proses pembelajaran mahasiswanya.

Selaras dengan hasrat aplikasi teknologi dalam perkhemahan pendidikan luar, UPSI telah merangka program perkhemahan yang dijalankan berpusat di alam semulajadi selama 14 hari. Kaedah ini dapat menjimatkan kos dan jangkawaktu pemindahan peralatan serta dapat meminimkana kerosakan peralatan akibat proses pemindahan yang terlalu kerap atau tidak cermat.

Lokasi yang kerap dipilih adalah Pulau Singa besar, Langkawi; Taman Laut Pulau Redang, Terengganu; dan Teluk Sekadeh, Pulau Pangkor kerana lokasi ini merupakan alam semulajadi yang terletak berhampiran dengan kemodenan dan dilengkapi dengan bekalalan elektrik dan air bersih. Selain hampir dengan pusat kecemasan seperti baial polis dan hospital, lokasi ini juga terletak dalam zon lingkungan liputan telefon dan internet.

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

Antara alatan yang kerap dan sedang dugunakan dalam program Pendidikan Luar UPSI ialah komputer bimbit, kamera digital, radio, LCD, telefon bimbit dan carta pengajaran dan pembelajaran. Para pelajar digalakkan menggunakan peralatan ini dalam setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang tempoh perkhemahan tersebut. Sebagai contoh, setiap malam pelajar akan diberikan tugasan yang perlu mereka laksanakan pada keesokan harinya. Sehubungan itu, mereka perlu mencari maklumat aktiviti tersebut dengan menggunakan pelbagai alatan teknologi pendidikan yang tersedia. Kaedah pembelajaran kendiri dan berpasukan ini telah dikenalpasti berkesan dalam merangsang proses pengajaran dan pembelajaran pelajar sewaktu melaksanakan aktiviti sebenar pada keesokan harinya.

Sewaktu refleksi, tayangan video yang dipancarkan menggunakan LCD mengukuhkan lagi pengalaman dan pengetahuan pelajar. Selain itu, khidmat WAP dan GPRS dari telefon bimbit membolehkan pihak pengurusan kem sentiasa bersiaga dengan sebarang perubahan cuaca yang mungkin berlaku.

Di masa hadapan, pihak UPSI merancang untuk memperkenalkan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini seperti Global Positioning System (GPS) dan elearning bagi merangsang lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif di kalangan pelajar yang mengikuti perkhemahan pendidikan luar.

ISU APLIKASI TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PERKHEMAHAN PENDIDIKAN LUAR UPSI Selain merangsang proses pengajaran dan pembelajaran pelajar dan mendatangkan pelbagai kesan positif , terdapat juga beberapa kekangan terhadap penggunaan teknologi dalam perkhemahan pendidikan luar UPSI. Antaranya ialah:

1.

Kesesuaian peralatan teknologi terhadap lokasi aktiviti Perkhemahan pendidikan luar UPSI majoritinya dijalankan di kawasan pulau (Pulau Redang, Pulau Singa besar dan Pualu Pangkor). Situasi yang berdebu dan berpasir serta pengaruh pemeluwapan air masin boleh mengakibatkan

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

kerosakan pada alatan elektronik yang digunakan (komputer bimbit, LCD dll). Sehubungan itu, banyak masa dan kos perlu diperuntukkan untuk menjaga keadaan atau situasi alatan ini. Selain itu, setiap alatan perlu dibungkus dengan rapi dan kalis air bagi mengelakkan kerosakan sewaktu proses pengankutan.

2.

Bekalan tenaga Bekalan tenaga dalam program Pendidikan Luar UPSI datangnya dari generator yang dibawa khas. Bekalan tenaga yang tidak sekata serta mungkin terputus akibat gangguan mekanikal boleh mengganggu penggunaan alatan elektronik tersebut.

3.

Kawasan liputan Oleh kerana kawasan liputan syarikat telekomunikasi yang terhad di malaysia, program pendidikan luar UPSI terpaksa dijalankan di kawasan yang tertentu sahaja. Situasi ini mungkin akan menyekat kreativiti pemilihan lokasi perkhemahan serta menrosakkan alam sekitar akibat penggunaan yang terlalu kerap.

4.

Jangkawaktu yang diperlukan untuk penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran Oleh kerana kekangan wireless internet di lokasi perkhemahan, kebanyakan bahan pengajaran dan pembelajaran perlu dipre install ke dalam komputer sebelum perkhemahan. Proses ini kadangkala memngambil masa yang lama akibat kepelbagaian program yang dijalankan dalam perkhemahan pendidiknal uar. Selain itu, perisian yang digunakan mungkin tidak berfungsi akibat kerosakan sistem atau teknik penggunaan yang tidak berhemah.

5.

Kekurangan pakar teknologi maklumat Majoriti tenaga pengajar perkhemahan pendidikan luar hanya memiliki sedikit pengetahuan tentang aplikasi teknologi pendidikan. Sehubungan itu, aplikasi

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

yang digunakan mungkin agak ketinggalan berbanding dengan kemajuan teknologi pendidikan masakini.

6.

Kekangan pinjaman alatan Aplikasi teknologi pendidikan dalam program pendidikan luar adalah suatu pendekatan yang baru. Kadangkala pihak penganjur perkhemahan pendidikan luar mengalami kekangan pinjaman alatan kerana Pusat Teknologi Pendidikan kurang yakin dengan keselamatan peralatan tersebut yang terdedah kepada risiko kerosakan akibat cuaca ataupun kecurian.

Bagi mengasi pelbagai kekangan di atas, penulis telah dan sedang mengambil tindakan berikut: 1. memberi dan membina kesedaran pada orang ramai dan penggiat pendidikan luar tentang kepentingan teknologi pendidikan dalam merangsang proses pengarajran dan pembelajaran pelajar sewaktu sesi perkhemahan. 2. Membina dan memperkenalkan prosedur penyelenggaraan dan keselamatan peralatan yang sistematik dan berterusan. 3. 4. Menyediakan bekas alatan yang tahan lasak dan kukuh. Menyediakan bekalan tenaga alternatif seperti panel solar bagi mengatasi masalah gangguan tenaga ataupun berkhemah di kawasan yang mempunyai bekalan tenaga elektrik (contohnya Pulau Redang). 5. Menghantar tenaga poerkhemahan pendidikan luar mengikuti kursus dan seminar teknologi pendidikan. 6. Memperbanyakkan lagi kajian tentang kesan penggunaan teknologi pendidikan dalam perkhemahan pendidikan luar agar masyarakat sedar tentang kepentingan dan kebaikan penggunaan teknologi ini.

Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Teknologi Pendidikan Kebangsaan Terengganu, November 2005

10

RUMUSAN Perubahan dari era industri ke era teknologi maklumat sedang pesat berlaku dan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Maklumat yang dahulunya mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai ke destinasi kini boleh digapai dengan sekelip mata. Kini, teknologi merupakan sebahagian penting dalam kehidupan manusia moden. Sehubungan itu, perkhemahan pendidikan luar juga tidak dapat lari dari realiti ini. Walaupun dilaksanakan jauh dari arus kemodenan, perkhemahan pendidikan luar harus mengaplikasikan teknologi samada untuk tujuan keselamatan mahupun pengayaan pengalaman pelajar. Pendapat tentang kesan negatif aplikasi teknologi dalam perkhemahan pendidikan luar harus disangkal dan dibuktikan dengan pelbagai kesan positifnya. Selain itu, pakar teknologi juga seharusnya menaikan peranan yang aktif dalam membina peralatan dan perisian yang boleh digunakan di persekitaran terbuka dan alam semulajadi. Hanya dengan kerjasama erat di antara penggiat pendidikan luar dan pakar teknologi sahajalah bidang ini boleh diperkembangkan penggunaannya walaupun seseorang itu sedang berkayak di kawasan terpencil di benua Antartika.

Anda mungkin juga menyukai