Anda di halaman 1dari 12

Laman Jaringan Sosial Facebook ; Media Sosial Dalam Talian Sebagai Medium Pengurusan Komunikasi Kepemimpinan

Nani Herlin Binti Jamin Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia herlin.jamin@moe.gov.my ABSTRAK
Fenomena global media sosial dalam talian menjadi saluran utama masa kini dalam usaha penyebaran dan pemerolehan maklumat. Rangkaian media sosial dalam talian yang popular di Malaysia seperti penggunaan laman jaringan sosial Facebook, Twitter dan media Blog mendapat sambutan kepenggunaan yang meningkat saban tahun. Justeru, objektif kertas kerja ini adalah sebagai cetusan idea dan cadangan kepada para pemimpin khususnya pemimpin sekolah untuk menggunakan laman jaringan sosial dalam talian sebagai media mengurus permasalahan yang wujud dalam pendidikan. Kajian ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada para pemimpin sekolah tentang kewujudan laman jaringan sosial yang boleh memberikan manfaat dalam memperbaiki komunikasi kepemimpinan. Dapatan kajian melalui kaedah tinjauan merumuskan tiga perspektif penggunaan laman jaringan sosial Facebook terhadap pemimpin iaitu ; 1) melihat contoh-contoh interaksi yang berlaku di kalangan pendidik menggunakan kumpulan guru yang wujud dalam dinding perbincangan (discussion wall), 2) menganalisis satu contoh interaksi yang berlaku dalam kumpulan guru tersebut dan membuat andaian-andaian yang boleh berlaku dalam komunikasi kepemimpinan dan 3) cadangan kepada pemimpin untuk melihat isu kepemimpinan yang lebih luas melalui laman jaringan sosial Facebook khususnya melalui kumpulan guru

PENGENALAN Kepelbagaian isu dan masalah yang timbul dalam pendidikan masa kini mendorong para pemimpin untuk bersiap siaga sebagai barisan hadapan dalam memacu organisasinya. Pemimpin merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap corak kepimpinannya dalam menetapkan hala tuju dan jatuh bangun organisasi yang dibawanya. Menurut David M. Traversi (2007) dalam Sarvinder Singh dan Ahmad Esa (2008) faktor kepimpinan yang membezakan antara sebuah organisasi yang berjaya atau sebaliknya. Justeru, seorang pemimpin perlu memilih pendekatan bersesuaian dengan cabaran yang dihadapinya. Salah satu gaya kepemimpinan yang sesuai dilaksanakan apabila pemimpin menghadapi sesuatu isu ialah melalui komunikasi kepemimpinan. Aktiviti komunikasi masa kini tidak lagi bergantung kepada komunikasi terkawal dalam organisasi semata-mata seperti antara Pengetua dan guru di sekolahnya sahaja. Komunikasi masa kini lebih meluas dengan kewujudan media baru teknologi maklumat seperti teknologi Web 2.0 yang menjadi alat media sosial yang berkeupayaan untuk menyampaikan kandungan media dan menyediakan kemudahan interaksi antara pengguna secara pantas. Oleh sebab kemampuan media sosial ini membolehkan komunikasi dalam kalangan pengguna tanpa batasan dan penyebaran maklumat berlaku secara
1

global, laman media sosial digunakan dengan meluas oleh pelbagai kumpulan pengguna seperti ahli akademik, ahli politik, organisasi korporat, agensi kerajaan, pelajar dan sebagainya untuk pelbagai tujuan : perniagaan, pengajaran dan pembelajaran, ideologi politik, komunikasi, perhubungan awam dan alat periklanan (Siti Ezaleila Mustafa & Azizah Hamzah, 2010). Justeru, media sosial dalam talian ini selayaknya wajar dijadikan sebagai salah satu media dalam aktiviti komunikasi kepemimpinan. ICT Dalam Komunikasi Kepemimpinan Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin berkembang dengan adanya kepelbagaian dalam aplikasi internet. Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjadikan satu bentuk fenomena penyebaran maklumat yang lebih global dan pantas. Kehadiran teknologi Web 2.0 menyebabkan penggunaan internet telah banyak berubah daripada penggunaan e-mel dan laman web secara klasiknya kepada laman jaringan sosial. Rangkaian media sosial yang popular di Malaysia seperti laman jaringan sosial Facebook, Twitter dan Blog mendapat sambutan kepenggunaan yang meningkat saban tahun di Malaysia. Pendidikan di Malaysia turut mendapat tempias kesan pembangunan media sosial ini apabila dilihat kemunculan pelbagai media sosial tempatan berbentuk pendidikan seperti Cikgu.net dan terbaru ialah Frog VLE. Dalam konteks pendidikan, pemimpin iaitu pentadbir sekolah memainkan peranan besar sebagai pemimpin teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kajian sebelum ini banyak melihat kepada peranan pentadbir sekolah menggunakan ICT dari sudut pengurusan sekolah serta proses pengajaran dan pembelajaran sahaja. Misalnya dapatan kajian yang dibuat oleh Lokman, Mohd Anuar, M.Al-Muzammil dan Phoon Ai Ling pada tahun 2010 mendapati guru besar sekolah rendah sangat prihatin terhadap penggunaan ICT dengan memberi galakkan terhadap guru-guru sekolah dengan mengadakan pelbagai kursus dan latihan berkaitan ICT. Maklumbalas responden iaitu guru-guru tersebut mendapati pentadbir sekolah sedikit sebanyak memberikan semangat dan motivasi kepada guru untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kemahiran penggunaan ICT yang sedia ada. Pengkaji melihat selain daripada aspek keprihatinan pentadbir sebagai pemimpin ICT, aspek penguasaan turut penting dan harus dimiliki oleh setiap pentadbir sekolah. Pentadbir perlu melihat penggunaan ICT ini secara lebih luas bukan sekadar pengurusan sekolah seperti pengurusan data peperiksaan (SAPS), membuat jadual waktu dan yang terkini sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sahaja, malah menjadikan ICT sebagai alat komunikasi utama dalam proses mempengaruhi orang bawahannya. Facebook : Laman Jaringan Sosial dan Komunikasi

Kebelakangan ini, trend komunikasi paling popular yang digunakan ialah melalui laman jaringan sosial. Perkembangan laman jaringan sosial Facebook telah mewujudkan fenomena yang tersendiri di pelusuk dunia. Menurut laporan Internet World Stats yang dikeluarkan pada September 2012 menunjukkan lebih daripada 835 juta orang di seluruh dunia melawat laman jaringan sosial pada 2011-2012, iaitu meningkat 4% berbanding tahun sebelumnya. Dalam konteks di Malaysia, laman sosial menjadi aktiviti utama dalam kehidupan digital dengan purata 1-3 minit di dalam talian (Nguyen, 2010). Tahun 2008 dilihat sebagai tahun pembangunan media sosial terutama laman jaringan sosial Facebook menjadi pilihan utama. Data statistik daripada Internet World Stat menunjukkan 44.8% pengguna Internet adalah dari Asia. Malaysia tergolong dalam Top 10 di Asia dengan 17.7 juta pengguna sehingga Jun 2012. Laporan Persatuan Digital Malaysia (MDA), laman jaringan sosial Facebook adalah laman web paling popular di Malaysia. Daripada 17.7 juta pengguna talian internet di Malaysia, 13.6 juta merupakan pengguna yang menggunakan laman sosial Facebook (Jadual 1) iaitu hampir 76.7% lebih tinggi daripada negara-negara Asia lain seperti India, Jepun, Korea Selatan dan Vietnam. Walaupun, China merupakan negara Asia yang mempunyai jumlah pengguna Internet paling ramai, namun pengguna jaringan laman sosial masih berada pada tahap rendah. Jadual 1 : Penggunaan Laman Jaringan Sosial Berdasarkan Negara Asia, 2012. Malaysia berada di tangga ke-10. Bil Negara Jumlah Pengguna % Pengguna Jaringan Sosial Internet Facebook sehingga Jun sehingga 2012 Disember 2012 1 China 538,000,000 633,300 0.12 2 India 137,000,000 62,713,680 45.8 3 Jepun 101,228,736 17,196,080 16.9 4 Indonesia 55,000,000 51,096,860 92.9 5 Korea Selatan 40,329,660 10,012,400 24.8 6 Filipina 33,600,000 29,890,900 88.9 7 Vietnam 31,034,900 10,669,880 34.4 8 Pakistan 29,128,970 7,984,880 27.4 9 Thailand 20,100,000 17,721,480 88.2 10 Malaysia 17,723,000 13,589,520 76.7 Sumber : InternetWorldStats.Com Kini, penggunaan Facebook bukan lagi hanya untuk berinteraksi secara peribadi, malah berkembang sebagai medium perantara dalam menyampaikan maklumat, menjalankan perniagaan, pendidikan mahupun perkongsian gambar dan video. Kelebihan Facebook yang paling ketara menurut Carrera (2008)
3

dalam Jauhariatul Akmal dan Jamilah Ahmad (2011) ialah membolehkan pengguna menggunakan papan mesej dan dinding perbincangan (discussion wall) untuk mengirimkan pengumuman dan pertanyaan soalan. Dunia pendidikan tidak ketinggalan menjadikan aplikasi Facebook sebagai medium pengurusan dan pemerolehan maklumat. Kajian Rossafri Mohamad dan Shabariah Mohamad Shariff (2011) mendapati penggunaan laman sosial dapat meningkatkan motivasi pelajar dalam mata pelajaran Sejarah serta berjaya meningkatkan teknik dan gaya pengajaran dan pembelajaran secara kumpulan (kolaboratif), interaksi dua hala dan pembelajaran kendiri. Keberkesanan penggunaan laman sosial Facebook telah diakui melalui jumlah kepenggunaan yang meningkat. Justeru, pemimpin perlu menjadikan kelebihan ini untuk menggunakan laman sosial Facebook sebaik mungkin dalam usaha memberi impak terhadap komunikasi kepemimpinan. Jaringan laman sosial Facebook telah membuka ruang komunikasi yang lebih terbuka dan pemimpin perlu menjadikan ruang ini sebagai usaha meningkatkan kepemimpinan. Objektif dan Metodologi Kajian Objektif kertas kerja ini adalah sebagai cetusan idea dan cadangan kepada para pemimpin khususnya pentadbir sekolah untuk menggunakan laman jaringan sosial dalam talian sebagai media mengurus permasalahan yang wujud dalam pendidikan. Kajian ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada para pentadbir sekolah tentang kewujudan laman jaringan sosial yang boleh memberikan manfaat dalam memperbaiki komunikasi kepemimpinan. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini ialah melalui kaedah tinjauan. Pengkaji menjadikan penggunaan laman jaringan sosial Facebook sebagai ruang untuk menilai dan mengumpul maklumat yang boleh dikongsi bersama para pemimpin sekaligus mencapai objektif kajian. Pengkaji menjalankan proses pengumpulan maklumat dan menjalankan penilaian melalui perspektif berikut : 1. Melihat contoh-contoh interaksi yang berlaku di kalangan pendidik menggunakan kumpulan guru yang wujud melalui dinding perbincangan (discussion wall) 2. Menganalisis satu contoh interaksi yang berlaku dalam kumpulan guru tersebut dan membuat andaian-andaian yang boleh berlaku dalam komunikasi kepemimpinan. 3. Cadangan kepada pemimpin untuk melihat isu kepemimpinan yang lebih luas melalui laman jaringan sosial Facebook khususnya melalui kumpulan guru.

Perbincangan Dapatan Kajian

Hasil dapatan kajian berasaskan tinjauan ini akan dibincangkan mengikut tiga perspektif berikut : Contoh-contoh interaksi yang berlaku di kalangan pendidik menggunakan kumpulan guru yang wujud melalui dinding perbincangan (discussion wall) Hasil tinjauan melalui laman jaringan sosial Facebook mendapati wujud beberapa kumpulan guru yang terdiri daripada pendidik sangat aktif berinteraksi dan berdiskusi melalui dinding perbincangan yang disediakan. Hal ini patut disedari oleh pemimpin khususnya pentadbir sekolah terhadap setiap permasalahan yang berlaku dalam dunia pendidikan telah dijadikan bahan interaksi dalam kumpulan guru di kalangan pendidik tersebut. Dapatan juga mendapati jumlah keahlian kumpulan guru tersebut yang terdiri daripada kalangan pendidik adalah tinggi. Jumlah keahlian yang tinggi menunjukkan kebanyakan pendidik di Malaysia menggunakan media laman sosial sebagai proses komunikasi dan pemerolehan maklumat. Jadual 2 Kumpulan Guru yang wujud dalam Facebook beserta bilangan ahli setiap kumpulan sehingga 10 April 2013. Bil Nama Kumpulan Bilangan ahli 1. Kami Guru Malaysia 18,388 2. Kumpulan Guru Malaysia I 5,797 3. Kumpulan Guru Malaysia II 3,055 4. Kempen 24 jam, himpunan 100,000 warga 11,319 guru sempena Hari Guru 2011 5. Dari Guru Untuk Guru 6,628 6. BBM Tice Sue 12,275 Para pendidik didapati bergiat aktif dalam menggunakan internet sebagai medium perbincangan bercorak pendidikan. Kebanyakan pendidik menggunakan Facebook sebagai ruang berkomunikasi antara satu sama lain sama ada sesama guru sendiri atau dengan para pelajarnya. Terdapat pelbagai bentuk interaksi yang wujud melalui penggunaan laman jaringan sosial Facebook khususnya dalam kumpulan guru yang telah diwujudkan melalui dinding perbincangan kumpulan masing-masing. Pengkaji menjadikan perbincangan kumpulan Kami Guru Malaysia sebagai medan bagi pengkaji menjalankan analisis terhadap bentuk interaksi yang berlaku. Ada guru menjadikan dinding perbincangan ini sebagai tempat menyalurkan maklumat, pertukaran pendapat dan luahan perasaan.

Rajah 1 : Contoh interaksi yang menunjukkan penyaluran maklumat

Rajah 2 : Contoh interaksi yang menunjukkan pertukaran pendapat.

Rajah 3 : Contoh interaksi yang menujukkan luahan perasaan Pemimpin harus menyedari kewujudan pelbagai corak interaksi yang dilaksanakan oleh orang bawahannya bertujuan mencapai kesefahaman bersama. Pemimpin perlu menggunakan pelbagai strategi dalam usaha mempengaruhi orang lain. Apabila pemimpin memahami setiap contoh interaksi yang berlaku maka mudahlah baginya menggunakan pelbagai strategi penyelesaian masalah terutama bercorak komunikasi. Strategi-strategi seperti pujukan rasional dan tarikan inspirasi yang memerlukan pemimpin mempunyai kemahiran yang tinggi dalam komunikasi serta berkebolehan membangkitkan semangat dan emosi disamping mempunyai sifat kejujuran. Strategi seperti perundingan memerlukan pemimpin mempunyai kebolehan mendengar yang tinggi serta daya pujuk yang hebat. Strategi lain seperti gabungan, pertukaran, mendapatkan simpati dan taktik sah memerlukan pemimpin mempunyai kebolehan mempengaruhi yang sangat tinggi. Namun jika semua strategi ini gagal dilaksanakan maka strategi tekanan merupakan jalan akhir iaitu menggunakan ancaman, ugutan dan amaran (Bashid, 2008 dalam Sarvinder dan Ahmad Esa, 2008). Analisis satu contoh interaksi yang berlaku dalam kumpulan guru tersebut dan membuat andaian-andaian yang boleh berlaku dalam komunikasi kepemimpinan Pengkaji mendapati terdapat pelbagai isu turut diperdebatkan di kalangan pendidik mengenai hubungan dengan pemimpin khususnya pentadbir sekolah di dinding perbincangan kumpulan Kami Guru Malaysia. Antara isu yang
6

dibincangkan seperti isu Cuti Rehat Khas, isu bekerja pada hari Sabtu, isu pengurusan kewangan dan lain-lain lagi. Isu sebegini timbul disebabkan faktor komunikasi kepemimpinan yang tidak jelas dalam usaha pemimpin mencapai proses mempengaruhi orang bawahannya. Pendidik merasakan pemimpin tidak turut menyertai permasalahan mereka dan interaksi yang berlaku lebih kepada satu hala. Justeru, pendidik menjadikan jaringan laman sosial Facebook khususnya melalui kumpulan guru yang dibentuk sebagai saluran menimbulkan isu terutama soal kepemimpinan. Pengkaji mengkhususkan kepada satu lagi contoh isu yang ditimbulkan di kalangan pendidik mengenai kepemimpinan iaitu berkaitan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan penghargaan Kerajaan kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang (Garis Panduan Pemilihan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010). Setiap tahun, sebilangan pendidik yang merupakan penjawat awam akan terpilih untuk menerima APC. Walaupun garis panduan telah dikeluarkan mengenai kriteria pemilihan seseorang penjawat awam menerima APC oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (berdasarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2002), namun ianya tetap menjadi isu dan terus dipersoalkan ketelusan kriteria pemilihan tersebut. Justeru, peranan pemimpin perlu dipertontonkan disini untuk memperjelaskan kekeliruan yang berlaku mengenai soal pemberian APC ini.

Rajah 4 : Contoh interaksi seorang pendidik mengenai kepemimpinan pentadbir sekolah mengenai isu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Status ini telah ditulis oleh seorang pendidik bertarikh 9 Mei 2013 (Khamis) jam 9.45 malam dengan mendapat maklum balas sebanyak 151 komen sehingga 12 Mei 2013 jam 11 pagi. Pendidik (menurut rajah 4) mempersoalkan kriteria pemilihan APC yang berkaitan dengan kepemimpinan. Perkataan seperti budaya mengipas menonjolkan terdapat konflik yang berlaku antara hubungan pemimpin dan orang bawahannya. Dapatan menunjukkan, maklum balas yang diterima langsung tidak memberikan jawapan yang sepadan dengan kriteria yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Pemberian APC tahun 2002. Ini menunjukkan, ketiadaan pemimpin misalnya pentadbir sekolah dalam memberi maklum balas yang tepat terhadap isu ini. Apa yang agak menjengkelkan, menerusi maklum balas
7

kebanyakan pendidik menggunakan pentadbir sekolah sebagai alasan mereka gagal menerima APC. Antara maklum balas yang diterima ialah: Lain GB (Guru Besar), lain caranya Roslan Ahahary Penilaian yang tiada standardikut suka pentadbir Raja Azman Shah Budaya ampu-mengampu GB. Ada jugak walaupun di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Nur Iman Ashiera. Tidak pernah dapat 13 tahun berkhidmat. Tidak pandai kipas bos - Faizal Che Hassan. Daripada 151 maklum balas yang diterima, tiada siapa tampil untuk menjelaskan kriteria-kriteria umum dan tambahan dalam pemilihan APC berdasarkan Garis Panduan yang telah ditetapkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM. Salah satu kriteria umum yang ditetapkan mengikut PKPA Bil 2 Tahun 2002 seperti anggota berkenaan telah memberi sumbangan kepada organisasi, Perkhidmatan Awam, komuniti, daerah, negeri, negara dan peringkat antarabangsa langsung tidak ditampilkan dalam maklum balas tersebut. Dapatan ini menyebabkan pengkaji membuat andaian bahawa pemimpin tidak menggunakan laman jaringan sosial sebagai salah satu medium komunikasi kepemimpinan. Malahan, pengkaji berpendapat pemimpin juga tidak menyedari bahawa isu ini menjadi konflik yang serius di kalangan orang bawahannya. Pengkaji juga melihat para pendidik tetap menggunakan saluran komunikasi sebagai kaedah paling tepat berbanding mereka mendapatkan sendiri maklumat melalui pembacaan. Maksudnya, walaupun pendidik sedar akan garis panduan yang diberikan, namun isu tetap ditimbulkan kerana tiada komunikasi yang wujud secara nyata dan terang. Stetch (1983) mencadangkan pemimpin yang mengamalkan cara kepemimpinan mempunyai matlamat kerjaya dan kepemimpinan organisasi yang berorientasikan individu ini menggunakan satu komunikasi kepemimpinan yang baik seperti ; 1) Selalu berkomunikasi dan menghayatinya, 2) Berkomunikasi secara lisan, 3) Memberi respon dan minat yang baik semasa mendengar, 4) Meminta dan bukan mengarahkan pekerja membuat kerja dan memberi pujian apabila ia dilaksanakan dengan baik, 5) Menunjukkan moral yang baik semasa berkomunikasi, dan 6) Memberi perhatian apabila berkomunikasi secara tidak rasmi.

Cadangan kepada pemimpin untuk melihat isu kepemimpinan yang lebih luas melalui laman jaringan sosial Facebook khususnya melalui kumpulan guru

Hasil tinjauan secara terperinci melalui kumpulan Kami Guru Malaysia dan tinjauan umum terhadap kumpulan guru yang lain, pengkaji mencadangkan agar pemimpin perlu memandang serius penggunaan jaringan laman sosial ini khususnya Facebook dalam melihat isu kepemimpinan yang lebih meluas. Pengkaji mendapati kebanyakan pengguna laman jaringan sosial Facebook khususnya kumpulan guru tersebut menggunakan saluran sebegini berbanding komunikasi secara berhadapan. Menurut Ellison, Steninfield dan Lampe (2007), laman jaringan sosial Facebook dapat membantu meningkatkan keyakinan dan kepuasan diri dalam individu. Justeru, pengkaji berpendapat para pendidik lebih yakin dan puas berinteraksi secara Facebook berbanding Face-To-Face (berhadapan). Berikut dilampirkan antara contoh-contoh isu yang ditimbulkan oleh pendidik sama ada yang disedari atau tidak oleh pemimpin.

Selain daripada itu, pemimpin juga boleh menggunakan laman jaringan sosial Facebook untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan orang lain mengenai sesuatu isu yang ingin dibincangkan. Pemimpin boleh menggunakan pelbagai gaya komunikasi seperti yang dinyatakan oleh Norhannan Ramli dan Jamaliah Abdul Hamid (2006) iaitu: 1. Gaya kawalan iaitu komunikasi berbentuk satu hala dimana pemimpin menggunakan kuasa untuk persetujuan. 2. Gaya equalitarian iaitu komunikasi bercorak dua hala dengan menggerakkan pendapat orang ramai secara bebas dan menekankan suasana persefahaman dan kemesraan. 3. Gaya structuring iaitu pemimpin mempengaruhi orang lain dengan cara menggunakan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.
9

4. Gaya dynamic iaitu pemimpin bercakap perkara-perkara yang penting secara jujur dan berterus terang. 5. Gaya relinquish iaitu pemimpin sering setuju dengan pendapat pandangan orang lain. Secara tidak langsung pemimpin dapat mengalih tanggungjawab dan mengambil peranan sebagai pembantu sahaja. Berikut pengkaji melampirkan antara contoh yang boleh digunakan oleh pemimpin dalam mempelbagaikan gaya komunikasi dalam membantu proses kepemimpinannya.

Justeru, pemimpin harus bijak mengaplikasikan komunikasi kepemimpinan dalam usaha menghadapi isu-isu yang melanda dalam organisasinya. Kegagalan komunikasi menyebabkan sesuatu isu menjadi semakin rumit kerana kegagalan pemimpin mencari jalan penyelesaian. Jalan terbaik penyelesaian sesuatu isu adalah melalui proses komunikasi yang berkesan. Pemimpin perlu memandang serius pada setiap gaya dan strategi komunikasi yang boleh digunapakai dalam menghadapi sesuatu situasi atau permasalahan isu yang merumitkan. Kesimpulan Pemimpin menjadi tonggak utama dalam usaha mengharungi cabaran isu-isu pendidikan masa kini. Hala tuju, pelaksanaan dan keputusan yang dibuat oleh seseorang pemimpin menjadi arah panduan kepada jalan penyelesaian bagi sesuatu isu. Pemimpin perlu menggunakan pelbagai gaya komunikasi kepemimpinan bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan orang lain mengenai isu yang dibincangkan . Melalui adaptasi penggunaan laman jaringan sosial Facebook ini diharapkan dapat menjadi wadah dan ruang kepada para pemimpin untuk meningkatkan kepemimpinan dan pengurusan organisasi masing-masing.
10

Walaupun dapatan yang diterima mungkin bukan mewakili suara ramai (kerana komuniti guru dalam kumpulan Facebook tersebut berjumlah lebih kurang 20,000 orang dan tidak mewakili seluruh guru-guru di Malaysia) namun sekurangkurangnya penggunaan media sosial ini mampu memberi manfaat kepada pemimpin dalam usaha mereka belajar meningkatkan skil kepemimpinan. Rujukan Ellison B, Steninfield.C, Lampe.C.(2007). The Benefits of Facebook Friends Social Capital and College Students Use of Online Social Network. Journal of Computer-Mediated Communication. 1143-1168. International Communication Association. Jauhariatul Akmal, Jamilah Ahmad (2011). Penggunaan Facebook oleh Badan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (ENGO) Dalam Menyampaikan Mesej Alam Sekitar. Jurnal Komunikasi. Jilid 27(2), 161-182 Norhannan Ramli, Jamaliah Abdul Hamid (2006). Gaya Kepimpinan Pengetua Wanita dan Hubungannya dengan Tahap Motivasi Guru Sekolah Menengah. Jurnal Pendidikan.Jilid 31 (53-59) Laporan Persatuan Digital Malaysia (MDA). www.digital.org.my Lokman Mohd Tahir, Mohd Anuar Abd Rahman, M.AL-Muzammil Yassin, Phoon Ai Ling (2010). Penilaian Guru Sekolah Rendah Terhadap Peranan Guru Besar Sekolah Sebagai Pemimpin Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Asia Pacific Journal of Educators. Vol 25.169-188 Nguyen, J. 2010. The state of social networks in Asia Pacific, with a focus in Malaysia.comScore World Matrix. www.comscore.com Rosafri Mohamad, Shabariah Mohamad Shariff (2011). Kesan Penggunaan Laman Sosia; Ke Atas Kaedah Perbincangan Di Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sejarah. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia. Jilid 1, No 1, Mac 2011. Sarvinder Singh, Ahmad bin Esa. Kepimpinan dalam menghadapi isu-isu pendidikan. Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PKPGB 2008, 16 Oktober 2008, UTHM. Siti Ezaleila Mustafa, Azizah Hamzah (2010). Media Sosial : Tinjauan Terhadap Laman Jaringan Sosial Dalam Talian Tempatan. Jurnal Pengajian Media Malaysia. Jilid 12, No. 2, 2010 (37-52) Stech E.(1983). Leadership coomunication. Chicago : Nelson Hall
11

www.internetworldstats.com/stats.htm www.facebook.com

12

Anda mungkin juga menyukai