Anda di halaman 1dari 29

Cabaran Masa Kini Ibu bapa pada hari ini berhadapan dengan berbagai cabaran di dalam mendidik anak-anak.

Mereka dituntut untuk memastikan anak-anak dibesar dan diberikan pendidikan yang merangkumi pembentukan akal, jasmani, ruhani, akhlak dan sosial. Suasana persekitaran memberikan tekanan kepada ibubapa dalam menangani cabaran tersebut. Keperluan menambahkan pendapatan memerlukan kedua ibubapa bekerja telah mengurangkan masa bersama dengan anak-anak. Justeru itu mereka terpaksa mencari alternatif lain seperti mengambil pembantu rumah, menghantar anak-anak ke pusat asuhan atau ke sesi persekolahan tambahan untuk memastikan kepentingan pendidikan anak-anak terjaga. Kewujudan masalah sosial juga turut merunsingkan ibubapa. Gejala dadah, melepak, merempit dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti maksiat merupakan fenomena yang mencemaskan ibubapa. Tambahan pula media menyiarkan sitcom yang boleh menyumbangkan kepada penglibatan anak-anak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh mengikut kajian yang dilakukan oleh Hashim Bedu dan rakan-rakannya Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga;isu dan cabaran jenayah syariah bagi negeri Johor meningkat dari setahun ke setahun. Mereka mengklasifikasikan punca-punca jenayah seperti berikut : perasaan ingin tahu dan mencuba, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media massa dan sikap keluarga, ibubapa mengamalkan sikap terlalu mengongkong dan mengabaikan pendidikan rohani dan agama. Nooh Gadot dalam kertas kerjanya Masyarakat, Pendidikan dan Pembentukan Keluarga Islam Berkualiti menyatakan bahawa keluarga Islam menghadapai masalah pergaulan dan cara hidup seperti kelemahan komunikasi dalam keluarga, salah laku perhubungan, generasi muda tidak menghormati yang tua dan ibubapa kurang memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Seterusnya beliau menegaskan keluarga Islam berhadapan dengan dua cabaran dalaman dan luaran. Dalaman seperti kehidupan yang tidak berasaskan iman, takwa dan ihsan, ilmu pengetahuan tidak mencukupi, tidak ada role model dalam keluarga, hubungan kekeluargaan yang renggang, tidak ada suasana keislaman dalam keluarga, pembahagian masa tidak sekata di kalangan ahli keluarga, faktor kemiskinan manakala cabaran luar ialah penglibatan ibu bapa dalam aktiviti luar sehingga menjejaskan tanggungjawab di rumah, pergaulan dengan kumpulan yang rendah akhlak, pengaruh media massa dan tidak bijak memilih kerjaya yang bersesuaian dengan ibu bapa. Sheikh Abdullah Nasih `Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad fil Islam [6] menyenaraikan punca keruntuhan moral anak-anak antaranya kepada kemiskinan, pergaduhan sesama ibu dan bapa, perceraian yang mengundang kesusahan kepada ibu yang menjaga anak-anak, masa lapang yang tidak terisi, pengaruh rakan-rakan, diplomasi buruk ibu bapa kepada anak-anak dan ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak. Kemiskinan akan mendorong kanak-kanak keluar dari rumah mencari wang untuk keperluan dirinya yang akan mendedahkan mereka kepada sarang-sarang penjenayah natijahnya akan melahirkan masyarakat yang anggota masyarakatnya penjenayah-penjenayah muda. Ibu bapa yang sentiasa bergaduh terutamanya di hadapan anak-anak akan menyebabkan anak-anak resah dan tidak gembira. Perceraian ibu bapa

kebiasaannya menyebabkan anak-anak kehilangan bapa dan memaksa ibu-ibu keluar mencari nafkah. Maka anak-anak yang sudah kehilangan bapa akn terasa kekurangan masa bersama ibu mereka lantas mereka akan mencari alternatif untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa mereka. Begitu juga jika anak-anak mempunyai masa lenggang yang banyak dan ibu bapa tidak memenuhi masa anak-anak mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah akan mempengaruhi kanak-kanak mengisi masa mereka mengikut cara mereka sendiri. Islam memberi peringatan yang keras tentang kesan negatif yang bakal menimpa mereka yang tersilap memilih kawan seperti dalam ayat 28-30 surah alFurqan Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya, seraya berkata: A duhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku; kiranya aku (dulu) tidak menjadikan sifulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al Quran ketika Al Quran itu telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mau menolong manusia. Sabda Nabi: Seseorang itu bergantung kepada agama saudaranya maka hendaklah dia melihat ssiapa yanag menjadi saudaranya. Sikap ibu bapa dan cara diplomasi mereka yang tidak berhikmah menyebabkan anak-anak menjadi tertekan dan beremosi kerana anak-anak juga manusia yang diberikan akal yang mampu berfikir dan boleh menilai lantas mereka akan mempersoalkan sikap ibu bapa mereka yanag tidak rasional. Kanak-kanak berkemungkinan mengambil jalan pintas melawan ibu bapa, lari dari rumah dan menyimpan dendam kepada ibu bapa mereka. Pernah satu ketika Umar ibn al-Khattab mengatakan kepada seorang ayah yang tidak menunaikan tanggungjawabnya Kamu datang berjumpa aku mengadu anakmu yang derhaka sedangkan kamu terlebih dahulu derhaka kepadanya, kamu berlaku buruk kepadanya sebelum dia berlaku buruk kepadamu. Ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak menjadikan anak-anak mereka seolah-olah tidak beribu bapa ibarat anak-anak yatim. Benarlah kata penyair Arab bukanlah yatim itu mereka yang ayahnya tidak menanggungnya dan meninggalkannya sesungguhnya yatim itu ialah ibunya yang sibuk dan ayahnya yang sibuk. Ibu bapa perlu menjadi seperti seorang peladang yang sentiasa mengambil berat terhadap benih pokok yang disemainya Dia perlu menjaganya, membaja, menyiram air, membersihkan duri-durinya dan memotong ranting-ranting yang patah. Dia perlu memastikan benih tersebut dapat menghasilkan buah masak dan ranum. Jangan jadikan anak-anak seperti benih terbiar diterbangkan angin ibarat debu beterbangan di udara. Dr Muhammad Sayyid Yusuf dalam bukunya Manhaj al-Quran fi Islah al-Mujtama` menyenaraikan sebab kepincangan masyarakat kepada 3 punca utama: berpaling dari ajaran agama, tertipu dengan godaan syaitan dan perancangan jahat musuh yang ingin melihat kehancuran umat Islam. Musuh Islam terutamanya Yahudi mengganggap antara kekuatan umat Islam terletak kepada keutuhan institusi keluarga oleh itu mereka menjadikan matlamat mereka antaranya meruntuhkan kehidupan berkeluarga dan merosakkan sistem pendidikannyya. mempengaruhi nilai akhlak anak-anak dan remaja. Oleh itu sebahagian besar program-program media massa yang dipaparkan memperlihatkan unsur-unsur dan budaya-budaya negatif yang boleh

Sebaliknya budaya mulia yang ingin dilihat dalam kehidupan anak-anak dan remaja sebagai jil dan generasi masa hadapan future generation ialah seperti yang ditegaskan oleh Malik Bennabi ialah budaya yang bersumberkan wahyu kerana ianya merupakan suatu yang quddus dan datangnya dari Tuhan. Mengikut perspektif Islam, budaya terdiri dari tiga unsur aqidah, ibadah dan akhlak oleh itu semesti ketiga-tiga perkara ini diberikan penekanan dalam pembentukan personaliti anak-anak. Tuntutan materialisma masakini mempengaruhi ibubapa memberikan tekanan kepada anak-anak untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik lantas mengabaikan aspek spriritual atau keagamaaan maka lahirlah anak-anak yang cemerlang akademik tetapi kosong jiwanya, remaja cemerlang tetapi runtuh akhlak. Sepatutnya kecemerlangan akademik mestilah diimbangi dengan kecemerlangan spiritual spiritual excellence. Islam melalui al-Quran dan Hadith menuntut supaya keseimbangan atau balance dalam semua aspek kehidupan, bukan sahaja aspek material tetapi kerohanian juga mesti dititikberatkan. Oleh itu peranan ibu bapa pada masa ini merupakan sebahagian dari jihad yang dituntut dalam Islam. Hadith Nabi ada menyebut bermaksud barangsiapa bersabar dalam membesarkan anak-anak perempuan maka baginya balasan syurga. Penyelesaian Masalah dan Aspek Pendidikan Anak-anak Apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di sini ialah apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibubapa dalam mengatasi masalah dan menangani cabaran yang dihadapi. Anak-anak perlu diberikan kefahaman tentang peranan dan tujuan utama mereka berada di alam maya ini. Kewujudan mereka bukannya untuk mengecapi keseronokan yang bersifat sementara tetapi memahami dan menghayati kedatangan mereka seperti yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam risalahnya Qimah al-Insan wa Ghayah Wujudihi fi al-Islam adalah untuk beribadat, membangunkan bumi Tuhan dengan sebaiknya dan menjadi khalifah Tuhan di bumi ini. Oleh itu ada tiga perkara utama yang perlu ditekankan dalam pembentukan diri dan jiwa anak-anak iaitu pemantapan iman dan ibadah, ilmu dan pengukuhan nilai akhlak mulia. Selain daripada tiga perkara asas ini, ibu bapa perlu mengambil kira aspek-aspek lain yang tidak kurang pentingnya. Secara umumnya aspek-aspek pendidikan anak-anak terbahagi kepada aspek iman, akhlak, jasmani, minda, rohani, sosial, emosi dan seksologi. Ciri-ciri Pendidikan Dalam Islam Sebelum kita berbicara mengenai aspek-aspek pendidikan anak-anak yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa terlebih kita merenung apakah yang dimaksudkan dengan pendidikan dan apakah ciri-ciri pendidikan Islam.

Definisi dan Aspek Pendidikan Pendidikan dari segi bahasa ialah membina, memperbaiki dan menyempurnakan. Dari segi teknikal ia bermaksud membina fungsi badan, akal, akhlak sehingga sempurna melalui latihan dan pembudayaan. Di dalam Islam pendidikan bermaksud mempersiapkan individu Muslim yang beriltizam dengan agama dan berakhlak dengan akhlak Islam dari segi hati, ruh, jasad, akal, akhlak dan sikap. [7] Untuk memahami konsep pendidikan dalam Islam terutamanya al-Quran dan Hadis memerlukan kita meneliti keseluruhan isi kandungannya. Al-Quran dalam surah al-Muminun umpamanya memasukkan elemen tawhid. Ibadat, akhlak, menjaga kehormatan diri dan tanggungjawab kepada masyarakat melalui sistem zakat dan penjagaan amanah. Surah al-Furqan menyebut takwa, takut kepada azab neraka, bersedekah, memelihara kehormatan diri dan memberikan kesaksian yang adil sebagai ciri-ciri peribadi unggul. Pendidikan Islam akan dapat difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami ciri-cirinya. Cirinya yang pertama ialah Rabbaniyyah yang bermaksud ianya dari Allah. Ini merangkumi dua perkara iaitu sumber dan tujuan. Dari segi sumbernya ia menyedarkan kita bahawa sumber pendidikan Islam tertinggi ialah al-Quran dan Hadith dan bukannya bersumberkan akal dan nafsu manusia. Manusia tidak mencipta asas-asas pendidikan Islam tetapi tugasnya ialah menerima, memahami dan menyesuaikan perlaksanaannya di dalam sistem kehidupan dan pendidikan. Dari segi hala tuju pendidikan ia bermaksud mengukuhkan ikatan hubungan dengan Tuhan dan mencari redhanya. Ayat 6 surah al-Inshiqaq bermaksud Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras untuk menemui Tuhanmu maka kamu akan menemuinya. Ciri kedua ialah pendidikan Islam itu bersifat sempurna dan komprehensif. Tidak ada kekurangan dalam sistem pendidikan Islam kerana ianya bersumberkan dua sumber utama iaitu Quran dan Hadith. Ia meliputi semua aspek pendidikan yang berasaskan kepada tiga prinsip utama iaitu tawhid yang sebenar, meliputi semua aspek pendidikan dan ibadah kepada Allah. Ciri ketiga ialah keseimbangan yang bemaksud keseimbangan antara akhlak individu dan masyarakat dan negara manakala ciri keempat ialah komitmen iaitu pendidikan Islam bukan terletak pada teorinya sahaja tetapi ianya sesuatu yang mesti dilaksanakan kerana perlaksanaan merupakan manifestasi iman seseorang individu dan masyarakat. Ciri terakhir ialah ia bersifat realistik sesuatu yang dapat dilaksanakan. Pendidikan Islam ialah sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukannya sekadar teori yang indah dilafazkan tetapi sukar dipraktiskan. Secara umumnya sebahagian pakar bersetuju bahawa pendidikan anak-anak mestilah bermula dari zaman awal kelahiran mereka. Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah merupakan satu pendidikan baginya

kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.[8]Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain sempurna perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun. Mengikut pandangan pakar psikologi Barat Freud, pengalaman kanak-kanak pada zaman kecilnya akan mempengaruhinya di masa hadapan. Pada pandangan sebahagian sarjana Islam teori pendidikan anak-anak bermula semasa perkahwinan ibu dan bapa kepada anak-anak tersebut. Oleh itu sebahagian pemikir Islam membahagikan pembentukan peribadi anak-anak kepada sekurang-kurangnya tiga peringkat. Sebelum kelahiran, selepas kelahiran sehingga umur 10 atau 11 dan dari 11 sehinggalah ke alam remaja dan mampu berdikari. Mengikut Dr al-Mabruk Uthman Ahmad dalam bukunya Tarbiyatul Awlad wal Aba fil Islam peringkat sebelum lahir merangkumi pemilihan pasangan suami isteri, persediaan mereka untuk bergelar ibubapa yang bukan sahaja bersifat biologi iaitu melahirkan anak tetapi turut bersifat kepertanggungjawaban iaitu menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Suasana yang kondusif sepatutnya disediakan oleh ibubapa berdasarkan kepada kemampuan supaya unsur-unsur positif dapat dimasukkan dan unsur-unsur negatif dielakkan. Perkara-perkara yang boleh merosakkan anak-anak semasa dalam kandungan sebagai contoh merokok dan meminum arak semestinya dihindari sesuai dengan tanggungjawab mereka yang besar sehingga dirakamkan pengorbanan ibu dalam al-Quran. Dalam surah Luqman ayat 14 Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun . Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKulah kamu kembali. Pemilihan pasangan suami isteri yang baik dan menepati kehendak agama akan menjadikan perkahwinan itu satu medan di mana ibu berperanan sebagai sebuah sekolah yang menjaga dan mendidik anak-anak manakala bapa bertanggungjawab menyediakan keperluankeperluan yang diperlukan. Kerja sama yang dimainkan oleh kedua belah pihak suami dan isteri akan memudahkan tugas dan amanah mendidik anak-anak menjadi mudah dan bersistematik. Islam menekankan pemilihan pasangan mestilah berasaskan agama, akhlak dan keturunan yang baik supaya anak-anak yang dilahirkan itu akan mewarisi sifat-sifat yang baik dan adat yang mulia. Umar ibn al-Khattab suatu ketika pernah berkata sebagai menjawab soalan apakah hak seorang anak ke atas bapanya hendaklah i a memilih ibu bagi anaknya, mencari nama yang elok dan mengajarnya al-Quran.

Pendidikan Iman Iman merupakan asas kepada segala ibadah bahkan asas segala kebaikan. Kanak-kanak sebaik saja dapat memahami mesti diajar asas-asas iman, rukun-rukun agama dan prinsip shariat Islam. Kanak-kanak mesti diajar kefahaman jelas tentang Islam, diajar mengenal Tuhan dan Rasul diajar supaya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang benar dan sistem kehidupan yang dapat menjamin kebahagian dan kesempurnaan dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Al-Quran begitu menitik beratkan pemantapan dan pengukuhan aqidah serta pembersihannya dari segala unsur negatif yang bertentangan dengan kesucian aqidah. Aqidah yang benar menjamin kepada manusia tafsiran yang tepat dan komprehensif tentang konsep kewujudan alam dan manusia. Penyelewengan aqidah akan membawa kepada penyelewengan ibadat dan adat serta kerosakan akhlaq individu dan masyarakat. Mengikut Sayyid Sabiq bencana pertama yang menimpa masyaraka t Islam ialah kelemahan aqidah. Kelemahan aqidah membawa kepada kelemahan individu, keluarga, masyarakat, negara dan segenap cabang kehidupan. Iman yang dituntut kepada setiap individu dan yang diajar kepada anak -anak mestilah iman yanag sebenar seperti yang diturunkan oleh Tuhan dan dijelaskan oleh Rasulnya. Anak-anak mestilah diajar konsep iman dengan jelas dan tanpa kerumitan supaya timbul di dalam perasaan diri mereka rasa kasih kepada Tuhan dan Rasulnya. Apabila mereka sudah kenal dan kasih sudah tentulah mudah bagi mereka menerima dan mempraktiskan segala ajaran dan arahan agama yang datang dari Tuhan dan Rasul. Individu tanpa agama dan iman ibarat sehelai bulu yang beterbangan di udara, ianya tidak akan tetap dan tidak mengenal hala tuju dan tidak akan berhenti di satu destinasi yang tetap. Iman yang mantap dan benar akan menggerakkan anak-anak dan individu untuk beribadat dan melakukan amalan dan perbuatan yang baik. Iman tidak sempurna tanpa amal dan amal tidak sah tanpa iman. Al-Quran sering mengaitkan iman dengan amal sebagai satu benda yang saling bertaut rapat ibarat pepatah melayu aur dengan tebing. Amalan dan perbuatan yang baik akan melahirkan nilai dan kesan yang positif. Al-Quran menegaskan sebagai contoh amalan solat dan zakat akan menghalang seseorang dari melakukan kejahatan dan membersihkan diri dari sifat-sifat keji. Islam mengarahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka sembahyang apabila berusia tujuh tahun. Kepentingan solat selain daripada ianya sebagai tiang agama, ia berupaya menanam dalam diri anak-anak pengertian taat, penyempurnaan haq Tuhan, bersyukur, berserah kepada Tuhan, dan pembersihan jiwa, fisikal dan akhlak. Kata Imam al-Ghazali : Anak-anak ialah amanah, hatinya yang bersih ibarat satu jawhar, jika dibiasakan dengan kebaikan akan bahagia dunia dan akhirat jika dibiasakan dengan kejahatan rosak dan binasalah dia

Pendidikan Akhlak Yang dimaksudkan dengan pendidikan akhlak ialah himpunan nilai-nilai akhlak yang perlu diajar kepada anak-anak sebaik sahaja mereka boleh memahami dan mencapai umur tamyiz (discernment). Dimaksudkan dengan akhlak pada Imam al-Ghazali ialah tingkah laku yang dilakukan oleh sesorang secara spontan dan bersahaja. Konsep akhlak dalam Islam ialah ianya mencerminkan kualiti iman yang ada pada sesorang individu. Sebagai Muslim ia sedar bahawa segala perbuatannya baik atau buruk jika tidak mendapat balasan di dunia ini akan pasti mendapat balasan di hari kemudian. Dalam surah Ahzab ayat 21 Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu seri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah Kanak-kanak yang terdidik di atas asas iman yang benar dan kasih kepada Tuhan dan Rasul akan mendapati pada dirinya kesediaan untuk melakukan segala perkara yang bersifat positif dan akan menolak segala perkara yang bersifat negatif. Dia akan sentiasa merasakan bahawa Tuhan bersama dia, melihat dan menyaksikan segala perbuatan dia. Kaitan akhlak dengan agama bukan sahaja konsep Islam tetapi ianya diakui oleh bukan Islam. Ghandi sebagai contoh menyatakan : Sesungguhnya agama dan akhlak satu benda yang satu dan tidak dipisahkanAgama ibarat ruh bagi akhlak dan akhlak ibarat atmosfer bagi agama kepercayaan; Tuhan, ruh dan Hari Pembalasan. Akhlaq berperanan sebagai salah satu rukun utama pembentukan peribadi unggul dan juga pembinaan keluarga dan masyarakat yang bertamadun. Tidak mungkin kita dapat melihat suatu masyarakat contoh dan mithali yang saling bertoleransi, memahami, aman tetapi kosong nilai-nilai akhlaq mulia yang ada pada masyarakat tersebut dan juga individu. Dewasa ini masyarakat Islam dan Melayu khususnya berhadapan dengan berbagai masalah sosial anak-anak. Terbaru pendapat pakar psikiatri mengatakan remaja berumur lingkungan 15 tahun selalu berhadapan dengan masalah sehinggakan sudah ada percubaan untuk membunuh diri hanya disebabkan cinta tidak diterima kekasih.[9] Jika hendak diperturunkan di sini senarai tingkah laku dan masalah akhlak remaja amatlah banyak. Bukan sahaja anak-anak menderhaka kepada orang tua mereka tetapi pernah kedengaran anak-anak yang mendera sehingga peringkat membunuh orang tua mereka. Perkara ini tidak akan berlaku jika remaja tersebut diberikan tembok iman, ilmu dan akhlaq yang kukuh. Benarlah ungkapan syair yang masyhur: Innama al-umam al-akhlaqu ma baqiyat, fain hum dzahabat akhlaquhum dzahabu (suatu ummat akan kekal bersama akhlaqnya; bila akhlaqnya hancur, hancurlah mereka bersamanya). Kant menyatakan : Tidak ada akhlak tanpa tiga

Dalam pembikinan akhlaq anak-anak, tidak cukup dengan tumpuan kepada akhlaq luaran tetapi dalaman atau rohani dan spiritual mesti dititikberatkan. Imam al-Ghazali, pemikir Islam agung silam menekankan: Sesungguhnya sifat yang lahir pada hati akan memperlihatkan kesannya pada anggota-anggota zahir sehinggakan anggota-anggota badan tidak akan bergerak melainkan mengikut kehendak hatinya. Oleh itu pembentukan karektor anak-anak tidak boleh ditumpukan hanya kepada kecerdasan akal sahaja tetapi mesti mesti meliputi aspek emosi dan juga spiritual. Anak-anak mesti diajar akhlaq individu seperti berpuas hati, sabar, bersyukur dan diajar akhlaq bermasyarakat seperti benar, penyantun, amanah, toleransi, merendah diri dan menepati janji. Sabda Nabi : Keajaiban bagi seorang Muslim dalam urusannya, sesungguhnya semua urusannya adalah baik belaka. Ini hanyalah untuk mukmin sahaja. Jika berada di dalam kegembiraan dia bersyukur, jika ditimpa musibah dia bersabar (Riwayat Muslim) Memandangkan pendidikan dalam Islam menitik berat pemerhatian observation sepatutnya ibu bapa dalam aspek pendidikan akhlak memandang serius empat isu utama : bercakap bohong, mencuri, mencela dan menyeleweng dari ajaran agama. Keempat perkara tersebut merupakan antara perkara utama yang dilarang oleh Islam dan banyak ayat Quran dan Hadith Nabi yang melarang keras perbuatan tersebut. Sebagai contoh dalam kes bohong Nabi ada menyebut : Jauhilah kamu membohong, sesungguhnya membohong membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka, dan adalah hamba itu berbohong dan sentiasa berbohong sehingga Allah mengecapnya sebagai pembohong. (Bukhari dan Muslim). Apa yang dibimbangi terdapat fenomena di mana ibu bapa sering menunjukkan contoh yang tidak baik terhadap anak-anak dengan berbohong walaupun tujuan mereka ialah untuk melakukan islah atau pembaikan. Abu Dawud dan al-Baihaqi meriwayatkan dari Abdullah bin `Amir bahawa suatu hari ibunya memanggilnya dan Rasulullah berada bersama mereka. Rasulullah bertanya kepada Abdullah apakah yang kamu hendak berikan kepadanya? Jawabnya aku ingin memberikannya sebiji tamar. Rasulullah menjawab Jikalau engkau tidak memberikannya sesuatu engkau akan dicap sebagai pembohong. Islam meletakkan beberapa asas dalam pembentukan akhlak antaranya : tidak mengikut budaya asing yang bercanggah dengan agama, hedonisma, mendengar muzik atau nyanyian yang melalaikan, menyerupai wanita, bertabarruj dan melihat benda yang haram. Oleh itu dapat disimpulkan di sini akhlak anak-anak boleh terjejas jika ibu bapa mengambil mudah dan tidak memberikan perhatian terutamanya kepada perkara-perkara berikut seperti yang disebut oleh Abdullah Nasih `Ulwan iaitu tidak memerhati pergaulan anak-anak, tidak menapis rancangan tv dan filem, membenarkan mereka membaca majalah-majalah yang tidak sepatutnya dibaca, mengambil mudah urusan pakaian dan aurat anak-anak, tidak mengawasi pergerakan mereka ke dan pulang dari sekolah serta perpustakaan kecil mereka. Kata

pujangga Bagaimana kamu menangisi keadaan anak kamu sedangkan kamu yang membunuhnya, telah pergi dia tetapi apakah yang kamu lakukan? Pendidikan Jasmani Kanak-kanak semasa dalam proses pembesaran sehingga ke peringkat pra sekolah perlu diberikan pendidikan jasmani bertujuan membina dan memantau perkembangan fizikal. Oleh itu, antara perkara-perkara yang berkaitan dengan jasmani yang disebut dalam Quran dan hadith seperti kewajipan memberi nafkah, mempraktiskan sistem pemakanan dan rehat yang baik. Nabi berpesan apabila sesorang hendak tidur hendaklah dia berwudu dan berbaring ke kanan dan membaca doa. Selain daripada perkara tersebut, anak-anak mestilah dipelihara dari sebarang penyakit dan perlulah mereka diubati apabila ditimpa penyakit dan mengamalkan konsep yang disarankan dalam hadis La darar wa la dirar tidak ada kemudaratan dan memudaratkan, membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menguatkan fizikal dan gemarkan mereka dengan kehidupan yang bersifat berani dan berjuang seperti dalam hadis Berikan perhatian kepada perkara yang bermanfaat, pohon pertolongan dengan Allah dan janganlah kamu menjadi lemah. Kepentingan jasmani diisyaratkan dalam Quran dalam surah Yusuf ayat 11-12 Biarkanlah dia (Yusuf) pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya. Keinginan naluri kanak-kanak untuk bermain dieksploitasi sepenuhnya oleh saudara-saudara Yusuf untuk memujuk ayah mereka memberikan keizinan untuk Yusuf keluar bersama abang-abangnya. Dalam sunan Tirmidhi permainan kanak-kanak memberikan kekuatan kepada akalnya semasa dewasa. Sarjana-sarjana Islam seperti Ibn Sina menyarankan supaya kanak-kanak kecil semestinya dibiarkan belajar berjalan dengan sendiri tanpa dipaksa kerana paksaan akan menjejaskan kekuatan tulang kaki. Apabila seorang anak bangun dari tidur dia mestilah dimandikan kemudiannya dibiarkan bermain untuk seketika kemudiannya diberikan sedikit makanan, kemudiannya bermain kemudiannya mandi dan selepas daripada itu diberikan makanan. Imam al-Ghazali berpendapat kanak-kanak perlu dibenarkan bermain selepas belajar untuk menghilangkan penat. Mencegah mereka dari bermain dan memaksa mereka belajar sepanjang ahri akan mematikan hati dan menganggu kecerdasan. Sebaik sahaja boleh bercakap dan memahami arahan anak-anak perlu diajar adab dan akhlaq seperti adab makan dan minum. Ibu bapa perlu bersikap tegas dalam mengawal fizikal anak-anak segala tindakan mereka yang boleh merosakkan tubuh badan dan kesihatan perlulah dilarang. Di sini kita dapat melihat sebahagian ibu bapa yang tidak bertegas dan membiarkan anak-anak mereka melakukan kegiatankegiatan yang memudaratkan bukan sahaja dari segi kesihatan bahkan juga merugikan wang. Perbuatan-perbuatan seperti merokok dan

pergaulan bebas akan mengundang berbagai masalah kesihatan dan sosial. Di sini saya suka mencadangkan agar pihak berwajib bersikap lebih tegas dalam mewujudkan zon bebas merokok dan menjadikan masyarakat Malaysia zero smoking. Program-program hiburan perlu dikemaskinikan supaya elemen-elemen yang baik dipaparkan dan elemen-elemen negatif yang menggalakkan anak-anak kepada pergaulan bebas mestilah dimonitor dengan serius. Pendidikan Minda dan Aqal Di dalam menangani cabaran mendidik anak-anak sebagai future generation tidak dapat dinafikan ilmu memainkan peranan yang besar dalam mewarnai corak kehidupan anak-anak. Yang dimaksudkan dengan pendidikan minda atau aqal di sini ialah membina fikiran anak-anak supaya mereka mengenal ilmu-ilmu bermanfaat, budaya ilmu, pola-pola pemikiran dan tamdaun sehingga berkembang fikiran dan berilmu. Ia juga bermaksud pengetahuan dan juga skil yang bukan sahaja perlu ada pada anak-anak sebagai satu tuntutan tetapi ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu-ilmu asas dan skil dalam membantu dan merangsangkan proses pembelajaran dan pendidikan anak-anak. Antara kerosakan akhlak anak-anak adalah berpunca daripada kecuaian memberi pendidikan.[10] Anak-anak perlu dibekalkan dengan dua cabang ilmu: ilmu agama dan ilmu duniawi. Ilmu agama sebagai tuntutan seorang Muslim dan ilmu duniawi sebagai memenuhi tuntutan kehidupan. Apabila proses pembelajaran dan pendidikan terbantut atau tidak lengkap ianya akan mempengaruhi sikap anak-anak. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah sebahagian dari remaja yang bermasalah adalah dari kalangan mereka yang terpinggir dari arus pembangunan dan perkembangan ilmu. Pengajian mereka tersekat setakat sekolah menengah dan masa remaja mereka terdedah kepada gejala-gejala tidak sihat. Ada tiga perkara pokok yang mesti ditekankan dalam pendidikan akal anak-anak iaitu tanggungjawab memberikan ilmu, pembinaan pemikiran Islam dan kesihatan mental. Dalam proses pendidikan ini ibu bapa pelu mengambil kira ilmu yang dianggap fardu ain dan fardu kifayah dan mengamalkan pendekatan awlawiyyat priority keutamaan iaitu ilmu apa yang perlu diajar dahulu dan bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak. Di sini konsep tadarruj atau gradualberansur-ansur perlu dipraktiskan kerana kanak-kanak tidak mampu menerima semuanya pada satu waktu. Mewujudkan perpustakaan kecil di dalam rumah adalah salah satu kaedah yang boleh merangsangkan minat untuk membaca. Penekanan yang serius tentang kepentingan ilmu inilah yang telah mengangkat martabat umat Islam satu ketika dahulu sehingga diiktiraf oleh bukan Islam. Seorang orientalis Belanda ada menyatakan : Tidak dapat dijumpai di Andalus seorang yang buta huruf sedangkan di Eropah

ramai yang tidak tahu membaca dan menulis kecuali golongan elit sahaja. H.R.Gibb menyatakan melalui kajian yang mendalam (oleh Muslim) metod penyelidikan meresap masuk ke Eropah pada zaman pertengahan. Ibu bapa perlu membuat pemerhatian adakah anak-anak mereka menguasai ilmu-ilmu fardu `ayn dan fardu kifayah dan cuba menimbulkan kesedaran anak-anak tentang pertaliannya dengan agama. Adakah kita boleh berbangga apabila anak-anak kita mampu menceritakan tentang tamadun Barat tetapi tidak berupaya menerangkan tentang tamadun Islam. Ibu bapa perlu mengambil perhatian berat kepada persekolahan anak-anak mereka bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah. Kemudahan sekolah, kurikulum dan ko kurikulum mestilah dipantau supaya pembinaan peribadi anak-anak dan perkembangan ilmu selaras dengan kehendak ibu bapa dan seperti yang dituntut dalam Islam. Pendidikan Sosial Menyedari kanak-kanak pada peringkat umur awal memiliki daya keinginan untuk membuat keputusan dan pilihan sendiri ibubapa semestinya sudah bersedia menanam di dalam diri anak-anak mereka nilai-nilai sosial. Nilai-nilai sosial tersebut seperti kasih sayang, berlaku adil dan lemah lembut. Nabi pernah berkata kepada Aishah bermaksud: Wahai Aishah! Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan sukakan lemah lembut (Riwayat Muslim). Tidak dapat dinafikan kekuatan sesuatu masyarakat terletak kepada kekuatan individunya. Anka-anak-anak perlu ditanam dan dilatih bersifat dengan sifat-sifat bermasyarakat yang berasaskan kepada pertama asas personaliti yang baik seperti taqwa, persaudaraan, kasih sayang, berkorban, pemaaf, berani bercakap benar, kedua menjaga hak orang lain seperti hak ibu bapa, saudara, guru, kawan-kawan dan orang yang lebih dewasa, ketiga komitmen kepada akhlak bermasyarakat seperti adab makan dan minum, memberi salam, meminta izin, menghadiri majlis, berbual, bergurau, mengucap tahniah, menziarahi orang sakit, mengucap tahniah dan mendoakan orang yang bersin dan keempat bersikap mengambil berat iaitu bersifat kritikal terhadap isu-isu sosial seumpamanya seperti sifat menghormati pendapat majoriti dan menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Pendidikan psikologi dan emosi

Yang dimaksudkan dengan pendidikan psikologi ialah mendidik anak-anak sebaik mereka mampu berfikir dan memahami sifat berani, keyakinan dan ketenangan diri. Aspek ini merupakan aspek yang penting yang kadang kala dipandang remeh oleh ibubapa. Perasaan gembira, suka, marah, bermusuh dan takut adalah sebahagian dari keadaan yang menguji emosi anak-anak. Matlamat penekanan aspek psikologi ini ialah membentuk peribadi anak-anak dan menanamkan keyakinan diri sehingga mereka mampu berdikari. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan sifat-sifat terpuji dan memastikan mereka terpisah dari sifat-sifat buruk yang boleh mempengaruhi psikologi. Dua faktor yang mempengaruhi emosi kanak-kanak; pertama tindak balasnya terhadap saudara-sauadaranya yang lebih tua dan kedua sikap ibubapa yang tidak dapat difahami oleh anak-anak seperti sifat ayahnya yang berubah dari penyayang kepada seorang yang bengis. Terdapat lima perkara ibu bapa perlu awasi dan hindarkan dari anak-anak. Malu, takut, rendah diri, dengki dan marah. Perasaan malu dapat dikesan pada peringkat awal usia anak-anak. Mereka malu untuk bertemu dengan orang yang mereka tidak biasa berjumpa dan kadang-kadang sikap malu ini diwarisi dari ibu bapa mereka. Sikap menyendiri dan tidak suka bercampur dengan masyarakat yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan mendorong anak-anak untuk menunjukkan sikap yang sama. Kanak-kanak perlu dibiasakan memasyarakatkan diri, bergaul dengan orang lain tetapi dalam keterbasan yang tidak menafikan dari diri mereka sifat-sifat mulia. Kebiasaan orang-orang Melayu dalam menghormati orang-orang tua melarang anak-anak mereka dari duduk bersama. Sikap seperti ini mungkin baik tapi dari segi yang lain akan menyebabkan anak-anak besrikap terlampau malu dan segan sehinggakan apabila mereka dewasa kelak tidak ada keyakinan diri dan tidak mampu berhadapan dan berkomunikasi dengan penuh konfiden. Perasaan rendah diri merupakan satu bentuk emosi disebabkan oleh ketidaksempurnaan fizikal badan, bentuk pendidikan dan suasana ekonomi. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perasaan rendah diri iaitu hina diri, membezakan antara anak-anak, kecacatan, keyatiman dan kemiskinan. Ada ibu bapa yang sering menggunakan perkataan yang tidak baik bagi menggambarkan kesalahan kecil anakanak di hadapan saudara-saudaranya seperti budak jahat, penipu, pemalas dan pencuri atau memarahi anak-anak di hadapan rakan-rakan mereka. Sikap ibu bapa yang terburu-buru dan mudah hilang sabar akan membuatkan anak-anak memberontak, irihati, tidak hormat orang tua dan dendam. Bagaimana mungkin kita mengharapkan mereka mempunyai sikap yang baik seperti taat, kasih sayang dan menghormati orang tua jika kita telah membibitkan dalam jiwa mereka perasaan-perasaan negatif tersebut. Sepatutnya ibu bapa menggunakan berbagai pendekatan bijaksana bersesuaian dengan kesalahan dan peringkat umur anak-anak. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan ibu bapa iaitu meletakkan sesuatu bersesuaian dengan tempatnya. Anas bin Malik berkhidmat kepada Nabi selama sepuluh tahun sejak berusia 10 tahun. Tidak pernah Nabi memarahi dan mengherdiknya. Kadang-kadang Nabi memanggilnya dengan namanya, ketika yang lain dengan panggilan

yang lembut Unais dan saat yang lain dipanggil wahai anakku. Pernah satu ketika Anas diminta pergi ke kedai di dalam perjalanannya dia berhenti untuk berjumpa dengan rakan sebayanya. Tiba-tiba dia merasakan seseorang memegang bahunya lantas dia berpaling dan mendapati orang tersebut ialah Nabi. Dia menyangka Nabi akan memarahinya tetapi apa yang dia dengar ialah Wahai anakku adakah kamu dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusanmu? Perasaan takut dan marah ialah dua unsur negatif yang biasa melanda kanak-kanak. Mengikut ahli psikologi kebanyakan perasaan takut merupakan satu benda yang dihasilkan oleh diri manusia sendiri. Takut terbahagi kepada tiga; takut secara semulajadi, resah dan fobia. Sikap ibubapa yang tidak bijaksana dalam berurusan dengan anak-anak atau keruntuhan rumahtangga boleh menjadi penyebab kepada perasaan takut yang akhirnya berkemungkinan akan mengganggu emosi kanak-kanak. Antara nasihat Nabi ialah Permudahkan jangan menyusahkan, tenangkan dan jangan kecoh. Terlalu memanja anak-anak juga merupakan antara faktor yang boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri dan berasa malu. Metod pendidikan Islam Ada beberapa metod yang dicadangkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam. Antaranya ibadah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran, hikmah, bercerita, perdebatan, membuat perbandingan, targhib dan tarhib, menanam adat-adat yang baik dan menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dan hukuman. Ibadat Ibadat merupakan metod pendidikan yang sempurna merangkumi semua aspek jasmani dan rohani individu dan masyarakat kerana pembentukan insan dan pembinaan peribadinya amat berhajat kepada amalan-amalan dan tingkah laku yang baik. Ibadat-ibadat seperti solat, zakat, puasa dan haji menanam sifat-sifat mulia yang perlu ada pada individu dan masyarakat. Contoh Tauladan Manusia dan anakanak khususnya perlu diikat dengan contoh tauladan yang baik supaya mereka boleh melihat sample dan menjadikannya sebagai ikutan. Terdapat anak-anak yang menjadikan artis-artis dan ahli-ahli sukan sebagai idola dan pujaan mereka sedangkan mereka ini

kosong nilai-nilai akhlaknya. Ibu bapa perlu memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Rasul, para sahabatnya dan orang-orang alim dan bijaksana sahaja yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kerana akhlak mereka yang tinggi. Amr bi ma`ruf dan nahi munkar Mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah dari keburukan satu metod yang baik dan berkesan kerana ia membangkitkan dalam diri anak-anak perasaan mengambil berat terhadap anggota masyarakat dan juga menyedarkan diri yang lalai akan kesalahan dan kekurangan diri. Pendidikan dengan hikmah dan kebijaksanaan Kanak-kanak jika bersesuaian cara nasihatnya akan menerima dan mengikut perkara yang dinasihatkan khususnya jika nasihat tersebut datang dari orang yang dikasihinya. Hikmah bermaksud meletakkan sesuatu kena dengan tempatnya. Menggunakan perkataan yang lemah lembut pada tempatnya menghukum anak-anak bersesuaian dengan keadaan dan kesalahannya adalah hikmah. Pengajaran dengan nasihat dan bimbingan dengan penuh hikmah dan kasih sayang seperti mana pesanan Luqman kepada anak-anaknya. Pesanan memperlihatkan kepada anak-anak betapa besarnya harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka. Menyertakan senda gurau di dalam pengajaran untuk menggerakkan otak, menghilangkan jemu serta menimbulkan keinginan untuk bermesra-mesraan. Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah memintanya seekor unta sedekah supaya dia menggunakannya untuk mengangkat barang-barang rumahtangganya. Maka berkata Rasulullah Aku akan memberimu anak unta untuk mengangkat barang itu. Lelaki itu berkata Wahai Rasulullah! Apa yang dapat aku buat dengan anak unta itu? Jawa Rasullullah Bukankah unta itu melahirkan anak unta? Bercerita Mengajar anak-anak dengan membawa cerita-cerita akan meninggalkan kesan di dalam jiwa dan tersemat di dalam akal. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh Quran dan hadith antaranya ayat 176 surah al -A`raf Dan ceritakanlah cerita-cerita itu kepada mereka moga-moga mereka memahami. Surah Yusuf umpamanya berkaitan kisah adik-adik beradik yang penuh dengan dengki dan diatasi dengan kasih sayang dan ikhlas kepada Allah.

Mendidik dengan pendekatan berdialog Cara menyampaikan cerita mestilah ada kepelbagaian seperti bercerita secara dialog, cerita secara mengemukakan soalan. Satu ketika Nabi bertanya kepada para sahabatnya: Tahukah kamu siapa dia seorang Muslim itu? Jawab Sahabat : Allah dan RasulNya saja yang lebih mengetahui. Sabda Nabi: Seorang Muslim itu ialah siapa yang terselamat kaum Muslimin yang lain dari lidahnya dan tangannya. Targhib dan tarhib Targhib ialah membuatkan seseorang suka kepada sesuatu dan tarhib membuat seseorang membenci atau lari dari sesuatu. Targhib seperti menceritakan kepada anak-anak balasan dan hasil yang baik jika mereka berakhlak mulia dan tarhib menceritakan kepada anak-anak keburukan yang bakal berlaku jika mereka tersilap jalan. Ibu bapa boleh menggunakan gambar-gambar bagi menggambarkan apa yang mereka ceritakan kepada anak-anak. Menanam dalam jiwa anak-anak adat-adat dan perbuatan yang baik Anak-anak dari semenjak kecil perlu ditunjukkan adat dan perbuatan yang baik dan dijauhkan dari mereka adat dan perbuatan yang keji. Anak-anak perlu dibiasakan dengan menghormati orang tua, bersopan santun, tidak pemarah dan dengki. Menggunakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling Ibu bapa perlu mengaitkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dengan akhlak anak-anak. Tunjukkan kepada mereka dan berikan mereka kefahaman Hukuman Mendidik anak-anak dengan menghukum merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan apabila didapati mereka tidak mengikuti arahan. Hukuman yang diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka adalah berbeza dan tidak sama dengan undang-undang dikenakan ke atas masyarakat. Ibu bapa perlu mengambil pendekatan-pendekatan berhikmah dalam menghukum anak-anak antaranya dengan memberikan nasihat dengan lemah lembut dan kasihan belas. Dalam sebuah hadis Hendaklah anda bersifat lemah lembut dan jangan sekali -

kali bersikap keras. Ibn Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyatakan bahawa kekerasan yang berterusan dengan anak-anak akan menjadikannya lemah semangat, jiwanya memberontak, kecergasannya akan hilang, menjadi malas dan suka berdusta. Ibu bapa juga boleh menghukum anak-anak dengan menunjukkan raut wajah yang tidak senang seperti memalingkan muka dari mereka, menunjukkan perasaan marah. Wahai Abu Dharr! Tidak patut engkau mengatanya dengan menyebut ibunya. Sesungguhnya engkau masih terpengaruh dengan cara-cara jahiliyyah (al-Bukhari). Ibu bapa juga boleh memulaukan anak-anak dengan cara tidak bercakap dengan mereka untuk sesuatu tempoh. Memukul anak-anak mungkin merupakan cara terakhir seperti dalam hadis Suruh anak-anak kamu mengerjakan sembahyang seusia tujuh tahun dan pukullah mereka apabila telah mencapai umur sepuluh dan pisahkanlah antara mereka di tempat tidur. Kesimpulan dan Cadangan Pendidikan anak-anak merupakan satu jihad dan memerlukan pengorbanan dari ibu bapa. Ibu bapa terlebih dahulu perlu mencerminkan budaya sihat dan tauladan yang baik supaya menjadi ikutan anak-anak. Anak-anak adalah cermin kepada ibu bapa. Kita tidak mahu ibu bapa yang ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul. Surah ayat 3-4 bermaksud : Wahai orang-orang beriman kenapa kamu kata apa yang kamu tidak lakukan ? amatlah besar dosanya di sisi Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat Syair Arab ada menyebut la tanha `an khuluqin wa tatiya mithalhu `aar `alaika idha fa`alta `azim . Kerajaan dan pihak yang berwajib perlu memperbanyakkan dan mempertingkatkan kualiti SA (Sekolah Agama) atau diubahsuai dan mengukuhkan kurikulum pelajaran supaya menjadi seimbang dengan mengambil kira potensi pelajar dan tuntutan arus perdana dan kewajipan agama.

Peranan keluarga dan keibubapaan Keluarga (dalam sebuah rumah) masa kini tidak semestinya mempunyai, bapa dan anak-anak (selain ahli-ahli keluarga yang lain seperti datuk, nenek dan sebagainya). Kini semakin ramai keluarga ibu tunggal, atau keluarga yang ketiadaan bapa dan sanak saudara terdekat di dalam sebuah rumah. Berbeza dengan keluarga dahulu di mana datuk, cak atau wan, nenek/tok dan sebagainya tinggal bersama dalam satu rumah atau berdekat an, saiz dan komposisi keluarga hari ini semakin mengecil. Bantuan dan sokongan daripada orang-orang terdekat juga semakin sukar diperolehi (sebahagiannya kerana masingmasing semakin sibuk dengan kerja/urusan dan hal masing-masing).

Namun, peranan keluarga masih tetap penting. Pengaruh keluarga masih besar terhadap pembangunan sahsiah anak-anak. Itu sebabnya keluarga dilihat sebagai aset utama bagi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat seluruhnya. Itu sebabnya pelaburan Negara dalam pelbagai aspek yang menyentuh pendidikan, pembangunan, pemantapan dan kesejahteraan keluarga sangat diperlukan (dianggap crucial). Dalam kehidupan hari ini tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa, atau selaku penjaga anak-anak bukan lagi suatu kerja mudah (atau taken for granted). Perkembangan sekarang menuntut ibubapa atau penjaga memahami keadaan sekeliling, mengetahui pendekatan dan cara-cara yang sesuai untuk mendidik dan membimbing anak-anak, serta mempunyai ilmu dan kemahiran keibubapaan yang mantap. Untuk menjadi ibu dan bapa, diperlukan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan keadaan persekitaran masa kini, bukan lagi cukup sekadar ikut kebiasaan, atau atautokai-tokai, atau ikut suka hati sahaja. Pembangunan (atau sebenarnya perubahan) yang pantas dan kurang seimbang hari ini meninggalkan ruang -ruang kosong (vacuum) di sekitar kita. Pembangunan yang menekankan pencapaian ekonomi, penguasaan teknologi-teknologi terkini, dan ganjaran kebendaan (material), tetapi agak tidak diimbangi oleh pengisian dan penghayatan kerohanian (spiritual), akhlak, nilai-nilai murni kehidupan bermasyarakat, idealisme kehidupan, perasaan komuniti (sense of community), jaringan perhubungan yang mesra dan bermakna sesama anggota masyarakat, budaya tinggi, patriotisme dan ketahanan nasional itu dikhuatiri akan/boleh mengundang pelbagai risiko psiko-sosial dalam keluarga dan masyarakat. Tanda-tanda (simptom) dan permasalahan demikian semakin kita saksikan dan alami hari ini... Pembangunan ini juga menghasilkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang memainkan beberapa peranan keluarga, dan ini lama kelamaan, boleh menghakis peranan keluarga. Dalam hal ini kita dapat lihat contohnya agensi-agensi, badan-badan atau pihak-pihak lain (seperti pertubuhan, sekolah, kilang, dsb) memainkan peranan dalam aspek-aspek ekonomi, pendidikan awal, keagamaan, pembentukan sahsiah dan akhlak, perlindungan, keselamatan dan rekreasi bagi pihak keluarga. Dulu keluarga memainkan pelbagai peranan ini dan sangat berpengaruh dan menentukan; kini peranan keluarga menjadi terhad, luntur dan dengan pengaruhnya semakin berkurangan.....

Ini tidak bererti kita tidak bersetuju dengan perkhidmatan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak lain itu. Tidak! Malahan kita akur bahawa dengan keadaan hidup masa kini (yang disebutkan tadi) dan tuntutan-tuntutan baharu kehidupan dan pasaran, pihak-pihak berkenaan, khususnya Kerajaan dan majikan serta sektor sukarela perlu tampil ke hadapan memainkan peranan masing-masing untuk sama-sama menanam modal membangunkan anak-anak remaja dan keluarga. Tetapi, ini tidak pula bererti keluarga harus mengambil jalan mudah, menunggu bantuan, atau beranggapan bahawa peranannya sudah semakin tidak/kurang penting. Sementara itu, pihak-pihak berkenaan juga perlu sentiasa akur (dan bertindak sewajarnya) bahawa tempat atau peranan keluarga tidak boleh diambilalih sepenuhnya oleh mereka bahawa peranan unik keluarga dalam memberikan/menyediakan suasana yang kondusif bagi perkembangan dan pembangunan anak-anak (termasuk sahsiah), perlindungan, kasih-sayang, sistem sokongan, dan keperluan-keperluan psikologi dan sosial yang asas bagi anggotaanggotanya tidak boleh ditukar ganti dengan pihak-pihak mana jua. Kelemahan institusi keluarga menyebabkan ia mudah berpecah. Sebagai contoh, dalam 10 tahun (dari 1980 hingga 1990), daripada 850,654 pasangan yang mendirikan rumah tangga, 167,012 atau sekitar 20% daripadanya bercerai (Bahagian Informasi Islam, JAKIM). Wilayah Persekutuan (32.3%), Terengganu (27.41%), dan Kedah (21.27%) adalah antara yang tertinggi. Keadaan di atas dipercayai turut menyumbang kepada pengabaian anak-anak remaja dan ini seterusnya menimbulkan pelbagai gejala atau permasalahan sosial dan psikologi berlaku seperti yang sering dihebohkan -- bersekedudukan, penderaan kanak-kanak, penagihan dadah, minuman keras, lari dari rumah, kelahiran di luar nikah, pembuangan bayi, jenayah, perempitan, tekanan emosi, dan sebagainya. Apakah yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa dalam menangani permasalahan di atas di samping mendidik dan membangun anak-anak remaja? Pembangunan anak-anak remaja -- meliputi aspek-aspek akhlak, nilai-nilai kerohanian, sahsiah (keperibadian/personaliti), pendidikan, intelek, perhubungan dan pergaulan, dan sebagainya -- kuat dipengaruhi oleh faktor-faktor yang disebutkan. Seperti dinyatakan juga, ibu bapa, selain berhadapan dengan pelbagai

cabaran dan tekanan kehidupan moden tersebut, juga harus bertarung untuk memelihara keharmonian dan keutuhan keluarga di samping memastikan pembangunan anak-anak remaja berjalan baik. Meskipun dibantu oleh pihak-pihak berkenaan, peranan mendidik dan membangun anak-anak remaja (malahan sering melampaui usia remaja juga) terpikul di bahu ibu bapa atau penjaga anak-anak. Selaku pihak yang paling dekat dengan anak-anak maka sudah barang tentu mereka paling layak melaksanakan tugas dan peranan ini. Secara ringkas, selain sedikit pandangan dan huraian di atas, di bawah ini dinyatakan beberapa petua asas dan umum tetapi dikira penting sebagai ingatan dan panduan bersama dalam membangun anak-anak remaja di samping menangani permasalahan di atas: 1. Sedar, faham dan mainkan peranan sebagai pendidik dan pembimbing anak-anak remaja kita 2. Cuba sediakan kemudahan-kemudahan yang baik, selesa dan sesuai di rumah dan di sekitar untuk pertumbuhan dan pembangunan anakanak 3. Sentiasa memberikan sokongan, dorongan dan rangsangan kepada anak-anak 4. Berusaha menjadikan diri rakan anak-anak (yang dapat saling berbincang, bertukar pendapat, bergurau, menangis..) 5. Pelajari dan fahami pergolakan jiwa dan perubahan-perubahan emosi, sikap, dan fizikal yang berlaku kepada anak-anak 6. Ketahui keadaan dan perkembangan sekitar yang mempengaruhi sikap, perasaan dan tingkah laku anak-anak 7. Ketahui rakan-rakan dan pihak-pihak yang bergaul, berhubung atau yang boleh mempengaruhi anak-anak 8. Sentiasa memantau perkembangan mereka (tetapi bukan cuba mengintip mereka kerana ini boleh menimbulkan keraguan, salah faham dan ketidakpercayaan anak-anak)

9. Kenali dan fahami anak-anak kita keinginan, kecenderungan, keperluan, sifat-sifat, bakat dan kebolehan, kelebihan dan kekuatan, kekurangan dan kelemahan mereka, dan hormati serta berikan peluang dan sokongan kepada mereka untuk berkembang Mudah-mudahan, berkat kesungguhan kita untuk memberikan yang terbaik bagi pembangunan anak-anak remaja dan generasi muda kita yang sangat tak ternilaikan itu, kita akan berjaya. Kita juga harus lebih cekal untuk berusaha menjadikan suasana rumah tangga kita aman dan tenteram. Dengan demikian, kita bukan sahaja menyumbang kepada keharmonian dan keutuhan keluarga kita serta pembangunan terbaik bagi anak-anak kita, tetapi juga meningkatkan mutu kehidupan dan kesejahteraan masyarakat kita seluruhnya. Terima kasih.

Search

Kemahiran Kekeluargaan

MENGURUSKAN DAN MEMAHAMI REMAJA DAN DIRI ANDA SEBAGAI IBU BAPA
02:02 admin No comments

Kemahiran Gaya Keibubapaan

Tanpa latihan mendidik anak, ibu bapa mungkin cenderung ke arah tindakan ekstrem Sumber Ilustrasi : Dinkmeyer, D & Mc Kay, G.D. (1989)

Kemahiran gaya keibubapaan yang dipraktikkan oleh ibu bapa terhadap anak mereka secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan anak-anak tersebut. Berdasarkan kajian oleh Diana Baumrind, beliau telah mengenalpasti tiga jenis gaya keibubapaan yang utama dan bentuk-bentuk tingkah laku yang terhasil berdasarkan kepada setiap gaya keibubapaan ini (Baumrind 1971; Baumrind & Black, 1967). Gaya keibubapaan yang dimaksudkan ialah:

a) Gaya keibubapaan autoritatif: Ibu bapa autoritatif bersifat tegas namun sedia mendengar pandangan anak-anak mereka. Ibu bapa juga sedia bertolak ansur mengikut keadaan dan anak-anak pula dididik dengan penuh kemesraan. Kesannya anak-anak dapat menikmati kehidupan dan mempunyai motivasi yang tinggi. Ini adalah gaya keibubapaan yang terbaik.

b) Gaya keibubapaan autoritarian: Ibu bapa sedemikian bersifat tidak bertolak ansur, mengenakan kawalan yang ketat, menentukan peraturan keluarga yang perlu dipatuhi tanpa membenarkan mereka mempersoalkannya, menggunakan kaedah disiplin yang bersifat hukuman dan setiap keputusan yang dibuat oleh para ibu bapa tidak boleh dibantah.

Kesannya hubungan akan lebih renggang di antara ibu bapa dan anak-anak serta lebih untuk tidak mempercayai dan berpuas hati. Selain itu, kanak-kanak perempuan lebih bergantung kepada ibu bapa manakala kanak-kanak lelaki cenderung bersikap agresif.

c) Gaya keibubapaan permisif: Ibu bapa memberikan kebebasan sepenuhnya kepada anak anak mereka tanpa ada kawalan.Ibu bapa lebih kepada memenuhi keperluan anak-anak mereka.Mereka juga tidak membentuk peraturan keluarga yang jelas dan tidak menerangkan antara tingkah laku yang baikdan sebaliknya.Ibu bapa yang menggunakan cara gaya keibubapaan ini akan membentuk sifat kurang matang, kurang kawalan diri,kurang tanggungjawab sosial dan kurang keyakinan diri pada anak-anak mereka.

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan

Ibu Bapa Sebagai Role Model Ibu bapa adalah role model untuk remaja. Remaja mempelajari secara berkesan melalui peniruan dan pemerhatian. Bersikap negatif seperti panas baran, mendera, mementingkan diri dan memaki hamun memberi kesan psikologi remaja. Adalah tidak mustahil jika remaja sendiri mempunyai sifat-sifat sedemikian memandangkan pengaruh yang diterima.

Kenali Rakan Anak Buangkan rasa malu atau ego untuk mengenali rakan-rakan anak anda. Cara ini memberitahu anda dengan siapa anak anda berkawan. Bonus kepada anda jika anda mengetahui seperti nama, keluarga, tempat tinggal serta tingkah laku mereka. Jika perlu, luangkan masa lapang anda seperti anda turut bersama hadir ke majlis rakan anak anda. Malah adalah tidak menjadi suatu kesalahan bagi ibu bapa untuk menganggap rakan-rakan anak mereka seperti rakan mereka sendiri.

Sentiasa Berhubung Dengan Guru Anak Anda Sentiasa berhubung dengan guru sekolah anak anda mengenai perkembangan anak. Cara ini membolehkan guru akan memberitahu anda seawal mungkin jika anak anda dikesan bermasalah.

Kualiti Masa Berbual kosong dengan anak sahaja adalah tidak memadai. Fikirkan bagaimana anda memaksimakan masa bersama dengan anak itu benar-benar berkualiti. Misalnya sedia mendengar apa jua ingin diberitahu oleh anak atau luangkan masa membantu anak dalam

apa-apa pun. Sara Gable (2000) berpendapat bahawa ibu bapa dan anak-anak yang sejahtera sering berkomunikasi mengenai pelbagai perkara dan bukan hanya apabila wujudnya konflik. Berbincang dan mencari penyelesaian bersama dapat mengatasi atau mengurangkan tekanan yang dihadapi dan juga membina pertalian (bonding).

Kebebasan Terkawal Ibu bapa wajar menerapkan kebebasan yang terkawal ke atas anak-anak mereka. Kebebasan yang diberikan patut tidak melampaui batas iaitu mempunyai had-had tertentu. Ini penting penting bagi menjamin tidak timbul sebarang unsur-unsur negatif yang mempengaruhi mereka. Misalnya anak anda boleh keluar rumah bersama rakan tetapi perlu memahami akan had-had yang perlu dipatuhi seperti berpakaian kemas, menjaga tingkah laku atau pulang pada masa yang telah dipersetujui bersama.

Bersikap Realistik Pastikan anda bersikap realisik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan perkembangan umurnya. Ini penting agar anda tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik. Ada ibu bapa terlalu mengharapkan anak mereka cemerlang dalam bidang-bidang tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa menghiraukan akan kemahuan dan

kebolehan remaja itu sendiri. Harapan ibu bapa yang tidak realistik dikhuatiri boleh menyumbang kepada tekanan ke atas anak-anak. Sewajarnya ibu bapa mengenalpasti akan kebolehan, bakat dan kecenderungan anak mereka dan seterusnya memberi dorongan. Ini adalah salah satu cara dalam memenuhi keperluan emosi anak-anak dan seterusnya penting dalam membantu meningkatkan harga diri mereka.

Pengurusan Disiplin Pengurusan disiplin yang salah boleh membawa implikasi kepada anak-anak terutamanya dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Menurut Maznah & Siti Nor (2002) disiplin sebenarnya melibatkan langkah pencegahan dan pemulihan. Langkah pencegahan termasuklah pengajaran dan latihan untuk membina kebolehan remaja serta penyediaan sempadan bertingkah laku. Pemulihan pula bertujuan membetulkan salah laku remaja dan membantu remaja supaya tidak mengulangi tingkah laku yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan agama. Linke (1994) bependapat disiplin yang lebih efektif ialah mengajar apa yang perlu dibuat daripada apa yang tidak patut dibuat dan juga menerangkan limitasi agar mereka berasa selamat dan terjamin.

Peraturan sepatutnya diwujudkan sejak di peringkat awal lagi. Ini boleh dimulakan dengan

membuat peraturan-peraturan yang mudah. Dalam membentuk pengurusan disiplin, perbincangan bersama ibu bapa dan anak-anak remaja perlu mengenai peraturan yang ingin ditetapkan. Sebagai remaja, mereka boleh berfikir secara rasional dan ini berfaedah lepada mereka dalam proses membuat sesuatu keputusan (Teoh Hsien-Jin, 2003).

Cara ini membolehkan wujudnya pertimbangan dan tolak ansur bagi menjalankan peraturan. Remaja sendiri memahami dengan jelas maklumat dan matlamat peraturan yang dilaksanakan. Ibu bapa juga perlu melaksanakan peraturan secara konsisten dan tidak bersikap berat sebelah. Misalnya ibu bapa menetapkan peraturan itu perlu dipatuhi oleh semua anaknya tanpa sebarang pengecualian terhadap seseorang itu sahaja. Dalam mempraktikan disiplin juga, ibu bapa seharusnya memberi sokongan kepada remaja bukannya mengkritik. Dalam hal ini kesilapan yang dilakukan oleh remaja itu perlu diterangkan dan membincangkan bagaimana untuk memperbaikinya. Apa yang lebih penting ialah ibu bapa melaksanakan disiplin dengan perasaan kasih sayang dan bukannya sebagai cara melepaskan kemarahannya.

Beri Penghargaan Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukan

kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutamanya daripada ibu bapa. Remaja akan berasa bahawa bakat atau kebolehan yang dipamerkan itu mendapat perhatian dan dihargai. Penghargaan yang diberikan akan memberikan semangat dan inspirasi untuk remaja melakukan yang terbaik.

Pendidikan Seks Ibu bapa perlu prihatin atau peka dengan perkembangan biologi remaja. Ini kerana adalah normal untuk remaja mempunyai perasaan ingin tahu mengenai seks. Mereka perlu memberitahu remaja perkara yang sewajarnya daripada daripada remaja itu sendiri mendapat maklumat daripada sumber yang kurang tepat. Sikap malu atau berpegang kepada kepercayaan tradisi bahawa membicarakan mengenai seks secara terbuka dengan anak-anak mereka adalah kepercayaan lapuk. Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran di mana remaja berasa selesa untuk berbincang mengenainya. Ini dapat memberitahu remaja maklumat yang betul seperti risiko hamil tanpa nikah, risiko melakukan seks bebas dan penyakit-penyakit berbahaya seperti AIDS dan HIV. Selain itu, ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk menekankan perlunya remaja saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam apa jua hubungan. Jika ibu bapa merasakan tidak mampu untuk menjelaskan perkara tersebut kepada remaja, dapatkan bantuan daripada profesional lain seperti kaunselor, psikologis dan

doktor.

Rujukan

Baumrind, D. (1971). Harmonious Parents and Their Preschool Children. Developmental Psychology, 41, 92-102. Baumrind, D. & Black, A.E. (1967). Socialization Practices Associated With Dimensions of Competente In Preschool Boys and Girls. Child Development, 38, 291-327. Dinkmeyer, D & Mc Kay, G.D. (1989). STEP: The Parents Handbook. American Guidance Service. Linke, P. (1994) Practical Parenting. Melbourne: Australian Council for Educational Research. Manual Promosi Kesihatan Mental: Kempen Cara Hidup Sihat 2000. Kementerian Kesihatan Malaysia. Manual Promosi Keluarga Sihat: Kempen Cara Hidup Sihat 2001. Kementerian Kesihatan Malaysia. Teoh Hsien-Jin (2003). Talking With and Advising Teenagers. Selangor: Oak Enterprise.

Anda mungkin juga menyukai