Anda di halaman 1dari 4

Perincian kraf Seni tekat

Seni Tekat
1. Sejarah Ringkas(Pengenalan) Seni tekat dikenali juga dengan nama bersuji. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar (jenis baldu). Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat. Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana.

Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka. Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada.

2. Alat a) Cuban untuk membulut benang emas / perak ( terdiri daripada cuban kayu, cuban buluh dan cuban kayu bercabang tiga ) b) Jarum untuk menjahit benang emas / perak c) Baldu kain berbulu halus dan lembut d) Mempulur isi tekatan yang dibuat daripada kertas keras e) Benang emas dan perak f) Pemidang kayu untuk meregangkan kain baldu

Pelbagai jenis cuban untuk melilit benang emas

Perincian kraf Seni tekat

Pemidang kayu untuk proses menekat

3. Bahan Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.

4. Teknik dan kaedah penghasilan a) Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 sentimeter dan 0.25 sentimeter. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.

b) Seterusnya, kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada reka bentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu, baldu akan menjadi tegang.

Perincian kraf Seni tekat

c) Selepas itu, benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.

d) Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman.

Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.

Proses menyulam tekat timbul benang emas

5. Ciri-ciri i. Baldu dan benang emas ii. Sulam penuh iii. Sulam pahat iv. Tekat timbul benang emas dan perak v. Tekat gubah ( tidak menggunakan mempulur ) vi. Tekat perada ( perada emas ditampal pada kain )

10

Perincian kraf Seni tekat

6. Jenis-jenis a) Tekat Timbul Bunga Emas Tekat ini menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

b) Tekat Gubah Tekat gubah tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Pandai tukang hanya menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil benang untina. Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat ialah menghiasi tudung saji, tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, lemudi pintu, pakaian diraja dan sebagainya.

7. Tokoh-tokoh a) Ahdijah bt. Hasim Ahdijah b. Hasim adalah seorang tokoh kraftangan tekat yang telah dipilih oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Adiguru kerana kepakaran dalam bidang tekat. Beliau mula belajar menekat daripada Ibunya bernama Anatishaah bt. Bilai Din juga seorang tokoh tekat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga banyak menerima tempahan tekat antaranya ialah daripada Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Baju penabalan Yang Di Pertuan Agong.

b) Hajah Azizah bt. Mohd Yusof Hajah Azizah berasal dari Kg. Panang Changkat, Bukit Candan, Kuala Kangsar Perak. Kemahiran menekat adalah di warisi dari ibu dan warisan keluarga sejak turun temurun. Sekarang beliau menumpukan sepenuh masa dalam perusahaan menekat. Sebelum ini beliau adalah seorang jurulatih di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak. Beliau pernah mewakili negara ke Jepun, Arab saudi dan Brunei untuk membuat demontrasi menekat.

11

Anda mungkin juga menyukai