Anda di halaman 1dari 4

Pada sesi PdP kali ini, saya telah mengambil langkah proaktif dengan memilih untuk menghasilkan alat

bantu mengajar iaitu kad cantum huruf berdasarkan bahan

rangsangan gambar objek yang ditayangkan oleh guru yang saya namakan ia sebagai Kad Doraemon. Hal ini kerana, melalui penggunaan ABM maujud, tahap kefahaman pelajar akan lebih bertambah dengan wujudnya rangsangan luar ke atas motor kasar dan halus seperti tangan dan ini sekali gus mempertingkatkan daya kreativiti dan pemikiran kritis pelajar. Menurut Janet W. Leaner( 1971),proses berlaku apabila wujudnya rangsangan luar yang boleh kesan dan bertindak dengan organ-organ deria, hasil proses mental dan neurologi yang mempengaruhi pembentukan konsep-konsep yang jelas dan tepat . Kaedah yang diguna pakai dalam melaksanakan ABM ini ialah kaedah main. Saya memilih kaedah ini kerana main merupakan perkara yang sinonim apabila melibatkan kanak-kanak. Sudah menjadi fitrah alam bahawa setip kanak-kanak amat sensitif dan peka terhadap aktiviti permainan. Ahmad Mohd Salleh (2008) mendefinisikan kaedah sebagai satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkatperingkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu pelajaran. Oleh yang demikian, penggunaan alat bantu mengajar kad cantum huruf amatlah bertepatan dengan kaedah main ini. Seperti biasa, sesi PdP dimulakan dengan doa dan set induksi serta langkah 1 sebagai input kepada pelajar. Saya menggunakan ABM saya di langkah 1 sebagai daya penarik dan merangsang minda murid. Saya telah membahagikan kumpulan di mana setiap kumpulan disertai hanya dua orang ahli supaya fokus mereka tidak hilang dan melancarkan sesi PdP. Sebelum itu, saya memberikan sedikit taklimat ringkas kepada murid tentang cara permainan. Kemudian, setiap kumpulan akan diberikan satu keping gambar yang terdiri daripada anggota badan dan diminta bersama-sama membentuk perkataan tersebut dengan mencari dan mencantumkan huruf-huruf tersebut yang terdapat di tengah-tengah ruangan meja. Apa yang dapat saya kesan sepanjang

mereka melakukan aktiviti ini ialah wujudnya suasana pembelajaran yang aktif dimana semua murid melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Ini akan

menambahkan kefahaman murid sekali gus mereka akan mendapat pengetahuan baru. Di samping itu, melalui aktiviti penggunaan ABM ini juga, saya dapat melihat semangat kerjasama dalam kalangan murid. Belajar secara berkumpulan dalam bilik darjah memerlukan kerjasama yang tinggi di kalangan ahli kerana ianya akan memberikan impak yang besar terhadap suasana pembelajaran. Semua murid memainkan peranan penting dalam menjaga disiplin diri dan perlu peka terhadap pengajaran yang diajar oleh guru di semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya semasa mencantumkan huruf, murid yang sudah pandai suku kata telah membantu rakan yang masih lemah penguasaan mengeja mereka dengan menggunakan kad cantum yang diberikan dan telah disediakan oleh guru. Jika dilihat dari segi interaksi pula,saya dapati penggunaan ABM yang berpusatkan murid ini akan menggalakkan interaksi yang lebih berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid tidak akan berasa takut dan malu dengan murid sebaliknya mencuba segala aktiviti yang diadakan berdasarkan kepada panduan yang telah diberikan oleh guru. Murid akan bertanya kepada guru sekiranya mereka kurang jelas tentang isi pelajaran yang diajar. Namun,setiap yang dilakukan oleh manusia itu pasti akan ada kurangnya. Saya cuba meminumkan sebanyak mungkin kekakangan yang wujud agar stigma tidak cekap pengurusan oleh guru dapat saya elakkan. Apa yang ketara dapat saya lihat ialah dari segi pengurusan masa. Masa yang saya peruntukkan selama 10 minit itu rupa-rupanya hanyalah baru setengah daripda masa sebenar aktiviti permainan ini. Saya sewajarnya memperuntukkan masa sebanyak 15-20 minit untuk aktiviti ini dengan mengambil kira murid yang bervariasi dan terdiri daripada kategori sederhana dan lemah. Masa yang terlalu singkat ini telah memberi impak kepada anjakan masa untuk langkah yang seterusnya. Seterusnya, saya merasakan tahap pengawalan kelas saya masih dalam agak lemah. Hal ini kerana, walaupun saya telah memberikan arahan kepada murid, namun masih ada yang bising dan tidak mengendahkan aktiviti ini. Natijahnya, murid yang ingin menyiapkan tugasan ini terganggu. Selain itu, saiz ABM yang agak sederhana menjadikan penglihatan murid kurang jelas dan kurang daya penarik.

Sesungguhnya, segala kelemahan ini akan saya atasi dengan memaksimumkan dengan sebaik mungkin ABM saya agar bahan rangsangan saya itu mampu dicapai dan dilihat dengan jelas oleh semua murid. Selain itu, pengurusan masa juga akan saya perbaiki serta kawalan kelas akan saya pertingkatkan dan perketatkan dengan peraturan yang sewajarnya. Apa yang diharapkan agar ABM saya ini mampu membantu bunga-bunga bangsa agar dapat terus berkembang dengan mekarnya mewarnai pentas dunia.

SILA MASUKKAN RUJUKAN DIBAWAH RUJUKAN!TQ Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd. h. 188.

Anda mungkin juga menyukai