Anda di halaman 1dari 5

BAGAIMANA MAHU MENULIS SAJAK?

Menulis sajak berlaku apabila anda memerhatikan dunia dalam diri sendiri atau dunia di sekeliling. Sajak boleh menjadi apa sahaja, daripada topik cinta sehingga keadaan bumi yang semakin tercemar. Selagi anda berusaha untuk menikmati ketegangan dan isu yang berlaku, anda sedang berada di landasan yang betul untuk menulis sajak. Berikut tips menulis sajak dengan baik:

1. Cari pencetus (idea) untuk menulis sajak. Tentang apa?

Sajak mungkin dapat bermula dengan secoret ayat, mungkin hanya segaris atau dua garis ayat yang entah datang dari mana. Itulah yang dipanggil ilham. Catatkan sahaja apa yang terlintas di fikiran, kemudian terjemahkan lintasan itu ke dalam baris-baris yang sempurna. Berikut latihan untuk menjana idea menulis sajak:

Dapatkan antologi atau kumpulan sajak oleh penyair yang berbeza. Cara lain adalah dengan mencetak 10 atau 12 sajak secara rawak oleh penyair terpilih daripada Internet. Kemudian, secara rawak pilih baris yang dirasakan menarik bagi setiap sajak tersebut. Tulis semua baris ini di atas sekeping kertas. Kaji gaya bahasa dan struktur idea yang terkandung dalam sajak. Cuba tulis baris sajak anda mengikut gaya bahasa penyair pilihan itu tanpa menciplaknya. Tulis semua perkataan dan frasa yang datang ke fikiran apabila anda berfikir tentang idea itu. Benarkan diri anda untuk berfikir sebebas-bebasnya secara kreatif dan kritis. Belajar bermain dengan kata-kata. Gubah kata-kata. Mungkin kedengaran agak sukar tetapi jangan takut untuk menyuarakan perasaan anda yang tepat. Emosi datang bersekali dengan sajak yang akan dinukil. Jika anda berbohong tentang emosi yang dirasai, kesannya sangat mudah dilihat dalam setiap baris sajak. Tulis sahaja tanpa menyunting apa-apa dan apabila selesai, semak kembali dan semasa itulah baiki perkataan yang longgar atau tidak berkesan dan masukkan diksi-diksi segar melalui gaya bahasa menarik.

Cuba muatkan adegan-adegan tertentu yang berkaitan apabila anda mengarang sajak. Sebagai contoh, jika anda mahu menulis tentang alam semula jadi, cuba bayangkan (atau lebih bagus lawat sendiri) taman dan hutan berdekatan. Rasa yang dialami dan pemandangan semula jadi yang dilihat dapat memberi inspirasi kepada baris-baris sajak anda, walaupun tidak semestinya sempurna.

2. Sentiasa membaca atau mendengar sajak dideklamasikan.

Dapatkan inspirasi dengan mencari hasil kerja penyair yang anda kagumi. Di Malaysia, contoh penyair yang unggul termasuklah Sasterawan Negara Usman Awang, penyair T. Alias Taib dan penyair muda seperti Dr. Fahd Razy, Salman Sulaiman, dan lain-lain. Teroka semua jenis sajak termasuk puisi tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam. Anda akan memperoleh corak dan struktur bentuk sajak. Kaji secara meluas daripada puisi klasik sehingga lirik lagu yang berkualiti seperti tulisan Loloq. Cubalah berinteraksi dengan sajak, dapatkan kata-kata yang sukar difahami dan cari maknanya di dalam kamus. Semakin kerap anda berkomunikasi dengan sajak, semakin cepat anda menangkap estetika makna dan anda boleh mengarang sajak sendiri dengan lebih berstruktur dan bermakna.

Latih telinga anda mendengar sajak dideklamasikan para deklamator yang hebat seperti Sasterawan Negara A. Samad Said atau penerima anugerah Sea Write Awards, Lim Swee Tin. Jumpa orang-orang yang berpandangan jauh dan para intelektual di sekeliling anda. Mungkin guru anda sendiri, petani, imam masjid, ahli akademik, termasuk ibu bapa anda. Gali falsafah hidup daripada mereka. Hadir juga ke majlis-majlis bacaan puisi (berkawan dengan penulis di Facebook dan lihat acara yang dihadiri oleh mereka). Berjinak-jinaklah ke toko buku untuk membeli koleksi buku-buku kumpulan sajak (boleh belinya secara atas talian). Cari lirik lagu kegemaran anda dan baca lirik tersebut seperti membaca puisi. Anda mungkin terkejut kerana kesannya luar biasa, berbeza berbanding lirik tersebut dinyanyikan. Contoh lirik yang indah terdapat dalam lagu-lagu ciptaan komposer terkenal, M. Nasir.

3. Fikirkan matlamat yang ingin anda peroleh pada peringkat akhir anda mengarang sajak.

Mungkin anda mahu menulis puisi cinta yang indah buat insan tersayang. Mungkin anda ingin mengingati peristiwa tragis. Atau anda mahu memperjuangkan isu besar dalam masyarakat seperti kemakmuran rakyat, keadilan, dan perjuangan politik. Fikir sahaja tentang mengapa anda mahu menulis sajak? Apa yang ingin anda sampaikan kepada para pembaca? Kemudian, apabila anda mendapat jawapannya, tulis sajak itu secara berhemah dan bertanggungjawab. Elakkan daripada penggunaan bahasa rancu dan dialek walaupun dalam sajak, anda boleh melanggar nahu biasa.

4. Gubah nada sajak mengikut keperluan subjek yang ditonjolkan.

Terdapat pelbagai jenis gaya sajak yang berbeza-beza. Sebagai penyajak, anda perlu mahir dengan pelbagai bentuk sajak ini, sebagai contoh: pantun, syair, sonata, haiku, oda, dan lain-lain. Jika tidak mahir kesemuanya, sekurang-kurangnya asas sajak mesti dikuasai.

Anda juga boleh memilih untuk mencuba sajak-sajak eksperimen kerana sajak berbentuk bebas. Walau bagaimanapun, sajak eksperimen perlulah memenuhi ciri-ciri sajak. Untuk permulaan, gubah bentuk sajak biasa terlebih dahulu. Jika sudah mahir, teroka pula proses penulisan yang lain. Pilih nada yang sesuai. Frasa yang mempunyai banyak huruf o misalnya bersifat garang dan baik untuk sajak-sajak nada patriotik seperti perkataan obor, jagoan, dll. Frasa yang ada banyak huruf u atau i sesuai untuk sajak nada romantik kerana kelembutan huruf itu. Misalnya, perkataan rindu, izin, diri, hati, nurani, dll.

5. Pilih perkataan paling tepat.

Ingat, definisi sajak yang dipelajari: kata-kata terbaik dalam susunan terbaik.

Fikirkan kata-kata yang digunakan seperti anda mahu mendirikan sebuah rumah atau blok binaan. Ada perkataan yang patut bersama-sama binaan tersebut dan ada yang patut dibuang. Semakin kuat kata-kata yang dipilih, semakin teguh binaan atau rumah anda. Maksud saya, sajak anda akan menjadi cemerlang. Gunakan kata-kata yang perlu sahaja untuk meningkatkan medan makna sajak. Kata-kata yang baik ialah kata-kata yang memberi makna. Eknomikkan kata. Jangan bertele-tele. Pilih diksi dengan teliti. Cuba belajar untuk bermain-main dengan kata-kata. Bunyi pada perkataan dan perkataan seerti boleh menjadikan anda lebih minat mengarang sajak. Berlatih menulis sajak di dalam komputer pada masa lapang. Buka Microsoft Word dan mula menulis sajak. Anda boleh memadam perkataan yang dirasakan tidak perlu, menokoknya, atau menyunting bila-bila masa. Jangan lupa untuk menyimpan dokumen itu di komputer untuk keperluan akan datang.

6. Gunakan imej konkrit dan penerangan yang jelas dalam sajak.

Sajak sangat memerlukan kekuatan pancaindera (lihat, dengar, sentuh, hidu, rasa) yang diterjemahkan ke dalam bentuk perkataan. Pembaca akan tenggelam apabila teks dan frasa yang dipilih penyair menggunakan imej-imej konkrit dan penerangan jelas. Sajak kelihatan sangat hidup dan segar. Berikut beberapa perkara yang perlu diambil kira apabila anda membina penerangan dalam sajak:

Cinta, benci, bahagia: semua ini konsep yang abstrak. Mungkin tema sajak yang kita mahu gubah merangkumi emosi itu. Walau bagaimanapun, sajak menjadi tidak kuat jika kita hanya mendedahkan perkataan-perkataan itu sahaja tanpa memberikan penerangan yang jelas. Sajak langsung tidak menarik. Lebih baik sekiranya sajak digantikan dengan imej-imej konkrit yang berkaitan dengan emosi tersebut. Perkataan-perkataan ini pasti menyebabkan pembaca lebih menikmati emosi yang anda tonjolkan. Contohnya, apabila anda mahu menulis sajak cinta, jangan tulis. Aku mencintai kamu. Tukar dengan dengan imej yang konkrit seperti: Kau mawar dalam hatiku. Di sinilah letaknya keperluan untuk menghasilkan metafora-metafora yang segar. Gabungan gaya bahasa yang indah akan membangkitkan emosi dalam sajak anda tanpa menjejaskan idea asal.
4

Pelbagaikan kata-kata termasuk yang melibatkan perkara yang didengar, dilihat, dirasa, disentuh, dan dihidu supaya pembaca boleh mengenal pasti dan cepat menghubung kaitkan dengan pengalaman mereka sendiri.

7. Mahirkan diri menggunakan gaya bahasa secara optimum dalam sajak.

Gaya bahasa sangat penting dalam sajak kerana apabila gaya bahasa berpadu, sajak itu menjadi sangat indah. Tapi ingat, jangan berlebihan rima! Rima yang berlebihan di hujung sajak secara tidak spontan menyebabkan sajak terasa hipokrit. Gaya bahasa yang dominan dalam sajak termasuklah metafora, asonansi, aliterasi, repetisi (pengulangan), dll. Jika anda tidak mahir lagi tentang gaya bahasa, belilah kamus puisi dan kaji perkara tersebut. Walau bagaimanapun, sederhanakan gaya bahasa anda supaya tidak nampak terlalu berlebihan. Rima yang spontan itulah kunci kepada keindahan sajak. Contoh sajak: Bunga Popi karya Sasterawan Negara Usman Awang.

8. Peram dan sunting sajak. Kemudian selesai. Sajak yang sempurna dapat dihasilkan!

Apabila sajak siap didraf, ketepikan seketika untuk beberapa tempoh. Mungkin 5 minit, 10 minit, atau lebih lama. Anda akan melihat kesannya. Dari situ, anda melihat diksidiksi yang tidak tepat. Proses penyuntingan pun bermula sehingga bentuk sajak dan isinya sempurna. Sajak yang bagus terhasil di tangan anda! Selamat mencuba.

Anda mungkin juga menyukai