Anda di halaman 1dari 5

Tingkah laku bermasalah individu dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku yang

menganggu perjalanan kehidupannya sebagai pelajar. Sehingga pada hari ini, telah banyak
kajian oleh para psikologi dan para pendidik yang menjadikan masalah tingkah laku sebagai
agenda mereka dalam penyelidikan. Walaupun sudah banyak kajian yang telah dijalani,
namun masalah tingkah laku pelajar masih belum dapat difahami secara sepenuhnya, akan
tetapi, terdapat juga hasil kajian yang dapat membantu guru memahami sebahagian
masalah tingkah laku pelajar dan cara membendungnya walaupun bukan secara
keseluruhannya.
Untuk pengurusan bilik darjah dan tingkah laku, terdapat banyak model disiplin yang
telah diperkenalkan yang mampu untuk menangani masalah tingkah laku pelajar di dalam
bilik darjah. Untuk kes Tahun 6 Bunga Raya, antara model disiplin yang dapat menangani
masalah disiplin dalam bilik darjah kelas Tahun 6 Bunga Raya adalah model disiplin yang
diperkenalkan oleh Dreikurs dan Kounin. Berdasarkan analisis, untuk menangani masalah
tingkah laku pelajar dalam kelas Tahun 6 Bunga Raya, model disiplin Dreikurs atau lebih
dikenali sebagai model akibat logikal adalah amat sesuai untuk menangani masalah tingkah
laku pelajar-pelajar ini.
Tingkah Laku Pelajar Lelaki Tingkah Laku Pelajar Perempuan
Bergaduh Tidur dalam kelas
Buli Bercakap-cakap semasa guru mengajar
Tidak menyiapkan kerja rumah Makan
Mencuri Menconteng
Rajah 1. Masalah tingkah laku pelajar lelaki dan perempuan Tahun 6 Bunga Raya.

Tingkah laku pelajar lelaki yang terdapat dalam kelas Tahun 6 Bunga Raya adalah
bergaduh, buli, tidak menyiapkan kerja rumah dan mencuri. Manakala, pelajar perempuan
kelas Tahun 6 Bunga Raya pula, tingkah laku bermasalah mereka iaitu tidur dalam kelas,
bercakap-cakap semasa guru mengajar, makan dan menconteng. Dreikurs percaya, jika
kanak-kanak berasa mereka akan mendapati apa yang diinginkan, atau berasa berada di
jalan yang betul dalam mengecapi sesuatu yang diinginkan, adalah kurang potensi akan
mempunyai masalah tingkah laku (Robert T. Tauber, 2007). Oleh itu, kemungkinan besar
tingkah laku bermasalah ini wujud kerana pelajar ini tidak mendapat apa yang diinginkan
misalnya perhatian atau kuasa. Dreikurs juga percaya bahawa setiap tingkah laku
bermasalah itu dilakukan mempunyai sebab (Hue Ming Tak et.al, 2008). Oleh itu, ianya
adalah mustahil untuk memahami pelajar tersebut dengan betul melainkan guru sedar akan
tujuan tingkah laku bermasalah tu diwujudkan. Dreikurs juga berpendapat, kanak-kanak
adalah makhluk yang suka bersosial. Kanak-kanak harus tahu mereka tergolong dalam
sesuatu kelompok. Kanak-kanak, sekiranya berasa tidak tergolong dalam sesuatu
kelompok, mereka akan melakukan sesuatu tingkah laku untuk mendapatkan perhatian
(Robert T. Tauber, 2007). Maka, dari faktor inilah, pelajar lelaki tahun 6 Bunga Raya
mempunyai tingkah laku yang suka bergaduh, membuli, tidak menyiapkan kerja rumah dan
mencuri kerana tingkah laku tersebut menunjukkan bahawa pelajar lelaki ini mahukan
perhatian daripada guru atau sesuatu kelompok dan berasa diri berkuasa dengan cara
mengingkar arahan guru seperti enggan menyiapkan kerja rumah dan melanggar peraturan
sekolah. Begitu juga dengan pelajar perempuan kelas Tahun 6 Bunga Raya. Tingkah laku
bermasalah mereka iaitu tidur dalam kelas, bercakap-cakap semasa guru mengajar, makan
dan menconteng juga mempunyai tujuan yang sama dengan pelajar lelaki.
Berdasarkan model akibat logikal Dreikurs, tingkah laku pelajar kelas Tahun 6 Bunga
Raya ini harus dibendung menggunakan teknik yang bersesuaian. Hal ini adalah kerana
menurut Dreikurs, tingkah laku bermasalah yang dilakukan oleh individu walaupun sama
tetapi mempunyai tujuan yang berbeza. Untuk mengetahui tujuan sesuatu tingkah laku
bermasalah itu diwujudkan pula, lazimnya akan dapat dirasakan sendiri oleh guru. Oleh itu,
seseorang guru itu harus memberi tindak balas yang bersesuaian dengan tingkah laku
pelajar tersebut (Deslea Konza et.al, 2001). Maka, untuk menangani masalah pelajar lelaki
kelas tahun 6 Bunga Raya berdasarkan model akibat logikal Dreikurs agar proses
pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar, guru boleh:
1. Abaikan tingkah laku pelajar tersebut. Tingkah laku pelajar yang meminta perhatian
seperti bercakap-cakap semasa guru mengajar, makan dan menconteng, jangan
sesekali memberi mereka perhatian kepada tingkah laku yang jelas meminta
perhatian daripada guru walaupun sesuatu tingkah laku tersebut adalah positif.
Sebaliknya, membantu pelajar menjadi motivasi diri dan memberi mereka perhatian
ketika saat yang tidak disangka oleh pelajar.
2. Tidak melibatkan diri dengan pergelutan kuasa dan sebaliknya menarik diri daripada
konflik tersebut. Pergelutan kuasa yang dimaksudkan adalah seperti murid enggan
menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru. Di sini, berlakulah pergelutan kuasa
antara guru dan murid. Sebagai teknik mengatasinya, guru boleh biarkan akibat
tingkah laku bermasalah pelajar tersebut dirasai sendiri. Misalnya, sekiranya murid
itu enggan menyiapkan kerja rumah Matematik yang memerlukan hafalan sifir,
akibatnya, murid akan sukar untuk meneruskan sesi pengajaran Matematik
seterusnya yang memerlukan hafalan sifir. Maka, selepas murid tersebut sedar akan
kesalahan dia, guru boleh dapatkan kerjasama dengan pelajar tersebut dengan
memberi mereka bantuan. Misalnya, guru meluangkan masa ketika rehat atau
selepas kelas untuk membantu pelajar tersebut menghafal sifir.
3. Elak daripada berasa tersinggung dengan pelajar yang ingin balas dendam,
misalnya, pelajar lelaki yang suka bergaduh dengan guru kerana berniat hendak
membalas dendam. Sebaliknya, guru bersabar dan yakinkan pelajar tersebut
bahawa mereka boleh menjadi golongan yang disukai dan diterima jika dapat
mengawal perasaan daripada bergaduh terhadap orang. Guru juga boleh berusaha
untuk membina hubungan kepercayaan antara guru dan pelajar. Hal ini boleh
membantutkan niat pelajar daripada membalas dendam terhadap guru atau sesiapa
sahaja.
4. Jangan berasa putus asa terhadap murid yang sukar diubah. Misalnya, jika pelajar
tersebut sukar diubah tabiatnya yang suka mencuri. Guru janganlah mengkrtik atau
berasa kasihan terhadap mereka. Sebaliknya, terus menasihati mereka,
memotivasikan mereka dan sentiasa mengingatkan meraka akan kesan tingkah laku
sesuatu itu. Selain itu, Dreikurs juga lebih suka pelajar itu sendiri mengalami akibat
hasil daripada tingkah laku yang kurang baik. Misalnya, apabila pelajar
meninggalkan kertas di atas lantai, dia mesti mengambilnya. Apabila pelajar
menconteng mejanya, dia sendiri mesti memadamnya (Mohd.Ismail Othman,
2008).
Keempat-empat teknik yang disyorkan ini adalah berdasarkan model Dreikurs.
Melalui teknik ini juga, terbukti bahawa model akibat logikal Dreikurs adalah bersesuaian
untuk menangani masalah tingkah laku pelajar dalam kelas Tahun 6 Bunga Raya. Hal ini
adalah kerana tingkah laku masalah yang ditunjukkan oleh pelajar kelas Tahun 6 Bunga
Raya dapat difahami tujuannya melalui pendapat-pendapat yang diutarakan oleh
Dreikurs. Hal ini juga menunjukkan bahawa model disiplin akibat logikal Dreikurs boleh
membantu guru untuk memahami lebih mendalam sebab pelajar-pelajar melakukan
tingkah laku bermasalah dan teknik-teknik yang boleh dijalankan untuk membendung
masalah disiplin pelajar di bilik darjah.
Akan tetapi, selain model akibat logikal Dreikurs, terdapat satu lagi model disiplin
iaitu model kelompok Kounin yang sesuai dijalankan untuk beberapa situasi. Kounin
mendapati bahawa disiplin yang baik dapat diwujudkan di dalam kelas jika guru berjaya
melaksanakan aktiviti-aktiviti kelas dengan mengekalkan fokus murid terhadap kelas.
Ianya juga memberi makna bahawa guru yang menggunakan teknik pengajaran yang
berkesan akan mampu untuk mengekalkan disiplin yang baik di dalam bilik darjah. Pada
Kounin, pelajaran haruslah bermakna dan mencabar agar pelajar tidak akan berasa
bosan. Dan, melalui cara ini, barulah masalah tingkah laku pelajar dapat dielakkan
(Clifford, 2011). Oleh itu, berdasarkan situasi bilik darjah kelas 6 Bunga Raya, adalah
kemungkinan besar pelajar perempuan di dalam bilik darjah berasa bosan dan
seterusnya merangsang mereka untuk melakukan tingkah laku iaitu tidur di dalam kelas,
bercakap-cakap semasa guru mengajar, makan dan menconteng. Mereka melakukan
tingkah laku ini adalah kerana proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak
mencabar dan membosankan. Situasi ini menurut Kounin adalah penyumbang kepada
masalah tingkah laku pelajar di dalam bilik darjah. Selain itu, model disiplin Kounin ini
juga sesuai dijalankan di dalam bilik darjah kelas Tahun 6 Bunga Raya kerana ia
mensyorkan guru-guru untuk menggunakan pelbagai kaedah dan bahan pengajaran
untuk mengekalkan tahap penglibatan pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran
dan mengelak daripada kebosanan. Apabila pelajar menyedari bahawa mereka
mengalami kemajuan dalam pembelajaran mereka, dan terlibat dengan pelbagai aktiviti
menarik dan bermakna, mereka akan lebih kurang berkemungkinan untuk terlibat dalam
masalah tingkah laku (Dennis W., 2008).
Untuk mengatasi masalah tingkah laku pelajar seperti pelajar kelas Tahun 6 Bunga
Raya, Kounin turut menetapkan beberapa idea dalam mengurus disiplin pelajar-pelajar
tersebut. Antara idea Kounin yang sesuai dijalankan terhadapa pelajar kelas Tahun 6
Bunga Raya adalah withitness yang bermaksud merangkumi semua, overlapping yang
bermaksud bertindih, dan fokus kepada kumpulan. Whititness yang bermaksud
merangkumi semua bermakna kebolehan guru untuk membetulkan tingkah laku buruk
sebelum ia sampai ke tahap situasi yang tidak boleh dikawal. Contohnya, apabila dua
orang pelajar kelas Tahun 6 Bunga Raya sedang bergaduh, guru terus bertindak pantas
pada masa itu juga untuk menangani masalah tersebut. Seterusnya, overlapping yang
bermakna bertindih adalah seseorang guru itu menyelesaikan dua atau lebih isu yang
berbangkit pada waktu yang sama. Misalnya, dalam kelas tahun 6 Bunga Raya, terdapat
seorang pelajar perempuan yang suka bercakap-cakap semasa guru mengajar dan
seorang pelajar lelaki yang tidak menyiapkan kerja rumah, untuk menangani masalah
tersebut, guru memberi arahan kepada pelajar lelaki untk menyiapkan kerja rumah dan
pada masa yang sama menyuruh pelajar perempuan berhenti bercakap. Idea yang
seterusnya adalah fokus kepada kumpulan. iaitu memusatkan perhatian semua murid
lain daripada respons seorang murid sedang diberikan. Ianya juga bermakna guru
menarik perhatian kesemua murid terhadap tingkah laku seorang murid. Misalnya,
seluruh murid diberi arahan berhenti bercakap dan memberi perhatian kepada jawapan
Mei Mei. Selain itu, fokus kepada kumpulan juga boleh dilaksanakan dengan guru
menyediakan diri dengan dengan bahan-bahan pengajaran yang menarik agar fokus
semua pelajar boleh bertumpu kepada bahan-bahan pengajaran guru. Jika guru berjaya
menarik fokus pelajar, maka tingkah laku bermasalah seperti tidur dalam kelas,
bercakap-cakap semasa guru mengajar, makan dan menconteng dapat dielakkan
kerana fokus pelajar ini sudah berada pada guru.
Sebagai kesimpulan, model akibat logikal Dreikurs dan model kelompok Kounin
adalah bersesuaian untuk menangani masalah tingkah laku pelajar kelas Tahun 6 Bunga
Raya. Kedua-dua model ini juga mempunyai ciri-ciri tersendiri yang membolehkan
kedua-dua model ini untuk mengurus disiplin di dalam bilik darjah. Model akibat logikal
Dreikurs dianggap bersesuaian kerana model Dreikurs berupaya membantu guru untuk
memahami sebab pelajar melakukan tingkah laku bermasalah dan ianya juga
menggalakkan guru untuk berada dekat dengan pelajar untuk membantu pelajar
mengatasi masalah mereka. Model akibat logikal Dreikurs juga boleh dianggap
bersesuian kerana untuk semua masalah pelajar dalam kelas Tahun 6 Bunga Raya,
dapat menggunakan model disiplin Dreikurs untuk mengetahui faktor dan teknik
menyelesaikan masalah pelajar-pelajar ini. Model kelompok Kounin, walaupun
menekankan kebosanan di bilik darjah dan guru sebagai pencetus masalah disiplin,
namun ianya sukar dikaitkan dengan masalah pelajar lelaki kelas Tahun 6 Bunga Raya
iaitu bergaduh, buli dan mencuri. Hal ini adalah kerana sukar untuk kaitkan masalah ini
dengan guru atau kebosanan di dalam bilik darjah. Akan tetapi, untuk masalah pelajar
perempuan kelas Tahun 6 Bunga Raya, ianya adalah amat bersesuaian kerana masalah
mereka ini mempunya kaitan rapat dengan faktor masalah disiplin yang diutarakan oleh
Kounin. Rumusannya, model akibat logikal Dreikurs adalah bersesuaian untuk
digunakan menangani masalah tingkah laku pelajar kelas Tahun 6 Bunga Raya secara
menyeluruh, namun model kelompok Kounin juga bersesusian kerana ianya turut
terbukti mampu untuk menangani beberapa masalah tingkah laku walaupun tidak
menyeluruh.

Anda mungkin juga menyukai