Anda di halaman 1dari 4

Nota Seni Dalam Pendidikan

Pengenalan
Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan pendidikan
bertaraf dunia kepada generasi masa kini dan akan datang. Penyemakan kurikulum memenuhi Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat menyediakan peluang pendidikan berterusan yang
memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis. Penggubalan ini bertujuan untuk menyediakan warga Malaysia yang mampu
menghadapi cabaran pendidikan masa kini selaras dengan perubahan globalisasi yang pesat.



Seni dalam Pendidikan meliputi pengetahuan asas dalam Seni Visual yang menggantikan nama
Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni
visual di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak
merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri.
Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang
keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta
kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif,
ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui
persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam
pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini
penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita
rasanya sendiri.

Selain itu, Seni Dalam Pendidikan juga memasukan Muzik sebagai unsur atau elemen penting yang
perlu digarap bersama dalam menzahirkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang
menggembirakan. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang sukar untuk
dipisahkan. Tanpa Muzik bererti dunia pelajar adalah kosong. Selain itu, Muzik juga merupakan budaya
masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada Muzik dan berasa senang hati apabila dapat
melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga menjadi amalan
pertuturan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai
peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti dan sahsiahnya.

Peranan guru ialah ke arah memperkembangkan sifat sifat yang merangkumi aspek aspek
emosi kreativiti, nilai estetik dan etika tertentu. Dengan penglibatan pelajar secara aktif dalam kegiatan
muzik akan dapat membina pertumbuhan dan perkembangan fizikal, emosi, mental dan sosial pelajar itu
sendiri. Selain itu, pengalaman muzik yang menarik akan membantu meningkatkan minat pelajar
terhadap mata pelajaran lain.

Pendidikan dalam apa jua bidang sekalipun haruslah berbentuk pengalaman yang bermakna.
Pendidikan juga haruslah memberangsangkan dan menghasilkan kepuasan yang semerta serta
menimbulkan minat bagi mendapatkan pengetahuan seterusnya. Hal ini boleh dicapai dengan
menggunakan pergerakan sebagai media pembelajaran. Pembelajaran melalui pergerakan bukanlah
sesuatu yang baharu. Pendidikan pergerakan adalah sesuatu kaedah pengajaran yang ketara uniknya
kerana pelajar sedang belajar untuk bergerak dan mereka juga akan belajar sambil atau semasa
bergerak. Melalui pergerakan, pelajar itu bergerak, berfikir, dan merasai sesuatu secara langsung.
Pelajar akan dapat mempelajari tentang dirinya sendiri.

Penekanan kepada pergerakan kini banyak tertumpu kepada potensi nilai pendidikannya, potensi
sumbangan terhadap perkembangan kecerdasan dan potensinya sebagai pemangkin kemahiran dan
tabii sosial yang murni. Matlamat pendidikan pergerakan dalam konteks persekolahan adalah untuk
menyediakan pengalaman pengalaman berkaitan bagi membantu pelajar dalam mencapai keupayaan
sebagai warga yang bertanggungjawab dan penyumbang aktif dalam masyarakat.

Pendidikan pergerakan merupakan salah satu wacana yang menyumbang ke arah perkembangan
keseluruhan pelajar dalam bentuk sikap dan sahsiah pelajar tentang keperluan keperluan sosial, emosi
dan estetik pelajar berdasarkan kepada holistik perkembangan kanak kanak. Pendidikan pergerakan
boleh diperhebatkan lagi keberkesanannya dengan menjadikannya sebagai alat pendidikan yang
mendorong kepada kegiatan penerokaan, kreativiti, proses proses berfikir dan penyelesaian masalah
serta pengukuhan imej kendiri yang utuh. Dalam hubungan ini matlamat dan prinsip pendidikan
pergerakan tidak akan menyimpang daripada landasan konsep kanak kanak total .

Belajar melalui pergerakan membolehkan perkembangan yang menyeluruh diri kanak - kanak iaitu
perkembangan fizikal dan psikologi, kebolehan untuk belajar dan bergaul antara satu sama lain.
Perasaan terhadap diri sendiri dan perhubungan dengan persekitarannya turut berkembang melalui
pergerakan itu.

1.1 Implikasi Atau Kesan Positif
1.1.1 Bidang Seni Visual
Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan
seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang
menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf
tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan
konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga
selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi,
psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan
mempelajari Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan
kemahiran. Antara pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan
teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai
sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni
visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan
maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi
murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir
secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi,
menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Bidang Seni Visual akan memberikan implikasi atau kesan yang positif dalam pengajaran dan
pembelajaran melalui organisasi pendidikan Seni Visual yang disusun rapi melalui aspek yang
dipentingkan. Antara implikasi atau kesan yang diperolehi melalui bidang seni ini, ialah :

a. Menajamkan Perkembangan Emosi dan Imaginasi
Melalui aspek pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus
dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga
melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan
emosi dan imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan
pemerhatian ini. Murid akan dilatih membuat pemerhatian terhadap objek alam dan objek buatan
manusia. Ini adalah untuk membolehkan murid merasai secara konkrit bagi mendapatkan imej mental.
Kegiatan-kegiatan ini akan membantu terus menyelaraskan idea, imaginasi dan alam fantasinya ke arah
perkembangan persepsi dan pemikiran abstrak.

b. Berlaku Pembelajaran Secara Tidak Langsung
Bidang Seni Visual menggalakkan murid membuat penerokaan dan percubaan dalam mempelbagaikan
kegiatan kreatif dengan menggunakan alat dan bahan. Proses ini akan memperkembangkan aspek
psikomotor dan kemahiran asas seni visual berhubung dengan manipulasi alat dan bahan serta teknik-
teknik mudah. Semasa berinteraksi dengan alat dan bahan, murid membuat interpretasi dan menyelaras
konsepsi visualnya dengan objek yang dilihat. Proses pembelajaran ini amat penting kerana ia memberi
peluang kepada murid belajar secara tidak langsung. Murid juga dapat mengenali perubahan yang
mereka boleh lakukan dalam penghasilan seni pada masa akan datang.

c. Aplikasi Dalam Kehidupan Harian Sebenar
Bidang Seni Visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan
kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam
kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja. Pernyataan
tentang hasil kerja pula boleh dibuat dalam pelbagai cara. Melalui seni visual ini juga akan menjadikan
murid boleh mengaplikasikan kemahiran seni yang dipelajari dalam kehidupan harian yang sebenar.
Contohnya, cara memberus warna boleh diaplikasikan dalam kerja kerja mengecat peralatan kecil di
rumah dan sebagainya.

d. Wadah Memupuk dan Menyemai Nilai Murni
Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai
menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini
termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan.
Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan dengan semua
keadaan.

1.1.2 Bidang Seni Muzik
Asas muzik iaitu irama dan pic, memang sedia terdapat dalam pertuturan dan pergerakan harian.
Keadaan ini menjadikan kanak-kanak berasa senang dan memberi respon secara spontan dalam
melahirkan ekspresi diri. Kecenderungan seperti ini apabila dikendalikan dengan baik, memainkan
peranan yang efektif dalam proses perkembangan diri kanak-kanak.
Bidang ini melihat perkembangan diri murid dari sudut penghayatan estetik dalam seni muzik.
Sesuai dengan statusnya dalam struktur KBSR, matapelajaran ini memberi tumpuan kepada peranannya
memperkembangkan domain efektif murid khususnya dalam bidang kesenian. Selaras dengan itu, bidang
ini digubal untuk membimbing murid ke arah menghayati dan menikmati muzik secara intelektual. Antara
kesan positif yang diperolehi murid melalui bidang seni muzik ini, ialah :

a. Menggalakkan Perkembangan KAP
Penglibatan secara aktif dalam aktiviti muzik yang tersusun berupaya menggalakkan perkembangan
kognitif, afektif dan psikomotor murid, disamping memupuk nilai sosialisasi. Dari segi kognitif, murid
mendapat pengetahuan dan kefahaman konsep muzik yang asas. Bagi murid sekolah rendah khasnya,
aktiviti muzik dan pergerakan bukan sahaja membantu pertumbuhan kecerdasan kinestetik malahan
berperanan membantu mereka memahami konsep muzik yang abstrak.

b. Melatih Kemahiran Komunikasi dan Interaksi Sosial
Dari aspek sosialisasi, aktiviti menyanyi, bergerak dan bermain alat muzik secara berkumpulan memberi
kesempatan murid berkomunikasi dan berinteraksi dengan mengamalkan nilai-nilai murni.

c. Menanam dan Menyemai Nilai Murni dan Jati Diri
Di samping itu, terdapat pelbagai bentuk muzik dalam budaya masyarakat Malaysia yang harus dikenali
murid sebagai warisan bangsa. Pengetahuan dan pengalaman mengenai pelbagai unsur budaya dalam
muzik dapat membantu memupuk elemen jati diri dan patriotisme pada diri murid.

1.1.3 Bidang Seni Pergerakan
Seni Pergerakan adalah untuk memenuhi keperluan pertumbuhan dan perkembangan individu bagi
membentuk masyarakat yang cergas, sejahtera dan produktif. Kurikulum ini dibahagikan kepada tiga
tunjang pembelajaran iaitu Kecergasan, Kemahiran dan Kesukanan. Tiga tunjang ini membantu
mencapai matlamat bidang seni pergerakan. Murid perlu memahami dan menghayati pengetahuan,
kemahiran dan pengalaman Pendidikan Jasmani agar dapat mengamalkan gaya hidup cergas sebagai
budaya Malaysia. Murid diorientasikan dengan ilmu dan amalan teori dan praktikal pergerakan bagi
membentuk sahsiah dan sikap untuk menghadapi cabaran hidup. Aktiviti Seni pergerakan yang
terancang dan persekitaran yang kondusif dapat menggalakkan pengajaran dan pembelajaran bagi
meningkatkan potensi murid ke tahap optimum. Seni pergerakan juga bertujuan membantu murid
menjadi cergas melalui pembelajaran aktiviti fizikal dan amalan kecergasan.
Bidang seni pergerakan ini menekankan kepada kecergasan sesuai dengan ciri dan keperluan
murid. Pendekatan yang dicadangkan bagi mata pelajaran ini ialah pembelajaran melalui aktiviti. Murid
perlu diberi peluang mempelajari pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan mata pelajaran dengan
melakukan aktiviti, eksperimen dan amalan rutin. Murid akan diberi peluang untuk meluahkan emosi,
memperkembangkan proses mental, membentuk perhubungan yang sihat dan melakukan kegiatan fizikal
dalam suasana yang membina dan selamat.

1.2 Rumusan
Matlamat guru-guru sekolah rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk
kanak-kanak dengan kemahiran memerhati, kesedaran dan arif terhadap pergerakan, bunyi, bentuk,
tekstur dan irama. Melalui aktiviti seni daya estetik kanak-kanak dapat dipertingkatkan. Contohnya
menggunakan lagu untuk memperkenalkan tajuk Rama-rama. Semasa kanak-kanak menyanyikan lagu,
mereka akan bergerak mengikut irama seperti lebah sedang terbang. Semua aktiviti seni dalam
pendidikan yang dialami oleh kanak kanak sangat berkesan dalam mempengaruhi kehidupan mereka
kerana melaluinya akan membolehkan kanak-kanak meluahkan keinginan dan keperluan mereka.
Lazimnya mereka dapat membina pengalaman baru hasil daripada beberapa penerokaan dalam
kehidupan seharian dan akan berasa seronok apabila dapat mencipta sesuatu yang baru. Untuk
meluahkan rasa hati, mereka akan mencipta sesuatu dengan menggunakan kaedah dan cara tersendiri
dalam pelbagai bentuk.

Anda mungkin juga menyukai