Anda di halaman 1dari 5

Kesan Terhadap Umat Istijabah / Orang Islam:

Kemunculan hadith maudhu di alam ini semestinya meninggalkan kesan terhadap manusia
sejagat. Di antara mereka yang terkesan dengan keburukan hadith maudhu ini ialah orang Islam
sendiri. Dapatlah dijelaskan kesan-kesan hadith maudhu terhadap orang Islam seperti berikut :
1- Merosakkan aqidah umat Islam.
Hadith Maudhu yang berkaitan dengan aqidah pastinya akan merosakkan aqidah umat Islam.
Dengan membaca atau mendengar hadith-hadith maudhu dalam bidang ini, pastinya pendengar
yang tidak peka terhadap kepalsuannya akan terpedaya lalu mempercayai sedikit-sebanyak isi
kandungan hadith tersebut. Dengan ini kepercayaannya atau aqidahnya akan terseleweng sedikit
demi sedikit. Tanpa disedari pendengar akan muncul dengan satu bentuk aqidah dalam dirinya
yang menyalahi ajaran sebenar Islam.

2- Merosakkan amalan syariah umat Islam.
Berkenaan amalan syariat pula, hadith maudhu juga memberi kesan buruk yang tidak kurang
hebatnya. Amalan-amalan dalam agama Islam yang pada asalnya begitu mudah untuk
diamalkan oleh sesiapa sahaja, akhirnya bertukar menjadi satu amalan yang ditakuti oleh
penganutnya sendiri. Perselisihan dalam mazhab dan kekerasan dalam hukum menyebabkan
amalan syariah atau fiqh umat Islam lari jauh dari ajaran asal Nabi Muhammad s.a.w.

3- Merosakkan akhlak umat Islam.
Di dalam akhlak pula, hadith-hadith maudhu berkenaan bangsa, bahasa dan negara pastinya
meniggalkan impak besar dalam pendengar yang mempercayai hadith-hadith maudhu
berkenaan. Dengan ini timbullah rasa tinggi diri yang dicela oleh agama. Ukhuwwah Islamiyyah
dipinggirkan akibat dari gejala hadith maudhu itu.

4- Merosakkan pendirian umat Islam.
Berhadapan dengan janji pahala yang lumayan di samping amalan yang ringkas boleh
menimbulkan perasaan berpada-pada di kalangan umat Islam. Akibatnya pendirian dan
pegangan umat Islam akan menjadi lemah. Amalan yang murni mungkin ditinggalkan kerana
terdapat amalan lain yang lebih berbaloi dan menguntungkan. Di penghujung jalan wujudlah
umat yang tidak tegas dan tidak bersemangat mengamalkan ajaran Islam.

5- Mengabaikan hadith sahih.
Satu perkara lain yang pasti muncul akibat penyebaran hadith maudhu ialah pengabaian hadith
maqbul / sahih. Secara otomatik sekiranya ditekankan hadith maudhu dalam sesuatu majlis,
hadith sahih akan tersisih dan tidak mendapat tempat yang sepatutnya. Akhirnya orang ramai
akan senang apabila mendengar hadith maudhu dan merasa janggal apabila mendengar hadith
sahih. Ini adalah di antara musibah yang terbesar dalam perbincangan ini.

Kesan Terhadap Umat Dakwah / Orang Kafir:
Di samping orang Islam, orang kafir juga tidak ketinggalan dalam menerima tempias kesan buruk
hadith maudhu. Penyebaran agama Islam yang menggembirakan sanubari setiap orang Islam
pastinya menarik orang kafir untuk membaca tulisan-tulisan dan artikel-artikel berkenaan agama
Islam ini yang disebutkan sebagai yang paling cepat berkembang. Apakah yang dapat difikirkan
sekiranya orang kafir memilih bahan-bahan bacaan yang memuatkan hadith-hadith maudhu
sebagai dalil? Bukankah ini hanya akan mengundang kesan yang negatif dalam benak mereka?
Antara kesan hadith maudhu yang dapat dirumuskan ialah seperti berikut:

1- Merosakkan pandangan orang kafir terhadap Islam.
Orang kafir yang membaca bahan bacaan tentang Islam yang mengandungi hadith maudhu
dalam keadaan dia tidak mengetahui sejarah pemalsuan hadith dalam umat Islam, pastinya akan
beranggapan bahawa agama Islam adalah agama yang penuh dengan kekarutan dan khayalan
serta jauh dari kesucian Tauhid dan kemurnian akhlak.

2- Menyukarkan orang kafir masuk Islam.
Selepas membaca hadith-hadith maudhu ini, antara kemungkinan yang muncul ialah orang kafir
itu merasakan sukar untuk dia menganut agama Islam. Di dalam akalnya terbayang satu agama
yang bermasalah, menyalahi berbagai-bagai ketetapan logik yang dipegangnya. Walaupun
bukan semua logik orang kafir itu logik, akan tetapi penyebaran hadith maudhu ini akan
mengeruhkan lagi keadaan dan menyempitkan lagi peluang mereka untuk terbuka hati memeluk
satu-satunya agama suci di alam ini.
















Bahaya Hadis Dhaif Dan Maudhu (Palsu)

Di antara bencana besar yang menimpa kaum Muslimin sejak abad-abd pertama ialah tersebar
luasnya hadis-hadis Dhaif (lemah) dan Maudhu (palsu) di kalangan mereka. Tidak ada yang
terkecuali temasuklah kalangan ulama kecuali segelintir yang dikehendaki Allah, di antaranya para
imam hadis dan Nuqqaad (Para Pengkaji hadis) seperti Imam al-Bukhari, Ahmad, Ibn Main, Abu
Hatim ar-Razy dan ulama seperti mereka.

Penyebaran meluas hadis dhaif dan maudhu tersebut mengakibatkan banyak kesan negatif, di
antaranya ada yang berkaitan masalah-masalah aqidah yang bersifat ghaib dan ada juga yang
berkaitan perkara-perkara Tasyri (Syariat).
Adalah hikmah Allah Taala Yang Maha Mengetahui, bahawa Dia tidak membiarkan hadis-hadis yang
direka oleh orang-orang yang benci terhadap agama ini merebak ke tubuh kaum Muslimin tanpa
mengutus orang yang akan mendedahkan hakikat sebenarnya dan menjelaskan kepada manusia
kecacatan-kecacatannya . Mereka itulah para ulama Ahli hadis dan pembawa panji-panji sunnah
Nabawiyyah yang didoakan Rasullullah dalam sabdanya, "Semoga Allah menganugerahi nikmat
seseorang yang mendengarkan perkataanku lalu mencernanya, menghafal dan menyampaikannya.
Betapa banyak orang yang membawa ilmu tetapi tidak lebih faqih (untuk dapat menghafal dan
menyampaikannya) dari orang yang dia sampaikan kepadanya (kerana ia mampu menggali dalil
sehingga lebih faqih darinya)." (HR.Abu Daud dan at-Turmudzi yang mengatakannya shahih).

Para imam tersebut semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepada mereka - telah menjelaskan
kedudukan kebanyakan hadis-hadis tersebut dari segi kesahihan, kelemahan atau pun kepalsuannya
dan telah membuat asas-asas yang kukuh dan kaedah-kaedah yang mantap di mana siapa saja yang
menekuni dan mempelajarinya secara mendalam nescaya akan dapat mengetahui kualiti dan
kedudukan setiap hadis walaupun mereka (para imam tersebut) tidak memberikan penilaian ke atas
hadis-hadis tersebut. Itulah suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu Ushul Hadis atau Llmu Mushthalah
Hadis.

Para ulama generasi terakhir (al-Muta`akkhirin) telah mengarang beberapa buku yang khusus untuk
menyenaraikan hadis-hadis dan menjelaskan kedudukannya, di antaranya yang paling masyhur dan
luas bahasannya adalah kitab al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir Min al-Ahaadiits al-
Musytahirah Ala al-Alsinah karya al-Hafizh as-Sakhawy. Demikian juga buku seumpamanya seperti
buku-buku Takhriijaat (untuk mengeluarkan jalur (sanad) hadis dan kualitinya) yang menjelaskan
kedudukan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab yang dikarang oleh Ahli Hadis (Ulama
hadis) dan kitab-kitab yang berisi hadis-hadis yang tidak ada asalnya seperti buku Nashb ar-Raayah Li
Ahaadiits al-Bidaayah karya al-Hafizh az-Zailaii, al-Mugny An Haml al-Asfaar Fii al-Asfaar Fii Takhriij
Maa Fii Ihyaa` Min al-Akhbaar karya al-Hafizh al-Iraqi, at-Talkhiish al-Habiir Fii Takhriij Ahaadiits ar-
Raafiiy al-Kabiir karya al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani, Takhriij Ahaadiits al-Kasysyaaf karya Ibn Hajar
juga dan Takhriij Ahaadiits asy-Syifaa` karya Imam as-Suyuthi, semua buku tersebut sudah dicetak
dan diterbitkan.

Sekalipun para imam tersebut semoga Allah menggandakan kebaikan kepada mereka- telah
meratakan jalan kepada generasi setelah mereka, baik dari kalangan para ulama ataupun para
penuntut hingga mereka mengetahui kualiti setiap hadis melalui buku-buku tersebut, akan tetapi
amat malang sekali- kami perhatikan mereka sebaliknya enggan menelaah buku-buku tersebut.
Akibatnya mereka jahil terhadap kedudukan hadis-hadis yang telah mereka hafal dari guru-guru
mereka atau hadis-hadis yang mereka baca dari buku-buku yang tidak menitik beratkan kesahihan
sesuatu hadis .Oleh itu , kita sering mendengar ceramah dari sebahagian Mursyid (penyuluh), atau
ceramah dari seorang ustaz atau khuthbah seorang khathib yang meriwayatkan hadis-hadis dhaif
dan maudhu tersebut, dan ini amat berbahaya kerana dikhuatiri mereka semua akan terkena
ancaman sabda beliau s.a.w., yang berbunyi, "Barangsiapa yang telah berdusta terhadapku secara
sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka." (Hadis Sahih
Mutawatir)

Walau pun mereka tidak berdusta dengan sengaja, namun hakikatnya mereka tetap berdosa kerana
telah meriwayatkan hadis-hadis dari sumber yang mereka yakini terdapat hadis yang dhaif atau pun
hadis palsu. Mengenai hal ini, terdapat isyarat dari hadis Rasulullah yang bermaksud, "Cukuplah
seseorang itu berdusta manakala ia menceritakan semua apa yang didengarnya (tanpa disaring lagi-
pen.,)." (HR.Muslim) dan suatu hadis lain dari riwayat Abu Hurairah.

Telah diriwayatkan bahawa Imam Malik pernah berkata, "Ketahuilah bahwa tidaklah selamat seorang
yang menceritakan semua apa yang didengarnya ia bukan imam bilamana menceritakan semua apa
yang didengarnya."

Imam Ibn Hibban berkata di dalam kitab Shahihnya, "Pasal: Mengenai dipastikannya masuk neraka,
orang yang menisbatkan sesuatu kepada al-Mushthafa, Rasulullah s.a.w., padahal ia tidak
mengetahui kesahihannya," setelah itu, beliau mengetengahkan hadis Abu Hurairah dengan
sanadnya secara marfu, "Barangsiapa yang berkata dengan mengatasnamakanku padahal aku tidak
pernah mengatakannya, maka hendaklah ia mempersiapkan tempat duduknya di dalam neraka."
Sanad hadis ini hasan dan makna asalnya terdapat di dalam kitab ash-Shahiihain dan kitab-kitab
muktabar yang lain.

Selanjutnya, Ibn Hibban berkata, "Pembahasan mengenai hadis yang menunjukkan kesahihan hadis-
hadis yang kami isyaratkan pada bab terdahulu," kemudian beliau mengetengahkan hadis dari
Samurah bin Jundub dengan sanadnya, dia berkata, Rasulullah s.a.w., bersabda,

"Barangsiapa yang membicarakan suatu pembicaraan mengenaiku (membacakan satu hadis
mengenaiku) di mana ia terlihat berdusta, maka ia adalah salah seorang dari para pendusta."

(Hadis ini sahih, dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam mukaddimahnya dari hadis Samurah dan al-
Mughirah bin Syubah secara bersama-sama). Ibn Hibban berkata, "Ini adalah hadis yang masyhur."
Kemudian dia berkata selanjutnya, "Pembahasan mengenai hadis kedua yang menunjukkan sahihnya
pendapat kami," lalu dia mengemukakan hadis Abu Hurairah yang pertama di atas.

Dari apa yang telah kami sampaikan di atas, jelaslah bagi kita bahawa tidak boleh menyebarkan
hadis-hadis dan meriwayatkannya tanpa terlebih dahulu melakukan Tatsabbut (penilaian) mengenai
kesahihannya sebab orang yang menyebarkan hadis tanpa menilainya bermakna telah melakukan
pendustaan terhadap Rasulullah. Sabdanya s.a.w, "Sesungguhnya berdusta terhadapku bukanlah
berdusta terhadap salah seorang di antara kamu; barangsiapa yang berdusta terhadapku secara
sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalami neraka." (HR.Muslim),
wallahu alam.

Anda mungkin juga menyukai