Anda di halaman 1dari 3

ulama silam rembau: Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad

Rembau, salah sebuah daerah dalam Negeri Sembilan agak terkenal dalam melahirkan sebilangan
tokoh yang dikenali ramai. Di antaranya : Allahyarham Tun Abdul Malek b. Yusuf (Menteri Besar
Negeri Sembilan Pertama dan Gabenor Melaka Ke-2), Allahyarham En.Abdullah Kadir
(Pengerusi/Ketua Pengarah RISDA yang pertama), Professor Tan Sri Dr Rashdan Baba, Professor
Datuk Dr Kamaruddin Kachar, Radika Menon (Bekas pemain tenis negara), AF Yassin (Penulis), Dato
Ismail Ahmad (Cef Selebriti) dan tentunya YB En.Khairy Jamaludin (Ahli Parlimen Rembau/Ketua
Pemuda UMNO).
Penduduk daerah Rembau juga adalah yang masih kuat mengamalkan Adat Perpatih berbanding
penduduk di daerah lain di seluruh Negeri Sembilan.
Di daerah ini jugalah terletaknya Gunung Datuk (Gunung Rembau) yang menjadi tumpuan pendaki
gunung amatur dari seluruh pelusuk negara. Gunung ini juga sarat dengan kisah-kisah mistik di
kalangan penduduk tempatan. Kononnya, sebelah kesan tapak kaki yang terdapat di puncak gunung
itu adalah bekas tapak kaki Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang. Ada versi yang mendakwa sebelah
tapak kaki lagi melalui satu langkahan, berbekas di Tanjung Tuan, Port Dickson yang berpuluh
kilometer jarakya.
Di sebalik kemegahan itu, Rembau agak gersang dalam melahirkan tokoh-tokoh agama.
Bagaimanapun, ini bukannya bermakna Rembau tidak pernah melahirkan tokoh agama langsung.
Di antara tokoh agama yang pernah dilahirkan oleh daerah ini ialah ulama silam Lebai Muhammad
Harith bin Ahmad Kg. Nerasau, Lebai Haji Ibrahim Kg. Bongek dan terkini di antaranya, Dato Syeikh
Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Muhammadi Kg.Ampangan Penajis.
Allahyarham Lebai Haji Ibrahim bin Dahan (Kg. Bongek) dan Dato Syeikh Muhammad Fuad bin
Kamaludin Kg. Ampangan Penajis telah dikenali ramai. Namun demikian, yang alim Syeikh Sheikh
Lebai Muhammad Harith bin Ahmad Kg. Nerasau hampir tidak dikenali dan boleh dikatakan tidak
diperkatakan langsung oleh generasi hari ini.
Ketika di usia belasan tahun, seorang semenda dari Kampung Nerasau (orang dari luar yang
berkahwin dengan wanita kampung saya) pernah menyatakan bahawa di kampung ayah saya,
Kampung Nerasau, pernah ada seorang alim yang memiliki karamah. Dia menyatakan bahawa orang
alim itu telah lama meninggal dunia.
Jujurnya, saya juga tidak mempunyai banyak info mengenai tokoh ini. Maklumat yang saya dapati
adalah berdasarkan ingatan pembacaan saya kepada buku karangan Dato Syeikh Muhammad Fuad
bin Kamaludin bertajuk Manaqib Syeikh Muhammad Harith. Kalau tidak silap, buku itu diterbitkan
pada tahun 2004. Saya juga menambah ramuan catatan ini melalui cerita lisan yang disampaikan
oleh saudara mara saya di Kampung Nerasau,Chengkau, Rembau, Negeri Sembilan dan juga kenalan
yang berasal dari kampung itu.
Saya percaya ramai anak Rembau, dan bahkan anak-anak kampung di kejiranan Kg. Ampangan
Penajis/Nerasau, Chengkau, Rembau sekalipun tidak mengetahui bahawa pada suatu masa dahulu
adanya seorang alim dari kampung itu yang bernama yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin
Ahmad. Mungkin keadaan ini berlaku kerana beliau telah lama meninggal dunia. Dikatakan beliau
meninggal dunia pada tahun 1948 di usia muda , iaitu 42 tahun.
Sekalipun demikian, beliau telah meninggalkan impak yang sangat mendalam dan besar dalam
bidang dakwah di Negeri Sembilan dan khususnya di Siak dan Kepulaun Riau, Indonesia.
Yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith (disebut Lebai Haris) menerima pendidikkan tertinggi
agama secara tidak formal ketika membesar di kampungnya dan pedidikkan formal dari sebuah
sekolah pondok di utara tanah air. Sungguh pun beliau tidak pernah belajar di tanah Arab seperti
yang menjadi kebiasaan pada zamannya, beliau mengamalkan dan menghayati ilmu yang
dipelajarinya. Beliau seorang yang sangat alim dan warak. Beliau dikatakan dianugerahkan ilmu
laduni, yaani menerima ilmu yang tidak diketahui di atas anugerah, belas kasihan dan kasih sayang
Allah.
Seperti kebanyakkan orang alim di zamannya, beliau mengamalkan tarikat. Dan, seperti juga
kebanyakkan Orang Negeri Sembilan yang sezaman dengannya, beliau juga mengamalkan Tarikat Al-
Ahmadiyyah dengan bergurukan Sheikh Hj.Muhammad Said Al-Linggi.
Seperti yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad mengetahui bahawa umurnya tidak
panjang. Ketika berusia 27 tahun, beliau telah berangkat ke Siak seorang diri dengan tujuan
berdakwah dan mengembangkan Tarikat Al- Ahmadiah. Pada mulanya tindakan beliau tersebut
dianggap tidak masuk akal. Pertama, ada pihak yang meragui kedalaman ilmunya. Kedua, Siak
adalah sebuah tempat yang begitu jauh dan asing.
Namun demikian, sebelum itu beliau telah pernah menjejakkan kaki di bumi Siak ketika menziarah
seorang kenalannya yang berasal dari situ. Kenalannya itu jugalah yang banyak membantu dan
bersama-sama beliau dalam mengharungi sebarang ujian ketika beliau mula bertapak di bumi Siak.
Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Walaupun Lebai Harith bin Ahmad orang
dagang, beliau ialah seorang yang sangat alim dan memiliki aura yang sangat hebat. Dikatakan
kehadiran yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad sebagai pendakwah dan pembawa
Tarikat Al- Ahmadiyyah di tengah-tengah bumi Siak dan Kepulauan Riau telah menimbulkan satu
fenomena di zaman itu. Sedemikian beliau telah berjaya menarik minat masyarakat
setempat, termasuk pihak istana dan rakyat jelata. Mereka bersama-sama menyemarakkkan
kelangsungan hidup beragama mengikut hukum hakam yang ditetapkan dan mengamalkan hidup
bertarikat.
Hubungan baik beliau dengan pihak istana banyak membantu dalam melicinkan lagi kerja-kerja
amal maaruf nahi mungkar. Dikatakan Sultan Siak ketika itu telah berguru dan berbaiah Tarikat Al-
Ahmadiyyaah daripada yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad.
Yang alim Lebai Muhammad Harith bin Ahmad mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak
di Rembau. Beliau juga mempunyai keluarga di Siak. Sedemikian, walaupun pusat aktiviti dakwah
dan amalan tarikat beliau di Siak, beliau sering berulang alik antara Siak-Rembau. Dikatakan ketika
balik ke Rembau , beliau mengunjungi anak-anak gurunya yang sangat alim dan dihormati, di
antaranya, Sheikh Abdullah dan Sheikh Ahmad di Rasah, Seremban.
Saya percaya kebanyakkan masyarakat Negeri Sembilan hingga ke hari ini masih mengingati
kehebatan Mufti Negeri Sembilan yang pertama, Tuan Sheikh Hj. Ahmad bin Sheikh Hj.Muhammad
Said Linggi. Tuan Sheikh Hj. Ahmad juga ialah di antara anak-anak penyebar Tarikat Al-Ahmadiah ar-
Rashidiyyah Al-Dandarawiyyah di Tanah Melayu Tuan Sheikh Hj. Muhammad Said Al-Linggi yang
sangat menonjol, terkenal, dikagumi dan dihormati.
Untuk pengetahuan pembaca dari luar Negeri Sembilan, Tuan Sheikh Hj.Muhammad Said Al-Linggi
dan dikuti oleh keturunan beliau adalah ikon keturunan keluarga orang alim di Negeri Sembilan.
Keturunan ini jugalah yang melangsungkan legasi amalan Tarikat Al-Ahmadiyyah yang berpengkalan
di Rasah, Seremban, Negeri Sembilan ke negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Brunei dan
kepulauan Indonesia.
Khalifah Tarikat Al-Ahmadiah ar-Rashidiyyah Al-Dandarawiyyah sekarang Dato Sheikh Hj. Mohd
Murtadza b. Sheikh Hj.Ahmad ialah anak kepada Mufti Negeri Sembilan yang pertama, Tuan Sheikh
Hj. Ahmad yang dinyatakan di atas .
Di sebalik kehebatan dan keharuman nama Tuan Sheikh Hj. Ahmad, mungkin ramai tidak yang
mengetahui bahawa Tuan Syeikh Hj. Ahmad juga sangat akrab dengan yang alim Sheikh Lebai
Muhammad Harith. Masing-masing saling menghormati di antara satu sama lain. Malah dikatakan
Sheikh Ahmad yang lebih muda, turut kagum serta mengakui kehebatan dan karamah yang dimilki
oleh anak murid ayahandanya itu.
Bersesuaian dengan kuat dan patuhnya yang alim Syeikh Lebai Muhammad Harith menekuni hidup
beragama, beliau diberi banyak kelebihan oleh Allah. Dikatakan beliau dianugerahkan ilmu laduni
dan karamah . Saya tidak akan menyatakan perkara-perkara mencarik adat yang dianugerahkan
kepada beliau kerana menyedari kelemahan dan naifnya diri saya. Saya juga tidak bersedia untuk
mendepani fitnah yang mungkin timbul.
Objektif yang sangat ketara sehingga beliau sanggup berkelana ke Siak ialah kerana ingin berdakwah
dan menyebarkan Tarikat Ahmadiah. Beliau berjaya mencapai kedua-dua objektif tersebut dengan
jayanya. Beliau berjaya menyampaikan dakwah dan menarik ribuan anak murid mengamalkan
Tarikat Ahmadiah.
Akhirnya, pada tahun 1948, di usia yang sangat muda, 42 tahun, beliau yang lebih dikenali dengan
panggilan 'Lebai Haris' di kampung asalnya, menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau tidak
meninggal dunia di tanah tumpah kelahirannya, Kampung Nerasau, Chengkau, Rembau, Negeri
Sembilan. Beliau meninggalkan dunia ini jauh di seberang lautan, di bumi Penciptanya juga, bumi
Teluk Air, Bengkalis, Indonesia.
Jalan mudah menghimpunkan keluarga ialah dengan cara membina diri menjadi orang terhebat.
Namun demikian, jika tidak dapat menjadi orang yang terhebat, binalah diri menjadi orang hebat di
kalangan orang hebat-hebat. Sehubungan ini, setelah lebih enam dekad pemergian yang alim Sheikh
Lebai Muhammad Harith, gah kehebatan beliau masih dirasakan oleh keluarga dan saudara maranya
di Kampung Ampangan Penajis/Nerasau. Mutakhir ini di antara keturunan dan saudara mara beliau
di telapak Kampung Ampangan PenajisNerasau yang hebat ialah yang alim Sheikh Dato' Muhammad
Fuad Kamaludin. Saya juga yakin bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor, Tuan Abu
Bakar bin Manat (Manaf) mempunyai ikatan persaudaraan atau di kalangan keturunan/saudara
mara yang alim Sheikh Lebai Muhammad Harith bin Ahmad. Wallahuaklam.
AL-FATIHAH.
Sumber asal: ujangchengkau.blogspot.com/2012/07/ulama-silam-rembau-syeikh-lebai_6693.html

Anda mungkin juga menyukai