Anda di halaman 1dari 6

Tuesday, September 4, 2012

ISU : GURU PONTENG


1.0 Pengenalan
Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang perlulah mempunyai
ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini
akan membentuk etika seseorang individu tersebut.
Mengikut Kamus Dewan (1995), etika bermaksud sastu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau
kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula membawa maksud etika adalah akhlak. Manakala
dalam konteks pekerjaan, merujuk kepada tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah
yang dituntut oleh syarak (Syed Ismail bin Syed Mustapa, 2010).
Profesion pula bermaksud pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan
yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain.
keguruan pula membawa maksud tugas dan tanggungjawab (kerjaya) sebagai guru.
Kesimpulannya, etika guru dalam pendidikan ini adalah sangat penting. Etika pelajar yang diajar
oleh seorang guru yang tidak bersahsiah mencerminkan diri seorang guru yang tidak beretika.
Guru yang baik dan beretika akan melahirkan generasi yang baik dan berjaya.
Profesion perguruan dianggap mulia oleh masyarakat kerana guru adalah agen perubahan yang
membantu mencorak anak bangsa. Namun begitu, mutakhir ini, isu etika guru semakin menjadi
topik hangat yang kian menghiasi dada-dada akhbar dan juga media massa lain. Profesion
perguruan hari ini dilihat semakin goyah kerana ada segelintir golongan guru yang melanggar kod
etika keguruan yang telah sedia termaktub. Terdapat pelbagai jenis salahlaku yang dilakukan oleh
guru yang mana bukan hanya melanggar etika profesion perguruan tetapi juga telah terlibat
dengan akta jenayah negara. Hal ini sudah tentu akan mencemarkan martabat profesion
perguruan sebagai satu profesion yang mulia pada pandangan masyarakat.
2.0 Isu Guru Ponteng
Isu guru ponteng merupakan salah satu isu yang semakin menjadi perhatian banyak pihak apabila
bilangan kes guru ponteng dilaporkan semakin meningkat dari hari ke hari. Keratan akhbar di
atas dipetik daripada sebuah akhbar tempatan terkemuka, Berita Harian bertarikh 27 Jun 2010
yang melaporkan bahawa kes salah laku guru terutama guru ponteng semakin meningkat dan
perlu dipandang serius oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Dalam satu artikel lain pula melaporkan bahawa hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir
dan Jaminan Kualiti (JNJK) negeri Sabah pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru
dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14
sekolah juga tidak hadir bertugas. Bilangan ini semakin meningkat dari hari ke hari.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada para guru yang
ponteng mengajar bahawa mereka yang melakukan demikian akan dikenakan tindakan disiplin
(Berita Harian, 2010). Guru yang ponteng kerja dianggap telah melanggar peraturan dan etika
kerja seorang guru.

3.0 Analisis Isu Guru Ponteng


Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh,
tipu, lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain. Manakala ponteng dari segi istilah
merujuk kepada tidak hadir bertugas tanpa sebarang surat akuan sakit mahupun apa-apa sebab
yang munasabah. Menurut Cascio (2005), ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan
seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa
yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun. Ini menunjukkan apabila seseorang pekerja itu
tidak datang ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir. Sekiranya
seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, ianya boleh dianggap
sebagai ponteng kerja.
Oleh itu, guru ponteng bermaksud guru yang lari daripada melakukan tugas yang diamanahkan kepada
mereka, sama ada tugas utama iaitu mengajar atau tugas-tugas sampingan seperti hadir
mesyuarat, melaksanakan program dan sebagainya. Kebiasaannya, faktor utama yang
menyebabkan berlakunya masalah ponteng ini ialah faktor sikap guru itu sendiri.
JENIS-JENIS PONTENG
Ponteng boleh dikategorikan dalam beberapa jenis, iaitu ponteng sekolah, ponteng kelas dan ponteng
tugasan. Kesemua jenis ponteng ini memberi kesan negatif kepada murid dan sekolah.
a) Ponteng sekolah
Ponteng sekolah bermaksud guru tidak hadir bertugas ke sekolah tanpa sebab atau dengan sebab yang
tidak munasabah. Ponteng jenis ini memberi kesan yang sangat besar kepada pembangunan dan
pencapaian sesebuah sekolah dan muridnya. Antara alasan-alasan yang sering diguna oleh guru
ialah kurang sihat dan anak kurang sihat. Guru juga ponteng sekolah dengan pulang ke kampung
lebih awal terutamanya ketika musim cuti sekolah dan musim-musim perayaan dengan pelbagai
alasan yang kurang logik.
b) Ponteng kelas
Ponteng kelas pula bermaksud guru tidak masuk mengajar ke kelas atau lewat wasuk ke dalam kelas
dengan sengaja atau keluar lebih awal sebelum masa pengajaran dan pembelajaran tamat tanpa
alasan yang munasabah. Sikap guru yang lebih suka melepak di kantin sekolah, berbual atau
bersembang kosong dengan rakan, melayari facebook dan sebagainya. Guru bermasalah ini
menjadikan aktiviti-aktiviti sampingan lebih penting berbanding mengajar di dalam bilik darjah.
Ponteng jenis ini memberi kesan yang amat besar kepada pencapaian murid dalam akademik.
c) Ponteng tugasan
Ponteng tugasan ialah tidak melaksanakan arahan yang diberikan oleh pihak pentadbir sekolah.
Contohnya guru tidak menghadirkan diri dalam sesi mesyuarat yang telah ditetapkan oleh pihak
sekolah, tidak menghadirkan diri semasa aktiviti atau kegiatan ko-kurikulum dijalankan, tidak
menyertai program yang dilaksanakan di sekolah tanpa alasan yang munasabah dan kukuh, tidak
menyiapkan kerja dan sebagainya. Ponteng jenis ini menyebabkan kelancaran sesuatu program
yang dijalankan oleh pihak sekolah akan terbantut.

FAKTOR-FAKTOR PONTENG
Dalam mengkaji isu ponteng yang dilakukan oleh guru, terdapat beberapa faktor yang dikenal pasti yang
memungkinkan guru-guru mengambil jalan mudah untuk ponteng. Hal ini merangkumi aspek
dalaman dan luaran.
i) Faktor Dalaman

a) Longgar Pegangan Agama.


Kurangnya penghayatan dalam memahami konteks tugas sebagai ibadah yang dianjurkan oleh Islam
menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada isu guru ponteng. Islam mengutamakan
niat yang ikhlas dan amanah dalam melakukan apa sahaja pekerjaan kerana kerja itu merupakan
satu ibadah iaitu jika dibuat dengan bersungguh-sungguh, ikhlas, jujur dan amanah akan
mendapat ganjaran berupa pahala. Namun begitu masih ramai guru yang kurang memahami erti
ibadah dalam pekerjaan menjadikan kebanyakannya mengambil sambil lewa akan hal ini. Ada
sebilangan guru menganggap ponteng adalah perkara biasa dan tidak berkait dengan pahala dan
dosa. Walhal guru perlu menjadikan pekerjaan sebagai satu sumber yang halal untuk dinikmati
oleh anak-anak dan ahli keluarga.
b) Kurang motivasi intrinsik guru.
Guru terbeban dengan hal-hal persekitaran yang mungkin menyebabkan guru dibelenggu rasa kecewa
kurang motivasi, lemah semangat, dihimpit bebanan sehinggakan guru merasa tertekan, depresi,
kurang minat mengajar dan sebagainya. Tanpa motivasi diri, seseorang guru itu akan mendapat
kesan yang tidak disedari seperti hilang fokus, tiada matlamat yang jelas, hilang minat dan luntur
komitmen dalaman (Pendidik, September 2010).
c) Gangguan emosi.
Emosi yang tidak stabil akan menyebabkan kemurungan. Kemurungan yang melampau boleh memberi
kesan negatif dalam kehidupan sehingga membawa kepada gejala yang tidak sihat kepada tubuh
badan dan pemikiran. Selain itu juga kemurungan boleh menyebabkan seseorang bertindak
mengasingkan diri dari kelompok rakan dan masyarakat (Pendidik, April 2010). Gangguan emosi
ini terhasil apabila guru-guru tidak mencapai keperluan peribadi. Misalnya seorang guru
mempunyai sasaran terhadap keputusan markah murid-murid dalam peperiksaan. Apabila telah
berulang kali keputusan yang diharapkan tidak memenuhi sasaran yang diharapkan, guru akan
merasa kecewa, rasa putus dan akhirnya menganggu kerja-kerja guru yang lain. Penambahan
masalah akhirnya guru mengambil jalan untuk ponteng kelas, dan ponteng kerja.
ii) Faktor Luaran
a) Tekanan beban kerja
Kyriacou & Sutcliffe, (1978) menyatakan bahawa tekanan guru boleh ditakrifkan sebagai perasaan tidak
selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari
aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dalam situasi ini, guru yang menghadapi tekanan
kerana beban kerja adalah guru yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan perkembangan dan
perubahan budaya pendidikan semasa yang mengkehendaki tugasan guru itu lebih meluas bukan
setakat mengajar di kelas. Rata-rata guru pada masa sekarang ini terbeban dengan kehendak
tugasan yang melampaui keupayaan individu itu. Misalnya tugas pengkeranian, persediaan alat
bantu mengajar, penglibatan di dalam kursus atau program dan seumpamanya. Jika difikirkan
melalui satu pandangan, ya, guru pada masa sekarang sangat terbeban dengan tanggungjawab
yang pelbagai. Namun begitu, sebagai seorang pendidik, seorang guru perlulah mempunyai jiwa
yang besar untuk menghadapi pelbagai tekanan atau tanggungjawab yang menanti untuk
dilaksanakan. Hal ini demikian kerana jika semua guru mampu untuk berfikiran positif sewaktu
menjalankan tugasan yang diberi dan menganggap tugasan tersebut adalah untuk kepentingan
anak bangsa, semestinya suasan dan persekitaran yang tercipta adalah amat menyeronokkan dan
tiada lagi tekanan yang boleh memungkinkan seseorang guru itu menjadikan alasan untuk
ponteng.
b) Murid yang tidak menghormati guru

Perubahan demi perubahan dalam arus kemodenan menjadikan murid-murid pada era ini kurang
perasaan ingin menghargai mahupun menghormati guru. Saban hari banyak kes berkenaan murid
melakukan tindakan salah laku terhadap guru dilaporkan di media massa. Sambutan Hari Guru
saban tahun semakin hambar dan tidak terkesan di dalam sanubari murid-murid. Tiada lagi
ucapan penghargaan kepada guru yang diterima oleh murid. Mereka leka dengan aktiviti
persekitaran tanpa menghargai perasaan guru yang selama ini mencurahkan khidmat bakti
menjadikan mereka modal insan yang akan menentukan corak kepimpinan negara pada masa
akan datang. Murid tidak lagi menjadikan guru sebagai role model mereka tetapi lebih memilih
artis-artis barat dan tempatan sebagai ikutan mereka. Guru yang bersemangat mendidik anak
bangsa seringkali dikejutkan dengan tindakan murid yang diluar jangkaan seperti memancitkan
dan menconteng kereta guru, memandang sinis guru, tidak menyiapkan kerja sekolah yang
diarahkan, tidak mematuhi arahan, melanggar disiplin sekolah dan sebagainya. Bagi golongan
guru yang tidak mempunyai kekuatan emosi mereka lebih mudah memilih jalan ponteng sebagai
penyelesaian kepada permasalahan yang mereka hadapi.

c) Kurang galakan dan pemantauan dari pentadbir


Faktor ini juga amat penting dalam menjadikan pekerjaan guru sebagai satu profesion yang berjaya.
Pentadbir yang perihatin selalu mengambil berat akan masalah kakitangan bawahan. Bukan
bermaksud untuk mencampuri urusan guru berkenaan, tetapi lebih kepada mengelakkan masalah
guru menjadi lebih berat sehingga boleh mengganggu tugas-tugas mereka di sekolah. Pentadbir
juga perlu mengambil tindakan serta merta kepada guru yang sering ponteng. Ini kerana ditakuti
gejala ini akan diikuti oleh guru-guru lain apabila mendapati pihak pentadbir terutamanya Guru
Besar tidak mengambil tindakan kepada guru yang melakukan kesalahan.
d) Jarak sekolah dan keadaan persekitaraan
Keadaan ini biasanya merujuk kepada di mana guru itu mengajar. Bagi guru yang mengajar di luar
bandar, dan di pulau-pulau guru lebih terdedah untuk ponteng sekolah memandangkan kurangnya
lawatan dari pihak atasan dan nazir. Guru mengambil cuti lebih awal dari masa yang ditetapkan
untuk tujuan tertentu seperti pulang untuk sambutan perayaan dan cuti persekolahan. Hal ini
telah disahkan apabila Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Dr Muhiddin bin Yussin
berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran
ke sekolah-sekolah baru-baru ini (Berita Harian). Lain pula halnya apabila guru tersebut
mengajar di kawasan bandar. Guru akan keluar pada sesi persekolahan untuk memenuhi
keperluan peribadi dan keluarga. Contohnya guru akan keluar untuk membeli barang-barang
dapur, keperluan anak-anak, keperluan peribadi, mengambil wang gaji pada sesi persekolahan
berjalan. Guru akan keluar apabila mempunyai masa terluang terutamanya rehat dan tidak ada
kelas dalam jadual. Namun guru tidak sedar sebenarnya mereka juga dikategorikan sebagai
ponteng kerana tidak berada di kawasan persekolahan pada sesi persekolahan berjalan demi
untuk memenuhi keperluan peribadi.
e) Pengaruh rakan-rakan
Pengaruh rakan sejawat dan rakan sekeliling juga mempengaruhi isu ponteng guru. Ini kerana guru baru
contohnya akan mudah terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas, membuat kerja sambil
lewa dan sering ponteng. Besar kemungkinan ponteng telah menjadi kebiasaan kepada guru-guru
disekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah
negatif guru lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu
ponteng ini dengan tegas.

f) Penyalahgunaan dadah
Penyalahgunaan dadah merupakan salah satu penyebab utama berlakunya masalah ponteng di kalangan
guru. Guru yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan hilang kawalan diri dan tidak
mampu untuk berfikiran dengan waras. Mereka ini telah hanyut dalam dunia mereka sendiri dan
telah hilang matlamat sebenar kehidupan. Spiritual mereka amat lemah, manakala emosi mereka
sukar dikawal dan mudah tertekan. Apabila seseorang guru telah terlibat dengan penyalahgunaan
dadah, mereka akan lebih mudah dihimpit dengan pelbagai masalah lain, contohnya kewangan,
ponteng kerja, masalah keluarga, tindakan undang-undang dan sebagainya.
LANGKAH-LANGKAH PENYELESAIAN
a) Pihak Pentadbir
Perbincangan - Pelbagai langkah yang boleh diambil oleh pihak pentadbir bagi mengelakkan masalah
ponteng ini dari terus berlarutan dan menjadi ikutan kepada guru-guru lain. Pihak pentadbir
perlu mengadakan perbincangan dengan guru yang bermasalah iaitu guru yang sering ponteng. Ini
bertujuan mengkaji dan mengetahui mengapa guru mengambil tindakan sedemikian sehingga
mengabaikan tanggungjawab dan peranan mereka di sekolah. Pihak pentadbir perlu bersemuka
dan mendekatkan diri kepada guru-guru ini bagi mengetahui punca masalah ini berlaku. Nasihat,
dan motivasi diperlukan agar perkara seperti ini tidak akan berulang dikemudian hari.
Surat Tunjuk Sebab Jika perbincangan telah pun dijalankan dan perkara ini masih tetap berulang,
pihak pentadbir akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan surat amaran bagi memberi amaran
kepada guru tersebut. Surat tunjuk sebab ini menunjukkan bahawa pihak pentadbir amat
memandang berat akan isu ponteng ini. Dalam sesetengah kes, guru yang ponteng akan kembali
bertugas setelah mendapat surat tersebut.
Merujuk Kepada Lembaga Tatatertib - Namun demikin jika perkara ini masih berlanjutan, pihak
pentadbir iaitu Guru Besar mempunyai kuasa merujuk guru bermasalah tersebut kepada lembaga
tatatertib selaras dengan Peraturan 25(1) yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pegawai
Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 Bahagian III.
b) Pihak Guru
Kembali Kepada Pegangan Agama Dengan mendalami ilmu agama, seseorang guru itu akan sedar
peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanankan dengan sebaik yang mungkin
dan berusaha untuk menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas.
Memotivasikan diri sendiri / Mengubah sikap Apabila guru berasa tidak lagi bersemangat mengajar
sehingga hilang fokus, dan tidak berupaya menjalankan tugas kerana menghadapi masalah
tertentu, maka amat penting bagi seorang guru mempunyai kekuatan dalaman yang kuat untuk
membantu menaikkan semangat diri bagi menghadapi masalah tertentu.
Menghadiri sesi kaunseling secara sukarela Seandainya jika masalah yang dihadapi masih
berpanjangan, adalah lebih baik guru tersebut menghadiri sesi kaunseling dalam mencari jalan
keluar yang terbaik
4.0 Rumusan / Kesimpulan
Sebagai satu rumusan kepada analisis mengenai masalah tingkah laku guru terutama isu guru ponteng ini,
tidak dapat dinafikan bahawa setiap guru itu juga merupakan insan biasa yang mengalami
masalah seperti individu lain. Kebiasaannya apabila berlaku isu-isu seperti ini, banyak pihak
menuding jari ke arah diri guru menyebabkan individu yang bernama guru ini terpaksa
menghadapi pelbagai tohmahan yang seterusnya memberi impak negatif kepada profesion
perguruan itu sendiri.
Justeru, pihak guru perlu sentiasa sedar dan berfikiran positif bahawa tugasan yang dipikul di bahu
mereka bukan semata-mata untuk meraih gaji bulanan mahupun pangkat yang tinggi, tetapi
adalah penggerak utama dalam memercu generasi bangsa yang bersahsiah tinggi dan berakhlak

mulia. Jadi, jika seseorang guru itu menunjukkan contoh yang tidak baik dan mengundang
pandangan negatif daripada pihak lain, tidak mustahil anak bangsa akan datang akan
menunjukkan corak yang sedemikian juga kerana guru itu merupakan role model terutama bagi
anak-anak muridnya.
Banyak implikasi negatif yang akan diterima sekiranya isu guru ponteng ini kian berterusan. Antaranya
ialah keciciran murid dalam pelajaran, penurunan prestasi murid dalam peperiksaan, masalah
disiplin murid yang kian meruncing, imej sekolah tercalar, pandangan negatif terhadap profesion
perguruan dan akhir sekali pastinya akan memberi impak kepada negara apabila sekelompok
manusia yang diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa telah melakukan salah laku
menyeleweng tugas mereka.
Oleh yang demikian, sebagai penutup, setiap pihak perlu sentiasa peka dan cakna dengan isu ini.

http://kamiprofesional.blogspot.com/2012/09/isu-guru-ponteng.html

Anda mungkin juga menyukai