Anda di halaman 1dari 5

Tugau: Pahlawan melanau yang

kejam
Diterbitkan: Jumaat 8 Dis, 2006

Oleh EDWARD SUBENG STEPHEN

Sahari menuangkan tuak untuk digunakan sebagai persembahan kepada semangat


Sungai Retus. (Foto BERNAMA)
SIBU: Menurut legenda jika Tugau batuk di kawasan jajahannya di Sungai Retus, ia
kedengaran di perkampungan tepi laut Igan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari
tempatnya.
Demikianlah hebatnya Tugau, raja suku Melanau, seperti yang dikisahkan oleh
Penghulu Sahari Ubu, 84, ketua kepada 1,200 anggota komuniti suku Melanau di
Kampung Nangka, satu-satunya penempatan suku Melanau di Sibu.
Tahun lepas, Penghulu Sahari mengetuai 120 pengikutnya masuk ke kawasan di mana
sebatang tiang rumah panjang Tugau tertimbus dalam tanah beratus-ratus tahun
lamanya di kuala Sungai Retus dan Sungai Igan (anak sungai Rajang, sungai
terpanjang di Malaysia).

"Menurut kisah yang diperturunkan dari generasi ke generasi, Tugau adalah seorang
lelaki yang memiliki kekuatan dan saiz yang luar biasa. Tiang seri rumah panjangnya
amat besar. Jika seorang dewasa mengukurnya dengan sepemeluk, hujung jari pun
tidak dapat bertemu," cerita Sahari.
Beliau dipercayai hidup 500 tahun sebelum ketibaan Islam di Sarawak iaitu kira-kira 800
tahun yang lalu.
Tiang seri itu kini nampak jauh lebih kecil ekoran peredaran masa dan ditegakkan
kembali dalam struktur yang lebih ringkas dan ternyata menjadi kebanggaan Sahari.
SIAPAKAH TUGAU?
"Harapan saya agar pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu seperti membina sebuah
tugu peringatan di sana bagi memperingati Tugau. Ini dapat membantu generasi baru
Melanau menghargai sejarah dan tradisi mereka selain memperkenalkan Tugau kepada
pelancong.
Tapi, siapakah Tugau? Terlalu sedikit maklumat mengenai beliau yang diketahui hari ini.
Menurut Sahari, terdapat beberapa versi mengikut lokasi yang berlainan mengenai
Tugau.
"Bagi orang lama Melanau yang tinggal di kawasan pesisir, beliau ialah seorang wira
yang telah melancarkan perang ke atas Kesultanan Brunei yang memerintah Sarawak
pada masa itu.
"Dan bagi mereka yang tinggal di pedalaman pula, beliau adalah seorang pemimpin
yang cekap," katanya.
Satu-satunya perwatakan Tugau yang menyebabkan beliau dibenci ialah
kekejamannya. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya adalah undangundang. Sesiapa yang bertindak membelakangkan undang-undangnya akan dihukum
mati.
"Sungai Retus sebenarnya adalah satu terusan yang digali oleh pengikut-pengikut
Tugau atas arahan beliau. Itulah sebabnya ia lurus sejauh satu kilometer dari muara,"
kata Sahari.

BERAS KUNYIT DAN TUAK


Hari ini, apa yang tinggal di kubu Tugau ialah serpihan-serpihan balang dan yang lain.
"Sehingga ke hari ini, generasi lama Suku Melanau seperti di Igan, Dalat dan Oya
masih lagi memuja Tugau.
"Malah, Sungai Retus juga dinamakan sempena isteri beliau. Mungkin atas rasa
hormat, ada juga antara mereka yang masih lagi merujuk sungai itu sebagai Sungai
Ayang atau sungai ibu yang dihormati," katanya lagi.
Wakil-wakil media di bawa melawat ke kawasan itu oleh Sahari dengan kerjasama
Badan Pelancongan Sarawak cawangan Sibu.
Sebaik sahaja tiba, Sahari melakukan upacara penghormatan yang dikenali sebagai
"Menabur Be'rah Kuneng" (menabur beras kuning) sebagai memohon kebenaran dan
restu untuk melawat daripada semangat yang dikatakan menjaga kawasan itu.
Beliau menasihatkan kumpulan pelawat supaya menjaga tingkah laku agar tidak
menyinggung semangat itu sebelum menabur beras kunyit dan merenjis tuak sambil
membaca mantera.
"Kalau anda bertuah, mungkin boleh lihat sesuatu daripada yang silam ataupun seperti
ular dan binatang lain. Tetapi, apa yang dilihat, simpan sahajalah komen anda dalam
hati," itulah nasihat beliau.
TELUR, AYAM LAGA DAN ULAR
Kebanyakan versi penduduk tempatan mengenai asal usul Tugau adalah lebih kurang
sama termasuklah seperti yang dikisahkan oleh Sahari.
Tugau dikatakan berasal dari sebiji telur yang ditemui dalam hutan oleh sepasang
suami isteri Melanau.
Menurut Stephen Morris, penulis buku "The Oya Melanau" yang diterbitkan pada 1991,
Tugau adalah anak kepada Rajah Kiangan, pemerintah langit sementara neneknya pula
adalah anak kepada Rajah Yang, pemerintah kerajaan di bumi."

Beliau dibesarkan oleh pasangan suami isteri dari kalangan manusia yang tinggal
berhampiran dengan Sungai Retus. Suami isteri inilah yang menemui telur itu dan
apabila ia menetas munculah Tugau, bersama seekor ayam laga berwarna putih
dengan satu pelepah hitam pada ekornya dan seekor ular tedung.
Sehingga dewasa, Tugau dan ayam laganya tidak pernah tewas dalam sebarang
pertandingan. Semasa mengembara untuk bertanding beliau bertemu dengan bakal
isterinya, puteri kepada Rajah Kau iaitu raja Sungai Kabeng.
Bagaimanapun, Rajah Kau meminta hantaran yang luar biasa mirip kepada kisah Puteri
Gunung Ledang sewaktu Sultan Melaka Sultan Mahmud meminangnya.
Rajah Kau meminta Tugau menyediakan pedang emas (senjata yang menunjukkan
darjat), mangkuk emas (tanda kekayaan pemerintahan) dan sembilan bakul ikan yang
dipenuhi emas.
Kesemuanya perlu disediakan dalam tempoh tujuh hari atau Tugau akan menemui
ajalnya. Sepanjang tempoh itu, ibu angkatnya itu dalam kegelisahan tetapi Tugau pula
bersikap seperti biasa.
Pada hari ketujuh, Tugau menghantar ibunya untuk menyerahkan kesemua hantaran itu
yang dikatakan diperolehi daripada yang maha berkuasa.
AKHIRAN YANG MENYEDIHKAN
Cerita Tugau berakhir dengan kesedihan.
Morris yang turut menjalankan kajian di kawasan Medong, Dalat, menemui satu versi
menarik pada tahun 1950 yang diceritakan kepadanya oleh Teiyah, isteri kepada Sakul
bin Tara iaitu ketua di kawasan berkenaan pada masa itu.
Tugau berhasrat membina sebuah rumah panjang yang baru di kuala Sungai Retus dan
Sungai Igan. Beliau mengerahkan kesemua pengikutnya menebang pokok Belian dan
mengangkatnya ke kawasan itu untuk dijadikan tiang seri. Kerana terlalu berat, mereka
tidak terdaya menegakkannya.
Tugau mengarahkan hambanya Tegiok supaya membawa kedua-dua anak perempuan
hamba itu untuk dijadikan korban.

Tegiok lantas mengikut arahan itu dengan yang sulung itu dimasukkan dalam lubang
yang telah digali untuk menegakkan tiang pertama.
Tugau kemudiannya mengarahkan pengikut-pengikut melepaskan batang belian itu
menggelongsor ke dalam lubang tadi. Semasa batang Belian itu turun menghimpit
gadis itu ia seolah-olah bernyawa dan naik menegak dengan sendiri. Semua yang ada
di situ menjerit kegembiraan termasuklah Tegiok.
Kemudiannya, satu lagi lubang digali dan tibalah giliran anak kedua Tegiok. Dia menjerit
dan merayu kepada bapanya. Kenapakah ayah sangat gembira melihat saya dibunuh
oleh orang yang tidak berperikemanusiaan ini. Tidakkah ayah malu?
Tegiok terdiam dan hatinya begitu tersentuh. Sebaik sahaja anaknya mati, dan batang
Belian itu naik tegak, suara jeritan kegembiraan memenuhi ruang dan ketika itulah
Tegiok mengambil `Sangkoh'(tombak) milik Tugau dan membunuh pemimpin lagenda
itu.
Menantu lelaki Tugau, Besiong lantas memanggil semua ular yang datang dan
memakan Tegiok, isteri dan juga kesemua anggota keluarganya. Apabila Tugau mati,
ayam laga dan juga ularnya turut ghaib.
Menurut pengembara British, Sir St.John Spencer dalam bukunya "Wild Tribes of North
West Coast of Borneo" bertarikh 1863, adat `memberi nyawa' kepada tiang utama
semasa pembinan rumah panjang dengan mengorbankan anak perempuan hamba
mungkin mempunyai asal-usul dalam lagenda ini.
Adat ini berterusan sehinggalah ia diharamkan oleh Raja Putih Sarawak yang pertama
James Brooke pada 1840. Tetapi Lagenda Tugau masih segar, terima kasih kepada
orang seperti Sahari.

Anda mungkin juga menyukai