Anda di halaman 1dari 11

Teori & Kaedah Sejarah

Habisa ipgkdri

1.0 Pengenalan
Secara umumnya, penyelidikan adalah tugasan saintifik yang membawa berbagai-bagai
cabaran. Antaranya adalah menghasilkan dapatan kajian yang sesuai dan
memperlihatkan keupayaan penyelidik mempersembahkan hasil kajian. Pada
hakikatnya penyelidikan adalah bagi mencari jawapan atau menyelesaikan masalah
dengan jawapan benar atau sekurang-kurangnya dapat mengetahui kebenaran yang
logik melalui pemikiran yang mempunyai kesinambungan dengan fakta empirik.
Penyelidikan juga mempunyai cabang-cabang yang amat luas dan tidak terbatas.
Antara cabang-cabang penyelidikan yang utama dan diberikan tumpuan ialah
penyelidikan pendidikan, penyelidikan sains, penyelidikan sosial, penyelidikan sejarah
dan sebagainya. Walaupun bidang-bidang penyelidikan tersebut kelihatan berbeza,
namun konsep asas ilmu penyelidikannya tidak jauh berbeza. Justeru tumpuan khusus
dalam perbincangan ini adalah mengenai langkah-langkah yang dijalankan dalam
penyelidikan sejarah.
Definsi penyelidikan sejarah ialah penyusunan sistematik yang membabitkan kajian dan
penilaian data yang berkaitan peristiwa yang terjadi pada masa lampau. Penyelidikan
sejarah mengkaji punca, kesan ataupun corak (trend) peristiwa dan secara tidak
langsung menganalisis apa yang berlaku pada masa kini, seterusnya membuat ramalan
apa yang bakal berlaku pada masa akan datang melalui kajian. Kajian sejarah juga
boleh dianggap sebagai suatu proses membina semula perkara yang berlalu secara
sistematik dengan mengumpul, menilai, mengesah dan mensintesiskan fakta bagi
menemukan rumusan yang dipertahankan. Penyelidikan sejarah merupakan salah satu
aktiviti penting yang dapat menyumbangkan kepada penemuan dan penulisan sejarah
terutama yang baru supaya ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Penulisan dan
jumpaan perkara sejarah amat bergantung kepada usaha-usaha penyelidikan yang
dilakukan oleh para sejarawan. Kajian sejarah yang baik adalah melibatkan kajian
secara sistematik, mempunyai objektif, kaedah pengumpulan data serta analisis, dan
memastikan sumber yang digunapakai adalah sahih serta terhindar daripada sebarang
pemalsuan. Dalam erti kata yang lain penyelidik sejarah sewajarnya beretika.
1.1 Etika Penyelidikan Sejarah
Penyelidikan sejarah adalah merupakan proses yang dinamik dan interaktif, ia berlaku
berdasarkan kepercayaan dan kerjasama mereka yang terlibat dalam penyelidikan.
Hubungan penyelidik, kumpulan penyelidik dan partisipan adalah penting. Mengurus
hubungan ini secara bertanggungjawab ialah merupakan isu sebenar berkaitan dengan
etika. Menurut Othman Lebar (2007), terdapat beberapa peringkat isu etika dalam
proses penyelidikan. Antaranya adalah etika dalam penyataan masalah kajian, etika
dalam penyataan tujuan dan soalan kajian, etika dalam pengumpulan data, etika dalam
analisis dan interpretasi data, serta etika dalam menulis dan menyebarkan hasil kajian.
Etika penyelidikan dalam penyelidikan sejarah penting bagi mengelakkan sesuatu

penyelidikan itu dipengaruhi unsur-unsur bias, melakukan kesilapan, memalsukan fakta,


melakukan penyelidikan separuh jalan, kekaburan bukti, serta kekurangan bahan atau
sumber. Justeru untuk memperteguhkan kedudukan hasil penyelidikan ini, etika yang
ketat perlu dipatuhi bermula dari awal hingga berakhir penyelidikan tersebut.
2.0 Langkah-langkah Penyelidikan
Dalam penyelidikan sejarah, terdapat beberapa langkah utama yang perlu dilaksanakan
oleh seseorang penyelidik. Antara langkah-langkah penyelidikan tersebut, penyataan
masalah, mengemukan hipotesis, membuat rujukan sumber, menentukan kaedah,
menentukan strategi dan teknik, menjadualkan kerja, menganalisa dan
menginterpretasi data, dan melaporkan hasilan. Oleh yang demikian berikut adalah
huraian mengenai setiap peringkat atau disiplin yang perlu ditempuhi oleh setiap
sejarawan yang menjalankan penyelidikan.
2.1 Penyataan masalah
Penyelidikan sejarah bukan bermakna penyelidik menjalankan projek yang baru, lain
dari yang lain dan penting. Tujuan penyelidikan sejarah adalah menghurai,
menerangkan, menjelaskan dan membuat tanggapan dan bukannya mengemukakan
yang baru. Begitu juga, jelas bahawa projek-projek penyelidikan tidak dimulakan
daripada titik permulaan tetapi penyelidik telah diransangkan oleh idea-idea serta
penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan oleh orang lain. Sewajarnya penyelidik
memulakan penyelidikannya dengan membaca penyelidikan-penyelidikan lain yang
sama dengan lingkungan minatnya, lazimnya dia dapat sesuatu yang baru yang perlu
dilakukan untuk memperbaiki penyelidikan sedia ada ataupun untuk memperbaharui
penyelidikan lama. Bertitik tolak dari situlah seseorang penyelidik menyatakan masalah
kajiannya dan bertindak memulakan penyelidikan tersebut.
Contoh penyataan masalah adalah mengenai teori kedatangan Islam ke Malaysia,
sama ada penyebaran melalui mubaligh-mubaligh Islam yang datang ke Melaka, atau
penyebaran Islam oleh pelayar-pelayar China melalui Terengganu.
2.2 Mengemukakan hipotesis
Hipotesis adalah saranan sementara bagi menjelaskan fenomena yang dikaji atau
saranan sementara sebagai penyelesaian masalah. Hipotesis membolehkan penyelidik
mengaitkan teori dengan cerapan. Bukti-bukti cerapan penyelidikan akan menentukan
sama ada sesuatu hipotesis itu perlu diterima atau diketepikan. Antara tujuan
mengemukakan hipotesis dalam penyelidikan adalah untuk memberi jangkaan atau
ramalan sementara tentang fenomena yang dikaji, memberi kenyataan hubungan yang
boleh diuji secara langsung, memberi panduan kepada penyelidikan kerana hipotesis
mewakili objektif tertentu, menentukan kaedah penyelidikan yang harus digunakan,
memberi rangka laporan dapatan serta kesimpulan kajian.
Hipotesis kajian boleh dikemukakan dalam bentuk hipotesis induktif daripada cerapan,
iaitu melalui cerapan penyelidik boleh menentukan susur-galur dan kemungkinan
hubungan yang wujud dan membuat hipotesis bagi menjelaskan hubungan tersebut,

atau hipotesis deduktif daripada teori-teori atau dapatan-dapatan penyelidikan terdahulu


yang boleh memandu penyelidikan ke arah yang lebih umum. Penyelidik perlu
mengemukakan hipotesis untuk memberi panduan bagi pengumpulan data dan infrensi
data, selain itu hipotesis juga dapat menunjukkan sama ada penyelidik mempunyai
pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang yang membolehkan penyelidik
menjalankan penyelidikan dengan berkesan.
Seseorang penyelidik juga perlu mengemukakan hipotesis yang memenuhi ciri-ciri
tertentu bagi membolehkannya diterima sebagai hipotesis penyelidikan. Antara ciri-ciri
tersebut ialah, hipotesis hendaklah dinyatakan dengan mudah, jelas dan tepat,
hipotesis mestilah tekal dengan pengetahuan yang ada, yakni tidak bertentangan
dengan teori dan hukum yang ada, hipotesis hendaklah mempunyai kuasa penjelasan
iaitu keupayaan hipotesis menerangkan fenomena yang dikaji dengan logik, tepat dan
jelas. Seterusnya hipotesis mestilah boleh diuji. Pengujian hipotesis membolehkan
kepastian dibuat sama ada bukti-bukti yang diperolehi menyokong atau tidak
menyokong hipotesis yang bersifat sementara itu.
Contoh hipotesis dalam penyelidikan sejarah mengenai kedatangan Islam ke Malaysia
ialah, Batu Bersurat Terengganu membuktikan penyebaran Islam ke Malaysia adalah
melalui pelayar-pelayar China yang berurusan di Terengganu.
2.3 Membuat rujukan sumber
Sumber merupakan suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu
pemikiran atau penulisan. Sumber adalah berbeza dengan ilham kerana sumber tidak
bersifat abstrak ataupun spontan tetapi sumber boleh dirujuk semula apabila
diperlukan. Sebenarnya sumber sejarah telah wujud dalam pelbagai bentuk, ada
sumber ditulis pada kertas, dipahat seperti batu bersurat, diukir pada kayu, buluh,
tulang, tanduk, daun, kepingan logam dan sebagainya. Semua bahan bertulis ini
disimpan sebagai sumber sejarah. Oleh yang demikian, sumber merupakan suatu
unsur yang penting dalam bidang penyelidikan sejarah, kerana tanpa sumber maka
agak mustahil untuk menghasilkan penulisan sejarah yang baik.
Lazimnya sumber dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu sumber pertama yang
disebut sumber primer dan sumber kedua yang disebut sumber sekunder. Sumber
primer ialah sumber yang biasanya belum ditafsir dan diperlengkapkan lagi. Contoh
sumber primer adalah seperti surat tidak rasmi ataupun surat rasmi, catatan dan
laporan harian, diari serta dokumen. Bahan-bahan seperti ini menjadi sumber primer
disebabkan keadaannya sendiri yang merupakan sumber yang pertama mencatat
sesuatu peristiwa yang berlaku. Sejarawan biasanya memilih dokumen-dokumen yang
berupa sumber primer kerana sumber seperti ini memberi maklumat yang benar untuk
dibuat penyelidikan.
Manakala sumber sekunder adalah seperti tulisan atau buku yang ditulis oleh
sejarawan berdasarkan sumber primer atau sumber-sumber lain dan sebagainya.
Sumber sekunder ini merupakan tafsiran, penyeluruhan, kesimpulan dan malahan
andaian yang dibuat seseorang penyelidik terhadap perkara-perkara yang diselidiknya
dengan bersandarkan sumber utama. Sumber sekunder digunakan oleh penyelidik

sebagai rujukan, perbandingan, ungkapan bagi mengukuhkan pandangan serta tafsiran


terhadap perkara yang diselidiki mereka. Antara contoh sumber sekunder seperti buku,
majalah, surat khabar, latihan ilmiah, karangan ataupun esei yang menganalisis
sesuatu yang penting serta tesis.
Walau apapun kategori sumber tersebut, yang nyata ia sangat penting dalam sesuatu
penyelidikan sejarah. Seseorang penyelidik dalam usaha menghasilkan sesuatu karya
sejarah mestilah berusaha mendapatkan sumbernya, kemudian memilih sumber
tersebut, mana-mana yang berkaitan sama ada secara langsung atau tidak langsung
dengan penyelidikannya. Penyelidik juga harus mengkaji serta menganalisis sumbersumber yang diperolehi untuk mendapatkan fakta-fakta dan seterusnya melakukan
penulisan serta membuat tafsiran terhadap penyelidikannya.
Tidak kurang pentingnya, sumber yang digunakan adalah sumber yang mempunyai
kesahihannya, supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya pemalsuan sumber.
Pemalsuan bukan sahaja bermaksud mengadakan apa yang tiada dalam sumber yang
asli, bahkan pemalsuan juga merujuk kepada sebarang penambahan atau
pengurangan serta kesilapan dalam menterjemah isi kandungan sesuatu sumber.
Kesahihan sumber dalam erti kata yang lain, adalah bertujuan untuk memastikan fakta
yang diaplikasikan dalam sesuatu penulisan itu sentiasa benar dan layak untuk berdiri
sebagai sumber sejarah. Selain itu, kesahihan sumber adalah untuk memelihara sifat
sejarah sebagai saintifik. Menurut Abdul Rahim Abdul Rashid (1998), terdapat empat
ciri yang menyebabkan sejarah adalah sains iaitu berdasarkan penyelidikan,
menunjukkan kebenaran, membantu dalam membuat ramalan dan perlu bersifat
objektif. Oleh itu, dalam maksud untuk menjadi sejarah sebagai satu bidang saintifik,
aktiviti kesahihan sumber perlu dilakukan.
2.4 Menentukan kaedah, teknik dan strategi
Kaedah penyelidikan atau metodologi adalah merupakan kaedah yang digunakan bagi
membuat penyelidikan sejarah atau peristiwa sesuatu perkara itu berlaku. Ia bermaksud
menggunakan tatacara yang betul mengikut kaedah-kaedah yang ditentukan dalam
menghuraikan sesuatu peristiwa yang berlaku. Kaedah penyelidikan sejarah lebih
memberi tumpuan utama terhadap usaha mencari sumber sesuatu peristiwa dan
sumber tersebut haruslah mempunyai autoroti yang dapat dipertahankan. Sebarang
andaian yang dibuat haruslah dibuktikan melalui sumber yang diperolehi.
Secara umumnya terdapat dua kaedah asas persejarahan, iaitu kaedah persejarahan
tradisi dan kaedah pensejarahan moden. Konsep dan kaedah pensejarahan tradisi ini
telah dipelopori oleh Bapa Sejarah Dunia iaitu Herodotus dan Thucydides. Sejarawan
ini telah mengaplikasikan kaedah pemerhatian, temuduga dan rujukan terhadap bahan
bertulis dalam penulisan karya sejarah mereka. Herodotus dalam penulisannya yang
berjudul Perang Parsi yang mengisahkan peperangan antara tentera Athens dengan
Parsi yang berlaku pada tahun 478 SM, telah menggunakan kaedah temuduga dalam
penghasilannya. Beliau juga telah melakukan kajian mendalam dengan melihat sendiri
tempat-tempat yang terlibat dalam peperangan, malah menemubual tokoh-tokoh yang

terlibat dalam peperangan tersebut.


Selain daripada menyaksi sendiri kesan-kesan peperangan di beberapa tempat yang
telah dikunjungi dan menemuduga tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan,
Herodotus juga telah menggunakan bahan-bahan bertulis dan kesan-kesan
peninggalan lama seperti babad, puisi, epik, karya geografi, etnografi dan perubatan,
dokumen kerajaan, inskripsi, batu bersurat, bangunan dan rumah berhala dalam
penulisannya. Melalui contoh penulisan sejarah Peperangan Parsi telah menunjukkan
bahawa penyelidikan sejarah secara tradisi adalah dengan menggunakan kaedah
pemerhatian, temubual dan rujukan terhadap bahan bertulis klasik.
Kaedah pensejarahan moden pula dipelopori oleh Lepold Von Ranke, yang diberi
gelaran Bapa Pensejarahan Moden kerana beliau telah membawa era baru dalam
bidang pensejarahan sehingga dianggap sebagai pengasas pensejarahan Jerman di
Universiti Berlin. Menurut Arbaiyah Mohd Noor (2002), beliau dikatakan sejarawan
Barat pertama yang telah menekankan kepentingan penggunaan sumber primer dalam
penyelidikan sejarah dan membuat penilaian sumber secara kritikal demi pembangunan
bidang sejarah sendiri. Selain itu, Ranke menyatakan secara jelas bahawa sejarah
seharusnya ditulis dengan sebenar-benarnya tentang apa yang telah berlaku
berdasarkan dokumen yang berkaitan dengannya. Ranke juga menyarankan agar
sejarawan tidak melakukan spekulasi, tidak bersikap berat sebelah atau bias, mereka
dan memasukkan unsur-unsur fiksyen ke dalam sejarah.
Oleh yang demikian seseorang penyelidik sejarah boleh memilih untuk menjalankan
penyelidikan secara tradisi yang menekankan aspek pemerhatian, temuduga dan
rujukan bahan bertulis atau membuat penyelidikan secara moden yang menekankan
penulisan yang jelas dan ditulis sebenar-benarnya tentang apa yang berlaku melalui
sumber primer, tanpa spekulasi, bias serta memasukkan unsur-unsur fikysen. Secara
ringkasnya kaedah pensejarahan moden menekankan penulisan sejarah secara tepat
dan objektif.
2.5 Menjadualkan kerja
Sesuai dengan sifatnya penyelidikan sejarah yang berbentuk sistematik, maka
penyelidikan sejarah sewajarnya mempunyai jadual kerja yang tersusun. Sesuatu
penyelidikan perlu dirancang dengan teliti. Jadual kerja atau pelan tindakan akan
membantu seseorang penyelidik dalam mendapatkan maklumat dan memudahkan
kerja-kerjanya. Jadual kerja yang rapi juga boleh membantu dari segi menjimatkan
masa serta kos yang diperlukan. Perancangan atau jadual kerja tersebut hendaklah
selari dengan skop penyelidikan, kaedah yang dipilih, kemudahan-kemudahan fikizal
dan situasi pengkaji. Namun jadual kerja yang disusun tidaklah bersifat rigid, malah
ianya tetap boleh diubahsuai mengikut keadaan semasa dan tempat.
Seperti yang telah dihuraikan, sesuatu penyelidikan bertitik tolak daripada penyataan
masalah yang dikemukakan oleh penyelidik. Penyelidik boleh menghuraikan
permasalahan yang utama dan permasalahan sampingan atau yang berkaitan.
Kemudiannya penyelidik melakarkan tuju arah penyelidikan melalui penyataan hipotesis
supaya kerja-kerja penyelidikan tidak tersasar jauh atau sebagai panduan untuk

memulakan penyelidikan sumber. Seterusnya penyelidik juga mengenalpasti kaedah


kajian yang akan dijalankan sama ada secara tradisi atau secara moden. Kenalpasti
sumber-sumber yang boleh membantu dalam penyelidikan, sama ada sumber primer
atau sekunder atau kedua-duanya. Data-data atau maklumat yang diperolehi mesti dari
sumber yang mempunyai tahap kebenaran yang tinggi serta tidak dipertikaikan lagi
ketepatannya. Setelah semua sumber atau maklumat diperolehi, penyelidik akan
membuat laporan atau penulisan tersebut. Perlu ditegaskan penulisan laporan
penyelidikan yang baik dan bermutu perlu melalui beberapa draf dan diulang semak
serta dikemaskini setiap kali draf dibuat.
Melalui jadual kerja yang mantap dan dipatuhi, akan menatijahkan penulisan
penyelidikan yang bermutu tinggi. Jadual kerja sebagai pengawal bisu yang sentiasa
membimbing penyelidik dalam menyempurnakan penyelidikannya. Sekiranya tanpa
jadual kerja yang efisyen dan sempurna, kadangkala berlaku penyelidikan separuh
jalan, kerana penyelidik akan kehilangan arah bagai nakhoda tanpa kompas pelayaran.
2.6 Menganalisa dan Menginterpretasi data
Sejarah bukanlah hanya sekadar kumpulan bahan-bahan sejarah lama semata-mata,
tetapi kandungannya perlu dikaji, dinilai dan diberi pengamatan yang kritis seterusnya
untuk dijadikan panduan bagi generasi akan datang. Sekiranya sejarawan tidak
memandang sesuatu sumber itu dengan kritis, maka sejarawan itu belum lagi boleh
dikategorikan sebagai sejarawan yang sebenar-benar sejarawan. Menurut Arbaiyah
Mohd Noor (2002), sumber yang telah diuji kebenarannya merupakan perkara yang
amat penting dalam sejarah dan berbeza dengan penulisan sastera yang kreatif, dan
sekiranya sumber itu diterima bulat-bulat maka masyarakat tidak akan dapat menerima
hakikat sesuatu peristiwa sejarah yang telah berlaku itu sama ada benar ataupun tidak
sebagaimana berlakunya pada karya Sejarah Melayu. Bagi sejarawan Barat kritikan
terhadap kebenaran sejarah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kritikan luaran dan
kritikan dalaman. Kritikan luaran bertujuan menganalisis sumber sejarah untuk
mengesahkan akan kebenarannya serta kesahihannya manakala kritikan dalaman
bertujuan untuk menentukan ketepatan atau kerasionalan tentang sesuatu isi
kandungan sesuatu sumber sejarah.
Ramai sejarawan tradisi pada peringkat awal tamadun menulis sejarah tanpa memberi
perhatian terhadap aspek kebenaran dan kesahihan sejarah tersebut. Keadaan ini
berbeza dengan tradisi pensejarahan Islam, dari awal lagi telah memberi perhatian
yang sewajarnya terhadap aspek kebenaran dan kesahihan sejarah. Menurut Arbaiyah
Mohd Noor (2002), At-Tarabi antara sejarawan awal selepas Hijrah yang memberi
perhatian terhadap kebenaran sejarah, ketika menulis sejarah nabi-nabi beliau telah
membuat penyelidikan secara lisan dengan bertanya kepada orang-orang yang boleh
dipercayai dan mempunyai ingatan yang cukup kuat. Tabari mengikuti kaedah yang
diamalkan oleh para muhadisun (pakar hadis) dalam mencapai sumber sejarah agar
sejarah yang dihasilkan itu adalah sejarah yang benar-benar jelas dan tepat faktanya.
Berlainan pula dengan sejarawan Barat yang mengatakan kritikan sejarah terutamanya
sumber sejarah telah bermula apabila muncul Bapa Pensejarahan Moden iaitu Leopold

Von Ranke pada abad ke-19. Menurut Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya
(1988), Ranke merasakan bahawa penulisan dan pentafsiran sejarah secara kritikal
dengan membuat kritikan terhadap perkara yang meragukan perlu berjalan seiring.
Melalui usaha beliaulah sejarah telah menjadi suatu disiplin ilmu moden setanding
dengan ilmu-ilmu lain pada abad ke-20. Berikutan itu ramai intelektual Barat mula
meragui kesahihan sejarah Barat yang selama ini ditulis dengan mencampuradukan
unsur-unsur dongeng, mitos dan lagenda untuk menyedapkan lagi peristiwa atau jalan
cerita sejarah itu. Setelah menyelidiki kaedah yang digunakan oleh sejarawan Islam,
mereka cuba memperkenalkan serta mempraktikkannya.
Kritikan amat penting bagi mencari kesahihan sumber dan penyampai sumber tentang
sesuatu peristiwa sejarah. Sekiranya penyampai sumber melakukan pembohongan
maka sumber yang diberi itu adalah sumber yang palsu. Justeru itu jika berlaku
keraguan, maka sejarawan akan cuba mencari bukti-bukti lain. Arbaiyah Mohd Noor
(2002), menyenaraikan empat langkah-langkah yang boleh dilakukan sekiranya berlaku
keraguan. Pertama, mereka akan mengesan semula siapakah yang mengeluarkan
sesuatu sumber tersebut. Kedua, kandungan sumber yang ditulis itu mestilah diuji
terlebih dahulu untuk mengetahui kaitannya dengan fakta-fakta primer yang diketahui.
Sekiranya bercanggah, pemalsuan dapat diketahui. Seterusnya, dokumen-dokumen
yang diperolehi mungkin berhubung dengan tanda-tanda tertentu. Umpamanya,
sejarawan yang menggunakan sumber dokumen tulisan tangan memerlukan satu kajian
khusus untuk membuat keputusan sama ada sesuatu skrip itu benar dari segi masa dan
tempatnya. Mereka memerlukan ahli filiologi untuk menentukan atau menilai gaya
bahasa daripada teks yang digunakan. Keempat, Sejarawan boleh meminta
pertolongan daripada pakar dalam bidang teknikal untuk memeriksa bahan yang
digunakan pada masa pengeluaran dokumen tersebut.
Walaupun dikatakan sumber itu mungkin mempunyai kebenaran serta kesahihan dari
sudut kritikan luaran, tepai jika kandungannya diragui ketepatan serta kerasionalannya,
maka sumber itu tidak wajar dijadikan sumber rujukan sejarah. Kerasionalan dan
kebenaran sesuatu sumber itu boleh diteliti bila dihubugkaitkan dengan persoalan
siapa, bila dan di mana, Persoalan siapa berkait dengan diri penulis (subjek) sesuatu
karya sejarah itu. Dengan mengetahui latar belakang penulis, maka kita boleh
mengetahui sama ada fakta yang diberikan itu benar ataupun salah. Jika kita dapati
penulis tersebut seorang pemerintah, ketua atau seorang sejarawan pada zaman yang
sama serta mereka pernah tinggal di tempat atau negara yang sama, kita akan dapat
melihat wujud perbezaan dari segi pendekatan, keterangan dan tafsiran. Mereka akan
menulis mengikut konsep, matlamat, serta idea menereusi kaca mata mereka sendiri.
Maka akan wujudlah bias dalam pentafsiran idea yang sedia ada.
Dalam hal kritikan dalaman ini sewajarnya sejarawan mengambil kira beberapa perkara
penting sebelum membuat penyelidikan rapi, iaitu memahami bahasa, maksud tulisan
penulis dan mengetahui akan ragam, niat serta fikirannya itu sama ada sejarawan itu
prejudis atau mudah terpengaruh dengan fakta-fakta lain atau menulis berdasarkan
fakta sejarah yang benar atau pun tidak. Selain itu, penggunaan bahasa juga sentiasa
berubah-ubah dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Contohnya bahasa yang ditulis

lima atau enam abad yang lampau tentu amat berbeza berbanding dengan bahasa
yang digunakan pada hari ini.
Ketepatan sesuatu sumber bukan sekadar yang telah dibincangkan di atas sahaja.
Terdapat beberapa sumber dan fakta sejarah yang kurang kerasionalannya telah mula
dipertikai oleh beberapa sejarawan lain. Contohnya, kenyataan Arnold Toynbee, Marco
Polo seorang pelayar berbangsa Itali telah tiba di negara China sekitar tahun 12711295 melalui Laut Hitam dan Istambul. Toynbee juga menyebut Marco Polo akan
singgah di istana Kublai Khan setibanya di China. Namun kini, kenyataan tersebut
dianggap tidak benar oleh sejarawan moden atas beberapa alasan yang agak rasional.
Antaranya, tiada satu rekod pun kedatangan Marco Polo ke China, tiada satu pun
kenyataan dalam rekod China tentang kedatangannya ke istana Kublai Khai sebagai
tetamu sepanjang ketibaannya di sana. Kedua, Marco Polo gagal membuat kenyataan
tentang budaya makan China dengan menggunakan penyepit, tradisi mengikat kaki
atau teh sebagai minuman kegemaran orang China. Ketiga Marco Polo tidak pernah
membuat kenyataan tentang sahabat-sahabat atau sesiapa yang ditemui sepanjang
pelayaran ke negara China.
2.7 Melaporkan hasilan
Setelah berjaya mengumpul segala sumber yang diperolehi sama ada secara tradisi
iaitu melalui pemerhatian, temubual atau bahan sejarah seperti teks, dokumen atau
artifak dan sebagainya, penyelidik meneruskan penyelidikan dengan kritikan luaran
untuk memastikan kebenaran sumber serta kritikan dalaman untuk menentukan
ketepatan serta kerasionalannya, maka langkah seterusnya penyelidik menghasilkan
penulisan sejarah bagi sesuatu yang diselidiknya. Penyelidik yang bertanggungjawab
akan melahirkan penulisan yang berwibawa dan dapat diterima sebagai sesuatu yang
bermutu tinggi. Bagi menjadikan ia bermutu tinggi, adalah menjadi kewajipan penyelidik
untuk menulis berdasarkan kebenaran serta ketepatan fakta dan membuat penghuraian
yang tepat tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur lain. Sebagai ahli sejarah yang terlatih,
penyelidik sedaya upaya akan meminimakan campur tangan pandangannya dalam
sesuatu cerita. Penyelidik perlu menyedari akan integriti yang diwajibkan,
bertanggungjawab terhadap bukti yang dipilih, disusun dan diinterpretasi dan
mengelakkan unsur-unsur personaliti.
Menulis laporan penyelidikan sejarah bukanlah sesuatu yang mudah seperti penulisan
kreatif yang lain. Ia memerlukan perancangan yang teliti serta menulis dalam satu
kerangka yang boleh disemak dan dinilai. Di samping itu pengorganisasian utama
sesuatu penyelidikan pada kebiasaannya adalah disusun dalam bentuk kronologi atau
tajuk. Kebanyakan tajuk-tajuk dalam penyelidikan sejarah akan disusun dalam bentuk
kronologi atau susunan topik mengikut perkembangan masa. Dari segi penulisan pula,
penyelidik yang berwibawa akan mengelakkan kelemahan dalam pembinaan ayat dan
perenggan, nahu, ejaan, tanda bacaan, pemilihan perkataan dan lain-lain yang
berkaitan. Penulisan sejarah adalah menekankan terhadap sumber dan pembuktian.
Sesuatu penulisan perlu mengemukakan bukti dan alasan yang ditunjukkan di dalam
nota kaki. Penulisan laporan sewajarnya menggunakan bahasa yang mudah difahami
dan ayat yang dibina biasanya pendek dan jelas. Penulisan laporan yang berkesan

hanya akan tercapai jika penulisan itu dapat difahami oleh para pembaca tidak kira latar
belakang pekerjaan mereka.
Penulisan sejarah memerlukan kerja yang bersungguh-sungguh dengan memaksa diri
untuk memulakan tanpa mengira minat atau inspirasi. Hasil penulisan sejarah yang
baik, kebiasaannya melalui dua atau lebih draf. Draf pertama biasanya panjang dan
ianya akan melalui proses pemotongan dan pengeditan ayat. Semasa menyemak draf,
kaedah cut and paste kadang kala digunakan bagi menjimatkan masa. Dalam semua
peringkat draf, perhatian utama harus ditumpukan untuk mengemukakan bukti-bukti
jelas. Contohnya jika ia memerlukan penjelasan, interpretasi jelas harus diberikan.
Penyelidik perlu sedari, golongan pembaca kepada penulisan sejarah adalah golongan
terpelajar yang berminat dengan disiplin ini. Oleh itu kesalahan-kesalahan remeh dari
segi nahu, bahasa dan ejaan akan mengurangkan minat pembaca untuk membaca
laporan penyelidikan tersebut.
Hakikatnya matlamat utama penulisan sejarah adalah untuk menyampaikan hasil
penyelidikan dalam bentuk yang paling berkesan. Oleh itu, penulisan yang berkesan
perlu tepat, jelas dan disampaikan dalam gaya yang menarik, elakkan kesilapankesilapan kecil yang akan mengganggu konsentrasi pembaca. Menurut Abdul Rahman
Abdullah (1994), ahli-ahli sejarah bersetuju bahawa penulisan sejarah perlu
memberikan perhatian terhadap memperkembangkan penjelasan, berkeupayaan dalam
penyaringan, logik dan konsisten dalam perbahasan adalah merupakan kualiti yang
menyumbang kepada penulisan laporan yang berkesan. Tidak kurang pentingnya juga
ialah bentuk penulisan laporan tersebut dikemukakan sama ada dalam bentuk artikel,
monograf atau buku. Ketiga-tiga penulisan tersebut tidak mempunyai perbezaan dari
segi kaedah, gaya penyampaian dan rujukan sumber. Bagaimanapun, perbezaan
utama adalah dari segi saiz atau panjang sesuatu penulisan itu.
Artikel merupakan sebuah penulisan ilmiah yang pendek, kebiasaannya diterbitkan
melalui jurnal atau makalah. Penerbitan jurnal adalah dalam bentuk berkala atau
tahunan. Panjang artikel pada kebiasaannya adalah sekitar 10 000 perkataan atau
ditulis sekitar 20 halaman dengan langkau dua. Sementara monograf merupakan
terbitan ilmiah dalam bentuk tidak bersiri atau berkala mengenai sesuatu tajuk tertentu
atau tajuk yang berkaitan ditulis secara perseorangan. Biasanya monograf merupakan
hasil kerja yang terperinci, dokumentasi terhadap tajuk yang terhad atau mengenai
seseorang. Dalam bidang sejarah monograf merujuk kepada penerbitan sesuatu
penyelidikan mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa atau seseorang tokoh. Ia
merupakan hasil kajian yang tidak terlalu panjang tetapi mempunyai cukup maklumat.
Biasanya diterbitkan sekali sahaja dengan jumlah cetakan yang terhad. Sedangkan
buku pula adalah merupakan satu penulisan yang dihasilkan daripada penyelidikan dan
buah fikiran seseorang penyelidik mengenai sesuatu tajuk. Ia diterbitkan dalam bentuk
buku dengan mempunyai halaman yang tebal, tiada had maksimum jumlah halaman
bagi penerbitan bagi sesebuah buku kerana ia bergantung kepada matlamat penulisan
seseorang penulis. Buku mestilah mempunyai tahap ilmiah yang tinggi, mengandungi
sumber rujukan yang lengkap serta membuat perbincangan mengenai sesuatu tajuk.
Buku mengandungi beberapa bab, minimumnya 5 bab dan juga mengandungi

bibliografi serta indeks di bahagian akhir penulisan dan biasanya boleh dicetak atau
diterbitkan berulang kali.
3.0 Kesimpulan
Penyelidikan sejarah merupakan satu bentuk penyelidikan yang rumit kerana
penyelidikan sejarah adalah untuk mempelajari, menggali fakta-fakta serta menyusun
dan menghuraikan hubungan atau kesimpulan berkaitan peristiwa masa lampau.
Kerumitan juga disebabkan kuasa pengawasan penyelidik ke atas sampel adalah
terbatas memandangkan pembolehubah bebas berada di luar jangkauan penyelidik
dalam melakukan penilaian dan interpretasi.
Seperti dinukilkan, penyelidikan yang baik mesti melalui langkah-langkah yang telah
ditetapkan secara umum oleh sejarawan terdahulu, seperti pendefinisian masalah,
rumusan hipotesis yang perlu diuji, pengumpulan data yang sistematik, analisis
interpretasi data, membuat kritikan luaran dan dalaman terhadap sumber yang
diperolehi dan seumpamanya. Di samping mematuhi langkah-langkah tersebut faktor
etika dalam penyelidikan juga tidak boleh dipandang enteng oleh para penyelidik
supaya hasil penyelidikan yang dihasilkan bersih dan tulen tanpa sebarang campur
tangan penyelidik. Namun, syabas kita ucapkan kepada sejarawan-sejarawan yang
sentiasa bertungkus-lumus membuat penyelidikan demi penyelidikan yang menjadi
bahan rujukan masyarakat.
RUJUKAN
Abdul Rahim Abdul Rashid. 1998. Ilmu Sejarah: Teori dan Amalan Dalam Pengajaran
dan Pembelajaran Sejarah. Kertas Sempena Simposium Kebangsaan Ilmu Sejarah,
Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Abdul Rahman Abdullah. 1994. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka bersama Pusat Pengajian Luar Kampus USM.
Azizi Yahaya et al. 2007. Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur:
PTS Profesional Publishing Sdn Bhd.
Mohd Majid Konting. 2004. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Muhd Yusof Ibrahim. 1986. Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengenai Teori
& Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhd Yusof Ibrahim. 1997. Ilmu Sejarah: Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhd Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan:

Ketokohan dan Karya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka


Othman Lebar. 2007. Penyelidikan Kualitatif: Pengenalan Kepada Teori dan Metod.
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
http://jironakamura.blogspot.com/2007/09/bincangkan-langkah-langkah-yang-perlu.html
http://www.banyak-ilmu.co.cc/2008/11/langkah-langkah-penelitian-sejarah.html

Anda mungkin juga menyukai