Anda di halaman 1dari 3

7 Langkah Meningkatkan

Keyakinan Diri
1. Bina Prinsip Hidup yang Mantap

Antara prinsip-prinsip hidup yang boleh anda pegang adalah:

"Saya yakin saya boleh!"

"Dapat mencapainya kerana kemahuan tahap gaban."

"Yakin kerana cemerlang persiapan!"

Prinsip-prinsip atau moto-moto tersebut kesemuanya bertujuan untuk


meningkatkan semangat dan keyakinan diri anda agar anda menjadi lebih
berani menghadapi cabaran-cabaran hidup dalam mencapai kejayaan. Lebih
mantap prinsip atau moto hidup yang anda pegangi, lebih yakinlah anda
melangsungkan kehidupan anda.
Oleh itu, binalah prinsip-prinsip hidup yang positif lagi mantap untuk
menyuburkan keyakinan diri anda agar anda akan lebih berjaya dalam
kehidupan anda.

2. Tetapkan Matlamat Hidup Anda

Matlamat-matlamat adalah antara sumber-sumber utama kepada pembinaan


hala tuju dan peningkatan keyakinan diri seseorang. Seseorang yang tidak
mempunyai matlamat hidup adalah seolah-seolah meniti kehidupannya
dalam keadaan samar yang tidak pasti akan ke mana arah dan tujuan
kehidupannya.
Oleh itu, tetapkanlah matlamat hidup anda sejelas yang mungkin agar anda
akan dapat meniti kehidupan anda dengan lebih baik dan teratur. Dengan
mempunyai hala tuju serta matlamat hidup yang jelas anda akan menjadi
lebih fokus, lebih yakin dan lebih berjaya dalam mencapai kejayaan
kehidupan anda - dunia serta akhirat.

3. Bina Pelan Tindakan Mencapai Matlamat Anda


Mempunyai matlamat-matlamat yang jelas memang amat penting untuk
memperteguhkan keyakinan diri. Namun, tanpa perancangan atau pelan
tindakan untuk mencapai kejayaan, sesuatu matlamat hanya akan menjadi
angan-angan. Dengan mempunyai pelan tindakan dan persiapan jitu iaitu
memikir, merancang dan melaksanakan bagaimana dan bila setiap matlamat
anda mesti dicapai, keyakinan diri anda akan menjadi lebih mantap dan ini

akan membolehkan anda mencapai matlamat-matlamat yang anda telah


tetapkan dengan lebih cemerlang serta lebih awal.

4. Sentiasa Tingkatkan Ilmu Pengetahuan Anda

Ilmu pengetahuan adalah antara sumber-sumber utama kepada


pembangunan diri seseorang. Semakin tinggi atau semakin banyak ilmu
pengetahuan yang seseorang miliki, bukan sahaja akan semakin tinggi nilai
seseorang itu tetapi juga akan dengan sendirinya meningkatkan keyakinan
dirinya. Jika anda mempunyai tahap imu pengetahuan yang tinggi tentang
selok-belok pekerjaan anda, sudah pastilah anda akan bertambah yakin diri
serta lebih kompeten melaksanakan tugas-tugas anda.
Oleh itu, dengan sentiasa meningkatkan tahap ilmu pengetahuan khususnya
dalam perkara-perkara yang anda perlu ketahui atau kuasai, anda dengan
sendirinya melakukan sesuatu yang mengarah kepada peningkatan
keyakinan atau kemampuan diri anda. Membaca buku-buku, menghadiri
kursus-kursus atau seminar-seminar, bercambah idea-idea dengan rakanrakan serta membuat lawatan ke tempat-tempat menarik untuk
meningkatkan pengetahuan tentang tempat itu adalah antara langkahlangkah cemerlang yang anda boleh lakukan untuk memperkayakan ilmu
pengetahuan anda.

5. Sentiasa Tingkatkan Kemahiran-Kemahiran Anda


Kemahiran-kemahiran adalah juga antara sumber-sumber utama kepada
pembangunan diri seseorang. Semakin tinggi atau banyak kemahiran yang
anda miliki, semakin meningkatlah keyakinan diri anda. Seseorang yang
tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi sudah pasti akan kurang,
malah mungkin tidak yakin atau tidak mampu melaksanakan dengan
cemerlang sesuatu tugas yang dimanahkan kepadanya. Tidak mempunyai
kemahiran yang mencukupi dalam bidang pengucapan awam misalnya
adalah salah satu sebab mengapa seseorang tidak yakin berucap di hadapan
audiens. Antara cara berkesan yang perlu dilakukan untuk mengatasi
ketidakyakinan sebegini ialah dengan mempelajari secara serius setiap
aspek pengucapan awam sehinggalah kemahiran pengucapan awam itu
menjadi sebati dalam diri kita.

6. Tingkatkan Kualiti Kesihatan Diri Anda

Kesihatan diri amat mempengaruhi keyakinan diri seseorang. Jika kesihatan


diri kita kurang baik, badan kita akan menjadi lemah; fikiran juga akan turut
menjadi kusut. Ini akan menjejaskan keyakinan diri kita. Jika kesihatan diri
kita baik, badan akan menjadi lebih cergas manakala minda kita pula
menjadi lebih cerdas; kita akan menjadi lebih bermaya dan keyakinan diri
akan meningkat.

Oleh itu, usaha menjaga dan memastikan tahap kesihatan diri kita agar
sentiasa dalam keadaan cemerlang adalah seiring dengan usaha
memantapkan keyakinan diri sendiri. Membina tabiat berfikiran positif,
menjaga kualiti pemakanan, tidur secukupnya / rehat (7-9) jam sehari serta
mengamalkan pergerakan fizikal / senaman setiap hari (5 minit - 2 Jam) serta
mendapat rawatan yang sewajarnya dari pakar-pakar perubatan apabila
diperlukan adalah antara perkara-perkara yang harus kita amalkan untuk
memastikan tahap kesihatan dan kesejahteraan diri kita sentiasa dalam
keadaan terbaik.

7. Tingkatkan Kualiti Penampilan Diri Anda

Apa pun juga keadaan fizikal diri anda, jika anda sentiasa bersyukur dan
berfikiran positif serta menjaga penampilan diri dari dalaman serta pada
luaran, anda akan tetap merasa diri anda amat bernilai. Dengan sentiasa
bersyukur dan berfikiran positif, anda akan lebih menghargai dan
menyayangi diri anda serta juga orang lain. Dan, sudah pastilah juga anda
akan lebih yakin diri jika anda dapat membina dan menampilkan imej terbaik
diri anda. Menjaga dan mencemerlangkan ketrampilan diri anda bererti juga
anda menjaga kesihatan, kebersihan dan kekemasan diri, menjaga
kebersihan dan kekemasan tempat kerja anda, rumah anda, kenderaan anda
dan sebagainya.

Kesimpulan
Keyakinan diri adalah berpaksi dalam diri anda. Anda perlu menjananya. Ia
perlu disuburkan. Anda perlu yakin pada diri sendiri dahulu sebelum
mendapat keyakinan orang lain terhadap diri anda. Anda mestilah
menanamkan kualiti-kualiti yang hebat pada diri anda.
Ketujuh-tujuh langkah yang kita bincangkan di atas itu insya-Allah boleh
membantu melonjakkan keyakinan diri anda. Ingatlah bahawa anda adalah
peneraju kejayaan diri anda sendiri. Kalau anda fikir anda boleh, anda
memang sebenarnya BOLEH! Keyakinan yang meningkat pada diri anda akan
membuatkan anda lebih berkebolehan untuk meningkatkan lagi tahap
pencapaian dan kejayaan anda.

Anda mungkin juga menyukai