Anda di halaman 1dari 11

BAB I

INSTITUSI PONDOK DAN


KESINAMBUNGAN PENDIDIKAN ISLAM DI TERENGGANU

Pondok kepada Madrasah

Agama Islam dianggap mula bertapak di negeri Terengganu adalah dikaitkan dengan penemuan
Batu Bersurat di Hulu Terengganu bertarikh 4hb Rejab, 702 atau 22 hb Februari,1303 ( Syed
Muhammad Naguib al-Atas, 1970 ). Manakala pertumbuhan sistem pengajian pondok di negeri
ini pula begitu menggalakkan terutamanya pada abad ke sembilan belas hingga awal abad kedua
puluh apabila munculnya beberapa institusi pondok yang masyhur dan dikenali oleh masyarakat
di negeri Terengganu khususnya dan di pantai timur semenanjung amnya. Pencapaian sistem
pengajian pondok pada masa itu dianggap sebagai suatu sumbangan yang penting kepada sistem
pendidikan di negeri ini. Walau bagaimanapun kemalapan institusi pondok mulai ketara selepas
perang Dunia Kedua. Ini berikutan tranformasi pendidikan yang berlaku di dunia Islam dan
pengaruh tersebut menular ke semenanjung Tanah melayu. Institusi pengajian tradisi ini
kemudiannya beransur-ansur digantikan dengan institusi Madrasah Arab atau sekolah agama
yang dari segi struktur pentadbirannya dianggap lebih moden dan tersusun. Namun struktur

kurikulumnya masih merupakan suatu kesinambungan kurikulum yang pernah digunakan dalam
institusi pondok yang bersifat tradisional.

Perubahan institusi pondok kepada institusi madrasah Arab dilihat sebagai satu fenomena
yang mempunyai dimensi tradisi kesinambungan institusi pendidikan Islam, dan perubahan
institusi pendidikan berkenaan yang begitu ketara di negeri ini. Ternyata corak dan
perkembangan sistem pendidikan sedemikian merupakan satu kesinambungan daripada keadaan
tradisi yang telah berkembang ke tahap yang lebih moden. Konsep tradisi yang dimaksudkan
dalam buku ini merujuk kepada bentuk dan pola asas pendidikan agama secara pondok yang
merupakan suatu ciri penting pendidikan Islam tradisi di negara ini, bahkan di rantau Asia
Tenggara. Ciri-ciri tradisi dalam institusi pendidikan Islam di pondok antaranya wujud konsep
Tok Guru, pelajar dan bahan pengajarannya berdasarkan kitab Islam klasik serta adanya
pondok atau tempat tinggal sementara bagi pelajar-pelajar berkenaan sepanjang tempoh
pengajian mereka.

Penubuhan Sekolah Menengah Agama di Terengganu

Dalam usaha untuk menganalisis perkembangan Madrasah Arab dan kesinambungan institusi
pendidikan agama ini dengan institusi pondok di Kuala Terengganu, beberapa perkara berkaitan
perlu diberi perhatian. Diantaranya peranan dan kedudukan tokoh-tokoh agama setempat yang
dikenali sebagai tok guru, penglibatan institusi agama negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), dan

dasar kerajaan negeri yang mempunyai kaitan rapat dengan institusi pendidikan agama Islam di
negeri ini.

Selain dari itu, faktor luaran juga disentuh seperti gerakan dakwah Islam kerana ia
merupakan faktor secara tidak langsung memainkan peranan tertentu dalam hal ini. Buku ini
turut mengupas dengan ringkas aspek persejarahan institusi pendidikan Islam pondok sebagai
latarbelakang sejarah kepada kemunculan dan perkembangan madrasah Arab dan sekolah agama
di Terengganu dalam rangka perkembangan pendidikan Islam di negeri ini. Seterusnya ia akan
membincang dan menilai perubahan atau tranformasi yang berlaku dalam aspek kurikulum dan
kokurikulum madrasah Arab di Terengganu dengan mengambil contoh kurikulum dan
kokurikulum di Madrasah Sultan Zainal Abidin (MSZA) dan Sekolah Menengah Agama Atas
Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di Kuala Terengganu dalam kontek tradisi dan perubahan
institusi pendidikan tersebut.

Perubahan di institusi madrasah Arab itu disesuaikan dalam konteks hubungannya dengan
Dasar Pelajaran Kebangsaan, dasar JHEAT dan kesedaran pihak pemerintah negeri terhadap
kepentingan pendidikan Islam itu sendiri. Aspek ini penting kerana perubahan dasar kerajaan
mempunyai kaitan dengan tranformasi sekolah Arab tersebut. Buku ini juga akan
mengenengahkan sumbangan institusi pendidikan MSZA dan SMAASZA serta kaitannya dengan
kelahiran pemimpin negeri ini terutamanya selepas merdeka. Heather Sutherland (1978)
berhujah, pada tahun 1930an Madrasah Sultan Zainal Abidin merupakan sebuah institusi utama
yang membentuk pemimpin politik di negeri ini.

Buku ini turut memberi tumpuan kepada transformasi yang berlaku kepada sistem tradisi
dalam institusi pendidikan di Terengganu dan kesinambungannya dengan pendidikan Islam yang
formal. Buku ini tidak menumpukan perhatian kepada institusi masjid, surau, balai, rumahrumah persendirian sebagai institusi pendidikan Islam. Ini bukanlah bermakna institusi tersebut
tidak penting dalam usaha menyebarkan pengetahuan dan pendidikan Islam kepada masyarakat.
Semua institusi berkenaan masih penting dan memainkan peranan yang besar dalam
perkembangan pendidikan agama Islam dalam kalangan masyarakat Islam negeri ini, namun
skop perbahasan di dalam penulisan ini lebih menjurus kepada institusi pendidikan yang formal.
Peranan JHEAT dalam konteks perubahan-perubahan tertentu yang berlaku pada institusi
SMAASZA diberi perhatian sewajarnya kerana secara langsung berfungsi dalam perkembangan
pendidikan Islam di negeri ini.

Kesinambungan Tradisi Institusi Pendidikan Islam.

Menganalisis perkembangan institusi pendidikan Islam dari sudut tradisi dan transformasi yang
berlaku kepada institusi Madrasah Arab adalah penting untuk didokumentasi sebagai rujukan
kepada generasi akan datang. Persoalan penting cuba dilihat iaitu oleh penulis, apakah ciri-ciri
tradisi institusi pendidikan Islam pondok dan madrasah Arab yang terdapat di Terengganu.
Perbincangan mengenainya perlu dikupas kerana kerajaan negeri Terengganu telah memberi
perhatian yang serius terhadap institusi pendidikan Islam sejak dari dahulu hingga sekarang.
Pada tahun 1982 kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM8,304.320 kepada pendidikan dan

pelajaran agama. Pada tahun 1983 pula sebanyak RM13,529.560 telah dibelanjakan untuk tujuan
yang sama (10 Tahun Pembangunan Negeri Terengganu, 1974 1984).

Buku ini meneliti peranan institusi JHEAT dan hubungannya dengan transformasi yang
berlaku pada institusi MSZA dan SMAASZA di Kuala Terengganu. Transformasi institusi MSZA
dan SMAASZA

dilihat dari beberapa aspek iaitu pentadbiran, pengajian, kurikulum,

kokurikulum, dan pembangunan fizikal. Buku ini turut menyentuh sumbangan institusi
pendidikan Islam berkenaan dalam konteks kemunculan pemimpin negeri ini. Institusi MSZA
dan SMAASZA telah membentuk bakat kepimpinan sejak mereka mengikuti pengajian di
peringkat Ibtidai dan Thanawi lagi, ini menentukan geo-politik dan halatuju kepimpinan di
negeri Terengganu.

Buku ini cuba memahami kesinambungan institusi pondok dan transformasi yang berlaku
terhadap institusi Madrasah Arab, KUSZA dan Universiti Zainal Abidin ( UniSZA) di
Terengganu dalam konteks keperluan masyarakat dan negara.

Senario Institusi Pondok Di Terengganu

Di daerah Kuala Terengganu sudahpun ada kajian awal mengenai institusi Syeikh Abdul Malik
Abdullah ( Shafie Abu Bakar, 1976 ). Walaupun kajian ini ditumpukan kepada institusi pondok
Syeikh Abdul Malik tetapi turut menyentuh peringkat-peringkat pengajian yang berkaitan dengan
pendidikan pondok, pengajian madrasah, masjid, surau, langgar, rumah-rumah guru, di istana

dan di peringkat tertinggi di Mekah. Apa yang penting dan menjadi inti kepada kajian ini bahawa
Syeikh Abdul Malik adalah ulama yang mengasas institusi pengajian yang ulung dan tertua di
Terengganu. Syeikh Abdul Malik mengarang beberapa buah kitab Jawi yang besar mencakupi
bidang Tasawwuf seperti sharh Hikam, Usuluddin dan Fiqh seperti kitab Kifayah, Kayfiyah
Niyyah dan Risalah Naql bagi pengajaran Fiqh.

Shafie Abu Bakar turut mengkaji secara mendalam mengenai aliran pemikiran yang
dianuti oleh Syeikh Abdul Malik. Beliau dikatakan menyanjung terhadap Syeikh Nurudin arRaniri yang memperkukuhkan kedudukan mazhab Imam as-Shafie di alam melayu dari segi
Fiqh, memperluaskan pengaruh Imam al-Ghazali dari segi Tasawwuf dan menyebarkan manhaj
al-ashairah oleh Imam al-Ashari dari segi Usuluddin. Ketiga aliran bidang ilmu pengetahuan
yang didokong Syeikh Abdul Malik sebagai pengukuh aliran ahli sunnah wal-jamaah. Sebagai
seorang ulama yang giat menyebarkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakatnya, beliau
menjadi ulama istana. Sultan Zainal Abidin dan pembesar-pembesar negeri pada masa itu
berguru dengan Syeikh Abdul Malik. Di antara ilmu yang diajar di institusi pengajian yang
diasaskan oleh beliau ialah ilmu Fiqh, Tasawwuf, Tafsir, Nahu, Saraf, Sastera, ubat-ubatan dan
sebagainya. Ia disampaikan menerusi bahasa Arab dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Muhammad Abu Bakar pula mengkaji ketokohan Sayyid Abdul Rahman Muhammad al-Idris
atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh ( Muhamad Abu Bakar, 1974). Menurut Muhamad Abu
Bakar Tukku Paloh dilihat sebagai seorang tokoh yang banyak mempengaruhi Sultan Zainal
Abidin III dalam pendirian, sikap serta tindak-tanduk baginda. Sehingga mana melalui
pengaruhnya Terengganu begitu lambat menerima pengaruh British sepenuhnya. Walaupun
Tukku Paloh tidak terlibat secara langsung sebagai decision making (pembuat keputusan)

mengenai hal ehwal dalam dan luar negeri, namun pandangan dan pendapatnya sering diminta
dan biasanya mempengaruhi dasar yang dibuat oleh kerajaan. Beliau merupakan penasihat
kepada Sultan dan kerajaan. Beliau sangat dikenali dalam bidang Tasawwuf.

Timah Hamzah (1977) pula pernah mengkaji mengenai ketokohan Haji Abdul Rahman
Limbong dan hubungan pemimpin tempatan dengan politik anti-penjajah di negeri Terengganu.
Gerakan anti-penjajah British mendapat sokongan masyarakat luar bandar yang merasa hidup
tertekan akibat peraturan yang diperkenalkan oleh pihak British setelah campurtangan dalam
pentadbiran negeri. Selain dari itu masyarakat luar bandar telah ditanam dengan fahaman bahawa
undang-undang barat yang diperkenalkan adalah undang-undang kafir dan bercanggah dengan
ajaran Islam. Mahmud Mamat mengkaji mengenai sejarah pendidikan pondok dan peranan sosiopolitik dalam masyarakat di Besut dari tahun 1900 hingga 1965 ( Mahmud Mamat, 1975 ).
Kajian tersebut memperlihatkan golongan ulama seperti Tok Guru Haji Abdul Kadir dan Tok
Guru Haji Abdul Latif Awang bertanggungjawab terhadap pendidikan pondok. Golongan ulama
berkenaan telah membawa perubahan dalam sikap, pandangan, pengajaran, mata pelajaran dan
sebagainya kepada pelajar-pelajar pondok terhadap konsep politik disamping hal-hal keagamaan.
Muhamad Abu Bakar menulis mengenai ulama dan penglibatannya dalam siasah di Terengganu.
Ulama berkenaan termasuklah Tok Guru Haji Abbas Muhammad, Tok Guru Haji Wan Abdul
Latif, Haji Shafie dan Haji Abdul Kadir. Kajian mengenai sekolah Arab atau sekolah agama pula
telah dilakukan oleh Ibrahim Mat ( 1975 ). Kajian tersebut menyentuh sejarah ringkas pengajaran
agama Islam, perkembangan sekolah Arab, sistem pengajaran, pelaksanaan Dasar Pelajaran
Kebangsaan dan pentadbiran sekolah Arab. Kajian ini mendapati MSZA merupakan pusat

pengajian menengah bagi pelajar-pelajar sekolah Arab atau sekolah agama di negeri Terengganu
yang ditadbir oleh JHEAT.

Geertz ( 1960 ) dalam kajiannya menggambarkan kehidupan keagamaan di pondok


berkisar kepentingan akhirat yang bertujuan memperolehi pahala dan berfikir tentang nasib
setelah dikubur. Geertz merumuskan kehidupan keagamaan pondok hanya tertumpu kepada
persoalan kubur dan ganjaran. Zamakhsyari Dofier ( 1982 ) pula menolak tanggapan yang
melihat kehidupan rohani semata-mata dan tidak melibatkan kehidupan dunia. Zamakhsyari
Dofier berhujah bahawa tradisi pesantren atau pondok dengan fokus utamanya mengenai peranan
kiyai dalam memelihara dan mengembangkan fahaman Islam tradisi di Jawa. Kajian ini melihat
wujudnya perubahan tertentu di institusi pondok dalam masyarakat Jawa, peranan dan
tanggungjawab kiyai merupakan golongan pemimpin Islam yang penting dalam mempengaruhi
proses perkembangan sosial, keagamaan dan politik sejak beberapa abad lampau.

Peranan dan kedudukan kiyai di pulau Jawa, Indonesia masih berterusan sehingga dewasa
ini. Di tengah-tengah pembangunan ekonomi, para kiyai dianggap sebagai kelompok pemimpin
yang dominan dalam memenuhi keperluan kepimpinan moral bangsa Indonesia. Manakala
pondok yang wujud itu berdiri teguh di atas landasan tradisi masa lampau. Dalam hubungan ini,
Zamakhsyari Dofier menggunakan pendekatan adanya kesinambungan dan perubahan dalam
kehidupan pesantren masyarakat Jawa. M. Dawan Raharjo telah menolak pandangan yang
dilontarkan oleh geertz bahawa kehidupan pondok hanyalah merupakan pusat aktiviti kehidupan
rohani semata-mata. Dalam tulisannya ( 1974 ) beliau berhujah bahawa institusi pesantren
merupakan pusat keilmuan keagamaan yang berasaskan kepada penggunaan kitab-kitab Islam

klasik. Ilmu agama yang diajar di institusi pesantren mempengaruhi akhlak atau norma-norma
tingkah-laku serta budi pekerti dalam kehidupan masyarakatnya. Mereka yang belajar di institusi
pesantren diharapkan menjadi kiyai, ulama, muballigh dan setidak-tidaknya guru agama. Mereka
belajar dan mengajar ilmu Tauhid, Fiqh, Akhlak atau Tasawwuf yang semuanya menolak hujah
bahawa ilmu-ilmu ini meremehkan atau tidak mempunyai hubung kait dengan masalah-masalah
kehidupan di dunia.

Kesinambungan Kepada Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi di Terengganu

Abdul Manam Mohamad dalam tulisannya bertajuk, KUSZA Sebuah Institusi Pengajian Tinggi
Islam Terengganu menyatakan bahawa institusi berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri
dalam melaksanakan program pendidikannya. Dalam hal ini KUSZA didapati melaksanakan
program pendidikan sepadu. Konsep pendidikan bersepadu yang didokong oleh KUSZA itu
adalah berbentuk kesepaduan di antara ilmu wahyu ( al-Quran dan al-Sunnah ) dengan ilmu-ilmu
akal di mana ilmu wahyu itu dijadikan sebagai teras kepada ilmu akal yang menjadi tonggak
kepada falsafah pendidikan Negara.

Buku ini memperlihatkan suatu kesinambungan dan transformasi tertentu terhadap


institusi pendidikan Islam di Terengganu atas beberapa pertimbangan berikut :

i.

Kewujudan dan perkembangan institusi pondok di Terengganu umpamanya


pondok Haji Abbas ( Tok Jiring ), pondok Haji Shafie Haji Mohd Amin ( Losong)

pondok Haji Abdul Kadir Haji Abdullah ( Pasir Panjang ), dan pondok Haji Shafie
Long ( Durian Guling ) merupakan persekitaran yang penting dalam konteks
penubuhan institusi MSZA dan SMAASZA.

ii.

Institusi MSZA merupakan institusi pengajian Islam yang gah dan menjadi
pengerak utama kepada pendidikan agama secara formal dalam konteks
melaksanakan suatu sistem pengajian agama di peringkat Ibtidai atau rendah,
manakala institusi SMAASZA memperkenalkan sistem pengajian agama
peringkat Thanawi atau menengah di negeri ini, manakala madrasah Arab yang
lain hanya menumpukan pengajian di peringkat Ibtidai sahaja.

iii.

Wujudnya kesinambungan pendidikan Islam di institusi MSZA dan pada masa


yang sama institusi tersebut mengalami tranformasi tertentu dari aspek
pentadbiran, sistem pengajian, kokurikulum dan seumpamanya.

iv.

Penubuhan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) pada 1980 oleh kerajaan
negeri Terengganu, adalah usaha kepimpinan kerajaan negeri untuk memajukan
pendidikan berteraskan keagamaan di negeri ini. Manakala kejayaan penubuhan
Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) pada tahun 2005 oleh kerajaan Pusat di
Terengganu dan kemudian telah ditukar nama sebagai Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA) pada tahun 2010 juga, menunjukkan kesungguhan pihak
pemerintahnya bagi menjana kecemerlangan pendidikan di Terengganu secara
berterusan sehingga diperingkat global.

10

11

Anda mungkin juga menyukai