Anda di halaman 1dari 3

SENI DALAM PENDIDIKAN

1.0 Pengenalan

Seni dalam pendidikan atau dikenali sebagai SDP diwujudkan bagi membantu
perkembangan individu yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan juga
sosial sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Seni dalam pendidikan turut
memainkan peranan penting ke arah perkembangan kanak-kanak melalui peningkatan daya
persepsi, estetika dan kreativitinya.
Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk melahirkan individu yang berbudaya dengan
mengamalkan pertimbangan kesenian, berjiwa kreatif, inovatif, inventif dan mempunyai jati diri
yang tinggi. Pengabungan ketiga-tiga jenis seni yang terdiri daripada seni visual, seni muzik dan
seni pergerakan akan membentuk insan yang bersepadu dan holistik. Dalam seni visual ianya
lebih melibatkan lukisan, manakala seni pergerakan melibatkan penggunaan ruang dalam
sesuatu aktiviti dan seni muzik pula lebih kepada interpretasi seseorang terhadap muzik yang
didengari.
Warna merupakan elemen utama dalam seni visual. Warna dapat dibahagikan kepada
tiga yang utama iaitu warna primer, warna sekunder dan warna tertier. Kesemua warna ini
sebenarnya wujud di sekeliling kita. Sebagai contohnya, warna hijau yang terdapat pada daun,
warna-warni yang terdapat pada pelangi. Penggunaan warna juga turut memberi kesan kepada
manusia. Warna yang digunakan memberi kesan terhadap personaliti, budaya dan juga
psikologi seseorang. Sebagai contoh, warna merah dikategorikan dalam warna panas yang
menggambarkan perasaan marah, semangat keberanian dan juga keceriaan dalam diri
seseorang. Warna sejuk pula memberi kesan yang lebih tenang dan nyaman dalam sesuatu
hasil seni visual. Ianya juga menggambarkan emosi sedih dan juga sayu seseorang. Secara
keseluruhannya, dapat disimpulkan warna memainkan peranan yang penting dalam
menggambarkan sesebuah kebudayaan, emosi. dan maksud dalam karya seni visual.
Irama merupakan elemen yang terdapat dalam seni muzik. Tanpa irama maka muzik
tidak dapat berdiri dengan sempurna. Irama dapat dinyatakan sebagai sesuatu atau rentak
yang berlaku secara berulang. Sesuatu irama itu boleh dinikmati sewaktu kita mendengar
muzik. Irama yang menarik dalam sesuatu muzik akan mempengaruhi seseorang untuk
mendengar muzik tersebut berulang kali. Dalam kehidupan kita seharian, kita semestinya akan
menemui pelbagai irama. Sebagai contoh, bunyi tapak kaki, bunyi degupan jantung, bunyi angin
dan sebagainya. Semua ini merupakan irama yang wujud di sekeliling kita tanpa kita sedari dan

SENI DALAM PENDIDIKAN


kebanyakan ianya berlaku setiap masa. Kepelbagaian irama yang dihasilkan tersebut akan
menghasilkan muzik yang menarik. Dalam pendidikan seni, irama digambarkan sebagai
sesuatu susunan corak yang berulang, susunan sekata yang mewujudkan pergerakan.
Kanak-kanak akan mula memahami dan belajar sesuatu kemahiran dalam irama
sewaktu mereka melakukan aktiviti seperti melompat, bergerak ke kiri dan ke kanan, menari,
melukis corak dan sebagainya. Sebenarnya irama dapat meransang minda kanak-kanak untuk
memberikan tumpuan apa yang sedang dilakukan. Tanpa kehadiran muzik yakni irama, sudah
semestinya sesuatu aktiviti itu menjadi hambar dan murid akan merasa cepat bosan. Selain itu,
kehadiran irama dalam aktiviti yang dilakukan secara tidak langsung menarik minat kanakkanak untuk menyertai sesuatu aktiviti dengan lebih seronok dan bersemangat. Kanak-kanak
akan merasa lebih seronok melakukan aktiviti seperti melompat sambil mengikut irama muzik.
Mereka juga akan meneroka pergerakan-pergerakan yang lebih kreatif dan menarik apabila
wujudnya tindak balas kanak-kanak tersebut dengan muzik atau irama yang mereka dengar.
Pergerakan adalah perlakuan atau aksi individu yang boleh berlaku secara automatis,
spontan dan terurus yang melibatkan perancangan yang lebih tersusun melalui postur, gerak
isyarat dan pelbagai pergerakan badan. Pergerakan berhubungkait dengan penggunaan ruang.
Ruang dapat didefinisikan sebagai kawasan yang terletak di sekeliling sesuatu objek atau
dengan kata lain jarak antara dua objek. Dalam pergerakan kita seharian, kita memerlukan
ruang untuk bergerak dengan baik dan sempurna. Ruang terbahagi kepada dua iaitu ruang diri
dan ruang am. Ruang diri ialah kawasan yang digunakan semasa melakukan pergerakan.
Ruang am ialah kawasan yang digunakan secara keseluruhan semasa melakukan pergerakan.
Penggunaan ruang yang baik, bijak dan sempurna akan mewujudkan keselesaan dan
menjadikan ruang tersebut lebih selamat. Menurut Howard Gardner (1983), kecerdasan ruang
melibatkan kebolehan melihat dunia visual spatial dengan lebih tepat. Bilik darjah perlu
disusun dengan baik bagi memastikan terdapat ruang yang cukup untuk guru dan juga pelajar
melakukan aktiviti dengan selamat, selesa dan berkesan. Ini secara tidak langsung membantu
menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif dan seterusnya mencapai
matlamat P&P tersebut.
Secara kesimpulannya, Seni dalam pendidikan adalah untuk membantu perkembangan
menyeluruh dan seimbang setiap insan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selari
dengan Falsafah Pendidikan Negara. Seni dalam pendidikan bermatlamat untuk menyediakan

SENI DALAM PENDIDIKAN


guru permulaan sekolah rendah dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengintergrasikan
aktiviti Seni Visual, Muzik dan Pergerakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelbagai
bidang matapelajaran lain. Melalui aktiviti ini, ianya akan dapat mendorong kanak-kanak
menggunakan

imaginasi, ekspresi, inkuiri dan kecerdasan pelbagai. Integrasi seni dalam

pendidikan akan mambantu dan memudahkan guru dalam melaksanakan proses pengajaran
dan pembelajaran dengan mengaplikasikan teori-teori pembelajaran dalam proses tersebut
terutama di sekolah rendah.

Anda mungkin juga menyukai