Anda di halaman 1dari 1

PUNCA-PUNCA KES PEMBUANGAN BAYI

Marcapada ini, negara kita telah berkembang pesat sama ada dari segi ekonomi, sosial
ataupun politik dalam menongkah arus modenisasi dan globalisasi. Kini, nama Malaysia begitu
tersohor di pentas dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan kejayaan yang
telah ditempa oleh rakyat Malaysia di peringkat dunia. Namun begitu, di sebalik kegemilangan ini,
masyarakat Malaysia masih dihantui satu penyakit sosial yang sudah lama bersarang dalam
kalangan masyarakat kita, iaitu masalah pembuangan bayi. Persoalannya, apakah faktor pencetus
utama masalah ini kerana ada asap ada apinya? Mengapakah hal ini boleh berlaku?

Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan bahawa kekurangan didikan agama merupakan
antara sebab utama kes pembuangan bayi berlaku. Biasanya golongan remaja yang merupakan
golongan yang terlibat dalam kes pembuangan bayi. Kekurangan didikan agama yang merupakan
panduan dan pedoman hidup menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat
dalam gejala negatif, antaranya ialah pergaulan bebas. Remaja yang terlibat dalam pergaulan
bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan remaja perempuan
mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama
akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat-
tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menyebabkan masalah kes pembuangan bayi berlaku.
Hal ini dikatakan demikian kerana pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan
sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang negatif.
Rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan
agama dan norma maysarakat, tamsilnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah
dan melakukan pergaulan bebas. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut
akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa
dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuangkan bayi mereka.

Sehubungan dengan itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut
menyebabkan masalah sosial ini berlaku. Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak
luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat menghina dan memandang ringan padanya.
Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga akan dianggap menjatuhkan maruah
keluarganya. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut akan mengambil jalan
mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kes pembuangan bayi berlaku.
Masalah ini seharusnya diketengahkan dan diselesaikan dengan menjalankan langkah-langah yang
efektif sebelum keadaannya menjadi lebih teruk lalu menggugat masa depan negara. Dalam hal
ini, semua pihak haruslah bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah
ini kerana bak kata peribahasa Melayu, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat”.